Category: Jenayah

  • Wanita antara dua ditahan kerana samun bersenjata di USJ

    Wanita antara dua ditahan kerana samun bersenjata di USJ

    SEORANG wanita antara dua ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan samun berkumpulan dan bersenjatakan parang di sebuah rumah di USJ 9, Subang Jaya, Kuala Lumpur, semalam.

    Kedua-dua suspek masing-masing berusia  31 dan 26 tahun itu ditahan dalam dua serbuan di sekitar Klang dan Kuala Langat.

    Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata dalam kejadian 3.30 pagi itu, mangsa seorang kerani wanita berumur 43 tahun sedang tidur dalam bilik di tingkat atas dikejutkan suspek lelaki sambil mengacukan parang sebelum mengikat tangannya menggunakan wayar pengecas.

    “Suspek turut mengikat tangan ayah mangsa sebelum membawa mereka turun ke tingkat bawah rumah selain turut mengikat pembantu rumah dengan wayar seterika,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Wan Azlan berkata kedua-dua suspek mengeledah rumah dan mengambil antaranya barangan kemas, telefon bimbit dan wang tunai melibatkan kerugian kira-kira RM7,000 sebelum melarikan diri dengan kereta yang dipandu seorang lelaki di hadapan rumah mangsa.

    Menurutnya kedua-dua suspek yang berjaket coklat, seluar jeans biru, memakai pelitup muka dan sarung tangan memanjat tembok bahagian tepi rumah sebelum masuk melalui tingkap yang terbuka di tingkat atas.

    “Rakaman kamera litar tertutup di kawasan berhampiran sedang diteliti untuk membantu siasatan dan polis turut merampas antaranya sebuah kereta, dua telefon bimbit, sebuah tablet, dokumen dan beg berkaitan kes ini,” katanya.

    Beliau berkata hasil penahanan kedua-dua individu itu polis berjaya menyelesaikan satu kes samun bersenjatakan parang dan satu kes pecah rumah yang disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (Akta 574).

    Orang ramai yang mempunyai maklumat kes diminta menghubungi Pusat kawalan daerah, Subang Jaya di talian 03-78627100 atau Pegawai Penyiasat Insp S. Anthony John di talian 016-2093470.

  • 35 PATI diberkas susulan tular keselamatan penduduk terancam

    35 PATI diberkas susulan tular keselamatan penduduk terancam

    SERAMAI 35 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar dan Nepal yang mana dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah diberkas dalam operasi bersepadu yang diketuai oleh ibu pejabat polis daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT), Pulau Pinang semalam.

    Operasi itu selama kira-kira empat jam bermula pukul 3 petang itu bertumpu di sekitar kawasan Taman Nagasari, Perai yang menjadi penempatan majoriti warga asing di daerah terbabit.

    Ketua Polis Daerah SPT, Asisten Komisioner Tan Cheng San, operasi itu digerakkan susulan beberapa aduan yang tular di dalam media sosial berhubung isu ketenteraman awam ekoran kebanjiran warga asing di kawasan tersebut sebelum ini.

    “Kehadiran warga asing di kawasan tersebut dikatakan telah menimbulkan rasa kegusaran dan tidak selamat dalam kalangan penduduk setempat.

    Kehadiran warga asing di kawasan tersebut dikatakan telah menimbulkan rasa kegusaran dan tidak selamat dalam kalangan penduduk setempat

    “Oleh itu, pihak IPD (Seberang Perai Tengah) telah merancang operasi bersepadu ini bersama-sama beberapa jabatan dan agensi kerajaan bagi memantau serta menguatkuasakan tindakan terhadap kesalahan yang menyalahi undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Operasi itu disertai seramai 15 pegawai kanan polis bersama 157 anggota dengan dibantu oleh 42 pegawai serta kakitangan daripada beberapa jabatan dan agensi lain.

    Antara yang terlibat termasuk Jabatan Imigresen, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Jabatan Tenaga Kerja (JTK) negeri dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).

    Turut serta ialah anggota Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Taman Nagasari.

  • Sindiket ‘ibu kutu Sapiza’ tumpas, lapan individu ditahan

    Sindiket ‘ibu kutu Sapiza’ tumpas, lapan individu ditahan

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menahan lapan individu disyaki terlibat dalam skim penipuan sapiza extra saving di empat negeri menerusi serbuan pada 27 Jan lepas.

    Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Saaduddin berkata kesemua mereka terdiri daripada enam wanita dan dua lelaki berusia antara 31 dan 37 tahun.

    Beliau berkata serbuan turut merampas sebuah kenderaan mewah, beberapa kad mesin juruwang automatik (ATM), telefon bimbit pelbagai jenama dan dokumen dipercayai digunakan dalam kegiatan itu.

    “PDRM menerima 116 laporan di seluruh negara berhubung skim penipuan berkenaan yang melibatkan kerugian dianggar RM4.43 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Noorsiah siasatan awal mendapati skim itu mula aktif sejak 2015 dengan menawarkan simpanan berasaskan ‘permainan kutu’.

    Beliau berkata ia bermula pada 2021 apabila skim tersebut mula menawarkan beberapa pelan simpanan baharu iaitu serendah RM250 hingga RM20,000 merangkumi tempoh simpanan antara dua dan lima bulan.

    “Sebagai tambahan, skim baharu yang ditawarkan turut menjanjikan keuntungan sebanyak 15 hingga 40 peratus daripada jumlah wang disimpan bagaimanapun, sejak Oktober 2022, pengendali skim simpanan ini didapati mulai gagal untuk melunaskan pembayaran keuntungan kepada peserta,” katanya.

    Noorsiah berkata dalam usaha untuk membanteras kegiatan penipuan seumpama itu, PDRM mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan melakukan semakan terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan atau simpanan yang menjanjikan keuntungan terlalu lumayan. – BERNAMA

  • Mayat ditemukan di tasik belakang masjid disyaki dibunuh

    Mayat ditemukan di tasik belakang masjid disyaki dibunuh

    POLIS mengklasifikasikan penemuan mayat lelaki yang terapung di tasik belakang Masjid Haji Fisabilillah, Cyberjaya, semalam sebagai kes bunuh.

    Menurut Ketua Polis Daerah (IPD) Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusoff, pihaknya menerima laporan pada 10.15 malam daripada seorang individu memaklumkan melihat satu mayat terapung di kawasan berkenaan.

    Katanya, Jabatan Siasatan Jenayah IPD Sepang bersama pasukan forensik hadir di tempat kejadian yang merupakan sebuah kawasan bekas tasik dan menemui mayat lelaki terapung.

    Beliau berkata, sepasukan Bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (JBPM) Cyberjaya dipanggil bagi membantu mengangkat mayat ke tebing tasik.

    “Hasil siasatan mendapati terdapat unsur jenayah melalui pemeriksaan dan mengesan lima tetakan di kepala dan pergelangan tangan kiri mangsa yang hampir putus,” katanya lapor Berita Harian.

    Wan Kamarul berkata, saksi menyatakan kira-kira 8 malam, dia melihat hadapan sebuah kereta berada dalam tasik berkenaan.

    Katanya, saksi pergi memeriksa kenderaan itu dan mendapati satu objek menyerupai manusia dalam keadaan terapung berpakaian lengkap berada di dalam tasik itu pada jarak kira-kira tiga meter.

    “Pemeriksaan di sekitar kawasan tanah lapang seluas lima ekar di kawasan itu menjumpai sebuah kenderaan jenis Hilux berwarna hitam terjunam ke dalam tasik,” katanya.

    Wan Kamarul berkata, kawasan tasik itu juga tidak berpagar dan boleh dimasuki secara bebas dan merupakan tumpuan pemancing.

    Katanya, polis masih menjalankan siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).

  • Pesakit mental mengamuk guna pisau pemotong daging ditahan

    Pesakit mental mengamuk guna pisau pemotong daging ditahan

    POLIS menahan seorang pesakit mental selepas mengamuk menggunakan sebilah pisau pemotong daging di kawasan Paloh, tengah hari semalam.

    Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, suspek berusia 40-an bagaimanapun berjaya ditenteramkan dalam kejadian kira-kira 1.40 tengah hari itu dan dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) untuk tindakan lanjut.

    Terdahulu, katanya, Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang menerima aduan daripada orang awam mengenai kejadian dan mendapati lelaki warga tempatan itu dalam keadaan mengamuk dengan memegang sebilah pisau pemotong daging.

    “Siasatan mendapati suspek adalah pemegang kad pesakit mental dan tiada sebarang kejadian jenayah berlaku dalam kejadian ini. Tiada laporan polis dibuat terhadap lelaki berkenaan,” katanya ketika dihubungi.

    Katanya, polis menghargai bantuan orang awam yang menyalurkan maklumat dan yang berada di lokasi kejadian.

    Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi satu minit 36 saat yang memaparkan seorang lelaki memegang sebilah pisau di tempat sambil dikepung polis yang mengacukan pistol lapor BH.

  • Ibu tunggal, dua anak dicekup berkhalwat dengan dua lelaki

    Ibu tunggal, dua anak dicekup berkhalwat dengan dua lelaki

    IBU tunggal dan dua anak perempuannya dicekup berkhalwat dengan dua lelaki di rumah mereka di Lipat Kajang, Jasin malam tadi.

    Ibu tunggal berkenaan berusia 49 tahun itu bersama dua anaknya masing-masing berusia 19 dan 20 tahun itu ditahan dalam serbuan JAIM susulan aduan awam jam 12.30 tengah malam.

    Menurut Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat, ketika serbuan, wanita terbabit yang bekerja di syarikat kontraktor dan dua anak perempuannya mengambil masa 15 minit untuk membuka pintu.

    “Sebaik pintu dibuka, penguat kuasa mendapati ada dua lelaki tempatan dalam rumah itu.

    “Mereka tiada hubungan mahram walaupun dua lelaki itu mendakwa adalah saudara jauh dan dibenarkan wanita itu untuk tinggal bersama di situ,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Menurutnya, mereka disiasat mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman mendatangkan syak.

    Che Sukri berkata, sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara sehingga 24 bulan atau kedua-duanya sekali.

    “Kejayaan ini juga adalah hasil kerjasama daripada orang awam dan ahli Rakan Setiaku JAIM (RASEIM) yang menyalurkan maklumat dan membantu pihak JAIM dalam mengekang aktiviti tidak bermoral dan maksiat.

    “JAIM mengalu-alukan orang ramai untuk menyertai Rakan Setiaku JAIM (RASEIM) melalui link https://t.me/RASEIM bagi membantu pencegahan, pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang Syariah di Negeri Melaka secara dalam talian,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Bot nelayan Indonesia ditahan ceroboh perairan negara

    Bot nelayan Indonesia ditahan ceroboh perairan negara

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan Indonesia pukul 12.41 tengah hari semalam selepas didapati menceroboh perairan negara.

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot nelayan itu ditahan kapal ronda Maritim Malaysia di kedudukan 34.2 batu nautika barat daya Pulau Kendi ketika melaksanakan rondaan Op Tanjung dan Op Pertiwi.

    Bot nelayan ditahan kapal ronda Maritim Malaysia di kedudukan 34.2 batu nautika barat daya Pulau Kendi ketika melaksanakan rondaan Op Tanjung dan Op Pertiwi

    Ujar beliau, hasil pemeriksaan awal mendapati, bot itu dikendalikan oleh empat kru warga Indonesia berumur antara 31 hingga 40 tahun.

    “Kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit menangkap ikan di perairan Malaysia.

    “Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa permit daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    100 kilogram hasil laut dibawa di Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban

    Tambah Abd. Razak, bot serta kru ditahan termasuk 100 kilogram hasil laut dibawa di Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

    Tegas beliau, Maritim Malaysia akan sentiasa memantau dan memastikan perairan negara terkawal dari sebarang pencerobohan bot nelayan asing yang cuba mencuri hasil laut di perairan Malaysia.

    “Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian O4-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya.

  • 2 lelaki ditahan di stesen minyak ketika seleweng diesel

    2 lelaki ditahan di stesen minyak ketika seleweng diesel

    PEJABAT Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menahan dua lelaki selepas dipercayai terlibat dengan aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi dalam dua serbuan berasingan di sekitar Bukit Mertajam semalam.

    Pengarah KPDN Pulau Pinang, S. Jegan berkata, suspek pertama ditahan dalam serbuan di sebuah stesen minyak di Jalan Kulim kira-kira pukul 5 petang ketika sedang mengisi minyak.

    Katanya, hasil soal siasat tehadap lelaki berusia 30-an itu membawa kepada penemuan satu unit tangki simpanan tambahan berkapasiti 900 liter dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima yang dipandunya.

    Ketika diperiksa, ujar beliau, terdapat kira-kira 300 liter diesel bersubsidi yang telah diisi ke dalam tangki simpanan tersebut.

    “Kita percaya pemandu MPV itu mendapat upah ratusan ringgit setiap hari untuk membeli diesel-diesel dari beberapa buah stesen minyak khususnya di sekitar daerah Seberang Perai Selatan (SPT).

    “Diesel itu kemudian akan dihantar kepada kumpulan sindiket terbabit yang seterusnya akan menjual pula kepada pihak ketiga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Susulan serbuan itu, tambah Jegan, MPV berkenaan disita bersama beberapa barangan lain termasuk satu unit pam motor dan hos; satu unit telefon bimbit; wang tunai berjumlah RM300 serta diesel yang dirampas dengan nilai keseluruhan sitaan dianggarkan RM41,345.

    Sementara itu, katanya, seorang lagi lelaki diberkas dalam serbuan kedua di sebuah stesen minyak di Jalan Baru, kira-kira pukul 9.40 malam tadi ketika sedang mengisi diesel ke dalam sebuah lori.

    Jelas beliau, pemeriksaan lanjut terhadap lori itu menemukan sebuah tangki minyak diesel berkapasiti 2,000 liter di bahagian belakang (lori) dengan jumlah diesel dalam tangki tersebut ketika itu dianggarkan sebanyak 460 liter.

    “Daripada maklumat yang kita terima, lelaki berusia 50-an itu dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek pertama yang ditahan.

    “Mereka dipercayai diupah untuk membeli diesel di stesen-stesen minyak sebelum dihantar kepada sindiket sebelum dijual pula kepada pihak ketiga dengan harga lebih mahal berbanding subsidi, namun lebih murah daripada harga pasaran,” katanya.

    Ujar beliau, beberapa barangan disita termasuk lori jenis Nissan, minyak diesel, pam motor dan hos paip, telefon bimbit, tangki tambahan serta invois belian diesel yang kesemuanya dianggarkan berjumlah RM37,089 daripada suspek dalam serbuan kedua.

    Tambah Jegan, kedua-dua kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman berat termasuk denda dan penjara.

  • Pesara swasta rugi lebih RM140,000 terpedaya penipuan kad kredit

    Pesara swasta rugi lebih RM140,000 terpedaya penipuan kad kredit

    SEORANG pesara swasta mengalami kerugian RM140,520 selepas terpedaya dengan taktik penipuan penggunaan kad kredit semalam.

    Ketua Polis Pahang Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata lelaki berusia 65 tahun itu telah menerima sistem pesanan ringkas (SMS) berkaitan penggunaan kad kredit pembelian barang yang tidak dilakukannya.

    Beliau berkata mangsa kemudian telah berhubung dengan seorang individu yang mendakwa sebagai pegawai bank sebelum bertindak menyerahkan maklumat perbankan.

    “Mangsa yang berasa takut telah menyerahkan nombor kad bank, Kod Kebenaran Transaksi (TAC) dan kad kredit seperti yang diminta suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Bagaimanapun, mangsa telah menyedari ditipu selepas menyemak akaun banknya dan terdapat pengurangan wang sebanyak RM140,520.

    Dalam kes berlainan, Ramli memaklumkan seorang warga emas kerugian RM87,000 setelah ditipu sindiket pelaburan tidak wujud.

    Menurut beliau, wanita berusia 70 tahun itu mendakwa telah ditawarkan satu skim pelaburan menerusi aplikasi WhatsApp pada November lepas.

    Katanya mangsa yang berminat dengan tawaran itu telah menggunakan wang simpanannya melakukan empat transaksi berjumlah RM87,000 sebelum menyedari ditipu selepas gagal mengeluarkan hasil keuntungan daripada akaun yang diberikan oleh suspek.

    Kedua-dua mangsa telah membuat laporan masing-masing di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dan Temerloh semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

  • Bekas banduan menyamun bersenjatakan pistol angin

    Bekas banduan menyamun bersenjatakan pistol angin

    SEORANG lelaki yang baru keluar penjara tidak serik melakukan jenayah apabila menyamun kedai serbaneka di Petaling Jaya bersenjatakan pistol angin sejak sebulan lalu.

    Bagaimanapun, kegiatan itu tidak bertahan lama selepas lelaki berusia 30 tahun berkenaan ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Kuala Lumpur pukul 10 pagi pada 2 Februari lalu.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, dalam serbuan itu, pihaknya merampas sebuah motosikal Yamaha Y16ZR, beberapa kad pengenalan, lesen memandu dan kad ATM milik individu lain.

    Sepucuk pistol angin yang dirampas selepas polis berjaya menahan seorang suspek yang terlibat dalam kegiatan samun kedai serbaneka ketika Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPD) Petaling Jaya, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Selain itu, kami turut merampas sepucuk pistol angin revolver yang dipercayai digunakan suspek untuk menyamun,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, hari ini.

    Mohamad Fakhrudin berkata, semakan dilakukan mendapati suspek baru keluar dari penjara pada Januari lalu atas kesalahan jenayah samun.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid (kanan) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian daripada kenderaan yang dirampas selepas berjaya menahan tiga suspek yang terlibat dalam kegiatan mencuri kenderaan ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPD) Petaling Jaya, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Katanya, sebaik dibebaskan dari penjara, suspek kembali aktif kembali menyamun sejak bulan lalu dengan menyasarkan kedai serbaneka.

    “Jenayah itu dilakukan suspek bersendirian pada awal pagi dengan menyamar sebagai pelanggan dan bersenjatakan pistol angin bagi menakutkan pekerja premis.

    “Kami percaya pistol angin digunakan suspek berkenaan dibeli secara dalam talian. Hasil kegiatan itu dipercayai digunakan suspek untuk membeli alat ganti motosikal,” katanya yang memaklumkan lelaki itu memiliki rekod kes jenayah dan dadah.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid (tengah) bersama pegawainya menunjukkan sepucuk pistol angin serta sebuah motosikal yang dirampas selepas berjaya menahan seorang suspek yang terlibat dalam kegiatan samun kedai serbaneka ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPD) Petaling Jaya, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Beliau berkata, semakan dilakukan mendapati suspek terbabit memiliki rekod berkaitan kes jenayah dan dadah.

    “Kami percaya berjaya menyelesaikan empat kes samun kedai serbaneka di daerah ini dengan penahanan suspek berkenaan.

    “Lelaki itu direman selama tujuh hari sehingga semalam dan akan disambung reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Harian Metro.