Category: Kemalangan / Bencana

  • Buruh maut kereta dipandu rempuh pacuan empat roda

    Buruh maut kereta dipandu rempuh pacuan empat roda

    SEORANG buruh maut selepas kereta dipandunya terlibat dalam kemalangan di Kilometer 113, Jalan Jerangau-Jabor berhampiran sempadan Dungun-Kemaman, Kemaman pukul 8.15 malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata,
    Mazlan Daud, 55, dari Kampung Beladau Selat Serada, Kuala Terengganu meninggal dunia di lokasi kejadian kerana mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.

    “Nahas dipercayai berlaku ketika mangsa yang memandu Proton Saga dalam perjalanan ke arah Jabor bersama isteri, anak dan seorang penumpang lain.

    “Tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu mangsa tiba-tiba memasuki lorong kanan sebelum bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dari arah bertentangan.

    “Jarak terlalu dekat menyebabkan berlaku pelanggaran secara berdepan,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Menurut Hanyan, kemalangan itu menyebabkan isteri mangsa patah tangan dan kaki, anak perempuannya yang berusia 12 tahun patah tangan kiri manakala seorang penumpang lain tidak cedera.

    Beliau berkata, pemandu pacuan empat roda yang merupakan kontraktor berusia 43 tahun tidak mengalami kecederaan.

    “Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut manakala anak dan isterinya dirawat di Hospital Dungun,” katanya.

  • 4 maut, seorang parah dalam kemalangan

    4 maut, seorang parah dalam kemalangan

    EMPAT maut manakala seorang parah dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di susur keluar 104, Lebuhraya Baharu Lembah Klang (NKVE) menghala Kelana Jaya di Petaling Jaya, kira-kira pukul 4 pagi tadi.

    Susulan itu sebuah jentera bersama anggota dan pegawai dari Balai Bomba Kota Anggerik dikerah ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, kemalangan melibatkan sebuah Proton Wira Aeroback dengan sebuah Proton Wira jenis sedan.

    “Lima mangsa terlibat, empat orang telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).

    “Mangsa yang maut adalah, Puvaaneshwaran Paranjhoti, 28, yang menaiki Wira Aeroback manakala Lai Mun Fai, 28; Eng Siew Hooi, 31; Leong Man Yuen, 27, menaiki kereta Wira Sedan,” katanya memetik laporan Sinar Harian

    Katanya, Heng Chan Yee, 28, yang turut menaiki Wira Sedan dibawa ke Hospital Sungai Buloh berikutan kecederaan parah dialaminya dalam kemalangan itu.

  • 2 maut, 3 cedera kenderaan pacuan empat roda rempuh tiang jejantas

    2 maut, 3 cedera kenderaan pacuan empat roda rempuh tiang jejantas

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DUA maut selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki terbabas dan melanggar tiang jejantas di susur masuk ke Taman Damansara Aliff di Lebuhraya Pasir Gudang menghala ke Taman Perling di Johor Bahru hari ini.

    Mangsa yang maut Charles Anak Singgai, 24, dan Rizky Ahmad Hua Abdullah, 35, manakala mangsa mengalami kecederaan Douglas Anak Martin, 29, Kareno Anak Esang, 39 dan Andy Mieky Anak Bunyah, 22.

    Komander Operasi dari
    Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Pegawai Bomba Kanan II Wan Nor Affendi Wan Yusoff berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian tersebut pada pukul 6.39 pagi.

    “Susulan itu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dengan kekuatan sembilan anggota dari BBP Tebrau dan BBP Kempas dikejarkan ke tempat kejadian

    “Pasukan penyelamat mendapati berlaku kemalangan membabitkan Toyota Hilux yang terbabas dan merempuh tiang jejantas berkenaan.

    “Lima lelaki terbabit dalam kemalangan berkenaan termasuk tiga mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA).

    “Sementara dua mangsa lagi maut di tempat kejadian termasuk tersepit di bahagian penumpang dan seorang mangsa dilaporkan tercampak keluar dari kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Pihaknya mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat sebelum menyerahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut.

    Beliau berkata operasi tersebut selesai pada pukul 7.55 pagi.

    Habis

  • Lelaki maut kereta terbabas, rempuh pokok

    Lelaki maut kereta terbabas, rempuh pokok

    SEORANG lelaki maut selepas kereta jenis Proton Iriz yang dipandunya hilang kawalan sebelum merempuh sebatang pokok di Kilometer 105.2 Jalan Kota Bharu-Gua Musang, Kuala Krai, pukul 8.40 malam tadi.

    Akibat kemalangan tersebut, mangsa, Aznan Mohd. Yusoff, 58, yang beralamat di Kampung Padang Kelewek, Tanah Merah maut di lokasi.

    Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian mangsa memandu bersendirian dari arah Gua Musang menghala ke Machang.

    “Setiba di lokasi kejadian, kereta yang dipandu mangsa dipercayai hilang arah dan kemudian terbabas ke laluan bertentangan.

    “Akibatnya, kereta tersebut telah melanggar pokok di tepi jalan sebelah kanan menghala ke arah Gua Musang.

    “Setiba di lokasi kejadian, kereta yang dipandu mangsa dipercayai hilang arah dan kemudian terbabas ke laluan bertentangan.

    “Akibatnya, kereta tersebut telah melanggar pokok di tepi jalan sebelah kanan menghala ke arah Gua Musang.

    “Kereta tersebut kemudian telah terjatuh ke dalam longkang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Menurutnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra untuk bedah siasat.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Tiga bersaudara lemas ketika mandi di air terjun

    Tiga bersaudara lemas ketika mandi di air terjun

    KESERONOKAN enam sekeluarga berkelah di kawasan air terjun Lata Changkah, Ulu Seladang di Setiu berakhir duka apabila tiga daripada mereka meninggal dunia akibat lemas, semalam.

    Mangsa yang lemas merupakan dua beradik iaitu Syaridatul Nurfatihah Mohd. Dera, 26, dan Syariatul Noor Safiqa, 24, dari Kampung Hilir Maras, Batu Rakit, manakala seorang lagi adalah sepupu mereka, Siti Aishah Mazalan, 19, dari Kampung Mengabang Telong.

    Pihak polis menerima laporan mengenai kejadian malang menimpa tiga wanita tersebut daripada orang awam pada pukul 3.21 petang.

    Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, siasatan mendapati, semua mangsa pergi berkelah di kawasan itu melibatkan enam orang dan ketika hendak pulang pada pukul 2.30 petang, seorang mangsa tergelincir lalu terjatuh ke dalam air.

    “Semasa jatuh, mangsa telah menarik dua lagi mangsa lain ke dalam air dan lemas,” katanya memetik laporan Sinar Harian, malam tadi.

    Menurut Afandi, orang ramai yang berada di lokasi kejadian bertindak membantu dan berjaya menemui tiga wanita itu pada pukul 3.15 petang.

    “Semua mangsa dihantar ke Hospital Setiu untuk pemeriksaan lanjut namun disahkan telah meninggal dunia,” katanya.

    Beliau turut meminta orang ramai supaya lebih berhati-hati dan peka dengan keselamatan diri serta keluarga ketika berkunjung ke kawasan perkelahan bagi mengelak berlakunya kejadian tidak diingini.

    “Elakkan berkelah dan mandi di tempat berisiko tinggi seperti kawasan air yang dalam serta mempunyai arus deras,” katanya.

  • Remaja lelaki lemas ketika mandi sungai

    Remaja lelaki lemas ketika mandi sungai

    SEORANG remaja lelaki meninggal dunia selepas ditemukan lemas ketika mandi di Sungai Lagong, Selayang hari ini.

    Kejadian itu dilaporkan kepada pihak bomba pukul 2.25 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba Selayang dikejarkan ke lokasi.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, mangsa dikenali Muhammad Alif Nasir Alias berusia 17 tahun ditemui pada pukul 3.15 petang dalam keadaan tidak sedarkan diri.

    Anggota bomba mengangkat mayat seorang remaja lelaki yang lemas di Sungai Lagong, Selayang, hari ini

    “Mangsa dibawa naik ke darat sebelum disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

    “Siasatan awal mendapati mangsa mandi di sungai terbabit bersama empat rakan.

    “Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Selayang untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

  • Pelajar lemas cuba selamatkan rakan tergelincir

    Pelajar lemas cuba selamatkan rakan tergelincir

    KEGEMBIRAAN tiga rakan mandi-manda di Lata Guling, Sungai Rual, dekat Jeli hari ini berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka ditemukan lemas.

    Lebih memilukan, kejadian berlaku ketika Nor Aina Mohd Nasir, 17, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jeli mahu menyelamatkan seorang rakannya yang tergelincir.

    Ketua Polis Daerah Jeli, Supt Ahmad Ariffin berkata, Nor Aina yang berasal dari Kampung Pasir Dusun bersama dua rakannya itu telah ke tempat kejadian untuk mandi pada 2.30 petang.

    “Kira-kira 3.05 petang, rakan Nor Aina iaitu Rosmaidayu Mohd Rasyid, 17, yang turun untuk mandi di lata itu telah tergelincir. Melihat keadaan itu, Nor Aina cuba menyelamatkan Rosmaidayu namun dia turut dihanyutkan air dan tenggelam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ahmad berkata, Rosmaidayu berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung namun Nor Aina gagal ditemukan.

    “Pada 3.35 petang, mangsa dijumpai abang kandungnya selepas melakukan selaman di kawasan kejadian. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Jeli untuk bedah siasat. – BERNAMA

  • Penganggur dikhuatiri lemas terjatuh bot

    Penganggur dikhuatiri lemas terjatuh bot

    SEORANG penganggur dikhuatiri lemas dipercayai terjatuh dari bot di perairan Pantai Kuala Sungai Baru, Kuala Perlis awal pagi semalam.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Baeyah Abdul Wahab berkata, Bukhari Yusof, 45, dipercayai jatuh dari bot ketika sedang tidur manakala dua kru bot berkenaan sedang sibuk menangguk siput di kedudukan tiga batu nautika dari Pantai Kuala Sungai Baru.

    “Menurut seorang daripada kru bot itu, mereka menangguk siput kira-kira jam 1 pagi dan menyedari kehilangan mangsa tidak lama kemudian. Mereka melakukan pencarian selama dua jam namun gagal menemukan sebarang petunjuk,” katanya kepada pemberita di Pusat Kawalan Tempat Kejadian di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sungai Baru hari ini.

    Baeyah berkata, menurut kedua-dua kru bot itu, mereka tidak mengenali Bukhari yang menumpang tidur di dalam bot dan hanya menyedari kehadirannya ketika dalam perjalanan menangguk siput.

    Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat dijalankan sejak 6.30 petang semalam melibatkan anggota Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Unit Dron Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan dibantu nelayan tempatan.

    “Operasi mencari dan menyelamat Bukhari yang berasal dari Pulau Langkawi, Kedah melibatkan kawasan seluas 73.2 kilometer persegi. Polis telah memaklumkan kepada keluarganya mengenai kejadian ini,” katanya.

    Beliau berkata, kes tersebut disiasat sebagai orang hilang dan buat masa ini tidak terdapat elemen jenayah. – Bernama

  • Wanita maut motosikal rempuh pembahagi jalan

    Wanita maut motosikal rempuh pembahagi jalan

    SEORANG wanita maut selepas motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan sebelum merempuh pembahagi jalan di Kilometer 182.6 Lebuhraya utara selatan arah utara, Bagan Serai petang semalam.

    Mangsa, Lau Boon Lan, 47, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah, lapor Astro Awani hari ini.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden pada pukul 6.08 petang.

    Seterusnya anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai bergegas ke lokasi kejadian.

    “Setibanya jentera di lokasi mendapati kemalangan membabitkan sebuah motosikal skuter jenis Honda Vario telah terbabas dan melanggar pembahagi jalan.

    “Mangsa disahkan maut oleh pihak ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) yang hadir di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan.

    Kenyataan itu memberitahu, anggota bomba kemudiannya bertindak membantu mengangkat mayat dan mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

    Operasi yang diketuai oleh PBK II Zakaria Mustafa itu tamat pada pukul 6.54 petang.

  • Warga emas maut dalam kebakaran rumah kedai

    Warga emas maut dalam kebakaran rumah kedai

    SEORANG wanita warga emas meninggal dunia dalam kebakaran rumah kedai dua tingkat yang disewanya di Jalan Hang Kasturi, Jonker Walk, Melaka, pukul 9.30 malam tadi.

    Mangsa melecur hampir 70 peratus pada anggota badan ditemukan di tingkat atas unit rumah kedai itu yang didiami sejak lebih 70 tahun.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Raiz Mukhliz Azman Aziz, mangsa yang maut dikenali sebagai Koo Kim Foong.

    Menurutnya, hasil temubual dengan anak mangsa difahamkan wanita itu tinggal seorang diri di rumah kedai terbabit yang disewakan kepada keluarganya.

    Pihaknya menerima panggilan daripada Malaysian Emergency Response Services 999 (MERS 999) pada 9.35 malam sebelum pasukan bomba tiba lapan minit kemudian.

    “Mengikut saksi yang juga anak mangsa, ibunya berusia 75 tahun tinggal sendirian di bangunan itu.

    “Selepas 30 minit api dipadamkan, pasukan bomba menemui mayat mangsa di tingkat atas rumah kedai terbabit dan pemeriksaan mendapati mangsa melecur antara 60 hingga 70 peratus di bahagian paha dan perut,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Raiz Mukhliz berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat dan setakat ini kes diklasifikasikan kematian mengejut.

    “Siasatan lanjut masih dijalankan oleh unit Forensik Bomba bagi mengetahui punca kebakaran,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Zon Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Melaka, Mohd. Khairul Nizam Mohd. Anuar memaklumkan seramai 23 pegawai dan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Melaka Tengah dan Padang Temu dikejarkan ke lokasi kejadian.

    “Kebakaran dapat dikawal dalam masa 20 minit dan padam sepenuhnya pada 9.42 malam,” katanya.