Category: Kemalangan / Bencana

  • Kereta jatuh longkang besar, 2 remaja maut

    Kereta jatuh longkang besar, 2 remaja maut

    DUA remaja lelaki maut manakala dua lagi rakan mereka cedera selepas kereta jenis Proton Wira dinaiki dipercayai hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan sebelum terjatuh ke dalam longkang besar dipenuhi air di KM14.3 Lebuhraya Sultan Iskandar di Johor Bahru, pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, ACP Rupiah Abd Wahid berkata, kemalangan pada 2.05 pagi itu mengakibatkan kedua-duanya yang berusia 18 tahun dan merupakan pemandu kereta serta penumpang hadapan, meninggal dunia di lokasi kejadian.

    Beliau berkata, dua penumpang belakang iaitu seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang cedera di paha kanan dan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun cedera di kepala dan badan telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah di sini untuk rawatan lanjut.

    “Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta yang dalam perjalanan menghala ke Johor Bahru telah melanggar pembahagi jalan selepas melalui selekoh lalu terbabas ke dalam longkang dipenuhi air yang menyebabkan kereta tersebut tenggelam.

    “Kedua-dua mangsa yang maut dikeluarkan oleh pihak bomba manakala dua penumpang belakang berjaya mengeluarkan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin Pegawai Bomba Kanan II Azmi Johar berkata selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu, dua jentera dan tiga ‘Rapid Intervention Motorcycle’ (RIM) dengan 11 anggota dihantar ke tempat kejadian.

    “Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati empat mangsa terlibat dalam kemalangan tersebut, namun dua daripadanya berjaya keluar daripada kenderaan sebelum bomba tiba,” katanya sambil menambah operasi berkenaan ditamatkan pada 3.08 pagi. – BERNAMA

  • Treler 30 tan rempuh rumah, pemandu positif dadah

    Treler 30 tan rempuh rumah, pemandu positif dadah

    SEBUAH treler 30 tan yang sedang membawa muatan besi guna semula dikatakan berhenti secara tiba-tiba sebelum menggelongsor secara mengundur dan merempuh sebuah rumah dalam satu kemalangan di Jalan Peringkat 4, Kampung Felda Sendayan, Seremban malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Nanda Maarof berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 9.15 malam apabila treler yang dipandu lelaki berusia 32 tahun itu mengalami kerosakan enjin, menyebabkan ia berhenti secara tiba-tiba.

    Beliau berkata, treler yang dalam perjalanan dari Melaka menuju Sungai Pelek, Sepang itu kemudiannya menggelongsor, sebelum bahagian belakangnya tergelincir ke kiri bahu jalan dan merempuh sebuah rumah.

    Nanda dalam kenyataan hari ini berkata, tiada kecederaan dilaporkan, dan ujian saringan awal mendapati pemandu treler itu positif dadah jenis methamphetamine. – BERNAMA

  • Bot nelayan Indonesia karam; seorang lagi nelayan dijumpai selamat

    Bot nelayan Indonesia karam; seorang lagi nelayan dijumpai selamat

    SEORANG lagi mangsa bot nelayan asing Indonesia yang karam di perairan Pulau Pinang kelmarin dijumpai selamat oleh nelayan tempatan di kedudukan sekitar pantai Pulau Kendi hari ini.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, pihaknya menerima laporan pukul 7.50 pagi tadi daripada bot nelayan tempatan yang memaklumkan menjumpai individu lelaki berada di pantai Pulau Kendi dalam keadaan lemah dan meminta bantuan dalam keadaan mencurigakan.

    Jelasnya, sebaik sahaja menerima maklumat tersebut, bot PERKASA 1220 Maritim Malaysia yang dalam Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) yang telah memasuki hari ketiga hari ini terus diatur gerak ke lokasi untuk mengambil mangsa.

    Jelasnya, mangsa dengan bantuan bot nelayan tempatan dipindahkan ke bot Maritim Malaysia seterusnya dibawa ke Jeti Marin Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut.

    “Hasil keterangan awal, mangsa, Zulham Efendi Marwani, 31, merupakan warga Indonesia. Keterangan lanjut ke atas mangsa akan diambil di ibu pejabat Maritim Negeri Pulau Pinang untuk pengesahan bahawa mangsa ialah salah seorang kru kapal yang karam dalam Operasi CARILAMAT yang diaktifkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Terdahulu, mangsa pertama bot karam warga Indonesia yang terselamat yang hanya dikenali sebagai Aswin, 43, telah diserahkan kepada Kedutaan Indonesia dan diterima sendiri oleh Konsular Jendral Republik Indonesia (KJRI) Pulau Pinang, Bambang Suharto daripada Leftenan Komander Maritim Mohd. Hafidz Abd. Aziz selaku wakil Maritim Malaysia Pulau Pinang pukul 10.00 pagi ini.

    Dalam pada itu, Bambang berterima kasih di atas keperihatinan Maritim Malaysia dalam usaha pencarian terhadap kejadian tersebut.

    “Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999,” katanya.

  • Penolong Pengarah JPN Kelantan maut dilanggar kereta

    Penolong Pengarah JPN Kelantan maut dilanggar kereta

    PENOLONG Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan maut selepas dilanggar sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki yang hanya memiliki lesen L, ketika berjalan kaki di Jalan Kota Bharu-Pasir Puteh berhampiran Sekolah Kebangsaan Padang Kala, di sini, pagi semalam.

    Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Mohd Rosdi Daud berkata kejadian itu berlaku kira-kira 11.30 pagi, ketika mangsa Nik Mohd Hissham Mohamed Nor, 45, sedang berjalan dari sekolah tersebut menuju ke rumah sepupunya yang terletak di seberang jalan berhampiran lokasi kejadian.

    “Menurut keterangan saksi, ketika Nik Mohd Hissham berada di bahu jalan dari arah Peringat ke Melor, datang sebuah kereta Perodua Axia dari arah belakang telah termasuk ke bahu jalan lalu melanggar mangsa yang berada di bahu jalan.

    “Kejadian itu menyebabkan mangsa terseret sejauh 29 meter ke bahu jalan dan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mohd Rosdi berkata kejadian itu mengakibatkan kereta terlibat mengalami kerosakan pada bahagian bampar dan cermin hadapan pecah, namun pemandu berusia 25 tahun dan penumpang kereta, 24, tidak mengalami kecederaan.

    Menurutnya ujian saringan air kencing terhadap pemandu dan penumpang kereta terbabit didapati negatif.

    “Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai disebabkan kecuaian dan kelekaan pemandu kereta yang tidak berhati-hati dan berhemah hingga menyebabkan berlakunya kemalangan serta kematian kepada mangsa.

    “Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

    — BERNAMA

  • Mayat kanak-kanak ditemukan dipercayai dibaham buaya

    Mayat kanak-kanak ditemukan dipercayai dibaham buaya

    SEORANG budak lelaki yang dilaporkan hilang di sungai pada Selasa lalu ditemukan meninggal dunia dipercayai akibat dibaham buaya di Kampung Batu Putih, di Kinabatangan, hari ini.

    Kanak-kanak berkenaan yang berusia lapan tahun ditemukan pada pukul 1.50 petang dalam keadaan anggota badannya tidak sempurna kira-kira 3.5 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ketiga dimulakan pada pukul 7.40 pagi.

    “Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan separuh badannya tiada iaitu kedua belah tangan, kaki kiri dan kepala berkemungkinan dibaham buaya,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Katanya lagi, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

    “Operasi SAR kemudian ditamatkan pada pukul 2.05 petang,” katanya.

    Media pada Selasa lalu melaporkan mangsa dikhuatiri lemas selepas mandi di sungai berkenaan.

  • Dua beranak maut dalam kemalangan babitkan empat kenderaan

    Dua beranak maut dalam kemalangan babitkan empat kenderaan

    DUA beranak maut setelah kenderaan dinaiki terlibat dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan iaitu dua buah lori, sebuah van serta kereta di Kilometer 39, Jalan Kuantan-Segamat, Pekan, Pahang pada pukul 11 pagi semalam.

    Muhammad Padillah Hussin, 52, dan dan anaknya Nurul Solehah Muhammad Padillah, 23, disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

    Ketua Polis Daerah Pekan Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, siasatan awal mendapati, Proton Wira dipandu Muhammad Padillah dalam perjalanan dari arah Segamat, Johor menghala ke Kuantan manakala tiga kenderaan lain dari arah Kuantan menghala ke Segamat.

    “Sebaik tiba di lokasi, kereta dipandu mangsa dipercayai termasuk ke laluan bertentangan lalu melanggar tayar belakang sebuah lori sebelum bertembung dengan van.

    “Proton Wira itu kemudiannya termasuk semula ke laluan asal manakala van terbabit dilanggar sebuah lagi lori yang berada di belakangnya. Dua beranak itu serta pemandu van terbabit kemudiannya dibawa ke HTAA.

    “Pada pukul 1.53 petang, Muhammad Padillah disahkan meninggal dunia di wad kecemasan HTAA. Pada pukul 6.39 petang pula, Nurul Solehah disahkan meninggal dunia di unit rawatan rapi (ICU) HTAA,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

    Menurut beliau, pemandu van berusia 36 tahun itu patah tangan kanan manakala dua pemandu lori berumur 32 dan 38 tahun tidak mengalami kecederaan.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Wanita maut, empat cedera kemalangan libat dua lori

    Wanita maut, empat cedera kemalangan libat dua lori

    SEORANG wanita maut manakala empat lagi cedera termasuk seorang kanak-kanak parah selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan antaranya dua lori muatan pasir dan besi serta 21 basikal, di Jalan Kamunting, Pasir Puteh, pagi tadi.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh Azhar Elmi Mustofar berkata sebuah lori yang membawa muatan besi terbalik sebelum menghempap kenderaan lain dalam kejadian pukul 9.05 pagi itu.

    “Kenderaan yang terbabit adalah dua lori muatan pasir dan besi, 21 basikal, satu kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Fortuner, tiga kereta dan dua motosikal.

    “13 anggota dan pegawai dari BBP Pasir Puteh dan Tok Bali dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan mengenai kemalangan itu dan mendapati lima mangsa iaitu seorang wanita dewasa meninggal dunia, seorang kanak-kanak parah dan tiga lagi cedera ringan,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

    Beliau berkata kesemua mangsa dibawa ke Hospital Tengku Anis Pasir Puteh manakala kerja-kerja pembersihan di lokasi kejadian selesai pada pukul 11 pagi tadi.

    — BERNAMA

  • Empat maut dalam kemalangan tujuh kenderaan

    Empat maut dalam kemalangan tujuh kenderaan

    EMPAT meninggal dunia dalam kemalangan melibatkan tujuh kenderaan di Kilometer 277.1 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat Ipoh, hari ini.

    Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada pukul 3.02 petang melibatkan enam kereta dan sebuah treler.

    “Kemalangan telah mengakibatkan empat mangsa dengan tiga daripadanya wanita tersepit. Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya telah dihantar ke lokasi kejadian bagi mengeluarkan mangsa.

    “Pegawai perubatan yang hadir ke lokasi mengesahkan kesemua mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Kesemua mangsa yang maut telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, operasi tamat pada pukul 4.16 petang.

  • Lelaki maut selepas kereta dipandu terbakar

    Lelaki maut selepas kereta dipandu terbakar

    SEORANG lelaki maut selepas kereta dipandunya terbakar di Kilometer 303.4 Lebuhraya Utara Selatan dari Serdang ke Kajang, bangi, hari ini.

    Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pukul 12.53 tengah hari.

    Susulan itu kata Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Zulfikar Jaffar, seramai 11 anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi dan BBP Serdang dikejarkan ke lokasi kejadian.

    “Sebaik tiba, kami mendapati kereta terbakar 100 peratus selepas terbabit dalam kemalangan di lokasi berkenaan.

    “Difahamkan pemandu kereta itu iaitu seorang lelaki berusia 20-an sempat dibawa keluar dari kenderaan berkenaan oleh orang awam.

    “Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan di paha kiri dan patah tangan kiri,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Bagaimanapun ujarnya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.

    Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, katanya.

  • Lelaki maut tercekik tulang daging korban

    Lelaki maut tercekik tulang daging korban

    SEORANG lelaki maut selepas sesak nafas dipercayai tercekik tulang daging korban semasa makan di rumahnya di Kampung Alor Selising, Jertih, Besut, semalam.

    Kejadian itu berlaku selepas mangsa, Wan Azlan Wan Ishak, 28, baru pulang dari tempat kerjanya pada pukul 5.15 petang.

    Menurut kakak mangsa, Wan Suria Wan Ishak, 32, adiknya terus ke masuk ke dapur untuk memanaskan singgang daging, sebelum makan.

    “Jika diikutkan sebelum ini dia tidak pernah makan singgang daging lembu. Lauk kegemarannya ialah ayam. Dia juga tidak makan ikan kerana trauma pernah tercekik tulang ikan.

    “Semalam arwah makan daging singgang, lalu tercekik. Wan Azlan meronta-ronta meminta tolong memaklumkan dia sukar untuk bernafas.

    “Saya juga cuba membantu arwah tetapi tidak berjaya dan sempat meminta arwah mengucap sebelum dia tidak sedarkan diri.

    “Arwah dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Besut, sebelum disahkan meninggal dunia pukul 5.50 petang,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.

    Wan Suria berkata, arwah adiknya amat rapat dengan ahli keluarga serta disenangi oleh semua kenalan kerana seorang yang peramah dan suka membantu sesiapa sahaja.

    Katanya, kehilangan Wan Azlan amat dirasai namun mereka reda dengan pemergiannya pada hari ketiga Aidiladha.

    “Pada haya kedua Aidiladha, ibu berkata jika Azlan tiada, pasti mereka sukar untuk melakukan aktiviti seharian kerana dia banyak membantu memudahkan urusan keluarga,” katanya.

    Beliau berkata, arwah dikebumikan kira-kira pukul 12 malam tadi di Tanah Perkuburan Kampung Padang Landak.