Category: Jenayah

  • Dakwa Wan Saiful ditawar RM10j, pengguna TikTok berdepan tindakan undang-undang

    Dakwa Wan Saiful ditawar RM10j, pengguna TikTok berdepan tindakan undang-undang

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan seorang pengguna TikTok bahawa ia menawarkan RM10 juta kepada Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, untuk menjadi saksi bagi mendakwa presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Individu terbabit membuat tuduhan itu dalam satu video ringkas di TikTok hari ini.

    Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, beliau menepis dakwaan itu yang disifatkannya sebagai fitnah dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap individu itu.

    “Manusia beginilah yang merosakkan kepercayaan masyarakat kepada SPRM,” katanya kepada Free Malaysia Today (FMT).

    Wan Saiful pagi tadi didakwa di mahkamah atas tuduhan menerima rasuah berkaitan inisiatif Jana Wibawa.

    Sementara itu, semakan FMT dengan pihak Wan Saiful mendapati individu terbabit adalah penyelidik sembilan kepada Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu.

    Terdahulu, Wan Saiful minta dibicarakan selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menerima rasuah hampir RM7 juta berkaitan inisiatif Jana Wibawa. Beliau juga mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan meminta suapan melibatkan projek bernilai RM232 juta berkait inisiatif berkenaan.

    Beliau berdepan hukuman penjara sehingga maksimum 20 tahun, dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Program Jana Wibawa merupakan inisiatif pakej rangsangan berdepan Covid-19 bagi membantu kontraktor Bumiputera.

    Program itu terpalit dengan kontroversi selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kos yang terlibat dalam beberapa projek diberikan adalah terlalu tinggi, dan beberapa juga tidak melalui proses tender.

    Pakej rangsangan terbabit dilaksanakan ketika Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri. Pada Jumaat, Muhyiddin berkata, beliau disoal siasat sebagai saksi dan menafikan sebarang penyelewengan dana.

  • 13 al-Quran dalam longkang, lapan individu diambil keterangan bantu siasatan

    13 al-Quran dalam longkang, lapan individu diambil keterangan bantu siasatan

    POLIS selesai mengambil keterangan lapan individu bagi membantu siasatan berhubung penemuan 13 naskah al-Quran dipercayai sengaja dibuang individu tidak bertanggungjawab ke dalam longkang di Tasik Sri Murni, Jinjang di Kuala Lumpur, Sabtu lepas.

    Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata lapan individu itu termasuk mereka yang ada dalam video tular berhubung kejadian tersebut.

    Beliau berkata polis akan bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bagi mengenal pasti rakaman kamera litar tertutup di lokasi kejadian, surau dan masjid berhampiran.

    “Al-Quran itu akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis bagi siasatan seterusnya,” katanya pada sidang media selepas melancarkan KL Cops Night Ride sempena sambutan Hari Polis ke-216 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

    Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata seorang wanita tempatan yang juga Ahli Kesatuan Nelayan Kebangsaan membuat laporan polis dengan memaklumkan beliau menemukan beberapa naskah kitab suci itu di dalam longkang.

    Beh berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana membinasakan apa-apa benda dipegang suci dengan tujuan untuk mengaibkan agama dan Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana mendatangkan mudarat keharmonian ke atas agama.

    Dalam perkembangan lain, seorang lelaki yang ditahan selepas videonya tular di media sosial baru-baru ini yang memaparkan tangannya bergari dan memegang senjata api di dalam sebuah kenderaan dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

    Azmi berkata lelaki berusia 46 tahun itu dibebaskan selepas tempoh remannya tamat hari ini namun siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti pemilik gari dan pistol tersebut.

    “Hasil siasatan mendapati lelaki itu mengaku kejadian tersebut berlaku pada 2016 dan siasatan diteruskan sebelum tindakan lanjut diambil,” katanya.

  • 3 beradik ‘transporter’ dadah, tonto ditahan dengan 150kg syabu

    3 beradik ‘transporter’ dadah, tonto ditahan dengan 150kg syabu

    POLIS menahan tiga beradik yang bertindak sebagai ‘transporter’ dan tonto bersama 150 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM5.4 juta di dua lokasi berasingan di Kampung Kenor dan Kampung Tengah semalam.

    Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun berkata tiga beradik lelaki berusia lingkungan 24 hingga 45 tahun itu ditahan pada 7.50 pagi ketika menaiki sebuah lori Mitsubishi dan sebuah kereta Honda City.

    “Hasil risikan anggota polis menahan sebuah lori Mitsubishi di tepi jalan Kampung Tengah, pemeriksaan menemukan satu botol plastik lutsinar berisi cecair disyaki air ketum di bahagian kelindan lori tersebut.

    “Pemeriksaan lanjut di bahagian ruang belakang lori tersebut menemukan satu kotak berwarna coklat berisi satu bekas gabus putih yang di dalamnya terdapat tujuh bungkusan plastik lutsinar cecair disyaki air ketum.

    “Polis turut menemukan enam guni setiap satu di dalamnya terdapat satu bungkusan plastik hitam yang mengandungi 25 bungkusan plastik berisi ketulan mampat kristal disyaki dadah jenis syabu,” katanya pada sidang media di IPD Kuala Krai, hari ini.

    Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh kira-kira 1.5 juta penagih.

    “Siasatan mendapati bekalan dadah ini diperoleh dari sempadan Malaysia-Thailand untuk pasaran Lembah Klang.

    “Ketiga-tiga beradik yang juga penganggur itu bertindak sebagai ‘transporter’ dan dipercayai telah lama melakukan kegiatan ini, malah seorang daripada mereka bertindak sebagai tonto dalam kes ini,” katanya.

    Muhamad Zaki berkata suspek berusia 24 tahun juga didapati mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala abangnya yang berusia 45 tahun memiliki rekod jenayah di bawah Seksyen 18 (5) Akta Penapisan Filem 2022.

    “Mereka akan direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 27 Feb depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya.

  • Jurukimpal, guru jadi mangsa Macau Scam

    Jurukimpal, guru jadi mangsa Macau Scam

    SEORANG jurukimpal berputih mata apabila kerugian RM339,000, manakala seorang guru pula rugi RM285,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam menerusi dua kejadian berasingan.

    Kejadian menimpa guru lelaki berusia 49 tahun berlaku pada 6 Januari lalu, manakala jurukimpal berusia 52 tahun diperdaya sindiket bermula pada 17 November tahun lalu.

    Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, dalam laporannya guru itu memaklumkan menerima panggilan daripada individu yang mendakwa kakitangan syarikat insurans.

    “Individu itu mendakwa mangsa membuat tuntutan palsu selain terbabit dalam aktiviti penggubahan wang haram yang menyebabkan mangsa perlu membayar sejumlah RM280,000 untuk menyelesaikan kes berkenaan.

    “Mangsa yang takut kemudian membuat pinjaman bank sebanyak RM280,000 pada 12 Januari sebelum pinjaman itu diluluskan dan kesemua wang terbabit dimasukkan ke dalam akaun Bank Islam.

    “Pada masa sama, mangsa menukar kad ATM yang baharu sebagaimana yang diarahkan sindiket berkenaan dan berkongsi maklumat berkenaan dengan sindiket,” katanya pada sidang media di Kuala Krai, hari ini.

    Katanya, mangsa hanya menyedari ditipu beberapa hari selepas itu dan kerana curiga, dia membuat laporan polis manakala kerugian dialami sebanyak RM285,000.

    Sementara itu, Muhamad Zaki berkata, kejadian yang membabitkan jurukimpal menggunakan modus operandi hampir sama, dengan mangsa menerima panggilan telefon daripada anggota polis yang mengatakan mangsa bersalah kerana menjual kad pengenalan miliknya.

    “Susulan itu, pengadu diminta membuat akaun bank baharu dengan memasukkan jumlah duit yang ada ke dalam akaun terbabit selain dilarang memaklumkan sesiapa mengenai panggilan diterima.

    “Mangsa yang takut melakukan apa yang disuruh ‘Puan Aisyah’ dan melakukan 30 transaksi ke dalam akaun baharu yang dibuka dengan nilai keseluruhan RM339,000 selain berkongsi maklumat akaun bank kepada sindiket.

    “Kejadian penipuan itu terbongkar selepas adik mangsa terdengar perbualan mangsa dengan sindiket berkenaan sebelum membuat laporan polis baru-baru ini,” katanya.

    Beliau berkata, kedua-dua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    “Saya ingin mengingatkan masyarakat supaya tidak mudah tertipu dengan sebarang panggilan yang diterima. Sebarang kes membabitkan polis tidak diselesaikan menerusi panggilan telefon, sebaliknya kita akan hadir ke rumah mereka,” katanya, lapor SatuBerita.

  • MCMC akan buka kertas siasatan terhadap Awesome TV

    MCMC akan buka kertas siasatan terhadap Awesome TV

    SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan membuka satu kertas siasatan terhadap saluran televisyen tempatan, Awesome TV, susulan laporan berita yang mendakwa bilangan penjawat awam bakal dikurangkan.

    Menerusi kenyataan hari ini, MCMC berkata kertas siasatan itu dibuka di bawah Seksyen 206 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 98) iatu kegagalan mematuhi syarat lesen.

    Menurut MCMC, pertemuan antara MCMC dan pengurusan tertinggi Awesome TV telah diadakan semalam untuk mendapatkan penjelasan lanjut ekoran aduan berkenaan laporan yang disiarkan mengenai cadangan mengurangkan bilangan penjawat awam.

    “Apabila kertas siasatan dilengkapkan, ia akan diserahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk keputusan lanjut,” kata MCMC.

    Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 242 iaitu denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali, katanya.

    Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil sebelum ini dilaporkan berkata MCMC akan mengadakan pertemuan dengan Awesome TV bagi mendapatkan penjelasan mengenai laporan berita yang mendakwa bilangan penjawat awam bakal dikurangkan.

    Fahmi berkata beliau difahamkan Awesome TV telah melakukan enam pelanggaran berhubung menerbitkan bahan berita yang dilihat tidak mematuhi peraturan dan undang-undang.

    MCMC berkata ia memandang serius terhadap aduan pengguna dan komited dalam usaha mempertingkat tahap pematuhan para pemegang lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan Individu (CASP-I) supaya kandungan yang disiarkan mencerminkan budaya, identiti dan norma-norma masyarakat, selaras AKM 98 dan Kod Kandungan.

    “Setiap aduan yang diterima akan diteliti berdasarkan peruntukan AKM 1998, peraturan-peraturan yang berkaitan di bawahnya dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

    “Antara tatacara atau proses aduan yang dibuat adalah seperti memanggil pihak penyiar yang diadukan untuk tampil mengemukakan penjelasan bagi menentukan bentuk tindakan penguatkuasaan yang akan diambil,” katanya.

  • Lelaki cuba seludup 830kg daun ketum diberkas

    Lelaki cuba seludup 830kg daun ketum diberkas

    Oleh BADLISHAH MAT

    RISIKAN Briged Keenam Infantri Malaysia (KTJ 6 Bgd) berjaya menahan seorang lelaki dipercayai cuba melakukan penyeludupan daun ketum di sempadan negara ini di Padang Terap.

    Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam kenyataan memaklumkan, penahanan dilakukan sekitar pukul 10.45 malam, kelmarin.

    Kata kenyataan tersebut, pemeriksaan menemukan 83 beg plastik yang berisi daun ketum seberat 830 kilogram.

    “Sebelum tangkapan dilakukan, pasukan mengesan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero berwarna kelabu dalam keadaan mencurigakan di Ladang Seraya Durian Burung.

    “Hasil pemeriksaan mendapati pemandu kenderaan tersebut merupakan seorang lelaki warga tempatan yang cuba menyeludup barangan ke negara Thailand,” kata kenyataan itu hari ini.

    Selain kenderaan itu, turut dirampas adalah sebuah motosikal jenis Honda Wave, telefon bimbit, wang dalam matawang Malaysia dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM77,162.

    Tambah kenyataan itu, suspek beserta barang rampasan diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap untuk tindakan lanjut.

  • Gaduh di pusat hiburan, 2 lelaki ditahan

    Gaduh di pusat hiburan, 2 lelaki ditahan

    POLIS menahan dua lelaki kerana dipercayai terlibat dalam pergaduhan membabitkan sekumpulan individu di sebuah pusat hiburan di Jalan Nusa Bestari 7/2, Taman Nusa Bestari, Skudai, Iskandar Puteri semalam.

    Ketua Polis Iskandar Puteri, Rahmat Ariffin, berkata kejadian itu tular menerusi media sosial pada 4 pagi dan dipercayai berpunca daripada pergaduhan mulut ketika mereka sedang minum di pusat hiburan tersebut.

    Beliau berkata, bertindak atas maklumat, kedua-duanya berjaya diberkas di sekitar Larkin pada 12.10 tengah malam tadi.

    “Hasil soal siasat, mereka mengaku terlibat dalam kes pergaduhan dan mengatakan kejadian mula berlaku di dalam sebuah pusat hiburan.

    “Kedua-duanya adalah kenalan dan pergaduhan berlarutan sehingga ke luar pusat hiburan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, pergaduhan itu turut melibatkan lima individu lain dan polis masih mengesan mereka itu.

    “Polis menggesa orang ramai menyaksikan kejadian atau mempunyai sebarang maklumat mengenainya tampil memberikan keterangan,” katanya.

    Rahmat berkata, kedua-dua lelaki itu direman hingga Khamis ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

    Semalam, tular video berdurasi tujuh saat di media sosial memaparkan sekumpulan individu bergaduh dengan seorang daripadanya tidak memakai baju terbaring di tengah jalan.

  • Polis lumpuhkan sindiket dadah, heroin base RM4.05 juta dirampas

    Polis lumpuhkan sindiket dadah, heroin base RM4.05 juta dirampas

    SEORANG pemandu bas kilang antara tiga individu ditahan dalam serbuan berasingan di sekitar Selangor dan Kedah yang menemukan 123 ketulan dadah jenis heroin base bernilai RM4.05 juta untuk pasaran Lembah Klang pada Rabu lalu.

    Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi berkata, sindiket yang dipercayai bergiat aktif sejak November tahun lalu itu ditumpaskan menerusi serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.

    “Ketiga-tiga suspek yang diberkas merupakan lelaki warga tempatan berumur lingkungan 37 sehingga 53 tahun.

    “Serbuan pertama dijalankan di sekitar Klang menerusi tangkapan ke atas seorang lelaki yang dipercayai sedang menjalankan urusan pengedaran dadah.

    “Pemeriksaan kereta jenis Mercedes Benz yang dinaiki suspek menemui satu plastik hitam mengandungi 10 ketulan mampat heroin base seberat 3.8 kilogram,” katanya.

    123 ketulan dadah jenis heroin base bernilai RM4.05 juta untuk pasaran Lembah Klang dirampas pada Rabu lalu

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam hari ini.

    Menurutnya, hasil siasatan berdasarkan serbuan pertama seterusnya membawa kepada tangkapan suspek kedua pukul 4.20 petang di sebuah rumah di Kapar, Klang.

    Tangkapan suspek kedua kata beliau, kemudiannya membawa kepada serbuan di sebuah rumah kedai di Jalan Kapar, Klang yang berjaya menemukan satu plastik hitam mengandungi 113 ketulan heroin base seberat 42.5 kilogram di bahagian ruang tamu.

    “Siasatan dijalankan berdasarkan serbuan dijalankan ini turut membawa kepada penangkapan suspek ketiga di sebuah rumah di kawasan Kupang, Kedah,” katanya.

    Tambahnya, seorang suspek bekerja sebagai pemandu bas kilang dan dua lagi suspek tidak bekerja.

    Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk Sasikala Devi Subramaniam ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Semakan dijalankan mendapati dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes di bawah penipuan dan dadah.

    “Ujian saringan mendapati kesemua suspek negatif dadah,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Ujar Sasikala, kesemua suspek direman tujuh hari untuk siasatan lanjut.

    “Keseluruhan heroin dirampas ini dipercayai boleh dibekalkan kepada 2.51 juta penagih dalam masa sehari dengan mengambil kira penggunaan harian sebanyak 0.2 gram.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • Penjawat awam paling ramai terbabit rasuah di Johor

    Penjawat awam paling ramai terbabit rasuah di Johor

    PENJAWAT awam adalah kumpulan tertinggi yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor bagi tempoh 2020 sehingga Disember tahun lalu.

    Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias berkata, seramai 219 yang ditahan, 90 daripadanya terdiri penjawat awam.

    “Sejumlah 75 yang ditahan adalah pekerja swasta, manakala 54 lagi orang awam.

    “Dalam tempoh sama, sebanyak 196 kertas siasatan berkaitan kes rasuah dibuka dengan 101 kes didakwa di mahkamah.

    “Daripada 219 tangkapan yang dilakukan sebelum ini menunjukkan tahun 2021 merekodkan tangkapan tertinggi iaitu sebanyak 89 tangkapan, diikuti 2022 (86 tangkapan) dan 2020 (41 tangkapan),” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pelancaran Drama Radio ‘Ringgit Ke Syurga?’ di Auditorium Permata Sari, Kompleks Penerangan Dan Penyiaran Sultan Iskandar, di Johor Bahru hari ini.

    Katanya, berdasarkan statistik SPRM Johor dalam tempoh yang sama, sebanyak 82 kertas siasatan dibuka pada 2020 diikuti 61 kertas siasatan dibuka pada 2021 dan 53 pada tahun lalu.

    Menurutnya, penjawat awam adalah kumpulan tertinggi yang ditahan SPRM Johor iaitu sebanyak 90 orang diikuti 75 tangkapan membabitkan pekerja swasta dan 54 lagi orang awam.

    Azmi berkata, pihaknya juga 940 maklumat berkaitan kesalahan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dalam tempoh sama.

    Sementara itu, beliau berkata, SPRM Johor mencatat jumlah sitaan sebanyak RM3.65 juta, selain melucut hak rampasan pesalah rasuah bernilai RM213,831.60 dalam tempoh yang sama.

    “Sebanyak 286 ceramah diberikan kepada kumpulan sasar termasuk 131 program berteraskan pencegahan rasuah disampaikan kepada agensi kerajaan dan swasta, syarikat berkaitan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, pelajar institusi pengajian tinggi dan sekolah,” katanya, lapor Berita Harian.

  • 90 tangkapan SPRM Johor sejak 2020 hingga 2022 babitkan penjawat awam

    90 tangkapan SPRM Johor sejak 2020 hingga 2022 babitkan penjawat awam

    SEBANYAK 90 tangkapan yang dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak 2020 hingga Disember tahun lepas di Johor melibatkan penjawat awam, diikuti dengan 75 pekerja swasta serta 54 individu awam.

    Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias berkata dalam tempoh itu juga SPRM Johor telah mencatatkan sitaan berjumlah RM3.65 juta, selain melucut hak rampasan pesalah rasuah bernilai RM213,831.60.

    “SPRM Johor telah menerima 940 maklumat berkaitan kesalahan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dalam tempoh yang sama. Sebanyak 196 kertas siasatan dibuka dengan melibatkan 219 tangkapan dan 101 pertuduhan di mahkamah,” katanya.

    Beliau berkata demikan ketika berucap pada Majlis Pelancaran Drama Radio ‘Ringgit Ke Syurga?’ di Jabatan Penyiaran Malaysia Negeri Johor di Johor Bahru hari ini yang dirasmikan Pengarah Bahagian Program Radio Jabatan Penyiaran Malaysia Nor’ Ain Bakir.

    Azmi Alias

    Menurutnya dalam tempoh yang sama pihaknya menjayakan 286 ceramah khusus buat kumpulan sasar, dengan 131 program berteraskan pencegahan rasuah disampaikan kepada agensi kerajaan dan swasta, syarikat berkaitan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, pelajar institusi pengajian tinggi dan sekolah.

    Sementara itu merujuk kepada pelancaran drama radio sempena Sambutan Ulang Tahun JohorFM Ke-58, Azmi berkata buat julung kalinya SPRM Johor dan Jabatan Penyiaran Malaysia menjalinkan kerjasama strategik dalam menerbitkan drama radio berkisarkan kes rasuah sebenar yang pernah disiasat oleh SPRM Johor sebelum ini.

    Beliau berkata penyediaan skrip drama radio itu ditulis oleh pegawai SPRM Johor dari Unit Pendidikan Masyarakat (PenMas) dan tiga cawangan SPRM iaitu Batu Pahat, Kluang dan Segamat.

    “Kerjasama dalam menyebarluaskan mesej anti rasuah melalui media amatlah penting dalam menjadi medium perantaraan antara suruhanjaya ini dan masyarakat, bagi memastikan setiap peringkat dapat memahami betapa bahayanya jenayah rasuah, dan pada masa sama menghindari daripada melakukan perbuatan keji itu,” tambahnya.