Category: Kemalangan / Bencana

  • 140 rumah rosak dibadai ribut malam tadi

    140 rumah rosak dibadai ribut malam tadi

    AIDILADHA hari ini disambut hambar 140 keluarga apabila rumah mereka rosak akibat dibadai ribut yang melanda beberapa kawasan di Besut malam tadi.

    Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Azbi Salleh berkata, kira-kira 130 rumah rosak di 10 kampung di Kuala Besut, manakala selebihnya di Kampung Batu 13 dan Kampung Bekok di Hulu Besut.

    Katanya, dalam kejadian pada kira-kira 8 malam itu, kebanyakan rumah mengalami kerosakan bumbung akibat diterbangkan angin kuat dan ada yang dihempap pokok tumbang.

    “Antara kawasan yang terjejas teruk di sini (Kuala Besut) ialah Kampung Pengkalan Atap, Kampung Pantai, Kampung Tengah, Kampung Nail dan Kampung Payang.

    “Kejadian ribut kuat berlaku serentak dengan hujan lebat, namun nasib baiklah tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku,” katanya kepada Bernama, hari ini.

    Azbi berkata, pihaknya difahamkan bahawa kerajaan negeri akan membantu membaiki bumbung rumah yang rosak secepat mungkin bagi memastikan penduduk dapat tinggal di rumah mereka dengan lebih sempurna.

    Sementara itu, seorang penduduk di Kampung Pengkalan Atap Napisah Hussin, 67, berkata, dia berdepan detik cemas apabila sebahagian bumbung rumahnya diterbangkan angin sekelip mata.

    “Ketika kejadian berlaku, saya hanya berdua bersama seorang anak lelaki saya berusia 34 tahun yang terlantar akibat penyakit strok.

    “Pada mulanya hujan lebat kemudian diikuti ribut dan secara tiba-tiba bumbung rumah terbang. Saya amat takut terutama memikirkan keadaan anak lelaki saya yang tidak dapat bergerak,” katanya.

    Beliau berkata, bagaimanapun tidak lama kemudian beberapa jiran datang membantu mengangkat anaknya ke rumah berhampiran yang lebih selamat. – BERNAMA

  • Budak lelaki 3 tahun mati lemas dalam parit

    Budak lelaki 3 tahun mati lemas dalam parit

    SEORANG kanak-kanak lelaki berumur tiga tahun ditemui mati dipercayai akibat lemas dalam parit di Kampung Kuridak Gadong, Beaufort pagi tadi.

    Memetik laporan FMT, mangsa, Muhammad Qays Izhar Abd Alim dilaporkan hilang semalam.

    Mayat mangsa ditemukan oleh pasukan operasi mencari dan menyelamat pada pukul 10.23 pagi, kira-kira 70 meter dari kawasan dilaporkan hilang.

    Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan kanak-kanak terbabit pada 10.30 pagi, semalam.

    Menurut beliau, susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan polis serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) segera dijalankan.

    “Pada 10.23 pagi tadi, mayat kanak-kanak terbabit ditemui di dalam parit, kira-kira 70 meter dari tempat mangsa dilaporkan hilang.

    “Mayat kanak-kanak terbabit ditemui penduduk kampung bersama pasukan polis dan bomba,” katanya ketika dihubungi.

    Yusoff Zaki berkata, mayat kanak-kanak terbabit sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Beaufort untuk siasatan lanjut.

    Sementara itu, ketika ditanya berhubung status terkini pencarian seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia 18 bulan yang hilang dari rumahnya di Kampung Batu 66, semalam, Yusoff Zaki berkata, mangsa masih belum ditemui.

    Katanya, mangsa dikhuatiri jatuh sungai atau hilang di hutan selepas keluar dari rumahnya dan operasi mencari dan menyelamat masih giat dilakukan.

    “Usaha pencarian masih giat dijalankan oleh pasukan polis dan bomba dengan bantuan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9),” katanya.

  • 8 kenderaan musnah dalam kebakaran hutan

    8 kenderaan musnah dalam kebakaran hutan

    SEBANYAK lapan kenderaan musnah terbakar dalam kebakaran hutan berhampiran Jalan Nova U5/94A Laman Permai, di Sungai Buloh malam tadi.

    Memetik laporan BH, semua kenderaan terbabit diletakkan di hadapan bengkel berhampiran kawasan itu.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.29 malam.

    “Sejurus selepas menerima panggilan, sepasukan 15 anggota bersama dua jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh dan BBP Shah Alam dikejarkan ke lokasi.

    “Sebaik tiba, didapati berlaku kebakaran hutan yang turut menyebabkan lapan kenderaan terbakar. Operasi pemadaman segera dilakukan hingga kebakaran berjaya dikawal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

  • Kereta terbabas sebelum terbalik, wanita terbunuh, empat cedera

    Kereta terbabas sebelum terbalik, wanita terbunuh, empat cedera

    SEORANG wanita maut selepas kereta yang dinaikinya dipercayai terbabas sebelum terbalik di Jalan Sungai Siput-Khantan, Sungai Siput, malam tadi.

    Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima maklumat mengenai nahas pada jam 8.08 malam.

    “Setibanya jentera di lokasi kejadian, didapati kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta Proton Satria telah terbabas, lalu terbalik,” katanya dalam kenyataan di sini.

    Jurucakap itu berkata, turut cedera dalam kemalangan berkenaan ialah  tiga lelaki  dan seorang kanak-kanak perempuan yang berada di dalam kereta tersebut.

    “Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang terperangkap di dalam kereta dan menyerahkannya kepada pihak ambulans serta polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

    Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Samsu Bahrin Aziz tamat jam 9.35 malam.

  • Peniaga rugi hampir RM1 juta dua kedai terbakar malam raya

    Peniaga rugi hampir RM1 juta dua kedai terbakar malam raya

    SEORANG peniaga menanggung kerugian hampir RM1 juta apabila dua kedainya musnah dalam kebakaran yang membabitkan lapan deretan kedai di Jalan Hiliran di Kuala Terengganu, malam tadi.

    Nik Mohd Kamil Abu Bakar, 37, berkata dalam kejadian kira-kira 10.15 malam tadi, dia baru sahaja menutup kedainya dan masih berada di kawasan berdekatan sebelum dimaklumkan kedainya terbakar.

    “Saya tutup kedai dalam pukul 10 malam sebab esok nak raya, tutup awal sikit, lepas itu saya jalan-jalan di kedai dekat sini nak cari baju anak, dalam 15 minit lepas tu ada orang beritahu ada api dalam kedai basikal saya.

    “Saya bergegas ke kedai dan nampak api dah penuh di bahagian belakang kedai dan tak sempat nak selamatkan apa-apa pun sebab api marak dengan cepat,” katanya ketika ditemui Bernama di lokasi kejadian malam tadi.

    Beliau berkata satu lagi kedainya yang menjual pakaian terletak bersebelahan, turut dijilat api dan hanya sejumlah kecil barangan dapat diselamatkan.

    “Saya baru ambil stok barangan baharu sebab nak buka satu lagi kedai basikal di Gong Badak lepas raya ini, sekali dengan stok baharu habis terbakar.

    “Ujian besar untuk saya pada malam raya ni, saya reda sajalah,” katanya.

    Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu berkata pihaknya menerima laporan kira-kira 10.40 malam dan bergegas ke tempat kejadian.

    “Ketika sampai di lokasi, kedai basikal berkenaan sudah musnah sepenuhnya dijilat api (lokasi kebakaran bermula). Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

    Kira-kira 30 anggota bersama empat jentera dikejarkan ke lokasi kejadian dan bomba mengambil masa kira-kira 30 minit bagi mengawal kebakaran

    – Bernama

  • Tiga rumah musnah terbakar dipercayai angkara pesakit mental

    Tiga rumah musnah terbakar dipercayai angkara pesakit mental

    TIGA rumah musnah dalam kebakaran dipercayai angkara seorang lelaki yang menghidap masalah mental dalam kejadian di Kampung Banggol, Kota Bharu, Kelantan hari ini.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Zukeri Shafie berkata, pihaknya menerima panggilan pada 1.17 tengah hari dan seramai 22 anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian.

    Menurutnya, bomba berjaya mengawal kebakaran yang menyebabkan kemusnahan rumah hampir 80 peratus.

    “Punca kebakaran serta kerugian dialami mangsa masih dalam siasatan,” katanya menurut laporan Satu Berita.

    Sementara itu, seorang mangsa yang juga peniaga pakaian terpakai, Mohd Syahid Sipri, 32, berkata, kejadian itu menyebabkan dia kerugian RM20,000 selepas semua barangan perniagaan musnah.

    Menceritakan lebih lanjut, katanya, dia hanya menyedari kejadian itu pada 1 tengah hari selepas pulang daripada berniaga di kawasan Kedai Buloh, Jalan Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu.

    “Ketika tiba di rumah yang dijadikan sebagai stor simpanan pakaian bundle itu, saya melihat kepulan asap keluar dari arah ruang tamu dan mendapati bapa saudaranya terperangkap dalam rumah.

    “Saya cuba masuk melalui pintu utama, namun ia berkunci dari dalam. Semasa api mula marak, saya melihat bapa saudara telah keluar sendiri dari rumah melalui pintu tersebut.

    “Saya mengesyaki dia membakar barangan di dalam rumah,” katanya.

  • Dugaan Aidiladha: Empat rumah musnah terbakar, tinggal sehelai sepinggang

    Dugaan Aidiladha: Empat rumah musnah terbakar, tinggal sehelai sepinggang

    TIGA keluarga terpaksa hadapi ujian getir apabila tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Panji, Kuala Terengganu, pada pukul 11.15 pagi tadi.

    Kebakaran itu melibatkan empat buah rumah dengan tiga kediaman musnah seratus peratus manakala sebuah lagi terbakar 25 peratus pada bahagian dapur.

    Bagaimanapun, 20 penghuni empat rumah berkenaan selamat dan tidak mengalami kecederaan.

    Seorang mangsa yang juga penjawat awam, Mohd. Afifuddin Sulaini, 24, berkata, kebakaran disedari berlaku selepas ibunya, Johanna Mohamad, 49, mendengar jeritan kanak-kanak yang sedang bermain di luar rumah memaklumkan ada asap di atas rumah.

    “Ketika itu, saya dan adik-adik sedang tidur. Terkejut bila dengar jeritan ibu maklum ada asap dan bila keluar saya nampak memang ada asap di tingkat atas (rumah dua tingkat).

    “Kami terus keluar selamatkan diri tanpa sempat mengambil barang berharga. Lima minit selepas itu api mula marak dan saya hanya sempat melarikan kereta dan motosikal sahaja,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Bapanya, Sulaini Said, 55, berkata, dia menerima panggilan telefon dari isterinya sekitar pukul 11.30 pagi ketika berada di Bukit Payong, Marang memaklumkan rumah mereka hangus terbakar.

    Ketika itu katanya, tiada apa yang mampu dilakukan selain berharap isteri dan enam anaknya berusia antara 11 hingga 24 hingga tahun yang berada di dalam rumah selamat.

    “Sebaik sampai, saya tengok rumah sudah hangus terbakar dan bomba sedang padamkan kebakaran. Semua dokumen penting, barang kemas dan wang tunai hangus tidak dapat diselamatkan.

    “Namun saya bersyukur kerana isteri dan anak-anak selamat,” katanya yang reda dengan kejadian itu.

    Seorang lagi mangsa, Che Hasliza Che Awang, 49, meminta suaminya, Yusuf Othman, seorang pesakit jantung keluar segera selepas menyedari tingkat atas rumah jirannya yang terletak kira-kira 1 meter terbakar.

    Jelas surirumah itu, dia juga meminta bantuan orang ramai mengalihkan tong gas yang baharu dibeli ke tempat selamat bagi mengelak berlaku letupan.

    “Saya dengan suami hanya keluar sehelai sepinggang. Barang-barang lain semua tidak sempat diselamatkan,” katanya yang bercadang untuk pulang ke Kelantan bagi menyambut Hari Raya Aidiladha.

    Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abnihajar berkata, empat jentera bomba bersama 23 anggota termasuk dua pegawai bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.

    Menurutnya, jarak rumah yang terlalu hampir menyebabkan api mudah merebak dengan cepat namun kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada pukul 12.51 tengah hari.

    “Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

  • SAM kecewa COI tragedi banjir Baling ditolak

    SAM kecewa COI tragedi banjir Baling ditolak

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SAHABAT Alam Malaysia (SAM) melahirkan rasa kecewa kerana gesaan supaya suruhanjaya siasatan awam (COI) ditubuhkan bagi menyiasat kejadian banjir di Baling, Kedah ditolak Kerajaan Negeri Kedah dan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (Ketsa).

    Presiden SAM, R. Meenakshi berkata, pihaknya telah menggesa COI itu ditubuhkan pada Rabu lalu bagi mengetahui punca sebenar banjir di Baling yang meragut tiga nyawa.

    Jelas beliau, gesaan itu dibuat untuk mengelak satu lagi tragedi seperti itu berlaku pada masa depan, bukannya hanya menyalahkan alam terutama kerana intensiti dan kekerapan hujan yang luar biasa akibat perubahan iklim akan menjadi masalah berulang.

    “Bagaimanapun, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Noor berkata COI seperti itu tidak diperlukan memandangkan pelbagai agensi kerajaan yang terlibat sedang menyediakan laporan mereka berhubung tragedi terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Meenakshi, SAM berpandangan laporan yang sedang disiapkan oleh agensi berkaitan yang akan diserahkan kepada Menteri Besar Kedah itu tidak memadai.

    Ini kerana ujarnya, orang ramai berhak mengetahui apa yang sebenarnya berlaku rentetan tragedi banjir itu serta mengapa ia berlaku dan siapa yang bertanggungjawab.

    “Menteri Besar Kedah perlu telus dalam hal ini dan bertanggungjawab kepada orang ramai yang mana kesemua fakta mesti dibongkar,” katanya.

    Tambah beliau, menyalahkan kerajaan terdahulu atas sebarang tindakan atau tidak bertindak adalah tidak wajar kerana kerajaan sedia ada mesti memperbetulkan apa yang salah.

    “Apa yang diperlukan ialah tindakan tegas diambil terhadap semua pihak yang bertanggungjawab terhadap jenayah alam sekitar dan kecuaian mereka.

    “Oleh itu, SAM menyeru Menteri Besar Kedah mendedahkan semua penemuan mengenai tragedi itu dan memulihkan keyakinan orang ramai terhadap pentadbiran kerajaan negeri,” katanya.

    Meenakshi berkata, tragedi seperti itu perlu dielak daripada berlaku di masa depan dengan melindungi ekosistem yang sensitif kepada alam sekitar seperti bukit dan gunung serta tidak membenarkan apa-apa jenis projek perladangan di kawasan tersebut.

  • 802 rumah terjejas akibat banjir, kepala air di Baling

    802 rumah terjejas akibat banjir, kepala air di Baling

    Oleh RIZQI ZABIDI

    TRAGEDI kepala air dan banjir yang melanda 12 kampung di Baling, Kedah Isnin lalu menyebabkan lebih 800 rumah terjejas.

    Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, daripada jumlah itu sebanyak 15 rumah dilaporkan musnah sepenuhnya dan tidak lagi boleh didiami.

    Selain itu katanya, terdapat 18 rumah yang rosak teruk dan dilaporkan memerlukan pembaikan besar.

    “Secara keseluruhannnya setakat ini dilaporkan sebanyak 802 rumah yang terjejas. Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) bersama penghulu serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) ketika masih melakukan pemeriksaan lebih lengkap.

    “Setelah segalanya selesai, jumlah rumah yang terkesan akibat banjir itu akan dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Bencana Daerah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Tambahnya, kerajaan negeri akan membantu memindahkan mangsa yang tinggal di kawasan berisiko manakala rumah-rumah yang boleh dibaiki, akan dibantu untuk dibaiki.

    Sebelum ini kerajaan negeri telah pun memberi komitmen untuk menyewa sementara rumah untuk keluarga yang kehilangan tempat tinggal.

    Sementara itu di laman Facebooknya, Muhammad Sanusi turut berkongsi peta memaparkan kawasan lapang seluas kira-kira satu hektar di Kampung Lembaga Pembangunan Wilayah Kedah (KEDA) Sadik, yang dijadikan tapak cadangan untuk penempatan mangsa bencana tersebut.

    Menurutnya, perbincangan mengenai perkara itu sedang dibincangkan dengan pihak pengurusan KEDA.

  • [VIDEO] Bapa dan anak 5 tahun rentung dalam kebakaran

    [VIDEO] Bapa dan anak 5 tahun rentung dalam kebakaran

    SEORANG bapa dan anak lelakinya berusia lima tahun ditemukan rentung dalam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Cherana Puteh di Alor Gajah awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supt Arshad Abu berkata, dalam kejadian pada kira-kira 1.50 pagi itu, mangsa dikenal pasti sebagai Allahudin Abd Hamid, 51, dan anaknya, Mohamad Badrul, 5 tahun.

    “Allahudin ditemukan anggota bomba di bilik air manakala anaknya di bilik utama rumah separa papan dan batu itu. Tubuh kedua-dua mangsa terbakar keseluruhannya.

    “Siasatan di tempat kejadian turut disertai anggota Unit Forensik Polis Diraja Malaysia Ibu Pejabat Polis Kontijen Melaka, Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat serta pakar patologi dari Hospital Alor Gajah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, punca kebakaran masih disiasat dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat.

    Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, Pegawai Bomba Kanan II Ramli Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pada 1.56 pagi sebelum sebuah jentera dan kenderaan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dengan kekuatan sembilan pegawai serta anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

    Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi kebakaran 13 minit kemudian, rumah separa kekal itu didapati terbakar 70 peratus dan orang awam memaklumkan terdapat dua mangsa di dalam premis berkenaan.

    Katanya, operasi memadam kebakaran selesai sepenuhnya lebih tiga jam kemudian dan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. – BERNAMA