Category: Jenayah

  • Polis tahan empat lelaki miliki senjata buatan sendiri

    Polis tahan empat lelaki miliki senjata buatan sendiri

    POLIS menahan empat lelaki kerana memiliki tiga laras senapang angin dan sepucuk pistol buatan sendiri dalam tiga serbuan berasingan di daerah Dungun, dua hari lepas.

    Ketua Polis Daerah Dungun Supt Baharudin Abdullah berkata empat suspek berusia 29 hingga 48 itu ditahan sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu dalam operasi dari pukul 4.30 pagi hingga 8.30 pagi.

    Katanya serbuan pertama di kawasan ladang kelapa sawit di Felda Kerteh 2 dekat sini menemukan selaras senapang, sepucuk pistol buatan sendiri dan 28 biji bola besi, manakala serbuan kedua di sebuah rumah di Kampung Durian Mentangau melibatkan rampasan selaras senapang dan beberapa biji bola besi.

    “Serbuan ketiga pula dijalankan di sebuah rumah di Felda Kertih 2 di Dungun dan membawa kepada penemuan selaras senapang.

    “Hasil siasatan awal mendapati tiga daripada empat suspek memiliki rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan jenayah. Ujian air kencing juga mendapati tiga suspek positif dadah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Beliau berkata semua suspek yang ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960, mengaku menghasilkan sendiri senjata berkenaan dengan mempelajarinya daripada internet, bagi tujuan memburu binatang liar di kawasan kebun.

    Sementara itu, Baharudin berkata pada hari sama sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun turut menahan empat lagi lelaki berusia antara 16 hingga 23 tahun kerana memiliki senjata tiruan.

    Menurutnya polis merampas selaras senapang tiruan, selaras senapang menyerupai M16, sepucuk pistol tiruan, sepasang gari, peluru getah, empat buah telefon bimbit dan dua walkie talkie daripada mereka.

    “Semua suspek mengaku membeli senjata tiruan dan peralatan lain secara dalam talian untuk tujuan suka-suka dan bergambar di media sosial. Suspek direman selama empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 89 Akta Polis 1967,” katanya.

  • Maritim Malaysia tahan bot sangkar ikan guna lesen tamat tempoh

    Maritim Malaysia tahan bot sangkar ikan guna lesen tamat tempoh

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot sangkar ikan di perairan Batu Maung, di Georgetown semalam kerana menggunakan lesen bot yang telah tamat tempoh.

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, penahanan itu dibuat oleh pasukan bot ronda Maritim Malaysia setelah memeriksa secara rawak sebuah bot sangkar ikan pada kedudukan sekitar 0.9 kilometer dari Batu Maung, kira-kira pukul 4.40 petang semalam.

    Kesemua mereka mempunyai dokumen pengenalan diri yang lengkap tetapi disyaki melakukan kesalahan kerana mengendalikan bot dengan lesen yang telah tamat tempoh

    Ujar beliau, hasil pemeriksaan mendapati, bot tersebut dikendalikan oleh empat kru warga asing iaitu seorang tekong dan dua kru Myanmar serta seorang kru Indonesia berumur antara 21 hingga 29 tahun.

    “Kesemua mereka mempunyai dokumen pengenalan diri yang lengkap tetapi disyaki melakukan kesalahan kerana mengendalikan bot dengan lesen yang telah tamat tempoh,” katanya dalam kenyataan di Georgetown hari ini.

    Menurutnya, kesalahan itu disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu beroperasi dengan mengendalikan bot menggunakan lesen yang telah tamat tempoh.

    Penahanan itu dibuat oleh pasukan bot ronda Maritim Malaysia setelah memeriksa secara rawak sebuah bot sangkar ikan pada kedudukan sekitar 0.9 kilometer dari Batu Maung

    Ujar beliau, bot bersama kesemua kru dan tekong ditahan sebelum dibawa ke jeti Pangkalan Pasukan Polis Marin Batu Uban untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut.

    “Maritim Malaysia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas tanpa kompromi ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang sengaja melanggar undang-undang persekutuan di zon Maritim Malaysia,” katanya.

    Tambahnya, orang ramai boleh menyalurkan aduan salah laku jenayah maritim atau kejadian kecemasan di laut dengan menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

  • Polis berkas lapan penjenayah pecah rumah

    Polis berkas lapan penjenayah pecah rumah

    Oleh BADLISHAH MAT

    POLIS Daerah Baling percaya dapat menyelesaikan enam kes pecah rumah dan curi di sekitar daerah itu dan kawasan lain dengan tertangkapnya lapan suspek hasil Op Pintu yang dijalankan dari 21 Januari hingga 31 Januari lalu.

    Menurut Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat, kesemua suspek lelaki terbabit dipercayai terlibat dalam kegiatan pecah rumah sarang burung walit dan kedai serta mencuri kabel Telekom Malaysia.

    Katanya, kesemua lelaki tempatan berusia antara 26 hingga 54 tahun yang positif methamphetamine itu mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah.

    Mereka kini direman sehingga esok bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 457 kerana menceroboh dan Seksyen 431A Kanun Keseksaan akibat melakukan khianat.

    “Kertas siasatan turut dibuka di bawah Seksyen 411 ekoran menerima harta curi dan Seksyen 414 kanun sama kerana menolong menyembunyikan harta curi.

    “Mereka juga disyaki terlibat dalam kes pecah rumah dan curi kabel di kawasan luar Baling iaitu di Sungai Petani, Pulau Pinang dan Taiping di Perak,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling, hari ini.

    Shamsudin berkata, dalam siri serbuan tersebut, polis turut merampas dua buah kereta jenis Proton Waja dan Perodua Myvi.

    “Selain itu, empat keratan kabel milik Telekom Malaysia sepanjang 20 meter, pemotong kabel, mesin gergaji besi, besi pencungkil berbentuk ‘T’, mesin pemotong rumput dan peralatan lain turut dirampas,” katanya.

    Sementara itu, dalam kes berasingan pada Khamis lalu, seorang lelaki berusia 41 tahun ditahan di sebuah kandang lembu di Kampung Thye Seng, Kuala Ketil di Baling kerana dipercayai terlibat dalam pengedaran dadah.

    “Pemeriksaan menemukan 10 paket plastik lutsinar pelbagai saiz disyaki dadah jenis heroin seberat 3,000 gram dan empat paket plastik lutsinar disyaki syabu seberat 250 gram. Suspek juga memiliki tiga rekod berkaitan dadah dan jenayah,” katanya.

    Menurut Shamsudin, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM65,200 dan boleh menampung seramai 16,012 orang sekiranya terlepas ke pasaran.

    Suspek yang sudah berumah tangga dan mempunyai anak itu kini direman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah selama lima hari bermula 3 Februari lalu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Wanita rugi lebih RM50,000 ditipu tawaran kerja dalam talian

    Wanita rugi lebih RM50,000 ditipu tawaran kerja dalam talian

    HASRAT seorang wanita menambah pendapatan menerusi kerja sambilan tidak kesampaian apabila terpedaya dengan tawaran kerja dalam talian sehingga mendakwa dirinya kerugian RM53,875.

    Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa yang berusia 41 tahun mendakwa dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp pada 29 Januari lepas berhubung tawaran kerja untuk melanggan dan memberi tanda suka di YouTube.

    “Mangsa mendakwa dijanjikan komisen sebanyak 30 peratus untuk setiap tugasan yang dilakukan. Bagi tugasan pertama, mangsa diarah membuat bayaran RM300 sebelum dia menerima bayaran balik berjumlah RM390 yang dimasukkan ke akaun banknya.

    “Jumlah keuntungan itu menyebabkan mangsa berminat untuk terus membuat bayaran sehingga mengeluarkan wang simpanan dan meminjam daripada ahli keluarga yang keseluruhannya berjumlah RM53,875,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ramli berkata, wanita itu menyedari ditipu selepas tidak menerima bayaran balik walaupun telah membuat bayaran secara dalam talian ke empat akaun menerusi 10 transaksi lalu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam.

    Beliau sehubungan itu menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pekerjaan menerusi media sosial terutama yang menjanjikan pulangan lumayan.

    Katanya, orang ramai juga diingatkan membuat semakan nombor akaun yang diterima di https://semakmule.rmp.gov.my/ sebelum membuat sebarang transaksi bagi mengelak ditipu.

  • Lelaki ditahan bantu siasatan muat naik video berunsur fitnah di TikTok 

    Lelaki ditahan bantu siasatan muat naik video berunsur fitnah di TikTok 

    POLIS menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes memuat naik sebuah video berunsur fitnah ke atas anggota polis trafik menerusi akaun TikTok.

    Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop, berkata penarik baja berusia 39 tahun itu ditahan pada Sabtu lepas dan direman hingga esok bagi siasatan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    “Lelaki itu ditahan di rumahnya di Jitra, Kedah dan hasil semakan mendapati dia tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, klip video berdurasi 35 saat atas pemilik akaun @manbajanaw9438 itu memaparkan tiga anggota trafik sedang melakukan pemeriksaan rutin di Jalan Kangar-Alor Setar berhampiran lampu isyarat Simpang Ampat, Perlis.

    Katanya, anggota trafik itu membuat pemeriksaan dan mengeluarkan empat saman ke atas lori lelaki itu manakala punca kejadian dipercayai lelaki terbabit tidak berpuas hati dengan saman yang dikeluarkan terhadapnya.

    “Video yang dimuat naik oleh lelaki itu adalah berunsur provokasi dan fitnah yang boleh mendatangkan tanggapan buruk masyarakat terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana terdapat beberapa komen negatif orang ramai berkenaan video itu yang boleh menjatuhkan maruah serta imej anggota polis trafik dalam video itu,” katanya.

    Yusharifuddin sehubungan itu menasihatkan masyarakat supaya tidak menimbulkan sebarang provokasi yang boleh mendatangkan kebencian terhadap pihak berkuasa, khususnya melalui media sosial.

    Beliau berkata, tindakan itu boleh menyebabkan tersebarnya kenyataan yang tidak berasas sehingga boleh menghakis keharmonian antara masyarakat dan agensi penguat kuasa.

    Katanya, mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan tindakan yang diambil oleh penguat kuasa khususnya pasukan PDRM, boleh mengemukakan aduan dengan menggunakan saluran betul.

  • Padah tayang ‘anu’, lelaki direman empat hari

    Padah tayang ‘anu’, lelaki direman empat hari

    SEORANG lelaki yang ditahan polis kerana menunjukkan kemaluan terhadap dua wanita bersaudara ketika menunggang motosikal semalam, direman empat hari untuk membantu siasatan.

    Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji, berkata suspek dikenakan perintah reman mulai hari ini hingga 9 Februari ini.

    Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, suspek berusia 26 tahun itu tidak mempunyai rekod jenayah sebelum ini.

    “Namun siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan / Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Dalam kejadian semalam, dua wanita bersaudara berdepan detik cemas apabila terserempak dengan seorang lelaki yang menunjukkan kemaluannya ketika menunggang motosikal.

    Kejadian berlaku jam 11.30 pagi ketika Nur Wahida Ahmad, 27, dan anak saudaranya dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Keda, Sungai Udang, selepas pulang dari kursus kulinari di Guar Chempedak.

    Bagaimanapun suspek ditahan jam 5.45 petang semalam selepas mula dijejaki polis selepas mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan sejurus kejadian lapor BH.

  • Tipu tawaran e-baucar: Polis buka lima kertas siasatan

    Tipu tawaran e-baucar: Polis buka lima kertas siasatan

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) membuka lima kertas siasatan berhubung kegiatan penipuan tawaran e-baucar atau e-ganjaran yang membabitkan kerugian RM508,261 di seluruh negara.

    Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Saaduddin berkata siasatan mendapati tawaran melalui aplikasi dalam talian itu diperkenalkan pada 2020 yang membabitkan pembelian barangan dan perkhidmatan menggunakan e-dompet.

    Beliau berkata pengguna yang berminat menggunakan aplikasi tersebut perlu memasukkan sejumlah wang dan akan diberikan penjimatan hingga 50 peratus bagi setiap pembelian selain menerima mata ganjaran yang boleh ditebus menerusi pembelian barangan atau wang tunai.

    “Pada peringkat awal, urus niaga dan penebusan mata ganjaran melalui aplikasi ini berjalan lancar namun masalah mula timbul pada penghujung 2022 apabila pengguna gagal untuk membuat pembelian serta penebusan mata ganjaran.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Noorsiah berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pada Oktober tahun lepas telah mengeluarkan kenyataan berhubung serbuan terhadap syarikat yang terbabit dengan kegiatan itu yang disiasat mengikut Seksyen 4(1) dan Seksyen 27B Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993.

    Jumaat lepas, media melaporkan kira-kira 100 laporan polis dibuat membabitkan kerugian hampir RM5 juta berhubung penipuan tawaran baucar atau e-ganjaran yang menggunakan nama tokoh terkenal, kerabat diraja, bekas pegawai kerajaan dan agamawan.

  • Bayi masih bertali pusat ditinggal bawah kerusi kayu

    Bayi masih bertali pusat ditinggal bawah kerusi kayu

    SEORANG bayi lelaki yang masih hidup dan masih bertali pusat ditemukan di Kondo Rakyat Kuala Ibai dekat Kuala Terengganu petang semalam.

    Bayi yang dianggarkan berusia antara lima hari hingga seminggu itu ditemukan oleh seorang penduduk Ahmad Fauzi Sulaiman, 28, di bawah kerusi kayu di belakang dapur rumahnya pada 6.05 petang ketika baru pulang dari kerja.

    Menurut Ahmad Fauzi, dia terdengar suara tangisan bayi dari arah belakang rumah, bagaimanapun tidak mengendahkannya kerana menyangkakan ia datang dari rumah jiran.

    “Selepas mengamatinya lebih lama, saya ke belakang dan terkejut apabila mendapati seorang bayi berada di atas simen di bawah kerusi kayu panjang,” katanya.

    Ahmad Fauzi berkata ketika ditemukan, bayi berkenaan hanya dipakaikan lampin pakai buang dan terdapat sehelai kain pelikat dipercayai digunakan untuk membalut tubuh bayi berkenaan.

    “Alhamdulilah bayi tersebut nampaknya sihat dan tiada kecederaan yang ketara,” katanya menambah bapa mertuanya bertindak menghubungi pihak polis yang kemudian tiba pada kira-kira 7.30 malam.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Abdul Rahim Md Din, meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penemuan bayi itu supaya menghubungi balai polis terdekat untuk membantu siasatan.

    Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi dengan niat membuang bayi berkenaan.

  • JPJ kesan penipuan lesen palsu berleluasa

    JPJ kesan penipuan lesen palsu berleluasa

    JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan penipuan yang melakukan kesalahan pemalsuan lesen kenderaan yang masih berleluasa di media sosial hingga hari ini, kata Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JPJ M. Janagarajan.

    Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai untuk lebih berhati-hati dalam mendapatkan lesen kenderaan, supaya tidak terjebak dengan pemalsuan lesen atau lebih popular dipanggil ‘lesen terbang’.

    “Sebenarnya ini bukan isu lesen terbang, isunya ialah pemalsuan lesen. Lesen itu bukan lesen biasa. Ia dilakukan atau dibuat oleh scammer dan lesen tersebut tidak mempunyai rekod atau tidak wujud di dalam sistem JPJ.

    “Sekiranya pengguna dapat lesen yang sedemikain, mereka tidak memperoleh lesen yang betul dan ia adalah lesen palsu,” katanya selepas Majlis Penutup Kursus Pembangunan Pasukan Kepada Jurupandu Perkhidmatan Bas Ekspres Konsortium E-Mutiara Berhad, di Akademi Pengangkutan Jalan Wilayah Timur hari ini.

    Turut hadir, Pengarah Akademi Pengangkutan Jalan Mohd Kifli Ma Hassan, Pengarah JPJ Kelantan Mohd Misuari Abdullah dan Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad Che Ibrahim Che Ismail.

    Janagarajan berkata pihaknya sudah mengenal pasti ramai yang menjadi mangsa penipuan ini dan tindakan dilakukan menerusi bahagian pelesenan memandu integriti JPJ.

    “Modus operandi penipuan ini ialah mereka menawarkan iklan dalam media sosial dengan mengatakan bahawa lesen itu adalah lesen yang sah, tetapi sebenarnya lesen itu adalah lesen yang tidak sah.

    “Ada mangsa sudah membuat pembayaran dan sekiranya bernasib baik, mereka dapat lesen palsu berkenaan, tetapi ada juga mangsa mengadu akaun ditutup atau tidak wujud setelah pembayaran dibuat,” katanya.

    Janagarajan berkata pihaknya bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), selain mengambil tindakan mahkamah ke atas suspek yang melakukan penipuan itu.

    “Apa yang perlu pengguna ingat, mereka yang dapat lesen palsu itu hanya boleh menggunakannya dalam tempoh sekejap sahaja dan aktiviti tidak sihat ini biasanya disedari selepas pengguna membuat pembaharuan lesen pada tahun seterusnya,” katanya.

  • Lelaki ditahan tunjuk kemaluan kepada wanita, beronani sambil bawa motosikal

    Lelaki ditahan tunjuk kemaluan kepada wanita, beronani sambil bawa motosikal

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG lelaki berusia 26 tahun ditahan polis kerana berkelakuan biadab menunjukkan kemaluan kepada dua wanita selain beronani sambil menunggang motosikal di Jalan Teroi menuju ke Sungai Yan, Kedah, pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, kejadian itu didakwa berlaku kira-kira pukul 11.45 pagi tadi ketika seorang wanita bersama anak saudaranya melalui jalan tersebut.

    “Wanita itu membonceng motosikal ditunggang anak saudaranya yang juga seorang perempuan dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghadiri kursus kulinari. Tiba-tiba, mereka berselisih dengan suspek yang sedang dalam perjalanan ke arah bertentangan sambil beronani.

    “Walaupun tidak mempedulikan tindakan suspek, lelaki itu bagaimanapun secara tiba-tiba memecut dan mengekori mereka sambil terus beronani. Disebabkan itu wanita berkenaan mengeluarkan telefon pintarnya dan merakam perbuatan suspek,” katanya.

    Sehubungan itu katanya, wanita berkenaan hadir ke Balai Polis Yan untuk membuat laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 12.15 tengah hari tadi.

    “Kedua-dua mereka bimbang kerana sering menggunakan laluan tersebut.

    “Bertindak atas laporan itu, pihak polis kemudiannya melakukan tangkapan terhadap suspek setelah dia dikenal pasti melalui beberapa maklumat diterima,” katanya.

    Tambahnya kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

    Tindakan suspek itu turut dikecam orang ramai apabila perbuatan biadabnya itu tular di media sosial.