Category: Kemalangan / Bencana

  • 2 pekerja maut di Stadium Sultan Ibrahim jatuh dari ketinggian 27 meter

    2 pekerja maut di Stadium Sultan Ibrahim jatuh dari ketinggian 27 meter

    DUA mangsa yang dilaporkan maut di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri semalam, dipercayai terjatuh dari bumbung kanvas ke atas pagar ‘British Reinforced Concrete’ (BRC) stadium pada ketinggian dianggarkan 27 meter.

    Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor, Husdin Che Amat berkata, jabatan itu telah menghantar sepasukan pegawai penyiasat untuk menjalankan siasatan berhubung kes kemalangan itu yang melibatkan dua lelaki warga tempatan berusia 34 dan 35 tahun.

    “Hasil siasatan awal mendapati bahawa kedua-dua mangsa yang bekerja sebagai juruteknik ditugaskan secara berpasangan bagi membuat kerja-kerja pembersihan bumbung kanvas stadium menggunakan teknik ‘rope access’ di atas kawasan berdekatan pintu masuk Gate A berhadapan Ibu Pejabat Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT).

    “Bagaimanapun, kedua-dua mangsa dilaporkan terjatuh dari atas bumbung kanvas ke atas pagar BRC (anggaran ketinggian 27 meter) dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Husdin berkata, JKKP memandang serius setiap kemalangan serta penyakit pekerjaan yang berpunca daripada aktiviti pekerjaan dan siasatan lanjut akan dijalankan bagi melengkapkan hasil siasatan.

    Beliau berkata, tindakan perundangan akan diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya terdapat pelanggaran peraturan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

    “Pekerja yang bekerja di tempat tinggi terdedah kepada risiko bahaya, namun ia boleh dikurangkan sekiranya majikan menggunakan instrumen (peralatan) yang sistematik terdiri daripada tiga proses utama iaitu pengenalpastian hazard (bahaya), penaksiran risiko dan kawalan risiko (HIRARC).

    “Selain itu, majikan juga boleh merujuk kepada Garis Panduan Pencegahan Jatuh di Tempat Kerja yang dikeluarkan oleh JKKP pada 2007,” katanya.

    Semalam, dua pekerja pembersihan kontrak di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, dilaporkan maut terjatuh ketika membuat kerja-kerja pembersihan di stadium berkenaan kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat dilaporkan berkata, kedua-dua mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – BERNAMA

  • Lelaki warga emas maut dihempap forklift

    Lelaki warga emas maut dihempap forklift

    SEORANG pengendali forklift maut dihempap oleh jentera angkat-susun itu ketika beliau sedang menjalankan kerja mengangkat sebuah mesin berat di Pelabuhan Sandakan pagi tadi.

    Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dalam kenyataan berkata, insiden kira-kira pukul 5.30 pagi itu mengakibatkan Said Hassan yang berumur sekitar 60-an, meninggal dunia di tempat kejadian.

    Kejadian berlaku apabila forklift itu dipercayai tiba-tiba tumbang ketika ia sedang mengangkat sebuah mesin berat, dan bahagian kepala pengendali jentera itu tersepit di sisi kiri bumbung forklift berkenaan.

    Menurut bomba, operasi mengeluarkan mayat Said dijalankan dengan menggunakan sebuah lagi forklift. – BERNAMA

  • 2 pekerja pembersihan maut terjatuh di Stadium Sultan Ibrahim

    2 pekerja pembersihan maut terjatuh di Stadium Sultan Ibrahim

    DUA pekerja pembersihan kontrak di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, maut terjatuh ketika membuat kerja-kerja pembersihan, tengah hari tadi.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi, didapati dua pekerja lelaki berusia 34 dan 35 tahun itu, maut di tempat kejadian.

    “Kedua (mangsa) warga tempatan dan kejadian (berlaku) lebih kurang jam 12.30 tengah hari semasa melakukan kerja pembersihan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Beliau berkata, bagaimanapun siasatan lanjut masih dilakukan termasuk bagi mengenal pasti punca kejadian.

    Kamarul Zaman berkata, kedua-dua mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

    Sementara itu, Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi, menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dan bersimpati di atas kejadian yang menimpa pekerja daripada syarikat pembersihan profesional, yang dikontrakkan oleh JDT untuk menyelenggara fasiliti.

    JDT pada masa sama turut memaklumkan sedang menunggu laporan penuh mengenai insiden itu daripada pihak berwajib, dan syarikat yang dikontrakkan untuk menyelenggara Stadium Sultan Ibrahim. – BERNAMA

  • Budak 5 tahun rentung, ibu, bayi melecur teruk dalam kebakaran

    Budak 5 tahun rentung, ibu, bayi melecur teruk dalam kebakaran

    SEORANG kanak-kanak berusia lima tahun ditemui rentung manakala adik dan ibunya melecur dalam kebakaran Rumah panjang Polly Anak Sulau di Bukong Asal dekat Jalan Lidong, Betong pukul 9.22 pagi tadi.

    Mangsa, Rezdesson Carlos Robson rentung manakala adiknya, Elsa Amanda,2, dan ibunya Ency Shaylla, 25, melecur sehingga 50 peratus.

    Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak, Henderi Ardimansyah berkata, semasa kejadian terdapat seramai 59 penghuni berada di rumah panjang 11 pintu.

    “Sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Betong diatur gerak ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan.

    “Mangsa ditemukan rentung di ruang dapur bilik nombor 11 semasa kerja-kerja overhaul dilakukan,” katanya memetik laporan Astro Awani.

    Sementara itu, dua lagi mangsa melecur telah dihantar ke Hospital Betong bagi mendapatkan rawatan lanjut.

    “Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    “Setakat ini punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

  • Tukang masak ditemukan meninggal dunia di tepi jalan

    Tukang masak ditemukan meninggal dunia di tepi jalan

    SEORANG tukang masak ditemukan meninggal dunia semasa ingin menongkat motosikal di tepi jalan dekat Taman Cengal Emas, Subai Petani, kira-kira 12 tengah hari semalam.

    Seorang saksi melihat Tan Kean Ong, 55, rebah di hadapan rumahnya menyebabkan bertindak mendapatkan bantuan.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, bagaimanapun, pasukan perubatan yang tiba ke lokasi kejadian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

    “Saksi ternampak mangsa berhenti dan semasa ingin menongkat motosikal, dia telah terjatuh dan tidak sedarkan diri.

    “Maklumat dari ahli keluarga memaklumkan, lelaki terbabit bekerja sebagai tukang masak dan tinggal seorang diri setelah berpisah dengan bekas isteri serta sentiasa berpindah rumah sewa.

    “Kali terakhir mereka bertemu ialah pada sambutan Tahun Baharu Cina 2022,” katanya menurut laporan Sinar Harian, hari ini.

    Menurut Zaidy, proses sanitasi dilakukan pihak kesihatan di lokasi kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim bagi tujuan ujian swab Covid-19 serta bedah siasat.

  • Tiga sahabat maut kereta bertembung lori tangki minyak

    Tiga sahabat maut kereta bertembung lori tangki minyak

    TIGA sahabat lelaki maut manakala dua lagi cedera parah apabila kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori tangki minyak di Kilometer 7 Jalan Maharajalela di Teluk Intan, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Ahmad Adnan Basri berkata, kejadian pada pukul 9.40 malam itu dimaklumkan oleh orang awam kepada pihak polis yang melibatkan mangsa lima sahabat lelaki berusia lingkungan 19 hingga 26 tahun yang menaiki kereta Volkswagen.

    “Pemandu kereta berusia 26 tahun dan seorang penumpang berumur 19 tahun mengalami cedera parah manakala pemandu lori tangki minyak itu tidak cedera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kereta Volkswagen itu dari arah Hutan Melintang menuju ke Teluk Intan sebelum bertembung dengan lori tangki minyak tersebut.

    Menurutnya, kesemua mayat mangsa dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat. – BERNAMA

  • [VIDEO] 2 wanita maut dalam kebakaran lima rumah

    [VIDEO] 2 wanita maut dalam kebakaran lima rumah

    DUA wanita maut dalam kebakaran yang memusnahkan lima rumah di Kampung Titingan, Jalan Tawau Lama di Tawau awal pagi tadi.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Julius John Stephen Jr berkata, mayat Kamisah Mapiasah, 40, dan Sadiah Jabar, 70, ditemukan dalam sebuah rumah jenis dua tingkat.

    “Sepasukan 19 pegawai dan anggota bomba bersama dua jentera bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada 12.53 tengah malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, operasi pemadaman yang tamat sepenuhnya pada 3 pagi turut dibantu anggota Bomba Komuniti Sri Titingan.

    https://www.tiktok.com/@itsmy20life/video/7108095804509883674?is_copy_url=1&is_from_webapp=v1&q=kebakaran%20kampung%20titingan&t=1655005382991

    Katanya, punca kebakaran dan jumlah kerugian sedang disiasat. – BERNAMA

  • Polis cari saksi kes kemalangan empat maut di NKVE

    Polis cari saksi kes kemalangan empat maut di NKVE

    POLIS meminta orang awam yang mempunyai maklumat insiden kemalangan yang menyebabkan empat maut di susur keluar arah Subang menghala Kelana Jaya di Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) awal pagi tadi, agar tampil membantu siasatan.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata mereka boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam Inspektor Muhammad Hanif Sukri di talian 014-8066744.

    “Kesemua mayat dibawa ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat. Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca dan sebab kematian. Kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan.

    Media pagi tadi melaporkan empat termasuk dua wanita maut manakala seorang lelaki cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua kereta di susur keluar arah Subang menghala Kelana Jaya di Lebuh NKVE, awal pagi tadi. 

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata bertindak atas panggilan yang terima pada pukul 4.11 pagi tadi, pihaknya mengenal pasti mangsa yang maut sebagai P. Puvaaneshwaran, 28; Lai Mun Fai, 28; Eng Siew Hooi, 31 dan Leong Man Yuen, 27 manakala mangsa yang parah dikenali sebagai Heng Chan Yee, 28.–Bernama

  • Jenazah dua beradik, sepupu mangsa lemas dikebumi dalam satu liang lahad

    Jenazah dua beradik, sepupu mangsa lemas dikebumi dalam satu liang lahad

    JENAZAH dua beradik bersama sepupu mereka yang lemas ketika berkelah di kawasan Air Terjun Lata Changkah, Ulu Seladang, Setiu selamat dikebumikan awal pagi tadi.

    Allahyarhamah Syariatul Nurfatihah Mohd. Dera, 28, dan adiknya, Syariatul Noor Syafiqa, 26, serta sepupu mereka, Siti Aisyah Mazalan, 19, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Hilir Maras, Batu Rakit pada pukul 4.30 pagi tadi.

    Terdahulu, jenazah tiga mangsa tiba di pekarangan Surau Kampung Hilir Maras pukul 2.50 pagi sebelum disembahyangkan.

    Lebih 200 orang terdiri daripada ahli keluarga, saudara mara dan penduduk kampung termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, Bazlan Abd Rahman turut hadir bagi memberi penghormatan terakhir, lapor Harian Metro.

    Suasana pilu menyelubungi kawasan perkuburan ketika jenazah diturunkan ke liang lahad satu persatu.

    Sebelum itu, tiga mangsa yang lemas di kawasan perkelahan berkenaan dibawa ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk tindakan lanjut.

    Sebelum ini media melaporkan dua beradik antara tiga sekeluarga yang ditemukan lemas selepas berkelah di kawasan Air Terjun Lata Changkah, Ulu Seladang Setiu.

  • Bomba selamatkan wanita jatuh jambatan

    Bomba selamatkan wanita jatuh jambatan

    BERPANTANG maut sebelum ajal, begitulah nasib seorang wanita yang berjaya diselamatkan selepas terjatuh dari Jambatan Tanjung Lumpur Kuantan pada awal pagi ini.

    Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani, mangsa diselamatkan dengan bantuan nelayan tempatan yang kebetulan berada berhampiran lokasi kejadian.

    Menurutnya, Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan melalui Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999 pada pukul 5.08 pagi.

    Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan diarahkan ke lokasi kejadian.

    “Tindakan pantas pasukan bomba meminta bantuan nelayan berhampiran telah berjaya menyelamatkan mangsa,” katanya, lapor Sinar Harian hari ini.

    Ismail berkata, mangsa dibawa ke tebing dan diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk rawatan lanjut.

    “Operasi ditamatkan pada pukul 5.52 pagi,” katanya.