Category: Jenayah

  • Dalang sembilan kes samun sekitar ibu kota diberkas

    Dalang sembilan kes samun sekitar ibu kota diberkas

    SEORANG lelaki disyaki terbabit sembilan kes ragut di sekitar ibu kota ditahan kira-kira dua jam selepas melakukan jenayah sama di Taman Bunga Raya Taman Melati, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, semalam.

    Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, suspek berusia 31 tahun ditahan Bahagian Siasatan Jenayah dalam serbuan di Flat Taman Melati, Kuala Lumpur pukul 10.45 pagi.

    “Pada pukul 8.36 pagi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju menerima laporan berkenaan kejadian ragut yang berlaku di Jalan Lorong Mas Ria 3 di Taman Bunga Raya.

    “Suspek terbabit dipercayai tidak bekerja. Siasatan awal mendapati suspek mensasarkan warga tempatan dan warga asing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, pasukan serbuan merampas sebuah beg silang berjenama, telefon bimbit (11), masing-masing satu tablet, topi keledar, motosikal Yamaha Y15 dan beg penghantaran makanan serta plastik lutsinar disyaki dadah dan 21 keping wang asing.

    “Dengan tertangkapnya suspek mereka percaya berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya sembilan kes ragut di sekitar ibu negara,” katanya, lapor Harian Metro.

    Ashari berkata, hasil siasatan lanjut yang dijalankan, suspek mengaku terbabit dalam sembilan lagi kes ragut di sekitar kawasan Setapak dan Wangsa Maju.

    Suspek katanya, direman enam hari bermula 17 Mac bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan (samun-ragut).

    Sebarang maklumat berkaitan kes boleh disalurkan ke IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur, 03-21159999 atau balai berhampiran.

  • Sindiket pengedaran dadah tumpas, rampasan RM1 juta

    Sindiket pengedaran dadah tumpas, rampasan RM1 juta

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAH

    DUA penganggur warga tempatan diberkas polis selepas terbabit pengedaran dadah di sekitar Johor Bahru pada 14 Mac lalu.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, tangkapan dibuat hasil empat serbuan berasingan di Johor Jaya, Bandar Dato Onn dan Taman Setia Indah dari jam 5 petang sehingga 9 malam.

    “Dalam serbuan tersebut, dua lelaki tempatan berusia 32 dan 38 tahun ditahan bersama sejumlah rampasan dadah.

    “Pihak polis berjaya membuat rampasan pelbagai jenis dadah melibatkan 21.27 kilogram (kg) atau 21 peket syabu bernilai RM771,362; 727.00 gram (g) serbuk ekstasi melibatkan 71 peket bernilai RM36,350.

    “Selain itu 554.00g ketamin bernilai RM35,600; 110 biji pil ekstasi seberat 40.30g bernilai RM2,015; 48 biji pil Eramin 5 bernilai RM1,050 dan 56.30g ‘magick mushroom’ bernilai RM2,815,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Johor, Johor Bahru hari ini.

    Kamarul Zaman menunjukkan carta sindiket dadah beroperasi, selepas seidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru, hari ini. Foto ihsan IPK Johor

    Beliau berkata, pihaknya turut menyita dua buah kereta, sebuah motosikal, seutas jam tangan, wang tunai RM1,350 dan SGD114 (RM380).

    Katanya, semua rampasan dadah tersebut berjumlah 21kg dengan nilai RM849,192 manakala sitaan pula melibatkan RM160,430.

    Menurut Kamarul Zaman, keseluruhan nilai rampasan dan sitaan bagi serbuan berkenaan kira-kira RM1 juta.

    “Sindiket ini bersedia untuk mengedar apa jenis dadah yang berada di pasaran, dia bukan tumpu pada satu jenis dadah sahaja dan kalau lihat paket paket kecil yang ini, kita syaki diedarkan kepada pengguna pengguna untuk digunakan di pusat hiburan,” katanya.

    Datuk Kamarul Zaman Mamat

    Semua dadah itu katanya, dipercayai diseludup masuk dari negara di segi tiga emas dan mampu diedarkan kepada seramai 111,888 penagih.

    Ujian air kencing mendapati seorang suspek positif dadah jenis ketamin dan semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

    Kedua-dua suspek direman sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Penipuan dalam talian: Guru dakwa rugi lebih RM120,000

    Penipuan dalam talian: Guru dakwa rugi lebih RM120,000

    SEORANG guru mendakwa kerugian lebih RM120,000 selepas diperdayakan dalam urusan membeli seunit sistem membayar automatik rangkaian tol atau SmartTAG yang dijual pada harga RM80 menerusi media sosial.

    Ketua Polis Pahang Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata mangsa yang berusia 54 tahun mendakwa kejadian bermula selepas dia menekan pautan yang diberikan suspek untuk membuat pembayaran.

    “Mangsa mendakwa telah memasukkan maklumat perbankannya ke pautan itu namun pembayaran tidak berjaya menyebabkan dia kembali mengisi pautan diberikan dengan maklumat perbankan sebuah bank lain miliknya.

    “Mangsa mendakwa tetap tidak dapat menyelesaikan urusan pembayaran menyebabkan dia menyemak akaun banknya dan mendapati terdapat 16 transaksi pengeluaran dilakukan tanpa pengetahuannya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Ramli berkata mangsa membuat laporan Selasa lepas (14 Mac) di Ibu Pejabat Polis Daerah Maran.

    Beliau menasihatkan orang ramai untuk tidak memuat turun aplikasi atau mengikut pautan yang tidak sah atau mencurigakan serta membuat semakan di https://semakmule.rmp.gov.my/ sebelum membuat sebarang transaksi.

  • Berang ditegur ambil lauk guna jari, pelanggan mabuk pukul pekerja mamak ditahan polis

    Berang ditegur ambil lauk guna jari, pelanggan mabuk pukul pekerja mamak ditahan polis

    GARA-GARA berang ditegur, tiga lelaki bertindak memukul dua pekerja kedai mamak sehingga cedera dalam kejadian di sebuah restoran dekat Glomac, Cyberjaya, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, dalam kejadian pukul 7.30 malam itu, suspek pertama dan kedua berada di bahagian nasi kandar sementara suspek ketiga mengambil lauk dengan menggunakan jari dalam keadaan mabuk.

    Beliau berkata, pekerja telah menegur perbuatan suspek ketiga dan memberitahu akan melayan pelanggan lain dahulu yang sedang menunggu giliran.

    “Akibat ditegur, ketiga-tiga suspek bertindak agresif dan mula memukul pekerja kedai.

    “Salah seorang suspek menggunakan pengepit makanan besi dan memukul pekerja di kepala serta badan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Jelasnya, pengadu iaitu seorang pengurus restoran berusia 48 tahun mendakwa kejadian tersebut mengakibatkan barangan kedai termasuk 60 biji pinggan besar, 80 biji pinggan kecil rosak manakala lauk pauk tercemar dan terpaksa dibuang.

    Wan Kamarul Azran berkata, mangsa pertama mengalami lebam di leher, kepala, bahu kiri dan kedua-dua belah telinga, sementara mangsa kedua mengalami luka di badan, bengkak di kepala dan sakit tangan kanan.

    “Mangsa juga mendakwa telah diugut oleh dua suspek yang mengatakan akan memotongnya sekiranya jumpa di luar premis kedai,” ujarnya.

    Malah, pengadu mendakwa ketika beliau meleraikan pergaduhan tersebut, suspek telah mengeluarkan kata-kata kesat dan hinaan terhadap polis dalam bahasa Tamil.

    “Suspek mengatakan mereka tidak takut pada polis kerana tidak boleh mengambil apa-apa tindakan terhadap mereka,” ujarnya.

    Wan Kamarul Azran berkata, suspek pertama berusia 50 tahun ditahan di Perkarangan Balai Polis Cyberjaya pada pukul 1.40 pagi tadi.

    “Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan tidak mengaku memukul mangsa,” katanya.

    Sementara dua lagi suspek yang bekerja sebagai pemandu pelancong dan pemandu teksi masing-masing berusia 51 tahun ditahan di pekarangan Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah Sepang pada pukul 1 pagi.

    “Semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah.

    “Polis turut merampas sebatang penyepit besi yang digunakan ketika kejadian,” katanya, lapor UtusanTV.

    Kes kini disiasat di bawah Seksyen 324/427/506 Kanun Keseksaan.

  • ‘Datuk Roy’ direman kali kedua

    ‘Datuk Roy’ direman kali kedua

    SEORANG individu dikenali sebagai ‘Datuk Roy’ yang ditahan semula oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, direman empat hari bermula hari ini.

    Lelaki berusia 54 tahun itu dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya, bagi permohonan reman untuk membantu siasatan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

    Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin.

    Peguamnya, Fahmi Abd. Moin berkata, SPRM memohon tujuh hari lanjutan reman terhadap Datuk Roy bagi siasatan kes membabitkan beberapa individu dan pegawai SPRM.

    “Bagaimanapun, kami (peguam bela) membantah reman dilanjutkan kerana tiada keperluan untuk menahan Datuk Roy dengan lebih lanjut.

    “Ini kerana, anak guam kami akan memberikan kerjasama berterusan untuk membantu siasatan,” katanya lapor Harian Metro.

    Namun, mahkamah membenarkan permohonan SRPM untuk melanjutkan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 20 Mac.

    Sebelum ini, Datuk Roy direman tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

    Lelaki itu yang dibebaskan semalam, ditahan semula di Pejabat SPRM pukul 3.45 petang semalam.

    Terdahulu, dia diburu SPRM kerana didakwa menjadi perancang utama dalam siasatan kes meminta dan menerima rasuah RM400,000 bagi mengelakkan siasatan membabitkan program Jana Wibawa.

    Empat individu, termasuk seorang pegawai SPRM ditahan, namun kemudian dibebaskan dengan jaminan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berkenaan atas tujuan sama.

    Datuk Roy yang beralamat di Kuantan, Pahang pernah dipenjara kerana terbabit kes rasuah.

  • Pemandu mabuk mengamuk, pukul polis ditahan

    Pemandu mabuk mengamuk, pukul polis ditahan

    SEORANG lelaki yang bertindak agresif apabila mengamuk dan memukul dua anggota polis di hadapan pos pengawal Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU), di Ipoh, ditahan malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, dalam kejadian pukul 12.05 tengah malam, suspek warga tempatan berusia 30 tahun itu memandu kereta dan terlanggar penghadang jalan berhampiran pos pengawal PLPGU.

    “Lelaki yang dipercayai di bawah pengaruh alkohol itu kemudiannya telah mengamuk dan memukul dua pegawai rendah polis yang berada di lokasi ketika pemeriksaan dijalankan.

    “Akibat serangan itu, dua anggota terbabit cedera ringan dan telah menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

    Katanya, suspek direman selama tiga hari sehingga Ahad ini untuk siasatan lanjut.

    Katanya, siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan iaitu menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipannya.

    “Suspek juga disiasat mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan kepekatan alkohol melebihi had ditetapkan,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Kerajaan teruskan usaha kembali dana SRC di luar negara – Azalina

    Kerajaan teruskan usaha kembali dana SRC di luar negara – Azalina

    KERAJAAN tidak pernah berhenti daripada meneruskan usaha mengembalikan mana-mana aset Malaysia di luar negara yang berkait dengan dana SRC International Sdn Bhd (SRC).

    Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, usaha berterusan digerakkan bukan hanya untuk mendapatkan kembali aset terbabit sama ada di Switzerland, tetapi juga di mana-mana negara lain.

    Beliau berkata demikian melalui jawapan kepada pertanyaan lisan Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang disiarkan melalui laman sesawang Parlimen.

    Berdasarkan soalan, Ka Siong meminta penjelasan jika kerajaan mempunyai perancangan untuk mendapatkan kembali baki dana SRC berjumlah ASD$1.2 bilion yang dibekukan kerajaan Switzerland, serta langkah bakal diambil untuk mengembalikan dana terbabit.

    Azalina berkata, Jabatan Peguam Negara tidak mendapat apa-apa pengesahan bahawa terdapat dana SRC berjumlah AS$1.2 bilion dibekukan oleh kerajaan Switzerland pada peringkat ini.

    “Bagaimanapun, kerajaan melalui Syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sedang menjalankan usaha yang berterusan untuk mendapatkan kembali mana-mana aset sama ada di Switzerland atau mana-mana negara lain yang terbabit,” katanya, lapor Berita Harian.

    SRC ialah anak syarikat 1MDB sebelum ia diambil alih oleh Kementerian Kewangan pada 2012, dengan beban kewangannya ditanggung sepenuhnya Kerajaan Persekutuan.

    Daripada dana RM4 bilion yang dipinjam, sebanyak RM3.6 bilion (AS$1.1 bilion) dilapor dipindahkan melalui beberapa anak syarikat luar pesisir kepada beberapa entiti dan bank di luar Malaysia, termasuk BSI Bank di Switzerland (lebih AS$800 juta), Bank Julius Baer & Co Ltd di Hong Kong (AS$250 juta) dan sebuah syarikat eksplorasi arang batu di Mongolia (AS$ 60 juta).

  • Tembak isteri: Mahkamah arah Lans Koperal jalani pemeriksaan mental

    Tembak isteri: Mahkamah arah Lans Koperal jalani pemeriksaan mental

    MAHKAMAH Majistret Kangar hari ini mengarahkan anggota polis berpangkat Lans Koperal yang dituduh membunuh isterinya menjalani pemeriksaan mental di hospital psikiatri.

    Majistret Ana Rozana Mohd Nor memutuskan perkara itu selepas membenarkan permohonan Pengarah Pendakwa Raya Perlis Mohd Nordin Ismail agar Mohamad  Nizarman Hassim, 27, menjalani pemeriksaan itu mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

    Mohamad Nizarman yang memakai t-shirt berwarna merah dilihat beberapa kali mengesat air mata dan mengangguk tanda faham ketika pertuduhan dibacakan kepadanya.

    Dia didakwa membunuh Safsufarnisya Salleh, 26, di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat, Kangar antara 6.45 pagi hingga 8.50 pagi pada 5 Mac lepas.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung jika sabit kesalahan.

    Mahkamah menetapkan 14 April  ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan psikiatri.

    Media sebelum ini melaporkan tertuduh menembak mati isterinya di bilik tidur utama rumah keluarga mangsa.

  • ‘Lu dengan family mesti mati’ – Pengarah Mentega Terbang diugut bunuh

    ‘Lu dengan family mesti mati’ – Pengarah Mentega Terbang diugut bunuh

    “Lu dengan family mesti mati”, “Islam pasti bangkit! #MentegaTerbang”, “Mentega Terbang, jangan cabar Islam”, “Ingat family selamat Mentega Terbang?” dan “Tengok lu punya langsi Mentega Terbang”.

    Itu adalah antara nota ugutan yang ditinggalkan di rumah pengarah filem Khairi Anwar di Selangor.

    Bukan itu sahaja, keretanya juga disimbah dengan cat merah dan hitam.

    Khairi adalah pengarah Mentega Terbang yang mengundang kontroversi baru-baru ini selepas dilihat sesetengah pihak sebagai menghina Islam.

    Dalam laporan polis yang dilihat Malaysiakini, pengarah berusia 31 tahun itu berkata, kereta pelakon Arjun Thanaraju juga disimbah dengan cat merah dan asid, di rumahnya di Ampang.

    Namun, tidak dapat dipastikan jika Arjun turut menerima ugutan yang sama.

    Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Zaid Hassan ketika dihubungi, mengesahkan Khairi telah membuat laporan polis pagi ini.

    Serangan itu sehari selepas polis mengambil keterangan Khairi dan enam pelakon dalam filem tersebut.

    Mentega Terbang disiarkan di platform penstriman Viu dan mengisahkan tentang Aishah, remaja berusia 15 tahun yang bergelut dengan persoalan kehidupan selepas mati dalam pelbagai agama, setelah ibunya didiagnos menghidap penyakit kritikal.

    Sejumlah pihak menyifatkan filem itu sebagai menghina Islam kerana memaparkan seorang yang beragama Islam cuba mendalami agama lain.

    Filem itu kini disiasat mengikut Seksyen 289A dan 505(b) Kanun Keseksaan, Serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    Terdahulu, hasil penelitian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terhadap kandungan filem Mentega Terbang mendapati, terdapat pertentangan jelas dengan akidah dan cara kehidupan umat Islam di Malaysia yang beraliran Mazhab Syafie.

    Malaysiakini telah menghubungi Khairi serta peguam yang mewakili pelakon Mentega Terbang untuk mendapat maklum balas lanjut berhubung insiden ini.

  • CAP dakwa pengguna ditipu alat penimbang berat tidak tepat

    CAP dakwa pengguna ditipu alat penimbang berat tidak tepat

    PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menjalankan pemeriksaan dan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga di pasar basah yang menggunakan alat penimbang berat mekanikal yang tidak tepat (timbang dua muka) untuk menipu pengguna.

    Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, tinjauan pihaknya di hampir kesemua pasar basah di Pulau Pinang baru-baru ini menunjukkan pelekat penentu ukur pada beberapa alat penimbang berat tidak dipaparkan kepada pengguna.

    Sedangkan, tambah beliau, pelekat penentu ukur itu sepatutnya perlu dilihat oleh pengguna supaya mereka pasti akan ketepatan alat penimbang berat itu dan jika ia sesuai untuk digunakan bagi perniagaan.

    “Di samping isu pelekat penentu ukur, kami juga mendapati alat penimbang berat yang digunakan oleh kebanyakan peniaga adalah kurang memuaskan memandangkan jarum petunjuk tidak bermula daripada “0” (sifar) dan kadangkala jarum pada permukaan plastik yang telus itu juga kotor menyebabkan bacaan pada jarum itu menjadi sukar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambah Mohideen, para peniaga perlu menghantar alat penimbang berat mereka untuk penentuan ukur setiap tahun di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972.

    Ujarnya, pihak Kementerian perlu mempertimbangkan dengan serius untuk mencetak tahun penentu ukur dalam huruf terang yang besar pada pelekat penentu ukur untuk memudahkan pengguna membacanya.

    Malah, kata beliau, para peniaga juga perlu diingatkan yang mana bahagian alat penimbang dengan pelekat penentu ukur perlu dipamerkan dengan jelas di depan pengguna.

    “Pihak kementerian juga perlu memastikan bahawa setiap pasar mempunyai dua alat penimbang berat (satu daripadanya untuk digunakan bagi barangan halal) untuk pengguna mengesahkan berat barangan mereka jika mereka meraguinya.

    “Nombor untuk dihubungi juga perlu disediakan di tempat alat penimbang berat supaya pengguna boleh menghubungi jika mereka mempunyai sebarang aduan berhubung kekurangan berat, kenaikan harga barangan utama atau amalan perniagaan yang tidak sihat,” katanya.