Category: Jenayah

  • 451kg dadah bernilai RM14.9 juta dirampas

    451kg dadah bernilai RM14.9 juta dirampas

    SATU sindiket pengedaran dengan rampasan dadah bernilai RM14.9 juta tumpas di Rawang kelmarin.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sepasukan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berjaya menangkap dua lelaki berumur 22 dan 33 tahun di kawasan Rawang, Selangor, kelmarin.

    “Tangkapan pada pukul 12.55 tengah hari itu berjaya merampas 10 guni putih yang mengandungi sejumlah 503 bungkusan plastik berwarna keemasan yang tertera tulisan ‘Freeze-dried Durian’ dalam sebuah kenderaan jenis Nissan Navara.

    “Bungkusan terbabit disyaki mengandungi dadah jenis Methamphetamine seberat kira-kira 451 kilogram,” katanya dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan (tiga dari kanan) bersama pegawainya mengadakan sidang media kejayaan polis selangor menumpaskan sindiket pengedaran dadah, rompakan di Ambank Setia Alam dan kes bunuh warga asing di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Katanya, kedua-dua suspek yang ditahan dipercayai berperanan sebagai ‘transporter’ yang membawa dadah dari negara jiran melalui Kelantan ke Selangor.

    Bekalan dadah yang dirampas itu katanya, boleh dibekalkan kepada 2.1 juta pengguna dadah jenis syabu dalam masa sehari dengan mengambil kira penggunaan harian sebanyak 0.2 gram seorang.

    Hussein berkata, kedua-dua suspek dipercayai bergiat aktif sejak tiga bulan lalu dengan menerima upah sebanyak RM10,000.

    Sebahagian daripada dadah jenis Methamphetamine dengan anggaran berat 451 kilogram bernilai RM14.9 juta yang dirampas selepas polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah ketika Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Jelas beliau, semakan terhadap kedua-dua suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu mendapati mereka mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 39A(1), 12(2), 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

    “Tindakan juga akan diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengesan dan menyita harta-harta yang diperoleh daripada hasil aktiviti pengedaran dadah.

    “Suspek ditahan reman selama tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bermula 1 hingga 7 Mac ini.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Ini merupakan rampasan kedua terbesar pada tahun ini dan terbesar di Selangor,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan.

  • 3 suspek letup mesin ATM ditahan, 2 dicekup ketika ‘cuci’ wang

    3 suspek letup mesin ATM ditahan, 2 dicekup ketika ‘cuci’ wang

    TIGA lelaki tempatan disyaki terbabit dalam kes letupan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank di Setia Alam dekat Shah Alam, pada 23 Februari lalu berjaya ditahan polis.

    Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, ketiga-tiga suspek itu ditahan Selasa lalu, di tiga lokasi berasingan di sekitar Kuang, Gombak dan Meru, Klang.

    Dalam kejadian rompakan itu, ketiga-tiga suspek bertindak meletupkan dua mesin ATM dan melarikan wang tunai berjumlah RM267,150 dalam satu daripada mesin berkenaan.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Seorang suspek berusia 43 tahun yang dipercayai dalang ditahan di bengkel tempatnya bekerja selain polis turut merampas sebuah tong gas yang mempunyai tompokan hijau yang dipercayai digunakan untuk meletupkan mesin ATM.

    “Dua suspek yang berusia 30 dan 33 tahun pula ditahan di rumah masing di Meru yang mana ketika serbuan dilakukan, mereka sedang mencuci wang hasil rompakan dengan menggunakan cecair peluntur,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

    Husein berkata, suspek dipercayai meletupkan mesin berkenaan dengan memasukkan gas ke ruang pengeluaran wang yang diumpil.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan (tiga dari kanan) bersama pegawainya mengadakan sidang media kejayaan polis selangor menumpaskan sindiket pengedaran dadah, rompakan di Ambank Setia Alam dan kes bunuh warga asing di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Katanya, kerugian keseluruhan berjumlah RM327,150 membabitkan wang tunai berjumlah RM267,150 serta dua ATM yang rosak.

    Mengulas lanjut, Hussein berkata, semakan polis mendapati ketiga-tiga lelaki tempatan itu mempunyai rekod lampau sabit jenayah dan dadah.

    Katanya, polis kini sedang melengkapkan siasatan kes berkenaan seterusnya akan merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan pendakwaan.

    “Susulan penahanan tiga suspek itu, kita juga berjaya menyelesaikan dua lagi kes letupan ATM milik bank yang sama yang berlaku di Meru pada Disember 2020 dan Februari tahun lalu.

    “Semua suspek direman tujuh hari sehingga 7 Mac ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 436/379 Kanun Keseksaan.

  • Lagi pegawai kanan agensi kerajaan ditahan kes rasuah di laut

    Lagi pegawai kanan agensi kerajaan ditahan kes rasuah di laut

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG lagi suspek ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kedah kerana disyaki meminta dan menerima rasuah daripada pemilik bot serta ‘runner’ di laut.

    Sumber memaklumkan, lelaki berusia 37 tahun yang ditahan itu bertugas sebagai pegawai kanan sebuah agensi kerajaan di Johor.

    Katanya, dia ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kedah kira-kira pukul 2.45 pagi tadi.

    “Rasuah tersebut dipercayai sebagai balasan melindungi serta tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap bot nelayan yang melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 bagi tempoh antara 2015 hingga 2022.

    “Penahanan suspek merupakan susulan kepada Op Tunda di Kedah. Tangkapan terbaru ini menjadikan secara keseluruhannya 13 individu ditahan terdiri daripada tujuh penjawat awam dan lima orang awam,” katanya.

    Tambahnya, Mahkamah Majsitret Alor Setar hari ini membenarkan agar suspek direman selama lima hari bermula hari hingga 6 Mac depan.

    “Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret, Zul Hilmi Latif di Mahkamah Majistret Alor Setar, hari ini,” katanya.

    Sementara itu Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut namun enggan mengulas lanjut.

    “Siasatan masih berjalan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009,” katanya.

  • Profesor direman lima hari disyaki seleweng RM30,000

    Profesor direman lima hari disyaki seleweng RM30,000

    SEORANG timbalan pengarah di sebuah universiti awam direman lima hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan dakwaan menyalahgunakan jawatan dan kedudukannya untuk mengambil wang lebih RM30,000 hasil keuntungan program konferensi antarabangsa anjuran universiti berkenaan. 

    Perintah reman terhadap lelaki berusia lingkungan 40-an itu dikeluarkan Majistret Nur Faizah Abdul Sani setelah membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Lelaki itu itu ditahan pada pukul 3.30 petang semalam di pejabat SPRM Selangor ketika hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

    Menurut sumber, individu itu dikatakan membuat keputusan sendiri untuk memasukkan wang keuntungan tersebut ke dalam akaun bank peribadi miliknya dan kejadian itu berlaku pada Ogos 2021.

  • Lelaki bakar rumah keluarga, berang dilapor penglibatan dadah

    Lelaki bakar rumah keluarga, berang dilapor penglibatan dadah

    BERANG selepas mengesyaki ahli keluarga melaporkan penglibatannya dalam aktiviti dadah, seorang lelaki bertindak membakar rumah keluarganya di Skim Penempatan Semula Kampung Sungai Alo di Mukah malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias dalam kenyataan berkata kejadian kira-kira 7.40 malam itu menyebabkan 12 penghuni termasuk suspek telah kehilangan tempat tinggal.

    “Suspek yang merupakan penganggur berusia 30 tahun dikatakan memulakan kebakaran itu di bahagian belakang rumah tersebut. Pada lebih kurang 7.40 malam pemilik rumah yang juga abang kepada suspek telah terdengar suspek memanggil keluar ahli keluarganya untuk keluar memadamkan api.

    “Apabila mangsa dan semua ahli keluarga keluar dari rumah, mereka mendapati bahagian belakang rumah telah terbakar dan api sedang merebak. Kesemua mereka dapat menyelamatkan diri tetapi tidak dapat menyelamatkan apa-apa barang peribadi di dalam rumah tersebut,” katanya.

    Suspek yang disyaki berada di bawah pengaruh dadah kemudiannya ditahan oleh ahli keluarganya dan orang awam sebelum diserahkan kepada pihak polis.

    Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Mukah berjaya memadamkan api namun rumah tersebut musnah keseluruhannya.

    Suspek yang mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata kini direman untuk siasatan lanjut.

  • Pasangan suami isteri edar dadah ditahan, sepucuk pistol dirampas

    Pasangan suami isteri edar dadah ditahan, sepucuk pistol dirampas

    SEPASANG suami isteri masing-masing berusia 46 dan 43 tahun yang dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah ditahan polis dalam dua serbuan di Gelugor, Pulau Pinang pada 23 Februari lalu.

    Dalam serbuan di sebuah apartment bermula pukul 11.45 malam itu, polis turut merampas pelbagai jenis dadah jenis syabu bernilai RM30,900 bersama sepucuk pistol serta lima butir peluru.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, suspek lelaki berusia 46 tahun ditahan di kawasan bawah sebuah apartment yang mana polis merampas dua paket syabu seberat 51 gram(g) bernilai RM5,100 bersamanya.

    Jelas beliau, berpandukan lelaki itu, polis kemudian menyerbu sebuat unit apartment dan menahan isterinya serta merampas syabu bernilai RM25,800.

    “Hasil pemeriksaan lanjut di rumah itu, polis menemui sepucuk pistol jenis revolver .38 S&W special CTG dan lima butir peluru hidup.

    “Senjata ini telah dihantar untuk ujian balistik bagi mengesan sama ada ia pernah digunakan bagi kegiatan jenayah,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

    Menurut beliau, pasangan suami isteri itu didapati aktif menjalankan kegiatan mengedar dadah sejak pertengahan tahun lepas.

    Katanya, siasatan mendapati mereka mendapatkan bekalan dadah daripada rangkaian sindiket sebelum membungkusnya semula dan menjual kepada pelanggan di sekitar George Town.

    “Dadah yang dirampas ini jika terlepas ke pasaran boleh digunakan oleh 3,040 penagih,” katanya.

    Ujar beliau, pasangan suami isteri yang juga penganggur itu direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dengan suspek lelaki didapati positif dadah selain turut mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah.

  • Sarjan ditahan disyaki minta rasuah

    Sarjan ditahan disyaki minta rasuah

    SEORANG anggota polis berpangkat sarjan dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut ditahan untuk siasatan berhubung kes rasuah.

    Suspek berusia 35 tahun ditahan selepas hadir memberi keterangan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Temerloh pukul 11.15 malam tadi.

    Lelaki tersebut dibawa ke Mahkamah Majistret Temerloh hari ini untuk perintah reman.

    Majistret Tuan Mohamed Shah Reza Noor Azman membenarkan perintah reman terhadap suspek selama tujuh hari bermula hari ini hingga 8 Mac ini.

    Suspek didakwa meminta rasuah RM1,000 sebagai dorongan untuk tidak lagi mengambil tindakan terhadap anak kepada seorang lelaki yang telah dijatuh hukum atas kesalahan pertama menyalahgunakan ketum.

    Pengadu mendakwa dihubungi sarjan itu pada 28 Februari lalu ketika dia berada di Mahkamah Jerantut atas urusan pembayaran wang denda anaknya itu.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

  • Lelaki maut disyaki ditikam

    Lelaki maut disyaki ditikam

    SEORANG lelaki maut dipercayai ditikam menggunakan objek tajam dalam kejadian di Hadapan Medan Selera Cina Pekan Lukut, di Port Dickson, semalam.

    Pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 7.35 malam daripada orang awam.

    Timbalan Ketua Polis daerah Port Dickson, Deputi Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, pihak polis bergegas ke tempat kejadian dan mendapati seorang lelaki terbaring di atas jalan iaitu di kawasan parkir dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah.

    “Lelaki itu bagaimanapun, disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan Lukut yang berada di lokasi kejadian.

    “Mayat lelaki berusia 38 itu telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk ujian Covid-19 dan proses bedah siasat bagi menentukan sebab kematian simati,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Ujarnya, motif kejadian masih dalam siasatan dan pihak polis kini giat untuk mengesan suspek yang terlibat.

    “Siasatan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Justeru katanya, pihak polis memohon kepada orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini agar tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson untuk membantu siasatan atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson di talian 06-6472222.

  • PDRM siasat ‘skim pelaburan’ kutip RM6.7 juta

    PDRM siasat ‘skim pelaburan’ kutip RM6.7 juta

    POLIS sedang menyiasat sebuah skim pelaburan dikenali sebagai ‘Sencapital’ yang dikesan aktif menjalankan penipuan di seluruh negara hingga melibatkan kerugian kira-kira RM6.7 juta setakat ini.

    Pihak polis menerima sejumlah 42 laporan mengenai kegiatan skim terbabit yang menawarkan pelaburan berasaskan pembelian saham.

    Menurut Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin, skim yang dipercayai aktif sejak tahun lalu itu menawarkan pelaburan berasaskan pembelian saham.

    “Pelabur berminat akan dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp yang dinamakan sebagai ‘JP Morgan Business School’.

    “Pelabur kemudiannya diminta mendaftar dan membeli saham ditawarkan melalui laman sesawang http://sencapital.xyz. Bagi tujuan pembayaran, pelabur diminta melakukan pindahan wang ke beberapa akaun syarikat berbeza,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Namun Noorsiah berkata, laman sesawang itu tidak lagi aktif sejak Februari lalu menyebabkan pelabur tidak dapat mengeluarkan wang yang telah dilaburkan.

    “Sehingga kini kita telah menerima 42 laporan dengan nilai kerugian keseluruhan berjumlah RM6,718,395.70. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Beliau turut menggesa mana-mana individu yang mungkin menjadi mangsa sindiket terbabit agar tampil membuat laporan polis.

    “Dalam usaha membanteras kegiatan penipuan seperti ini, kita ingin mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan melakukan semakan secara terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan atau simpanan yang menjanjikan keuntungan lumayan.

    “Dapatkan maklumat lanjut daripada sumber seperti Semak Mule, Alert List Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) sebelum membuat keputusan untuk menyertai skim pelaburan meragukan,” katanya, lapor FMT.

  • Seleweng lebih RM30,000 masuk akaun sendiri, profesor ditahan SPRM

    Seleweng lebih RM30,000 masuk akaun sendiri, profesor ditahan SPRM

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan seorang Timbalan Pengarah di sebuah universiti awam kerana disyaki menyalahgunakan jawatan dan kedudukannya untuk mengambil wang berjumlah lebih RM30,000 hasil keuntungan program konferensi antarabangsa anjuran institusi berkenaan. 

    Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu merupakan profesor gred Jusa C ditahan pada  jam 3.30 petang hari ini di Pejabat SPRM Selangor ketika hadir memberi keterangan.

    Katanya, dalam kejadian yang berlaku pada Ogos 2021 itu, suspek dikatakan membuat keputusan sendiri untuk memasukkan wang keuntungan tersebut ke dalam akaun bank peribadi miliknya.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

    Beliau berkata suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam pagi esok bagi mendapatkan permohonan reman. – BERNAMA