Category: Kemalangan / Bencana

  • Proses geologi berangkai penyebab utama banjir di Baling

    Proses geologi berangkai penyebab utama banjir di Baling

    FENOMENA proses geologi berangkai – hujan lebat, tanah runtuh, aliran dan banjir puing serta banjir lumpur dikenal pasti sebagai penyebab utama kejadian bencana banjir di Baling, Kedah baru-baru ini, kata Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) Datuk Rosli Isa.

    Beliau berkata ia adalah penemuan dalam Laporan Kajian Bencana Geologi Banjir Puing 2022 Sungai Kupang, Baling, Kedah yang dihasilkan Pasukan Khas Siasatan Bencana Tragedi Baling yang diketuai KeTSA.

    Beliau berkata penemuan itu merumuskan fenomena proses geologi berangkai iaitu kejadian tanah runtuh serentak secara meluas di terain perbukitan granit terluluh hawa berlaku akibat cetusan hujan lebat melampau.

    “Cetusan hujan lebat melampau itu kemudiannya diikuti dengan pembentukan aliran puing, banjir puing dan banjir lumpur.

    “Hakisan di hutan sekunder akibat penukaran guna tanah kepada hutan ladang sejak 2010 juga telah meningkatkan kadar hakisan di kawasan tanah tinggi membawa kepada perlodakan dan mencetekkan sungai,” katanya dalam sidang media Laporan Kajian Bencana Geologi Banjir Puing 2022 Sungai Kupang, Baling, Kedah, di sini hari ini.

    Beliau berkata banjir diburukkan lagi apabila jambatan Kampung Iboi, Baling yang menjadi ‘empangan sementara’ ketika banjir puing berlaku telah pecah. 

    “Ini menyebabkan banyak puing pasir dan kayu-kayan terkumpul dan menghasilkan kuasa damparan tinggi serta mengakibatkan kematian dan kemusnahan harta benda.

    “Apabila bahan puing pasir dan kayu-kayan sudah terdampar, banjir puing menjadi banjir lumpur yang menyebabkan kerosakan harta benda dan petempatan di hilirnya,” katanya, lebih tujuh juta meter padu (m3) bahan terdampar terhasil akibat fenomena itu. 

    Sehubungan itu, Rosli berkata beberapa pelan jangka pendek dan panjang telah dirangka bagi memastikan fenomena proses geologi berangkai khususnya di Baling dapat dikawal. 

    Antara tindakan yang akan dilaksanakan adalah pemetaan terperinci bencana geologi bencana puing, pemasangan sistem amaran dan penubuhan Pusat Penyelidikan Bencana Geologi Kebangsaan.

    Banjir di Baling pada 4 Julai lepas menjejaskan 41 kawasan dan mengorbankan tiga nyawa termasuk seorang wanita hamil berusia 23 tahun.- BERNAMA

  • Budak lelaki dikhuatiri lemas, bot dinaiki  berlanggar tongkang

    Budak lelaki dikhuatiri lemas, bot dinaiki berlanggar tongkang

    SEORANG kanak-kanak lelaki hilang selepas perahu yang dinaiki bersama ibu bapa dan adik perempuannya karam hari ini akibat berlanggar dengan sebuah tongkang di Sungai Batang Rajang berdekatan Kapit, kira-kira 167 kilometer dari sini.

    Ketua Polis Daerah Kapit DSP Freddy Bian berkata kehilangan Jenggut Antas, 10, dilaporkan oleh bapanya, Antas Agang, 38, yang terselamat bersama isteri dan anak perempuannya dalam insiden yang berlaku kira-kira 8 pagi tadi.

    Beliau berkata berdasarkan laporan dibuat oleh Antas, semasa menghampiri sebuah dermaga batu di seberang bandar Kapit enjin perahu yang dinaiki keluarga itu tiba-tiba mati dan gagal dihidupkan semula.

    “Perahu itu kemudian dihanyutkan air deras dan berlanggar dengan tongkang yang berlabuh di dermaga batu lalu terbalik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Menurutnya operasi mencari dan menyelamat diaktifkan pada 11.30 pagi melibatkan tiga anggota polis serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kapit, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak yang masing-masing menghantar empat anggota.- BERNAMA

  • 20 nelayan Laos terselamat selepas bot terbakar

    20 nelayan Laos terselamat selepas bot terbakar

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SERAMAI 20 nelayan warga Laos berdepan detik cemas apabila bot mereka terbakar di perairan Kuala Endau, Pahang, malam tadi.

    Kejadian pada jam 9.30 malam itu dipercayai berpunca dari kebakaran di bahagian enjin sebelum merebak ke semua bahagian bot.

    Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, selepas mendapat maklumat pihaknya memaklumkan Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru berkenaan sebuah bot itu yang berada pada kedudukan 13.7 batu nautika timur laut Kuala Endau.

    Seramai 20 nelayan warga Laos diselamatkan nelayan tempatan selepas bot mereka terbakar di perairan Kuala Endau, berhampiran Mersing, pada malam tadi

    “Zon Maritim Mersing telah mengatur gerak bot ronda kelas Perkasa ke lokasi kejadian dan mendapati kesemua 20 mangsa telah diselamatkan terlebih dahulu oleh bot nelayan tempatan yang berada berhampiran lokasi bot terbakar.

    “Kesemua 20 mangsa lelaki warga Laos yang terselamat tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, semua mangsa tersebut merupakan pekerja yang sah dan mempunyai pengenalan diri.

    Katanya, mereka seterusnya dibawa ke Pos Maritim Teluk Gading sebelum diserahkan kepada majikan mereka untuk tindakan selanjutnya.

  • Pelajar parah dan tidak sedarkan diri selepas langgar gajah

    Pelajar parah dan tidak sedarkan diri selepas langgar gajah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    (KEMAS KINI) SEORANG remaja cedera selepas motosikal ditunggangi terlanggar seekor gajah sedang melintas jalan di Kilometer 84, Jalan Kota Tinggi-Kluang, pukul 10.30 malam tadi.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, kemalangan berlaku sewaktu mangsa yang menunggang motosikal jenis SYM 110 dari arah Kota Tinggi ke Bandar Kluang.

    “Mangsa berusia 17 tahun itu telah terlanggar seekor gajah ekoran keadaan jalan yang gelap.

    “Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami cedera di muka dan luka di badan serta masih menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom, Kluang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sementara itu, ibu mangsa, Mislawati Paiman, 46, berkata, anaknya, Muhammad Danish Saedin, 17, yang menunggang motosikal bersendirian melanggar seekor gajah dalam keadaan gelap sebelum dia jatuh dan motosikalnya tercampak dalam parit.

    Katanya, kejadian itu dimaklumkan rakan mangsa yang menyaksikan kejadian itu.

    Mislawati berkata, difahamkan kemalangan tersebut berlaku semasa anaknya itu dalam perjananan pulang ke rumah mereka di Taman Sri Lambak.

    “Sebelum kejadian anak saya dikatakan mengisi minyak motosikal di Taman Seri Impian lalu bertolak pulang ke rumah sebelum melanggar gajah berkenaan semasa dalam perjalanan.

    “Saya mendapat tahu berita kemalangan berkenaan daripada rakan-rakan anak yang bergegas mencari saya di rumah.

    “Memang terkejut dan kami sekeluarga bergegas ke Unit Kecemasan Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di Kluang selepas itu.

    “Difahamkan saksi kejadian mengatakan anak saya ditemui masih sedar selepas pelanggaran itu,” katanya ketika dihubungi.

    Menurutnya, doktor memaklumkan terdapat pendarahan dalam kepala anaknya itu dan ketika ini sedang ditidurkan serta dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

    Dia berkata, Muhammad Danish kini menerima rawatan lanjut di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.

    “Saya berharap pihak berkuasa memandang serius isu kehadiran gajah di kawasan berdekatan perumahan penduduk di daerah ini akhir-akhir ini.

    “Saya mohon pihak berkuasa supaya memasang lampu jalan di kawasan berkenaan kerana gelap pada waktu malam.
    Saya berharap kejadian seperti ini tidak berulang lagi pada masa depan,” katanya.

  • 3 maut, 4 cedera kereta bertembung treler

    3 maut, 4 cedera kereta bertembung treler

    TIGA lelaki maut manakala empat cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 126 Jalan Kuantan-Segamat di Rompin, dekat sini malam tadi. 

    Ketua Polis Daerah Rompin DSP Mohd Azahari Mukhtar berkata kemalangan pada pukul 8.50 malam itu  melibatkan sebuah treler, kereta Proton Iswara dan Perodua Axia.

    “Mangsa yang maut ialah kelindan treler Abdul Raziz Mohdal, 40, dari Segamat, Johor; pemandu Iswara Mohd Khairol Md Tahir, 36, dan penumpang belakang kereta itu Zairulzaimy Jambi, 18, dengan kedua-duanya beralamat di Pekan, dekat sini,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

    Menurut beliau kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Mohd Khairol dari arah Segamat terbabas ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan treler, menyebabkan kenderaan tersebut hilang kawalan dan melanggar kereta Axia yang juga dari arah Segamat. 

    “Impak kemalangan menyebabkan treler tersebut jatuh ke cerun di sebelah kanan jalan. Mangsa yang cedera termasuk pemandu treler, dua penumpang Iswara dan pemandu Axia,” katanya.

    Mohd Azahari berkata kesemua mangsa dibawa ke Hospital Muadzam Shah, Rompin untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

  • Banjir: Satu PPS di Baling masih dibuka

    Banjir: Satu PPS di Baling masih dibuka

    RIZQI ZABIDI

    Satu daripada dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan mangsa banjir kilat di Baling sejak Selasa lalu sudah pun ditutup pagi ini.

    Timbalan Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Baling, Leftenan (PA) Mohd. Dzulhaidy Khalil berkata, PPS Dewan Tun Abdul Razak yang sebelum ini menempatkan tiga keluarga dan 14 mangsa sudah pun ditutup pukul 10 pagi tadi.

    Satu lagi pusat pemindahan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Puan Habsah masih dibuka.

    “Di PPS SK Tunku Puan Habsah, masih ada 13 individu daripada 4 keluarga yang ditempatkan di situ.

    “Kesemua mereka masih berada di pusat pemindahan kerana rumah masing-masing masih dalam proses pembersihan,” katanya.

    Difahamkan proses pembersihan tersebut dijangka akan dapat diselesaikan hari ini.

    Hujan lebat selama lebih sejam Selasa lalu menyebabkan beberapa runah di Mukim Baling, Mukim Bakai dan Mukim Siong dinaiki air.

  • Nahas pesawat: Mangsa cedera dipindah ke hospital di Damansara

    Nahas pesawat: Mangsa cedera dipindah ke hospital di Damansara

    JURULATIH penerbangan yang terselamat dalam insiden pesawat terhempas di Jalan Dr Nazrin Shah, Sungai Rokam, Medan Gopeng di Ipoh, malam kelmarin, telah dipindahkan ke sebuah hospital swasta di Damansara, Selangor hari ini.

    Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62, yang mengalami kecederaan dan kini berada dalam keadaan stabil, dipindahkan dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh ke hospital lain untuk menerima rawatan lanjut atas permintaan keluarga mangsa.

    “Difahamkan mangsa akan menjalani pembedahan pada hari ini,” katanya ringkas ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Dalam insiden kira-kira 8 malam kelmarin, jurulatih penerbangan Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, dari Semenyih, Selangor maut manakala Muhammad Din dari Bukit Damansara, Kuala Lumpur cedera, dengan kedua-dua jurulatih penerbangan tersebut dilaporkan berlepas dari sekolah latihan kapal terbang yang terletak berhampiran sebelum kejadian berlaku.

    Jenazah Allahyarham Fajim Juffa Mustafa Kamal selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tasik Kesuma di Semenyih semalam. – Bernama

  • Warga emas maut jatuh tingkat 4 pusat beli-belah

    Warga emas maut jatuh tingkat 4 pusat beli-belah

    SEORANG lelaki warga emas ditemui maut dipercayai terjatuh dari tingkat empat sebuah pusat beli-belah di Alor Setar, hari ini.

    Mangsa berusia 65 tahun yang juga pemegang kad rawatan psikiatri ditemui dalam keadaan berlumuran darah dekat ruang legar pusat beli-belah akibat kecederaan parah di kepala.

    Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri berkata, kejadian dipercayai berlaku antara pukul 10 hingga 10.30 pagi.

    “Maklumat awal mendapati pengawal keselamatan sebelum itu telah melihat mangsa dalam keadaan mencurigakan di tingkat empat bangunan tersebut.

    “Pengawal keselamatan terbabit cuba membantu tapi tidak sempat apabila lelaki itu terjun.

    “Setakat ini siasatan awal polis menjurus kepada mati mengejut tetapi bergantung pada hasil bedah siasat terhadap mayat berkenaan,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Superintendan Mohd. Naim Asnawi turut hadir ke lokasi.

    Mengulas lanjut, Ahmad Shukir berkata hasil soal siasat terhadap keluarga mangsa mendapati mangsa mempunyai kad rawatan psikiatri Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) .

    Difahamkan, mangsa baru selesai menjalani rawatan susulan pada Isnin lalu.

    “Dia yang tidak berkahwin dikatakan sering datang ke lokasi kejadian seorang diri. Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik HSB untuk proses bedah siasat,” katanya.

  • 41 mangsa banjir di Baling ditempatkan di dua PPS

    41 mangsa banjir di Baling ditempatkan di dua PPS

    SERAMAI 41 mangsa banjir membabitkan 12 keluarga ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Baling sehingga pukul 8 pagi tadi.

    Ketua Sekretariat Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff berkata hujan lebat sejak petang semalam menyebabkan beberapa rumah di lima kampung di daerah itu dinaiki air. 

    “Lima kampung yang terlibat ialah Kampung Rambong Batu, Kampung Bendang Sera, Kampung Jernang, Kampung Seratus dan Kampung Tanjung Langsat. 

    “Seramai 24 mangsa daripada lapan keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Habsah manakala 17 mangsa daripada empat keluarga ditempatkan di PPS Dewan Tun Abdul Razak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd Muaz berkata keadaan cuaca di Baling setakat ini mendung.- BERNAMA

  • Kematian jurulatih penerbangan berpunca cedera di tengkuk, dada

    Kematian jurulatih penerbangan berpunca cedera di tengkuk, dada

    KEPUTUSAN bedah siasat jurulatih penerbangan Fajim Juffa Mustafa Kamal yang maut dalam nahas pesawat ringan di Jalan Dr Nazrin Shah, Sungai Rokam, Medan Gopeng di Ipoh, malam tadi, disebabkan kecederaan pada tengkuk dan dada.

    Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid dalam kenyataan ringkas berkata kecederaan itu adalah disebabkan kemalangan aviasi.

    Dalam insiden kira-kira 8 malam itu, Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, dari Semenyih, Selangor maut manakala Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62, dari Bukit Damansara, Kuala Lumpur cedera, yang sebelum itu kedua-dua jurulatih penerbangan tersebut dilaporkan berlepas dari sekolah latihan kapal terbang yang terletak berhampiran sebelum kejadian berlaku.

    Sementara itu, bapa saudara mangsa yang dikenali sebagai Radzi, 50, ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh berkata Allahyarham Fajim Juffa dijangka akan dikebumikan di Semenyih, Selangor berhampiran kediaman mangsa.

    Radzi berkata Allahyarham akan disembahyangkan di Surau Al-Kauthar, Bandar Tasik Kesuma namun lokasi tanah perkuburan masih belum diketahui.

    Sejak awal pagi tadi, ahli keluarga serta rakan-rakan Allahyarham turut hadir menanti proses bedah siasat selesai dijalankan. – Bernama