Category: Kemalangan / Bencana

  • Dua lagi jemaah haji Malaysia meninggal dunia di Makkah

    Dua lagi jemaah haji Malaysia meninggal dunia di Makkah

    DUA jemaah haji Malaysia yang koma, meninggal dunia di hospital Arab Saudi Jumaat lalu.

    Ini menjadikan empat jemaah haji Malaysia meninggal dunia di Makkah tahun ini, selepas dua jemaah wanita menghembuskan nafas terakhir pada 4 dan 19 Jun lalu.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Na’im Mokhtar berkata, kematian ketiga membabitkan jemaah lelaki berusia 72 tahun akibat jangkitan kuman pada paru-paru, manakala seorang jemaah lelaki berumur 60 tahun meninggal dunia akibat serangan strok dan kegagalan jantung.

    “Kedua-dua jemaah Malaysia itu antara tiga pesakit yang tidak dibawa ke Arafah untuk berwukuf Selasa lalu kerana dalam keadaan koma di hospital Arab Saudi.

    “Saya dan pengurusan kanan Lembaga Tabung Haji (TH) mengucapkan takziah kepada waris mangsa,” katanya menurut Berita Harian dalam sidang media di Ibu Pejabat TH di Makkah.

    Na’im berkata, 95 jemaah negara masih dirawat di Pusat Rawatan TH Makkah dan 15 lagi di hospital Arab Saudi setakat ini.

    Dalam perkembangan lain, katanya, seramai 31,600 jemaah Malaysia selesai menunaikan ibadah Rukun Islam kelima tahun ini.

    Mereka tidak termasuk dua jemaah yang meninggal dunia dan tiga lagi koma sebelum berwukuf.

    Beliau berkata, 13,219 jemaah melakukan Nafar Awal kelmarin dan 18,381 lagi melaksanakan Nafar Thani semalam.

    Katanya, jemaah haji Malaysia akan berangkat pulang mulai Rabu ini dan penerbangan terakhir pada 31 Julai ini, membabitkan 98 penerbangan.

  • Untitled post 79778

    Wanita lemas, suami dan anak hilang jatuh bot di Tumpat

    SEORANG wanita lemas selepas terjatuh daripada bot yang dikatakan terhenti secara tiba-tiba dalam kejadian di Sungai Kampung Kutan Hulu, Tumpat petang semalam. 

    Ketika kejadian kira-kira jam 6.45 petang itu, suami dan anak saudara mereka yang turut bersama masih hilang.

    Ketua Polis Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah berkata, mangsa lemas dikenali sebagai Nor Awadah Sulong, 30.

    “Suami mangsa dikenali sebagai Wan Muhamad Najmi Wan Taib, 30, serta anak saudaranya, Amrullah Fitri Afendi, 10. Bagaimanapun, anak perempuan pasangan itu, Wan Nur Ameena Wan Muhamad yang turut bersama selamat kerana dikatakan berpegang pada stereng bot,” katanya lapor Sinar Harian.

    Beliau memberitahu, kesemua mangsa dikatakan bersiar-siar di sungai itu dengan menaiki bot Wan Muhamad Najmi sebelum enjin bot mati secara tiba-tiba dan mereka terjatuh ke dalam sungai.

    Tambah beliau, mangsa sudah dibawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat.

    Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Wakaf Bharu, Nazah Nafi, berkata, operasi selaman oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) akan disambung semula pagi Sabtu.

    Katanya, operasi malam ini diteruskan dengan kerja-kerja menyelamat di kawasan permukaan sungai.

    Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob turut hadir di lokasi itu untuk bertanya khabar dan menyantuni keluarga mangsa.

  • 7 buah kilang musnah dalam kebakaran 

    7 buah kilang musnah dalam kebakaran 

    TUJUH kilang dan satu stor simpanan barangan musnah manakala dua  lagi rosak teruk dalam kebakaran di Kawasan Perindustrian Budiman, Cheras, awal pagi tadi.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2 pagi itu tidak melibatkan mangsa.

    “Pihak bomba telah menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.15 pagi dan pasukan pertama sampai ke lokasi kejadian 23 minit kemudian.

    “Seramai 48 anggota bersama 10 jentera dan empat lori tangki air bersama sebuah ambulans dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn, BBP Serdang, BBP Pandan, BBP Kajang, BBP Bangi, BBP Petaling Jaya, BBP Shah Alam dan BBP Cyberjaya dikerahkan ke lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya kebakaran bermula daripada empat kilang di kawasan berkenaan yang kemudian merebak ke kilang lain yang terletak berhampiran.

    “Api merebak dengan pantas berikutan pengubahsuaian kilang dan kedudukan yang rapat, kilang-kilang yang terlibat juga padat dengan bahan yang mudah terbakar,” katanya.

    Wan Md Razali berkata lapan premis yang musnah sepenuhnya dalam kebakaran itu adalah sebuah stor simpanan barang acara dan tujuh kilang melibatkan kilang barang plastik, kilang model rumah, kilang tembakau, kilang membuat perabot dan tilam, kilang audio kereta dan kilang makanan kucing.

    Katanya api dapat dikawal pada 4.37 pagi tadi dengan kerja-kerja memadam api di lokasi masih berjalan dan punca kejadian masih dalam siasatan.

    — BERNAMA

  • Pemandu lori maut dihempap 600kg mampatan kertas kitar semula

    Pemandu lori maut dihempap 600kg mampatan kertas kitar semula

    SEORANG pemandu lori maut selepas dihempap kertas kitar semula seberat kira-kira 600 kilogram (kg) di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Bukit Minyak, Simpang Ampat, Pulau Pinang kelmarin.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 7.45 malam itu, mangsa warga tempatan berusia 36 tahun yang cedera parah maut di lokasi kejadian.

    Pejabat Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang berkata, siasatan awal mendapati mangsa ialah pemandu lori kontena syarikat sub kontraktor.

    Katanya, sub kontraktor berkenaan dilantik untuk menjalankan kerja menghantar dan memunggah set kertas kitar semula menggunakan kontena yang diterima daripada pembekal ke kilang berkenaan.

    “Ketika sampai di kilang, mangsa membuka pintu kontena terlebih dahulu dan membuka lampu belakang lori. 

    “Semasa membuka lampu lori satu set mampatan kertas kitar semula yang mempunyai berat kira-kira 600 kg telah jatuh dan mengenai mangsa.

    “Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Jelas beliau, susulan kejadian itu satu notis larangan dikeluarkan JKKP negeri untuk menghentikan kerja-kerja memunggah set kertas kitar semula itu serta-merta sehingga siasatan selesai.

    Pada masa sama, ujar beliau, JKKP negeri juga akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati terdapat pelanggaran mengikut peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994. 

    “Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja yang mana mereka bertanggungjawab untuk mengenal pasti terlebih dahulu bahaya di tempt kerja, membuat penilaian risiko seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja. 

    “Ini bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan mengelakkan berlakunya kemalangan,” katanya.

    Tegasnya, kejadian seumpama itu boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC).

  • Kereta bertembung lori tangki, bapa dan bayi maut

    Kereta bertembung lori tangki, bapa dan bayi maut

    SEORANG bapa bersama anak lelakinya berusia 10 bulan maut dalam kemalangan di KM145 Jalan Kuantan-Johor Bahru di Kuantan, Pahang awal pagi tadi.

    Dalam nahas kira-kira 1.15 pagi itu, peniaga berusia 30 tahun dari dari Pasir Gudang, Azirul Azeem Mazri meninggal dunia akibat parah di bahagian kepala, selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah lori tangki minyak.

    Bayinya, Muhammad Adhwa Azirul Azeem yang turut parah di bahagian kepala disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Rompin.

    Ketua Polis Rompin, Deputi Superintenden Azahari Mukhtar berkata, isteri mangsa, Farah Nasuha Johari, 30, yang juga guru dilaporkan selamat.

    Katanya, pemandu lori tangki, Mohamad Fahmi Che Ali, 30, dari Kuala Terengganu, cedera ringan.

    “Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa sekeluarga yang menaiki Perodua Myvi dalam perjalanan dari arah Johor Bahru menghala Kuantan.

    “Ketika tiba di lokasi kejadian, kereta dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung lori tangki minyak dari arah Kuantan menghala Johor Bahru,” katanya menurut Sinar Harian.

    Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Rompin untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mayat pemandu kereta yang tersepit dalam keretanya dikeluarkan sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

  • Anggota polis cedera, lori kontena rempuh pagar, pondok kawalan IPD Tapah

    Anggota polis cedera, lori kontena rempuh pagar, pondok kawalan IPD Tapah

    SEORANG anggota polis cedera apabila sebuah lori kontena merempuh pagar dan pondok kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di Tapah, awal pagi ini.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan berkenaan pada pukul 1.20 pagi.

    “Selepas sahaja menerima pangggilan, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah bergegas ke lokasi kejadian.

    “Setiba jentera ke lokasi, didapati kemalangan melibatkan sebuah lori kontena melanggar pagar dan pondok polis IPD Tapah.

    “Terdapat seorang anggota polis yang sedang bertugas di pondok kawalan dan mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan di Tapah.

    Katanya, ketua operasi mengaplikasikan konsep menyelamat dan membawa mangsa yang cedera ke hospital menggunakan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

    Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II Zulkaply Hamad tamat pukul 1.49 pagi, lapor Astro Awani.

  • 4 termasuk bayi maut, dua kanak-kanak cedera kereta bertembung treler.

    4 termasuk bayi maut, dua kanak-kanak cedera kereta bertembung treler.

    Oleh RIZQI ZABIDI

    EMPAT sekeluarga termasuk seorang bayi berusia lapan bulan maut dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dengan treler di Jalan Kulim menuju ke Baling, Kedah, hari ini.

    Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Abdul Rahim Che Omar berkata, kemalangan kira-kira pukul 4 petang itu turut menyebabkan dua kanak-kanak cedera parah.

    Katanya, mangsa yang meninggal merupakan seorang lelaki berusia 32 tahun, dua wanita berumur 30 dan 59 tahun serta bayi lelaki berusia lapan bulan.

    “Kami menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 4.06 petang. Terdapat enam mangsa berada dalam kereta Perodua Bezza tersebut. Empat daripadanya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) manakala dua lagi kanak-kanak berusia dua dan enam tahun cedera parah,” katanya.

    Abdul Rahim berkata, kesemua mereka dipercayai tersepit dalam kenderaan itu sebelum dikeluarkan dengan peralatan khas rescue tools.

    “Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kulim dengan bantuan ambulans KKM, manakala empat yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

    Sementara itu, seorang saksi, Mohamad Redzuan Adam, 41, yang menaiki kereta bersama keluarganya berada di belakang kenderaan mangsa terkejut melihat kejadian itu.

    Katanya, ketika mereka berada di belakang kereta mangsa secara tiba-tiba kereta terbabit hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.

    “Saya terkejut apabila melihat kereta di hadapan saya terhuyung-hayang sebelum bertembung dengan sebuah treler. Kereta itu berpusing sebelum terbabas di bahu jalan, saya dalam keadaan panik terus memberhentikan kereta dan menolong mangsa.

    “Kami hubungi pihak polis dan bomba bagi membantu mangsa,” katanya.

  • Lelaki maut tersepit, treler jatuh gaung 10 meter

    Lelaki maut tersepit, treler jatuh gaung 10 meter

    SEORANG lelaki maut akibat tersepit dalam treler muatan pasir yang terbabas ke dalam gaung setinggi kira-kira 10 meter di Kilometer (KM) 43 Lebuhraya Karak-Bukit Tinggi di sini hari ini.

    Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mangsa yang dikenali sebagai Mohamad Hasrul Abdul Halim, 33, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

    Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut pada pukul 3.45 pagi.

    “Seramai 15 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong bersama tiga buah jentera dikerahkan ke tempat kejadian.

    “Pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian pemandu menggunakan peralatan hidraulik dan tali,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

    Ujar beliau, mangsa berjaya dikeluarkan pada pukul 6.44 pagi dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya lapor Sinar Harian.

  • Seorang wanita maut, 15 cedera tiga kereta bertembung

    Seorang wanita maut, 15 cedera tiga kereta bertembung

    SEORANG wanita maut dalam nahas tiga kenderaan di Jalan Mersing-Jamaluang, dekat Kampung Wak Saam di Mersing, awal pagi tadi.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing, Anuar Hussin, berkata Pusat Gerakan Operasi (PGO) Johor menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 sekitar 2.59 pagi tadi.

    Katanya, sebuah jentera LFRT dari BBP Mersing bersama tujuh anggota kemudiannya dihantar ke tempat kejadian.

    Beliau berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah kereta BMW, Mitsubishi dan Perodua Myvi.

    “Terdapat 16 mangsa yang terdiri daripada 10 lelaki dewasa, dua wanita dewasa dan tiga kanak-kanak perempuan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata, tiga lelaki daripada kereta BMW dan tiga lelaki serta dua kanak-kanak menaiki Perodua Myvi cedera.

    Bagi kereta Mitsubishi pula, katanya, seorang wanita meninggal dunia, sementara empat lelaki dan dua perempuan dewasa serta seorang kanak-kanak perempuan cedera.

    Menurutnya, semua mangsa cedera dihantar ke Hospital Mersing, manakala mangsa korban diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

  • Insiden latihan menembak: Jurulatih cedera dalam keadaan stabil

    Insiden latihan menembak: Jurulatih cedera dalam keadaan stabil

    SEORANG jurulatih Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terbabit dalam insiden kemalangan ketika menjalani latihan menembak senjata dan bom lempar di Tapak Latihan Grenade Asas, lapang sasar Kem Syed Sirajuddin, Gemas semalam dilaporkan stabil.

    TUDM dalam kenyataan hari ini memaklumkan jurulatih di Institut Pengajian Pentadbiran dan Pengurusan (INSTAR), Pangkalan Udara Sendayan, Koperal Udara Khairuzaman Lokman, 35, itu kini sedang menerima rawatan di Hospital Segamat, Johor dan berada dalam pemantauan rapi.

    Terdahulu, dalam kejadian 12.10 tengah hari itu, dua anggota turut maut iaitu penuntut INSTAR Laskar Udara I Mohd Iqmal Masdi, 22, yang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala jurulatih Koperal Udara Syuib Bidin, 33, meninggal dunia pada 5.45 petang ketika menerima rawatan akibat kecederaan parah di Hospital Segamat.

    Kenyataan itu menyebut waris anggota yang terlibat telah dimaklumkan dan TUDM akan memastikan semua urusan kebajikan keluarga mangsa yang terlibat diutamakan serta urusan pengebumian disempurnakan dengan sebaik-baiknya.

    “Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Datuk Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan serta pucuk pimpinan tertinggi menzahirkan rasa dukacita atas kejadian berkenaan dan merakamkan salam takziah kepada waris anggota yang meninggal dunia yang merupakan kehilangan besar kepada TUDM,” menurut kenyataan itu.

    Semua waris anggota yang terlibat juga diharap bersabar, tabah dan reda menghadapi ujian yang berlaku, katanya.

    Pihak TUDM turut meminta supaya semua pihak tidak menyebarkan sebarang spekulasi dan berita tidak sahih sehingga proses siasatan dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia selesai, tambah kenyataan itu.