Category: Kemalangan / Bencana

  • Pemandu, lima cedera bas kilang ke Singapura terbabas

    Pemandu, lima cedera bas kilang ke Singapura terbabas

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEBUAH bas kilang yang membawa sembilan penumpang hilang kawalan sebelum melanggar bantuan konkrit jambatan di susur Kilometer 16 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam, Johor Bahru, hari ini.

    Kemalangan pada pukul 5.30 pagi itu mengakibatkan bas berkenaan terbabas ke bahu kiri jalan berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Assiten Komisioner Rupiah Abd Wahid memberitahu, insiden itu berlaku semasa bas kilang tersebut dalam perjalanan dari Taman Ungku Tun Aminah, SKudai, Johor Bahru ke Singapura.

    Katanya, pemandu bas, 57, bersama lima penumpang dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk mendapat rawatan lanjut.

    “Sementara empat penumpang lain tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Johor Bahru, hari ini.

    Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan denda RM5,000 hingga RM10,000 serta boleh dipenjara 12 bulan jika sabit kesalahan.

    Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kes tersebut supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara menerusi talian 07-5563122.

  • Alat memasak stimbot meletup, 4 sekeluarga cedera

    Alat memasak stimbot meletup, 4 sekeluarga cedera

    EMPAT sekeluarga termasuk dua kanak-kanak cedera apabila alat memasak stimbot di sebuah restoran meletup dalam kejadian di Alam Mesra di Kota Kinabalu, malam tadi.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Misran Bisara berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada pukul 9.06 malam dan 16 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Lintas dikejarkan ke lokasi kejadian.

    “Mangsa mengalami kecederaan ringan pada kulit akibat letupan dari dapur alat memasak stimbot ketika mula dihidupkan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Beliau berkata, mangsa kanak-kanak yang cedera itu dihantar orang awam ke hospital sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.

    “Mangsa dewasa diberi rawatan awal pihak Kementerian Kesihatan di lokasi sebelum dibawa ke hospital menggunakan ambulans,” katanya menambah pihak bomba melakukan pemeriksaan menyeluruh di restoran berkenaan bagi memastikan tiada unsur bahaya dan operasi ditamatkan pada pukul 9.41 malam. – BERNAMA

  • Warga emas maut tertembak diri sendiri di kebun durian

    Warga emas maut tertembak diri sendiri di kebun durian

    SEORANG lelaki warga emas maut dipercayai tertembak diri sendiri ketika berada dalam kebun durian miliknya di Kampung Kongsi Dalam, Sungai Kob Karangan, dekat Kulim, hari ini.

    Kejadian berkenaan disedari seorang penoreh getah bersebelahan kebun mangsa yang melihat warga emas itu dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di tangan kanan pada pukul 9 pagi.

    Lelaki berusia 56 tahun yang menemukan warga emas tersebut kemudian menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian dan pemeriksaan lanjut mendapati mangsa berusia 72 tahun sudah meninggal dunia dipercayai akibat terkena tembakan.

    Menurut sumber, sebelum itu pada jam 7 pagi, saksi mendakwa dia ada bertemu dan berbual dengan mangsa yang turut mengajaknya mengutip durian.

    “Saksi berkenaan juga mendakwa mangsa datang ke kebun terbabit dengan menunggang motosikal dan turut membawa senapang patah yang digantung di bahu.

    “Bagaimanapun, dia mendakwa tidak perasan atau mendengar sebarang tembakan serta letupan ketika kejadian kerana mungkin disebabkan bunyi air sungai berhampiran,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Sumber berkata, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat sebuah pondok tidak jauh daripada mangsa ditemui terbaring dan polis turut menemui motosikal miliknya di kawasan berkenaan.

    “Siasatan di dalam pondok terbabit menemui selaras senapang patah dan polis turut mengesan cebisan isi dipercayai akibat kecederaan tangan mangsa yang terlekat pada dinding.

    “Selain itu, pemeriksaan juga menemui kesan lubang di dinding serta bumbung di pondok berkenaan yang dipercayai akibat tembakan peluru,” katanya.

    Menurutnya, mangsa kemungkinan terlepas tembakan secara tidak sengaja yang menyebabkan peluru terkena tangan kanannya hingga berlaku pendarahan yang banyak sebelum dia meninggal dunia.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Mohd. Redzuan Salleh berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes terbabit namun setakat ini ia diklasifikasi sebagai mati mengejut.

    “Punca kematian akan diketahui selepas proses bedah siasat esok dan setakat ini siasatan kita mendapati tiada sebarang unsur jenayah ditemui dalam kes berkenaan,” katanya.

  • Budak perempuan 4 tahun lemas di taman tema air

    Budak perempuan 4 tahun lemas di taman tema air

    SEORANG kanak-kanak perempuan ditemukan lemas di sebuah taman tema air di Temerloh semalam.

    Mangsa yang berumur empat tahun itu disahkan maut selepas lemas di kolam bahagian kanak-kanak yang berkedalaman kira-kira 0.15 meter.

    Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd. Azhar Mohd. Yusoff berkata, pihaknya telah menerima laporan mengenai kejadian pada pukul 8.42 malam tadi.

    “Satu laporan polis telah dibuat oleh seorang lelaki berumur 45 tahun berkenaan kejadian anaknya meninggal dunia disebabkan lemas bertempat di taman tema air tersebut.

    “Hasil siasatan polis mendapati pengadu telah pergi ke tempat tersebut pada pukul 5 petang bersama keluarganya.

    “Pada pukul 6 petang, anak saudara pengadu memaklumkan bahawa anak perempuannya berumur empat tahun telah lemas di kolam bahagian kanak-kanak terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata, mangsa telah dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk rawatan, namun telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

    Katanya, satu bedah siasat telah dibuat hari ini dan didapati punca kematian adalah disebabkan lemas.

    Menurutnya, kes telah diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

  • Pintu 4 premis di sebuah pasar raya pecah akibat letupan

    Pintu 4 premis di sebuah pasar raya pecah akibat letupan

    EMPAT pintu empat p remis dalam sebuah pasar raya di Demak Laut, di Kuching, pecah dipercayai akibat letupan dalam kejadian pada pukul 6.48 pagi ini.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, berkata, susulan itu sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jayake dikejarkan ke lokasi kejadian.

    “Sejurus jentera tiba di lokasi, Komander Operasi yang juga Ketua BBP Tabuan Jaya, Mohamat Meramit melaporkan kejadian tidak membabitkan sebarang kebakaran.

    “Tetapi berlaku kejadian letupan yang menyebabkan pintu bangunan kedai ini pecah. Premis yang terbabit ialah tiga kedai makan dan kedai pakaian di dalam pasar raya itu,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

    Bagaimanapun, beliau berkata punca kejadian masih belum dapat dipastikan.

    “Kejadian tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa dan siasatan akan dilakukan oleh pihak Forensik Kebakaran Zon 1 bagi mengetahui punca sebenar letupan,” katanya.

  • 2 remaja dikhuatiri lemas, 4 selamat ketika mandi sungai

    2 remaja dikhuatiri lemas, 4 selamat ketika mandi sungai

    DUA remaja dikhuatiri lemas manakala empat lagi rakan mereka selamat ketika mandi sungai di Kampung Pogunon, Penampang, pukul 4 petang semalam.

    Semua remaja lelaki berusia 17 tahun dikenali sebagai Harold Walter dan Tomansi Olaf dilaporkan hanyut manakala Jeremiah Maxwell, Constant Felix, Jameson Johnwai serta Bryan Lee berjaya diselamatkan.

    Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tingalan berkata, seramai 11 anggota bomba dikejar ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu.

    “Menurut maklumat terdapat enam mangsa, dua dipercayai lemas manakala empat lagi masih terperangkap di sungai ketika melakukan aktiviti mandi sungai bersama-sama.

    “Operasi menyelamatkan semua mangsa segera dilakukan. Empat yang terperangkap di sungai berjaya diselamatkan pasukan bomba dan tidak mengalami sebarang kecederaan namun dua lagi yang dipercayai hanyut belum ditemui,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Beliau berkata, operasi ditangguhkan pada pukul 10.48 malam tadi dan pencarian disambung bermula pukul 6.25 pagi tadi.

  • Beberapa lokasi di Ipoh dilanda banjir kilat

    Beberapa lokasi di Ipoh dilanda banjir kilat

    HUJAN lebat dan angin kencang menyebabkan beberapa kawasan di sekitar Bandaraya Ipoh dilanda banjir kilat petang ini.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai banjir melanda di pusat beli-belah Aeon Kinta City, Canning Garden dan Taman Cempaka bermula pukul 4.08 petang tadi.

    “Seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh serta Simpang Pulai segera dikerahkan bagi kerja-kerja menyelamat dan memantau keselamatan orang ramai,” katanya ketika dihubungi Bernama di Ipoh hari ini.

    banjir Ipoh
    Gambar: Bomba Perak

    Beliau berkata, hasil pemantauan mendapati terdapat kereta yang terperangkap di dalam kawasan banjir dan beberapa rumah dinaiki air namun paras air mulai surut pada kira-kira pukul 5 petang.

    “Semua mangsa dalam keadaan selamat dan tiada penduduk yang dipindahkan ke pusat pemindahan setakat ini,” katanya. – BERNAMA

  • Lelaki warga emas maut motosikal terperosok bawah treler

    Lelaki warga emas maut motosikal terperosok bawah treler

    SEORANG lelaki warga emas maut selepas motosikal yang ditunggangnya terperosok di bawah treler dalam insiden kemalangan di Jalan Industri Semambu 6, Semambu, Kuantan, semalam.

    Memetik laporan Sinar Harian, penunggang motosikal jenis Demak EX90 yang dikenali sebagai P Rajakamaran, 62, meninggal dunia di tempat kejadian dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi itu.

    Pembonceng motosikal, V Karthigesu, 18, dan pemandu treler, Muhamad Alif Jani, 30, tidak mengalami sebarang kecederaan.

    Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati kemalangan tersebut berlaku ketika treler tanpa muatan itu dalam perjalanan dari arah Jalan Industri Semambu 6 menghala ke Jalan Industri Semambu 5.

    Beliau berkata, ketika tiba di lokasi kejadian, treler tersebut membelok ke kiri untuk memasuki simpang ke Jalan Industri Semambu 5.

    “Motosikal yang dinaiki mangsa bersama pembonceng yang datang dari arah sama terlanggar bahagian tayar hadapan treler berkenaan.

    “Mangsa terjatuh terperosok di bawah kenderaan itu bersama motosikalnya dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian ekoran kecederaan parah yang dialaminya,” katanya.

    Wan Mohd Zahari berkata, mayat mangsa berjaya dikeluarkan dengan bantuan bomba sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat.

    Menurut beliau, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Lori rempuh gerai makan, wanita melecur simbah sup panas

    Lori rempuh gerai makan, wanita melecur simbah sup panas

    SEBUAH  lori hilang kawalan dan merempuh dua gerai makan menyebabkan seorang wanita melecur akibat tersimbah sup panas dalam kejadian di Jalan Batu Balai-Chuchoh Puteri dekat Kampung Kenor, Kuala Krai, Kelantan.

    Dalam kejadian 5.30 petang semalam, mangsa berusia 31 tahun dikatakan sedang memasak sup di dapur sebelum lori tersebut merempuh gerainya.

    Memetik portal FMT, Ketua Polis Kuala Krai, Suzaimi Mohammad, berkata lori dinaiki lelaki berusia 55 tahun bersama anaknya berusia 17 tahun dalam perjalanan dari arah Telekong untuk pulang ke rumah mereka di Batu Balai, Kuala Krai.

    Katanya, wanita itu tidak sempat melarikan diri menyebabkan sup panas tertumpah ke badannya.

    Pemandu lori dan anaknya cedera selepas kenderaan dinaiki terbabas dan merempuh dua gerai di Kuala Krai. (Gambar Facebook)

    “Mangsa melebur 9% pada badan, manakala pemandu lori luka pada dahi dan terseliuh bahu kiri. Anaknya pula cedera di bahu kanan.

    “Semua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra di Kuala Krai untuk rawatan lanjut,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Suzaimi berkata, siasatan mendapati punca kemalangan disebabkan kecuaian pemandu lori kerana gagal mengawal kenderaan sehingga terbabas melanggar dua gerai makan.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Ahli Parlimen Jelutong terlibat kemalangan

    Ahli Parlimen Jelutong terlibat kemalangan

    AHLI Parlimen Jelutong, RSN Rayer terlibat kemalangan jalan raya di Batang Kali ketika dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, pagi tadi.

    Wakil rakyat daripada DAP itu kini dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan, lapor Sinar Harian.

    Insiden tersebut disahkan oleh pegawainya ketika dihubungi.