Category: Kemalangan / Bencana

  • Polis nafi satu lagi jurulatih penerbangan maut

    Polis nafi satu lagi jurulatih penerbangan maut

    POLIS menafikan seorang lagi jurulatih penerbangan yang cedera dalam kejadian pesawat ringan terhempas di Jalan Raja Dr Nazrin Shah di Ipoh, malam tadi sudah meninggal dunia.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid menjelaskan, jurulatih berkenaan masih dalam keadaan stabil sekali gus menafikan berita tular yang mengatakan satu lagi jurulatih penerbangan terbabit maut.

    “Semalam saya dengar ada khabar angin mengatakan juruterbang itu meninggal dunia, itu tidak benar.

    “Mangsa cedera berusia 62 tahun itu ketika ini masih dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan dalam keadaan yang stabil,” katanya sebagaimana dilaporkan Harian Metro.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir pada Majlis Penyerahan Bot Penyelamat Polis Diraja Malaysia (PDRM) oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad di Ipoh, hari ini.

    Mior Faridalathrash berkata, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) pagi ini akan menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

    “Semalam kita membantu mereka mengepung tempat berkenaan agar tiada pencerobohan dibuat ke atas bangkai pesawat terbabit.

    “Satu sayap pesawat berkenaan patah. Kita membuat kawalan sepanjang malam sehingga ke pagi ini bagi memberi ruang kepada pihak CAAM untuk menjalankan siasatan,” katanya.

    Sementara itu, Saarani berkata, siasatan berhubung kejadian itu akan dijalankan oleh di bawah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan CAAM.

  • Pengunjung Suria KLCC maut terjatuh dari tingkat atas

    Pengunjung Suria KLCC maut terjatuh dari tingkat atas

    SEORANG pengunjung di Suria KLCC, Kuala Lumpur, maut dipercayai terjatuh dari tingkat atas pusat beli-belah berkenaan, semalam.

    Perkara itu disahkan pihak Suria KLCC dalam satu kenyataan, lapor FMT.

    “Pihak pengurusan Suria KLCC dukacita memaklumkan yang berlaku insiden malang di Suria KLCC petang tadi mengakibatkan seorang pengunjung terjatuh dari tingkat atas.

    “Dukacita juga dimaklumkan individu terbabit telah meninggal dunia,” kata kenyataan itu.

    Pihak Suria KLCC turut menyatakan yang mereka bersedia memberi kerjasama penuh membantu pihak berkuasa dalam siasatan kes terbabit.

    Dalam pada itu, pihak Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi mengesahkan kejadian itu dan menjelaskan siasatan lanjut akan dilakukan.

  • Pesawat terhempas milik BATS Aviation

    Pesawat terhempas milik BATS Aviation

    PESAWAT ringan PA28 (9M BAA) yang terhempas sehingga mengakibatkan seorang jurulatih penerbangan maut di Jalan Raja Dr Nazrin Shah, Medan Gopeng, di Ipoh malam tadi dimiliki oleh BATS Aviation Sdn Bhd.

    BATS Aviation Sdn Bhd dalam satu kenyataan, berkata pesawat itu bermula pada pukul 7.50 malam dan berlepas dari Runway 04 pada pukul 8 malam.

    “Krew BATS mengeluarkan panggilan kecemasan (mayday) pada pukul 8.07 malam dan hilang hubungan.

    “Dua jurulatih BATS terbabit dalam kecelakaan ini, seorang juruterbang terkorban manakala seorang lagi juruterbang berada dalam keadaan kritikal dan menerima bantuan perubatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB),” katanya lapor Berita Harian.

    Katanya, kemalangan itu sudah dilaporkan kepada pihak berkuasa, polis, Pihak Berkuasa Penerbangan Malaysia (CAAM).

    “Sebab-sebab nahas itu akan disiasat sewajarnya oleh pihak berkuasa yang berkaitan.

    “BATS Aviation akan memaklumkan kepada media mengenai sebarang maklumat terkini,” katanya.

  • Dengar bunyi dentuman, pesawat terbang rendah

    Dengar bunyi dentuman, pesawat terbang rendah

    SEORANG saksi yang tinggal berhampiran lokasi kejadian pesawat terhempas di Jalan Dr Nazrin Shah, Sungai Rokam, Medan Gopeng di Ipoh malam tadi terkejut apabila mendengar bunyi aneh sebelum melihat sebuah pesawat terbang pada paras rendah.

    Lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Wan, 41, berkata dia yang baru selesai mengisi minyak di sebuah stesen minyak berhampiran melihat pesawat itu melanggar tiang lampu berhampiran kunci air.

    “Pesawat tersebut dilihat terbang pada paras rendah lalu terhempas melanggar tiang tersebut. Susulan daripada itu saya membuat pusingan U dan pergi melihat keadaan pesawat,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian..

    Sementara itu, penduduk sebuah rumah berhampiran yang hanya dikenali sebagai Haizad berusia 22 tahun berkata dia terdengar bunyi hentaman yang kuat ketika sedang berada di rumah ketika kejadian sekitar 7 malam.

     “Saya tidak terus keluar ke rumah kerana menyangkakan kemalangan biasa sehinggalah  kawan saya memaklumkan melalui WhatsApp berkenaan ada pesawat terhempas, selepas melihat gambar barulah sedar kejadian sangat dekat dengan rumah,” katanya.

    Seorang jurulatih penerbangan, Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, dari Semenyih, Selangor maut manakala seorang lagi Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62, dari Bukit Damansara, Kuala Lumpur cedera dalam nahas itu. – Bernama

  • Bayi maut, tujuh lagi cedera kereta terbalik dalam parit

    Bayi maut, tujuh lagi cedera kereta terbalik dalam parit

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG bayi berusia lima bulan meninggal dunia manakala tujuh lagi termasuk dua kanak-kanak dan warga emas cedera selepas kereta yang dinaiki terbabas dan masuk dalam parit di Kilometer 161.1 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, dekat Tangkak malam tadi.

    Pihak bomba menerima laporan kejadian itu pada jam 8.19 malam sebelum enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangkak dikejarkan ke tempat kejadian.

    Komander Operasi dari BBP Tangkak, Pegawai Bomba Kanan II Nor Zait Iskandar Md Nor berkata, mereka dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

    “Kemalangan jalan raya itu melibatkan sebuah kereta Perodua Alza terbabas ke bahu jalan sebelum terbalik dalam parit. Terdapat lapan mangsa yang berada di dalam kenderaan tersebut.

    “Seorang bayi perempuan berusia lima bulan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Selain itu katanya, seorang wanita dewasa, seorang wanita warga emas, dua lelaki dewasa, dua kanak-kanak lelaki berusia empat dan lima tahun serta seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun cedera.

    Jelasnya, dalam kemalangan tersebut semua mangsa tidak tersepit dan pihak bomba memberikan rawatan awal kepada mangsa.

    Menurutnya, empat daripada mangsa dihantar ke hospital menaiki EMRS manakala tiga lagi mangsa menaiki ambulans Kementerian Kesihatan (KKM).

    “Mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Operasi tamat pada jam 9.01 malam,” katanya.

  • Pernah terbabit dalam insiden pesawat tidak patahkan minat arwah Fajim Juffa

    Pernah terbabit dalam insiden pesawat tidak patahkan minat arwah Fajim Juffa

    JURULATIH penerbangan yang maut dalam tragedi pesawat ringan terhempas di Jalan Dr Nazrin Shah, Sungai Rokam, Medan Gopeng di Ipoh malam tadi pernah terselamat dalam satu lagi insiden membabitkan pesawat sebelum ini.

    Allahyarham Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, dilaporkan tersangkut pada sebatang pokok selama beberapa hari apabila pesawat dinaiki mengalami masalah enjin namun berjaya dikawal semasa menjalani latihan pada 2004.

    Menurut ibu saudara Allahyarham yang berusia lingkungan 50-an serta enggan dikenali, kejadian itu bagaimanapun tidak mematahkan semangat Fajim Juffa dalam bidang penerbangan.

    “Arwah tidak pernah memberitahu dia takut atau mahu berhenti daripada bidang ini kerana memang mempunyai minat yang amat mendalam,” katanya kepada pemberita di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun.

    Beliau berkata Arwah bapa Fajim Juffa turut mengalami nasib sama kerana terkorban dalam insiden membabitkan pesawat pada sekitar tahun 1989.

    Tinjauan Bernama mendapati suasana pilu menyelubungi pekarangan Jabatan Forensik itu terutama apabila isteri dan anak-anak perempuan Arwah tiba dari Selangor pada kira-kira 1.20 pagi.

    Ibu saudara arwah juga berkata mereka tidak sanggup memberitahu kesemua anak perempuan dan isteri Fajim Juffa bahawa beliau telah terkorban sehinggalah mereka tiba di sini bagi mengelakkan perkara tidak diingini menimpa keluarga itu ketika dalam perjalanan.

    “Saya rapat dengan arwah dan beliau merupakan seorang yang ceria serta selalu membawa keluarga datang ziarah ke rumah saya,” katanya.

    Dalam insiden pada kira-kira 8 malam itu, Fajim Juffa yang berasal dari Semenyih, Selangor terkorban manakala seorang lagi jurulatih penerbangan iaitu Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62, dari Bukit Damansara, Kuala Lumpur cedera.

    Mereka dilaporkan bertolak dari sekolah latihan kapal terbang yang terletak berhampiran sebelum kejadian.

      — BERNAMA

  • Jurulatih penerbangan maut, seorang lagi cedera pesawat ringan terhempas di Ipoh

    Jurulatih penerbangan maut, seorang lagi cedera pesawat ringan terhempas di Ipoh

    SEORANG jurulatih penerbangan maut manakala seorang lagi cedera dalam kejadian pesawat ringan terhempas di Jalan Dr Nazrin Shah berhampiran Medan Gopeng di Ipoh malam ini.

    Mangsa yang maut ialah Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, dari Semenyih, Selangor manakala mangsa yang cedera ialah Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62, dari Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

    Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata pihaknya menerima panggilan mengenai insiden itu pada kira-kira 8.10 malam dan siasatan awal mendapati kedua-dua jurulatih penerbangan bertolak dari sekolah latihan kapal terbang yang terletak berhampiran.

    “Mereka dipercayai menaiki pesawat jenis Piper 28 dan cuaca adalah baik ketika kejadian. Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan membuat siasatan untuk mengetahui punca kejadian,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

    Beliau berkata kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun tindakan lanjut.

    Difahamkan, pihak syarikat penerbangan BATS Aviation sudah menghubungi keluarga mangsa terlibat bagi memaklumkan kejadian.

  • Bot karam: Juragan berenang enam jam dapatkan bantuan

    Bot karam: Juragan berenang enam jam dapatkan bantuan

    SEORANG juragan warga tempatan berenang selama enam jam ke Pulau Mantabuan bagi mendapatkan bantuan kerana bot yang membawa 11 penumpang telah dimasuki air sebelum karam, semalam.

    Ketua Polis Daerah Lahad Datu Supt Mohd Farhan Lee Abdullah berkata bot kayu itu dimasuki air sebelum karam dipercayai kerana terlanggar kayu yang terapung dalam kejadian antara 4.30 hingga 5 petang di perairan Pulau Mantabuan.

    Beliau berkata dalam kejadian itu, juragan bot berusia 46 tahun dan penumpang mengikat tong minyak kosong di sekeliling bot tersebut bagi mengelakkan ia tenggelam sebelum juragan itu berenang mendapatkan bantuan pihak berkuasa.

    “Pasukan Angkatan Tentera Malaysia yang berada di pulau itu kemudian menjalankan tindakan menyelamat semua mangsa sebelum menyerahkan kepada pasukan Polis Marin untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Mohd Farhan berkata kesemua mangsa terdiri daripada sembilan lelaki, dua wanita serta seorang kanak-kanak lelaki berumur tiga hingga 79 tahun.

    Katanya, juragan itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 280 Kanun Keseksaan iaitu menjalankan aktiviti perahuan dengan gopoh manakala empat penumpang yang tiada dokumen pengenalan diri ditahan bagi siasatan kes di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1963.

    “Semua juragan bot diminta sentiasa mematuhi keselamatan dan peraturan ditetapkan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.- BERNAMA

  • [VIDEO] Bas ‘makan jalan’ akibatkan nahas tiga kenderaan

    [VIDEO] Bas ‘makan jalan’ akibatkan nahas tiga kenderaan

    KECUAIAN seorang pemandu bas dipercayai menjadi punca kemalangan jalan raya membabitkan tiga buah kenderaan di Jalan Tun Sardon, Balik Pulau, Pulau Pinang.

    Klip kejadian itu yang kini tular merakamkan sebuah bas dipandu secara cuai sehingga memasuki laluan bertentangan di kawasan selekoh sebelum berlanggar dengan sebuah kereta dan sebuah motosikal.

    Akibat pertembungan itu, kereta berkenaan dirakam berpusing dan terbalik di kawasan semak di bahu jalan manakala motosikal berkenaan tidak diketahui.

    Bagaimanapun klip berdurasi 18 saat yang dimuat naik laman Facebook Malaysia Crime Watch tidak menyatakan nasib mangsa.

    Tinjauan Warta Rakyat pada ruangan komen mendapati netizen mengecam sikap pemandu bas kerana mengakibatkan kemalangan tersebut.

    Zul Zufikal dalam reaksinya berkata:”Xlayak memandu bas”.

    Seorang lagi warganet, Ali Penang Fam meminta keluarga mangsa saman pemandu dan syarikat bas.

    “Semoga Allah permudahkan semua urusan mangsa,” katanya.

  • Tiga rakan karib maut, motosikal bertembung kereta

    Tiga rakan karib maut, motosikal bertembung kereta

    TIGA rakan karib maut selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta yang dipercayai gagal memotong sebuah kenderaan lain di Kilometer (KM) 80 Jalan Jerangau-Jabor di Bukit Besi dekat Dungun, semalam.

    Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah berkata, Muhammad Hafiqzie Mohd Zukri; Muhammad Salman Faris Samsu; dan Muhammad Faris Haikal Mohd Faizal, kesemuanya berumur 14 tahun maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

    Baharudin berkata, polis menerima maklumat mengenai kemalangan tersebut pada pukul 9.25 malam dan siasatan awal mendapati kemalangan berlaku setelah sebuah Proton Iswara dari arah Jabor menghala ke Jerangau masuk ke laluan bertentangan untuk memotong sebuah kenderaan lain, namun telah bertembung dengan motosikal Honda EX5 yang dinaiki ketiga-tiga mangsa.

    “Akibat kemalangan tersebut, penunggang iaitu Muhammad Faris Haikal dan dua lagi rakannya yang membonceng motosikal berkenaan, maut di tempat kejadian. Mereka difahamkan dalam perjalanan ke kedai makan.

    “Pemandu Proton Iswara iaitu seorang lelaki berumur 50 tahun dan penumpang hadapan, seorang wanita berumur 45 tahun serta dua kanak-kanak lelaki berumur enam dan tujuh tahun yang duduk di bahagian penumpang belakang mengalami kecederaan. Mereka kini dirawat di Hospital Dungun,” katanya ketika dihubungi awal pagi tadi.

    Menurut Baharudin mayat ketiga-tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besi itu telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.

    Sementara itu, nenek Muhammad Faris Haikal, Nolida Ismail, 51, ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Dungun di sini, awal pagi ini berkata beliau menerima maklumat mengenai tragedi yang menimpa cucu kesayangannya itu melalui panggilan telefon daripada anak perempuanya yang tinggal di Kuala Terengganu.

    “Ketika anak saya iaitu ibu saudara Faris (Muhammad Faris Haikal) telefon memberitahu ada maklumat yang tular di kumpulan WhatsApp mengenai kemalangan membabitkan tiga ‘budak’ lelaki yang menaiki motosikal EX5 berwarna merah di situ (Bukit Besi). Saya terus rasa tidak sedap hati kerana Faris baru sahaja keluar menunggang motosikal saya yang juga jenis EX5 merah. Lagipun mereka bertiga memang selalu bersama ke mana-mana sahaja.

    “Jadi saya terus hubungi telefon bimbit Faris namun, panggilan tidak dijawab. Saya semakin tidak sedap hati dan bergegas ke lokasi yang dimaklumkan. Apabila sampai saya lihat motosikal saya berada di situ dan mayat cucu serta rakan-rakannya telah diusung masuk ke dalam kenderaan polis,” katanya.

    Nolida berkata, dia berasa sangat sedih kerana telah menjaga Muhammad Faris Haikal yang merupakan anak bongsu daripada 10 beradik, sejak lahir memandangkan kedua-dua ibu bapa remaja berkenaan telah berpisah dan bekerja di luar Terengganu. – Bernama