Category: Jenayah

  • Kertas siasatan kes ugutan jenayah terhadap kumpulan muzik Radja selesai

    Kertas siasatan kes ugutan jenayah terhadap kumpulan muzik Radja selesai

    POLIS telah melengkapkan kertas siasatan berhubung kes ugutan jenayah dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap kumpulan muzik dari Indonesia, Radja, selepas konsert di Stadium Tertutup Arena Larkin, Sabtu lepas.

    Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata kertas siasatan itu akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapat nasihat dan arahan selanjutnya.

    Beliau berkata polis telah mengambil keterangan daripada 14 individu warga tempatan dan tiga warga asing bagi membantu siasatan.

    “Polis Johor memberi jaminan bahawa siasatan yang telus akan dijalankan tanpa kompromi mengikut undang-undang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun dan seorang lagi lelaki warga asing berusia 48 tahun ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan kira-kira pukul 3.30 petang Ahad lepas bagi membantu siasatan berhubung kes itu.

    Kamarul Zaman berkata kedua-dua lelaki itu disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabit bersalah.

    Terdahulu, media melaporkan kumpulan itu mendakwa menerima ancaman bunuh serta dilemparkan kata-kata kesat selepas mengadakan konsert di Stadium Tertutup Arena Larkin di Johor Bahru, pukul 11.15 malam Sabtu, dipercayai berpunca daripada salah faham antara kumpulan berkenaan dengan pihak penganjur.

  • Pengurus syarikat perikanan direman bantu siasatan kes suapan

    Pengurus syarikat perikanan direman bantu siasatan kes suapan

    SEORANG pengurus sebuah syarikat perikanan direman tiga hari bermula semalam, bagi membantu siasatan berhubung kes suapan bulanan melibatkan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Daerah Maritim 1 Langkawi.

    Permohonan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap suspek berusia 37 tahun itu, dibenarkan Majistret Siti Norhasliza Md Ali.

    Menurut sumber SPRM, suspek dipercayai terlibat sebagai orang tengah memberi suapan bulanan kepada anggota APMM, sebagai dorongan mengelak bot diperiksa anggota penguat kuasa Maritim Malaysia.

    Katanya, suspek ditahan semalam di Kuala Perlis bagi membantu siasatan, dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

    Sumber SPRM itu berkata, seorang anggota Maritim Malaysia berpangkat Laskar Kanan Maritim ditahan oleh SPRM di Sandakan, Sabah kerana dipercayai menerima supanan bulanan ketika bertugas di Pulau Langkawi, Kedah.

    Beliau berkata, SPRM akan melakukan satu lagi tangkapan terhadap seorang lagi anggota Maritim Malaysia berpangkat Bintara Kanan Maritim, melibatkan kes yang sama.

    Sumber itu berkata, sehingga kini seramai tujuh anggota Maritim Malaysia dan dua orang awam ditahan sejak Februari, bagi membantu siasatan menerima suapan bulanan melibatkan anggota Maritim Malaysia Daerah Maritim 1 Langkawi dan anggota Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Perlis.

    Pengarah SPRM Perlis Suzeliyana Hashim yang mengesahkan perkara itu.

  • Lelaki ditahan kali kedua cuba seludup cecair vape bernilai RM150,000

    Lelaki ditahan kali kedua cuba seludup cecair vape bernilai RM150,000

    SEORANG lelaki ditahan kali kedua atas kesalahan menyeludup cecair vape bernilai RM150,000 ke negara jiran dalam Op Bersepadu kira-kira pukul 5 petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Tumpat ACP Amran Dolah berkata lelaki berumur 38 tahun itu ditahan hasil serbuan sepasukan anggota polis dan Jabatan Kesihatan dalam Op Bersepadu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat bersama 11 agensi sempadan bermula semalam hingga pukul 6 pagi tadi.

    “Difahamkan, lelaki terbabit yang bekerja sebagai seorang perunding menjadikan rumahnya di Taman Sri Bayu di Tumpat sebagai stor transit simpanan peralatan dan cecair vape bernilai RM150,000 sebelum diseludup ke Thailand,” katanya kepada pemberita pada sidang media di IPD Tumpat hari ini.

    Beliau berkata sebelum ini, suspek pernah ditahan atas kesalahan sama dengan nilai barangan RM1.4 juta pada tahun lepas dan telah dikenakan denda.

    Menurutnya, siasatan yang dijalankan mendapati kesemua barangan yang dirampas dibeli daripada syarikat luar Kelantan dan dihantar menggunakan kotak berupa barangan elektrik oleh syarikat penghantaran barangan.

    Amran berkata pihaknya percaya kesemua barangan itu diseludup ke negara jiran kerana boleh mendatangkan keuntungan besar kepada suspek kerana permintaan tinggi di sana dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 13A  Akta Racun 1952.

    Mengulas lanjut mengenai Op Bersepadu yang dijalankan, beliau berkata antara agensi yang terlibat ialah Kementerian Kesihatan, Pejabat Tanah dan Jajahan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Majlis Keselamatan Negara, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Pasukan Gerakan Am, Polis Marin Pengkalan Kubor dan Majlis Daerah Tumpat. 

    Katanya, seramai 1,231 individu dan 1,063 kenderaan diperiksa mulai pukul 12 tengah hari bermula 13 Mac hingga 6 pagi tadi, malah pihaknya menjalankan pemeriksaan di tiga jeti dan pangkalan haram di Pengkalan Kubor, Simpangan dan Kuala Jambu selain 17 premis dan rumah persendirian.

    “Hasil operasi yang dijalankan kita berjaya membuat rampasan pelbagai barangan bernilai RM158,432 seperti vape, beras, minyak petrol serta dadah seperti ganja dan air ketum,” katanya.

  • Pempengaruh media sosial rugi lebih RM16,000 akibat tawaran kerja

    Pempengaruh media sosial rugi lebih RM16,000 akibat tawaran kerja

    SEORANG pempengaruh media sosial berusia 28 tahun mengalami kerugian RM16,799 selepas terpedaya dengan tawaran kerja dalam talian menggunakan aplikasi Facebook.

    Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata wanita itu mendakwa semasa melayari laman Facebook baru-baru ini, beliau terlihat iklan kerja sebagai ‘Live Host’ yang menjanjikan komisen RM1,000 sekiranya melaksanakan kerja itu, minimum 30 jam seminggu.

    “Mangsa yang tertarik dengan tawaran itu kemudiannya menghubungi seorang pengguna akaun Facebook berhubung tawaran kerja berkenaan, sebelum diminta mendaftar maklumat peribadi serta dikenakan caj RM1 sebagai yuran pendaftaran dalam satu aplikasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata wanita itu kemudiannya menerima notifikasi bank yang memaklumkan bahawa ada transaski pemindahan wang daripada akaunnya dan selepas merasakan ditipu, wanita itu kemudiannya terus membuat laporan polis.

    Zulkipli seterusnya menasihati orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran di media sosial yang menawarkan pulangan lumayan, sebaliknya mereka perlu membuat semakan terlebih dahulu.

    Semakan boleh dibuat melalui balai polis yang berdekatan atau http://semakmule.rmp.gov.my, CCID Infoline di 013-2111222, CCID Response Centre di 03-26101559/03-26101599, atau melalui Facebook di https://www.facebook.com/CyberCrimeAlertRMP dan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997.

  • Dakwaan fitnah PM, Muhyiddin akan dipanggil polis

    Dakwaan fitnah PM, Muhyiddin akan dipanggil polis

    TAN Sri Muhyiddin Yassin akan dipanggil polis bagi membantu siasatan berkaitan siasatan yang dijalankan ke atasnya berhubung dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap Perdana Menteri.

    Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, polis kini sedang dalam proses untuk memanggil Muhyiddin serta saksi-saksi berkaitan.

    Katanya, siasatan kini dijalankan dan usaha untuk menghubungi Tan Sri Muhyiddin Yassin serta beberapa saksi lain sedang dilakukan.

    “Ada yang sudah dihubungi dan ada yang masih dalam proses tindakan (akan dihubungi), namun ketika ini kebanyakan mereka terbabit dalam sesi sidang Parlimen,” katanya memetik laporan BH, hari ini.

    Semalam, polis dilaporkan membuka satu kertas siasatan terhadap Muhyiddin yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    A. Asmadi dilaporkan berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu fitnah.

    Katanya, siasatan dijalankan susulan satu laporan polis dibuat oleh Setiausaha Politik Menteri Kewangan, semalam.

    Laporan polis itu berhubung satu video tular dalam media sosial berkaitan sidang media Muhyiddin selepas beliau didakwa di Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

    A. Asmadi berkata, siasatan dilakukan atas kandungan kenyataan Muhyiddin dalam video berdurasi 11 minit 11 saat yang dikatakan mempunyai unsur fitnah terhadap pihak yang paling berkuasa dalam pentadbiran negara itu.

    Katanya, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    Semalam, satu laporan polis dibuat oleh Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim, yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan terhadap Muhyiddin.

    Laporan polis berkaitan kenyataan oleh Muhyiddin yang mendakwa kes mahkamah terhadapnya ada campur tangan politik.

    Katanya, kenyataan yang dilemparkan itu adalah satu tohmahan dan fitnah untuk mencipta persepsi negatif yang tidak baik terhadap Perdana Menteri.

  • Promosi ‘gaya hidup songsang’ tak boleh diterima-menteri

    Promosi ‘gaya hidup songsang’ tak boleh diterima-menteri

    JABATAN Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengarahkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan menyiasat suatu tunjuk perasaan di ibu negara baru-baru ini.

    Menterinya, Mohd. Na’im Mokhtar menegaskan, usaha mempromosi serta menormalisasikan gaya hidup songsang tidak boleh diterima sama sekali.

    “Jawi tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam serta undang-undang yang sedang berkuatkuasa,” katanya memetik laporan FMT, hari ini.

    Jawi diarah bekerjasama dengan polis dan arahan dikeluarkan selepas menerima laporan dan maklum balas masyarakat berkaitan perhimpunan dan perarakan di hadapan Kompleks Sogo dan Dataran Merdeka pada 12 Mac lepas itu.

    Na’im menasihatkan semua pihak agar menghormati kedudukan Islam, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

    Terdahulu, polis dilaporkan akan memanggil pihak yang menyertai tunjuk perasaan tersebut bagi membantu siasatan kerana tidak mematuhi peruntukan undang-undang.

    Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.

    Ketua Polis Dang Wangi, Noor Dellhan Yahaya berkata, tunjuk perasaan itu disertai kira-kira 150 orang, yang terdiri daripada aktivis, mahasiswa, dan ahli parti politik.

  • KDN rampas permainan seks bernilai RM1.1 juta

    KDN rampas permainan seks bernilai RM1.1 juta

    KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) merampas sebanyak 22,929 alat mainan seks bernilai RM1.1 juta dalam serbuan di sebuah gudang perkakasan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada15 Februari lalu.

    Dalam serbuan oleh Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PKK) KDN menerusi Ops Maya kira-kira pukul 12 tengah hari itu, seorang wanita berusia 29 tahun turut ditahan.

    Setiausaha Bahagian PKK KDN, Nik Yusaimi Yussof berkata, gudang terbabit dijadikan tempat penyimpanan alat mainan seks yang mana suspek aktif menjualnya secara online sejak tahun lalu.

    Mengulas lanjut, beliau berkata, alatan permainan seks itu didapati dibawa masuk dari luar negara dan dijual dengan harga RM70 sehingga RM450 seunit.

    “Penjual pula didapati boleh mengaut keuntungan sehingga dua kali ganda iaitu RM3.3 juta susulan permintaan tinggi daripada orang ramai,” katanya dalam sidang akhbar di Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

    Menurut Nik Yusaimi, suspek yang juga pemilik gudang telah dituduh di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pada 2 Mac lalu, dan dihukum denda sebanyak RM5,000 selepas mengaku bersalah.

    Katanya, suspek disiasat mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 kerana memudaratkan kemoralan dan Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan kerana mengedar atau menjual barang-barang lucah.

    “Operasi ini juga bertujuan membanteras penjualan dan pembelian mainan seks kerana dilarang serta berlawanan daripada segi moral dan budaya di negara ini.

    “Gejala tidak sihat ini dikhuatiri memudaratkan kepentingan awam dan diharapkan mana-mana individu tidak terlibat dengan semua aktiviti yang memudaratkan moral,” katanya.

    Dalam pada itu, tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penjualan dan pengedaran alat mainan seks diminta menghubungi pihak KDN di talian 03-8000 8000.

  • Mayat lelaki Orang Asli ditemui lemas ketika jala ikan

    Mayat lelaki Orang Asli ditemui lemas ketika jala ikan

    MAYAT lelaki Orang Asli yang dipercayai lemas ketika menjala ikan petang semalam, ditemukan dalam bekas tapak lombong di Jalan Solok Menggong, Machap Baru pada 9.17 pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Arshad Abu berkata mangsa Jerrey Juli, 33, yang beralamat di Kampong Orang Asli Kubang Badak, Tebong itu telah pergi ke lokasi berkenaan bersama dua rakannya, untuk menjala ikan.

    “Dalam kejadian 6.30 petang, mangsa dipercayai telah turun dari perahu untuk membetulkan jala sebelum terjerlus dalam lombong.

    “Dua lagi rakan cuba membantunya namun gagal, mereka kemudiannya telah memaklumkan mengenai kejadian itu di Balai Polis Hutan Percha,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Arshad berkata tempat kejadian tersebut merupakan bekas lombong berkeluasan lebih kurang 0.4 hektar dan usaha mencari melalui selaman oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) tidak dapat dilakukan berikutan waktu telah malam dan keadaan cuaca telah gelap.

    “Usaha pencarian mangsa telah disambung 8.30 pagi tadi, sebelum mayat mangsa ditemukan, seterusnya dirujuk ke Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

    Sementara itu Komander Operasi Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Zamri Omar berkata mayat lelaki berkenaan ditemukan di dasar lombong pada kedalaman 4.5 meter, selepas dua minit usaha pencarian dilakukan oleh pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).

  • Datuk Roy direman tiga hari kes Jana Wibawa

    Datuk Roy direman tiga hari kes Jana Wibawa

    SEORANG ahli perniagaan dikenali sebagai ‘Datuk Roy’ direman tiga hari bermula Selasa oleh Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur, bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

    Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan daripada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Lelaki berusia 54 tahun itu hadir di mahkamah dengan memakai baju lokap berwarna oren, oleh anggota SPRM ditahan sehingga Khamis depan.

    Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 17(a) SPRM 2009.

    Sebelum ini, Datuk Roy diburu SPRM kerana didakwa menjadi perancang utama dalam siasatan kes meminta dan menerima rasuah sebanyak RM400,000 bagi mengelakkan siasatan membabitkan kes program Jana Wibawa.

    Empat individu termasuk seorang pegawai SPRM ditahan, namun kemudiannya dibebaskan dengan jaminan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah RM400,000 bagi mengelakkan siasatan ke atas program kontroversi itu.

    Datuk Roy yang beralamat di Kuantan, Pahang, pernah dipenjara kerana terbabit dalam kes rasuah.

    Sementara itu, peguam, Fahmi Abd. Moin yang mewakili suspek berkata, anak guamnya telah menyerah diri di pejabat SPRM, pada Isnin lapor Sinar Harian.

  • Saya, Anwar tak ambil ganja, kata Rafizi

    Saya, Anwar tak ambil ganja, kata Rafizi

    MENTERI Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mengambil ganja selepas polis dilaporkan merampas barang mengandungi ekstrak daun ganja yang dialamatkan kepada pejabat mereka.

    “Saya tak tahu (siapa hantar)… tiada siapa antara kami mengambil ganja,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini mengenai bungkusan mengandungi bahan larangan itu.

    Polis pada Jumaat lepas merampas sebuah kotak yang tertera nama Rafizi dan Anwar, memuatkan satu tiub ubat gigi dengan corak daun ganja dan mengandungi pes putih kehijauan.

    Menurut polis, barang tersebut tidak mempunyai kaitan dengan mereka dan pengirim membelinya melalui platform e-dagang dari Indonesia.

    “Ia suatu pembaziran dan sudah tentu ia dihantar terus ke balai polis,” kata Rafizi, dan menambah beliau tidak membuka bungkusan itu, lapor FMT.

    Ketua Polis Sepang, Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata kakitangan kaunter pertanyaan Kementerian Ekonomi melaporkan kepada polis selepas sebuah syarikat penghantaran memaklumkan terdapat satu bungkusan atas nama Rafizi dan Anwar di sebuah hab di Dengkil.