Category: Kemalangan / Bencana

  • Satu maut, tiga cedera dalam kemalangan di Felda Keratong 2

    Satu maut, tiga cedera dalam kemalangan di Felda Keratong 2

    SEORANG wanita maut manakala tiga lagi cedera dalam satu nahas membabitkan sebuah kereta dan lori treler di Simpang Keratong 2, dekat Pekarangan Felda Keratong 2, Rompin, semalam.

    Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 6.05 petang.

    “Seramai tujuh anggota termasuk seorang pegawai bergegas ke lokasi kejadian. Dipercayai kedua-dua kenderaan bertembung di lokasi kejadian, dan kesemuanya mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam.

    “Dalam kejadian itu, seorang wanita maut di lokasi kejadian, tiga orang lelaki dalam kereta yang sama cedera sementara pemandu lori tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi.

    “Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

  • Mayat wanita tersangkut pada sangkar ikan

    Mayat wanita tersangkut pada sangkar ikan

    SATU mayat seorang wanita berbangsa India ditemui tersangkut pada sangkar ikan di Sungai Semantan, Kampung Raja Songsang berhampiran Gobang Maju, Temerloh, semalam.

    Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung penemuan mayat terbabit pada pukul 8.01 malam.

    Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Temerloh, Syed Moshen T. Ismail, seramai enam anggota dari BBP Temerloh bergegas ke lokasi kejadian dengan menaiki sebuah jentera dan ambulan EMRS.

    “Sampai di lokasi, pihak bomba mendapati terdapat mayat wanita tersangkut di sangkar ikan milik penduduk kampung.

    “Anggota bomba kemudiannya bertindak menarik mayat itu dengan menggunakan tali sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Astro Awani.

  • Arwah pesan tunggu kepulangannya sebelum maut pada Hari Raya Aidiladaha

    Arwah pesan tunggu kepulangannya sebelum maut pada Hari Raya Aidiladaha

    SARJAN Mohd. Kamal Ramli, 41, anggota tentera Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD) yang maut dihempap pokok ketika operasi di pedalaman Hutan Belum, Gerik, Perak, semalam sempat berpesan kepada anak sulung supaya menjaga keluarganya.

    Koperal Siti Nafishah Mohd. Nasir, 29, isteri kepada arwah berkata, pesanan itu dititipkan suaminya sebelum meninggalkan rumah mereka.

    “Sebelum dia (Allahyarham) bertolak dia sempat berpesan kepada anak sulung kami Muhammad Nabil Khalaf, 5, supaya menjaga ibu, adik, datuk dan ahli keluarga lain dengan baik.

    “Suami saya tidak menunjukkan tanda kelainan dan berkelakuan seperti biasa malah Allahyarham turut berpesan supaya menunggu kepulangannya,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Taman Ria Jaya, Sungai Petani, hari ini.

    Jenazah Sarjan Mohd. Kamal selamat dikebumikan mengikut istiadat pengkebumian Angkatan Tentera Malaysia (ATM), di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Solihin Taman Kelisa, Sungai Petani, malam tadi.

    Sarjan Mohd. Kamal bersama Koperal Muhammad Zaki Johari, 31, meninggal dunia akibat dihempap pokok ketika menjalani operasi di Hutan Belum, Gerik, semalam.

    Siti Nafishah berkata, hasil perkongsian hidup bersama suami mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad Nabil Khalaf dan Muhammad Nur Fariman, 2.

    Menurutnya dia sekeluarga reda dengan pemergian suaminya itu kerana kematiannya ketika menjalankan tugas dan kebetulan jatuh pula pada Hari Raya Aidiladha.

    “Damailah kau di sana perwiraku,” katanya dalam nada pilu.

    Dia mengetahui kematian suaminya itu selepas bapanya menerima panggilan daripada adiknya yang bertugas bersama Allahyarham di 2 RAMD, Kem Sungai Ara, Pulau Pinang memaklumkan kejadian berkenaan, 10 pagi semalam.

    Siti Nafishah yang juga anggota tentera bertugas di Kem Lapangan Terbang Sungai Petani berkata, kali terakhir dia bertemu arwah Kamal pada sehari sebelum suaminya melaporkan diri di Kem Sungai Ara.

    “Allahyarham lapor diri pada 30 Jun lalu dan sepatutnya pulang 1 September depan,” katanya.

  • Operasi cari bayi 18 bulan jatuh dalam sungai diperluas

    Operasi cari bayi 18 bulan jatuh dalam sungai diperluas

    PASUKAN Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort meluaskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang bayi perempuan berusia 18 bulan yang hilang pada Sabtu lalu sejauh 63 kilometer.

    Ketua BBP Beaufort, Mohammad Hasbullah Nenggok berkata, kawasan pencarian diperluaskan sehingga ke muara Sungai Padas dari Kampung Batu 60.

    “Operasi yang memasuki hari ketiga itu dimulakan pada pukul 7 pagi. Operasi hari ini (Isnin) dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu menyusuri sungai bagi pencarian di permukaan sungai menggunakan bot dari Batu 60 ke muara Sungai Padas sejauh 63 kilometer.

    “Pencarian juga dilakukan di kawasan belukar dan ladang kelapa sawit dengan radius sejauh tujuh kilometer dari pos kawalan bomba,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Kata Mohammad Hasbullah, operasi pencarian disertai seramai 19 anggota BBP Beaufort dibantu agensi keselamatan lain dan penduduk kampung.

    “Selain dibantu seramai 70 penduduk kampung, operasi SAR turut disertai oleh anjing pengesan dari unit K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sendiri yang dikenali sebagai Lexi dan Fleur,” katanya.

    Sehingga kini katanya, mangsa belum ditemui dan maklumat mengenainya akan dikemaskini dari masa ke semasa.

    Media pada Sabtu lalu melaporkan, Jude Angel Jeremy dipercayai jatuh ke sungai selepas disedari hilang dari rumahnya di Kampung Batu 66, di Beaufort.

    Ketika kejadian, mangsa dijaga oleh neneknya manakala kedua ibu bapanya berada di Tamu Beaufort (pasar mingguan) untuk berniaga.

  • Lelaki ditahan disyaki bunuh ibu tunggal

    Lelaki ditahan disyaki bunuh ibu tunggal

    POLIS menahan seorang lelaki yang disyaki suspek bagi kes bunuh seorang wanita di sebuah pusat peranginan di Mukah, semalam.

    Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias, berkata penahanan lelaki berusia 52 tahun itu dibuat selepas siasatan mendapati dia adalah orang terakhir dilihat berjumpa mangsa.

    “Suspek ditahan pukul 1.40 tengah hari bagi membantu siasatan Seksyen 302 Kanun keseksaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Berita Harian.

    Sementara itu, Muhamad Rizal berkata Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah menerima laporan mengenai seorang wanita tempatan meninggal dunia dalam sebuah bilik di sebuah tempat peranginan di Mukah pukul 12.35 tengah hari semalam.

    Siasatan awal terhadap badan mangsa mendapati adanya kesan cedera dalaman di bahagian leher dan pinggang sebelah kiri. Mangsa yang beralamat di Sibu adalah ibu tunggal berusia 44 tahun dan mempunyai dua anak.

    “Mangsa mendaftar masuk ke tempat peranginan berkenaan bersama anak-anaknya sehari sebelum kejadian,” katanya.

  • Lelaki kelar isteri, bayi hingga mati disambung reman

    Lelaki kelar isteri, bayi hingga mati disambung reman

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki yang disyaki mengelar leher isteri dan bayinya hingga mati di sebuah rumah dekat Kampung Bakar Batu, Johor Bahru, disambung tujuh hari lagi.

    Ini susulan perintah reman suspek yang tamat hari ini, dilanjutkan sehingga Isnin depan.

    Perintah reman terhadap suspek dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar, Suhaila Shafiuddin selepas polis membuat permohonan lanjutan reman di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini.

    Terdahulu, suspek yang kelihatan tenang sebaik turun dari trak polis itu tiba di pekarangan mahkamah sekitar pukul 9.30 pagi.

    Suspek yang bekerja sebagai pencuci kapal itu disyaki membunuh isterinya, 26, dan bayi lelakinya berusia 3 bulan di sebuah rumah di Kampung Bakar Batu pada Isnin lalu.

    Dia ditahan di Permas Jaya, Johor Bahru beberapa jam selepas melarikan diri dalam keadaan bogel dengan menunggang motosikal.

    Kejadian tersebut termasuk foto suspek menunggang motosikal dalam keadaan bogel menjadi tular dalam media sosial.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

  • Empat maut kemalangan kereta, lori

    Empat maut kemalangan kereta, lori

    EMPAT mangsa termasuk pemandu dan penumpang sebuah kereta maut dalam satu nahas jalan raya berhampiran simpang Roban, Jalan Saratok, di Sarikei hari ini.

    Menurut Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, pihaknya menerima panggilan kemalangan terbabit pada pukul 6.53 pagi, dan segera mengaktifkan sebuah jentera dengan kekuatan tujuh anggota ke lokasi.

    “Kemalangan melibatkan sebuah kereta dan lori, sementara keempat-empat mangsa berada di dalam kereta tersebut.

    “Kesemua mangsa kemudian berjaya dikeluarkan namun disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan paramedik di lokasi,” katanya lapor Astro Awani.

    Sementara itu, difahamkan pemandu lori yang terlibat hanya mengalami cedera ringan.

  • Dua anggota tentera maut dihempap pokok ketika operasi

    Dua anggota tentera maut dihempap pokok ketika operasi

    DUA  anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) maut setelah dihempap pokok sewaktu menjalankan operasi di kawasan pedalaman Hutan Belum, Gerik, Perak dalam insiden pada awal pagi semalam.

    TDM dalam kenyataan malam tadi memaklumkan mangsa terbabit ialah Sarjan Mohd Kamal Ramli, 41, dan Koperal Muhammad Zaki Johari, 31, yang merupakan anggota Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD) Kem Sungai Ara, Pulau Pinang.

    Menurut kenyataan itu, kejadian berlaku pada kira-kira 2.30 pagi di sebuah pangkalan sementara dalam kawasan operasi pasukan tersebut yang telah dilanda ribut kencang.

    “Setelah keadaan tenang pada kira-kira 2.50 pagi, pemeriksaan keselamatan dibuat sebelum mendapati kedua-dua anggota telah meninggal dunia akibat ditimpa pokok,” menurut kenyataan itu.

    TDM menzahirkan ucapan takziah kepada Koperal Siti Nafishah Mohd Nasir dan Nurummi Amirah Chepa, yang masing-masing merupakan isteri kedua-dua anggota tentera serta seluruh ahli keluarga mangsa.

    “TDM akan menghulurkan bantuan sewajarnya dalam memastikan kebajikan keluarga mereka terjaga,” katanya.

    Jenazah Mohd Kamal akan dikebumikan di Sungai Petani, Kedah manakala jenazah Muhammad Zaki pula di Chuping, Perlis.

    Di IPOH, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.

    Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata pihaknya menerima laporan mengenai kematian kedua-dua anggota tentera pada 11.50 pagi.

    “Kedua-dua mangsa telah dikeluarkan dari kawasan operasi tentera dengan menggunakan helikopter milik Angkatan Tentera Malaysia ke 2 RAMD, Kem Sungai Ara, Pulau Pinang.

    “Mangsa dibawa ke Hospital Besar Pulau Pinang bagi tujuan bedah siasat,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

    Beliau berkata polis Perak merakamkan ucapan takziah kepada keluarga kedua-dua mangsa.

    — BERNAMA

  • Kekasih cedera Volkswagen dilanggar Mitsubishi Triton dipandu lawan arus

    Kekasih cedera Volkswagen dilanggar Mitsubishi Triton dipandu lawan arus

    SEPASANG kekasih cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Volkswagen yang dilanggar kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang dipandu secara melawan arus.

    Kemalangan itu berlaku di Kilometer 4.5 Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) Bagan Ajam, Pulau Pinang tengah malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU),Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian terbabit pukul 12.10 tengah malam tadi.

    Katanya, kemalangan itu menyebabkan pemandu dan penumpang Volkswagen yang masing-masing berusia 27 dan 25 tahun mengalami kecederaan di bahagian perut.

    “Kedua-dua mangsa menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Seberang Jaya (HSJ).

    “Pemandu Mitsubishi Triton juga sudah membuat laporan polis dan ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM15,000, jika sabit kesalahan.

  • Mangsa banjir Baling pilu sambut Aidiladha tanpa tiga insan tersayang

    Mangsa banjir Baling pilu sambut Aidiladha tanpa tiga insan tersayang

    KEDATANGAN Aidiladha hari ini yang sepatutnya diraikan penuh kegembiraan, disambut dengan rasa pilu oleh Abd Rahman Said, 71, kerana masih terkenangkan tiga ahli keluarganya yang terkorban dalam kejadian banjir dan fenomena kepala air di Baling pada Isnin lepas.

    Bencana itu menyebabkan isterinya, Salmah Mat Akib, 53, anak tirinya, Mohd Khairul Ikhwan Nor Azman, 14, dan menantunya yang sedang hamil empat bulan, Nurul Anis Abu Hassan, 23, maut apabila rumah mereka di Kampung Iboi di Baling dihanyutkan arus deras.

    “Bukan tidak mahu melupakan kejadian itu tetapi saya masih sedih teringatkan isteri, anak serta menantu yang sudah tiada, lebih-lebih lagi pada hari raya ini. Suasana pada hari ini jadi lain.

    “Arwah isteri saya dulu strok, biasanya setiap pagi saya bangunkan dan mandikan dia, selain sediakan makan untuk dia, sama juga pada hari raya,” katanya ditemui pemberita selepas menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Raudhatul Falah, Kampung Iboi, Kupang hari ini.

    Abd Rahman yang masih trauma dengan kejadian itu bagaimanapun berazam untuk menghadapi dugaan tersebut dengan tabah dan berusaha meneruskan kehidupan seperti biasa.

    Terdahulu, warga emas itu menunaikan solat sunat Aidiladha di masjid berkenaan yang diimamkan Timbalan Pendaftar Nikah Cerai Rujuk Kariah Kampung Iboi Mohammad Zawawi Ibrahim dan disertai kira-kira 300 jemaah termasuk Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

    Abd Rahman yang ketika ini masih tinggal di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai, kemudian menziarahi pusara tiga ahli keluarganya itu di Tanah Perkuburan Kampung Charuk Bemban Dalam.

    Sementara itu, seorang lagi penduduk Kampung Iboi, Norhayati Ismail, 38, berkata kebiasaannya pada hari raya dia akan berkumpul bersama ahli keluarga dan menikmati juadah seperti ketupat, lemang dan rendang.

    Katanya, berbeza pada hari raya kali ini apabila dia kini tinggal sehelai sepinggang selepas rumahnya yang terletak berhampiran Sungai Kupang musnah sepenuhnya dalam bencana tersebut.

    “Rumah saya terletak bersebelahan dengan rumah tiga sekeluarga yang meninggal dunia itu, tapi kami sekeluarga sempat menyelamatkan diri dalam kejadian tersebut sebelum rumah saya musnah sepenuhnya,” katanya.

    Norhayati berkata, dia bersama suami dan empat anaknya berusia antara sembilan hingga 18 tahun kini menumpang di rumah mentuanya di Kuala Ketil.

    Menurutnya, setakat ini bantuan seperti pakaian, barangan keperluan harian dan makanan adalah mencukupi, namun dia mengharapkan bantuan pakaian serta peralatan persekolahan untuk anak-anaknya.

    Dalam kejadian pada petang Isnin lepas, beberapa kawasan di Baling dilanda banjir selepas hujan lebat berterusan selama tiga jam menyebabkan 1,490 penduduk terjejas selain meragut tiga nyawa. – BERNAMA