Category: Jenayah

  • Baling botol kaca:Tujuh individu termasuk tiga wanita ditahan

    Baling botol kaca:Tujuh individu termasuk tiga wanita ditahan

    POLIS menahan tujuh individu termasuk tiga wanita disyaki terbabit dalam kes membaling botol kaca ke arah jalan raya dari balkoni sebuah kediaman di Jalan Cendana, Kampung Baru, Kuala Lumpur yang tular di media sosial baru-baru ini.

    Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata kesemua mereka yang berusia 21 hingga 31 tahun itu, ditahan semalam dan hari ini di sekitar Dang Wangi. 

    Beliau berkata ujian saringan air kencing mendapati seorang daripada tujuh individu itu positif dadah jenis ketamin dan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952. 

    Menurutnya dua daripada tujuh individu itu ditahan reman tiga hari hingga Selasa ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 268/336 Kanun Keseksaan, serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955. 

    “Permohonan reman bagi lima individu lain ditolak dan akan dibebaskan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Noor Dellhan turut menyarankan orang ramai yang menerima kesan daripada kejadian tersebut untuk tampil membuat laporan di balai polis berhampiran. 

    Sebelum ini, sebuah video tular memaparkan seorang lelaki membaling botol kaca dari balkoni dari sebuah premis kediaman ke arah jalan raya. 

  • Janda ditangkap khalwat, tak sempat jumpa bakal mentua

    Janda ditangkap khalwat, tak sempat jumpa bakal mentua

    SEORANG janda tidak sempat bertemu keluarga bakal mentuanya selepas dia dan teman lelaki dicekup kerana disyaki berkhalwat di sebuah hotel bajet di Klebang, Melaka pukul 2 pagi tadi.

    Pasangan kekasih itu ditahan sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dalam Operasi Cegah Jenayah Syariah sempena cuti Thaipusam.

    Pengarah Jaim Datuk Che Sukri Che Mat berkata, ketika ditahan pasukan penguat kuasa, pasangan itu gagal mengemukakan sebarang dokumen selain mereka didapati tinggal berdua-duaan dalam bilik tanpa sebarang ikatan yang sah.

    “Daripada keterangan diberikan, wanita berusia 32 tahun itu mendakwa baru pertama kali berjumpa dengan teman lelakinya yang lebih muda 10 tahun daripadanya selepas tiga bulan berkenalan di laman sosial.

    “Dia turut mendakwa ada perancangan untuk berkahwin dengan teman lelakinya selain akan ke Kelantan, hari ini untuk bertemu dengan keluarga kekasihnya itu,” katanya, memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Menurutnya, selain pasangan itu, turut ditahan dua lagi pasangan selepas dipercayai tinggal bersekedudukan dengan pasangan bukan muhrim.

    Kesemua yang ditahan katanya, berusia antara 23 hingga 50 tahun dan mereka kemudian dibawa ke pejabat Jaim untuk diambil keterangan lanjut.

    Beliau berkata, ketiga-tiga pasangan itu disiasat mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991.

    Che Sukri berkata, dalam operasi sama, JAIM turut mengeluarkan tujuh saman hadir mengikut Seksyen 71 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana melakukan perbuatan tidak sopan di tempat awam.

    “Jika individu terbabit didapati bersalah, mereka boleh didenda sehingga RM1,000 dan penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.

  • Dua wanita maut, tiga cedera tersepit dalam kereta

    Dua wanita maut, tiga cedera tersepit dalam kereta

    DUA wanita maut apabila kenderaan yang dipandu masing-masing terlibat dalam kemalangan di Jalan Junid, Muar pukukl 1.15 pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kemalangan itu turut mengakibatkan tiga lagi mangsa mengalami kecederaan.

    “Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar telah bergegas ke tempat kejadian selepas menerima maklumat mengenai satu kemalangan maut di Jalan Junid melibatkan dua kereta.

    “Hasil siasatan mendapati kemalangan dipercayai berlaku semasa kereta jenis Proton Wira dari arah Desa Keroma yang menghala ke Bandar Muar telah bertembung dengan kereta jenis Proton Saga BLM yang memasuki simpang secara mengejut dari arah bertentangan hingga menyebabkan kedua-dua kenderaan itu terbabas ke kanan jalan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

    Akibat kemalangan tersebut katanya, seorang wanita yang juga merupakan penumpang kereta jenis Proton Wira berusia 34 tahun dan seorang pemandu wanita kereta jenis Proton Saga BLM berusia 45 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.

    Katanya, tiga mangsa lain mengalami kecederaan dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar untuk rawatan.

    Beliau berkata, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) APJ 1987 dan orang ramai yang menyaksikan kejadian terbabit diminta hadir ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

    Sementara itu menurut Pegawai Bomba Kanan II yang juga merupakan Komander Operasi bagi kemalangan berkenaan, Misholifadzil Mohammad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan berkenaan pada Ahad pukul 12.59 tengah malam.

    Katanya, satu jentera FRT dan dua unit RIM dengan sembilan anggota telah dihantar ke lokasi kemalangan berkenaan.

    “Sebaik tiba ke lokasi, pasukan keluaran operasi (PKO) mendapati kemalangan berkenaan melibatkan kereta jenis Proton Wira dan Proton Saga BLM.

    “PKO kemudiannya menggunakan peralatan khas rescue tools and stretcher bagi membantu lima mangsa yang tersepit manakala dua lagi mangsa disahkan telah meninggal dunia di lokasi.

    “Dua mangsa yang meninggal kemudiannya diserahkan kepada pihak polis manakala tiga mangsa yang tersepit dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Bot nelayan Indonesia ceroboh perairan negara ditahan

    Bot nelayan Indonesia ceroboh perairan negara ditahan

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan asing dari Indonesia yang dipercayai menceroboh perairan negara pukul 12.46 tengah hari semalam.

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot itu ditahan kapal ronda Maritim Malaysia pada kedudukan 37 batu nautika barat daya Pulau Kendi ketika melaksanakan rondaan OP TANJUNG dan OP PERTIWI.

    Jelas beliau, pemeriksaan ke atas bot itu mendapati, bot terbabit berpangkalan di Pangkalan Susu, Indonesia dan dikendalikan lima kru warga Indonesia berumur antara 21 hingga 50 tahun.

    “Kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit menangkap ikan di perairan Malaysia.

    Maritim menahan sebuah bot nelayan asing dari Indonesia yang dipercayai menceroboh perairan negara pukul 12.46 tengah hari semalam

    “Mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa permit daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
     
    Tambah beliau, bot serta kru ditahan termasuk hasil laut dibawa di Jeti Limbungan Batu Maung untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut.

    Dalam pada itu, tegasnya, Maritim Malaysia akan sentiasa memantau dan memastikan perairan negara terkawal dari sebarang pencerobohan bot nelayan asing yang cuba mencuri hasil laut di perairan Malaysia.

    Ujarnya, sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut segera hubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

  • Lelaki terjun sungai elak dicekup polis ditemui lemas

    Lelaki terjun sungai elak dicekup polis ditemui lemas

    SEORANG lelaki ditemui lemas selepas terjun ke dalam sungai berhampiran Taman Muara, Sungai Buloh di Kuala Selangor ketika cuba melarikan diri daripada serbuan polis pada Jumaat lalu.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, mangsa, 31, ditemui terapung oleh sepasukan nelayan kira-kira satu kilometer dari Pusat Kawalan Bomba (PKB) pada pukul 7.52 pagi tadi.

    “Bomba membawa mayat lelaki itu ke PKB dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

    “Pada masa ini pihak bomba sedang menggerakkan usaha mencari dan menyelamat seorang lagi mangsa yang turut sama terjun di sungai itu dalam kejadian terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Norazam berkata, mangsa berusia 24 tahun itu dikhuatiri lemas dan usaha pencarian diteruskan membabitkan kekuatan 15 pegawai dan anggota serta jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor.

    “Operasi mencari mangsa memasuki hari kedua sejak operasi pertama pencarian dilakukan pada jam 8.56 malam pada Jumaat lalu,” jelasnya.

  • Wang KWSP RM141,000 lesap diperdaya Macau Scam

    Wang KWSP RM141,000 lesap diperdaya Macau Scam

    SEORANG wanita berputih mata apabila wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM141,000 lesap sekelip mata selepas diperdaya sindiket Macau Scam.

    Sebelum itu mangsa berusia 56 tahun yang bekerja bahagian pentadbiran di sebuah syarikat swasta itu mendakwa telah dihubungi oleh individu dari sebuah syarikat insurans.

    Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, suspek memaklumkan mangsa ada membuat tuntutan insurans namun mangsa menafikannya.

    “Mangsa kemudian telah disambungkan kepada individu yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Qayyum kononnya dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang untuk membuat laporan.

    “Mangsa telah diberitahu terlibat dengan kesalahan penggubahan wang haram dan telah diarah jangan memberitahu kepada sesiapa,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

    Menurutnya, mangsa telah diberitahu terlibat dengan kesalahan penggubahan wang haram dan telah diarah jangan memberitahu kepada sesiapa.

    Ujarnya, mangsa kemudian telah disambungkan pula kepada pendakwa raya yang mengarahkannya membuat kad bank baharu jika mahu menyelesaikan kes.

    “Pada 25 Januari lalu mangsa telah pergi ke Bank Rakyat di Seremban 2 untuk membuat kad bank baharu dan telah mengikut setiap arahan pendakwa raya tersebut termasuk mengubah nombor telefon rujukan akaun baharu kepada 014-690 8266.

    “Mangsa juga telah mengeluarkan duit KWSP sebanyak RM 130,000 dan telah pindahkan ke akaun Bank Rakyat terbabit,” katanya lapor Sinar Harian.

    Bagaimanapun kata Ahmad Dzaffir, semalam mangsa telah mendapat tahu kesemua wang dalam akaun berkuran.

  • Warga emas maut selepas bergaduh dengan pekerja sendiri di restoran

    Warga emas maut selepas bergaduh dengan pekerja sendiri di restoran

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG warga emas maut apabila tiba-tiba rebah selepas bergaduh dengan pekerjanya yang juga seorang pembantu tukang masak di sebuah restoran dekat Jalan Stadium, Alor Setar, semalam.

    Menurut sumber, lelaki berusia 68 tahun itu tiba-tiba rebah setelah dileraikan daripada bergaduh dengan suspek yang berusia 55 tahun kira-kira pukul 5.15 petang, di belakang restoran tersebut.

    Difahamkan pada mulanya berlaku perselisihan faham antara anak mangsa dan isteri suspek sebelum mangsa tiba-tiba bertindak memarahi isteri suspek.

    “Perbuatan itu tidak disenangi suspek hingga mengundang pergaduhan antara suspek dan mangsa. Dalam pergaduhan itu, suspek dikatakan turut menyerang mangsa dengan kayu dan sempat melepaskan beberapa tumbukan.

    “Pergaduhan itu bagaimanapun berjaya dileraikan. Namun mangsa dikatakan tiba-tiba rebah selepas pergaduhan itu selesai.

    “Pegawai perubatan yang tiba ke lokasi tidak lama selepas itu bagaimanapun mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya.

    Tambahnya, mangsa mempunyai sejarah darah tinggi, sakit tulang belakang dan jantung.

    Dalam pada itu Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit dan siasatan lanjut masih dijalankan.

    Beliau berkata, seorang lelaki sudah ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    “Polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kematian mangsa dan punca hanya akan diketahui selepas bedah siasat dilakukan dalam tempoh terdekat,” katanya.

  • Bunuh, tanam mayat suami kekasih di lereng bukit

    Bunuh, tanam mayat suami kekasih di lereng bukit

    SEORANG lelaki yang dipercayai membunuh suami kekasihnya dan menanam mayat mangsa di lereng bukit belakang sebuah pusat jagaan orang tua di Subang Jaya pada Mei tahun lalu terbongkar.

    Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada orang awam pada Khamis berkaitan pengakuan seorang lelaki warga India yang membunuh rakan senegaranya sebelum menanam mayat mangsa.

    “Pengakuan berkenaan dibuat di kawasan Ampang Jaya sebelum sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menahan suspek untuk siasatan lanjut.

    “Soal siasat kemudian membawa ke lokasi mangsa berusia 25 tahun itu dibunuh di lereng bukit belakang sebuah banglo yang dijadikan pusat jagaan orang tua.

    “Mangsa dipercayai dikelar di bahagian leher menggunakan pisau,” katanya dalam kenyataan, lapor Sinar Harian.

    Wan Azlan berkata, pemeriksaan polis menemui bungkusan plastik yang dipercayai digunakan untuk membalut badan mangsa.

    Katanya, susulan itu, polis menahan wanita warga India yang juga isteri mangsa dan kekasih kepada suspek.

    Tambahnya, turut ditahan adalah dua wanita tempatan dan seorang wanita warga Indonesia berusia antara 25 hingga 35 tahun yang bekerja di pusat jagaan orang tua berkenaan.

    “Motif pembunuhan dipercayai kerana mangsa mengetahui hubungan sulit antara suspek dengan isterinya.

    “Setakat ini, senjata pembunuhan dalam kejadian ini (pisau) masih belum ditemui dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” ujarnya.

    Katanya lagi, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah di daerah ini boleh menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-78627100 untuk tindakan lanjut.

  • Bunuh, tanam suami kekasih bimbang hubungan sulit terbongkar

    Bunuh, tanam suami kekasih bimbang hubungan sulit terbongkar

    BIMBANG hubungan sulitnya terbongkar, seorang lelaki bertindak membunuh dan menanam suami kepada teman wanitanya, di belakang sebuah rumah banglo yang dijadikan sebagai pusat penjagaan orang tua di Subang Jaya Mei tahun lalu.

    Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, polis menahan suspek selepas menerima laporan daripada rakan mangsa kelmarin.

    Menurutnya, selepas disoal siasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, lelaki itu mengaku membunuh mangsa dengan mengelar leher mangsa sehingga mati dan menanamnya.

    Katanya, lelaki berusia 30 tahun itu kemudian membawa polis menunjukkan lokasi mangsa ditanam iaitu di lereng bukit belakang rumah banglo tersebut.

    “Polis dari IPD Subang Jaya bersama pasukan pasukan forensik, kemudian menemui sebuah bungkusan plastik yang dilpercayai digunakan untuk membalut tubuh mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut Wan Azlan berkata, berdasarkan siasatan, mangsa berusia 25 tahun dibunuh sekitar Mei tahun lalu.

    Katanya lagi, suspek, mangsa dan isteri mangsa bekerja di pusat penjagaan orang tua itu.

    “Kita turut menyiasat termasuk dari aspek penglibatan isteri mangsa secara langsung dalam insiden ini kerana laporan dibuat oleh rakan mangsa dan bukan isteri si mati,” katanya.

    Wan Azlan memberitahu, mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

    Susulan itu katanya, polis menahan suspek dan isterinya yang juga warga India pada Khamis lalu.

    “Kemudian pada keesokan harinya, kira-kira pukul 2.30 petang, polis menahan tiga wanita termasuk dua rakyat tempatan dan seorang warga Indonesia, yang berusia 25 hingga 35 tahun. Siasatan mendapati ketiga-tiga wanita ini tiada rekod lampau,” jelasnya, lapor Astro AWANI.

    Kesemua mereka katanya ditahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabit dengan kesalahan.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu diminta menghubungi IPD Subang Jaya di talian 03-78627100 atau mana-mana balai polis berhampiran.

  • 2 perompak bersenjata ditahan

    2 perompak bersenjata ditahan

    POLIS menahan dua lelaki selepas terbabit melakukan rompakan bersenjata di sebuah kedai serbaneka di Bandar Chukai, di Kemaman, awal pagi semalam.

    Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kedua-dua suspek berusia lingkungan 20-an hingga 40-an itu ditahan kira-kira 4 pagi dalam dua tangkapan berasingan.

    “Kedua-dua suspek yang bekerja di sebuah kedai serbaneka itu ditahan di sebuah rumah dan bengkel, hasil maklumat orang awam.

    “Sebelum kejadian, pemilik kedai serbaneka berusia 19 tahun berbual dengan dua rakannya sebelum dihampiri dua-dua suspek yang menunggang motosikal sekitar 1.45 pagi.

    “Suspek memakai topi keledar dan kain penutup muka bertindak mengacukan senjata tajam kepada mangsa manakala seorang lagi suspek menggunakan senjata menyerupai pistol,” katanya pada sidang media di Kemaman, hari ini.

    Hanyan berkata, ketika kejadian, suspek menggeledah kaunter premis sebelum melarikan wang tunai serta sebuah beg silang milik mangsa dan rakannya yang mengandungi wang tunai, tiga telefon bimbit dan barangan peribadi.

    “Kejadian itu menyebabkan kesemua mangsa kerugian sekitar RM7,000. Polis percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya dua kes rompakan bersenjata secara berkumpulan di daerah ini yang berlaku sejak Oktober lalu,” katanya.

    Katanya, hasil saringan air kencing mendapati kedua-kedua suspek positif dadah dan kedua-dua suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau berhubung kes rogol dan dadah.

    “Suspek direman selama tujuh hari bermula semalam hingga Rabu depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Harian Metro.