Category: Kemalangan / Bencana

  • Jalan sesak setelah “Pendekar” alami kerosakan

    Jalan sesak setelah “Pendekar” alami kerosakan

    GARA-GARA sebuah kereta kebal milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) rosak, aliran trafik di Jalan Damansara, Kuala Lumpur pagi ini sesak.

    Namun kesesakan bersifat sementara itu berjaya dikawal anggota polis trafik yang mengawal lalu lintas.

    Kereta kebal jenis PT-91M atau lebih dikenali sebagai “Pendekar” itu mengalami kerosakan ketika berada di lorong tengah hingga menghlang laluan.

    Kesesakan itu dimaklumkan menerusi pusat Info Trafik Kuala Lumpur dalam ciapan di Twitter pada pukul 10.29 pagi.

    Beberapa anggota polis trafik membantu mengawal aliran trafik ketika proses pengalihan dilakukan.

    Setelah hampir sejam, kereta kebal berkenaan berjaya ditunda pasukan ATM.

    Kereta kebal buatan Poland seberat 45.9 tan itu merupakan antara kenderaan berperisai milik Kor Armor Diraja, Tentera Darat Malaysia.

  • Seorang maut, 4 cedera kereta terhumban ke laut

    Seorang maut, 4 cedera kereta terhumban ke laut


    SEORANG lelaki maut dan empat rakannya cedera ringan selepas kereta dinaiki mereka terbabas lalu terhumban ke dalam laut di Jalan Persiaran Pantai Kuala Perlis-Sungai Baru, Simpang Empat di Kangar malam tadi.

    Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad berkata dalam kejadian pada 11 malam itu, kereta jenis Proton Wira yang dinaiki lima mangsa itu menuju ke arah Sungai Baru sebelum terbabas di kiri jalan dan melanggar benteng batu pemecah ombak sebelum terjunam ke dalam laut.

    “Seorang penumpang yang berada di bahagian hadapan dikenali sebagai Ahmad Baihaqi Mahamad Shafie, 25, tercampak keluar dari kereta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Surina berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar dan empat lagi mangsa berusia antara 17 hingga 24 tahun yang mengalami kecederaan ringan dihantar ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan.

    “Siasatan di tempat kejadian mendapati tiada kesan brek dan tidak melibatkan kenderaan lain…ketika kejadian, hujan turun dan keadaan jalan basah,” katanya dan menambah kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama

  • Nelayan hilang dua hari tanpa makan, minum ditemukan selamat

    Nelayan hilang dua hari tanpa makan, minum ditemukan selamat

    SEORANG nelayan tempatan terpaksa menahan lapar dan dahaga selama dua hari selepas bot digunakannya kehabisan minyak di laut.

    Memetik laporan Berita Harian, mangsa, R Rajah, 43, bagaimanapun bernasib baik kerana ditemukan dalam keadaan selamat oleh sekumpulan nelayan, hari ini.

    Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Najhan Azman Hamid, berkata mangsa ditemukan pada kedudukan 16.6 batu nautika barat daya Kuala Trong, dekat sini, pada jam 12 tengah hari tadi.

    Terdahulu, katanya pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mangsa daripada nelayan tempatan, sebelum menggerakkan sepasukan anggota menggunakan bot Benteng 3 untuk tindakan lanjut.

    Terdahulu, katanya pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mangsa daripada nelayan tempatan, sebelum menggerakkan sepasukan anggota menggunakan bot Benteng 3 untuk tindakan lanjut.

    “Menurut mangsa, bot digunakannya kehabisan minyak dan ia hanyut selama dua hari. Sepanjang tempoh itu, mangsa terpaksa bertahan di atas bot tanpa sebarang bekalan makanan, sebelum ditemukan nelayan tempatan yang melalui kawasan itu.

    “Mangsa kemudian dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Kuala Kurau untuk pengecaman dan disahkan oleh ahli keluarga sebelum dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk pemeriksaan kesihatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kelmarin, satu laporan polis dibuat keluarga apabila seorang nelayan disyaki hilang ketika keluar melakukan aktiviti perikanan di perairan Kuala Gula, dekat sini.

    Susulan itu, operasi pencarian dilancarkan membabitkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Perikanan, Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta komuniti nelayan.

    Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat, mengesahkan kejadian itu termasuk penemuan mangsa.

  • Lelaki maut dalam kemalangan babit tiga lori, satu motosikal

    Lelaki maut dalam kemalangan babit tiga lori, satu motosikal

    SEORANG penunggang motosikal maut selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya membabitkan kenderaannya dan tiga lori di KM206.7 Lebuhraya Plus arah selatan di Alor Gajah tengah malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Arshad Abu berkata dalam kejadian kira-kira pukul 12.40 tengah malam itu, peniaga burger Rosli Yaakob, 39, yang mengalami kecederaan di keseluruhan badan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    “Siasatan awal mendapati kesemua kenderaan terlibat dari arah Utara dan kemalangan berlaku di lorong kiri apabila lori pertama yang membawa muatan bungkusan memperlahankan kenderaan dengan menyalakan lampu kecemasan kerana terdapat pembinaan jalan di lorong paling kanan.

    “Lori kedua dalam perjalanan ke Melaka yang membawa sangkar ayam dari arah yang sama turut memperlahankan kenderaan dengan menyalakan lampu kecemasan namun datang lori ketiga yang terus melanggar belakangnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Arshad berkata setelah pelanggaran itu, lori yang membawa sangkar ayam tersebut mengelongsor ke depan, melanggar belakang lori yang membawa muatan bungkusan manakala lori ketiga itu terhenti tanpa sebarang lampu di lorong paling kiri selain pemandunya tersepit dalam kenderaan.

    Beliau berkata apabila lori ketiga itu berhenti tanpa lampu isyarat dan papan tanda amaran di belakang, kelindan lori sangkar ayam telah menjaga laluan dengan menggunakan isyarat lampu telefon bimbit di lorong kecemasan.

    “Dan datang motor berwarna merah jenis Benelli ditunggangi mangsa melanggar kelindan warga Bangladesh berumur 39 tahun tersebut seterusnya melanggar belakang lori yang ketiga itu.

    “Pemandu lori ketiga berumur 29 tahun dan kelindan yang mengalami kecederaan dibawa ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan manakala dua lagi pemandu lori tiada sebarang kecederaan,” katanya.

    Beliau berkata mayat penunggang motosikal itu telah dibawa ke Hospital Alor Gajah dan kes diklasifikasi di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ ) 1987. – Bernama

  • Rumah panjang 36 pintu musnah terbakar

    Rumah panjang 36 pintu musnah terbakar

    SEBUAH rumah panjang yang menempatkan 36 buah rumah musnah dalam satu kebakaran dalam kejadian di Selangau, Sibu, pukul 6.50 pagi tadi.

    Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 6.58 pagi melibatkan Rumah Yamin di Batu 26, Jalan Sibu-Selangau.

    “Bomba telah mengatur gerak dua jentera ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selangau dan Sungai Merah, dengan kekuatan 15 anggota.

    “Ketika ini, bomba masih melaksanakan kerja-kerja pemadaman dan overhaul.

    “Pun begitu, laporan awal mengatakan rumah 35 pintu ini telah musnah 100 peratus,” katanya memetik laporan Astro Awani.

    Difahamkan, rumah panjang yang terletak di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamin itu, merupakan antara rumah panjang lama yang masih wujud di kawasan tersebut.

  • Hujan Lebat: 10 kenderaan rosak ditimpa pokok di ibunegara

    Hujan Lebat: 10 kenderaan rosak ditimpa pokok di ibunegara

    SEBANYAK tujuh kereta dan tiga buah motosikal rosak ditimpa pokok di lapan lokasi sekitar ibu kota susulan angin kencang dan hujan lebat yang berlaku kira-kira 4 hingga 6 petang tadi.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata kejadian kereta rosak akibat pokok tumbang dilaporkan di hadapan  sebuah kondominium di Bukit Kiara melibatkan dua buah kereta.

    “Kejadian di Bukit Tunku dan Jalan Kuang masing-masing melibatkan sebuah kereta, di Kampung Kasipillay pula melibatkan sebuah kereta yang dinaiki oleh dua individu, mereka bagaimanapun tidak mengalami apa-apa kecederaan.

    “Selain itu, kejadian di Damansara Height pula melibatkan sebuah kereta manakala di Stesen Bas Jalan Duta sebuah kereta dan tiga buah motosikal rosak ditimpa pokok tumbang,” katanya ketika dihubungi malam ini.

    Menurutnya, kejadian yang sama di Taman Duta dan di Hadapan Kompleks KDN di Jalan Duta, di sini, tidak melibatkan apa-apa kerosakan kenderaan.

    — BERNAMA

  • Kakitangan hospital maut dalam nahas dua kereta

    Kakitangan hospital maut dalam nahas dua kereta

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG wanita yang bekerja di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di Kluang maut dalam kemalangan di Kilometer 86.5 Jalan Kota Tinggi-Kluang, Kluang, pukul 5 petang semalam.

    Mangsa, Noorazimah Ismail, 40, yang juga isteri kepada Pegawai Bomba Kanan PBK II Mohd. Nezam A Rahman yang bertugas di Kluang meninggal dunia semasa dirawat di HEBHK .

    Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, kemalangan tersebut melibatkan kereta Proton Wira dan Perodua Myvi dipandu mangsa yang datang dari arah bertentangan.

    “Kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Wira masuk ke laluan Perodua Myvi dan merempuh bahagian hadapan kereta tersebut.

    “Mangsa iaitu pemandu Myvi cedera parah dan meninggal dunia semasa menerima rawatan di hospital berkenaan akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, pemandu Proton Wira itu yang berusia 40-an mengalami kecederaan di bahagian kepala dan muka dan serta masih dirawat di HEBHK.

    Wanita berkenaan cedera parah dan meninggal dunia semasa menerima rawatan di hospital berkenaan akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan

    Menurutnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang melalui talian 07-7784256, katanya.

    Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Noorhakim Nordin berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada jam 5 petang.

    Susulan itu katanya seramai sembilan anggota dibantu satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Kedua-dua mangsa telah tersepit. Pasukan bomba bertindak menggunakan peralatan khas dan kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan.

    “Mangsa diberikan rawatan awal oleh unit EMRS dan kemudian diserahkan kepada pihak ambulans untuk dihantar ke hospital. Operasi tamat pada jam 5.17 petang,” katanya.

  • Wanita rentung kereta terbakar dalam kemalangan

    Wanita rentung kereta terbakar dalam kemalangan

    SEORANG wanita rentung selepas kereta Perodua Kelisa yang dinaiki terbakar dalam kemalangan dengan sebuah lori jenis Isuzu 5 tan di Kampung Gong Batu di sini petang tadi.

    Insiden pada 5.35 petang itu menyaksikan Nurul Emylia Natasha Zulkifli, 20, ditemukan dalam keadaan rentung akibat kebakaran tersebut manakala manakala pemandu Mohammad Ikhwan Hakim Daud, 21, terselamat dan mengalami kecederaan di bahagian leher.

    Ketua Polis  Daerah Setiu DSP Affandi Hussin berkata pemandu lori turut cedera di bahagian leher manakala dua penumpangnya tidak mengalami kecederaan.

    “Kemalangan dipercayai berlaku selepas pemandu lori memberi isyarat untuk membelok ke kanan jalan dari arah Kuala Terengganu ke Kampung Raja di Besut, ketika tiba di lokasi kejadian.

    “Tiba-tiba datang kereta Perodua Kelisa dari arah sama cuba memotong namun gagal lalu melanggar bahagian kanan lori menyebabkan kedua-dua kenderaan terbakar,” katanya.

    Beliau berkata mangsa lain berjaya keluar dari kenderaan masing-masing kecuali Nurul Emylia Natasha yang berasal dari Kampung Pulau Lima,  Pasir Puteh, Kelantan.

    “Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera dihantar ke hospital sama untuk rawatan,” katanya sambil menambah siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Seorang saksi, Abd Muhaimi Ab Halim, 34, berkata selepas Perodua Kelisa mula terbakar di bahagian hadapan, orang awam dilihat mengeluarkan pemandu kereta itu.

    Beliau berkata beberapa pengguna jalan raya pada awalnya cuba menyelamatkan Nurul Emylia Natasha namun gagal membuka pintu di bahagian penumpang hadapan kerana ketika itu api semakin marak.

    “Selepas itu, saya bersama beberapa pengguna jalan raya lain cuba menghampiri semula kereta yang sedang terbakar untuk mengeluarkan mangsa tetapi bunyi api sangat kuat dan semakin marak.

    “Saya cuba mendapatkan pemadam api daripada pengguna jalan raya lain namun tiada seorang pun mempunyai alat tersebut. Jadi kami hanya berserah kepada Allah dan berasa sedih kerana tidak dapat menyelamatkan mangsa,” katanya. -BERNAMA

  • [VIDEO] Langgar lampu isyarat, lelaki melambung dirempuh kereta

    [VIDEO] Langgar lampu isyarat, lelaki melambung dirempuh kereta

    PADAH langgar lampu isyarat merah, seorang penunggang motosikal cedera parah dirempuh sebuah kereta di simpang empat lampu isyarat Jalan Besar-Jalan Bandar, Pasir Gudang, pada Jumaat.

    Kejadian pada pukul 1.43 petang itu menyebabkan mangsa lelaki berusia 29 tahun itu dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru untuk menerima rawatan.

    Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd. Sohaimi Ishak berkata, kemalangan tersebut melibatkan sebuah kereta Proton Saga dan motosikal jenis Yamaha.

    Katanya, siasatan awal mendapati kereta Proton Saga yang dipandu seorang lelaki berumur 47 tahun dalam perjalanan menuju ke Mount Austin, di sini.

    “Setibanya di tempat kejadian, lelaki itu meneruskan perjalanan setelah lampu isyarat telah bertukar hijau, namun tiba-tiba datang sebuah motosikal jenis Yamaha ditunggang oleh seorang lelaki dari simpang kanan.

    “Pemandu kereta tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal berkenaan yang disyaki tidak mengikut isyarat lalu lintas,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Dua wanita maut tersepit

    Dua wanita maut tersepit

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DUA wanita maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua kereta berhampiran Felcra Dusun Panti, Kota Tinggi, hari ini.

    Kemalangan kira-kira pada pukul 10.30 pagi itu melibatkan Proton Saga dinaiki empat orang dan Proton Wira dianiki tiga orang.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Pegawai Bomba Kanan II Ibrahim Wahid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian tersebut pada jam 10.51 pagi.

    “Susulan itu seramai 10 anggota dari BBP Kota Tinggi dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga dan kereta jenis Proton Wira.

    “Terdapat empat mangsa Proton Saga dan Proton Wira telah berjaya keluar daripada kenderaan sebelum ketibaan pihak bomba,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Kedua-dua mangsa yang tersepit dikeluarkan menggunakan peralatan ‘resque tools’ sebelum disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi.

    Katanya, empat mangsa yang cedera itu ialah Mohd Fahmi Aizat Mokhtar, 24, yang berada dalam Proton Wira dan Junaidah Muhmad, 48, Liqwan Shah Nasution Lindung Saputra, 26, dan Lizwan Sharel Nasution Abdullah, 18, dalam kereta Proton Saga.

    “Sementara dua mangsa lagi iaitu Titah Abd Ghani, 58, dan Samsiah Abdullah, 21, yang berada dalam Proton Wira tersepit di tempat duduk masing-masing,” katanya.

    Pihaknya mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit menggunakan peralatan ‘resque tools’ sebelum dua wanita tersebut disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi.

    Katanya, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kota Tinggi menggunakan EMRS serta Ambulan Kementerian Kesihatan (KKM).

    Mayat pula katanya, diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut, operasi tamat pada pukul 12.15 tengah hari.