Category: Kemalangan / Bencana

  • Jenazah lima beranak selamat dikebumikan di Padang Rengas

    Jenazah lima beranak selamat dikebumikan di Padang Rengas

    JENAZAH lima beranak yang maut dalam kemalangan di Jalan Kuantan-Segamat, Pahang kelmarin selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Labu Kubong, malam tadi.

    Terdahulu, dengan diiringi kereta peronda polis, tiga van polis membawa semua jenazah ke rumah keluarga mereka di Kampung Labu Kubong dekat Lubuk Merbau sebelum disembahyangkan serta diberi penghormatan terakhir oleh kira-kira 300 ahli keluarga dan kenalan.

    Jenazah kemudiannya dibawa ke tanah perkuburan kira-kira 500 meter dari rumah keluarga mereka untuk disemadikan sekitar pukul 10 malam dalam suasana pilu serta penuh hiba dan hujan renyai.

    Kelima-lima mereka, Muhammad Rosli Ibrahim 33, bersama isterinya Nor Afiqah Abdullah Sani, 35, dan anak mereka Nur Safwa Irdina, 7, Nur Sofea Raida, 6, dan bayi lelaki Rizqy Ramadhan berusia setahun bulan maut dalam satu kemalangan kira-kira pukul 3 petang kelmarin.

    Kejadian tragis itu dipercayai berlaku apabila kereta jenis Toyota Corolla dipandu Muhammad Rosli dari arah Muadzam Shah menghala ke Kuantan telah memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah treler di Jalan Kuantan-Segamat. – BERNAMA

  • Warga emas rentung dalam kebakaran kedai keranda

    Warga emas rentung dalam kebakaran kedai keranda

    WARGA emas rentung dalam kebakaran membabitkan sebuah premis menjual keranda di Jalan Bunga Ray, Melaka, pukul 5.45 pagi tadi.

    Mayat mangsa, Loh Yock Sit, 77, ditemui dalam bilik air di tingkat dua rumah kedai berkenaan.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah, Timbalan Penguasa II Yazid Mohd Tahir, berkata pihaknya menerima panggilan kebakaran pukul 5.49 pagi

    Susulan panggilan itu dibuat, empat jentera bomba dikerahkan ke lokasi kejadian bersama 26 anggota.

    “Mangsa yang dipercayai bekerja di premis itu mungkin terperangkap di dalam bilik air ketika api marak. Api dapat dikawal pada jam 6.05 pagi,” kata Yazid, mengikut laporan Berita Harian.

    Menurutnya, ketika api mula reda, pihak bomba masuk ke premis bagi kerja pemadaman lanjut.

    “Daripada maklumat awam, mangsa ada di dalam premis dan kami melakukan pencarian sebelum mangsa ditemui.

    “Mayat dibawa ke Hospital Melaka untuk urusan selanjutnya,” katanya.

    Kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya pukul 7.08 pagi dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian serta anggaran kerugian.

  • Lelaki maut digilis bas persiaran

    Lelaki maut digilis bas persiaran

    SEORANG lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya digilis sebuah bas dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di kilometer (km) 6, Jalan Lapangan Terbang di Petaling Jaya, pukul 8.02 malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, motosikal mangsa melanggar tayar sebelah kanan sebuah jentolak lalu terjatuh di lokasi kejadian, berhadapan pusat beli-belah Citta Mall.

    “Mangsa seorang lelaki tempatan terlanggar tayar belakang sebuah jentolak menyebabkan mangsa jatuh lalu digilis oleh sebuah bas persiaran yang lalu tempat kejadian.

    “Mangsa yang berusia 43 tahun disahkan mati di tempat kejadian akibat kecederaan dialami,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Katanya, sesiapa yang melihat atau berada di tempat kejadian diminta tampil ke balai berhampiran atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Hafeez Faesal A Aziz di talian 01132311232.

  • Luluh hati ibu terima khabar anak, menantu, tiga cucu maut nahas

    Luluh hati ibu terima khabar anak, menantu, tiga cucu maut nahas

    LULUH hati seorang ibu apabila anak, menantu dan tiga cucu kesayangannya meninggal dunia serentak dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Jalan Kuantan-Gambang, Kuantan, Pahang, pukul 3.40 petang semalam.

    Nahas tersebut mengorbankan Muhammad Rosli Ibrahim, 32, bersama isteri, Nor Afiqah Abdullah Sani, 35, serta tiga anak, Nur Safwa Irdina,7; Nur Sofea Raida, 6, dan bayi lelaki dikenali sebagai Muhammad Rizqi berusia lingkungan 18 bulan.

    Abang kepada Muhammad Rosli, Mohd. Yusof, 35, berkata, ibu mereka, Rakiah Md. Noh hanya terdiam selepas diberitahu mengenai nahas yang meragut nyawa lima beranak itu.

    Pada peringkat awal ibunya tidak percaya namun selepas dia bertanya keadaan cucunya, dia terpaksa berterus terang.

    “Dia terkejut dan cakap ‘Allah anak aku’. Emak beritahu yang adik beria-ia mengajaknya ke Pahang. Dua kali dia ajak termasuk sebelum bertolak pada malamnya (Isnin).

    “Dia sempat telefon tetapi emak menolak kerana jarang ikut untuk perjalanan jauh,” katanya ketika ditemui di pekarangan rumah keluarga di Labu Kubong, Lubuk Merbau, Padang Rengas di hari ini, lapor Sinar Harian.

    Menurutnya, orang pertama tahu mengenai kejadian itu adalah abangnya yang menerima khabar menerusi kumpulan WhatsApp.

    “Ketika terima gambar kemalangan itu, saya terus cam kerana kereta Toyota Corolla itu baharu dibeli beberapa hari lalu daripada jiran.

    “Untuk sedapkan hati saya hubungi adik tetapi talian terputus kemudian saya hubungi adik ipar pula tetapi tidak berjawab. Saya yakin yang Rosli memang terlibat,” katanya.

    Mohd Yusof berkata, keadaan ibu mereka kini agak stabil dan reda meskipun sekali sekala dilihat mengalirkan air mata akibat terlalu sedih.

    “Arwah merupakan anak ke-10 daripada 13 beradik merupakan adik yang cukup ambil berat keadaan ibu dan ringan tulang.

    “Ada waktu terluang, dia akan singgah bertanya khabar ibu dan bantu bersihkan rumah meskipun sibuk bekerja sebagai pemandu bas.

    “Baru-baru ini kami ada berkumpul bersama di rumahnya di Bagan Serai mengadakan makan-makan.

    “Arwah sangat gembira ketika itu hingga belikan anak-anak saudaranya pakaian. Itulah kenangan terakhir kami bersama,” katanya.

    Katanya, mereka mengetahui perjalanan arwah ke Pahang selepas memuat naik gambar kereta yang diambil di Hentian Rehat dan Rawat Bukit Gantang di status WhatsApp.

    Tambahnya, pengecaman jenazah di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan akan dilakukan oleh kakak mereka yang menetap di Johor.

    “Urusan tuntutan jenazah akan dilakukan kakak kami dan kesemua akan dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Labu Kubong untuk dikebumikan dalam satu liang lahad,” katanya.

  • Bau busuk dedah pelajar universiti meninggal dunia dalam bilik

    Bau busuk dedah pelajar universiti meninggal dunia dalam bilik

    MISTERI bau busuk di sebuah kolej kediaman sebuah universiti di Serdang membawa kepada penemuan mayat lelaki di sebuah bilik, semalam.

    Kejadian tersebut dilaporkan kepada pihak polis dari pusat kawalan universiti berkenaan pada pukul 7.45 petang.

    Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A. Anbalagan berkata, mayat yang ditemui merupakan seorang pelajar jurusan sarjana Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi serta berumur 29 tahun.

    “Siasatan awal mendapati, mangsa mengambil kursus Master Sastera di semester enam (tahun akhir) dan tinggal di bilik kolej kediaman tersebut seorang diri.

    “Mayat mangsa ditemui dalam keadaan tidak memakai baju, berseluar panjang dalam keadaan baring terlentang di atas lantai tepi katil,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Katanya, siasatan awal di lokasi mendapati pintu bilik mangsa dalam keadaan berkunci dan tingkap tertutup rapat.

    “Selain itu, pemeriksaan mendapati barangan berharga seperti komputer riba dan telefon bimbit mangsa masih berada di dalam bilik.

    “Mayat mangsa ditemui pukul 4.30 petang oleh saksi kejadian kerana lama tidak berjumpa mangsa. Ketika itu, saksi terbau bau busuk dari bilik mangsa,” katanya.

    Menurutnya, saksi kemudian bersama beberapa kakitangan universiti berkenaan dan pelajar membuka pintu bilik mangsa menggunakan kunci pendua.

    “Apabila pintu dibuka, mangsa didapati berada dalam keadaan terbaring dan bilik berbau busuk.

    “Siasatan turut mendapati kali terakhir mangsa dijumpai adalah pada dua hari lalu,” katanya.

    Ujar Anbalagan, hasil siasatan di lokasi bagaimapun mendapati tiada unsur-unsur jenayah.

    “Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat,” katanya.

  • Pejalan kaki maut, melambung dirempuh MPV

    Pejalan kaki maut, melambung dirempuh MPV

    SEORANG Pejalan kaki maut dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kampung Dendang, Ketereh, pada pukul 12.40 tengah hari semalam.

    Dalam kejadian itu, mangsa, Che Hashiam Hassan, 46, maut di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Kominisoner Mohd. Rosdi Daud, siasatan awal mendapati, MPV jenis Honda Stream dinaiki dua lelaki dalam perjalanan dari arah Kok Lanas menghala ke Ketereh.

    Katanya, setibanya di Kampung Dendang MPV dipandu lelaki berusia 19 tahun itu dipercayai hilang kawalan selepas dipandu laju.

    “MPV tersebut kemudian terbabas ke kiri jalan lalu melanggar mangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada hari ini, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata, akibat pelanggaran itu, mangsa melambung dan terjatuh di atas laluan utama menghala ke Ketereh.

    Mohd. Rosdi berkata, MPV tersebut kemudian terlanggar bahagian hadapan sebelah kanan treler yang datang dari Ketereh menghala ke arah Kok Lanas.

    “Akibatnya MPV itu tercampak dan tersadai di bahu kiri jalan arah ke Ketereh.

    “Pemandu dan penumpang MPV itu dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan lanjut,” katanya.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41( (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Rumah disewa Ebit Lew terbakar, kecekapan bomba bantu selamatkan 11 nyawa

    Rumah disewa Ebit Lew terbakar, kecekapan bomba bantu selamatkan 11 nyawa

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KECEKAPAN dan kepantasan pihak bomba melaksanakan kerja-kerja menyelamat berjaya menyelamatkan nyawa 11 penghuni dalam kebakaran melibatkan dua buah rumah termasuk salah satunya merupakan rumah yang disewa pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew untuk sebuah keluarga asnaf di Taman Sri Taman 2 dekat Alor Setar, petang tadi.

    Menurut Timbalan Pengarah JBPM Kedah, Penolong Pesuruhjaya Bomba (PPjB) Syufaat Kamaron, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu menerusi talian kecemasan 999 dan tiba ke lokasi kira-kira lima minit kemudian.

    Menurutnya dalam rumah pertama iaitu rumah yang disewa Ebit untuk keluarga berkenaan, kalangan anggotanya bertindak pantas menyelamatkan sembilan mangsa terdiri daripada tiga perempuan dan enam kanak-kanak.

    “Di rumah yang 95 peratus terbakar itu, kami turut berdepan cabaran untuk menyelamatkan mangsa terakhir yang merupakan seorang wanita dewasa apabila dia cuba menyelamatkan diri dengan duduk di bilik air.

    “Dalam keadaan api marak, kami terpaksa memecahkan cermin kecil di tandas tersebut bagi membawanya keluar. Alhamdulillah, kesemua mereka berjaya diselamatkan,” katanya.

    Mengulas lanjut katanya, di rumah kedua yang terbakar itu juga terdapat sembilan individu di dalamnya.

    “Tujuh mangsa dapat melarikan diri lebih awal namun dua mangsa masih terperangkap apabila kami tiba. Pihak kami kemudiannya bertindak masuk ke rumah tersebut bagi membawa mereka keluar,” katanya.

    Tambahnya, berikutan kejadian itu beberapa mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) bagi mendapatkan rawatan.

    “Seorang bayi berusia setahun yang turut diselamatkan dalam salah sebuah rumah tersebut, ditempatkan di zon merah hospital berkenaan,” katanya

  • Lima sekeluarga maut  kereta bertembung treler di Kuantan

    Lima sekeluarga maut kereta bertembung treler di Kuantan

    LIMA termasuk dua kanak- kanak perempuan dan seorang bayi maut selepas kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah treler di Jalan Gambang-Muadzam Shah, dekat Kampung Pulau Manis, hari ini.

    Semua mangsa termasuk pemandu kereta tersebut disahkan maut di tempat kejadian sebelum kejadian tersebut dilaporkan kepada pihak bomba pada pukul 3.17 petang.

    Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chini dan Taman Tas ke lokasi itu untuk operasi menyelamat.

    “Ketika tiba di lokasi, didapati kemalangan melibatkan sebuah treler dan kereta.

    “Semua mangsa dalam kereta yang terlibat cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Tambah Zulfadli, semua mangsa berjaya dikeluarkan sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

    “Pemandu dan penumpang lori selamat,” katanya lagi.

    SEMENTARA ITU, dalam satu kenyataan, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mereka yang maut ialah Muhammad Rosli Ibrahim, 33; Nor Afikah Abdullah Sani, 35; Nur Safwa Irdina Muhammad Rosli, 7; Nur Sofea Rajda Muhammad Rosli, 6; dan seorang bayi yang belum dikenal pasti identiti.

    Beliau  berkata berdasarkan laporan, nahas jam 3.40 petang itu membabitkan kereta jenis Toyota dan sebuah treler.

    Katanya, siasatan awal mendapati kereta terbabit dari arah Muadzam Shah menghala ke Kuantan.

    “Kereta berkenaan dikatakan memasuki lorong treler yang berada di laluan Kuantan-Segamat. Pemandu treler cuba mengelak ke kiri jalan tetapi terlanggar bahagian hadapan kereta berkenaan berikutan jarak terlalu dekat.

    “Susulan kemalangan itu, pemandu dan empat penumpang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Pemandu treler berumur 26 tahun tidak mengalami kecederaan,” katanya lapor Berita Harian.

  • Warga emas maut kereta rempuh belakang treler

    Warga emas maut kereta rempuh belakang treler

    SEORANG warga emas maut selepas kereta dipandunya rempuh belakang sebuah treler di Kilometer (KM) 353 Jalan Kuala Lumpur – Kota Bahru dalam kawasan stesen minyak di Raub, pukul 6.30 pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Kama Azural Mohamed berkata, mangsa yang berusia 83 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.

    “Hasil siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan treler yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 46 tahun dari arah Pekan Raub menghala ke Kuala Lumpur.

    “Apabila sampai di tempat kejadian treler telah masuk ke simpang kanan dan berhenti (dalam keadaan parkir) di dalam kawasan stesen minyak tersebut bagi mengisi minyak sebelum kereta yang dipandu oleh mangsa datang.

    “Kereta mangsa dari arah Kota Bahru (Jalan Lipis) melanggar bahagian belakang tayar sebelah kiri treler. Mangsa maut di lokasi kemalangan dan mayatnya dihantar ke Hospital Raub untuk bedah siasat,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Katanya, pemandu treler tidak mengalami kecederaan dan rakaman percakapannya telah diambil selain dia dibawa ke balai polis untuk ujian air kencing.

    “Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

  • Mayat kanak-kanak 11 tahun lemas di pantai Bagan Ajam dijumpai

    Mayat kanak-kanak 11 tahun lemas di pantai Bagan Ajam dijumpai

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    MAYAT kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang dikhuatiri lemas ketika mandi bersama rakannya di Jeti Nelayan Bagan Ajam dekat Pantai Bersih, Butterworth, Pulau Pinang petang semalam dijumpai kira-kira pukul 9.15 pagi ini.

    Mangsa, Muhammad Mikhaeil Muqmin Abdullah dijumpai tersangkut di tali pukat tidak jauh dari pesisiran Pantai Bersih di Butterworh.

    Pegawai Kanan Bomba II, Unit Penyelam Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth, Muhammad Isharudin Ismail berkata, ketika dijumpai mayat mangsa berada dalam keadaan sempurna tanpa sebarang kesan luka.

    Mayat Muhammad Mikhaeil dijumpai tersangkut di tali pukat tidak jauh dari pesisiran Pantai Bersih di Butterworh.

    “Mayat mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk bedah siasat,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Dalam kejadian petang semalam, Muhammad Mikhaeil Muqmin dikatakan hanyut dibawa arus semasa sedang mandi bersama tiga rakannya di kawasan jeti berkenaan kira-kira pukul 5.45 petang.

    Difahamkan mangsa mandi bersama tiga lagi rakannya yang turut hanyut dibawa arus namun berjaya diselamatkan orang awam.

    Dalam pada itu, seorang pemancing yang kebetulan berada di lokasi yang cuba menyelamatkan mangsa bagaimanapun turut lemas dan diselamatkan orang awam sebelum dikejarkan ke hospital.