SIASATAN dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menemukan sebarang unsur jenayah berhubung dana bantuan pakej rangsangan ekonomi yang didakwa mempunyai kaitan dengan seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Kedah sebelum ini.
Menurut Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap, siasatan dijalankan pihaknya mendapati kes tersebut lebih kepada aspek pematuhan prosedur berkaitan penyampaian dana bantuan tersebut.
Sehubungan itu beliau berkata, SPRM mengemukakan cadangan kepada kerajaan neger untuk menambah baik prosedur tersebut.
“Selesai saja melakukan siasatan, hasilnya telah dihantar kepada pihak pendakwaan ibu pejabat.
“Penilaian dilakukan mendapati itu bukanlah kes jenayah sebaliknya lebih kepada aspek pematuhan prosedur. Disebabkan itu , tiada pertuduhan jenayah dibuat.
“Sebaliknya pihak kami telah menghantar cadangan kepada kerajaan negeri agar penambah baikan prosedur tersebut dilakukan,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis persaraannya di Pejabat SPRM Kedah di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan mengenai siasatan dijalankan SPRM berhubung dakwaan penyelewengan dana tersebut yang didakwa turut melibatkan seornag exco Kedah.
Beberapa pihak termasuk exco terlibat turut dipanggil dan memberi kerjasama bagi siasatan kes tersebut.
PERCUBAAN 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar membolosi negara ini untuk mencari pekerjaan tidak kesampaian.
Kesemua mereka ditahan ketika cuba masuk ke negara ini menggunakan laluan yang tidak sah di sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam, Kubang Pasu.
Menurut Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen), pihaknya mengesan dan menahan sekumpulan orang awam di kawasan ladang getah kerana cuba memasuki Malaysia secara haram kira-kira pukul 6 pagi, semalam.
“Kesemuanya tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan cuba memasuki Malaysia untuk mencari pekerjaan.
“PATI yang ditahan terdiri daripada sembilan lelaki dan empat wanita yang berumur antara 20 hingga 44 tahun.
“Turut dirampas adalah 12 telefon bimbit, wang dalam mata wang Malaysia, Thailand dan Myanmar, dua pasport serta sembilan kad pengenalan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu memaklumkan, anggaran nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM8,139.
Kesemua PATI kemudian diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut.
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan kes berhubung dakwaan penyelewengan wang zakat membabitkan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), dikaji semula untuk melihat keterangan yang ada.
Pengarah Kanan Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim berkata kertas siasatan kini dirujuk semula kepada Timbalan Pendakwa Raya, dan arahan telah dikeluarkan untuk dijalankan siasatan lanjut terhadap isu berbangkit.
“SPRM ingin menjelaskan bahawa kes berkenaan telah pun dibuka dan disiasat pada 2019, dengan fokus kepada isu rasuah dan salah guna kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 9 Feb lepas, Pengarah SPRM Negeri Sembilan Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail dilaporkan berkata, siasatan berhubung isu dakwaan penyelewengan wang zakat melibatkan MAINS Zakat Sdn Bhd tidak menemukan sebarang unsur kesalahan jenayah rasuah di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
MAINS juga dilaporkan turut mengeluarkan kenyataan menafikan tohmahan dan fitnah yang disebarkan melalui media sosial, berkenaan salah guna wang zakat di Negeri Sembilan.
Sebelum ini, tular di aplikasi Telegram mengenai laporan pecah amanah wang kutipan zakat melibatkan pegawai jabatan tersebut. – BERNAMA
EMPAT suspek termasuk seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki di Jalan Lapangan Terbang Miri, Miri, Sarawak, malam tadi.
Semua suspek berusia antara 40 hingga 48 tahun itu ditahan kira-kira jam 10 malam tadi di kawasan Senadin, di Miri.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu, mengesahkan penahanan semua suspek itu susulan kematian seorang lelaki warga asing berkenaan.
Terdahulu, katanya, pada pukul 7.25 malam pihaknya menerima laporan daripada orang awam mengenai satu pergaduhan yang berlaku di kawasan Jalan Lapangan Terbang Miri.
Sehubungan itu, beliau berkata, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Miri bergegas ke tempat kejadian dan hasil pemeriksaan menemukan seorang lelaki terbaring di atas tanah dengan kesan tusukan pada badan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor BH Online.
Kes diklasifikasi dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
POLIS masih menunggu arahan lanjut daripada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) berhubung kes Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, kertas siasatan sudah dilengkapkan dan diserahkan kepada TPR, tahun lalu.
“Kertas siasatan sudah dikemukakan di pejabat TPR tahun lalu dan kita masih menunggu arahan lanjut,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini, lapor Harian Metro.
Pada 5 Disember lalu, Abdul Hadi dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul susulan beberapa laporan yang dibuat terhadapnya.
Abdul Hadi sebelum ini mendakwa DAP mempromosikan Islamofobia dan menghalang Pas daripada berkuasa, selain turut menyifatkan parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu ‘tidak bermoral’.
POLIS menahan tiga lelaki warga India yang bekerja sebagai pencuci kereta kerana disyaki terlibat dalam kes pembunuhan seorang lelaki yang ditemui terapung di tasik belakang Masjid Haji Fisabilillah, Cyberjaya, dekat Putrajaya pada 11 Feb lepas.
Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof dalam kenyataan hari ini berkata tiga lelaki terbabit yang berusia antara 23 dan 52 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berasingan pada 12 dan 13 Feb lepas di Puchong, Selangor.
Dalam serbuan pertama di Kampung Sri Aman, Puchong pada 12 Feb kira-kira 8 malam, polis menahan dua lelaki berusia 23 dan 41 tahun serta merampas tiga telefon bimbit.
Pada kira-kira 2.30 pagi hari ini (13 Feb), polis menahan seorang lelaki berusia 52 tahun di Taman Puchong Prima serta merampas sehelai seluar yang mempunyai kesan darah.
Terdahulu, pada kira-kira 12.05 tengah malam (13 Feb), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang dan Forensik Bukit Aman telah membuat rampasan sebilah parang berhulu hitam berukuran 73 sentimeter di kandang lembu di bawah jambatan lebuh raya lingkaran Putrajaya-Cyberjaya.
Wan Kamarul Azran berkata hasil soal siasat, lelaki berusia 23 tahun itu mengaku terlibat membunuh mangsa, manakala individu berusia 41 tahun pula tidak mengaku terlibat.
“Motif pembunuhan disyaki disebabkan mangsa mempunyai hubungan sulit dengan teman wanita seorang daripada lelaki yang ditahan,” katanya.
Semua individu yang ditahan itu direman selama tujuh hari hingga Ahad ini (19 Feb) dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata bedah siasat terhadap mangsa yang merupakan penjaga lembu itu telah dijalankan pada 10 pagi tadi di Jabatan Forensik Hospital Serdang.
Semalam, polis mengklasifikasikan penemuan mayat lelaki yang terapung di tasik belakang Masjid Haji Fisabilillah, Cyberjaya itu sebagai kes bunuh.
Wan Kamarul Azran dilaporkan berkata hasil siasatan mendapati terdapat unsur jenayah melalui pemeriksaan dan mengesan lima tetakan di kepala dan pergelangan tangan kiri mangsa yang hampir putus.
POLIS menahan tiga lelaki warga tempatan atas cubaan menceroboh sebuah gudang simpanan barangan keperluan harian menggunakan pedang samurai, playar dan pemotong besi di Jalan Gangsa, Kawasan Perusahaan, Telok Panglima Garang pada 3 Feb lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor @Saleh berkata pihaknya menerima panggilan MERS 999 pada pukul 3.45 pagi daripada pengurus gudang, lelaki rakyat tempatan berumur 33 tahun sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
Katanya setibanya di lokasi pada 4 pagi, pihaknya berjaya menahan kesemua suspek di sekitar kawasan Telok Panglima Garang dan merampas seunit pemotong besi, sebilah pedang samurai bersarung, sebilah pedang samurai tanpa sarung serta seunit playar.
“Hasil semakan mendapati ketiga-tiga suspek yang berumur 28 tahun sehingga 33 tahun mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah dan narkotik selain positif dadah jenis Methamphetamine hasil ujian air kencing.
“Mereka dipercayai aktif dalam melakukan jenayah itu sejak dua bulan lalu dan penahanan mereka telah berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya tiga kes pecah rumah sekitar Telok Panglima Garang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Ridhwan berkata kesemua suspek direman empat hari dan ditahan di Lokap Balai Polis Banting Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat dan disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan iaitu melakukan ceroboh.
Dalam kes berasingan, beliau turut melaporkan pihaknya memberkas lima lelaki warga tempatan yang disyaki memecah masuk sebuah premis perniagaan di Kampung Medan, Telok Panglima Garang pada 10 Feb lalu.
Katanya bertindak atas maklumat, pihaknya menahan dua suspek di sekitar Sungai Kapar, Klang 5 petang semalam dan hasil sosial siasat terhadap kedua-dua suspek, pasukannya menangkap tiga lagi rakan suspek di kawasan Telok Panglima Garang kira-kira sejam setengah kemudian.
Ahmad Ridhwan berkata pihaknya turut merampas barangan perkakasan seperti mesin gerudi tanpa wayar, pemotong jubin, tukul putar tanpa wayar termasuk lima telefon pintar dan seunit gari jenama Chicago.
“Hasil semakan dapati kelima-lima suspek yang ditangkap berumur 27 tahun sehingga 37 tahun, dua daripadanya adalah pekerja bengkel dan tiga lagi merupakan pembaiki pendingin hawa dengan kesemua mereka mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan narkotik.
“Kesemua suspek direman empat hari dan ditahan di Lokap Balai Polis Banting IPD Kuala Langat dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu melakukan pecah rumah,” katanya.
DUA rakan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan merompak seorang lelaki dengan mengheretnya menggunakan motosikal dan menyamar sebagai pegawai polis.
Muhammad Zuraidi Abdullah, 28, dan Muhd Ammar Haziq Zulkifli, 27, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Hamidah Mohamed Deril.
Mahkamah tidak membenarkan dua tertuduh yang tidak diwakili peguam itu diikat jamin dan menetapkan 7 Mac ini untuk mendengar fakta kes sebelum menjatuhkan hukuman.
Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa merompak sebuah telefon bimbit jenama Apple iPhone 6 Plus milik seorang lelaki berumur 25 tahun sehingga mendatangkan kecederaan terhadap mangsa dengan mengheretnya menggunakan sebuah motosikal.
Kesalahan itu dilakukan di Jalan Kuchai Maju, Brickfields di Kuala Lumpur, pada 4.30 pagi, 28 Jan lepas, mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 20 tahun dan denda atau sebat.
Mereka juga didakwa menyamar sebagai penjawat awam iaitu pegawai polis bagi melakukan rompakan di lokasi, tarikh dan masa sama, mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan, yang berdepan hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ngoh Jess Lynn.
LIMA pembancuh jus dadah atau digelar ‘doktor’ ditahan dalam 10 serbuan berasingan membanteras penyalahgunaan dadah oleh Polis Kuala Lumpur dan Bukit Aman, sejak 7 Februari hingga 9 Februari lalu.
Kejayaan itu hasil serbuan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur dengan kerjasama JSJN Bukit Aman, terhadap tiga sindiket dadah yang disyaki aktif sejak enam bulan lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim
GAMBAR: Warta Rakyat
Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, ketiga-tiga sindiket dadah itu didalangi warga tempatan dan bergerak aktif di sekitar Kuala Lumpur.
Katanya, sindiket itu menyasarkan pengunjung pusat hiburan sebagai pembeli dadah jenis minuman berjus yang dicampurkan dengan serbuk dadah ketamin.
“Operasi pertama pada 7 Februari membabitkan lima serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang, dan menahan enam lelaki tempatan berusia antara 22 hingga 39 tahun.
“Operasi pertama ini membawa kepada rampasan dadah Ketamin seberat 21 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM1.2 juta dan syabu seberat dua kg bernilai kira-kira RM72,000.
“Susulan itu, Polis Kuala Lumpur menahan tiga lelaki tempatan dan dua wanita membabitkan seorang wanita tempatan dan seorang wanita warga Thailand yang berperanan sebagai ‘doktor’ atau pembancuh jus dadah, sehari kemudian,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Sebahagian daripada botol air pelbagai perisa yang telah dicampur dengan dadah bernilai RM 2.1 juta yang dirampas selepas polis berjaya menangkap lima ‘doktor’ pusat hiburan serta menumpaskan tiga sindiket pengedaran dadah sekitar lembah klang ketika Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.
GAMBAR: Warta Rakyat
Mengulas lanjut Azmi berkata, kelima-lima pakar pembancuh ditahan dalam empat serbuan berasingan di sekitar Kuala Lumpur susulan siasatan awal operasi pertama.
“Siasatan mendapati kesemua `doktor’ ini turut berperanan menjual minuman jus yang sudah bercampur dadah dengan harga antara RM280 hingga RM300 sebotol.
“Atas maklumat yang dikumpulkan, polis kemudian melakukan operasi ketiga di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah dan menahan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun yang dikesan memiliki satu kg dadah ketamin bernilai RM55,000,” katanya.
Azmi berkata, secara keseluruhan dadah yang dirampas dalam ialah 22 kg dadah ketamin, 2 kg dadah syabu, 248 botol cecair dadah ketamin, 2.6 kg serbuk ketamin, 200 biji pil eramin five dan 49 batang rokok mengandungi mushroom sintetik.
“Semua rampasan dadah dianggarkan berjumlah RM1.6 juta selain sitaan 10 kereta dan sebuah motosikal bernilai RM515,000, barang kemas, jam tangan dan wang tunai,” katanya.
Beliau menambah, Polis Kuala Lumpur percaya semua bekalan dadah itu yang mampu menampung penggunaan seramai 253,000 orang diperoleh daripada pembekal di sekitar Lembah Klang.
PENEMUAN mayat bayi perempuan yang cukup sifat di pekarangan Masjid Kariah Kampung Sri Jemapoh, Juasseh di Kuala Pilah semalam mengejutkan penduduk.
Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid berkenaan, Shariza Sharif, 55, berkata, kes berkenaan pertama kali berlaku di kawasan itu.
“Bayi berkenaan dijumpai oleh tiga remaja lelaki yang sedang bergotong-royong membersihkan tembok masjid untuk tujuan mengecat baru kira-kir pukul 3.30 petang.
“Bagaimanapun, sebaik melalui pekarangan masjid mereka menjumpai satu bungkusan yang di dalamnya ada kotak.
“Setelah diperiksa ada seorang bayi yang masih bertali pusat di dalamnya, namun sudah tidak bernyawa.
“Laporan polis dibuat pada hari sama untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui pemberita di masjid berkenaan hari ini.
Pesara tentera itu turut melahirkan rasa kecewa dan terkilan dengan apa yang terjadi berikutan ada di antara dalam kalangan masyarakat di luar sana masih berusaha untuk mendapatkan zuriat.
Penduduk kampung katanya, tidak pasti bila bayi terbabit diletakkan di kawasan masjid selain tidak menyedari kehadiran individu membawa bayi berkenaan ke Kuala Pilah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd. Ghani ketika dihubungi berkata, mayat bayi perempuan itu telah dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya.
“Setakat ini usaha mengesan ibu bayi itu sedang giat dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu supaya tampil bagi membantu siasatan,” katanya, lapor Sinar Harian.
Media semalam melaporkan mayat bayi perempuan dipercayai baru dilahirkan dalam tempoh 24 jam ditemukan di perkarangan sebuah masjid Jemapoh, Juasseh di Kuala Pilah.