Category: Kemalangan / Bencana

  • Seorang lagi anggota TUDM maut dalam letupan bom lempar

    Seorang lagi anggota TUDM maut dalam letupan bom lempar

    SEORANG lagi anggota tentera terkorban dalam kejadian letupan bom lempar ketika sesi latihan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan semalam.

    Bernama melaporkan dalam kejadian 12.10 tengah hari itu, seorang penuntut Institut Pentadbiran dan Pengajian Pangkalan Udara Sendayan maut di tempat kejadian, manakala seorang jurulatih meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Segamat.

    Seorang lagi jurulatih turut cedera dan masih menerima rawatan di hospital.

    Menurut laporan, kejadian itu berlaku ketika sesi latihan menembak senjata dan bom lempar di Tapak Latihan Grenade Asas, lapang sasar Kem Syed Sirajuddin pada 12.10 tengah semalam.

    Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa korban.

    “Salam takziah saya ucapkan kepada keluarga Allahyarham Koperal Udara Mohd Syuib Bidin dan Leftenan Udara I Mohd Iqmal Masdi.

    “Gugurnya perajurit dalam latihan demi mempertahankan negara. Semoga ahli keluarga diberikan kekuatan, ketabahan dan keredaan dengan ketentuan-Nya jua,” katanya dalam catatan Facebook.

    Tentera Udara Diraja Malaysia dalam kenyataan malam tadi memaklumkan lembaga penyiasatan akan ditubuhkan bagi mengenal pasti punca kejadian itu.

    Justeru, semua pihak digesa tidak menyebarkan sebarang spekulasi sehingga proses siasatan selesai dan menghormati sensitiviti keluarga mangsa.

  • Bomba dua hari keluarkan mayat dari hutan

    Bomba dua hari keluarkan mayat dari hutan

    BERAT mayat lebih 100 kilogram dan keadaan cuaca yang kurang baik menyebabkan pasukan bomba terpaksa mengambil masa selama dua hari untuk mengeluarkan mangsa yang meninggal dunia di hutan kelmarin.

    Mayat lelaki warga Indonesia berusia 24 tahun itu hanya dapat dikeluarkan dari hutan Borneo Timber Sungai Pinangah pada Sabtu selepas pasukan bomba melalui pelbagai cabaran di kawasan berkenaan.

    Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Edoen Macheal berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 6.30 pagi kelmarin.

    “Menurut panggilan, terdapat seorang mangsa sakit di dalam hutan dan memerlukan bantuan untuk dihantar ke hospital.

    “Menurut maklumat pemanggil, mangsa bersama dua rakannya melakukan aktiviti mendaki dan mengkaji hutan, namun mengalami sakit badan sehingga tidak mampu meneruskan perjalanan,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.

    Edoen berkata, seramai tiga anggotanya dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 132 kilometer dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

    Katanya, pasukan bomba yang dalam perjalanan ke lokasi kemudian menerima panggilan susulan pada pukul 2.25 petang dan dimaklumkan mangsa telah meninggal dunia.

    Menurutnya, sebaik tiba, mangsa dalam keadaan terbaring di khemah dan dipercayai tidak sedarkan diri.

    “Pada pukul 6.21 petang hari yang sama, pasukan bomba memulakan operasi dengan bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan ‘scoop stretcher’ tetapi ditangguhkan akibat cuaca hujan yang menyebabkan laluan bukit yang curam menjadi licin selain keadaan yang gelap turut menyukarkan operasi,” katanya.

    Tambah Edoen lagi, operasi mengeluarkan mangsa disambung pada pukul 5 pagi Sabtu dengan dibantu oleh pasukan BBP Sook.

    “Mangsa kemudian berjaya dikeluarkan dari hutan dan diserahkan kepada pihak polis sebelum disahkan telah meninggal dunia,” katanya.

    Edoen memaklumkan disebabkan tiada liputan Trunk Radio Bersepadu Kerajaan (GIRN) dan talian telefon di lokasi kejadian menyebabkan maklumat sukar disalurkan.

    “Operasi ditamatkan pada pukul 11.20 malam tadi, bagaimanapun maklumat mengenai operasi itu hanya disalurkan pada pukul 12.30 tengah malam tadi berikutan keadaan yang dihadapi,” katanya.

  • Kemalangan : Suami isteri maut di Gerik, tiga beradik terbunuh di Pekan

    Kemalangan : Suami isteri maut di Gerik, tiga beradik terbunuh di Pekan

    SEPASANG suami isteri maut manakala tiga lagi cedera setelah kereta yang dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah treler muatan simen di Kilometer 25, Lebuhraya Timur Barat, sebelum hentian rehat dan rawat (R&R) Titiwangsa, di Gerik hari ini.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 1.10 tengah hari, sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik bergegas ke lokasi.

    Terdapat lima mangsa dalam kereta Perodua Myvi iaitu pasangan suami isteri dan tiga lagi iaitu kanak-kanak. “Seorang lelaki dan seorang wanita maut di lokasi kejadian tetapi tidak tersepit, manakala dua kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan cedera.

    “Bagaimanapun pemandu treler selamat dan tidak mengalami kecederaan,” katanya lapor Astro Awani.

    Mangsa berjaya dikeluarkan dan diserah kepada polis untuk tindakan susulan.

    Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Che Ros Che Hassan itu tamat jam 2.45 petang.

    DI PEKAN, Tiga beradik berusia lima hingga 15 tahun maut selepas motosikal dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 7 Jalan Benta/Lamir di Pekan dekat sini, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin, berkata kejadian dipercayai berlaku jam 12.30 tengah hari dengan semua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    Tiga beradik itu ialah Nik Ikram Idwan Nik Mohd Khairul Hisyam, 15, adiknya Nik Nur Faqihah, 11 dan Nik Ikram Nuqman yang berusia lima tahun, masing-masing dari Kampung Langgar di Pekan.

    “Kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal dinaiki tiga beradik itu dari arah Kampung Lamir ke Kampung Langgar terbabas ke laluan bertentangan, lalu merempuh MPV menghala Kuantan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

  • Bomba kesan sisa kilang dibuang dalam parit kawasan industri

    Bomba kesan sisa kilang dibuang dalam parit kawasan industri

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor mengesan sisa bahan buangan berbahaya dalam sebuah parit berpunca daripada sisa industri di Kawasan Perindustrian Maju Jaya, Kempas, Johor Bahru pada jam 1 petang tadi.

    Pencemaran tersebut menimbulkan bau busuk sebelum orang awam menghubungi pihak bomba untuk bantuan kerana bimbang dengan keselamatan mereka.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kempas, Penolong Penguasa Bomba Mohd . Ridzuan Malek Rivan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung pencemaran bau di kawasan tersebut pada pukul 1.29 petang.

    Berikutan itu katanya, seramai 14 anggota dengan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan EMRS) dari BBP Kempas dan BBP Larkin dihantar ke tempat kejadian.

    “Siasatan mendapati berlaku kejadian pencemaran bau di kawasan parit yang bersebelahan sebuah kilang. Pihak bomba juga maklum terdapat air bertakung dan bau busuk.

    “Bomba membuat pemantauan di lokasi kejadian dan menghubungi pihak Jabatan Alam
    Sekitar (JAS) Johor untuk hadir ke lokasi.

    “Pasukan Hazardous Material Unit Team (HAZMAT) JBPM Johor turut hadir yang diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba Saifulbahri Safar dan membuat tugas-tugas ‘detection’ dan
    mengambil sampel bersama-sama pegawai JAS Johor.

    “Hasil awal mendapati parit tersebut tercemar dengan bahan-bahan ‘schedule waste’. Bahan- bahan yang didapati hasil dari kerja-kerja ‘detection’ dan ‘sampling’ ialah ‘acrolein’, ‘benzene’, carbon dioxide, ‘methane’ dan ‘ethylene oxide’,” ujar beliau dalam kenyataan malam ini.

    Lokasi insiden katanya, telah diambil alih pihak JAS kerana susulan kerja-kerja ‘detection’ tiada bahan yang sepadan dengan hasil yang dijumpai di peringkatawal.

    Tambah Mohd Ridzuan, operasi ditamatkan pada pukul 6.59 petang.

  • Wanita maut dihempap bumbung sekolah semasa ribut

    Wanita maut dihempap bumbung sekolah semasa ribut

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG wanita maut selepas bumbung sekolah berhampiran diterbangkan angin kencang dan menghempap kediamannya dalam kejadian ribut di Kampung Tahang Rimau, Segamat, pukul 7.49 petang semalam.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Segamat, Pegawai Bomba Kanan II Abd. Rahim Rahmat berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai V. Mahadevi, 55.

    “Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung bumbung runtuh di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Seg Hwa, pukul 7.41 petang.

    “Runtuhan bumbung berkeluasan 5,400 kaki persegi itu diterbangkan angin kencang dan menghempap rumah mangsa yang terletak bersebelahan sekolah berkenaan.

    “Mangsa kemudiannya berjaya dibawa keluar dengan bantuan orang awam sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) Segamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, operasi tersebut melibatkan lima anggota dibantu sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT).

    Sementara itu, jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Segamat ketika dihubungi berkata, kejadian ribut yang melanda daerah berkenaan petang semalam turut menjejaskan struktur bumbung Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Segamat.

    Katanya, kawasan yang paling teruk terjejas adalah di Mukim Sungai Segamat yang membabitkan 20 keluarga daripada Kampung Tahang Rimau, Kampung Jawa dan Kampung Tengah.

    Kejadian itu dikatakan menjejaskan kira-kira 15 kediaman di Mukim Gemereh dan Mukim Pogoh selain beberapa gerai peniaga.

    Sementara itu, Ketua Polis Segamat, Superitenden Ahmad Zamry Marinsah yang dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes diklasifikasikan mati mengejut (SDR).

  • Lelaki tidur atas landasan maut diseret kereta api

    Lelaki tidur atas landasan maut diseret kereta api

    SEORANG lelaki maut selepas diseret kereta api ekspres kira-kira 400 meter dalam kejadian di landasan kereta api di Kampung Palekbang, Tumpat pukul 12.40 tengah hari tadi.

    Semasa kejadian mangsa dikatakan sedang tidur di landasan sebelum dirempuh Kereta Api Ekspres Timuran dari Johor Bahru ke Tumpat.

    Saksi kejadian, Osman Mohd. Yussof, 57, berkata, ketika itu dia sedang minum air di kedai makan berdekatan landasan kereta api itu.

    Menceritakan situasi berkenaan, Osman berkata, tiba-tiba terdengar hon kereta api yang kuat sebelum berhenti kira-kira 200 meter dari kedai makan itu.

    “Saya kemudian berlari ke arah kereta api itu dan bertanyakan pemandu situasi menyebabkan dia memberhentikan kereta api itu,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Menurut tukang rumah berkenaan, dia dimaklumkan pemandu bahawa kereta api itu terlanggar seorang lelaki yang sedang tidur di atas landasan.

    “Saya kemudian melihat mayat dalam keadaan parah mengakibatkan sebahagian badan hancur dan terdapat percikan darah di besi landasan kereta api,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

    Bagaimanapun Osman mengakui tidak mengenali lelaki berkenaan kerana bukan dari kampung itu.

    “Mungkin dia ‘tidak sihat’ dan saya juga tidak pernah nampak mangsa sebelum ini,” katanya lagi.

    Osman memberitahu, mangsa dilihat memakai kain pelikat dan berbaju.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

    “Mangsa dibawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat,” ujar beliau.

  • Lelaki rentung, isteri serta dua anak parah kemalangan

    Lelaki rentung, isteri serta dua anak parah kemalangan

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEORANG lelaki yang memandu kereta Proton Iswara tersepit di tempat duduknya ketika kenderaan itu terbakar akibat kemalangan dengan sebuah lagi kereta di Jalan Kulim-Baling, hari ini.

    Mangsa berusia 27 tahun ditemukan rentung setelah api berjaya dipadamkan dalam kejadian pada pukul 2.20 petang tadi.

    Isterinya yang berumur 28 tahun serta dua anak mereka masing-masing berusia tiga dan empat tahun mengalami kecederaan parah akibat kemalangan tersebut.

    Mereka bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh orang awam yang melalui jalan terbabit.

    Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Mohd. Redzuan Salleh berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta dipandu mangsa dari arah Kulim ke Baling dipercayai terbabas ke laluan bertentangan.

    “Kereta itu kemudian bertembung kereta Toyota Camry dari arah Baling ke Kulim, namun pemandunya yang berusia 46 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd. Redzuan berkata, isteri dan anak-anak mangsa kini sedang menerima rawatan di zon merah Hospital Kulim (HK).

    Sementara itu, siasatan turut mendapati pemandu kereta Toyota Camry terbabit memandu dalam keadaan lesen tamat tempoh dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    Terdahulu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Abdul Rahim Che Omar berkata, anggota bomba memadam kereta yang terbakar dan mengeluarkan mangsa tersepit dengan peralatan khas.

  • Wanita warga emas cedera diserang beruk ketika beriadah

    Wanita warga emas cedera diserang beruk ketika beriadah

    HASRAT seorang wanita warga emas beriadah di Dataran Kedamaian Taman Tasik Taiping pagi tadi berakhir dengan tragedi apabila dia cedera selepas diserang sekumpulan beruk.

    Kejadian berlaku ketika wanita berkenaan berada di kawasan tersebut bersama rakan-rakannya.

    Bagaimanapun, setakat ini tiada sebarang laporan polis dibuat mengenainya.

    Jurucakap Majlis Perbandaran Taiping (MPT) pula berkata, pihaknya telah dimaklumkan mengenai kejadian serangan beruk itu.

    Menurutnya, aduan mengenainya telah dipanjangkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan selanjutnya.

    Sementara itu, Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, pihaknya telah menghantar kakitangan daripada Perhilitan Selama ke lokasi kejadian untuk membuat pemantauan.

    “Kita akan pasang perangkap dan akan melakukan operasi pelupusan khususnya beruk yang dipercayai menyerang mangsa,” katanya, lapor Astro Awani.

  • Murid Tahun 1 maut dalam perjalanan ke sekolah

    Murid Tahun 1 maut dalam perjalanan ke sekolah

    SEORANG kanak-kanak berusia 7 tahun yang dipercayai dalam perjalanan ke sekolah maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan di Jalan Lintas di Kota Kinabalu pukul 5.48 pagi tadi.

    Budak perempuan itu yang belum diketahui identiti disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

    Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah berkata, dua lagi mangsa iaitu remaja perempuan berusia 15 tahun dan pemandu wanita berusia 59 tahun cedera dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).

    “Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga dan treler.

    “Hasil siasatan awal di lokasi kejadian mendapati pemandu treler lelaki berusia 38 tahun dari Tawau menghala ke Penampang ketika melalui Jalan Lintas telah meneruskan perjalanan kerana lampu isyarat masih hijau.

    “Ketika tiba di satu simpang, pemandu Proton Saga yang berada disusur pusingan U dari arah bertentangan tiba-tiba keluar menyebabkan pemandu lori tidak sempat mengelak lalu terlanggar bahagian tepi kiri treler tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Susulan kejadian itu, Mohd. Zaidi berkata, Proton Saga yang dinaiki tiga mangsa telah terbabas ke bahu kiri jalan.

    “Dua mangsa iaitu pemandu dan penumpang telah telah dibawa oleh pihak ambulan ke hospital untuk rawatan selanjutnya manakala seorang lagi penumpang kanak-kanak cedera di bahagian kepala.

    “Kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia di lokasi pada pukul 6.15 pagi dan mayat kemudian dibawa ke hospital untuk dibedah siasat,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Katanya lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas Agustavia Joe Guasi berkata, sebaik pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu, sepasukan anggota dikejar ke lokasi kejadian.

    “Operasi mengeluarkan tiga mangsa yang tersepit dalam kenderaan segera dilakukan,” katanya.

    Agustavia dalam pada itu turut memaklumkan bahawa mangsa yang maut tiada hubungan kekeluargaan dengan pemandu.

    “Mangsa yang maut ialah anak kepada rakan pemandu dan ketika kejadian berkemungkinan mangsa menumpang kenderaan itu untuk ke sekolah,” katanya.

  • Suami isteri maut, anak parah kemalangan di LPT2

    Suami isteri maut, anak parah kemalangan di LPT2

    SEPASANG suami isteri warga emas maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 392.9 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) Bukit Besi-Ajil, malam tadi.

    Dalam kejadian kira-kira 9 malam tadi, mangsa, Mohd Ghani, 68, dan Minah Abdullah, 69, yang berasal dari Kampung Tok Rimau di Kuala Terengganu maut di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan manakala anak lelaki mereka yang memandu kenderaan mengalami kecederaan patah kedua-dua belah kaki.

    Ketua Polis Hulu Terengganu Hasmeera Hassan berkata siasatan awal mendapati kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mangsa dengan anak lelakinya datang dari arah Kuantan menuju ke Kuala Terengganu manakala treler pula dari arah Kuantan ke Kota Bharu.

    Beliau berkata ketika di lokasi kejadian, kenderaan terbabit merempuh treler yang berada di lorong kiri dari arah belakang.

    “Rempuhan tersebut menyebabkan kerosakan teruk pada bahagian hadapan kenderaan pacuan empat roda manakala treler yang membawa muatan hampas kelapa sawit hanya pecah tayar kanan dan bengkok besi belakang.

    “Pemandu dan kelindan treler tidak mengalami sebarang kecederaan manakala pemandu kenderaan pacuan empat roda patah kaki kiri dan kanan,” katanya ketika dihubungi.

    Hasmeera berkata mayat mangsa yang tersepit dikeluarkan oleh pihak bomba dari Balai Bomba Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) dan dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.