Category: Kemalangan / Bencana

  • Budak lelaki maut tersepit kereta masuk gaung

    Budak lelaki maut tersepit kereta masuk gaung

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG kanak-kanak lelaki meninggal dunia selepas kereta hilang kawalan sebelum terbabas lalu masuk gaung di Jalan Kuala Paya, Buloh Kasap, Segamat, hari ini.

    Kemalangan kira-kira pukul 3 petang itu melibatkan Rizz Haikal Ereyentoo berusia lima tahun yang cedera parah selain Azlin Sairi berusia 39 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 6 tahun.

    Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Segamat, Pegawai Bomba Kanan II Fuad Mohamad, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada pukul 3.06 petang.

    “Susulan itu seramai lapan anggota dengan satu jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Kancil terbabas dan jatuh ke dalam gaung pada kedalaman 20 kaki,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, Rizz Haikal yang cedera itu tersepit di tempat duduk belakang sementara mangsa lain telah keluar sendiri.

    Beliau berkata, kanak-kanak lelaki terbabit telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang berada di lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    Beliau menambah, operasi menyelamatkan semua mangsa selesai pada pukul 5.29 petang.

  • Empat beranak maut dilanggar treler pasir

    Empat beranak maut dilanggar treler pasir

    EMPAT beranak termasuk seorang bayi maut apabila motosikal dinaiki dilanggar treler membawa muatan pasir, dalam nahas di Kampung Semanggar, Kota Tinggi, Johor, hari ini.

    Memetik laporan Sinar Harian, dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, mangsa maut ialah penunggang motosikal, Mohamad Suti Yahaya, 39, dan isterinya, Siti Jamaliah Mohd Yatim, 27.

    Dua anak pasangan itu, Nur Firman Hadi Abdul Rahman, 4, dan juga Nurfatihah Jannah berusia 7 bulan, maut di lokasi kejadian akibat cedera parah.

    Menurutnya, kesemua mangsa menaiki motosikal jenis Yamaha 135LC dalam perjalanan pulang ke rumah mereka yang terletak di Kampung Mawai, Kota Tinggi.

    Ibu Siti Jamaliah, Rosni sintingan, 53, berkata, dia mendapat maklumat kejadian itu kira-kira 3 petang selepas anak buahnya terlihat gambar kemalangan yang menimpa anak cucunya itu di Facebook, sebelum ada orang lain yang menghubunginya.

    Katanya, dia juga sempat ke lokasi kejadian, namun ketika itu tidak sempat menemui anaknya kerana telah dibawa menaiki kenderaan polis bersama cucunya Nurfatihah Jannah.

    “Semasa saya sampai saya dapat lihat menantu dan anak lelakinya sahaja yang masih terbaring di lokasi. Saya tidak tahu mereka pergi ke mana tetapi kalau cuti memang mereka akan berjalan anak beranak mungkin ke pekan Anggerik, Bandar Tenggara atau ke Felda Pasir Raja berjumpa rakannya.

    “Mereka anak beranak memang akan menaiki motosikal ke mana sahaja kerana itu sahaja kenderaan yang mereka ada. Sebelum ini mereka pernah juga terlibat kemalangan namun hanya alami cedera.

    “Kami sekeluarga puas juga nasihat suruh mereka beli kereta namun katanya tak apa naik motosikal. Kami hanya kesian pada anak dan isterinya sahaja. Tak sangka perkara yang kami bimbangkan berlaku hari ini,” kata laporan itu.

    Sementara itu Ketua Polis Kota Tinggi Hussin Zamora, mengesahkan kejadian dan kes masih dalam siasatan pihak polis.

  • Mayat remaja perempuan ditemukan di bumbung parkir kondominium

    Mayat remaja perempuan ditemukan di bumbung parkir kondominium

    SEORANG remaja perempuan ditemukan maut dipercayai terjatuh dari kediamannya di tingkat 11 sebuah kondominium di Persiaran Bayan Indah, Bayan Lepas, hari ini.

    Mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap di bumbung parkir di kondominium berkenaan.

    Kejadian itu dikatakan disedari ibu mangsa pada jam 6.30 pagi sebelum menghubungi polis.

    Mangsa yang berusia 13 tahun seorang yang pasif dan suka bersendirian sejak kebelakangan ini.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohd. Hafiz Hafizal Timaradin berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian pada pukul 6.48 pagi.

    “Seramai sembilan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru diketuai Mohd. Awis Kharni Abdul Rahman bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan.

    “Ketika tiba di lokasi, mangsa ditemukan terbaring di bumbung selepas terjatuh dari tingkat 11 kediamannya,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

    Mohd Hafiz berkata, anggota kemudian menurunkan mangsa menggunakan tangga jentera pada ketinggian kira-kira lima meter.

    “Mayat diserah kepada polis sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya jam 11.45 pagi,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

  • Warga emas meninggal dunia ketika beriadah

    Warga emas meninggal dunia ketika beriadah

    SEORANG wanita warga emas ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai keluar beriadah di kawasan pantai Tanjung Aru, di Kota Kinabalu, pukul 6.30 pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah berkata, mangsa berusia 73 tahun terbabit ditemui oleh orang awam sebelum menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.

    “Sebaik menerima maklumat, sepasukan polis dihantar ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

    “Setibanya di lokasi, mangsa ditemui terdampar di Pantai Tanjung Aru 3 berhampiran Stesen Meteorologi Kota Kinabalu.

    “Siasatan awal mendapati, mangsa yang memandu kereta Proton Gen 2 dipercayai pergi ke kawasan pantai berkenaan untuk beriadah.

    “Polis turut menemui kunci, dompet dan telefon bimbit ditinggalkan di dalam kenderaan berkenaan,” katanya ketika ditemui, lapor Harian Metro.

    Katanya, mangsa dipercayai berjalan-jalan di pantai berkenaan sebelum rebah dan meninggal dunia.

    “Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kes kematian mengejut,” katanya.

  • Remaja rentung dalam tandas awam

    Remaja rentung dalam tandas awam

    SEORANG remaja berusia 16 tahun ditemui rentung dalam sebuah tandas awam di Puncak Alam yang terbakar hari ini.

    Kejadian disedari orang awam yang kemudian bertindak menghubungi bomba untuk tindakan lanjut.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, bomba yang menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.35 petang kemudian bergegas ke lokasi kejadian.

    “Operasi itu disertai sepasukan 10 anggota termasuk pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya dan bantuan Pasukan Bomba Sukarela Saujana Utama.

    “Pemeriksaan mendapati kebakaran melibatkan sebuah tandas awam yang berada di kawasan lapang.

    “Anggota bomba kemudian menemui remaja lelaki itu yang disahkan sudah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Sinar Harian.

    Norazam berkata, tandas itu terbakar sebanyak 20 peratus dan api berjaya dipadamkan dalam tempoh lima minit.

    Menurut beliau, mayat mangsa diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut dan punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan.

  • Lori kontena rempuh tiga kenderaan di LPT: Empat mangsa maut dikenal pasti

    Lori kontena rempuh tiga kenderaan di LPT: Empat mangsa maut dikenal pasti

    IDENTITI empat mangsa maut dalam kemalangan di Kilometer 135.7 Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) hala Kuantan awal pagi tadi melibatkan empat buah kenderaan, telah dikenal pasti.

    Mereka ialah penumpang kereta Proton Exora Mohmed @ Mohamed Shamsuddin, 75, isterinya Kamariah Hamzah, 72, serta seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dikenali sebagai Danis, serta pemandu trak tunda Mohd Azuan Zainal Abidin, 53.

    Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Mohd Azhar Mohd Yusoff berkata kemalangan yang dipercayai berlaku pada 3.10 pagi tadi, juga menyebabkan lapan lagi penumpang Proton Exora itu yang berusia antara dua hingga 30 tahun cedera.

    Sementara itu, pemandu kereta Proton Waja yang berusia 36 tahun koma, manakala dua anak perempuannya berusia 11 dan lima tahun cedera ringan dan isterinya, 36, tidak mengalami kecederaan. 

    “Pemandu lori (kontena) berusia 56 tahun dan berasal dari Kedah, juga cedera ringan dalam kemalangan tersebut dan kini ditahan bagi membantu siasatan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini. 

    Mohd Azhar berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah lori kontena melanggar ketiga-tiga kenderaan terbabit (Proton Exora, Proton Waja dan trak tunda) yang berada di lorong kecemasan.

    “Lori kontena dipercayai merempuh trak tunda yang semasa itu dalam proses menaikkan Proton Exora untuk ditunda,” katanya.

    Siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang melihat kejadian diminta datang ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

    Mayat mangsa dan semua yang cedera dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di sini.

    — BERNAMA

  • Empat maut, 12 cedera kemalangan empat kenderaan di LPT

    Empat maut, 12 cedera kemalangan empat kenderaan di LPT

    EMPAT maut manakala 12 cedera dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di Kilometer 135.7 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) menghala ke Kuantan pada awal pagi tadi. 

    Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang Zulfadli Zakaria berkata kemalangan melibatkan sebuah lori kontena, Proton Exora, Proton Waja dan trak tunda. 

    Mereka yang maut ialah sepasang warga emas dan seorang remaja lelaki menaiki Proton Exora serta pemandu trak tunda. 

    “Bomba menerima panggilan kecemasan pada 3.26 pagi. Kejadian dipercayai berlaku apabila lori kontena terbabas sebelum merempuh trak tunda yang sedang mengangkat Proton Exora rosak di tepi lebuh raya. 

    “Proton Waja itu pula difahamkan berada di tepi jalan yang sama. Kemalangan menyebabkan Proton Exora jatuh ke gaung dianggarkan sedalam 40 kaki (12.19 meter),” katanya dalam kenyataan. 

    Zulfadli berkata mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. – BERNAMA 

  • 16 kru terselamat, bot penumpang hanyut dua hari

    16 kru terselamat, bot penumpang hanyut dua hari

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SERAMAI 16 kru berdepan detik cemas apabila bot penumpang yang dinaiki hanyut selama dua hari selepas kehabisan minyak semasa dalam perjalanan ke Batam, Indonesia, Rabu lalu.

    Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, Pusat Operasi Zon Maritim menerima maklumat daripada Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Johor Bahru, mengenai 16 kru kapal telah hanyut bersama bot penumpang yang dinaiki.

    “Bertindak atas maklumat, Bot Perkasa 44 telah digerakkan ke lokasi dan telah menyelamatkan semua mangsa pada kedudukan lebih kurang 5 batu nautika barat daya Pulau Pemanggil, Mersing, 5 petang semalam.

    “Siasatan awal mendapati, kesemua 16 mangsa merupakan kru kapal dagang MT Voras yang diturunkan dari kapal di perairan Sedili, Kota Tinggi dan menaiki bot penumpang seterusnya hanyut sejauh 40 batu ke perairan Pulau Pemanggil selama dua hari sejak 24 Ogos lalu.

    “Kru kapal tersebut terdiri daripada tujuh kru warga Indonesia, enam warga Sri Langka dan tiga warga India termasuk kapten kapal, semuanya berumur antara 22 hingga 64 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, mereka serta bot dibawa ke jeti berdekatan untuk menjalankan pemeriksaan kesihatan dan siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut.

    Dalam pada itu, pihaknya mengingatkan seluruh komuniti maritim agar mengutamakan keselamatan terutama ketika keadaan laut yang bergelora dan cuaca yang tidak menentu.

    “Tangguhkan sebarang aktiviti sekiranya keadaan tidak mengizinkan. Amalkan langkah keselamatan semasa berada di laut dengan memakai jaket keselamatan dan membawa bersama peranti Personal Located Beacon (PLB) bagi memudahkan pihak APMM mengenal pasti lokasi sekiranya berlaku kecemasan.

    Sebarang kecemasan dan aduan jenayah segera hubungi talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404.

  • Dua maut dua lagi cedera nahas dua kereta di Sibu

    Dua maut dua lagi cedera nahas dua kereta di Sibu

    DUA maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan melibatkan dua buah kereta di Jalan Ulu Oya di Sibu, kira-kira 13 kilometer dari pusat bandar awal pagi hari ini.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak memaklumkan satu pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu telah digerakkan ke lokasi kejadian pada 2.15 pagi tadi. 

    Menurutnya, dalam kenderaan pertama seorang lelaki dan seorang wanita yang merupakan penumpang di bahagian belakang maut, manakala seorang pemandu lelaki cedera parah.

    “Seorang penumpang wanita yang duduk di kerusi penumpang depan berjaya keluar dari kereta sebelum ketibaan pasukan bomba.

    “Mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sibu,” katanya.

    Beliau berkata pemandu sebuah lagi kenderaan terlibat tidak mengalami kecederaan.- BERNAMA

  • Budak perempuan maut terjatuh dari tingkat 9 rumah flat

    Budak perempuan maut terjatuh dari tingkat 9 rumah flat

    SEORANG kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut selepas terjatuh dari tingkat sembilan flat perumahan Sri Sabah, Kuala Lumpur pada pukul 9.30 pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, pihaknya tiba di lokasi kejadian dan dimaklumkan mangsa telah di bawa ke hospital oleh ibunya.

    “Siasatan mendapati mangsa telah terjatuh dari balkoni dapur dan ibu serta adik mangsa berada di rumah sewaktu kejadian.

    “Ibu mangsa tidak menyedari mangsa berada di dapur ketika itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Utusan TV.

    Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia dan siasatan lanjut diteruskan bagi mengenal pasti punca kematian.

    Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai untuk mengawasi anak-anak dengan baik supaya tidak berlakunya perkara yang tidak diingini.