Category: Jenayah

  • Lans Koperal cedera di kepala ditetak

    Lans Koperal cedera di kepala ditetak

    SEORANG anggota polis berpangkat Lans Koperal cedera pada bahagian kiri kepalanya selepas ditetak seorang lelaki dalam kejadian di Bandar Baru Farlim, Ayer Itam, Pulau Pinang pukul 11.30 malam tadi.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, mangsa yang berusia 29 tahun itu mengalami luka torehan sepanjang sembilan sentimeter di dahi dan enam sentimeter di bahagian belakang selain mengalami patah pada tulang kepala sebelah kiri.

    Menurutnya, mangsa kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan dilaporkan stabil.

    Menurut beliau, kejadian berlaku ketika mangsa yang bertugas di Balai Polis Bandar Baru, Ayer Itam sedang menjalankan sekatan jalan raya (SJR) bersama beberapa anggota lain sebelum melihat seorang penunggang motosikal sedang melakukan pusingan U berdekatan SJR tersebut.

    “Mangsa dan seorang lagi anggota terus mengekori suspek dan berjaya menahan suspek dalam jarak 150 meter dari lokasi dia membuat pusingan U.

    “Apabila ditahan, suspek mengaku tidak mempunyai lesen memandu menyebabkan dia melakukan pusingan U,” katanya selepas melawat mangsa di HPP hari ini.

    Mohd Shuhaily berkata, ketika mangsa dan rakannya hendak membuat pemeriksaan ke atas motosikal suspek, suspek telah melakukan provokasi menyebabkan berlaku pergelutan.

    Kata beliau, suspek kemudiannya mengambil sebilah pisau dari atas meja salah sebuah rumah teres berhampiran lalu menetak kepala mangsa lalu melarikan diri dengan meninggalkan motosikalnya.

    “Pemeriksaan mendapati, motosikal tersebut didaftarkan di atas seorang lelaki yang sudah meninggal dunia.

    “Pemeriksaan di bawah tempat duduk motosikal menjumpai satu plastik hitam yang mengandungi 30 paket plastik lutsinar mengandungi ketulan dan serbuk warna kuning disyaki dadah jenis heroin (anggaran berat 210 gram).

    “Turut dijumpai satu dompet yang mengandungi sekeping surat jamin polis atas nama suspek melibatkan Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Mohd. Shuhaily berkata, suspek yang berusia 33 tahun berjaya ditahan pukul 3.40 pagi tadi di kawasan Kondominium Sri Kristal di kawasan sama.

    Jelasnya, polis turut berjaya merampas pisau pemotong daging dan suspek kini ditahan di Lokap Ibu pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk proses reman.

    “Suspek berasal dari Bagan Serai, Perak dan mempunyai empat rekod dadah, malah ujian saringan air kencingnya juga positif dadah.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Pesara maut dirempuh pemandu mabuk kerana tegur buat bising

    Pesara maut dirempuh pemandu mabuk kerana tegur buat bising

    SEORANG pesara berusia 57 tahun maut akibat dilanggar kereta dipandu lelaki dipercayai mabuk selepas menegur suspek agar tidak membuat bising, dalam kejadian di Kampung Padang, Jalan Pokok Mangga, di Melaka, awal pagi kelmarin.

    Mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 2.04 petang semalam selepas bertarung nyawa kira-kira 11 jam di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka, akibat pendarahan dalaman kepala, selain kecederaan pada badan dan kaki.

    Menurut anak mangsa, sebelum kejadian iaitu kira-kira 12 tengah malam, dua lelaki minum arak dalam sebuah kereta di parkir belakang sebuah restoran di Plaza Pandan Malim.

    “Kira-kira pukul 2.40 pagi saya dan ayah terjaga dari tidur selepas terdengar bunyi muzik membingitkan dari arah kawasan parkir itu.

    “Ayah kemudian pergi menegur mereka dengan baik sebelum kedua-dua lelaki itu beredar meninggalkan kawasan terbabit,” katanya ketika ditemui hari ini, lapor Berita Harian.

    Anak mangsa mendakwa, kira-kira 10 minit kemudian, kedua-dua lelaki terbabit datang semula dengan menaiki kereta sama sambil memasang muzik yang lebih kuat sebelum beredar meninggalkan kawasan itu.

    “Baru saja hendak baring, mereka sekali lagi datang membuat bising beberapa minit selepas itu membuatkan saya dan ayah keluar untuk meminta kedua-dua lelaki itu beredar.

    “Namun, secara tiba-tiba kereta itu cuba merempuh saya, tapi mujur saya sempat mengelak dan berlari ke belakang sebuah restoran 24 jam di bangunan plaza berkenaan.

    “Saya kemudian lihat kereta itu berpusing dan menuju ke arah bapa yang tidak sempat mengelak dan hanya mampu berpaut di atas bonet hadapan dan terseret sejauh kira-kira 20 meter ke arah belakang kedai,” katanya.

    Menurutnya, dia menjerit meminta tolong dan berkejar ke arah ayahnya yang terjatuh dan berlumuran darah di belakang kepala, dipercayai akibat terhantuk pada tebing batu longkang sebelum kedua-dua lelaki itu terus memecut kenderaan dan meninggalkan lokasi.

    Katanya, berikutan awal pagi, tiada jiran menyedari kejadian dan dalam keadaan panik itu dia segera menghubungi ambulans yang membawa ayahnya ke Hospital Melaka.

    Jenazah arwah yang juga bapa kepada tujuh anak akan disembahyangkan di Masjid Kampung Padang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi berkata, hasil siasatan, pihaknya memberkas lelaki berusia 28 tahun yang direman tujuh hari mulai semalam dan masih mengesan seorang lagi lelaki tempatan berusia 27 tahun bagi membantu siasatan kes ini

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Lagi penjawat awam ditahan kes rasuah tengah laut

    Lagi penjawat awam ditahan kes rasuah tengah laut

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG lelaki berusia 34 tahun ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta dan menerima rasuah daripada pemilik bot serta ‘runner’ di laut.

    Sumber memaklumkan, tindakan meminta dan menerima rasuah itu dipercayai sebagai balasan untuk pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap bot-bot nelayan yang melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.

    Difahamkan kegiatan rasuah itu berlaku antara 2015 hingga 2022.

    “Suspek yang ditahan merupakan pegawai kanan di sebuah agensi kerajaan di Langkawi.

    “Dia ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kedah, Alor Setar kira-kira pukul 9.30 pagi semalam,” katanya.

    Sumber memaklumkan, penahanan suspek dibuat susulan satu operasi khas dikenali sebagai Op Tunda di Kedah.

    Semalam seramai 10 individu termasuk seorang wanita terdiri daripada lima penjawat awam dan lima orang awam berusia 26 hingga 57 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes berkaitan.

    Sumber itu menambah, suspek terbaharu yang ditahan dibenarkan direman selama lima hari oleh Mahkamah Majistret Alor Setar bermula hari ini.

    “Perintah tahanan reman tersebut dikeluarkan Majistret, Nurshahida Abd. Rahim di Mahkamah Majistret Alor Setar,” katanya.

    Dalam pada itu Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

    “Kes itu masih disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009,” katanya.

  • Polis buru lima lelaki pukul rakan sampai mati

    Polis buru lima lelaki pukul rakan sampai mati

    POLIS sedang mengesan lima individu disyaki memukul seorang lelaki sehingga mati di sebuah kondominium di Taman Perindustrian Bukit Serdang di sini pagi semalam.

    Ketua Polis Daerah Serdang ACP A.A Anbalagan berkata pihaknya menerima laporan kejadian daripada adik perempuan mangsa pada 5.29 petang.

    Beliau berkata adik perempuan mangsa mengetahui perkara itu melalui panggilan telefon teman wanita abangnya yang memberitahu abangnya dipukul lima lelaki di dalam kondominium yang disewanya sebelum dibawa keluar ke lokasi lain.

    “Pengadu (adik perempuan mangsa) menerima panggilan telefon pada 7.15 pagi dan pada 11.30 pagi suspek utama telah menghubunginya memaklumkan abangnya berada di bahagian kecemasan Hospital Cyberjaya.

    “Pengadu kemudian pergi ke Hospital Cyberjaya dan dimaklumkan bahawa abangnya telah meninggal dunia akibat kecederaan teruk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Anbalagan berkata mangsa yang berusia 31 tahun mengalami kecederaan di mata, hidung dan pendarahan di kedua-dua belah telinga serta punca kematian adalah akibat dipukul menggunakan objek tumpul.

    “Berdasarkan siasatan awal, motif pembunuhan dipercayai akibat dendam dan cemburu oleh seorang daripada suspek terhadap mangsa. Polis sedang mengesan kesemua suspek yang merupakan rakan mangsa dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh,” katanya. – BERNAMA

  • Bot nelayan tempatan langgar syarat lesen ditahan

    Bot nelayan tempatan langgar syarat lesen ditahan

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan sekitar pukul 7.55 petang semalam selepas didapati menangkap ikan di luar zon dibenarkan.

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot nelayan tempatan kelas B1 itu ditahan Maritim Malaysia ketika rondaan OP PERTIWI dan OP TANJUNG sewaktu sedang melakukan aktiviti menangkap ikan.

    Katanya, bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Kuala Kurau, Perak itu ditahan pada kedudukan sekitar 6.6 batu nautika barat daya Pulau Kendi iaitu kurang lapan batu nautika dari pantai mengikut syarat sah lesen.

    “Hasil pemeriksaan mendapati, bot dikendalikan oleh seorang tekong dan empat kru warga tempatan berumur di antara 38 hingga 63 tahun.

    “Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di Kawasan yang tidak dibenarkan mengikut syarat lesen iaitu kurang lapan batu nautika dari Pulau Kendi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Bot dikendalikan oleh seorang tekong dan empat kru warga tempatan berumur di antara 38 hingga 63 tahun.

    Menurut Abd. Razak, bot serta kesemua kru ditahan termasuk 200 kilogram hasil laut sebelum dibawa ke Jeti Limbongan Batu Maung sebelum diserahkan kepada Pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

    Dalam pada itu, beliau menegaskan, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia.

    Jelasnya, sebarang aduan, salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

    “Penahanan kes berkenaan adalah sebahagian daripada peranan dan tanggungjawab Maritim Malaysia.

    “Bagi memahami lebih dekat tugas yang dilaksanakan oleh agensi ini, seluruh rakyat Malaysia dialu-alukan untuk menyaksikan Filem Coast Guard Malaysia : Ops Helang yang masih ditayangkan di pawagam seluruh negara,” katanya.

  • SPRM reman 6 individu berkait kes rasuah pemilik bot

    SPRM reman 6 individu berkait kes rasuah pemilik bot

    SEORANG wanita menangis teresak-esak ketika dibawa ke Mahkamah Majistret George Town, Pulau Pinang hari ini bagi mendapatkan perintah tahanan reman berkait siasatan dakwaan meminta dan menerima rasuah daripada pemilik bot serta ‘runner’ sejak tujuh tahun lalu.

    Wanita itu merupakan antara enam individu termasuk empat penjawat awam yang direman lima hari bagi membantu siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Perintah reman ke atas kesemua suspek termasuk seorang wanita berusia antara 36 hingga 56 tahun itu dikeluarkan Majistret Azlan Basri.

    Suspek yang terdiri daripada penguat kuasa agensi di laut itu dikatakan meminta rasuah supaya tiada tindakan undang-undang diambil ke atas bot-bot nelayan yang melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.

    Menurut sumber, seramai tujuh individu termasuk seorang wanita ditahan semalam di sekitar Pulau Pinang antara pukul 9 pagi hingga 10 malam.

    Bagaimanapun, seorang suspek lelaki dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas kenyataannya direkodkan.

    Terdahulu, SPRM menahan 17 individu termasuk sembilan penjawat awam di Kedah dan Pulau Pinang kerana disyaki meminta dan menerima rasuah daripada pemilik bot serta ‘runner’ sebagai balasan melindungi serta tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas bot-bot nelayan yang melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 bagi tempoh antara 2015 hingga 2022.

    Menerusi Op Tunda itu, seramai 10 individu termasuk seorang wanita terdiri daripada lima penjawat awam dan lima orang awam berusia antara 26 hingga 57 tahun ditahan di sekitar Perlis, Kedah, Perak, Johor dan Kuala Lumpur antara pukul 9 pagi hingga 1 tengah hari semalam.

  • Dua lelaki ditahan bersama syabu bernilai lebih RM114,000

    Dua lelaki ditahan bersama syabu bernilai lebih RM114,000

    POLIS menahan dua lelaki bersama dadah jenis syabu seberat 3.16 kilogram bernilai RM114,668 dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Tanjung Kling pada 23 Feb lepas.

    Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata suspek berusia 24 dan 35 tahun itu ditahan dalam serbuan kira-kira 3.30 pagi di sebuah premis dipercayai menjadi tempat tinggal dan kegiatan pembungkusan dadah.

    Beliau berkata polis turut menyita barang kemas bernilai RM 21,763 dan wang tunai RM13,000.

    “Berdasarkan risikan hasil maklumat awam, sindiket ini dipercayai telah bergiat aktif sejak Jun tahun lepas dan dadah yang dirampas adalah bagi pasaran Batu Pahat serta Johor Bahru untuk kegunaan 15,820 penagih dadah.

    “Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek berkenaan tidak bekerja dan turut mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan di Melaka hari ini.

    Zainol berkata hasil saringan awal ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphethamine.

    Menurutnya, suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Tiga warga Thailand mengaku seludup diesel didenda RM30,000

    Tiga warga Thailand mengaku seludup diesel didenda RM30,000

    TIGA lelaki warga Thailand masing-masing didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Kangar hari ini selepas mengaku bersalah menyeludup keluar bahan api bersubsidi diesel di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Padang Besar pada November tahun lepas.

    Hakim Musyiri Peet menjatuhkan hukuman itu ke atas Theerapong Wongyai, 26, Anan Pusu, 29, dan Amnuaprasit Chaiwichit, 43, dan memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara 18 bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

    Pada 29 November tahun lalu, Theerapong dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan memasukkan 69 liter minyak diesel ke dalam tangki kenderaan jenis Nissan Navara dengan tujuan membawa keluar bahan kawalan itu ke Thailand sekitar 11.30 pagi pada 26 November 2022.

    Sementara Anan dituduh cuba membawa keluar 70 liter diesel menggunakan kenderaan Toyota Hilux Vigo pada 12.45 tengah hari, 25 November dan Amnuaprasit dituduh cuba membawa keluar 41 liter diesel menggunakan kenderaan Ford Ranger pada 11.40 pagi, 26 November.

    Kesalahan dilakukan mengikut Subperaturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Eksport) 2011 dan boleh dihukum mengikut Perenggan 5 (a) peraturan sama.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Syazwani Zawawi.

  • Lelaki parah diserang 6 lelaki bersenjatakan parang

    Lelaki parah diserang 6 lelaki bersenjatakan parang

    SEORANG lelaki cedera parah selepas diserang enam lelaki bersenjatakan parang dalam satu kejadian rusuhan di sebuah kedai makan di Jalan Senai Utama, Kulai, pukul 1.30 petang kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, mangsa, 44, mengalami kecederaan di kepala dan perut telah dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

    “Bertindak atas maklumat, pihak polis berjaya menahan enam lelaki tempatan berusia 23 hingga 42 tahun bagi membantu siasatan.

    “Siasatan awal mendapati punca rusuhan itu adalah disebabkan berlaku perselisihan faham antara mangsa dan kumpulan suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Pihaknya masih mencari beberapa individu yang dipercayai turut terlibat dalam insiden berkenaan.

    Semua suspek katanya, kini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Kesesakan iaitu merusuh menggunakan senjata.

    Menurut Beng Yeow, mangsa kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

    “Mana-mana saksi yang melihat kejadian itu diminta tampil memberikan maklumat kepada IPD Kulai atau menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohammad Azri di talian 010-7647789,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • SPRM tahan pesara kerajaan kemuka invois palsu RM36,000

    SPRM tahan pesara kerajaan kemuka invois palsu RM36,000

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang pesara kerajaan selepas dipercayai mengemukakan dua invois palsu berjumlah RM36,000, hari ini.

    Dua invois yang mempunyai butiran matan palsu itu dilaporkan diserahkan kepada sebuah pejabat daerah pada 2019.

    Suspek lelaki berusia 61 tahun itu mengemukakan invois berhubung pembekalan makanan dan minuman kepada petugas di sebuah Kompleks Sukan Keningau sempena Sukan SAGA IX Keningau, mulai 5 hingga 13 Disember 2019, sedangkan pembekalan itu tidak dibuat.

    Menurut sumber, suspek ditahan di pejabat SPRM Sabah cawangan Keningau, kira-kira pukul 10 pagi tadi.

    Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan suspek dijangka dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Berita Harian.

    Sementara itu, beliau juga mengingatkan kepada penjawat awam supaya tidak mengemukakan sebarang dokumen palsu dalam urusan tuntutan program kerajaan kerana merupakan kesalahan serius.