Category: Kemalangan / Bencana

  • OKU hilang sejak semalam ditemukan lemah, kelaparan

    OKU hilang sejak semalam ditemukan lemah, kelaparan

    LELAKI Orang Kurang Upaya (OKU) yang dilaporkan hilang di hutan dekat Kampung Kituau, di Penampang, malam tadi ditemui selamat hari ini.

    Pasukan bomba yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menemui pemuda 39 tahun itu kira-kira 200 meter dari rumahnya pada pukul 9.30 pagi.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, mangsa ditemui berdasarkan kesan tanah yang dipercayai dikoreknya.

    “Dia lemah dipercayai akibat kelaparan selepas tidak makan sejak tengah hari semalam.

    “Pemeriksaan kesihatan dilakukan sebelum mangsa dihantar pulang ke rumahnya dan operasi ditamatkan pada 9.45 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

    Mangsa disedari hilang oleh ahli keluarganya pada 3 petang semalam, yang kemudian membuat laporan untuk mencarinya.

    Usaha mencari OKU itu turut dibantu penduduk kampung namun, ditangguhkan pada 11.30 malam selepas gagal temui apa-apa. Operasi disambung semula 7.30 pagi tadi.

  • Empat pendaki sesat ketika turun dari Gunung Pulai selamat

    Empat pendaki sesat ketika turun dari Gunung Pulai selamat

    Oleh BADLISHAH MAT

    EMPAT lelaki yang sesat ketika menuruni Gunung Pulai di Baling ditemukan dalam keadaan selamat setelah mereka menjalani aktiviti mendaki di situ pada sebelah pagi.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Mohd. Jamil Mat Daud berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 6.19 petang mengenai kejadian itu.

    Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan pada pukul 7 malam setelah menerima panggilan daripada salah seorang mangsa.

    “Mereka mula mendaki pada pukul 8 pagi dan tersesat ketika menuruni gunung itu tanpa menggunakan khidmat Malim Gunung yang arif dengan selok-belok kawasan berkenaan.

    “Pasukan penyelamat dibantu sukarelawan, penduduk dan malim gunung menemukan kesemua mereka kira-kira pukul 11.30 malam yang berada dalam keadaan letih akibat kehabisan bekalan makanan,” katanya kepada pemberita, hari ini.

    Mohd. Jamil berkata, mangsa memaklumkan masih dapat melihat aliran sungai di situ selain mendengar laungan azan pada ketinggian yang dianggarkan kira-kira 500 meter.

    “Usaha dijalankan untuk mencari jalan agak sukar kerana mangsa telah tersasar jauh dengan laluan turun ke bawah selain struktur muka bumi bercerun dan berbatu.

    “Namun, keempat-empat pendaki berusia antara 22 hingga 26 tahun berjaya dibawa turun ke kaki Gunung Pulai dalam keadaan selamat dan stabil kira-kira pukul 2.30 pagi sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

    Beliau berkata, laluan Gunung Pulai lebih sukar berbanding Gunung Baling kerana tahap kecerunan yang lebih tinggi dan berbatu selain hutan tebal.

    “Apabila pendaki tidak arif dengan pendakian gunung itu, mereka berkemungkinan akan tersesat kerana tersasar daripada laluan ketika sedang menuruni gunung.

    “Selepas kita terima aduan mengenai kejadian itu, SAR dilakukan segera apabila salah seorang mangsa telah menghubungi dan menyatakan mereka tersesat dalam perjalanan turun ke kaki gunung,” katanya.

  • Lelaki maut, bayi cedera motosikal dinaiki dilanggar kereta

    Lelaki maut, bayi cedera motosikal dinaiki dilanggar kereta

    SEORANG lelaki maut selepas motosikal ditunggang dilanggar kereta di Jalan Sungai Lalang-Bukit Selambau, dekat Sungai Petani, pukul 7.45 pagi tadi.

    Mangsa yang berusia 40 tahun dan berasal dari Sungai Lalang, Bedong itu meninggal dunia di lokasi kejadian.

    Siasatan polis mendapati mangsa menunggang motosikal Honda EX5 manakala Proton Iswara dipandu lelaki warga asing berusia 40 tahun berkenaan turut membawa empat penumpang lain.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, penumpang kereta terbabit terdiri daripada isteri pemandu yang juga warga asing berusia 33 tahun serta tiga anak mereka berusia setahun hingga empat tahun.

    “Siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa dalam perjalanan dari Bukit Selambau manakala kereta terbabit pula datang dari Sungai Lalang.

    “Hasil siasatan lanjut mendapati kemalangan berlaku disebabkan pemandu kereta hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar motosikal mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Harian Metro.

    Menurutnya, penunggang motosikal meninggal dunia di lokasi manakala bayi berusia setahun yang juga penumpang kereta mengalami luka di kepala.

    “Pemeriksaan mendapati pemandu kereta yang bekerja sebagai tukang rumah itu tiada lesen memandu dan pasangan suami isteri berkenaan juga tidak mempunyai dokumen.

    “Siasatan kita juga mendapati cukai jalan dan insuran kenderaan dinaiki mereka sekeluarga juga sudah tamat tempoh,” katanya.

    Menurutnya, mayat dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat dan mangsa yang cedera juga dihantar ke hospital sama untuk rawatan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

  • Treler jatuh dari jejambat

    Treler jatuh dari jejambat

    PENGGUNA jalan raya di Jalan Kuala Kangsar di Ipoh dikejutkan dengan kejadian sebuah treler yang jatuh dari jejambat ke jalan di bawahnya, menyebabkan laluan dari arah pekan Ipoh menghala ke Tasek, terhalang tengah hari tadi.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada kira-kira pukul 12.27 tengah hari.

    “Kita segera mengerahkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh bagi pemantauan dan sebaik tiba pemandu lori sudah keluar dari kenderaan itu dengan sendirinya,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

    Beliau berkata, kerja-kerja pengalihan lori dan besi jejambat yang menghalang laluan di kedua-dua arah telah diserahkan kepada pihak yang berkaitan dan tiada kemalangan jiwa atau sebarang kecederaan dilaporkan setakat ini.

    Kedua-dua arah sesak akibat besi jejambat yang menghalang laluan dan tiada kenderan lain yang terlibat dalam kejadian itu.

    Tinjauan Bernama mendapati laluan di kedua-dua arah sesak akibat besi jejambat yang menghalang laluan dan tiada kenderan lain yang terlibat dalam kejadian itu.

    Terdahulu, tular beberapa gambar dan video yang menunjukkan lori terjatuh dari atas jejambat secara melintang dan kenderaan yang melalui jalan berkenaan sempat memberhentikan kenderaan dan terselamat dari dihempap lori serta besi jambatan yang jatuh.

    Warganet yang berada di lokasi ketika kejadian turut berkongsi video dan gambar mengenai kejadian tersebut menerusi media sosial. – Bernama

  • Empat rumah hangus, lelaki redah api selamatkan keluarga

    Empat rumah hangus, lelaki redah api selamatkan keluarga

    SEORANG lelaki nekad meredah api untuk menyelamatkan ibu dan kakaknya selepas kediaman keluarganya terbakar dalam kejadian di sebuah penempatan tanah wakaf berhadapan Pangsapuri Bukit Piatu di Melaka malam tadi.

    Dalam kejadian kira-kira 10.30 malam itu Cheah Wei Liang, 43, yang bekerja sebagai juruteknik turut mengalami melecur di dada dan lengan kirinya dalam kebakaran melibatkan empat rumah separa kayu yang berusia lebih 50 tahun.

    “Ketika kejadian, saya berada di rumah sendiri yang tidak jauh dari rumah ibu saya dan jiran memaklumkan ada rumah di sebelah rumah keluarga saya itu terbakar.

    “Saya cuba memadamkan kebakaran selepas mereka berdua berjaya keluar menyelamatkan diri namun api merebak dan marak dengan cepat hingga memusnahkan rumah ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Melaka lewat malam tadi.

    Katanya yang kini tinggal sehelai sepinggang, sebelum berlakunya kebakaran yang turut menjejaskan tiga lagi rumah, bekalan elektrik di kawasan tersebut mengalami gangguan sekitar 8 malam.

    Namun selepas bekalan elektrik pulih kira-kira hampir sejam kemudian, kebakaran tersebut berlaku.

    Sementara itu Pegawai Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Zulkhairani Ramli berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kebakaran sebuah rumah di kawasan tersebut pada 10.34 malam.

    Katanya tiga jentera dan sebuah jentera perkhidmatan perubatan kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh dan BBP
    Melaka Tengah dengan kekuatan 34 anggota dan pegawai dikerahkan ke lokasi.

    “Sebaik tiba, didapati api dari rumah pertama itu sudah merebak ke rumah kedua, tiga dan empat.

    “Bagaimanapun kami berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah lain dan semua enam penghuni rumah berusia antara 30-an dan 60-an terselamat sebelum api berjaya dikawal 11 minit kemudian. Tiada sebarang kecederaan serius dilaporkan,” katanya ketika ditemui di lokasi.

    Tambah beliau pihaknya berdepan sedikit cabaran untuk memadam kebakaran kerana jarak rumah berkembar yang rapat antara satu sama lain, sekali gus memudahkan api merebak dengan cepat.

    “Struktur binaan kayu menyebabkan api merebak dengan cepat di bahagian atas rumah namun kepantasan bomba berjaya mengelakkan ia merebak ke rumah lain,” katanya sambil menambah punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – Bernama

  • Lori, pacuan empat roda langgar kereta api penumpang di Sabah

    Lori, pacuan empat roda langgar kereta api penumpang di Sabah

    SEBUAH lori dan sebuah pacuan empat roda merempuh sebuah kereta api penumpang yang sedang bergerak dalam kejadian berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), hari ini

    Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Mohd Zaidi Abdullah berkata kedua-dua kenderaan itu yang bergerak dari Luyang ke KKIA, melanggar kereta api terbabit yang bergerak dari arah Papar ke Kota Kinabalu, dalam kejadian pukul 3.30 petang ini.

    Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.

    Polis sedang mengenal pasti punca kemalangan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu siasatan, katanya.

    Sementara itu, tinjauan Bernama di kawasan kejadian mendapati pacuan empat roda itu terhimpit di tepi kereta api tersebut, manakala kayu penghadang keselamatan rosak teruk dipercayai akibat dilanggar kenderaan terbabit.

    — BERNAMA

  • Jurukimpal ditahan langgar kereta secara mengundur

    Jurukimpal ditahan langgar kereta secara mengundur

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS menahan seorang jurukimpal yang bertindak memandu secara mengundur dan melanggar sebuah kereta di Taman Megah Ria, Masai, Johor Bahru, pada minggu lalu.

    Suspek yagn berusia 53 tahun ditahan di kediamannya di Permas pada pukul 10.30 malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, punca kejadian berlaku disebabkan kenderaan Proton Wira milik suspek bergesel dengan pintu kereta sebuah lagi.

    “Ssuspek kemudian meminta tuntutan ganti rugi kepada pemandu kenderaan terbabit, tetapi tidak dihiraukan.

    “Akibat perselisihan faham itu, suspek bertindak melanggar kenderaan terbabit sebelum melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Mohd. Sohaimi berkata, suspek kemudian berjaya ditahan berdasarkan nombor pendaftaran kereta.

    Katanya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan tidak mengambil tindakan yang boleh membahayakan orang awam.

  • Penunggang maut selepas langgar batu penghadang

    Penunggang maut selepas langgar batu penghadang

    SEORANG penunggang motosikal maut selepas melanggar batu penghadang di susur Sierra Mas, Petaling Jaya pukul 9.20 malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan membabitkan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR.

    “Siasatan awal mendapati mangsa sedang menunggang motosikal di lorong kiri sebelum terbabas lalu melanggar batu penghadang di tepi jalan.

    “Mangsa berusia 24 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Utusan TV.

    Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Sehubungan itu, saksi kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor R. Navalan di talian 014-2536820 bagi membantu siasatan.

  • Lima rumah musnah dalam kebakaran

    Lima rumah musnah dalam kebakaran

    LIMA buah rumah di Jalan Wah Long, Kampar, Perak, hampir musnah sepenuhnya akibat dijilat api dalam kejadian kebakaran awal pagi tadi.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak memaklumkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampar telah menerima panggilan kecemasan itu pada pukul 2.10 pagi.

    Katanya kejadian kebakaran itu mengakibatkan kelima-lima rumah berkenaan musnah 90 peratus.

    “Kebakaran melibatkan lima rumah teres Kelas B berkeluasan 20X60 kaki dan sebuah rumah teres Kelas A.

    “Lima rumah musnah 90 peratus manakala sebuah lagi rumah hanya musnah 4 peratus iaitu hanya mengenai pagar sahaja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Tambahnya operasi turut melibatkan bantuan anggota dan jentera dari BBP Gopeng dan Tapah.

    “Ketika di lokasi pasukan penyelamat membuat pemadaman menggunakan empat aliran 200 kaki dan lima pancutan sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya.

    “Kejadian itu tidak mengakibatkan kehilangan nyawa ataupun kecederaan mangsa,” katanya lapor Astro Awani.

    Operasi yang diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd. Hisyam Zakaria itu tamat pada pukul 5.03 pagi.

  • Empat pemancing terselamat selepas bot terbalik

    Empat pemancing terselamat selepas bot terbalik

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    EMPAT pemancing warga tempatan terselamat selepas bot yang dinaiki terbalik di perairan Pulau Tengah, Mersing, semalam.

    Pusat Operasi Zon Maritim Mersing menerima aduan daripada pengurus resort memaklumkan terdapat empat pemancing warga tempatan terkandas di pulau itu kerana bot yang dinaiki terbalik akibat cuaca buruk.

    Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, sejurus menerima maklumat itu, bot Perkasa 44 dari Zon Maritim Mersing telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi memberi bantuan sewajarnya.

    “Semasa bot mereka terbalik, semua mangsa memakai jaket keselamatan. Mereka berenang ke persisir pantai yang berada tidak jauh dari bot terbalik ke kawasan resort sebelum dibantu beberapa pelancong lain yang berada di situ.

    “Mangsa, Faizal Dollah, 43, Mohamad Fairuz Daron, 35, Mohd Rizal Hassan, 34, Mohamad Asyraf Ali, 33 yang semuanya berasal dari Mersing ditemui selamat serta tiada kecedaraan dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, semua mangsa seterusnya dibawa ke jeti maritim di Teluk Gading dekat sini untuk pemeriksaan kesihatan.

    Beliau mengingatkan masyarakat maritim supaya mengutamakan keselamatan terutama ketika keadaan laut bergelora dan cuaca yang tidak menentu.

    Katanya, tangguhkan sebarang aktiviti sekiranya keadaan tidak mengizinkan dan mengamalkan langkah keselamatan semasa berada di laut dengan memakai jaket keselamatan dan membawa bersama peranti Personal Located Beacon (PLB) bagi memudahkan pihak maritim mengenal pasti lokasi sekiranya berlaku kecemasan.

    Sebarang kecemasan dan aduan jenayah segera hubungi talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404.