Category: Jenayah

  • Kenamaan antara akan dipanggil SPRM bantu siasatan kes LCS

    Kenamaan antara akan dipanggil SPRM bantu siasatan kes LCS

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bakal memanggil lebih ramai individu yang mungkin juga orang kenamaan bagi diambil keterangan berhubung siasatan kes pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS).

    Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya tidak akan memberi pengecualian dan perlindungan kepada mana-mana pihak.

    “Kita mendapat maklumat daripada pegawai penyiasat bahawa ramai lagi saksi-saksi akan dipanggil untuk diambil keterangan dan keterangan itu bukan sahaja di dalam negara tetapi juga membabitkan dari luar negara.

    “Sesiapa sahaja baik orang kenamaan, atau sesiapa yang terbabit semuanya akan dipanggil bantu siasatan,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai SPRM Siri 26 Bil 1/2020 (Penolong Penguasa P29 di Kompleks SPRM Negeri Johor hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan bahawa siasatan berhubung isu pembinaan LCS itu perlu diteruskan.

    Anwar berkata, pendakwaan berhubung isu pembinaan LCS pada peringkat awal yang dijalankan sebelum ini tidak mencukupi memandangkan ia melibatkan skandal berskala besar dan ketirisan, malah mendakwa pendakwaan sebelum ini juga tidak melibatkan tindakan kepada orang-orang yang lebih utama yang dikatakan terlibat dalam isu perolehan LCS tersebut.

    Sehubungan itu, Perdana Menteri sudah menyatakan perkara berkenaan kepada SPRM dan dipersetujui oleh mereka akan ada pendakwaan peringkat kedua.

    “Namun, itu bukan urusan saya untuk mendalami dan bertanya lebih, nanti jika saya buat begitu akan ada tuduhan (yang menyatakan) wujud pendakwaan terpilih,” kata Anwar.

    Mengulas lanjut, Azam memaklumkan, siasatan kes itu sebenarnya masih lagi dijalankan pihaknya bagi membuktikan bagaimana berlaku kehilangan wang begitu besar dalam kes LCS.

    “Siasatan kes ini ke arah untuk membuktikan bagaimana ia berlaku dan bagaimana kehilangan wang begitu besar berlaku, jadi beri masa kita untuk siasat dan selesaikan kes ini,” katanya.

    Pada masa sama, Azam turut memaklumkan perkembangan membabitkan kes Jana Wibawa masih lagi berjalan.

    “(Kes Jana Wibawa) masih ade lagi, masih teruskan siasatan. Yang dah dituduh, dituduhlah, tetapi masih ada lagi satu dua fail yang masih kita jalankan siasatan,” katanya lagi.

  • ‘Datuk Roy’ bebas atas jaminan SPRM, ditahan semula berhubung kes lain

    ‘Datuk Roy’ bebas atas jaminan SPRM, ditahan semula berhubung kes lain

    AHLI perniagaan dikenali sebagai ‘Datuk Roy’ dibebaskan hari ini dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selepas tiga hari disiasat dalam kes yang berkaitan dengan siasatan ke atas program Jana Wibawa.

    Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim membebaskan Hussein Nasir, 54, selepas SPRM tidak mengemukakan permohonan untuk lanjutan reman.

    Selasa lepas, Mahkamah Majistret membenarkan permohonan agensi antirasuah tersebut untuk mereman ahli perniagaan itu hingga hari ini, mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

    Hussein hadir di mahkamah hari ni sebagai formaliti, bagi membolehkan pihak SPRM memaklumkan tiada lanjutan reman, menurut peguamnya, Fahmi Abd Moin.

    Bagaimanapun, lelaki itu kemudiannya ditahan untuk siasatan kes lain membabitkan Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009, tambah Fahmi.

    “Reman tidak disambung, pagi ini anak guam saya akan ke SPRM Kuala Lumpur bagi proses jaminan. Setakat ini, tiada maklumat bila akan dituduh di mahkamah.

    “Anak guam saya kemudian akan dibawa ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya dan pihak siasatan akan mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Majistret esok,” katanya kepada wakil media, lapor FMT.

    Dilaporkan pada Isnin lepas, Hussein, dipercayai menjadi perancang utama kes rasuah melibatkan program Jana Wibawa, ditahan SPRM selepas menyerah diri.

    Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 iaitu atas kesalahan menerima rasuah.

    Program Jana Wibawa diperkenalkan pada November 2020 oleh kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai inisiatif rangsangan Covid-19 untuk membantu kontraktor Bumiputera.

  • SPRM kesan lima bank utama disyaki transit wang haram

    SPRM kesan lima bank utama disyaki transit wang haram

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan lima bank di negara ini digunakan sindiket penipuan antarabangsa untuk membuat transaksi wang haram ke luar negara.

    Maklumat berkenaan diperoleh susulan siasatan lanjut SPRM berkait Op Tropicana selepas menahan 11 individu termasuk sindiket menerusi didalangi oleh warganegara United Kingdom (UK).

    “Sindiket berkenaan dipercayai mampu membuat transaksi wang kira-kira RM1 juta setiap hari.

    “Bank terbabit berperanan mewujudkan akaun bank untuk kegunaan sindiket dalam proses pemindahan wang ke luar negara.

    “Ada pegawai bank di institusi berkenaan dibayar antara RM1,000 sehingga RM2,000 bagi melepaskan transaksi berkenaan tanpa melalui tapisan dan prosedur operasi standard (SOP),” menurut sumber kepada Utusan Malaysia.

    Sumber itu berkata, kira-kira lima hingga 20 pegawai bertugas di bank berkenaan dikenal pasti terlibat dalam aktiviti itu.

    “Akaun ini adalah transit kerana sindiket akan memindahkan wang terbabit ke dalam akaun sebenar,” katanya.

    Mengulas lanjut, sumber berkata, SPRM turut mengenal pasti syarikat ‘palsu’ digunakan sindiket bagi mengaburi kegiatan penipuan mereka.

    Kata sumber, turut terlibat ialah golongan profesional dipercayai peguam, juruaudit, setiausaha syarikat, akauntan serta pengarah syarikat disyaki bersekongkol dengan sindiket.

    Menurutnya, hasil siasatan mendapati syarikat berkenaan telah didaftarkan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang diwujudkan bagi proses pemindahan wang.

    Jelasnya, pemindahan wang berkenaan dipercayai akan dihantar ke Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand, Hong Kong dan UK.

    Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AML) SPRM, Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan perkara itu namun enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih berjalan.

    “SPRM akan menuduh dua warga UK yang disyaki dalang sindiket di Mahkamah Shah Alam esok.

    “Kita akan teruskan siasatan meskipun dua individu termasuk dalang sindiket ini dituduh esok,” jelasnya.

  • Penyelewengan RM596 juta:Pengarah, Ketua Pegawai Kewangan, pemegang saham ditahan

    Penyelewengan RM596 juta:Pengarah, Ketua Pegawai Kewangan, pemegang saham ditahan

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat individu susulan kes penyelewengan dalam perjanjian sukuk bernilai RM596 juta bagi melaksanakan projek berkaitan pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

    Semua lelaki yang berusia antara 40 hingga 55 tahun itu ditahan lewat petang semalam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

    Tiga daripada mereka direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 17 Mac selepas Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan reman oleh pihak SPRM.

    Sementara seorang lagi suspek dilepaskan dengan jaminan SPRM.

    Menurut sumber, semua suspek terbabit adalah Pengarah, Ketua Pegawai Kewangan dan seorang pemegang saham bagi tiga syarikat yang terbabit secara langsung dalam membangunkan sistem berkenaan.

    “Sukuk itu diuruskan oleh sebuah bank tempatan bagi membiayai projek berkaitan dan semua perbelanjaan dan hasil projek berkenaan perlu dimasukkan ke dalam satu akaun khas yang ditetapkan.

    “Namun, akaun khas ini kemudiannya ditukarkan kepada akaun lain yang dipercayai sengaja diwujudkan pada awal 2022, disyaki bagi mengelakkan daripada pembayaran semula prinsipal dan keuntungan kepada pemegang-pemegang sukuk,” katanya, lapor Harian Metro.

    Difahamkan, perjanjian konsesi antara kerajaan dan syarikat yang dilantik sudah dimeterai pada Julai 2011 dengan tempoh selama 12 tahun, manakala sukuk itu dijangka mencapai tempoh matang pada Mei 2023.

    Tindakan membenarkan syarikat terbabit untuk mewujudkan satu akaun lain akan menyebabkan kerugian jutaan ringgit terhadap pemegang sukuk.

    Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut, namun enggan mengulas lanjut.

  • Wee Ka Siong gesa Deepak buat laporan polis untuk bersihkan nama

    Wee Ka Siong gesa Deepak buat laporan polis untuk bersihkan nama

    AHLI Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong mempertahankan dakwaan bahawa beliau menerima panggilan berbaur ugutan pada 13 Mac lalu berhubung isu bekalan telur import.

    “Saya memiliki rekod berhubung panggilan berdurasi tujuh minit untuk diserahkan kepada pihak berkuasa sekiranya diperlukan,” tegasnya yang juga Presiden MCA.

    Sehubungan itu, Ka Siong menggesa ahli perniagaan Deepak Jaikishan yang menafikan membuat panggilan sedemikian sekiranya merasakan ada pihak tidak bertanggungjawab telah menyamar dan menggunakan namanya.

    “Hanya melalui laporan polis, Deepak boleh membersihkan namanya, sekali gus membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti individu yang membuat panggilan berkenaan, ” katanya dalam sidang media hari ini.

    Katanya, jika Deepak merasakan ada orang yang menyamar beliau atas nama Deepak membuat panggilan kepada kepadanya pada 13 Mac 2023 pukul 9.51 pagi, Ka Siong menyeru agar ahli perniagaan itu membuat laporan polis bagi membersihkan namanya.

    “Saya bersedia bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan akan mendedahkan segala bukti yang ada, biarlah PDRM menyiasat perkara ini termasuk mendapatkan bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta syarikat telco (telekomunikasi) untuk mencari identiti Deepak dengan nombor telefon bimbit 019-9999 989,” jelas Ka Siong lagi.

    Ka Siong turut mendedahkan, beliau sebetulnya menerima dua panggilan daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai Deepak.

    “Pada pukul 9.51 pagi saya terima panggilan selama 33 saat sebelum terputus, kemudian disusuli pada pukul 9.52 pagi dengan perbualan selama tujuh minit.

    “Saya ada lakukan screen shot (tangkap layar) telefon bimbit saya dengan sela masa panggilan berjalan, dua panggilan saya terima,” ujar beliau.

    Semalam, di Dewan Rakyat, Ka Siong, mendakwa menerima ugutan berhubung kenyataannya membabitkan isu bekalan telur import.

    Beliau memberitahu, menerima panggilan pada pukul 9.51 pagi Selasa, daripada individu memperkenalkan diri sebagai ‘Deepak’ dan mewakili syarikat J&E Advance Tech.

    Katanya, lelaki itu turut mendakwa sudah berbincang dengan Pejabat Perdana Menteri (PMO) untuk menyelesaikan kes berkenaan di luar mahkamah.

    Deepak dalam reaksi balasnya menafikan mengeluarkan ugutan terhadap Ka Siong, berhubung isu bekalan telur import.

    Kepada portal BH Online, Deepak memaklumkan tidak pernah berhubung dengan bekas Menteri Pengangkutan itu berkait apa-apa perkara pun.

    “Saya tidak pernah ‘hubungi’ dia, nombor telefon dia (Ka Siong) pun saya tiada.

    “Macam mana pula ada berhubung dengan dia, ini tidak benar,” kata Deepak seperti dilaporkan.

  • Cubaan bawa masuk hasil pertanian, produk haiwan dari Thailand gagal

    Cubaan bawa masuk hasil pertanian, produk haiwan dari Thailand gagal

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor mematahkan cubaan membawa masuk barangan pertanian dan produk hasilan haiwan bernilai RM5,870 secara tidak sah dari Thailand, Vietnam dan Indonesia.

    Menurut Maqis dalam satu kenyataan, produk buah limau, daging babi dan susu dirampas daripada pelancong negara itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Kulai, semalam.

    “Semua produk seberat 787 kilogram (kg) itu disembunyikan di dalam bagasi pakaian bagi mengaburi pegawai pemeriksa.

    “Hasil pemeriksaan yang dilakukan oleh pegawai Maqis mendapati terdapat segelintir pelancong membawa masuk pelbagai produk pertanian dan hasilan pertanian seperti buah limau, daging babi dan susu dengan menyembunyikan dalam bagasi pakaian bagi mengaburi pegawai pemeriksa.

    “Berikutan itu, pegawai Maqis dengan kerjasama pihak Kastam berjaya mematahkan cubaan membawa masuk barangan pertanian yang dibawa tanpa sebarang dokumen yang sah,” menurut kenyataan tersebut, hari ini.

    Maqis memberitahu, perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran produk haiwan dan hasilan haiwan tanpa permit import Maqis menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) Akta yang sama.

    Jika disabit kesalahan jelas Maqis, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

    “Pihak Maqis sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan di pintu masuk ini bagi menjamin keselamatan keluaran haiwan dan hasilan haiwan yang masuk ke dalam negara dan mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan,” tambah kenyataan itu.

  • Dua lelaki ditahan samun guna parang, larikan RM10,000

    Dua lelaki ditahan samun guna parang, larikan RM10,000

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TIDAK sampai 24 jam, dua lelaki berjaya ditahan selepas dalam kejadian samun berkumpulan di hadapan lobi sebuah bangunan kondominium, Puteri Harbour, Iskandar Puteri, pada pukul 9.45 Isnin lalu.

    Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisoner Rahmat Ariffin berkata, siasatan telah dijalankan dan kedua-dua suspek berusia lingkungan 40an yang terlibat dalam kejadian itu telah ditahan.

    “Kita mengesan video tular itu pada Rabu, namun tangkapan sudah dibuat pada Isnin lalu iaitu pada hari sama kejadian.

    “Bertindak atas maklumat dan risikan, suspek pertama ditahan pada pukul 10.15 pagi di Horizon Hill dan suspek kedua pula ditahan pada pukul 9 malam hari yang sama di Gelang Patah.

    “Berdasarkan siasatan yang dilakukan, suspek mengaku terbabit dalam kes yang berlaku pada jam 9.45 pagi itu dengan cara melanggar kereta mangsa dan mencederakan mangsa menggunakan parang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Sehubungan itu, Rahmat berkata, polis turut merampas RM10,000 yang disamun dari peniaga online, selain senjata parang dan kenderaan yang digunakan.

    “Kedua-dua suspek tersebut ditahan reman selama empat hari sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan. Kita percaya masih ada tiga lagi rakan suspek yang masih bebas,” katanya.

    Siasatan katanya, masih diteruskan bagi mengesan rakan jenayah suspek berkenaan. Kes disiasat bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (rompakan berkumpulan).

    Beliau turut meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri bagi membantu siasatan

    Sebelum itu, tular video berdurasi dua minit 17 saat memaparkan insiden tersebut yang memaparkan tiga individu bersenjatakan parang menyerang mangsa dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda.

    Mangsa cuba melarikan diri, namun dua buah kereta disyaki rakan suspek menghalang kenderaan tersebut.

    Turut kelihatan salah seorang suspek berjaya melarikan bungkusan yang mengandungi wang tunai berjumlah RM10,000 dari tempat duduk belakang kenderaan terbabit. – SB

  • Polis Johor terima 16 laporan penceramah hina institusi beraja

    Polis Johor terima 16 laporan penceramah hina institusi beraja

    POLIS Johor setakat ini telah menerima 16 laporan berhubung seorang penceramah lelaki yang dipercayai mengeluarkan kenyataan berunsur penghinaan terhadap institusi beraja.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, laporan berkenaan dibuat susulan kenyataan dibuat menerusi sebuah video berdurasi 31 saat yang dimuat naik menerusi aplikasi TikTok.

    “Satu siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan, Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Polis Johor turut menggesa orang ramai agar lebih berhati-hati dalam membuat sebarang kenyataan yang boleh mendatangkan ketidak harmonian dan kegentaran awam.

  • Tiga direman SPRM kes seleweng perjanjian sukuk RM596 juta

    Tiga direman SPRM kes seleweng perjanjian sukuk RM596 juta

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat individu bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dalam perjanjian sukuk bernilai RM596 juta bagi melaksanakan projek berkaitan pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

    Memetik laporan Berita Harian, kesemua suspek lelaki yang berusia antara 40 hingga 55 tahun itu ditahan lewat petang semalam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

    Bagaimanapun, hanya tiga daripada empat suspek berkenaan direman tiga hari bermula hari ini hingga 17 Mac manakala seorang lagi suspek dilepaskan dengan jaminan SPRM.

    Ini selepas Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan SPRM untuk reman suspek di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

    Menurut sumber, semua suspek terbabit adalah Pengarah, Ketua Pegawai Kewangan dan seorang pemegang saham bagi tiga syarikat terbabit secara langsung dalam membangunkan sistem berkenaan.

    “Sukuk itu diuruskan oleh sebuah bank tempatan bagi membiayai projek berkaitan dan semua perbelanjaan dan hasil projek berkenaan perlu dimasukkan ke dalam satu akaun khas yang ditetapkan.

    “Namun, akaun khas ini kemudiannya ditukarkan kepada akaun lain yang dipercayai sengaja diwujudkan pada awal 2022 disyaki bagi mengelakkan daripada pembayaran semula prinsipal dan keuntungan kepada pemegang-pemegang sukuk,” kata sumber itu.

    Difahamkan, perjanjian konsesi antara kerajaan dan syarikat yang dilantik sudah dimeterai pada Julai 2011 dengan tempoh selama 12 tahun.

    Sukuk ini dijadual mencapai tempoh matang pada Mei 2023.

    Tindakan membenarkan syarikat terbabit untuk mewujudkan satu akaun lain dikatakan akan menyebabkan kerugian jutaan ringgit terhadap pemegang sukuk.

    Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut namun enggan mengulas lanjut.

  • Mayat remaja perempuan ditemui dalam semak, dipercayai dibunuh

    Mayat remaja perempuan ditemui dalam semak, dipercayai dibunuh

    MAYAT seorang remaja perempuan ditemukan dalam satu kawasan semak selepas dipercayai dibunuh dalam kejadian di perkampungan setinggan Kampung Forest, Sandakan.

    Mayat remaja berusia 15 tahun itu ditemukan kira-kira pukul 10 pagi tadi.

    Sebelum itu, Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, sejurus menerima maklumat, sepasukan anggota polis dihantar ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.

    Menurutnya, sebaik tiba polis menemui mayat remaja perempuan itu dalam kawasan semak dan berlumpur.

    “Siasatan awal mendapati mangsa mati dibunuh dan mayatnya dibawa ke Bilik Mayat Hospital Duchess of Kent Sandakan untuk dibedah siasat.

    Susulan itu, 12.30 tengah hari, dua jam lebih kemudian polis menahan seorang lelaki warganegara asing berusia 22 tahun berhampiran lokasi kejadian.

    “Siasatan lanjut berhubung kejadian masih dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

    Beliau berkata, orang ramai mempunyai maklumat berhubung kejadian menghubungi polis bagi membantu siasatan lapor Astro AWANI.