DUA maut dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Kilometer 126 Lebuhraya Pantai Timur (LPT), di Temerloh, awal pagi ini.
Mangsa, Tan Wee Li, 39 tahun, dan Nur Susilawati Che Deraman, 35 tahun, yang masing-masing beralamat di Cheras, Kuala Lumpur dan Sungai Lembing, Kuantan, maut dalam kemalangan pada pukul 2.47 pagi.
Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, berdasarkan laporan, kemalangan tersebut melibatkan kereta jenis Perodua Myvi dan sebuah treler.
Katanya, seramai enam anggota termasuk Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh dihantar ke lokasi kemalangan.
“Kedua-dua mangsa yang tersepit dalam kereta dikeluarkan oleh pasukan bomba menggunakan peralatan keselamatan.
“Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya memetik laporan Astro Awani hari ini.
Bagaimanapun, pemandu dan kelindan treler tidak mengalami sebarang kecederaan.
SISTEM siren amaran awal di Kampung Iboi, Kupang di Baling perlu dipasang segera bagi mengelak risiko fenomena kepala air daripada berulang sehingga berlakunya kemalangan jiwa.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang, Datuk Najmi Ahmad, kerajaan negeri Kedah akan menyerahkan kajian berkaitan perkara itu kepada agensi terlibat untuk tindakan segera.
“Oleh kerana kita tidak dapat jangka, kita rasa amat perlu dipasang sistem amaran awal di Gunung Inas kerana dengan keadaan cuaca tidak menentu dan bentuk muka bumi, penduduk terdedah kepada risiko tragedi kepala air ini berulang.
“Kita memang memberi keutamaan kepada keselamatan penduduk, di peringkat kerajaan negeri sudah bertindak pantas dalam menangani persoalan ini dan kita rasa sistem amaran ini sangat perlu,” katanya selepas menghadiri Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara ke-16 di Alor Setar, hari ini.
Tragedi kepala air di Gunung Inas pada 4 Julai lalu mengorbankan tiga nyawa penduduk serta mengakibatkan lebih 800 rumah penduduk terutamanya di Kampung Iboi dan sekitar Kupang terjejas.
Najmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia Kedah berkata, pihaknya telah mengambil maklum mengenai kebimbangan penduduk di kawasan berkenaan terutamanya dengan impak kepala air itu.
Beliau berkata, kesan tragedi tersebut turut mengubah struktur sungai terutama Hutan Lipur Lata Celak yang semakin cetek kerana dipenuhi pasir.
“Kerja membuat benteng pasir dan mendalamkan sungai itu sedang dijalankan oleh agensi berkaitan dan pemantauan pihak terbabit sering dilakukan.
“Tindakan sedang dijalankan seperti mendalamkan sungai dan bina benteng. Kita harap orang kampung jangan risau kerana perkara itu dalam perhatian kerajaan dan semua agensi terlibat sedang melaksanakan kerja mereka,” katanya.
SELEPAS lima kali mengalami kebakaran dalam skala kecil sejak 7 Julai lalu, sebuah hotel dekat Limbong Kapal di Alor Setar, Kedah akhirnya musnah sebanyak 90 peratus dalam kebakaran yang berlaku awal pagi tadi.
Pegawai Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Mohd. Naim Mat Jaafar berkata, kejadian itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kehilangan nyawa mahu pun kecederaan.
Menurutnya, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 2.26 pagi dan beberapa jentera bersama pasukan bomba sukarela (PBS) bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, didapati api sudah pun marak. 90 peratus daripada bangunan itu dibina menggunakan kayu menyebabkan api mudah merebak.
“Secara keseluruhannya, kira-kira 90 peratus bangunan hotel itu musnah. Kebakaran itu turut menjejaskan sebanyak 20 peratus kafe di sebelah kanan hotel tersebut dan lima peratus rumah kedai di sebelah kirinya,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di Alor Setar, hari ini.
Anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan api yang sedang marak membakar sebuah hotel di Alor Setar, awal pagi tadi.
Kebakaran pertama di hotel tersebut direkodkan pada 7 Julai, 11 Julai, 12 Julai, 13 Julai, semalam dan yang terbaharu kira-kira pukul 2.15 pagi tadi.
Sementara itu, pembantu pengurus kafe tersebut, Mohd Firdaus Abdul Rahman, 38, berharap pihak berkuasa dapat segera menyiasat punca kejadian itu.
“Kebakaran ini benar-benar menjejaskan kami kerana tidak lagi boleh menjalankan perniagaan. Di sini, terdapat kira-kira 10 peniaga yang sama-sama menjalankan perniagaan makanan di tapak kafe kami.
“Sudah tentu pendapatan kami semua terjejas. Selepas enam kali berlaku kebakaran hingga kali ini menjejaskan perniagaan kami, sudah tentu kami mahu tahu apa punca kepada kejadian ini,” katanya.
Keadaan hotel yang terbakar di Limbong Kapal, Alor Setar awal pagi tadi.
Dalam pada itu Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir memaklumkan, pihaknya sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah dalam kejadian tersebut.
PEKERJA sebuah kilang besi di Bintulu maut selepas dilanggar forklift semasa bekerja pada pukul 6.30 pagi kelmarin.
Pejabat Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Sarawak dalam kenyataan berkata, semasa kejadian, mangsa sedang menjalankan tugasan harian sebelum dilanggar forklift terbabit.
“Semasa kejadian, mangsa dikatakan sedang dalam perjalanan menuju ke ‘billet casting’ sebelum dilanggar forklift dari arah belakang.
“Insiden rempuhan turut menyebabkan mangsa terjatuh lalu badannya terperosok ke bawah trak angkat susun terbabit,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.
Menurutnya, mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Bintulu bagi diberikan rawatan lanjut tetapi disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan hospital berkenaan.
Berikutan insiden terbabit, pegawai penyiasat dari JKKP Sarawak Cawangan Bintulu membuat siasatan di lokasi kejadian.
“Operasi forklift dihentikan sementara menunggu siasatan lanjut dijalankan berhubung insiden yang meragut nyawa itu,” katanya.
Kes disiasat mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan Akta Kilang dan jentera 1967.
SEORANG remaja lelaki ditemukan lemas selepas mandi-manda bersama lima rakan di sebuah kolam di Bandar Baru, Kuala Nerus, petang semalam.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerus, Azmi Omar, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.59 petang sebelum sebuah jentera bersama 11 anggota termasuk pegawai digerakkan ke lokasi kejadian.
Beliau berkata, mangsa, Muhammad Akif Danish Abdul Aziz, 13, ditemui pada pukul 5.50 petang di kedudukan dua meter dari lokasi terakhir dilihat, lapor Astro Awani.
Katanya, mangsa dijumpai di dasar kolam oleh anggota yang menjalankan selaman.
Bagaimanapun jelasnya, Muhammad Akif Danish telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut.
TUNANG kepada Muhammad Iman Aqmar Dzulkarnain tidak sangka mimpinya bertemu dan bercakap dengan Allahyarham yang memberitahu akan ‘pulang’ hari ini menjadi ‘kenyataan.’
Bagaimanapun kata Nurfaizah Mahadi, 25, tunangnya itu pulang dalam keadaan yang berbeza dan tidak menyangka itu merupakan petanda jasadnya yang hilang ditemukan serta disemadikan hari ini.
“Saya sudah dua kali bermimpi bertemu dan satu lagi bercakap dengan Allahyarham pada awal tahun ini dalam tempoh kira-kira 10 bulan Allahyarham menghilangkan diri.
“Saya tidak ingat tarikh kedua-dua mimpi itu tetapi dalam mimpi pertama, saya hanya sempat bertanyakan ke mana dia pergi tetapi dibalas dengan senyuman arwah.
“Dia senyum tunjuk ke satu arah dan hilang, sebelum saya terjaga dari tidur,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pengkebumian Muhammad Iman Aqmar di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Putih di Pasir Gudang, pukul 1 pagi tadi.
Nurfaizah Mahadi ketika ditemui pemberita selepas pengkebumian Muhammad Iman Aqmar di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang, awal pagi ini
Kisah kehilangan Muhammad Iman Aqmar, 25, pernah tular dalam media sosial pada tahun lalu selepas Adik Allahyarham, Nurul Izz Anisah, 21, meminta bantuan orang ramai berkenaan kehilangan abangnya itu.
Lelaki itu bergerak dari Pasir Gudang pada jam 1.30 pagi, 29 Oktober tahun lalu ke Terengganu dengan memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina.
Bagaimanapun, dia selepas itu gagal dihubungi keluarga, majikan dan Nurfaizah.
Berkenaan mimpi keduanya, Nurfaizah yang bekerja sebagai kerani berkata, dia ‘berjaya’ menghubungi Allahyarham menerusi telefon bimbitnya.
“Saya bertanya dalam mimpi itu, awak di mana? semua orang mencari awak. Arwah cakap saya ada sini dalam 26 hari bulan (Selasa) nanti saya balik la. Saya bersyukur Iman ditemui,” katanya.
Dia melahirkan rasa syukur kerana jawapan kepada persoalan hampir 10 bulan di mana tunangnya pergi telah terjawab kerana sebelum ini sering risau keadaan Allahyarham sejak kehilangannya 29 Oktober lalu.
“Selama hampir 10 bulan kami menunggu jawapannya, sekarang sudah terjawab di mana dia berada.
Ada kuburnya, Saya rasa bersyukur sangat kerana ini jawapan yang saya tunggu, selama 10 bulan ini saya selalu fikir dia di mana. Dia makan ke atau tidak?,” katanya.
Allahyarham Muhammad Iman Aqmar dan Nurfaizah sepatutnya melangsungkan pernikahan ketika ulang tahun kelahiran tunangnya itu pada Disember lalu namun hajat mereka tidak kesampaian.
Perkahwinan mereka sepatutnya diadakan pada Ogos tahun lalu, namun ditangguhkan pada Disember lalu kerana Ayah Norfaizah meninggal dunia.
Hampir 100 orang hadir upacara pengkebumian Allahyarham Muhammad Iman Aqmar di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang, pada awal pagi tadi
Sementara itu, ibu kepada Allahyarham, Azmawati Ab Kadir, 55, lega dan tenang selepas jasad anaknya itu dapat disemadikan seperti orang lain sekali gus menamatkan persoalan dan penantian keluarganya.
Dia menyatakan rasa syukur tanpa henti kerana jasad Allahyarham dapat dikuburkan termasuk semua proses berjalan lancar dan mereka juga sekeluarga reda dengan apa yang berlaku.
“Alhamdulillah, reda….saya rasa lega, kepala rasa ringan, saya tahu dia ke mana, Sang Pencipta telah ambil. Sudah selesai Ya Allah, terima kasih Ya Allah, 24 tahun Allah pinjamkan dia untuk saya.
“Ya Allah syukur alhamdulillah, dia (arwah) anak yang terbaik untuk saya. Semua sudah selesai perjalanan ini,” katanya.
Azmawati berkata, dalam tempoh hampir 10 bulan kehilangannya, setiap masa dia teringat kepada arwah.
Dia sering tertanya-tanya dan terfikir di manakah anaknya pergi ketika itu kerana tiada khabar berita diterima dalam tempoh tersebut.
“Tempoh yang lama, tetapi sekarang hati saya lapang sangat, sebelum ini beban kerana terfikir-fikir mana anak aku?.
“Kalau hujan macam sekarang ini, saya akan fikir abang di mana ye?. Sekarang ini saya sudah tahu dia ada di sini, Sang Pencipta dia sudah ambil, saya reda,” katanya.
ALLAHYARHAM Muhammad Iman Aqmar Dzulkarnain yang ditemukan selepas hilang kira-kira 10 bulan lalu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang pada pukul 1 pagi tadi.
Hujan lebat selama 20 minit melanda selepas jasad Allahyarham disemadikan dan hampir 100 ahli keluarga, saudara, rakan, kenalan dan penduduk hadir memberikan penghormatan terakhir kepadanya.
Terdahulu jenazah dibedah siasat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan dan kemudian dibawa ke masjid berkenaan pada jam 2.30 petang untuk dimandikan.
Seterusnya jenazah dikafan dan disembahyangkan di masjid yang sama sebelum dibawa pulang ke tanah perkuburan itu pada pukul 12.25 tengah malam tadi untuk dikebumikan.
Kisah kehilangan Muhammad Iman Aqmar, 25, pernah tular dalam media sosial pada tahun lalu selepas Adik Allahyarham, Nurul Izz Anisah, 21, meminta bantuan orang ramai berkenaan kehilangan abangnya itu.
Lelaki itu bergerak dari Pasir Gudang pada jam 1.30 pagi, 29 Oktober tahun lalu ke Terengganu dengan memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina.
Bagaimanapun, dia selepas itu gagal dihubungi keluarga, majikan dan tunangnya, Nurfaizah Mahadi, 25 tahun.
Pada Sabtu, polis dilaporkan menemukan satu rangka manusia dalam sebuah kereta yang ditarik keluar dari Sungai Api-Api sebelum dikenal pasti sebagai Allahyarham yang hilang sejak hampir 10 bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin dilaporkan berkata, mayat ditemukan dalam kenderaan Nissan Grand Livina yang dijumpai seorang lelaki warga emas ketika dia mengalihkan besi dari jalan ke tepi sungai berkenaan pada 11.40 pagi.
Kenderaan itu mempunyai kerosakan pada bahagian hadapan, kiri dan kanan, selain pemeriksaan di dalamnya menemukan mayat diselaputi lumpur serta pas pekerja yang didaftarkan atas nama Muhammad Iman Aqmar.
Siasatan awal polis terhadap nombor pendaftaran kenderaan mendapatinya dikaitkan dengan laporan kehilangan Allahyarham yang dibuat ahli keluarganya di Pasir Gudang.
Rangka mayat itu kemudian dilaporkan dihantar ke HTAA untuk bedah siasat manakala kenderaan ditarik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan bagi siasatan lanjut.
JENAZAH Muhammad Iman Aqmar Dzulkarnain yang ditemukan dalam kenderaan di Sungai Api-Api di Nenasi, Pekan, Sabtu lalu masih belum boleh dituntut warisnya.
Adik Allahyarham, Nurul Izz Anisah Dzulkarnain, 21, memaklumkan demikian menerusi hantaran dalam media sosial.
Menurut Izz Anisah, urusan pengebumian akan diberitahu selepas urusan di hospital selesai.
Izz Anisah turut memohon orang ramai mendoakan supaya urusan tersebut dipercepat dan dipermudahkan.
“Assalamualaikum, buat masa ini jenazah arwah abang saya masih belum boleh dituntut.
“Insya-Allah, urusan pengebumian akan diberitahu kelak jika urusan di hospital selesai.
“Doakan agar urusan kami dipercepatkan dan dipermudahkan oleh-Nya,” katanya dalam hantaran dalam Facebook, lapor Utusan TV.
Kisah kehilangan Muhammad Iman Aqmar pernah tular dalam media sosial tahun lalu selepas Izz Anisah memohon bantuan orang ramai mengesan abangnya selepas dikatakan hilang tanpa khabar.
Lelaki itu bergerak dari Pasir Gudang pada pukul 1.30 pagi, 29 Oktober tahun lalu ke Terengganu dengan memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina.
Bagaimanapun, dia selepas itu gagal dihubungi keluarga serta majikannya.
Kelmarin, polis dilaporkan menemukan satu rangka manusia dalam sebuah kereta yang ditarik keluar dari Sungai Api-Api di Nenasi, Pekan yang dipercayai mayat seorang lelaki yang hilang sejak hampir 10 bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd. Zaidi Mat Zin, dilaporkan berkata mayat ditemukan dalam kenderaan Nissan Grand Livina yang dijumpai seorang lelaki warga emas ketika dia mengalihkan besi dari jalan ke tepi sungai berkenaan pada 11.40 pagi.
Kenderaan itu mempunyai kerosakan pada bahagian hadapan, kiri dan kanan, selain pemeriksaan di dalamnya menemukan mayat diselaputi lumpur serta pas pekerja yang didaftarkan atas nama Muhammad Iman Aqmar.
Siasatan awal polis terhadap nombor pendaftaran kenderaan mendapati ia dikaitkan dengan laporan kehilangan dibuat di Pasir Gudang, Johor oleh ahli keluarga mangsa.
Rangka mayat itu kemudian dilaporkan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk bedah siasat manakala kenderaan ditarik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan bagi siasatan lanjut.
POLIS akan merakam keterangan pemandu kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Toyota Hilux yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Jeli-Gerik berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Titiwangsa yang mengorbankan lima sekeluarga pada Sabtu.
Bagaimanapun, setakat ini, proses itu belum dapat dilakukan kerana pemandu berkenaan, seorang wanita berusia 53 tahun, masih dirawat di Hospital Jeli, Kelantan.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, wanita tersebut mengalami luka di dada dan paru-paru.
“Buat masa ini masih lagi dirawat di Hospital Jeli untuk pemeriksaan lanjut dan kita belum dapat lagi menemuramah ataupun mengambil rakaman percakapan beliau.
“Dalam masa terdekat kita akan mengambil rakaman percakapan itu apabila dia pulih seperti biasa ataupun selepas dia discaj dari Hospital Jeli.
Dia masih lagi ditahan dan penumpang-penumpang dalam kereta itu kita sudah rakam percakapan mereka,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, hari ini.
Dalam kejadian pukul 3.45 petang Sabtu, lima sekeluarga yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza maut selepas bertembung dengan Toyota Hilux.
Kemalangan itu dipercayai berpunca daripada pemandu 4WD yang dalam perjalanan dari arah Gerik menuju Jeli, hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan, sebelum bertembung dengan kenderaan dinaiki lima sekeluarga berkenaan.
Mangsa ialah Mohd. Rodhi Othman, 64 tahun, Sharifah Rohana Syed Sagaf, 59 tahun, Siti Aishah Mohd. Rodhi, 32 tahun, Ahmad Khomaini Abu, 32 tahun, dan Zara Hana Ahmad Khomaini, 6 tahun.
Jenazah mereka selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Hj Abd Rashid, Sungai Dua, Butterworth, Pulau Pinang, petang semalam, lapor Astro Awani.
SEORANG rentung dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan berhampiran Jambatan Permas Jaya, Lebuhraya EDL, Pasir Gudang menghala ke Bakar Batu, Johor Bahru, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Mohd. Suhaimi Jamal berkata, kemalangan itu membabitkan tiga kereta iaitu jenis BMW, Perodua Myvi dan Honda City serta sebuah van pekerja kilang jenis Nissan.
“Mangsa yang rentung tersepit di bahagian pemandu kereta BMW. Seramai 13 anggota dari BBP Larkin dibantu sembilan anggota BBP Johor Jaya ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 6.10 pagi.
“Setibanya anggota di tempat kejadian didapati berlaku kebakaran melibatkan sebuah kereta jenis BMW terbakar 90 peratus, van pekerja kilang (terbakar 90 peratus) dan Perodua Myvi (terbakar 60 peratus) manakala Honda City tidak terbakar.
“Anggota bertindak membuat pemadaman dengan menggunakan dua aliran salur bantu mula dan air tangki pam jentera serta membantu mengeluarkan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa yang dikeluarkan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Tambah Mohd Suhaimi, pemandu Honda City dan Perodua Myvi masing-masing lelaki berusia 34 dan 52 tahun selamat.