Category: Jenayah

  • SPRM dedah identiti sebenar ‘Datuk Roy’

    SPRM dedah identiti sebenar ‘Datuk Roy’

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan seorang lelaki, Mohd. Hussein Mohd. Nasir atau ‘Datuk Roy’ bagi membantu siasatan agensi antirasuah itu.

    Menurut SPRM dalam satu kenyataan hari ini, lelaki berusia 54 tahun itu beralamat terakhir di RRM Semambu, Kuantan, Pahang.

    Mereka mengenali atau mempunyai maklumat lelaki itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Mohammad Asyraf Mustafa di talian 013-4405210.

    Semalam, sumber SPRM berkata, agensi itu dalam usaha mengesan lelaki dikenali sebagai ‘Datuk Roy’ kerana didakwa menjadi perancang utama kes rasuah membabitkan program Jana Wibawa.

    Difahamkan, lelaki itu pernah dipenjarakan kerana kesalahan rasuah sebelum ini, lapor FMT.

    Program Jana Wibawa diperkenalkan pada November 2020 oleh kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai inisiatif rangsangan Covid-19 untuk membantu kontraktor Bumiputera.

    Ia menjadi kontroversi selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim mendedahkan, kosnya program terlalu tinggi, selain beberapa projek telah diluluskan tanpa melalui proses tender.

    Muhyiddin didakwa atas tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

    Bulan lalu, dua lagi ahli Bersatu didakwa menerima rasuah berhubung Jana Wibawa. Mereka ialah Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad.

  • Pelakon Kamal Adli cedera dipukul dengan cota di Singapura

    Pelakon Kamal Adli cedera dipukul dengan cota di Singapura

    PELAKON popular tanah air, Kamal Adli cedera teruk di kepala selepas dipukul oleh seorang lelaki dengan menggunakan cota di Singapura, malam tadi.

    Menurut isterinya yang juga pelakon Uqasha Senrose, insiden itu berlaku selepas kedua-dua mereka menghadiri suatu acara di bandar raya berkenaan.

    Susulan kecederaan yang dialami Kamal itu juga, Uqasha berkata, suaminya dikejarkan ke hospital dan perlu ditidurkan sebelum dibedah.

    “Kejadian itu berlaku semasa kami berdua melayan permintaan seorang wanita berkerusi roda yang mahu merakamkan gambar kenangan sekitar pukul 9 hingga 10 malam.

    “Saya dan Kamal bergambar dengan mak cik itu. Tiba-tiba, datang seorang lelaki dan bertanya, Kamal mana? Kami fikir dia peminat.

    “Kamal kemudian tegur lelaki itu. Tiba-tiba lelaki itu keluarkan cota dari poket dan pukul belakang kepala Kamal berkali-kali.

    “Darah Kamal berjurai di baju. Apabila Kamal angkat kepala, dia pukul tulang pipi. Lelaki itu kemudian pukul berkali-kali pada badan Kamal,” dakwa Uqasha kepada portal Berita Harian yang menghubunginya di Singapura.

    Tidak lama selepas insiden berkenaan, Uqasha berkongsi video pendek di akaun Instagram (IG) peribadinya.

    Dalam tangisan, Uqasha menulis nota memohon doa orang ramai untuk suaminya yang terpaksa menjalani pembedahan di sebuah hospital di Singapura.

    “Saya tidak boleh masuk bilik pembedahan sekarang. Cuma, saya boleh buat laporan polis di Singapura,” katanya.

    Tidak hanya menyerang Kamal, bahkan, dakwa Uqasha lagi, adik-beradiknya yang bersama-sama dengan mereka ketika insiden itu turut diugut individu terbabit.

  • Ops Tiris: Pemandu lori ditahan bersama 10,000 liter diesel bersubsidi

    Ops Tiris: Pemandu lori ditahan bersama 10,000 liter diesel bersubsidi

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menahan seorang pemandu lori bersama 10,000 liter diesel bersubsidi dalam satu serbuan di sebuah stesen minyak di Bukit Mertajam, kira-kira pukul 7 petang semalam.

    Pengarah KPDN Pulau Pinang S. Jegan berkata, serbuan oleh empat anggota penguat kuasa sempena Ops Tiris itu dilakukan hasil risikan yang dijalankan sejak beberapa minggu lalu.

    Menurutnya, ketika serbuan, pemandu lori terbabit iaitu lelaki warga tempatan berusia 30-an didapati sedang mengisi minyak bersubsidi diesel ke dalam tangki asal kenderaan terbabit.

    Ujar beliau, hasil pemeriksaan awal terhadap lori berkenaan kemudian mendapati terdapat dua unit nozel ‘dispencer’ diesel telah dimasukkan ke dalam tangki asal kenderaan berkenaan bagi proses pengisian.

    “Pemeriksaan seterusnya di bahagian belakang lori yang ditutupi kanvas pula mendapati, terdapat satu unit tangki fiber tambahan yang diubah suai dan disyaki mengandungi bahan api bersubsidi diesel,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Jegan berkata, pasukan serbuan turut menjumpai satu unit pam motor dan hos dalam lori tersebut yang digunakan untuk menyedut minyak diesel daripada tangki asal.

    Jelasnya, siasatan lanjut di tempat kejadian pula mendapati, lelaki tersebut didapati telah membuat pembelian bahan api bersubsidi diesel secara tunai daripada stesen minyak tersebut.

    Ujar beliau, modus operandi kes itu adalah dengan membeli bahan api bersubsidi diesel di beberapa buah stesen minyak dalam negeri ini sebelum dikumpul di suatu tempat penyimpanan sementara bagi tujuan penjualan kepada pihak industri.

    “Siasatan juga akan dilakukan terhadap pemilik stesen minyak berkenaan sama ada mereka terlibat dan bersubahat dalam kes ini,” katanya.

    Beliau memberitahu, kes itu disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan kesemua rampasan dan sitaan pula dianggarkan bernilai lebih RM60,000.

    Katanya, mereka yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

    “Bagi syarikat pula, sekiranya sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta,” katanya.

    Tambah beliau, bagi memastikan aktiviti haram itu dapat dibanteras, orang awam disaran menjadi ‘mata dan telinga’ kepada pihak berkuasa dengan memberikan kerjasama sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi itu.

  • 7 lelaki disyaki pukul 2 pemuda kerana Mobile Legend ditahan

    7 lelaki disyaki pukul 2 pemuda kerana Mobile Legend ditahan

    POLIS mehahan tujuh lelaki yang disyaki memukul dua pemuda berumur 20an dalam pergaduhan yang berpunca daripada permainan video dalam talian Mobile Legend, di Telok Mas di Melaka petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata pergaduhan berlaku semasa pengadu bersama seorang rakannya yang berada di sebuah stesen minyak, didatangi sekumpulan lelaki bermotosikal yang kemudian bertindak memukul mereka.

    Beliau berkata pengadu menerima 10 jahitan di dahi dan patah tulang hidung akibat dipukul dengan topi keledar.

    “Siasatan awal mendapati pergaduhan itu tercetus berikutan rasa tidak puas hati kerana maki hamun ekoran keengganan bermain mobile legend,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Menurutnya semua tujuh lelaki berumur 16 hingga 28 tahun itu ditahan di Jalan Kota di sini sekitar tengah malam tadi, dan kes disiasat mengikut 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera, serta Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana bergaduh.

    Ketujuh-tujuh suspek direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan. – BERNAMA

  • Jalur Gemilang terbalik, polis reman lelaki dua hari

    Jalur Gemilang terbalik, polis reman lelaki dua hari

    POLIS menahan reman seorang lelaki selama dua hari selepas dipercayai ada kaitan dengan kes memasang Jalur Gemilang secara terbalik.

    Suspek warga tempatan itu ditahan bagi membantu siasatan kes di sebuah premis perindustrian di Senai dekat Johor Bahru yang tular di media sosial.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow, suspek berusia 45 tahun itu menyerah diri di Balai Polis Senai semalam.

    “Suspek telah dibawa ke mahkamah pada hari ini untuk mendapatkan perintah reman. Perintah reman selama dua hari bermula hari ini ke atas suspek bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Astro AWANI.

    Beng Yeow berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama 1963 (Penggunaan Tidak Wajar) / Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

    Terdahulu gambar bendera terbalik yang tular di media sosial sejak semalam itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.

    bendera terbalik, Lelaki ditahan, Jalur Gemilang, Senai,

  • Pelajar perempuan maut ditembak depan masjid di Pattani

    Pelajar perempuan maut ditembak depan masjid di Pattani

    SEORANG pesakit mental menembak mati seorang pelajar perempuan dalam satu kejadian di pekarangan sebuah masjid di Pattani, Thailand.

    Ketua Polis Daerah Muang Kolonel Jefferi Saimankul berkata kejadian berlaku kira-kira 8.30 pagi (waktu tempatan) pada Jumaat, apabila suspek seorang penolong ketua kampung berusia 49 tahun, melepaskan tembakan ke arah mangsa yang sedang berbual dengan ibunya, di depan sebuah masjid di Mueang Pattani.

    Beliau berkata suspek yang berada dalam kenderaan pacuan empat roda telah melepaskan dua das tembakan ke arah mangsa.

    Mangsa yang berusia 14 tahun itu merupakan pelajar perempuan sebuah sekolah agama swasta.

    Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), beliau berkata mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian belakang dan dada serta disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

    “Suspek yang melarikan diri dari tempat kejadian dengan pacuan empat rodanya berjaya dikesan bersembunyi di sebuah rumah saudaranya. Selepas dua jam dipujuk, suspek menyerah diri.

    “Berdasarkan keterangan ahli keluarga mangsa, polis mendapati suspek merupakan seorang pesakit mental yang sedang mendapatkan rawatan dengan mengambil ubat disarankan doktor,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Jenazah mangsa selamat dikebumikan pada Jumaat.

  • Kes bekas pegawai tinggi polis pukul isteri kedua dirujuk ke TPR

    Kes bekas pegawai tinggi polis pukul isteri kedua dirujuk ke TPR

    KERTAS siasatan berhubung kejadian membabitkan seorang bekas pegawai kanan tinggi polis dan isterinya, yang rakaman video berkenaan tular di media sosial baru-baru ini telah dihantar dan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, berkata pihaknya masih menunggu maklum balas pihak berkenaan.

    “Kami telah hantar (kertas siasatan) dan mereka (pihak pendakwa raya) memerlukan masa untuk meneliti kes berkenaan. Oleh itu, polis masih menunggu maklum balas mereka,” katanya selepas menghadiri Majlis Town Hall Discussion Sempena Hari Polis ke-216 ‘Keselamatan Jalan Raya: Isu Kesesakan Lalulintas’ di KL Wellness City di Bukit Jalil hari ini.

    Beliau mengulas mengenai perkembangan kes siasatan pertelingkahan seorang bekas pegawai kanan tinggi polis dan isteri keduanya yang tular baru-baru ini.

    Mengulas mengenai perkembangan siasatan kes penemuan 13 naskhah al-Quran dipercayai sengaja dibuang ke longkang berhampiran tasik lombong di Jinjang, di sini pada 19 Februari lalu, Azmi berkata kes berkenaan masih dalam siasatan.

    “Setakat ini, belum ada suspek tertentu terlibat kerana polis sedang mencari dan mengenal pasti suspek,” katanya.

  • Polis rampas dadah RM3.5 juta di pangsapuri

    Polis rampas dadah RM3.5 juta di pangsapuri

    POLIS Polis merampas dadah seberat 35.486 kilogram yang dianggarkan bernilai RM3.5 juta dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Jalan Stutong Baru, di Kuching, pada Rabu lalu.

    Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd. Azman Ahmad Sapri berkata, itu adalah jumlah rampasan dadah terbesar di Sarawak dalam tahun ini.

    “Dadah syabu itu ditemui selepas pihaknya menahan seorang lelaki di dalam sebuah kereta yang diletakkan di perkarangan pangsapuri itu kira-kira pukul 1 tengah hari.

    “Pemeriksaan dalam kereta lelaki itu, polis menemui 12 paket dadah dipercayai syabu seberat 12.447 gram.

    “Dadah itu diletakkan di dalam bungkusan yang didakwa sebagai produk minuman untuk mengelirukan pihak berkuasa,” katanya pada sidangmedia di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di Kuching, hari ini.

    Mohd. Azman berkata, suspek yang berusia 37 tahun itu kemudiannya membawa polis ke kediamannya di pangsapuri berkenaan.

    Katanya, polis kemudian menemui 22 paket dadah seberat 22.676kg dan satu paket plastik lut sinar yang mengandungi 363 gram dadah.

    Jelasnya, siasatan awal mendapati suspek dipercayai terbabit dalam pengedaran dadah sejak pertengahan 2021.

    Menurut Mohd. Azman, dadah itu dibawa masuk ke Sarawak menggunakan perkhidmatan kurier daripada sindiket pengedaran di Semenanjung.

    “Suspek kemudiannya menghantar dadah yang dibungkus itu ke lokasi pengguna dadah dari Kuching dan daerah berhampiran lain.

    “Kami menganggarkan dadah yang dirampas mampu menampung keperluan seramai 177,430 penagih,” katanya.

    Sementara itu, beliau berkata, semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan tujuh rekod mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta yang sama.

    “Ujian air kencing turut mendapati suspek positif dadah ketamin dan dia kini ditahan reman sehingga 15 Mac ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Bukit Aman ambil keterangan pengarah, pelakon ‘Mentega Terbang’

    Bukit Aman ambil keterangan pengarah, pelakon ‘Mentega Terbang’

    PENGARAH dan seorang pelakon filem kontroversi Mentega Terbang dipanggil polis hari ini untuk dirakamkan keterangan masing-masing.

    Khairi Anwar Jailani dan pelakon Arjun Thanaraju dipanggil ke Bukit Aman pagi ini.

    “Kami memberikan kerjasama sepenuhnya dan menjawab semua soalan diajukan polis,” kata Khairi selepas kenyataan itu direkodkan.

    Beliau berkata, pembikin filem harus diberikan kebebasan untuk menonjolkan kreativiti mereka.

    “Tugas kami sebagai pembikin filem adalah untuk mengetengahkan isu semasa, dan kebebasan bersuara kami tidak seharusnya dikawal,” katanya, lapor FMT.

    Peguam Zaid Malek mewakili Khairi dan Arjun berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menimbulkan suasana tidak harmoni, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada awam.

    Mereka juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain.

    Mentega Terbang yang menyentuh perbezaan dan persamaan agama utama di Malaysia mendapat kritikan orang ramai dan juga artis.

    Filem ini berada dalam talian sejak 2021.

    Menteri Hal Ehwal Agama, Na’im Mokhtar berkata Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) menyemak kandungan filem itu dan mendapati ia bertentangan akidah Islam.

    Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata, platform aplikasi penstriman Viu mengeluarkan filem kontroversi itu pada 27 Februari.

    SKMM berkata, pihaknya komited bekerjasama dengan Jakim bagi memantau kandungan bercanggah dengan ajaran Islam.

  • Artikel didakwa fitnah Hadi: Pemuda Pas lapor polis, gesa minta maaf

    Artikel didakwa fitnah Hadi: Pemuda Pas lapor polis, gesa minta maaf

    PEMUDA Pas Terengganu membuat laporan polis berhubung laporan sebuah portal yang didakwa berunsur fitnah terhadap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Pemuda Pas Terengganu, Mohd Harun Esa berkata, laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, kira-kira pukul 3.30 petang semalam.

    Beliau berkata, ia susulan laporan artikel yang dimuat naik di sebuah portal pada 6 Mac lalu.

    “Laporan ini cukup-cukup melampau, ia jauh menyimpang daripada apa yang diucapkan oleh Tuan Guru (Abdul Hadi) sendiri, kami dapati tulisan ini berniat jahat serta mahu melaga-lagakan antara Tuan Guru dengan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin,” katanya, semalam.

    Mohd Harun berkata, pihak terbabit digesa membuat permohonan maaf serta menarik balik artikel yang dikeluarkan itu.

    Katanya, jika perbuatan pihak tersebut menyebabkan kesan tidak baik dan berpanjangan, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas.

    “Kami gesa supaya artikel ini segera dipadamkan dan ditarik balik. Kemukakan permohonan maaf. Sekiranya tiada apa-apa tindakan, tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka,” tegas beliau.

    Ujarnya, artikel berkenaan didakwa bertujuan mengeruhkan hubungan baik antara kerajaan negeri, Presiden Pas dengan pihak istana.

    “Apa yang berlaku pada hari ini melahirkan api untuk menyemarakkan lagi hubungan tidak baik dan bertujuan melaga-lagakan sehingga merebak kepada hubungan parti politik dengan pihak istana.

    “Kita kesal kerana tohmahan dan provokasi ini termasuk isu Himpit 2023 yang apabila diolah secara tidak wajar oleh sesetengah pihak menyebabkan kita dianggap sebagai pengganas,” ujar beliau.

    Pada 2 Mac lalu, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) mengeluarkan kenyataan melarang semua pemimpin dan aktivis politik menggunakan masjid serta surau bagi menyampaikan ceramah atau mengadakan sebarang aktiviti berunsur politik kepartian.

    Yang Dipertuanya, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, larangan itu dibuat setelah mendapat perkenan daripada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

    Jelas beliau, Sultan Mizan telah menzahirkan rasa dukacita dengan penglibatan segelintir ahli politik yang menyampaikan kuliah, ceramah dan pengajaran agama di masjid dan surau serta bertindak sebagai khatib dan imam solat Jumaat di masjid tanpa kebenaran.

    Isu tersebut turut mendapat maklum balas daripada Abdul Hadi yang mengakui akan meneruskan ceramah seperti biasa walaupun dilarang berbuat demikian.

    Ahli Parlimen Marang itu memberitahu, tindakan tersebut tidak menjadi satu kesalahan kerana larangan berkenaan sebelum ini telah dibuat dan katanya dalam Islam sendiri tidak memisahkan politik dan agama. – Sinar Harian