Category: Jenayah

  • KPDN KL rampas barangan tiruan bernilai RM250,000 di Jalan Petaling

    KPDN KL rampas barangan tiruan bernilai RM250,000 di Jalan Petaling

    SEBANYAK 2,505 unit barangan tiruan bernilai RM250,000 dirampas di sembilan premis melibatkan enam stor serta tiga gerai di Jalan Petaling menerusi Ops PUTRA 3.0 yang dijalankan Selasa lalu.

    Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, dalam serbuan tersebut, dua lelaki dan seorang wanita tempatan yang merupakan pemilik premis turut ditahan.

    Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin (tengah) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian daripada barangan tiruan jenama terkenal yang dirampas dengan nilai keseluruhan RM250,000 selepas berjaya menyerbu premis perniagaan Jalan Petaling Kuala Lumpur dalam Ops Putra 3.0 ketika mengadakan sidang media di Stor Eksibit KPDN Segambut, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Katanya, kesemua barangan tiruan berkenaan dipercayai diperoleh dari negara asing dan bagi jualan kepada pelancong yang datang ke Jalan Petaling.

    “Kesemua barangan yang disita ini adalah barangan tiruan yang berkualiti tinggi dan harga jualan bermula pada harga RM400 sehingga RM4,000 bagi seunit termasuk jam tangan, beg tangan, dompet, gelang serta cincin,” katanya dalam sidang media, hari ini.

    Sebahagian daripada barangan tiruan jenama terkenal bernilai RM250,000 yang dirampas selepas KPDN berjaya menyerbu premis perniagaan Jalan Petaling Kuala Lumpur dalam Ops Putra 3.0 di ketika mengadakan sidang media di Stor Eksibit KPDN Segambut, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM15,000 bagi setiap barangan bagi kesalahan pertama dan RM30,000 bagi setiap barangan untuk kesalahan kedua serta berikutnya.

    Ariffin berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan undang-undang harta intelek di bawah Akta Cap Dagangan 2019, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Hak Cipta 1987 secara berterusan dalam membanteras penjualan barangan tiruan.

    Sebahagian daripada barangan tiruan jenama terkenal bernilai RM250,000 yang dirampas selepas KPDN berjaya menyerbu premis perniagaan Jalan Petaling Kuala Lumpur dalam Ops Putra 3.0 di ketika mengadakan sidang media di Stor Eksibit KPDN Segambut, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 79 kes harta intelek dengan nilai rampasan berjumlah RM2.5 juta melibatkan sitaan 48,500 unit barangan dibuat di ibu negara setakat ini.

    “Jumlah tangkapan di bawah Ops Jeriji 4.0 bagi tahun 2023 adalah 19 orang melibatkan kesalahan berkaitan harta intelek,” katanya, lapor Utusan TV.

  • Tak patut buru orang belum nyata kesalahan pukul 3 pagi, kata Hadi Awang

    Tak patut buru orang belum nyata kesalahan pukul 3 pagi, kata Hadi Awang

    BERSEMPENA sambutan Maal Hijrah 1445, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengimbau perjuangan Nabi Muhammad SAW menegakkan negara Madinah yang ditukarkan daripada nama asalnya Yathrib atau Taibah.

    Ahli parlimen Marang itu turut membandingkan perbandingan konsep madani oleh Rasulullah SAW dengan Malaysia Madani yang dibawa Pakatan Harapan (PH).

    “Maka, tidak sepatutnya berlaku sepertimana peristiwa orang yang baru sahaja dituduh dan belum nyata kesalahannya, namun terpaksa ditangkap dan diburu pada jam tiga pagi.

    “Apa yang ada pada mereka hanyalah jenama sahaja bagi menarik sokongan rakyat, dalam keadaan mereka bersifat menipu, berbohong dan lain-lain, serta bersifat seperti binatang sesumpah yang boleh berubah-ubah warnanya bagi menggoda rakyat yang sentiasa ditipu dan dizalimi.

    “Kerjanya hanyalah mencari keredaan manusia, malah sokongannya bukan ikhlas kerana Allah SWT,” katanya pada kenyataan yang terbit di Harakahdaily hari ini.

    Walaupun tidak menyebut nama, Presiden Pas itu dipercayai mengulas kejadian penangkapan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhamad Sanusi Md. Nor.

    Sanusi ditahan di sebuah pangsapuri sewa di Kuala Lumpur pada pagi Selasa 18 Julai lalu sekitar pukul 3 pagi dan didakwa di mahkamah kerana membuat kenyataan berbaur hasutan kira-kira lima jam kemudian.

    Sementara itu, Abdul Hadi juga mengingatkan bahawa amal kebajikan yang besar dapat dilakukan melalui negara bermasyarakat madani yang berpandukan al-Quran.

    “Bukan madani pada jenama sahaja, yang bergelumang dengan penipuan, mungkir janji, kezaliman, rasuah, maksiat dan berbagai-bagai salah laku,” dakwanya lagi.

    Sambutan Maal Hjrah 1445 (2023) peringkat kebangsaan pada tahun ini bertemakan ‘Perpaduan Teras Malaysia Madani’.

  • Wanita rugi lebih setengah juta terpedaya pelaburan online di Facebook

    Wanita rugi lebih setengah juta terpedaya pelaburan online di Facebook

    SEORANG peniaga kedai makan wanita berusia 54 tahun di Butterworth, Pulau Pinang berputih mata selepas wang miliknya sebanyak RM512,244 lebur diperdaya skim pelaburan saham online.

    Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Asri Shafie, mangsa mula terpedaya selepas melihat iklan berkaitan pelaburan saham di akaun Facebook pada 22 Mei lalu.

    Jelasnya, mangsa kemudiannya telah berhubung dengan ejen pelaburan terbabit menerusi aplikasi WhatsApp dan diberi penerangan berkaitan pelaburan saham yang ditawarkan sebelum bersetuju dan membuat pendaftaran melalui laman web ‘HTTP://PSLUS.COM/#/RESGISTERAGENTCODE:697875’ yang diberikan.

    Ujar beliau, mangsa seterusnya melalukan sebanyak 20 transaksi pindahan wang ke lapan akaun bank syarikat dari 20 Jun sehingga 5 Julai lalu.

    “Menurut mangsa, pelaburan yang disertainya itu telah menjanjikan keuntungan kira-kira RM400,000 melalui transaksi yang dipaparkan di dalam akaun pelaburan milik mangsa.

    “Bagaimanapun, wang keuntungan berserta modal yang telah dilaburkan tidak dapat dikeluarkan.

    “Pengadu kemudiannya membuat laporan polis semalam selepas ejen pelaburan telah menghilangkan diri manakala platform pelaburan terbabit juga gagal diakses,” katanya.

    Jelas Mohd. Asri, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    Dalam pada itu, beliau menasihati orang awam sentiasa berwaspada dan tidak mudah mempercayai sebarang bentuk pelaburan yang menawarkan keuntungan yang tinggi dalam masa singkat.

    “Orang ramai juga diminta untuk membuat semakan terhadap akaun-akaun bank sebelum membuat sebarang bayaran melalui aplikasi Semakmule bagi memastikan akaun berkenaan selamat daripada sebarang kes penipuan,” katanya.

  • REE Kedah: SPRM rakam kenyataan 12 individu, Sanusi akan dipanggil beri keterangan

    REE Kedah: SPRM rakam kenyataan 12 individu, Sanusi akan dipanggil beri keterangan

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merakam kenyataan 12 individu, bagi membantu siasatan kes rasuah lebih RM13 juta serta salah guna kuasa membabitkan isu perlombongan unsur nadir bumi (REE) di Kedah.

    Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata kesemua individu yang dipanggil setakat ini, merupakan daripada Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah dan syarikat swasta, yang dikatakan terlibat dengan perlombongan REE tersebut.

    “Setakat ini masih belum ada orang politik yang dipanggil untuk memberi keterangan… Sesiapa saja akan dipanggil untuk bagi keterangan, mana yang difikirkan perlu, mungkin cepat atau lambat sahaja.

    “Nak siasat bukan boleh terjah sahaja, kena buat pengesahan dan panggil saksi berkenaan, kena pastikan hal berkaitan prosedur untuk luluskan pengeluaran REE… Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pun akan dipanggil, sebab dia yang sain surat yang tular itu.

    ‘’Antara yang kita akan tanya perkara itulah, sebab surat itu tular. Kalau betul, betullah dan jika tidak betul beliau kena nyatakan. Bila Sanusi akan dipanggil, kita belum tahu lagi kerana saya serahkan kepada pegawai penyiasat dan mereka akan tentukan bila akan dipanggil,” katanya

    Beliau berkata demikian selepas Program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Timur di Kuala Nerus, hari ini.

    Azam berkata pihaknya juga sedang mengesan beberapa saksi dari China, yang dikatakan membuat pelaburan dalam perlombongan REE tersebut untuk turut membantu siasatan.

    “Pegawai penyiasat sedang menyiasat (kesan saksi dari luar negara),” katanya.

    Mengulas dakwaan SPRM ditekan oleh pihak tertentu pihak supaya mempercepatkan siasatan kes REE susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) semakin hampir, Azam menyangkal kenyataan tersebut dan menegaskan perkara itu hanya kebetulan berlaku dalam tempoh ini.

    “Tiada siapa menekan kami, ini cuma secara kebetulan. Sama ada kerana PRN atau tidak, ia bukan masalah… SPRM dalam hal berkaitan apa juga isu rasuah dan salah guna kuasa dalam pentadbiran kerajaan, yang ada merit untuk siasat, kita siasat,” katanya.

    Semalam seorang pegawai kanan MBI Kedah dan seorang wanita yang merupakan pengarah sebuah syarikat, ditahan bagi membantu siasatan kes rasuah lebih RM13 juta serta salah guna kuasa membabitkan isu perlombongan REE di Kedah.

    Sumber SPRM berkata kedua-dua suspek yang berusia 63, dan 40 tahun itu, direman tiga hari hingga 21 Julai selepas ditahan semalam di sekitar Alor Setar, Kedah serta ibu negara.

    Menurut sumber syarikat terbabit dipercayai telah menjalankan aktiviti perlombongan itu secara haram sejak 2020, dan mendapat perlindungan daripada pihak berkuasa tertentu.

  • Polis tumpaskan sindiket judi online sasar pelanggan dari Nepal

    Polis tumpaskan sindiket judi online sasar pelanggan dari Nepal

    SATU sindiket judi ‘online’ yang menyasarkan pelanggan dari Nepal berjaya ditumpaskan polis Pulau Pinang dalam tiga serbuan berasingan di sekitar George Town, Pulau Pinang semalam.

    Dalam serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pulau Pinang bersama Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Barat Daya dan Timur Laut itu, lima suspek lelaki termasuk seorang warga asing berusia 30 hingga 41 tahun turut ditahan.

    Ketua Polis Daerah Barat Daya, Suprintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, serbuan pertama dilakukan pukul 7.30 petang semalam di sebuah rumah di kawasan Persiaran Pantai Jerejak, Bayan Lepas.

    Menurutnya, pemeriksaan awal di premis itu mendapati terdapat aktiviti pelaburan dan perjudian online menggunakan pautan ‘bwc88nep.com’ dan ‘merc.adminbwc88ags.com’.

    Jelasnya, hasil serbuan itu, polis melakukan serbuan kedua kira-kira pukul 10.35 malam di sebuah rumah di kawasan Jelutong yang mana seorang lelaki warga tempatan berusia 30 tahun ditahan sebelum serbuan ketiga di sebuah pejabat di kawasan sama kira-kira sejam kemudian.

    “Premis ini dipercayai dijadikan lokasi untuk untuk operasi mencipta iklan (graphic designing), pengedaran iklan (flashing dalam media sosial Facebook), penyediaan platform perjudian ‘bwc88nep.com’ dan ‘merc.adminbwc88ags.com’ ke negara seperti Nepal, Singapura dan Malaysia,” katanya kepada pemberita malam ini.

    Tambahnya, pemeriksaan di permis tersebut turut menjumpai pelbagai peralatan antaranya satu set mesin disyaki digunakan untuk melombong mata wang kripto; komputer riba pelbagai jenama; CPU komputer pelbagai jenama; monitor komputer pelbagai jenama, telefon bimbit pelbagai jenama dan banyak lagi.

    Dalam pada itu, katanya, sindiket terbabit dipercayai beroperasi sejak September 2021 sehingga sekarang dan bertukar-tukar lokasi dalam tempoh sebulan hingga enam bulan bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa.

    “Kesemua suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 22 Julai depan.

    “Kes disiasat antaranya di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan; Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan sebagainya,” katanya.

  • Madrasah tahfiz antara lokasi simpan ketum, 4 lelaki ditahan

    Madrasah tahfiz antara lokasi simpan ketum, 4 lelaki ditahan

    POLIS Kelantan menahan empat lelaki dan merampas pil yaba serta ketum di dua lokasi semalam, termasuk di sebuah madrasah tahfiz di Batu 11, Ketereh dekat Kota Bharus yang disyaki menjadi tempat simpanan 100kg ketum.

    Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun berkata, dalam serbuan pada 9.15 malam itu, 10 bungkus plastik hitam disyaki mengandungi daun ketum ditemukan di madrasah tahfiz tersebut, iaitu lokasi kedua serbuan, pada hari sama.

    “Serbuan ke madrasah tahfiz dipandu arah oleh empat suspek terbabit berusia 20-an, yang ditahan pada serbuan pertama di sebuah rumah di Jalan Tali Air Kampung But, Ketereh, pada kira-kira 9 malam,” katanya dalam kenyataan.

    Katanya, siasatan lanjut mendapati seorang suspek positif dadah jenis methamphetamine, manakala seorang lagi mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah.

    Muhamad Zaki berkata, dalam serbuan pertama, polis merampas 20 bungkusan plastik berisi kira-kira 20 liter cecair ketum dan empat bungkusan plastik berisi daun hijau disyaki ketum dianggarkan seberat 40kg.

    “Pemeriksaan lanjut di sekitarnya turut menemukan satu kotak rokok disyaki berisi pil kuda, selain satu periuk besar berisi air rebusan ketum dianggarkan sebanyak 10 liter, dua tong gas dan sebuah dapur gas, yang turut dirampas.

    Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM4,522 dan perintah tahanan reman selama empat hari ke atas kesemua suspek berakhir 22 Julai.

    Kes disiasat bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

  • Murid Tahun Lima dakwa guru besar rotan hingga cedera

    Murid Tahun Lima dakwa guru besar rotan hingga cedera

    MURID lelaki Tahun Lima sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Segamat cedera di badan dan muka selepas didakwa dirotan guru besar sekolah itu kerana tidak menyiapkan kerja sekolah.

    Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian menerusi laman Facebook Polis Daerah Segamat kira-kira pukul 11 malam semalam.

    Susulan maklumat diterima, pihaknya meminta mangsa hadir ke balai polis bagi membuat laporan berhubung kejadian.

    “Pada pukul 12.10 tengah malam, satu laporan polis dibuat ibu mangsa mengatakan anaknya cedera di leher kiri, bahu kiri dan calar di pipi akibat dirotan guru besar wanita berusia 50-an.

    “Siasatan awal mendapati pelajar itu dirotan kerana gagal menyiapkan kerja sekolah dan bersikap sambil lewa ketika sesi pembelajaran di sekolah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

    Ahmad Zamry berkata, susulan polis itu pihaknya sudah mengambil keterangan daripada guru berkenaan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

    Beliau berkata, pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan untuk dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan selanjutnya.

  • Polis buru Ah Long upah RM1,500 bakar rumah peminjam

    Polis buru Ah Long upah RM1,500 bakar rumah peminjam

    POLIS kini giat mengesan rangkaian sindiket Ah Long yang mengupah individu untuk membakar dan membaling cat ke rumah peminjam mereka melalui tawaran kerja di media sosial.

    Pesuruhjaya Polis Sarawak, Mohd Azman Ahmad Sapri, berkata ini susulan laporan diterima pihaknya pada 7 Julai lalu, di mana seorang mangsa memaklumkan rumah miliknya di Kota Samarahan telah dibakar selain menerima kiriman video insiden tersebut melalui aplikasi WhatsApp.

    “Selain itu, terdapat tiga lagi kejadian simbah cat di kedai perabot dan rumah mangsa. Susulan itu, sebanyak empat kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Azman berkata susulan itu, tujuh suspek warga tempatan berjaya ditahan dan direman selama tujuh hari bermula 17 Julai lalu.

    “Hasil soal siasat mendapati mereka telah menerima tawaran melakukan kerja itu di media sosial dengan pembayaran upah sebanyak RM1,500,” katanya.

    Azman berkata orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta untuk menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Insp Mustapha Ramli di talian 019-8145090.

  • Pemilik kelab bola sepak didakwa tipu pelaburan, 7 mangsa rugi hampir RM900,000

    Pemilik kelab bola sepak didakwa tipu pelaburan, 7 mangsa rugi hampir RM900,000

    TUJUH individu yang melabur dalam syarikat milik pemilik sebuah kelab bola sepak tempatan mendakwa kerugian RM900,000 akibat ditiupu.

    Mereka mendakwa ditipu selepas melabur dalam sebuah syarikat dimiliki ‘figura’ terbabit apabila tiada pulangan pelaburan dan dividen diberikan sejak dua tahun lalu.

    Sebelum itu mereka tertarik dengan iklan tawaran pelaburan dalam beberapa syarikat milik lelaki tersebut melalui Facebook.

    Seorang daripada mangsa yang juga pekerja sebuah syarikat swasta mendakwa dipanggil menghadiri seminar pelaburan selepas tertarik dengan iklan tawaran pelaburan di Facebook lelaki itu pada 2020.

    Lelaki berusia 44 tahun itu mendakwa dijanjikan pulangan sebanyak 50 peratus daripada keuntungan syarikat menyebabkan dia membuat pelaburan di empat syarikat dengan jumlah keseluruhan pelaburan mencecah ratusan ribu ringgit.

    “Selepas setahun melabur, saya terima laporan kewangan syarikat menyatakan rugi. Saya faham apabila melabur memang akan ada untung rugi dan ketika itu pula pandemik.

    “Tapi apa yang saya kecewa adalah sehingga kini saya tidak terima sebarang pulangan dan tiada laporan kewangan, laporan audit diberikan serta tiada mesyuarat agung tahunan (AGM) dijalankan,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

    Seorang pensyarah sebuah universiti awam berusia 35 tahun pula mendakwa melabur sebanyak RM100,000 di dua syarikat milik lelaki itu selepas tertarik dengan iklan tawaran pelaburan di FB.

    “Melihat kredibilitinya sebagai usahawan dan berjaya dalam perniagaan hotel serta restoran, jadi saya yakin untuk melabur di syarikatnya. Saya juga buat carian di internet mengenainya, tiada komen negatif.

    “Saya mula melabur pada 2021 tapi sehingga kini tidak dapat apa-apa pulangan. Sebagai pelabur saya ada hak untuk tahu ke mana pelaburan, laporan kewangan dan AGM, tapi bila tanya dia beri pelbagai alasan,” katanya.

    Tidak berpuas hati dengan tindakan lelaki itu, beliau yang berasa ditipu tampil membuat laporan polis pada awal bulan lalu dan berharap siasatan lanjut dijalankan.

    Sementara itu, seorang peguam, Ainur Rabiatuladawiyah Hassim berkata, pihaknya menerima aduan penipuan pelaburan membabitkan individu sama daripada tujuh mangsa dan sebuah syarikat.

    Menurutnya, mangsa mendakwa melabur selepas terpedaya dengan representasi lelaki itu bahawa syarikatnya akan disenaraikan di Bursa Malaysia dan menjadi syarikat senarai awam serta akan mendapat keuntungan tinggi hasil pelaburan itu.

    “Kebanyakan pelabur menghadiri sesi taklimat saham khas pra-IPO anjuran lelaki terbabit yang dilakukan secara atas talian atau bersemuka sebelum membuat pelaburan mereka.

    “Bagaimanapun, anak guam tidak puas hati apabila lelaki itu dikatakan gagal mengadakan AGM, jumlah saham dicatatkan dalam carian Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) tidak selari dengan jumlah bayaran dibuat serta tiada maklumat berkaitan perkembangan syarikat.

    “Mereka juga tidak menerima laporan kewangan beraudit dan syarikat gagal untuk disenaraikan di Bursa Malaysia mengikut tempoh dijanjikan,” katanya, lapor Harian Metro.

    Berikutan itu, beliau akan mewakili mangsa bagi mengambil tindakan undang-undang dan berharap pihak berkuasa bertindak segera bagi mengelak lebih ramai menjadi mangsa.

  • Polis tahan tiga beradik samun bersenjatakan kapak, pisau

    Polis tahan tiga beradik samun bersenjatakan kapak, pisau

    TIGA beradik ditahan polis selepas disyaki terbabit dengan kes samun berkumpulan menggunakan senjata kapak dan pisau kejadian di Kota Bharu.

    Tiga beradik berusia antara 19 hingga 36 tahun itu ditahan iaitu dua daripadanya di tepi Jalan Kampung Sri Kulim, Melor di Kota Bharu pukul 8.15 malam dan seorang lagi di hadapan sebuah kedai telefon bimbit di Melor, kelmarin.

    Ketiga-tiganya ditahan oleh sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu.

    Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, pada 15 Julai hingga kelmarin, IPD Kota Bharu menerima tiga laporan berhubung kejadian samun kedai telefon yang berlaku di sekitar daerah ini.

    “Ketiga-tiga kejadian mempunyai modus operandi sama iaitu suspek masuk ke kedai dengan bersenjatakan sebilah kapak dan pisau, lalu mengacukan ke arah pekerja sebelum mengambil wang tunai serta telefon bimbit.

    “Bertindak atas maklumat dan risikan, satu operasi mengesan dan menangkap suspek dijalankan sebelum polis berjaya menahan tiga beradik itu,” katanya menerusi satu kenyataan di Kota Bharu hari ini.

    Beliau berkata, hasil semakan, dua daripadanya mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau bersabit kes jenayah dan dadah.

    Beliau memberitahu, hasil ujian saringan awal mendapati dua daripada tiga suspek, positif dadah.

    Menurutnya, ketiga-tiga suspek disyaki terbabit dalam tiga kejadian samun bersenjatakan kapak dan pisau di premis perniagaan telefon bimbit di Kota Bharu sejak 15 Julai lalu.

    Katanya, turut dirampas sebilah kapak, telefon bimbit dan topi keledar.

    “Dengan tertangkapnya suspek, polis berjaya menyelesaikan tiga kes samun berkumpulan di sekitar daerah ini.

    “Mereka direman selama lima hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Harian Metro.