Category: Jenayah

  • SPRM siasat dakwaan seleweng RM157 juta UiTM Holdings

    SPRM siasat dakwaan seleweng RM157 juta UiTM Holdings

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan penyelewengan yang mengakibatkan kerugian RM157 juta oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM) Holdings Sdn Bhd.

    Siasatan SPRM memberi fokus kepada beberapa isu khususnya melibatkan dana dan beberapa pelaburan yang dibuat UiTM Holdings sehingga melibatkan kerugian jutaan ringgit.

    Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim berkata, tumpuan dan fokus siasatan adalah terhadap kes-kes yang disyaki melibatkan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

    “Isu kerugian RM157 juta terlalu umum dan SPRM akan memperincikan setiap isu yang dikatakan tersebut dan sekiranya berlakunya rasuah dan penyelewengan maka ianya tidak akan terlepas dari siasatan SPRM.

    “Bukan semua pelaburan atau perbelanjaan melibatkan perbuatan jenayah. Ianya juga melibatkan isu tatakelola dan pengurusan yang lemah.

    “Jika kita lihat ianya berkaitan jenayah khususnya rasuah maka kertas siasatan akan dibuka,” katanya mengulas dakwaan berhubung ketirisan yang berlaku di UiTM Holdings, lapor Sinar Harian.

    Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu ketidakcekapan dan ketirisan berhubung kerugian RM157 juta oleh UiTM Holdings Sdn Bhd diserahkan kepada SPRM.

    Laporan akhbar bertajuk ‘UiTM Holdings rugi RM157 juta’, yang disiarkan media tempatan itu mendakwa jumlah kerugian itu berdasarkan kepada kiraan kerugian sebelum cukai terkumpul selama empat tahun iaitu bagi 2017, 2018, 2019 dan 2021.

  • Enam lelaki ditahan kes sindiket agih kuota tiket umrah

    Enam lelaki ditahan kes sindiket agih kuota tiket umrah

    SERAMAI enam lelaki direman empat hari oleh Mahkamah Majistret di Putrajaya hari ini bagi membantu siasatan kes pengagihan kuota penerbangan bagi agensi pembekal perkhidmatan umrah dengan meminta rasuah kononnya berbentuk komisen.

    Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan daripada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Keenam-enam suspek berusia antara 34 hingga 55 tahun itu merupakan pengarah dan kakitangan syarikat pelancongan bagi enam syarikat di Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Kedah.

    Mereka yang hadir di mahkamah dengan memakai baju lokap berwarna oren, ditahan sehingga Isnin depan, lapor Sinar Harian.

    Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.

    Baru-baru ini, timbul isu kenaikan harga tiket penerbangan bagi mengerjakan umrah kerana telah dimonopoli sindiket, membabitkan kuota tiket dan penjualannya dengan kadar lebih tinggi.

    Mengikut sumber, modus operandi sindiket ialah mengenakan bayaran antara RM50 hingga RM250 bagi setiap kuota tiket.

    Bayaran ini bagi memastikan agensi-agensi umrah mendapat kuota tempat duduk dalam setiap penerbangan yang dijadualkan.

    Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan menjelaskan bahawa dijangka lebih ramai individu akan ditangkap bagi membantu siasatan.

  • SWASLA bantu Maritim Malaysia patahkan cubaan seludup ganja dari Thailand

    SWASLA bantu Maritim Malaysia patahkan cubaan seludup ganja dari Thailand

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SISTEM teknologi digunakan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya membantu badan penguatkuasa tersebut mematahkan cubaan menyeludup ganja dari negara jiran pada kedudukan 2.9 batu nautika, barat laut Pulau Dangli di Langkawi, malam tadi.

    Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, kira-kira pukul 10.25 malam tadi, pihaknya mengesan pergerakan mencurigakan sebuah bot fiber menerusi Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA) yang memasuki perairan negara dari sempadan Thailand dalam keadaan gelap.

    “Sebuah got peronda yang sedang melaksanakan Op Aman digerakkan ke lokasi bagi memintas dan menyerbu bot fiber tersebut.

    “Menedari kehadiran bot peronda Maritim Malaysia itu, suspek bertindak membuang satu bungkusan guni ke laut berpatah balik menuju ke negara jiran itu,” katanya.

    Tambahnya, pemeriksaan dijalankan terhadap bungkusan guni berkenaan menemukan sembilan ketul ganja mampat diletakkan dalam balutan plastik berwarna emas.

    “Dianggarkan kesemua ketulan ganja itu seberat sembilan kilogram bernilai RM45,000.

    “Semua hasil rampasan dibawa ke Jeti Maritim Bukit Malut di Langkawi sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat,” katanya.

    Katanya, kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Maritim Malaysia akan sentiasa memantau dan memastikan perairan negara terkawal daripada sebarang pelanggaran undang-undang Persekutuan.

    “Sebarang aduan dan maklumat serta insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya.

  • Doktor Hospital Kemaman ditahan cabul pesakit kanak-kanak perempuan

    Doktor Hospital Kemaman ditahan cabul pesakit kanak-kanak perempuan

    SEORANG doktor perubatan di Hospital Kemaman ditahan polis Terengganu semalam selepas dipercayai mencabul seorang pesakit kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di Wad Kanak-Kanak di hospital tersebut.

    Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata doktor lelaki berusia 30 tahun itu ditahan pada 1.50 tengah hari semalam, selepas pihak polis menerima laporan yang dibuat ibu mangsa pada malam kelmarin.

    “Mangsa memaklumkan bahawa suspek merupakan seorang doktor yang merawatnya, telah membuka baju dan meraba dada serta merakam gambar-gambar mangsa melalui telefon bimbit milik suspek.

    “Kejadian berlaku di bilik rawatan wad tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Rohaimi berkata telefon bimbit milik suspek turut dirampas bagi membantu siasatan.

    Katanya pihak polis percaya terdapat ramai lagi mangsa kanak-kanak perempuan, berdasarkan penemuan awal terhadap beberapa gambar dalam telefon bimbit suspek.

    “Siasatan lanjut akan dijalankan dan rakaman percakapan saksi lain akan diambil sebagai keterangan di dalam kes ini,” katanya.

    Katanya suspek akan dibawa ke mahkamah hari ini untuk mendapatkan perintah reman bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

  • Lelaki ‘mabuk’ ketum langgar polis di SJR

    Lelaki ‘mabuk’ ketum langgar polis di SJR

    SEORANG anggota polis cedera semasa sedang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) selepas dilanggar sebuah kereta jenis Proton Wira yang dipandu seorang lelaki dalam kejadian di Jalan Kutan, Wakaf Bharu, kelmarin.

    Dalam kejadian jam 11 malam itu, mangsa, Konstabel Nor Azwan Adnan yang merupakan anggota dari Balai Polis Wakaf Bharu mengalami kecederaan di lengan dan tapak tangan serta dahi kanan.

    Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dollah berkata, semasa mangsa sedang bertugas, kereta yang dipandu suspek secara tiba-tiba memecut laju dari arah Pasir Pekan dengan memotong kenderaan lain di hadapannya.

    “Tindakan suspek itu menyebabkan mangsa yang ketika itu sedang membuat pemeriksaan kenderaan telah dilanggar dan tercampak ke seberang jalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, anggota tersebut kemudian dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu untuk rawatan lanjut.

    Ujarnya, susulan kejadian itu, suspek telah ditahan dan hasil pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan terbabit mendapati terdapat cecair disyaki air ketum sebanyak 500 milimeter.

    Amran memberitahu, hasil siasatan awal mendapati suspek berada dalam keadaan dan tingkah laku khayal kesan daripada pengambilan pil epam dan minum air ketum.

    Ujarnya, suspek direman selama empat hari mulai semalam hingga Ahad.

  • Bot nelayan tempatan dikendalikan 23 warga asing ditahan

    Bot nelayan tempatan dikendalikan 23 warga asing ditahan

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C pukul 8.09 malam tadi atas pelbagai kesalahan termasuk dikendalikan kru pendatang asing tanpa izin (PATI).

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot itu ditahan kapal ronda Maritim Malaysia di kedudukan 5.8 batu nautika barat daya Pulau Kendi dalam rondaan OP PERTIWI dan OP TANJUNG.
     
    Menurut beliau, pemeriksaan awal mendapati, bot itu dikendalikan seorang tekong warga Thailand dan 22 kru warga Kemboja berumur  antara 21 hingga 46 tahun.

    Pemeriksaan awal mendapati, bot itu dikendalikan seorang tekong warga Thailand dan 22 kru warga Kemboja berumur  antara 21 hingga 46 tahun

    “Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen mendapati, seramai 13 kru tidak  mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan pemilik bot didapati melakukan kesalahan kerana menggajikan warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan.
     
    “Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan warga asing tanpa kebenaran dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambah Abd. Razak, bot serta kesemua kru ditahan termasuk lima kilogram hasil laut dibawa ke Jeti Limbungan Batu Maung sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.
     
    Dalam pada itu, katanya, Maritim Malaysia mendapati masih terdapat segelintir pengusaha atau pemilik bot yang berdegil mengambil PATI bekerja di atas bot mereka walaupun tangkapan dan amaran dibuat sebelum ini.

    Jelasnya, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia.

    “Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya.

  • Peniaga mahu pinjam RM40,000 tapi rugi RM69,374

    Peniaga mahu pinjam RM40,000 tapi rugi RM69,374

    SEORANG peniaga lelaki berusia 36 tahun kerugian RM69,374 selepas diperdaya sindiket pinjaman tidak wujud, bulan lalu.

    Ketua Polis Pahang Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, berdasarkan laporan, mangsa yang berasal dari Raub berminat untuk membuat pinjaman RM40,000 melalui iklan pinjaman wang di laman sosial pada 31 Januari lalu.

    “Pinjaman terbabit bagi tujuan pembayaran kad kredit dan pengubahsuaian rumah.

    “Suspek bersetuju memberi pinjaman dan meminta mangsa untuk membuat beberapa bayaran seperti untuk proses pinjaman, insurans pinjaman dan cukai pinjaman,” katanya pada kenyataan hari ini.

    Katanya, mangsa kemudian membuat 10 transaksi berjumlah RM69,374.00 ke tiga akaun bank yang berbeza.

    Bagaimanapun ujar Ramli, mangsa akhirnya menyedari diperdaya sebelum membuat laporan polis.

    Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    “Kita menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan sindiket penipuan pinjaman tidak wujud,” katanya, lapor Harian Metro.

    Orang ramai juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon di https://semakmule.rmp.gov.my sebelum membuat sebarang transaksi.

  • Ajak anak masuk Islam, ibu buat laporan polis terhadap guru

    Ajak anak masuk Islam, ibu buat laporan polis terhadap guru

    POLIS membuka kertas siasatan bagi menyiasat dakwaan seorang guru lelaki sebuah sekolah di Cheras yang mendorong seorang pelajarnya memeluk agama Islam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin, siasatan itu susulan laporan diterima daripada seorang wanita yang juga ibu kepada pelajar terbabit, semalam.

    “Laporan tersebut dibuat seorang wanita tempatan pada pukul 10.21 pagi yang mendakwa seorang guru lelaki berusia dalam lingkungan 40-an telah mendorong anak lelakinya yang berusia 15 tahun memeluk agama Islam.

    “Akibat tidak berpuas hati tindakan guru itu, ibu pelajar tersebut tampil membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Astro Awani.

    Menurut Zam Halim, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 298A dan 505(b) Kanun Keseksaan.

    “Siasatan terperinci sedang dilakukan berhubung kejadian ini dan beberapa orang saksi telah dirakam percakapan.

    “Sehubungan itu, kami menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini,” jelasnya.

    Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, atau Polis Kuala Lumpur di 03-2115 9999 atau mana-mana balai yang berdekatan.

  • Siasatan terhadap MAINS selesai pada 2019, tiada unsur rasuah

    Siasatan terhadap MAINS selesai pada 2019, tiada unsur rasuah

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan mendapati tidak wujud sebarang unsur jenayah rasuah mengikut Akta SPRM 2009 berhubung dakwaan penyelewengan wang zakat melibatkan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) Zakat Sdn Bhd.

    Pengarahnya, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail menegaskan, kertas siasatan berhubung isu berkenaan telah dibuka pada 2019 dan siasatan selesai pada tahun sama.

    Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun semalam dilaporkan meminta SPRM dan polis memaklumkan sekiranya ada tindakan diambil berhubung perkara itu.

    Beliau tidak tahu apa yang berlaku kerana tidak lagi berada dalam MAINS.

    “Saya rasa SPRM dan polis masih menjalankan siasatan, jadi kita serah kepada pihak yang menyiasat kes itu,” katanya.

    Terdahulu, tular dalam media sosial dakwaan pecah amanah mengaitkan beberapa pegawai MAINS membabitkan jutaan ringgit kutipan zakat.

    SPRM dilaporkan sudah menerima maklumat berhubung dakwaan itu, tetapi tiada tangkapan dibuat sehingga kini.

    Selain itu, Awgkok turut menggesa mana-mana pihak untuk menghentikan sebarang spekulasi dan menyebarkan berita palsu berhubung perkara itu.

    “Kita komited dalam usaha memerangi rasuah yang melibatkan dana awam di negeri ini. Oleh itu, siasatan lanjut akan dijalankan sekiranya terdapat maklumat baharu yang diterima,” katanya, lapor FMT, hari ini.

  • Bot nelayan Indonesia ceroboh perairan negara ditahan

    Bot nelayan Indonesia ceroboh perairan negara ditahan

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan asing dari Indonesia yang dipercayai menceroboh perairan negara pukul 9.10 malam tadi.

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot tersebut ditahan kapal ronda Maritim Malaysia di kedudukan 37.6 batu nautika barat daya Pulau Kendi ketika melaksanakan rondaan OP TANJUNG dan OP PERTIWI.

    Pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan oleh lima kru warga Indonesia berumur antara 18 hingga 35 tahun

     Jelas beliau, pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan oleh lima kru warga Indonesia berumur antara 18 hingga 35 tahun.

    “Kesemua mereka bagaimanapun gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit menangkap ikan di perairan Malaysia.

    “Sehubungan itu, mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa permit daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Abd. Razak, bot serta kru ditahan termasuk hasil laut anggaran 20 kilogram dibawa di Jeti Limbungan Batu Maung untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut.

    Tegas beliau, Maritim Malaysia akan sentiasa memantau dan memastikan perairan negara terkawal dari sebarang pencerobohan bot nelayan asing yang cuba mencuri hasil laut di perairan Malaysia.

    “Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya.