SATU gempa bumi lemah berukuran 3.1 pada skala Richter dikesan melanda Kundasang, Sabah pada 7.27 pagi ini.
Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), gempa pada jarak 13 kilometer (km) barat laut dari Ranau itu berlaku pada kedalaman 10 km.
Penilaian awal mendapati gegaran dirasai di sekitar Kundasang dan Ranau dan pihak MetMalaysia akan terus memantau keadaan. – Bernama
SEORANG pemandu treler ditemukan maut selepas kenderaan dipandunya yang membawa muatan konkrit dipercayai terbabas ke gaung di Gunung Paku, Pengkalan Hulu, Perak pagi tadi.
Memetik laporan Berita Harian, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 9.52 pagi.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Hulu kemudiannya digerakkan ke tempat kejadian.
“Nahas membabitkan seorang lelaki berudia 48 tahun dipercayai pemandu treler yang ditemukan tersepit dalam kenderaan itu.
“Treler muatan konkrit terbabas ke dalam gaung,” katanya.
Katanya menambah, anggota bomba kemudian mengeluarkan mangsa yang tersepit dan menyerahkannya kepada polis untuk tindakan lanjut.
SEORANG wanita warga emas dilaporkan hilang sejak tiga hari lalu selepas keluar dari rumahnya di Kampung Parit Kasih Sayang di Senggarang, Batu Pahat.
Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, pihaknya menerima aduan daripada anak mangsa menyatakan ibunya Painah Siwan, tidak pulang ke rumah, pada Rabu lalu pada pukul 11 malam.
Beliau berkata, ibu pengadu yang berusia 79 tahun, keluar ke kebun kelapa sawit berhampiran rumahnya sejak pukul 3.30 petang.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan oleh polis, keluarga dan orang kampung tetapi gagal menemui mangsa,” katanya dalam kenyataan.
Ismail berkata, operasi pencarian diteruskan pada hari kedua dan ketiga dengan 187 anggota dan pegawai daripada pelbagai agensi tetapi tetap gagal menemui mangsa.
“Khidmat bantuan unit pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut digunakan, selain bantuan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta penduduk setempat.
“Pada hari ini, operasi mencari mangsa akan diperluas melebihi dari tempat mangsa dilaporkan hilang,” katanya.
LEBIH 50 keluarga dikejutkan dengan kejadian bumbung rumah mereka diterbangkan angin dalam kejadian ribut di Rumah Pangsa Ros Merah, Johor Jaya, Johor Bahru, hari ini.
Menurut mangsa, Rosliza Jaafar, 50, yang tinggal di Blok E berkata, semasa kejadian pada pukul 1.15 petang, dia dan suami sedang mengemas rumah sebelum tergamam melihat bumbung rumah di blok sebelah diterbangkan angin ribut.
“Tidak lama kemudian, sebatang kayu dari bumbung sebelah masuk ke kediaman kami, sebelum bumbung rumah kami pula diterbangkan angin kencang dalam keadaan hujan lebat sebelum masuk dalam rumah.
“Hujan terlalu lebat sehingga segala perkakasan dalam rumah rosak dan musnah akibat banjir. Masa itu hanya ALLAH SWT sahaja yang tahu perasaan saya, terlalu takut,” katanya ketika ditemui.
Ribut yang melanda menerbangkan bumbung dan mengakibatkan air hujan masuk ke dalam bilik hingga bertakung dalam kejadian di Rumah Pangsa Ros Merah
Kejadian tersebut mengakibatkan keluarga 50 keluarga terjejas melibatkan enam daripada 10 blok iaitu blok C, D, E, F, G dan H.
Rata-rata mangsa adalah penduduk yang di tingkat empat blok terbabit dan terdapat mereka yang dipindahkan ke pusat penempatan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Taman Johor Jaya berikutan rumah mereka rosak teruk.
Selain kawasan rumah pangsa tersebut, beberapa kawasan lain turut terjejas dengan insiden pokok tumbang antaranya di Jalan Surau dan Jalan Bilal, Kampung Melayu Pandan selain Jalan Balau 15, Bandar Seri Alam, Taman Megah Ria, Taman Bukit Rinting dan Taman Rinting.
Turut dilaporkan terdapat pokok tumbang adalah Jalan Teratai 9, Rumah Pangsa Ros Merah selain Kawasan Perindustrian Pasir Gudang, Kawasan Perindustrian Tebrau, Taman Molek dan Bandar Putra di Pasir Gudang.
Rosliza berkata, kejadian tersebut disifatkan sebagai terburuk pernah berlaku di kawasan tersebut sejak 1999.
“Tidak pernah terjadi kejadian seumpama ini. Hujan lebat melanda dalam kira-kira 30 minit beserta angin dan ribut kencang.
“Memang tidak sempat selamatkan barang-barang. Tidak sangka duduk ditingkat empat rumah boleh banjir dan basah,” katanya.
Seorang lagi mangsa, Nizam Maskam, 45, berkata, dia hanya ingat untuk menyelamatkan kedua ibu bapanya yang uzur dalam rumah ketika kejadian ribut melanda.
Dia yang bekerja Kilang berkata, bapanya, Maskam Sarbini, 80, dan ibunya, Masitah Yusuf, 82, tinggal bersamanya di tingkat empat Blok H.
“Hari ini Jumaat, jadi sebelum hendak keluar solat Jumaat, saya lihat angin kencang dengan hujan yang lebat ini lain macam.
Mangsa dipindahkan ke pusat penempatan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Taman Johor Jaya berikutan rumah mereka rosak teruk
“Apabila tiba-tiba bumbung rumah terbang, perkara pertama yang saya cari ialah mak ayah yang sedang uzur. Saya terus angkat mak dan ayah ke beranda, ini adalah kejadian paling teruk,” katanya.
Menurutnya yang sudah menetap di situ lebih 20 tahun, tiada barang yang dapat diselamatkan kerana semuanya basah dan rosak termasuk perkakasan elektrik.
SEORANG wanita berusia 33 tahun cedera dipercayai terjatuh dari tingkat 19 sebuah pangsapuri di Sungai Ara, di Georgetown, hari ini.
Mangsa yang juga penduduk di situ ditemukan dalam keadaan memeluk kitab dipercayai terjemahan al-Quran.
Wanita berkenaan kemudian dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Menurut Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru, Mohd. Awis Kharni Abd. Rahman, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.05 tengah hari.
“Ketika tiba di lokasi, mangsa terbaring di lantai dan mengalami kecederaan.
“Anggota bersama petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi rawatan awal, sebelum mangsa dibawa ke HPP bagi tindakan lanjut,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Difahamkan mangsa ditemukan terbaring oleh orang awam di bahagian parkir bertingkat pangsapuri berkenaan.
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setakat ini mendapati tidak wujud sebarang unsur penyelewengan berhubung keputusan kerajaan negeri untuk melaksanakan projek tanaman durian Musang King di Gunung Inas, Baling.
Menurut pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap, hampir kesemua minit mesyuarat Exco kerajaan negeri berhubung perkara itu sudah pun diteliti setelah pihaknya mendapatkan dokumen berkaitan, sebelum ini.
Katanya, penelitian awal mendapati dokumen-dokumen tersebut tidak mengandungi sebarang unsur salah laku atau penyelewengan yang boleh diambil tindakan di bawah bidang kuasa SPRM.
“Namun jika terdapat maklumat baharu yang terkait dengan bidang kuasa kami, kemungkinan siasatan ini akan diteruskan kembali.
“Setakat ini tiada laporan rasmi dibuat oleh mana-mana pihak sebaliknya siasatan ini dijalankan hasil inisiatif kami sendiri termasuk berkunjung ke Wisma Darul Aman bagi mendapatkan dokumen berkaitan sebelum ini,” katanya.
Pada 10 Julai lalu, SPRM Kedah dilaporkan telah memulakan siasatan awal bagi melihat kemungkinan terdapat salah laku yang mendorong kepada berlakunya tragedi banjir lumpur serta aliran puing di kawasan berhampiran gunung tersebut.
Selain berkunjung ke Wisma Darul Aman, pegawai terlibat turut dihantar ke kawasan bencana bagi meninjau keadaan di situ.
Shaharom menambah, pihaknya turut merujuk laporan dibuat Pasukan Khas Siasatan Bencana-Tragedi Baling 2022 yang dilihat telah menyentuh aspek dalam kejadian itu secara lebih menyeluruh.
“Laporan tersebut tampak lebih lengkap dan kami telah meneliti perkara di dalamnya bagi melihat perkara yang mungkin terkait dengan bidang kuasa SPRM.
“Setakat ini kami tangguh dulu siasatan hingga ada maklumat baharu. Jika ada maklumat lanjut selepas ini, kami boleh mulakan siasatan semula, tertakluk kepada perkara di bawah bidang kuasa SPRM,” katanya.
SEORANG wanita maut apabila diseret sebuah lori treler sejauh 1.5 meter setelah motosikal ditunggangnya bergesel dengan kenderaan berat itu dalam satu kejadian dekat Tapah Perak pagi ini.
Dalam kejadian di Kilometer 57 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur kira-kira pukul 7 pagi itu, Shahriza Ishak, 39 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurut Ketua Polis Daerah Tapah, Supt Wan Azharuddin Wan Ismail , pihaknya menerima maklumat kejadian kemalangan di di atas jambatan Sungai Batang Padang itu kira-kira pukul 7.15 pagi.
“Kemalangan dipercayai berlaku semasa treler dan motosikal datang dari arah sama iaitu dari arah Tapah menghala ke Kampar.
“Apabila sampai di tempat kejadian disyaki telah berlaku pergeseran di antara kedua-dua kenderaan menyebabkan mangsa terjatuh di atas jalan dan diseret kira-kira 1.5 meter dari tempatnya terjatuh,” katanya dipetik Astro Awani, hari ini.
Wan Azharuddin berkata, mangsa yang mengalami kecederaan pada bahagian kepala disahkan maut di tempat kejadian.
Katanya, pemandu treler telah ditahan dan hasil saringan awal urin mendapatinya positif dadah jenis Methamphetamine.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia akan berganding bahu bersama beberapa agensi yang lain bagi mencari dua lagi mangsa bot karam di perairan Pulau Redang sejak 8 Ogos lalu.
Pengarah Maritim Terengganu, Kapten Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata ia susulan pencarian yang dilaksanakan sejak 9 Ogos lalu masih gagal menemui sebarang petunjuk bagi mengesan dua lagi mangsa.
Menurut laporan Astro Awani, hasil selaman yang dilakukan penyelam di kawasan rangka bot berkenaan juga tidak menghasilkan petunjuk positif.
Pihak Muhammad Suffi akan meneruskan pencarian bersama pihak polis, Jabatan Perikanan, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan komuniti nelayan.
Beliau berkata menerusi operasi yang memasuki hari keempat bagi mengesan Ahmad Zamri Ishak dan Raja Zainudin Raja Ibrahim diteruskan pada radius 37.80 batu nautika.
Jelasnya pencarian itu merangkumi dua sektor pencarian di laut dan udara melibatkan kekuatan 67 orang termasuk nelayan tempatan.
Sebelum ini, media melaporkan lima nelayan tempatan termasuk tekong dikhuatiri hilang manakala seorang terselamat selepas bot yang dinaiki mereka karam di perairan Pulau Redang kira-kira pukul 10 malam Isnin.
Susulan insiden itu tiga mangsa Saludin Ismail, 50, Mohd Nazri Abu Bakar, 48, dan Zulkifli Umar, 47, ditemui terapung sekitar pukul 11 pagi hingga pukul 1.30 tengahari pada Rabu.
Ketiga-tiga mangsa ditemui terapung pada kedudukan 1.7 hingga 1.9 batu nautika Pulau Redang.
SEORANG lelaki maut, manakala dua rakannya parah dalam satu kemalangan di KM301.9 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dekat Plaza Tol Kijal berhampiran Kemaman, Terengganu.
Dalam kejadian kira-kira 5.40 pagi Khamis itu, Saharuzaman Abd. Wahab, 48, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah bahagian kepala, manakala Kamarulzaman Abu Bakar, 52, dan Mohd. Afiq Mohd. Noor, 23, dikejarkan ke Hospital Kemaman bagi mendapatkan rawatan.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Hanyan Ramlan berkata, mangsa yang maut itu merupakan seorang mekanik sementara dua rakannya adalah pemandu serta kelindan lori, lapor FMT.
Ketika kejadian, katanya, semua mangsa dikatakan dalam perjalanan dari Johor ke Kuala Terengganu.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, Perodua Axia yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh besi penghadang jalan.
“Dalam masa sama, sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang dipandu seorang lelaki berusia 39 tahun bersama isteri dan anaknya dari arah sama gagal mengelak lalu melanggar kereta mangsa,” katanya.
Tambah Hanyan, rempuhan itu mengakibatkan kesemua mangsa dalam kereta Axia tercampak keluar, sementara pemandu pacuan empat roda bersama dua penumpangnya tidak cedera.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
DUA penunggang motosikal maut setelah kenderaan ditunggang bertembung sesama mereka dalam satu kejadian di Jalan Batu Putih, Dungun Terengganu malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.45 malam itu, Muhammad Ruzie Rosemawi, 27, yang juga seorang pemandu lori maut serta merta di tempat kejadian manakala Muhammad Airie Mohd Gaazali, 16, seorang pelajar meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital.
Memetik Astro Awani, ketika kejadian Muhammad Ruzie yang menunggang motosikal jenis Modenas dikatakan dalam perjalanan dari arah bandar Dungun menuju ke kediamannya.
Pelajar tingkatan empat terbabit yang menunggang motosikal jenis yamaha Y15 datang dari arah bertentangan.
Sejurus tiba di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang Muhammad Ruzie dikatakan tidak sempat mengelak mlalu bertembung sesama mereka.
Akibat rempuhan itu, kedua-dua mangsa tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan parah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Baharudin Abdullah mengesahkan menerima laporan berkenaan kejadian tersebut.
Katanya, mayat mangsa kemudiannya telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat.