Category: Jenayah

  • Bunuh pemandu e-hailing: 7 termasuk 6 anggota polis akan didakwa

    Bunuh pemandu e-hailing: 7 termasuk 6 anggota polis akan didakwa

    TUJUH suspek terdiri enam anggota polis dan satu orang awam akan dituduh di Mahkamah Majistret Tawau petang ini melibatkan kes pembunuhan seorang lelaki yang juga pemandu e-hailing pada 13 Jan lepas di Tawau.

    Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah berkata pihak polis telah melengkapkan siasatan kes tersebut dan kertas siasatan lengkap telah dimajukan ke Pejabat Peguam Negara semalam.

    “Semua suspek akan dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan Seksyen 109 kanun yang sama kerana bersubahat.

    “Kesalahan ini memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

    Beliau berkata seramai lapan anggota polis dan tiga orang awam telah ditahan sebelum ini bagi membantu siasatan kes tersebut.

    Pada 31 Jan lepas, Idris ketika memberitahu perkembangan semasa kes itu dilapor berkata kes bunuh itu bermotifkan cemburu dan lebih bersifat peribadi serta tidak melibatkan isu keselamatan di Sabah.

    Sehari sebelumnya, seorang penganggur Nurima Juli, 33, didakwa di Mahkamah Majistret Tawau atas pertuduhan membunuh Nurman Bakaratu, 61, di ladang sawit berhampiran Jalan Anjur Juara, Jalan Apas, Batu 5, di sini antara 7.30 dan 9 malam, 13 Jan lepas. – BERNAMA

  • Rasuah tukar sampel air kencing: Kakitangan makmal direman seminggu

    Rasuah tukar sampel air kencing: Kakitangan makmal direman seminggu

    SEORANG kakitangan makmal perubatan sebuah hospital kerajaan di Johor direman tujuh hari bagi membantu siasatan selepas disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM20,000.

    Memetik laporan Berita Harian, perintah reman itu dikeluarkan Majistret Nurzihan Rehman selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Suspek lelaki berusia 51 tahun itu direman seminggu bermula hari ini hingga 14 Februari ini.

    Semalam, SPRM cawangan Segamat menahan suspek di pejabat SPRM Johor Bahru kira-kira jam 8.30 pagi selepas hadir memberikan keterangan.

    Difahamkan, suspek yang bertugas di sebuah makmal perubatan telah meminta dan menerima wang rasuah daripada pemilik-pemilik sampel air kencing bagi pengesanan kandungan dadah sebagai balasan untuk menukar keputusan sampel air kencing itu.

    Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias yang mengesahkan penahanan itu berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

  • Mayat bayi baru lahir ditemukan di tempat pembuangan sampah

    Mayat bayi baru lahir ditemukan di tempat pembuangan sampah

    MAYAT bayi perempuan dipercayai baru lahir ditemukan di tempat pembuangan sampah di depan Rumah Kebajikan Taman Equine, Seri Kembangan di ibu negara, pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Serdang ACP A. A. Anbalagan berkata polis menerima maklumat pada pukul 10.05 pagi daripada orang awam mengenai penemuan mayat bayi berkulit cerah yang dibalut dengan kain dan diletakkan di dalam beg berwarna jingga.

    Beliau berkata mayat bayi itu dijumpai di dalam kotak sampah oleh pekerja pengutip sampah.

    “Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian dan kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran, dan menyebabkan kematian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu untuk menghubungi balai polis berdekatan.- BERNAMA

  • Padah rempuh orang awam sedang minum, pemandu lori dicekup polis

    Padah rempuh orang awam sedang minum, pemandu lori dicekup polis

    TINDAKAN seorang pemandu lori yang dipercayai merempuh orang awam yang sedang minum di bahagian luar sebuah kedai makan di Taman Permai 3, Seremban membawa padah apabila dia diberkas polis semalam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof, suspek lelaki berusia 46 tahun itu ditahan pukul 8 malam.

    “Hasil siasatan lanjut mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 10 malam Sabtu lalu dan suspek mengaku sengaja mengundur lori dipandu dan cuba merempuh seorang penunggang motosikal di lokasi kejadian.

    “Kejadian itu bagaimanapun sempat dirakam dan tular di media sosial. Berdasarkan siasatan awal, tindakan itu berpunca pertengkaran kecil dan rasa tidak puas hati terhadap penunggang motosikal terbabit,” katanya, lapor Harian Metro.

    Bagaimanapun Nanda berkata, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kejadian itu.

    “Saringan awal ujian air kencing mendapati suspek negatif mengambil dadah. Suspek kini direman dan disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

    Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki yang juga pemandu lori diburu polis kerana cuba merempuh orang awam di lokasi kejadian.

    Menerusi rakaman tular di media sosial, suspek yang berada di dalam sebuah lori dilihat bertekak dengan pelanggan yang duduk di tepi jalan.

    Dia kemudiannya terus memandu lori itu namun berhenti dan mengundurkan semula kenderaan sehingga merempuh kerusi dan meja menyebabkan pelanggan terkejut.

  • Tuntutan palsu lebih RM100,000, kakitangan sekolah direman 3 hari

    Tuntutan palsu lebih RM100,000, kakitangan sekolah direman 3 hari

    SEORANG kakitangan di sebuah sekolah di Johor yang ditahan semalam bagi membantu siasatan disyaki mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM100,000, direman tiga hari bermula hari ini.

    Perintah reman hingga 9 Feb terhadap lelaki berusia 40 tahun itu dikeluarkan Majistret R.Salini di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini selepas menerima permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Ia bagi membolehkan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

    Semalam, SPRM Cawangan Batu Pahat menahan individu itu di pejabat SPRM di Johor Bahru pada 5 petang selepas hadir memberikan keterangan.

    Menurut sumber, pada 2021, individu itu menyediakan dokumen atas nama sebuah syarikat bagi menuntut bayaran kerja pembekalan modul bahan pengajaran dan pembelajaran untuk kegunaan pelajar sekolah itu bagaimanapun kerja pembekalan itu didapati tidak dilaksanakan. – BERNAMA

  • Tiga pelajar IPTS ditahan miliki ganja hampir 1kg

    Tiga pelajar IPTS ditahan miliki ganja hampir 1kg

    POLIS menahan tiga pelajar lelaki sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Bandar Sunway, Subang Jaya, dekat Kuala Lumpur dan merampas dadah jenis ganja seberat hampir sekilogram dalam serbuan berasingan Sabtu lepas.

    Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata dalam serbuan pertama pada 12.15 tengah malam di asrama lelaki IPTS berkenaan, pihaknya menahan dua pelajar dan merampas satu peket plastik lut sinar mengandungi ketulan mampat dedaun kering disyaki ganja dianggar seberat 34.3 gram dalam sebuah bekas plastik.

    Beliau berkata susulan tangkapan itu, pihaknya melakukan serbuan kedua 15 minit kemudian di unit yang lain di asrama berkenaan dan menahan seorang lagi pelajar serta merampas tiga ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat 868.7 gram.

    “Ketiga-tiganya berusia lingkungan 20-an. Ujian saringan awal air kencing mendapati mereka positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC) namun tidak memiliki sebarang rekod lampau,” katanya.

    Menurut Wan Azlan, dua daripada mereka direman hingga hari ini manakala seorang lagi hingga 10 Feb bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – BERNAMA

  • Bot nelayan tempatan langgar syarat lesen gaji PATI ditahan

    Bot nelayan tempatan langgar syarat lesen gaji PATI ditahan

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan pukul 11.44 pagi semalam selepas didapati menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI) sebagai kru dan melanggar syarat sah lesen menangkap ikan.

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, penahanan itu dibuat oleh Kapal Maritim Malaysia ketika melakukan pemeriksaan terhadap sebuah bot nelayan tempatan kelas C yang sedang melakukan aktiviti menangkap ikan ketika rondaan OP PERTIWI dan OP TANJUNG.

    Jelas beliau, bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Bagan Hutan Melintang, Perak itu ditahan pada kedudukan sekitar 14 batu nautika barat daya Pulau Kendi iaitu kurang 15 batu nautika dari pantai mengikut syarat sah lesen.

    Tambahnya, pemeriksaan awal mendapati, bot itu dikendalikan oleh seorang tekong warga tempatan dan lima kru warga Myanmar berumur  antara 20 hingga 41 tahun.

    “Hasil pemeriksaan lanjut ke atas dokumen mendapati, lima kru bot itu gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah serta surat kelulusan bertulis atau permit kerja dari Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

    “Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu pemilik bot menggunakan warga asing tanpa kebenaran dan menangkap ikan di kawasan larangan mengikut syarat lessen,” katanya dalam kenyataan hari ini.
     
    Menurut Abd. Razak, bot serta kesemua kru ditahan termasuk 500 kilogram hasil laut disita sebelum dibawa ke Jeti Limbongan Batu Maung untuk diserahkan kepada Pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

    Dalam pada itu, katanya, Maritim Malaysia mendapati masih terdapat segelintir pengusaha atau pemilik bot yang berdegil menggunakan pendatang tanpa izin (PATI) untuk bekerja di atas bot mereka walaupun tangkapan dan amaran telah dilakukan sebelum ini.

     “Maritim Malaysia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia,” katanya.

    Tambah beliau, sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

  • 53 kenderaan disaman kurang tiga jam operasi JPJ

    53 kenderaan disaman kurang tiga jam operasi JPJ

    HANYA kurang dalam tempoh tiga jam, sebanyak 53 buah kenderaan dikenakan saman atas pelbagai kesalahan dalam operasi penguatkuasaan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang di sekitar Jalan Ampang Jajar, Butterwoth, Sabtu lalu.

    JPJ Pulau Pinang dalam kenyataan hari ini memaklumkan, operasi selama dua jam setengah itu bermula kira-kira pukul 9 pagi dan melibatkan seramai 12 anggota penguat kuasa badan berkuasa berkenaan.

    Katanya, penguatkuasaan itu dibuat di bawah Akta Pengangkutan Jalan ( APJ ) 1987 dan Kaedah-kaedah dibawahnya serta Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 yang mana secara keseluruhan, sebanyak 297 buah kenderaan telah diperiksa dalam operasi berkenaan.

    “Antara kesalahan yang dikesan termasuk tidak memiliki lesen memandu, lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans.

    “Selain itu, terdapat beberapa kesalahan teknikal lain yang turut dikesan seperti menggunakan cermin gelap, lampu isyarat kenderaan dan brek yang tidak berfungsi, pengubahsuaian motosikal tanpa kebenaran serta nombor pendaftaran yang tidak mengikut spesifikasi dibenarkan,” katanya.

    Dalam pada itu, JPJ Pulau Pinang menasihatkan pengguna jalan raya di negeri ini supaya mematuhi pada peraturan dan undang-undang semasa pemanduan.

    Pada masa sama, mereka juga diingatkan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan selamat semasa di jalan raya.

  • Bersatu lapor SPRM berhubung PH, BN belanja ‘mewah’ pada PRU-15

    Bersatu lapor SPRM berhubung PH, BN belanja ‘mewah’ pada PRU-15

    BERSATU membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perbelanjaan “mewah” Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), November lalu.

    Dakwa Ketua Bersatu Puchong Shukor Mustaffa, terdapat pelbagai laporan mengenai PH dan BN menggunakan poster dan bendera dalam jumlah yang banyak untuk kempennya.

    Malah beliau turut mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim, pengerusi PH dan presiden PKR, menggunakan helikopter mewah semasa kempen pilihan raya.

    “Kami berharap agar satu siasatan menyeluruh oleh pihak SPRM dapat dilakukan terhadap PH dan BN, terutamanya terhadap Anwar dan keluarganya.

    “Laporan ini memerlukan tindakan yang adil dan segera daripada SPRM,” katanya pada sidang media di luar ibu pejabat SPRM, lapor Free Malaysia Today.

    Shukor juga mempersoal bagaimana Nurul Izzah boleh dilantik sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada Anwar tanpa menerima sebarang pampasan mahupun gaji.

    Laporan itu menyusul desakan bekas pembantu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Marzuki Mohamad, mahu SPRM menyiasat PKR dan DAP berhubung perbelanjaan ketika PRU15, termasuk sumber dana.

    Kenyataan Marzuki muncul selepas SPRM membekukan akaun Bersatu, dikatakan ada kaitan dengan siasatan berhubung dakwaan penyelewengan berbilion ringgit bagi pakej rangsangan Covid-19.

    Muhyiddin menafikan dakwaan sedemikian dan menegaskan pentadbirannya tidak pernah salah guna dana ketika beliau menjadi perdana menteri.

    Shukor mendakwa pelbagai tuduhan dilontarkan terhadap Bersatu bagi mencipta persepsi negatif, terutama menjelang pilihan raya negeri.

    Ads by Kiosked

    Beliau juga mendakwa, Bersatu dihukum tanpa “sebarang proses wajar”, sambil menyatakan akaun parti dibekukan sebelum SPRM melengkapkan siasatan.

  • Pembantu tukang masak disyaki sebabkan kematian majikan ditahan

    Pembantu tukang masak disyaki sebabkan kematian majikan ditahan

    SEORANG pembantu tukang masak lelaki yang disyaki memukul majikannya sehingga menyebabkan kematian di Jalan Stadium di Alor Setar, ditahan semalam.

    Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata suspek yang berumur 55 tahun itu direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan.

    “Polis masih sedang menunggu laporan penuh bedah siasat mangsa daripada pihak hospital. Semakan lanjut juga mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan negatif dadah.

    “Setakat ini, terdapat kira-kira lima saksi telah dipanggil untuk diambil keterangan berhubung kes yang berlaku itu,” katanya kepada pemberita di Alor Setar hari ini.

    Semalam, media melaporkan seorang pembantu tukang masak lelaki dipercayai bertindak menumbuk dan memukul majikannya yang berumur 68 tahun menggunakan sebatang kayu dalam pergaduhan di belakang sebuah restoran di Jalan Stadium pada 5.15 petang kelmarin.

    Mangsa, Ishak Othman, dikatakan tiba-tiba rebah sebaik sahaja pergaduhan dengan suspek berjaya dileraikan ahli keluarga masing-masing sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian.

    Difahamkan, punca pergaduhan adalah apabila suspek berang kerana isterinya dimarahi mangsa dipercayai berkaitan pinggan mangkuk yang dicuci.