Category: Jenayah

  • Kes Musa Hassan, polis buka kertas siasatan

    Kes Musa Hassan, polis buka kertas siasatan

    POLIS membuka kertas siasatan berhubung kejadian membabitkan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan isterinya, yang rakaman video berkenaan tular di media sosial sejak semalam.

    Perkara itu disahkan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim.

    Menurutnya, kertas siasatan itu akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut dalam masa terdekat.

    “Saya sahkan kita (polis) terima laporan dan kertas siasatan sudah dibuka.

    “Kita akan rujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya sebaik sahaja siasatan selesai dalam masa terdekat,” katanya, lapor Astro AWANI di sini hari ini.

    Difahamkan kedua-dua pihak sudah dipanggil untuk memberi keterangan.

    Sebelum ini, tiga rakaman video berdurasi sembilan saat, 56 saat dan 10 saat dimuat naik pengguna Twitter memaparkan pertelingkahan antara sepasang suami isteri yang turut disaksikan seorang kanak-kanak.

    Susulan itu, Musa menerusi ciapannya di Twitter meminta orang ramai supaya menghormati privasi dan tidak mencampuri urusan keluarganya.
    Beliau turut mengesakan, mereka yang membuat spekulasi akan berhadapan dengan tindakan undang-undang.

  • Polis tahan lelaki potong, lerai kenderaan terbiar di tempat parkir

    Polis tahan lelaki potong, lerai kenderaan terbiar di tempat parkir

    POLIS berjaya menahan seorang lelaki berusia 33 tahun selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan memotong dan meleraikan komponen kenderaan lama yang terbiar di tempat parkir Sabtu lalu.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, suspek berusia 33 tahun itu ditangkap di tempat letak kenderaan berhampiran Taman Medan pukul 12.30 tengah hari.

    Katanya, ketika ditahan suspek sedang sibuk mengangkat beberapa komponen kenderaan ke dalam sebuah lori.

    “Polis turut merampas sebuah lori serta beberapa peralatan untuk memotong komponen kenderaan.

    “Hasil pemeriksaan lanjut terhadap nombor enjin serta nombor chasis kenderaan yang telah dileraikan tersebut mendapati kedua-dua komponen itu telah diganggu dan tidak sempurna,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, hari ini.

    Menurut beliau, modus operandi suspek adalah dengan memotong serta meleraikan kenderaan model lama yang ditinggalkan terlalu lama di kawasan Taman Medan sebelum dileraikan dan menjual semula komponen kenderaan terbabit.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid (kiri) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian daripada komponen kenderaan lama yang dirampas selepas berjaya menahan seorang suspek yang terlibat dalam kegiatan memotong dan meleraikan kenderaan lama ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPD) Petaling Jaya, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

    “Suspek juga gagal memberikan keterangan berkaitan kenderaan yang telah dileraikan serta gagal menyerahkan sebarang dokumen berkaitan kenderaan tersebut,”

    Tanbahnya, semakan mendapati suspek mempunyai enam rekod berkaitan kes dadah.

    Dalam kes berasingan, polis juga berjaya memberkas seorang lelaki yang diburu kerana mencuri kereta sejak tujuh tahun lalu.

    Suspek ditahan dalam satu serbuan di sebuah kediaman di Jalan Wawasan, Puchong, pada 1 Mac lalu.

    “Hasil serbuan dan pemeriksaan di dalam rumah suspek, polis berjaya merampas empat kenderaan lama iaitu dua Proton Wira, dan masing-masing sebuah Proton Perdana dan Proton Saga yang ditemui disembunyikan di belakang rumah suspek itu.

    “Pemeriksaan lanjut terhadap salah sebuah kenderaan jenis Proton Wira oleh pasukan polis mendapati kenderaan itu telah dilaporkan hilang di Serdang.

    “Pemeriksaan ke atas tiga lagi kenderaan mendapati kesemua nombor casis serta enjin tidak sempurna dan sudah diganggu,” katanya.

    Menerusi soal siasat, suspek  mengaku mencuri serta menyembunyikan sebuah kenderaan lama jenis Perodua Kancil yang dicuri pada 2017 di kawasan Sungai Way.

    “Semakan polis juga mendapati suspek memiliki sebanyak 26 rekod lampau kesalahan jenayah berkaitan kes jenayah curi kenderaan serta dadah,” katanya, lapor Utusan TV.

  • Biadab! Dinding masjid diconteng perkataan menghina

    Biadab! Dinding masjid diconteng perkataan menghina

    Oleh RIZQI ZABIDI

    UMAT Islam di Bandar Laguna Merbok, Sungai Petani digemparkan dengan tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang menconteng dinding Masjid Andalusi di situ dengan tulisan menghina, pagi semalam.

    Difahamkan kejadian itu disedari seorang pengawal keselamatan yang bertugas di bangunan berdekatan apabila dia terlihat seorang lelaki menconteng tembok itu menggunakan cat semburan berwarna merah.

    Pengawal keselamatan itu kemudiannya menegur tindakan lelaki tersebut namun dia segera melarikan diri sebelum ditahan.

    Seorang penduduk di kawasan itu, Halim Mat Yatim, 49 berkata, tindakan biadab itu tidak harus dibiarkan dengan pihak berkuasa diminta segera mengambil tindakan.

    “Saya difahamkan pihak pengurusan masjid telah membuat laporan polis dan pihak berkuasa diminta mengambil tindakan tegas terhadap pelaku.

    “Ini kejadian pertama yang berlaku di sini. Tindakan ini tidak seharusnya dibiarkan kerana selama ini penduduk di sini hidup dalam keadaan aman damai meskipun rakyat di sini terdiri daripada pelbagai kaum,” katanya.

    Sementara itu tinjauan Warta Rakyat di lokasi hari ini mendapati tulisan tersebut sudah pun dipadam.

  • Suami isteri aktif edar dadah ditahan, pelbagai dadah hampir RM300,000 dirampas

    Suami isteri aktif edar dadah ditahan, pelbagai dadah hampir RM300,000 dirampas

    POLIS Pulau Pinang menahan sepasang suami isteri berusia 42 dan 46 tahun yang aktif mengedar pelbagai jenis dadah dalam serbuan di Gelugor, Ahad lalu dan merampas pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM282,464.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pasangan tersebut ditahan di tepi jalan di pukul 12 tengah hari yang mana ketika itu, polis turut menemukan satu peket plastik dadah syabu seberat 310 gram bernilai RM31,000 bersama suspek wanita.

    Jelasnya, hasil soal siasat dan dipandu arah oleh suspek, polis kemudian menyerbu sebuah kondominium di Gelugor dan menjumpai sejumlah dadah yang disimpan di situ.

    Antaranya, kata beliau, sebanyak tujuh peket plastik setiap satu berisi dadah syabu seberat 6,48 kilogram (kg) bernilai RM233,604 dan sembilan ketulan mampat daun-daun kering ganja setiap satu dibalut dengan plastik lutsinar seberat 6,28 kg.

    Selain itu, ujarnya, turut ditemukan adalah sebanyak lima peket plastik lutsinar setiap satu berisi daun-daun kering ganja seberat 856 gram dengan nilai keseluruhan RM17,860.

    “Pasangan ini mempunyai rumah sendiri di Batu Uban, namun mereka menyewa kondominium tersebut dengan harga RM1,300 sebulan untuk dijadikan tempat penyimpanan serta pembungkusan semula dadah-dadah berkenaan sebelum dijual,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, di Georgetown hari ini.

    Tambah Soffian, siasatan awal mendapati, kegiatan mengedar dadah itu hanya dilakukan oleh si suami, namun diambil alih isterinya selepas dia menghidap penyakit kronik seperti kencing manis, penyakit jantung dan buah pinggang.

    Jelasnya, pasangan suami isteri yang merupakan penganggur dan tidak mempunyai anak itu mengedar dadah kepada pembeli di sekitar negeri ini menggunakan motosikal.

    Katanya, hasil saringan air kencing ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka positif dadah dan turut mempunyai rekod kesalahan lampau bersabit kes dadah.

    “Ujar beliau, kes itu disiasat di bawah seksyen 39 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kedua-dua suspek ditahan reman bermula 6 Mac hingga 12 Mac ini,” katanya.

    Tambah beliau, tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (perlucuthakan harta) 1988 yang mana barang kemas yang dianggarkan bernilai RM12,800 dan kenderaaan yang dianggarkan bernilai RM11,000 turut disita.

  • Penggangur menyamar ‘rider’ ragut pejalan kaki ditahan polis

    Penggangur menyamar ‘rider’ ragut pejalan kaki ditahan polis

    SEORANG penggangur diberkas polis selepas meragut pejalan kaki lelaki di Plaza 33, Petaling Jaya, 22 Februari lalu.

    Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, suspek menggunakan taktik menyamar menjadi penghantar makanan sebelum meragut mangsa di sekitar Petaling Jaya.

    Katanya, suspek juga menggunakan beg dan pakaian penghantar makanan yang disyaki dicuri.

    “Sebelum meragut, suspek juga menukar ‘cover set’ motosikal Yamaha LC 135 yang digunakan dan menukar kepada asal selepas meragut agar sukar dikesan pihak berkuasa,” katanya dalam satu sidang Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, hari ini.

    Tambahnya, suspek berusia 25 tahun ditahan di kawasan perumahan Jalan Gasing Indah pukul 6.30 petang.

    “Hasil soal siasat, suspek mengaku terlibat dalam kes berkenaan dan telah menjual telefon bimbit milik mangsa kepada rakan sepenjenayah,” katanya.

    Susulan polis berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 32 tahun pada pukul 9 malam pada tarikh sama suspek pertama ditangkap.

    “Polis berjaya merampas sebuah telefon bimbit yang disyaki kepunyaan mangsa.

    “Kedua-dua suspek telah direman di bawah Seksyen 117 Kanun,” katanya, lapor Utusan TV.

  • Disyaki bawa masuk 15 pendatang tanpa izin, 3 ‘transporter’ ditahan

    Disyaki bawa masuk 15 pendatang tanpa izin, 3 ‘transporter’ ditahan

    TIGA lelaki ditahan dalam Op Gelombang 2 kerana disyaki menjadi ‘transporter’atau penghantar pendatang tanpa izin di sekitar Jeli dan Gua Musang, Kelantan, Isnin lalu.

    Operasi itu turut menahan 15 pendatang tanpa izin berusia 24 hingga 54 tahun terdiri 12 lelaki dan tiga wanita warga Indonesia.

    Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Khairul Dzaimee Daud, dalam kenyataan berkata mereka dipercayai tiba dari negara jiran melintasi Sungai Golok dan kemudian dipindahkan dengan tiga kenderaan ke rumah penampungan.

    Beliau berkata, berdasarkan maklumat dan risikan selama dua minggu, pasukan operasi mendapati modus operandi sindiket itu adalah masuk melalui laluan udara ke Thailand dari Indonesia dan menyeludup melintasi sempadan Malaysia-Thailand melalui Sungai Golok.

    Khairul berkata, dalang sindiket dipercayai mengenakan bayaran antara RM6,000 hingga RM7,000 bagi setiap pendatang tanpa izin untuk masuk ke Malaysia.

    “Semua pendatang tanpa izin ini kemudian akan dibawa ke destinasi tertentu di luar Kelantan seperti Lembah Klang, Melaka, Pulau Pinang dan Johor Bahru untuk bekerja secara tidak sah manakala pendatang tanpa izin wanita pula mereka dipercayai bekerja sebagai tukang urut atau menawarkan perkhidmatan seks.

    “Siasatan awal mendapati ‘transporter’ tempatan ini menerima upah antara RM150 hingga RM250 bagi setiap pendatang tanpa izin yang diangkut dari sempadan menaiki kenderaan yang ditetapkan,” katanya.

    Khairul berkata, semasa serbuan dilakukan, terdapat ‘transporter’ dan pendatang tanpa izin yang cuba melarikan diri dengan bertindak secara agresif dan memberi ancaman secara fizikal namun tindakan mereka berjaya digagalkan oleh pegawai operasi.

    Beliau berkata, sindiket itu dipercayai aktif sejak Mei 2022 dan menyasarkan pendatang tanpa izin dari Indonesia, Myanmar, Bangladesh dan India yang cuba merebut peluang pekerjaan secara haram di negara ini.

    “Berdasarkan anggaran, seramai 160 pendatang tanpa izin sebulan dibawa masuk oleh sindiket ini menyebabkan kerajaan kerugian hasil sebanyak RM1.7 juta dalam bentuk kutipan levi pekerja asing.

    “Semua pendatang asing ini disyaki melakukan kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007,” katanya.

    Khairul berkata, tiga kenderaan pelbagai jenis dianggar bernilai RM100,000 itu akan disita manakala tiga ‘transporter’ terbabit akan direman bagi membantu siasatan lanjut.

  • SPRM tahan tiga individu termasuk Pengurus Pusat Giat Mara terbabit kes rasuah, salah guna jawatan

    SPRM tahan tiga individu termasuk Pengurus Pusat Giat Mara terbabit kes rasuah, salah guna jawatan

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang menahan tiga individu bagi membantu siasatan berhubung kes salah guna jawatan dan menerima rasuah.

    Tangkapan dilakukan secara berasingan di pejabat SPRM Pahang dan Raub semalam.

    Sinar Harian melaporkan, seorang daripada yang ditahan merupakan pengurus sebuah Pusat Giat Mara di negeri berkenaan.

    Lelaki berusia 39 tahun itu disyaki menyalahgunakan jawatannya dengan mencadangkan syarikat milik adik-beradik isterinya dilantik untuk menjalankan kerja-kerja baik pulih dan bina baharu Program Perumahan Termiskin (PPRT) Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) pada 2021 hingga tahun lalu.

    Nilai keseluruhan bagi kerja-kerja tersebut berjumlah RM38,521.

    Suspek ditahan pada pukul 8.15 malam selepas hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Pahang di Kuantan.

    Susulan penahanan itu, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Kuantan hari ini untuk perintah reman.

    Majistret Fatinah Abu Bakar membenarkan perintah reman ke atas suspek selama tujuh hari sehingga 14 Mac ini.

    Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 23 ASPRM 2009.

    Sementara itu, SPRM turut menahan dua kakitangan di pejabat tanah daerah Raub dan Lipis untuk siasatan kerana disyaki menerima rasuah RM4,000 bagi membantu mempercepatkan proses permohonan permit sebuah syarikat untuk aktiviti pengeluaran pasir Sungai Semantan dan Sungai Jelai.

    Suspek berusia 37 tahun itu ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 17(a) ASPRM 2009 sebelum dilepaskan dengan bon jaminan SPRM.

    Pengarah SPRM Pahang, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim mengesahkan semua tangkapan tersebut.

  • Polis buka dua kertas siasatan kes mafia korporat

    Polis buka dua kertas siasatan kes mafia korporat

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) membuka dua kertas siasatan berhubung artikel ‘Rahsia mafia korporat Malaysia Victor Chin Boon Long’ yang didakwa memperalatkan penguat kuasa tempatan.

    Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) menerima laporan polis berhubung perkara itu pada 25 Mei 2022 dan kertas siasatan dibuka.

    Menurut Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin, menerusi laporan itu ada menyatakan wujud salah laku dan penyelewengan kewangan membabitkan wang berjumlah RM30.7 juta dalam pengurusan syarikat Caely (M) Sdn Bhd (anak syarikat milik Caely Holdings Berhad).

    “Kes itu disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan bagi kesalahan pecah amanah oleh ejen,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Susulan itu, katanya, satu laporan polis dibuat oleh polis pada 21 September lalu untuk siasatan mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan.

    “Ia bagi kesalahan menyebabkan hilangnya keterangan mengenai satu kesalahan dilakukan atau memberi dimaklumkan atau memberi maklumat palsu mengenai kesalahan itu untuk mengelak pesalah daripada hukuman,” katanya, lapor Harian Metro.

    Beliau berkata, kedua-dua kertas siasatan itu sudah dirujuk ke Jabatan Peguam Negara, Putrajaya pada 27 Februari lalu untuk arahan dan keputusan lanjut.

    Terdahulu, satu portal menerbitkan artikel berhubung sekumpulan individu melakukan cubaan merampas syarikat senarai awam Caely Holdings dan sebuah syarikat lain.

    Kemelut perebutan mengakibatkan kejatuhan harga saham malah ia mendakwa turut membabitkan agensi penguatkuasaan, penyiasatan, penahanan dan pembekuan akaun ahli Lembaga Pengarah syarikat itu.

  • Polis tahan 8 individu termasuk seorang berpangkat Datuk, rampas 300kg syabu

    Polis tahan 8 individu termasuk seorang berpangkat Datuk, rampas 300kg syabu

    POLIS menumpaskan sindiket pengedaran dadah dalam lima serbuan berasingan di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan dengan anggaran nilai rampasan dan sitaan berjumlah RM11.2 juta menerusi Op Greyhound, 3 Mac lalu.

    Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Deputi Komisioner Datuk Yahaya Othman berkata, serbuan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan JSJN Kuala Lumpur itu berjaya menahan lapan individu termasuk seorang berpangkat Datuk yang disyaki terlibat dalam sindiket itu.

    Katanya, penahanan lapan individu itu melibatkan tujuh orang lelaki dan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 27 sehingga 61 tahun.

    Sebahagian daripada dadah jenis syabu bernilai RM10.8 juta yang dirampas selepas polis menahan 8 individu termasuk seorang bergelar ‘Datuk’ serta berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah menerusi Op Greyhound ketika Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Menurut beliau, menerusi serbuan itu pihaknya turut merampas 300kg dadah jenis syabu dan 2kg pil ekstasi bernilai RM10.8 juta yang dianggarkan boleh digunakan oleh seramai 600,000 orang penagih dadah.

    Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan sebanyak tujuh buah kenderaan yang dipercayai digunakan untuk mengedar dadah disita menerusi serbuan itu selain barang kemas bernilai RM17,566 dan wang tunai berjumlah RM8,400 dengan nilai keseluruhan sitaan berjumlah RM481,966.

    Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman (tengah) bersama pegawainya menunjukkan salah sebuah kenderaan yang dirampas selepas menahan 8 individu termasuk seorang bergelar ‘Datuk’ serta berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah menerusi Op Greyhound ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Modus operandi sindiket ini adalah dengan mendapatkan bekalan dadah dari Utara semenanjung Malaysia untuk pasaran Lembah Klang dan negara jiran.

    “Bekalan dadah itu dibawa menggunakan kenderaan yang telah diubah suai bagi tujuan mengaburi pihak berkuasa,” katanya pada satu sidang media di Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Kuala Lumpur.

    Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman. GAMBAR: Warta Rakyat

    Jelas beliau lagi, kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 4 Mac sehingga 10 Mac ini bagi membantu siasatan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Polis Kuala Lumpur khususnya JSJN Kuala Lumpur akan terus berusaha mengesan saki baki ahli sindiket yang terlibat untuk diheret ke muka pengadilan,” jelasnya lagi, lapor UtusanTV.

  • 2 bot nelayan ditahan tiada lesen, gajikan PATI

    2 bot nelayan ditahan tiada lesen, gajikan PATI

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang menahan dua buah bot nelayan tempatan tanpa lesen dan melanggar syarat kerana mengajikan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) pukul 10.41 pagi dan 10.20 malam semalam.

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, penahanan itu dibuat oleh kapal dan bot Maritim Malaysia ketika dalam rondaan rutin OP PERTIWI dan OP TANJUNG.

    Menurut beliau, penahanan pertama dilakukan selepas pemeriksaan ke atas bot nelayan tempatan kelas C yang berpangkalan di Bagan Hutan Melintang, Perak di kedudukan 16.5 batu nautika barat daya Pulau Kendi.

    Maritim menahan dua buah bot nelayan tempatan tanpa lesen dan melanggar syarat kerana mengajikan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI)

    Katanya, pemeriksaan mendapati, bot itu dikendalikan oleh seorang tekong dan dua kru warga Thailand serta seorang kru warga Myanmar berumur antara 23 hingga 63 tahun.

    “Dua di antara kru bot itu gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah serta menggajikan kru warga asing.

    “Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu pemilik bot menggunakan warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
     

    Maritim menahan seorang tekong dan dua kru warga Thailand serta seorang kru warga Myanmar berumur antara 23 hingga 63 tahun daripada salah sebuah bot berkenaan


    Tambah beliau, penahanan bot nelayan kedua dilakukan pada kedudukan 0.61 batu nautika tenggara Gertak Sanggul yang berpangkalan di Jeti Teluk Kumbar dikendalikan oleh empat kru kesemuanya warga tempatan berumur antara 18 hingga 51 tahun.

    Katanya, bot itu ditahan kerana gagal mempamerkan lesen serta tidak diusahakan sendiri pemiliknya dan kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985.

    “Kedua-dua bot serta kesemua kru ditahan bersama 500 kilogram hasil laut bagi bot nelayan kelas C dan lima kilogram hasil laut bagi bot kelas A seterusnya dibawa ke Jeti Limbungan Batu Maung dan jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban untuk tindakan lanjut,” katanya.

    Tambah beliau, Maritim Malaysia mendapati masih terdapat segelintir pengusaha atau pemilik bot yang berdegil menggajikan PATI untuk bekerja di atas bot mereka walaupun amaran dan tangkapan telah dibuat.

    “Maritim Malaysia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia,” katanya.
     
    Ujar beliau, sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, orang ramai boleh menyalurkannya ke Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.