IDENTITI tiga lagi mangsa tragedi kepala air di Jeram Air Putih, Kemaman telah dikenal pasti petang ini.
Mereka ialah Putri Aryana Umaira Karim, 4, dan Putri Nurerina Natasya karim, 10, yang ditemui jam 12.05 tengah hari tadi, selain bapa Karim Abdullah, 39, ditemui jam 1.55 tengah hari.
Perkembangan ini menjadikan secara keseluruhan semua enam mayat yang ditemui sudah dikenal pasti, lapor Astro Awani.
Sebelum ini, polis sudah mengenal pasti identiti mayat Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, yang ditemui terapung oleh pasukan SAR kira-kira pukul 11.05 pagi tadi.
Malam tadi, polis mengesahkan identiti dua mayat yang ditemui pukul 12.30 tengah hari semalam, adalah dua beranak iaitu Azizah Eiyi, 40, dan Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11.
Sebelum ini, media melaporkan, kesemua mayat terbabit ditemui dalam sektor A dan B kawasan pencarian.
Sembilan beranak yang terbabit dalam kejadian itu ialah Karim dan Azizah; selain Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18; Putri Alleya Maisarah Karim, 16; Putri Nor Fatin Karim, 14; Muhammad Zulqarnain Haikal; Putri Nurerina Natasya; Muhammad Haziq Ziqree dan Putri Aryana Umaira.
Seorang lagi adalah tunang kepada Putri Balqis Izzati iaitu Muhammad Fikri Saliman, 24, yang berasal dari Batu Pahat.
Tengah hari semalam, mayat Azizah ditemukan terapung oleh orang ramai, dihanyutkan arus kira-kira 24 kilometer (km) dari tempat kejadian, manakala Muhammad Zulqarnain Haikal tersangkut pada dahan pokok kira-kira 2 km dari tempat kejadian.
Turut ditemui adalah adalah kereta jenis Proton Gen2 dan sebuah motosikal jenis SYM di tempat kejadian dipercayai milik mangsa terbabit. Susulan penemuan dua mangsa itu, polis melancarkan operasi SAR untuk mengesan semua mangsa yang terlibat.
Polis difahamkan, semua mangsa datang ke kawasan hulu sungai untuk berkelah sebelum dilanda kepala air.
WALAUPUN berat ujian yang ditanggung, Eiyi Johari, 60, bapa kepada Allahyarham Azizah Eiyi, 40, yang terkorban dalam tragedi kepala air di Jeram Air Putih, Kemaman, reda dengan pemergian anaknya.
Selain Azizah yang merupakan anak ketiga daripada tujuh beradik, dia turut kehilangan seorang menantu, Karim Abdullah, 39, (suami Azizah) dan tujuh cucu yang turut sama dalam perkelahan di kawasan rekreasi berkenaan.
Menurut Eiyi dia tidak menyangka akan kehilangan sembilan ahli keluarga tersayang dalam sekelip mata, apatah lagi mereka baru sahaja menyambut Hari Raya Aidiladha bersama-sama.
“Saya reda dengan ujian ini… (Pada hari kejadian) saya keluar bekerja dan dimaklumkan oleh isteri yang mereka sekeluarga berkelah.
“Mereka tidak tinggal serumah dengan kami, tetapi masih dalam kampung yang sama. Suaminya pula berulang-alik kerja dari Felda Lepar Hilir ke Air Putih setiap hari,“ katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman turut menziarahi keluarga mangsa dan menghulurkan sumbangan peribadi sebagai tanda prihatin.
Ariffin berkata kejadian tragedi kepala air di kawasan Jeram Mawar itu merupakan kejadian luar jangka kerana berlaku di luar musim tengkujuh.
Sehubungan itu beliau menasihatkan orang ramai yang ingin keluar beriadah terutama di kawasan rekreasi air mendapatkan maklumat ramalan cuaca daripada laman web agensi berkaitan.
“Jabatan Meteorologi ada keluarkan amaran hujan lebat dan ribut melibatkan negeri-negeri Semenanjung sehingga 5 Julai ini.
“Saya harap sesiapa yang ingin melakukan aktiviti di air lebih peka dengan amaran berkaitan bagi mengelak sebarang tragedi,“ katanya.
Setakat hari ini, tujuh mangsa telah ditemukan termasuk penemuan mayat Azizah dan anak lelakinya, Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, pada tengah hari semalam manakala seorang lagi mangsa masih belum ditemukan.
Operasi mencari dan menyelamat yang dihentikan pada 6 petang semalam akibat cuaca buruk diteruskan semula kira-kira 9 pagi tadi.
SEORANG lelaki ditemukan lemas ketika menjaring ikan bersama tiga rakannya di Pantai Batu 1, Jalan Pantai, Port Dickson dekat Seremban semalam.
Ketua Zon 2 Negeri Sembilan Penguasa Kanan Bomba II Jelani Ahad berkata mangsa yang berusia 30-an beralamat di Parit Raja, Johor itu ditemukan di hadapan Waterfront Pulau Arang, iaitu kira-kira satu kilometer dari pantai itu, 8.40 pagi tadi.
“Mangsa dan tiga rakannya ke pantai itu semalam untuk menjaring ikan ketika air laut surut, namun tidak menyedari berlaku kejadian air pasang sehingga menyebabkan mangsa dibawa arus.
“Tiga lagi rakannya sempat menyelamatkan diri ke pesisiran pantai. Mereka cuba menyelamatkan mangsa menggunakan kayu namun gagal berikutan ombak yang terlalu kuat,” katanya kepada Bernama di Seremban hari ini.
Beliau berkata mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat pada 9.32 pagi.
TUJUH lagi mayat dipercayai mangsa tragedi kepala air di Sungai Teladas, Air Putih, Chukai, ditemui hari ini.
Ini menjadikan keseluruhan mangsa ditemui setakat ini adalah sembilan orang termasuk dua beranak yang ditemui semalam.
Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan berkata, penemuan tujuh mayat itu di sektor A dan B kawasan pencarian.
Harian Metro semalam melaporkan, dua beranak ditemui mati lemas sementara lapan lagi mangsa hilang dalam kejadian kepala air dipercayai berlaku petang kelmarin.
IDENTITI lapan individu termasuk tujuh sekeluarga yang masih hilang dalam tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih dekat Chukai semalam, dikenal pasti.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, tujuh sekeluarga itu ialah Karim Abdullah, 39; Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18; Putri Alleya Maisarah Karim, 16; Putri Nor Fatin Karim, 14; Putri Nurerina Natasya Karim, 10; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, dan Putri Aryana Umaira Karim, 4.
Seorang lagi individu yang hilang merupakan tunang kepada Putri Balqis Izzati iaitu Muhammad Fikri Saliman, 24, yang berasal dari Batu Pahat, Johor.
Terdahulu, polis menerima maklumat mengenai penemuan dua mayat tragedi itu iaitu Azizah Eiyi, 40, dan anaknya Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, daripada orang awam pada pukul 12.30 tengah hari.
“Identiti dua beranak itu dikenal pasti selepas pengecaman dilakukan ahli keluarga di Bilik Forensik Hospital Kemaman, pada malam tadi.
“Keluarga berkenaan berasal dari Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang telah datang ke jeram berkenaan sejak 2 petang (Sabtu) untuk berkelah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman di Chukai, malam tadi.
Hanyan (kanan) menunjukkan gambar 10 mangsa yang terlibat dalam kejadian kepala air di Jeram Mawar, Air Putih pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, pada Ahad malam. – Foto Bernama
Mayat Azizah ditemukan terapung oleh orang ramai, dihanyutkan arus kira-kira 24 kilometer (km) dari tempat kejadian, manakala Muhammad Zulqarnain Haikal tersangkut pada dahan pokok kira-kira 2km dari tempat kejadian.
Beliau berkata, pihaknya percaya Karim yang bekerja sebagai pemandu jengkaut di Hutan Air Putih di Chukai, mahir dengan laluan di lokasi sehingga mampu untuk masuk ke kawasan itu menggunakan kenderaan yang kurang sesuai.
“Bagaimanapun, mereka mungkin tidak menyedari keadaan kepala air yang datang dengan deras secara tiba-tiba. Kalau tengok keadaan di lokasi tadi, paras air dipercayai meningkat sebanyak lima hingga 10 meter sekali gus, tidak sempat untuk melarikan diri ketika sedang mandi di situ,” katanya.
Hanyan berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan kekuatan 50 anggota daripada pasukan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang awam telah dihentikan pada 6 petang semalam atas faktor cuaca dan akan disambung semula pada 8 pagi ini.
“Setakat pukul 10 malam ini (Ahad), tiada sebarang penemuan baharu di lokasi kejadian. Radius kawasan pencarian kita pula seluas 24 km mengambil kira lokasi penemuan mayat pertama.
“Esok (hari ini) kita akan mula pencarian di tebing kiri dan kanan jeram sejauh 8km. Polis percaya kemungkinan lokasi mangsa boleh berada jauh dari titik awal kejadian kerana dibawa arus kepala air yang deras,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan menggunakan khidmat anjing pengesan K9 milik polis dan JBPM, selain akan membuat permohonan menambah kekuatan anggota operasi SAR termasuk bantuan daripada orang luar.
“Malah kalau ada orang awam yang nak bantu pencarian pun kita amat galakkan, bagaimanapun perlu lapor diri terlebih dahulu di Balai Polis Air Putih. Diingatkan agar tidak membuat kerja pencarian tanpa pengetahuan polis,” katanya.
Beliau berkata, operasi SAR pada hari ini akan melibatkan tiga fasa kawasan pencarian mengikut kekuatan dan bantuan sedia ada operasi pasukan pencarian.
Beliau bagaimanapun berkata, maklumat berhubung proses pencarian akan dimaklumkan pada Isnin dan operasi SAR itu bergantung sepenuhnya kepada faktor cuaca.
Dalam pada itu, katanya mayat Azizah dan Muhammad Zulqarnain Haikal akan dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu hari ini untuk bedah siasat.
KELUARGA mangsa terkejut dan masih tidak percaya tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, Kemaman, hari ini yang menyebabkan 10 individu lemas.
“Saya masih terkejut dan tak percaya dengan kejadian yang berlaku ini,” kata Syawalluddin Eiyi, 29, sebaik mengetahui kejadian menimpa keluarga kakaknya, Allahyarham Azizah Eiyi, 40, mangsa tragedi tersebut.
Syawalluddin Eiyi bagaimanapun berharap ahli keluarganya yang masih hilang dalam kejadian terbabit ditemui selamat.
Dia memberitahu, mengetahui kejadian tersebut setelah tular dalam media sosial selain usaha pihak polis mengesan keluarga mangsa.
“Saya diberitahu polis datang ke rumah ibu dan ayah saya di Felda Lepar Hilir 3, Gambang, Kuantan untuk mengesan ahli keluarga.
“Kebetulan juga saya ternampak berita tular di Facebook berserta nombor plat kereta yang dinaiki kakak saya sekeluarga,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Menurut Syawalluddin, tujuh anak saudaranya termasuk paling kecil berusia lima tahun turut terlibat dalam tragedi itu.
“Kakak saya bersama suami pergi bermalam untuk berkelah ke situ bersama anak dan seorang lagi bakal menantu keluarga kami,” ujarnya.
Syawalluddin yang kini berada di Melaka berkata, kali terakhir dia bertemu kakak dan abang iparnya pada Jumaat lalu.
“Sebelum ini mereka memang pernah bermalam di kawasan itu memandangkan abang ipar saya bekerja di sana (Terengganu).
“Tak sangka pula kali ini tragedi tak diingini berlaku kepada mereka sekeluarga. Saya berharap sangat dan berdoa agar masih ada yang terselamat,” luahnya.
Difahamkan, usaha mencari dan menyelamat kini giat dijalankan pasukan keselamatan di kawasan berkenaan.
Terdahulu, penduduk di Kampung Laut, Pasir Gajah, di Kemaman dikejutkan dengan penemuan mayat yang hanyut di sungai di kampung berkenaan.
Setakat ini lapan lagi mangsa dikhuatiri masih hilang dalam tragedi kepala air di Kampung Air Putih, di daerah berkenaan hari ini.
Dalam kejadian tersebut, seorang lelaki dan wanita ditemukan lemas selepas dipercayai dihanyutkan kepala air ketika berkelah di Jeram Mawar, Kampung Air Putih, di Kuala Terengganu hari ini, sementara lapan lagi dikhuatiri masih hilang.
Pegawai Bertugas Pusat Kawalan Kontinjen (CCC) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Terengganu, Asisten Superintenden Ahmad Syukri Yusoff berkata, dua korban pertama telah ditemukan masing-masing pada pukul 12.45 tengah hari tadi.
Kedua-duanya dikenal pasti sebagai Azizah dan anaknya, Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11.
BAU busuk membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki yang hampir reput dalam sebuah kebun getah di Kampung Pahit Dalam, Gerik hari ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, keadaan mangsa berusia 43 tahun itu disedari orang awam yang terhidu bau busuk sekitar pukul 9.40 pagi sebelum memaklumkan kepada polis.
“Mayat mangsa hanya memakai seluar panjang berwarna hitam dan tidak berkasut.
“Mangsa merupakan penduduk tempatan kampung tersebut dan dijumpai meninggal dunia dalam kawasan kebun di pondok milik mangsa sendiri,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, siasatan polis di tempat kejadian tidak menemui apa-apa unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kematian mangsa.
Katanya, buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Mayat telah dihantar ke Hospital Gerik untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya, lapor Sinar Harian.
SERAMAI 10 sekeluarga dipercayai lemas dalam dalam tragedi kepala air di Kampung Air Puteh di Kemaman, Terengganu.
Dua mayat mangsa berjaya ditemui pasukan penyelamat, manakala lapan lagi masih hilang.
Dalam pada itu, Ketua Polis Kemaman Hanyan Ramlan berkata, semua mangsa dipercayai berusia antara empat hingga 40 tahun datang berkelah di kawasan tersebut, kira-kira 5 petang semalam.
Katanya, polis sebelum itu menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan mayat seorang wanita terapung di sungai Kampung Pasir Gajah dalam jarak kira-kira 24km daripada tempat keluarga itu berkelah.
“Polis bersama pasukan bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan penduduk bergegas ke lokasi kejadian.
“Mayat kedua seorang lelaki dipercayai bakal menantu kepada mangsa wanita terbabit ditemui tersangkut di pokok pada jarak tiga kilometer dari lokasi kejadian,” katanya memetik Harian Metro.
Hanyan berkata, hujan lebat sejak petang semalam hingga awal pagi hari ini dipercayai menyebabkan berlaku fenomena kepala air.
Hanyan berkata, polis percaya keluarga besar ini terbabit dalam tragedi itu berdasarkan pakaian dan selipar di tempat kejadian.
“Polis menemui sebuah kereta Proton Gen2 dan motosikal SYM di tempat kejadian dipercayai milik mangsa terbabit.
“Berdasarkan keadaan motosikal yang terbalik dan dalaman kereta yang basah kita percaya berlaku kejadian kepala air di situ,” katanya.
Katanya, operasi ditamatkan kira-kira 6 petang tadi berikutan keadaan cuaca buruk dan operasi akan bersambung 9 pagi esok.
Sementara itu, Pegawai Bertugas Pusat Kawalan Kontinjen (CCC) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Terengganu, Asisten Superintenden Ahmad Syukri Yusoff berkata, dua korban pertama telah ditemukan masing-masing pada pukul 12.45 tengah hari tadi.
Kedua-duanya dikenal pasti sebagai AAzizah Eiyi, 40, dan anaknya, Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11.
SEBUAH blok bangunan asrama pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kenangan di Segamat terbakar pada awal pagi tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Segamat Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Aizad Mamat berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.58 pagi dan menjalankan operasi pemadaman dengan kekuatan 20 anggota.
“Pasukan keluaran operasi bertindak membuat pemadaman menggunakan air tangki pam jentera dan pili bomba berhampiran blok bangunan asrama setinggi dua tingkat itu.
“Kebakaran tersebut memusnahkan 30 peratus daripada keseluruhan bangunan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata kejadian itu tidak melibatkan mangsa dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
Operasi memadam kebakaran tersebut tamat sepenuhnya pada 4.03 pagi.
SEORANG kanak-kanak lelaki dan bapa saudaranya yang jatuh daripada bot dinaiki mereka di Sungai Kelantan di Kampung Pasir Pekan Hulu, di Tumpat, Jumaat lepas ditemukan lemas, pagi ini.
Ketua Polis Tumpat ACP Amran Dolah berkata kedua-dua mangsa ditemukan terapung oleh pasukan penyelamat.
“Mangsa pertama iaitu Amrullah Fitri Afendi, 10, ditemukan sekitar 8.15 pagi tadi di tebing sungai dalam jarak 900 meter dari pusat kawalan tempat kejadian (PKTK), manakala, bapa saudaranya Wan Muhamad Najmi Wan Taib, 30, pula ditemukan bawah jambatan Sultan Yahya Petra iaitu tengah-tengah kawasan sungai dan tidak jauh dari mangsa pertama dijumpai,” katanya kepada pemberita di Tumpat, hari ini.
Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Tumpat untuk proses bedah siasat dan susulan penemuan itu operasi mencari dan menyelamat ditamatkan.
Pada Jumaat, Wan Muhamad Najmi, isterinya Nor Awadah Sulong, 30, dan anak perempuan mereka, Wan Nur Ameena, 14 bulan serta Amrullah Fitri terpelanting dan terjatuh ke dalam sungai selepas enjin bot dinaiki mereka tiba-tiba mati.
Nor Awadah meninggal dunia akibat kejadian itu manakala anak perempuannya selamat.