Category: Jenayah

  • SPRM Sabah tumpas sindiket menyamar pegawai kanan, 7 ditahan

    SPRM Sabah tumpas sindiket menyamar pegawai kanan, 7 ditahan

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menumpaskan sindiket penyamaran sebagai pegawai kanan suruhanjaya itu dan pegawai kanan kepada menteri dalam negeri, baru-baru ini.

    Menurut sumber, modus operandi sindiket terbabit dipercayai menggunakan penyamaran untuk menipu mangsa, kononnya mereka boleh menyelesaikan kes disiasat agensi penguat kuasa.

    Sindiket itu mengakibatkan kerugian mencecah ratusan ribu ringgit, tambahnya.

    Menurut sumber, tujuh individu warga tempatan berusia antara 20 hingga 30 tahun ditahan hasil serbuan berdasarkan risikan oleh SPRM dan polis.

    “Proses permohonan reman bawah Seksyen 117 Kanun Keseksaan akan dibuat terhadap mereka di Mahkamah Khas Rasuah, Kota Kinabalu esok,” katanya.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah S Karunanithy, yang mengesahkan penahanan itu berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

    Beliau juga menyeru kepada orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan sindiket ini agar tampil memberikan kerjasama kepada pihak SPRM.

  • Pejabat Zuraida nafi ada kaitan kes penipuan bernilai RM4 juta

    Pejabat Zuraida nafi ada kaitan kes penipuan bernilai RM4 juta

    PEJABAT Timbalan Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Datuk Zuraida Kamaruddin menafikan dakwaan berhubung kes penipuan bernilai RM4 juta dan mempunyai kaitan dengan individu yang dikenali sebagai Adam Rosly Abdullah.

    Pengurusan pejabat berkenaan berkata, pihaknya tidak pernah melantik Adam Rosly Abdullah, mana-mana individu atau kumpulan untuk bertindak menjadi wakil mereka apabila melibatkan sebarang urusan.

    “Justeru itu, kami tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang tindakan yang telah atau akan dibuat oleh individu berkenaan yang jelas tidak mempunyai apa jua kaitan dengan kami.

    “Sekiranya anda adalah mangsa penama di atas atau pernah dihubungi oleh mana-mana pihak yang mengaku sebagai wakil pejabat Zuraida, sila hubungi pihak kami dengan segera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Baru-baru ini, terdapat dakwaan berlakunya satu penipuan sehingga melibatkan nilai RM4 juta yang dikaitkan dengan pejabat Zuraida dan dipercayai didalangi oleh seorang individu dikenali sebagai Adam Rosly Abdullah.

    Sebarang pertanyaan, pengesahan dan aduan mengenai perkara itu boleh diajukan melalui emel [email protected].

  • PRN: 2,829 pegawai, anggota polis pastikan kelancaran penamaan calon Sabtu ini

    PRN: 2,829 pegawai, anggota polis pastikan kelancaran penamaan calon Sabtu ini

    SERAMAI 2,829 pegawai dan anggota polis Pulau Pinang akan bertugas pada hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu pada Sabtu ini, bagi memastikan perjalanan proses tersebut lancar dan aman.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, kesemua pegawai dan anggota itu akan ditugaskan di 23 pusat penamaan calon yang telah ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam memastikan tiada elemen yang boleh mencetuskan kegusaran awam berlaku.

    Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak mematuhi peraturan dan arahan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa sepanjang proses penamaan calon itu berlangsung kelak.

    Tambah Kok Chin, polis juga melantik pegawai pemantau PRN di setiap daerah bagi memastikan proses penamaan calon berjalan dengan lancar.

    “Selain itu, Ops Cantas juga telah bermula dua hari lalu dan akan berterusan sehingga selesai PRN dan setakat ini tiada tangkapan dibuat.

    “Saya sendiri akan turun padang bersama ketua-ketua jabatan dan ketua polis daerah bagi meninjau kawasan-kawasan yang kita kenal pasti sebagai kawasan panas (hot spot) pada PRN bagi melihat persiapan serta memastikan keselamatan semua,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di Georgetown hari ini.

    Dalam pada itu, Kok Chin mengingatkan penyokong parti-parti yang bertanding mematuhi nasihat, peraturan dan arahan yang telah ditetapkan oleh SPR serta polis sepanjang hari penamaan calon berlangsung.

    Ujarnya, calon-calon yang akan bertanding juga perlu mengikuti serta mematuhi SOP ketika proses penamaan calon berlangsung.

    Menurut beliau, perjalanan PRN di negeri itu akan berjalan dengan aman sekiranya semua pihak mematuhi arahan serta prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

    “Kita juga sedang meneliti sekiranya terdapat keperluan untuk menutup mana-mana jalan ketika proses penamaan calon berlangsung,” katanya.

  • Polis bongkar makmal proses heroin, 2 lelaki ditahan

    Polis bongkar makmal proses heroin, 2 lelaki ditahan

    KEGIATAN satu sindiket mengedar dadah yang menjadikan sebuah rumah sebagai makmal memproses dadah jenis heroin terbongkar selepas dua lelaki ditahan Polis Pulau Pinang di negeri itu dan di Bandar Baharu, Kedah, Jumaat lalu.

    Kedua-dua lelaki tempatan yang juga penganggur berusia 27 dan 30 itu ditahan dalam serbuan berasingan dalam operasi terancang bermula kira-kira pukul 10 malam Jumaat lalu dan berakhir 7 pagi semalam itu.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, dalam operasi itu, polis turut merampas dadah bernilai RM135,250 serta pelbagai peralatan memproses dadah.

    Jelas beliau, kedua-duanya suspek yang mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau membabitkan dadah serta jenayah itu ditahan di dalam sebuah kereta di hadapan sebuah restoran di Simpang Ampat, Pulau Pinang.

    Kok Chin menunjukkan dadah dan peralatan memproses bahan terlarang tersebut dalam sidang akhbar di IPK Pulau Pinang, di Georgetown hari ini

    Ujarnya, ketika pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan dinaiki suspek, polis menjumpai sebanyak 22 bungkusan heroin seberat 10 kilogram (kg) dan syabu (6.25 gram) yang kesemuanya bernilai RM135,250.

    “Susulan penahanan dua suspek itu, polis kemudiannya menyerbu sebuah rumah tidak berpenghuni dipercayai menjadi makmal memproses dadah di Bandar Baharu, Kedah.

    “Dadah jenis heroin ini dipercayai diproses di rumah terbabit dan dua suspek tersebut kemudian akan mengedarkannya untuk pasaran tempatan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di Georgetown hari ini.

    Menurut Kok Chin, hasil risikan mendapati sindiket itu bergiat aktif memproses dan mengedar dadah sejak awal tahun ini dan mendapatkan bekalan dadah dari negara jiran sebelum memprosesnya di rumah.

    Katanya, polis kini sedang giat mengesan beberapa lagi ahli sindiket tersebut yang dipercayai turut mempunyai kepakaran memproses heroin yang disyaki masih berada di sekitar Pulau Pinang serta di negeri jiran.

    “Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 28 Julai ini dan kes disiasat menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • Peniaga cedera bungkusan meletup di belakang restoran

    Peniaga cedera bungkusan meletup di belakang restoran

    SEORANG peniaga cedera di muka dan badan akibat letupan bungkusan yang diletak di belakang sebuah restoran di Jalan Pantai Chenang, di sini, hari ini.

    Dalam kejadian jam 10.27 pagi itu, mangsa berusia 26 tahun dilaporkan cedera selepas bungkusan itu meletup secara tiba-tiba, sebaik mangsa membukanya.

    Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata mangsa adalah seorang pemegang kad Kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

    “Difahamkan, mangsa mengusahakan kedai makan terbabit dengan menyewa bahagian belakang restoran.

    “Letupan itu menyebabkan mangsa cedera di muka dan badan sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Maliha menggunakan ambulans untuk menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

    Shariman berkata, mangsa dilaporkan berada dalam keadaan sedar dan stabil.

    “Unit Pemusnah Bom dan Unit Anjing Pengesan (K9) turut digerakkan ke lokasi untuk membuat siasatan dan mengesan suspek yang melakukan jenayah terbabit.

    “Polis juga sedang mengenal pasti motif kejadian,” katanya.

    Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

  • Kastam rampas 250 kilogram dadah bernilai RM18.2 juta di Kompleks Kargo KLIA

    Kastam rampas 250 kilogram dadah bernilai RM18.2 juta di Kompleks Kargo KLIA

    JABATAN  Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas lebih 250 kilogram (kg) dadah jenis 3,4-Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dan ketamin yang keseluruhannya bernilai RM18.2 juta di Kompleks Kargo Udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada Selasa lepas.

    Pengarah Kastam Datuk Zazuli Johan berkata dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, JKDM menyita 18 kotak dengan 12 daripadanya mengandungi bungkusan plastik lutsinar dengan bahan ketulan kristal disyaki MDMA seberat 232.05 kg dianggarkan bernilai RM17 juta.

    “Ia merupakan penemuan terbesar kastam melibatkan MDMA, jumlah tersebut boleh menghasilkan kira-kira 1.5 tan ekstasi. Selain itu, turut ditemukan satu kotak mengandungi bungkusan plastik dengan bahan serbuk kristal putih disyaki ketamin seberat 20.55 kg (RM1.2 juta) manakala lima kotak lagi ialah cakera brek kereta,” katanya pada sidang media di Nilai hari ini, lapor BERNAMA.

    Beliau berkata sindiket terbabit mengisytiharkan barang berkenaan sebagai aksesori kereta sedangkan di dalamnya terdapat kotak mengandungi dadah berbahaya, sebagai modus operandi bertujuan mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

    Zazuli berkata siasatan awal mendapati dagangan berkenaan dimport dari sebuah negara di Eropah dan kemudian mendarat di Kompleks Kargo KLIA sebagai destinasi terakhir dan bekalan dadah itu adalah untuk pasaran di dalam negara.

    Menurutnya, hasil risikan mendapati pengimport berkenaan menggunakan maklumat palsu dalam dokumen pengimportan sehingga menyukarkan tangkapan dibuat ke atas pengimport dagangan terbabit.

    “Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan untuk mengesan suspek yang dipercayai warga tempatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

    Beliau menyeru orang awam untuk memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dadah dan barangan lain seperti rokok, minuman keras dan mercun dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat Kastam terdekat dengan identiti mereka akan dirahsiakan.

  • Polis nafi laporan sekumpulan lelaki Bangladesh serang wanita guna kayu hoki

    Polis nafi laporan sekumpulan lelaki Bangladesh serang wanita guna kayu hoki

    POLIS hari ini menafikan laporan sebuah akhbar berlakunya kejadian sekumpulan warga asing membawa kayu hoki menyerang seorang wanita dekat Prima Saujana, Kajang pada 6 petang kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, siasatan pihaknya mendapati tiada kejadian seperti didakwa video bertajuk ‘Tular sekumpulan warga asing bawa kayu hoki serang wanita’ yang dimuat naik ke akaun TikTok akhbar berkenaan.

    Katanya, kejadian terbabit sebaliknya berpunca disebabkan berlaku perebutan di antara warga asing ketika menjalankan pemeriksaan kesihatan.

    “Polis menerima laporan mengenai kejadian daripada pengadu, seorang doktor lelaki berusia 35 tahun pada 8.23 malam tadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Ujarnya, dua kumpulan lelaki warga Bangladesh telah hadir ke poliklinik milik pengadu untuk membuat pemeriksaan kesihatan.

    “Kedua-dua kumpulan telah dibawa oleh dua ejen berlainan yang juga merupakan warga Bangladesh.

    “Semasa kedua-dua kumpulan warga asing berada di hadapan poliklinik itu, berlaku pertengkaran antara mereka sehingga membawa keluar beberapa batang kayu hoki,” katanya, lapor Utusan TV.

    Jelasnya, keadaan semakin tegang sehingga berlaku aksi tolak menolak dan salah seorang suspek telah masuk ke dalam poliklinik.

    Katanya, pekerja pengadu telah menjerit dan menghalau keluar kesemua warga asing dari poliklinik itu.

    Mohd. Zaid berkata, suspek berusia 24 hingga 32 tahun itu ditahan di Sentul dan Setapak pada 1.15 pagi tadi.

    Katanya, kesemua suspek mengaku terlibat dalam kejadian ini dan telah direman selama empat hari sehingga Isnin bagi membantu siasatan.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    Orang ramai dinasihatkan untuk tidak menyebarkan berita palsu sehingga boleh menimbulkan kegusaran awam

    Sebarang maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Norhafizah Borhanuddin di talian 018-3903410.

  • Jakim kerjasama dengan PDRM, MCMC banteras ajaran sesat SiHulk

    Jakim kerjasama dengan PDRM, MCMC banteras ajaran sesat SiHulk

    UMAT Islam di Malaysia dinasihatkan tidak terlibat dan menjauhi penyebaran ajaran sesat yang dibawa Suhaini Mohammad atau SiHulk.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, mana-mana pihak didapati menyebarkan ajaran itu boleh dikenakan tindakan mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri-Negeri.

    Menurutnya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah diarah bekerjasama dengan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk membanteras ajaran sesat itu.

    Tambah beliau, orang awam yang mempunyai maklumat juga digalakkan untuk segera tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa.

    Katanya lagi, Jakim, pihak berkuasa agama negeri dan agensi berkaitan juga akan mengadakan siri penerangan di seluruh negara berkaitan bahaya ajaran sesat tersebut.

    Mohd. Naim turut mengharapkan kerjasama semua pihak dalam isu seperti itu bagi membantu menanganinya dengan lebih berkesan.

    “Adalah dimaklumkan bahawa Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-117 yang bersidang pada 25 hingga 29 Ogos 2020 telah memutuskan bahawa ajaran dan fahaman SiHulk sebagai sesat, menyeleweng daripada ajaran Islam berdasarkan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

    “Seperti yang sedia maklum, tindakan penguatkuasaan adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), pihak Jakim telah menyalurkan maklumat mengenai ajaran dan kegiatan kumpulan SiHulk kepada pihak JAIN.

    “Antaranya kepada Jabatan Agama Islam Melaka dan Jabatan Agama Islam Selangor untuk tindakan penguatkuasaan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini, lapor Astro Awani.

  • Rugi RM32 juta terpedaya janji manis jadi calon PRU15

    Rugi RM32 juta terpedaya janji manis jadi calon PRU15

    SEKUMPULAN ahli perniagaan termasuk bergelar Datuk diperdaya seorang pengarah syarikat menerusi kerjasama penubuhan parti politik baharu, Barisan Penyatuan Nasional (BPN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sehingga menyebabkan kerugian hingga RM32 juta.

    Selain sumbangan dana penubuhan BPN, ada dalam kalangan mereka turut mendakwa menjadi mangsa penipuan pelaburan serta pinjaman wang dengan individu sama.

    Seorang mangsa yang juga bekas calon Bebas di Melaka, Datuk Kamisan Palil, 38, berkata beliau bersama beberapa rakan berjumpa individu berkenaan yang konon meminta mereka bertanding di beberapa Parlimen di Melaka.

    “Individu terbabit berjanji segala kos akan ditanggung olehnya dan bagi persiapan pertandingan di Parlimen Jasin, beliau menggunakan wang sendiri RM150,000 sebagai pendahuluan.

    “(Tidak lama kemudian) Saya menghubungi individu itu semula namun semua panggilan tidak dijawab malah dia turut mengundur diri dalam semua grup aplikasi WhatsApp.

    “Akibatnya, nama serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diuruskan terpalit dengan kerjasama penubuhan parti BPN,” katanya ketika ditemui di Bayan Lepas.

    Kamisan turut hilang pendapatan sebagai pembekal kelapa muda disebabkan janji manis ditaburkan sebagai calon.

    “Saya tidak puas hati dengan tindakannya dan bimbang orang lain menjadi mangsa penipuan lelaki ini membuatkan saya tampil membuat laporan polis,” katanya lagi.

    Terdahulu, lima individu tampil membuat laporan menjadi mangsa penipuan seorang pengarah syarikat di Balai Polis Bayan Baru di Bayan Lepas semalam.

    Mereka mendakwa, lelaki bergelar Datuk itu menjanjikan peruntukan RM4.5 juta kepada setiap calon kerusi Parlimen.

    Difahamkan seramai 160 calon terpedaya dengan individu itu membabitkan kerugian sekurang-kurangnya RM200,000 seorang.

    Sementara itu, Mohamed Mahyuddin Tajuddin, 63, pula mendakwa kerugian RM500,000 akibat diperdaya pengarah syarikat itu berhubung pencalonan di Hulu Selangor.

    Beliau juga dilantik sebagai timbalan penaja BPN dan mengikut individu berkenaan ke seluruh negara bagi pelaksanaan kerjasama itu.

    “Saya diminta bagi mengurus pelaksanaan serta melakukan kertas kerja beberapa projek yang dijanjikan namun selepas seminggu, dia memberi pelbagai alasan termasuk tidak boleh bertanding susulan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) tidak meluluskan penubuhan parti berkenaan.

    “Sehingga laporan ini dibuat, tiada sebarang rundingan dibuat berhubung perkara itu dan saya rasa diperdaya.

    “Semakan juga mendapati bukan saya sahaja menjadi mangsanya malah orang lain turut berdepan situasi sama,” katanya.

    Datuk Norhisham Nasrom, 40, pula berkata beliau kerugian hampir RM500,000 diperdaya menjadi calon Parlimen Bagan Serai, Perak.

    Beliau percaya dengan kata-kata individu berkenaan susulan lelaki itu mendakwa berketurunan Kerabat Diraja Negeri Sembilan serta cicit Agong pertama.

    “Pada masa ini, wang tidak menjadi pertikaian saya, ia lebih kepada maruah selaku Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Penyatuan Malaysia yang mana selama ini sudah banyak bantuan demi kesejahteraan rakyat saya lakukan.

    “Saya juga tidak mahu orang lain menjadi mangsa penipuan individu ini kerana impaknya mengubah kehidupan sehingga ada dalam kalangan rakan kami yang muflis.

    “Diharap mangsa lain turut tampil buat laporkan supaya siasatan lanjut dapat dilakukan pihak berkuasa,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Skuad bom dikerah selepas Siti Kasim terima ‘ancaman’

    Skuad bom dikerah selepas Siti Kasim terima ‘ancaman’

    SKUAD bom polis dikerah susulan penemuan objek, yang dikhuatiri ancaman terhadap peguam terkenal, Siti Kasim.

    Siti ketika dihubungi berada di sebuah bengkel kenderaan di ibu negara.

    Menurutnya polis telah mengambil langkah-langkah awal.

    “Polis sudah ‘tutup’ kawasan ini dan saya belum ada kesempatan untuk membuat laporan polis,” katanya, lapor FMT.

    Terdahulu, Siti memuat naik video di Facebook memaparkan objek yang dipasang pada ampaian kenderaannya.