Category: Kemalangan / Bencana

  • Jurutera mati jatuh dari bumbung kilang

    Jurutera mati jatuh dari bumbung kilang

    JABATAN Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor menyiasat kes seorang jurutera yang maut selepas terjatuh dari bumbung sebuah kilang pembuatan logam di Jalan Kebun, Kampung Jawa, Klang dekat sini, Rabu lepas.

    JKKP Selangor dalam kenyataan memaklumkan, lelaki berusia 23 tahun itu terjatuh dari ketinggian 20 meter dan siasatan dijalankan selepas menerima maklumat melalui sistem dalam talian MyKKP.

    “Hasil siasatan awal, mangsa didapati merupakan seorang jurutera syarikat kontraktor projek pemasangan sistem solar di kilang tersebut. Ketika kejadian, mangsa dan rakannya telah naik ke bumbung lut sinar itu untuk membuat pemerhatian dan didapati telah jatuh dari bumbung itu,” menurut kenyataan itu.

    Menurut JKKP Selangor, mangsa telah diberikan bantuan kecemasan namun gagal dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan paramedik.

    Susulan siasatan tersebut, JKKP Selangor telah mengeluarkan Surat Arahan Larangan Kacau Ganggu tempat kejadian kepada pihak majikan dan Notis Larangan Serta-merta juga dikeluarkan di atas kegagalan pihak majikan mengadakan sistem kerja selamat untuk bekerja di tempat tinggi dengan tidak menyediakan tali keselamatan.

    JKKP Selangor memaklumkan turut dikeluarkan adalah Notis Pembaikan bagi kegagalan majikan mengawal pergerakan keluar masuk pelawat (pekerja kontrak) dan tidak mengeluarkan permit untuk kerja (PTW) untuk melakukan kerja tersebut.

    Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan dan pihak bertanggungjawab ke atas kemalangan tersebut.

    “JKKP Selangor akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

    “Kejadian seumpama ini boleh dielak jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC),” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

  • Wanita maut bas rempuh treler

    Wanita maut bas rempuh treler

    SEORANG penumpang bas persiaran maut apabila kenderaan itu terlibat dalam satu kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer (KM) 425.8 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) menghala ke selatan di Hulu Selangor, awal pagi ini.

    Mangsa, Hamaizah Fadzilah, 54, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dalam nahas kira-kira pukul 4.30 pagi itu, lapor Berita Harian.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada pukul 4.32 pagi.

    Susulan itu, beliau berkata, sepasukan 15 pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa digerakkan ke lokasi kejadian.

    “Menurut laporan awal, kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran membawa 40 penumpang menghala ke selatan yang dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah treler 20 tan dari arah sama.

    “Terdapat seorang penumpang wanita duduk di kerusi paling hadapan, tersepit di bahagian yang remuk,” kata Norazam dalam satu kenyataan hari ini.

    Tambahnya, pasukan bomba kemudian segera melakukan operasi untuk mengeluarkan mangsa manakala pemandu bas dan penumpang lain yang tidak cedera keluar dari kenderaan tersebut dan berkumpul di kawasan yang selamat.

    “Kedua-dua pemandu (bas dan lori), masing-masing berusia 54 dan 70 tahun bersama penumpang bas yang lain tidak tersepit serta dilaporkan tiada mengalami kecederaan.

    “Pada pukul 5.13 pagi, mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya.

    Beliau berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

  • Lelaki maut, MPV terbabas hempap bumbung rumah

    Lelaki maut, MPV terbabas hempap bumbung rumah

    SEORANG lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas dan menghempap bumbung sebuah rumah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Batu 29, Jalan Kuching-Serian, Sarawak, pagi tadi.

    Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Serian, Bilong Usat berkata, kemalangan berlaku pukul 6.55 pagi itu membabitkan mangsa berusia 50-an yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova.

    Katanya, semua mangsa dalam kemalangan membabitkan MPV Toyota Innova, Perodua Kancil dan motosikal itu terdiri empat orang dengan tiga daripadanya cedera ringan.

    “Pemandu Toyota Innova yang masih berada di tempat duduk pemandu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan.

    “Anggota pasukan BBP Serian kemudian membantu mengangkat dan mengalihkan mangsa dari dalam kenderaan seterusnya menyerahkannya kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Satu Berita.

    Bilong berkata, mangsa yang cedera diberikan rawatan awal oleh pegawai perubatan dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Serian sebelum dihantar ke Hospital Serian untuk rawatan lanjut.

  • 4 mayat terapung ditemukan nelayan, pemancing dalam masa 48 jam

    4 mayat terapung ditemukan nelayan, pemancing dalam masa 48 jam

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    EMPAT mayat lelaki ditemukan terapung oleh nelayan dan pemancing di lokasi berbeza sekitar perairan Kota Tinggi, sejak kelmarin melibatkan tiga lokasi berbeza dalam tempoh masa 48 jam.

    Penemuan berkenaan dilaporkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Johor sebelum operasi mengambil mayat tersebut dilakukan.

    Timbalan Pengarah (Operasi) Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd. Najib Sam berkata, pihaknya menerima maklumat penemuan dua mayat terapung oleh nelayan tempatan di perairan Pulau Lima, masing-masing pada 12.50 tengah hari dan 1.10 tengah hari kelmarin.

    “Dua mayat itu dinaikkan di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sungai Musoh pada pukul 4.30 petang kelmarin.

    “Pada pagi semalam, jam 10.30 pagi, maklumat pertama diterima daripada pemancing yang menemui satu mayat terapung di kedudukan 8.6 batu nautika timur laut Tanjung Balau, aset digerakkan ke lokasi bagi proses mengambil mayat.

    “Seterusnya, pada 12.40 tengah hari, satu lagi mayat ditemukan oleh nelayan tempatan di kedudukan 16 batu nautika timur laut Tanjung Sedili Besar.

    “Kemungkinan ada berlaku bot karam namun sehingga hari ini, MRSC JB atau mana-mana balai polis belum menerima sebarang aduan orang hilang di laut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    APMM juga merujuk kepada pihak berkuasa Indonesia tetapi dimaklumkan bahawa tiada laporan orang hilang setakat in

    Menurut Mohd. Najib, kesemua mayat yang ditemui disyaki warga asing.

    “Empat mayat itu telah diserahkan kepada polis dan seterusnya dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk tindakan lanjut.

    “Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini boleh menyalurkan terus kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-2199401 yang beroperasi 24 jam,” katanya.

  • Tiada feri terbakar di perairan Langkawi semalam 

    Tiada feri terbakar di perairan Langkawi semalam 

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menafikan dakwaan yang tular di media sosial kononnya terdapat feri penumpang yang terbakar di perairan Langkawi, semalam.

    Menurut Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa, klip video memaparkan kejadian itu yang dimuat naik seorang pengguna Facebook bersama dakwaan tersebut sebenarnya adalah insiden yang berlaku pada 2019.

    Malah katanya, syarikat pengendali perkhidmatan feri yang terbakar itu juga sudah tidak lagi beroperasi.

    “Video tersebut dipercayai sengaja ditularkan semula oleh pihak tidak bertanggungjawab tanpa memikirkan kesan terhadap indusrti pelancongan Langkawi.

    “Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menularkan gambar dan video lama itu bagi mengelakkan kekeliruan dan menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

    Katanya, orang ramai yang mempunyai pertanyaan atau maklumat mengenai kecemasan di perairan boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 atau talian kecemasan 999.

  • Pekerja ladang warga India ditemukan lemas

    Pekerja ladang warga India ditemukan lemas

    SEORANG pekerja ladang warga India, Karthikeyan Ayyadurai, 25, yang dilaporkan hilang ketika mandi sungai di jeti Waterfront Bagan Datuk di Bagan Datuk, ditemukan lemas pukul 7.30 petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, jasad lelaki yang berkerja di sebuah ladang di Hutan Melintang ditemui lengkap berpakaian di perairan Kampung Pasang Api, kira-kira dua kilometer dari lokasinya dilaporkan hilang.

    “Sebelum itu mangsa dilaporkan hilang ketika mandi sungai pukul 5.30 petang kelmarin.

    “Rakan sekerjanya melihat mangsa terjun ke sungai sebelum dihanyutkan arus deras. Dia kemudiannya menghubungi polis memaklumkan kejadian,” katanya pada kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

    Menurut beliau, pihaknya mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

    “Mayat dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

  • Mayat lelaki lemas jatuh jambatan ditemui

    Mayat lelaki lemas jatuh jambatan ditemui

    SELEPAS hampir 12 jam operasi mencari dan Menyelamat (SAR) dilakukan, akhirnya mayat seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam Sungai Kuantan dari jambatan Jalan Tanah Putih tengah malam tadi, ditemui hari ini.

    Mayat lelaki berusia 37 tahun itu ditemui pada pukul 10.15 pagi sejauh enam kilometer dari lokasi dia dipercayai terjatuh.

    Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

    Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa digerakkan selepas pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 12 tengah malam.

    Katanya, seramai 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan diarah ke lokasi bersama Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA).

    “Operasi tersebut turut mendapat bantuan daripada polis dan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM),” katanya, lapor Sinar Harian.

    Zulfadli berkata, operasi pencarian turut dibantu anjing pengesan.

    Kejadian orang terjatuh jambatan itu adalah yang kedua berlaku di daerah ini dalam tempoh empat hari.

  • Klinik terbakar:Perkhidmatan klinik bergerak diwujudkan

    Klinik terbakar:Perkhidmatan klinik bergerak diwujudkan

    SEBUAH klinik perkhidmatan bergerak ditubuhkan untuk memberikan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk yang terkesan akibat kejadian kebakaran Klinik Kesihatan mansiat di Jalan Tulid, Kota Kinabalu, lewat petang semalam.

    Pengarah Kesihatan Sabah Datuk Dr Rosa Nani Mudin berkata fasiliti lain juga akan dikenal pasti bagi tujuan itu, seperti dewan masyarakat untuk dijadikan sebagai fasiliti alternatif untuk memberi perkhidmatan kesihatan kepada penduduk setempat.

    Beliau berkata, penduduk terlibat terutama di kawan Mansiat juga boleh mendapatkan perkhidmatan kesihatan di klinik kesihatan terdekat iaitu Klinik Kesihatan Tulid terletak kira-kira 30 kilometer dari pekak Sook.

    “Semua perkhidmatan (kesihatan) akan dipindahkan ke fasiliti itu (Klinik Kesihatan Tulid),” katanya, menurut laporan Bernama.

    Mengulas kejadian petang semalam, Dr Rosa Nani berkata seluruh bangunan klinik berstruktur kayu dan aset dalam fasiliti klinik itu termasuk sebuah ambulans musnah sepenuhnya, namun lima unit kuarters staf terletak kira-kira 50 meter dari klinik itu tidak terjejas.

    Semalam, Klinik Kesihatan Mansiat yang terletak kira-kira 40 kilometer dari pekan Keningau dan memberi khidmat kepada penduduk sejak 1970an musnah dalam kebakaran dan kejadian tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa manakala punca kejadian dan kerugian masih disiasat.

  • Gagal memotong, pegawai polis maut digilis lori

    Gagal memotong, pegawai polis maut digilis lori

    SEORANG anggota polis pangkat inspektor maut selepas digilis sebuah lori di Kilometer 11 Lebuhraya Grandsaga arah Kuala Lumpur di Kuala Lumpur, pukul 4.45 petang semalam.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, mangsa, Mohd. Farhan Zahari dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

    “Ketika kejadian, mangsa menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumah di Gombak selepas mengikuti kursus di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    “Siasatan mendapati semasa tiba di lokasi kejadian, mangsa cuba memotong sebuah lori di bahu kiri jalan namun keadaan jalan berpasir menyebabkan motosikal mangsa hilang kawalan lalu terjatuh di hadapan tayar lori.

    “Akibatnya, mangsa digilis oleh lori yang sedang bergerak terus di laluan sah,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

    Berikutan kejadian itu, Azman berkata, mangsa yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia.

    Katanya, mayat dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Kereta polis antara lebih 100 kenderaan musnah terbakar

    Kereta polis antara lebih 100 kenderaan musnah terbakar

    LEBIH 100 kereta termasuk kereta polis musnah dalam kebakaran di tempat penyimpanan kereta terpakai di Jalan Bendahara, Kampung Temiang di Ipoh pagi tadi.

    Komander Operasi, Mohamad Fadzeli Che Husin ketika dihubungi Bernama berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada 10.30 pagi.

    Beliau berkata, 40 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh dan Kuala Kangsar serta Pasukan Bomba Sukarela dari Pekan Baru, Pasir Pinji dan Menglembu dikerah ke lokasi kejadian.

    Katanya, operasi pemadaman tamat pada 1.34 tengah hari dan tiada kemalangan jiwa mahupun mangsa terlibat dalam kebakaran itu.

    Menurut Mohamad Fadzeli, anggaran kemusnahan adalah 80 peratus dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

    Sementara itu, seorang pekerja di tempat penyimpanan terbabit S. Raju, 26, berkata, dia ternampak kepulan asap dari jauh dan bergegas ke tempat kejadian sebelum menghubungi pihak bomba. – BERNAMA