Category: Kemalangan / Bencana

  • Kepala warga emas tersangkut kerusi plastik

    Kepala warga emas tersangkut kerusi plastik

    SEORANG warga emas berdepan detik cemas apabila kepala tersangkut kerusi plastik dalam satu kejadian di Taman Sri Puteri, Meru, Klang tengah hari tadi.

    Pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian daripada jiran mangsa pada pukul 12.18 tengah hari.

    Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis, sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kapar telah dikerahkan ke lokasi kejadian.

    “Bomba tiba lima minit kemudian dan mendapati seorang wanita berusia 78 tahun terbaring di lantai dan kepala tersangkut kerusi plastik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Utusan TV.

    Jelasnya, mangsa yang tinggal sendirian telah ditemui dalam keadaan sedar namun tidak bermaya.

    Mengulas lanjut, bomba mengambil masa dua minit bagi menyelamatkan mangsa sebelum diserahkan kepada pihak hospital.

  • 14 termasuk warga emas terperangkap dalam kebakaran kedai percetakan

    14 termasuk warga emas terperangkap dalam kebakaran kedai percetakan

    SERAMAI 13 lelaki warga asing serta seorang wanita warga emas berjaya diselamatkan bomba selepas terperangkap dalam kebakaran sebuah kedai percetakan di Pudu, Kuala Lumpur, awal pagi tadi.

    Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 5.34 pagi.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, sepasukan 26 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pudu, Jalan Hang Tuah dan Jalan Tun Razak bersama jentera telah dikerahkan ke lokasi kejadian.

    “Bomba tiba di lokasi dan bertindak pantas mengawal kebakaran daripada merebak sehingga ke bangunan sebelah.

    “Kesemua lelaki warga asing berusia 25 hingga 45 tahun dan warga emas berusia 76 tahun itu berjaya diselamatkan dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Tambah jurucakap itu, kedai tersebut musah kira-kira 80 peratus dalam kebakaran terbabit.

    “Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 7.24 pagi dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya seperti dilaporkan Utusan TV.

  • Tiga rumah musnah dalam kebakaran, seorang wanita melecur

    Tiga rumah musnah dalam kebakaran, seorang wanita melecur

    SEORANG wanita melecur semasa menyelamatkan diri dalam kebakaran yang memusnahkan tiga rumah di Lorong Lekok, Kampung Likas, Kota Kinabalu awal pagi tadi.

    Pihak bomba bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan berkenaan kejadian pada pukul 1.33 pagi.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, bomba yang tiba di lokasi segera menjalankan operasi memadam kebakaran menggunakan sumber air dari jentera dan pili bomba serta sumber air terbuka.

    “Kebakaran kemudiannya berjaya dikawal pada pukul 2.08 pagi. Kejadian itu memusnahkan tiga rumah jenis tidak kekal membabitkan keluasan 20X20 kaki persegi bagi setiap rumah.

    “Terrdapat seorang mangsa wanita mengalami kecederaan iaitu melecur di bahagian tangan dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) memberikan rawatan awal kepada mangsa di lokasi kejadian.

    “Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak perubatan untuk tindakan selanjutnya dan operasi keseluruhan ditamatkan pukul 3.55 pagi,” katanya memetik laporan Utusan Borneo, hari ini.

  • Keluarga empat beranak maut mohon bantu dapatkan dashcam

    Keluarga empat beranak maut mohon bantu dapatkan dashcam

    KELUARGA kepada empat sekeluarga yang maut dalam nahas di Jalan Saratok, Sarikei pada Isnin, meminta bantuan orang ramai sekiranya terjumpa ‘dashcam’ (kamera papan pemuka) yang hilang selepas kemalangan tersebut agar memulangkannya.

    Bapa saudara kepada mangsa, Sharkawi Basri berkata, ‘dashcam’ itu penting kerana akan kerana merupakan bukti utama kemalangan tersebut.

    “Bantu kami dapatkan dashcam, terlalu banyak versi kemalangan.

    “Jika ada sesiapa terjumpa ‘dashcam’ tolong serah kepada kami, bukan untuk menyalahkan sesiapa, cuma mahu tahu kebenaran.

    “Kalau boleh kita nak dapatkan semula kamera papan pemuka yang hilang selepas kemalangan tersebut. Dengan itu (kamera) dapat menunjukkan bukti bagaimana situasi sebenar kemalangan.

    “Sesiapa yang terjumpa atau berada di tempat kejadian, mohon kerjasama anda, bukan untuk mencari salah tetapi kami mahu cerita sebenar, macam-macam versi di media sosial,” katanya ketika ditemui di Taman Laruh Skim, Kuching, malam tadi, lapor Astro Awani.

    Menurutnya lagi, usaha mencari dan mengesan kamera tersebut katanya masih belum menemui sebarang petunjuk.

    Sharkawi berkata, pemergian empat sekeluarga itu amat dirasai lebih-lebih lagi Allahyarham Azwin merupakan anak sulung.

    Sementara itu jenazah empat sekeluarga yang maut itu selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gita di Kuching pada pukul 12.30 tengah malam tadi.

    Jenazah Azwin Yusman, 30, isteri Nadziran Mohd Nor, 28, dan dua anaknya Hazreen Zharfan, 4, dan bayi Hazeef Zharfan, 1 tahun 3 bulan, tiba di kediaman keluarga di Taman Laruh Skim pada pukul 11:51 malam dari Hospital Saratok yang terletak kira-kira 303 kilometer.

    Suasana pilu menyelubungi kediaman mangsa sebaik ketibaan van jenazah yang membawa empat beranak itu.

    Dalam kejadian Isnin, kenderaan yang dinaiki Azwin bersama isteri dan dua anaknya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di simpang Roban dekat Jalan Saratok.

    Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

  • 100 buah rumah rosak akibat ribut

    100 buah rumah rosak akibat ribut

    SEBANYAK 100 buah rumah di beberapa kampung mengalami kerosakan khususnya pada bahagian bumbung dalam kejadian hujan lebat dan ribut yang melanda Perlis, semalam.

    Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Perlis Lt.Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata sehingga kini, pihaknya menerima laporan sebanyak 100 rumah terkesan akibat kejadian ribut yang bermula dari 10 pagi hingga lewat petang itu.

    “Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan anggaran kerugian masih dalam penilaian,” katanya, mengikut laporan Bernama.

    Beliau berkata, APM menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini dan peka dengan amaran bencana yang dikeluarkan pihak berkuasa.

    “Saya harap orang ramai patuh dengan arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dan menyimpan barang-barang berharga di tempat selamat,” katanya.

    Selasa lalu, media melaporkan terdapat lebih 50 rumah mengalami kerosakan akibat ribut yang melanda Perlis.

    Antara kawasan yang terjejas ialah Mata Ayer, Kampung Panggas Kechil, Kampung Lubok Besar, Kuala Perlis, Padang Pauh, Lubuk Sireh, Kangar, Abi, Bukit Keteri, Kurung Batang, Balik Bukit, Wang Besar dan Beseri.

    Menurut laman web Jabatan Meteorologi Malaysia, cuaca hujan pada sebelah pagi dan ribut petir pada sebelah petang di satu dua tempat di kawasan pedalaman akan berterusan sehingga 17 Julai ini. – Bernama

  • 11 lembu ditemukan mati di Kuala Nerus

    11 lembu ditemukan mati di Kuala Nerus

    BANGKAI 11 ekor lembu dalam keadaan berulat ditemukan di sebuah kawasan terbiar di Kampung Sungai Lekar, Kuala Nerus, Terengganu, dipercayai dibuang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

    Menurut seorang penduduk kampung itu Wan Zaidi Wan Jaafar, 48, berkata, bangkai lembu tersebut dijumpai penduduk yang ingin memancing di Sungai Lekar yang terletak kira-kira lima meter dari kawasan itu pada petang Sabtu lepas.

    “Bangkai lembu ini mungkin dibuang pada hari yang sama kerana ada penduduk kampung terlihat dua buah lori memasuki simpang ke kawasan itu. Kedua-dua lori tersebut dilihat penuh dengan lembu yang telah mati,” katanya ketika ditemui Bernama di lokasi kejadian, di Kuala Nerus, hari ini.

    Tinjauan Bernama ke kawasan yang terletak kira-kira 15 meter dari Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu itu mendapati, bangkai 11 ekor lembu tersebut berada dalam keadaan bergelimpangan, sudah kembung, berulat dan dihurungi lalat.

    Wan Zaidi berkata bau busuk bangkai haiwan itu mendatangkan ketidakselesaan, kerana kawasan tersebut merupakan laluan utama penduduk ke Sungai Lekar ke kawasan berdekatan.

    “Walaupun kawasan tersebut jauh dari kawasan penempatan, namun ia merupakan laluan digunakan penduduk untuk memancing dan ke kebun. Jadi kita risau kalau bangkai lembu ini menyebabkan pencemaran bau yang lebih teruk dan air sungai juga boleh tercemar,” katanya.

    Sementara itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu Dr Anun Man ketika dihubungi berkata setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang laporan mengenai penemuan bangkai lembu tersebut.

    Namun katanya pihak veterinar negeri akan segera ke lokasi penemuan bangkai tersebut, bagi mendapatkan sampel mengenal pasti punca kematian lembu-lembu itu dan siasatan serta menjalankan kerja-kerja pelupusan.

    “Kita tidak tahu apa punca lembu-lembu itu dibuang di situ. Ada kemungkinan lembu-lembu itu diseludup dari luar dan sekiranya haiwan tersebut dibawa dalam lori tertutup (lori bungkus) serta melalui perjalanan yang jauh, ia boleh menyebabkan lembu-lembu itu lemas dan boleh menyebabkan kematian.

    “Sekiranya ia mati disebabkan wabak penyakit seperti penyakit kuku dan mulut (FMD) dan sebagainya, pemilik lembu boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 31 Akta Binatang 1953, kerana gagal melaporkan penyakit haiwan ternakan mereka kepada pihak veterinar,” katanya.

    Beliau berkata tindakan juga juga boleh diambil di bawah Seksyen 34, Akta Binatang 1953 kerana melupuskan haiwan ternakan berpenyakit tanpa kebenaran pihak berkuasa Veterinar.

    Pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu juga akan membuat siasatan sekiranya ada unsur-unsur melibatkan kezaliman haiwan di bawah Seksyen 29, Akta Kebajikan Haiwan 2015. – Bernama

  • Budak dikhuatiri lemas di Sungai Kinabatangan

    Budak dikhuatiri lemas di Sungai Kinabatangan

    SEORANG kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas selepas dilaporkan hilang di Sungai Kinabatangan, dekat Kampung Batu Puteh, di Kinabatangan pukul 10 pagi tadi.

    Mangsa berusia lapan tahun berkenaan mandi di sungai tersebut sebelum dilaporkan hilang, lapor Astro Awani.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamaluddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.05 pagi.

    “Sejurus itu seramai lima anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan dihantar ke lokasi berkenaan bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

    “Ketika ini, SAR sedang giat dijalankan. Namun mangsa belum ditemui. Sebarang perkembangan dari semasa ke semasa akan dimaklumkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

  • Ibu, bayi lemas kereta terbalik dalam parit

    Ibu, bayi lemas kereta terbalik dalam parit

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEBUAH kereta membawa lima beranak hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik dalam parit di Kilometer 141.6 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, Yong Peng, Batu Pahat, hari ini.

    Kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu mengorbankan Dalila Ilyia Abu, 36, dan bayi lelakinya, Khalis Mohd. Khusairi yang berusia setahun.

    Sementara suaminya, Mohd. Khusairi Mohd. Khaida, 39, dan dua lagi anaknya, Nur Ulmiyah Nuha, 9, dan Nur Nadiah Husha, 6, terselamat.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Hafiz Othman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada pukul 6.19 pagi.

    “Seramai enam anggota dengan sebuah jenera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

    Anggota bomba memberi bantuan kepada seorang mangsa selepas kereta dinaiki terbabas sebelum masuk dan terbalik dalam parit di Kilometer 141.6 Lebuhraya Utara Selatan, Yong Peng, Batu Pahat, hari ini

    “Kemalangan melibatkan sebuah kereta Perodua Myvi dinaiki sebuah keluarga telah terbabas dan terbalik dalam parit yang dipenuhi air di tepi lebuh raya.

    “Tiga mangsa berjaya keluar dengan sendiri manakala ibu dan bayinya tidak sedarkan diri dalam kereta dan dipercayai lemas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Pihaknya bertindak mengeluarkan kedua-dua mangsa dan memberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR) terhadap mereka namun tiada tindak balas.

    Katanya, kedua-dua mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Ayer Hitam dan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    Tambah beliau, operasi tamat pada pukul 8.53 pagi.

  • Wanita maut selepas diseret kira-kira 10 meter

    Wanita maut selepas diseret kira-kira 10 meter

    SEORANG pembonceng wanita maut apabila motosikal ditunggang suaminya dilanggar kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 10 Jalan Kunak-Tawau, dekat Kunak pukul 4.45 petang semalam.

    Wanita berkenaan yang merupakan warga Indonesia, 38, meninggal dunia di tempat kejadian manakala suami, 39, dan anaknya, 7, masing-masing mengalami kecederaan ringan.

    Ketua Polis Daerah Kunak, Superitendan Sabarudin Rahmat, berkata siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan motosikal jenis Yamaha 135 LC dan Proton X70.

    “Kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton X70 dipandu lelaki berusia 54 tahun bersama isteri, dari arah Tawau menuju ke Pekan Kunak sementara motosikal dari arah bertentangan.

    “Setibanya di tempat kejadian pemandu Proton X70 telah memotong sebuah kenderaan di hadapannya dan pada masa sama, motosikal itu yang datang dari arah bertentangan cuba membelok ke kanan untuk masuk ke simpang kanan jalan sebelum dilanggar.

    “Akibat pelanggaran itu menyebabkan penunggang motosikal telah tercampak ke bahu jalan manakala kedua-dua pembonceng dan motosikal terseret kira-kira sepuluh meter,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Sabarudin berkata, akibat kemalangan itu penunggang dan anaknya mengalami cedera ringan, manakala isterinya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    Bagaimanapun, katanya pemandu SUV dan isteri tidak mengalami sebarang kecederaan dan siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan saksi kejadian.

    “Kes disiasat mengikut Sek. 41(1) APJ 1987,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

  • Dua maut tercampak keluar selepas kereta berpusing

    Dua maut tercampak keluar selepas kereta berpusing

    DUA maut termasuk seorang gadis remaja selepas kereta dinaiki hilang kawalan dan terbabas berhampiran Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

    Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian tersebut pada pukul 12.23 tengah malam.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Iskandar Puteri, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd. Khairi Zainuddin berkata, lapan anggota bomba diketuai Pegawai Bomba Kanan II Ishak Noh dengan sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

    “Setiba di lokasi, anggota bomba mendapati kedua-dua mangsa iaitu Lee Kah Lok, 19, dan Ng Kui Yang, 15, tercampak keluar dari kereta jenis Honda Civic EJ.

    “Remaja perempuan itu ditemukan bersebelahan kereta manakala mangsa lelaki yang merupakan pemandu didapati tersepit di bawah kenderaan.

    “Siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari laluan arah Gelang Patah ke Skudai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Astro Awani.

    Katanya, kereta berkenaan dipercayai berpusing dan masuk ke laluan bertentangan namun kemalangan tersebut tidak membabitkan kenderaan lain.

    Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan yang hadir di lokasi.

    Tambahnya, mangsa diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut dan operasi tamat pada pukul 1.37 pagi Selasa.