Category: Jenayah

  • PDRM siasat video tular dua lelaki hina nabi – Saifuddin

    PDRM siasat video tular dua lelaki hina nabi – Saifuddin

    KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) mengesahkan telah menerima laporan berhubung video tular dalam media sosial berkaitan dua lelaki dipercayai menghina Nabi Muhammad SAW.

    Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata siasatan kini sedang dilakukan Polis Diraja Malaysia.

    “Sudah tentu KDN akan memberi keutamaan kepada perkembangan kes ini yang tentunya tidak sihat sama sekali dalam konteks amalan beragama di negara ini,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Penjara ke-233 di Maktab Penjara Kajang, di Kajang hari ini.

    Turut hadir, Ketua Setiausaha KDN Datuk Ruji Ubi dan Ketua Pengarah Jabatan Penjara Datuk Nordin Muhamad.

    Baru-baru ini, tular rakaman video berdurasi 52 saat dalam media sosial memaparkan dua lelaki dipercayai menghina Nabi Muhammad SAW.

  • Lelaki tumbuk, sepak doktor warga emas ditahan

    Lelaki tumbuk, sepak doktor warga emas ditahan

    POLIS menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam kes mendatangkan kecederaan dan ugutan terhadap seorang lelaki warga emas dalam satu kejadian di sekitar Ampang, semalam.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi itu, suspek yang menaiki kereta jenis Mercedes berwarna putih melanggar bahagian belakang kereta dipandu seorang doktor berusia 67 tahun di lampu isyarat Jalan Kolam Air Lama.

    “Apabila tiba di hadapan sebuah stesen minyak berhampiran, kereta mangsa dihalang dari arah hadapan oleh kereta suspek yang kemudian turun dan membuka pintu kereta doktor berkenaan.

    “Suspek kemudian menumbuk pipi kanan selain menarik rambut dan menyepak mangsa di bahagian pinggang menyebabkan dia berasa sakit. Kejadian itu dirakam pengguna jalan raya sehingga tular dalam media sosial, semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohamad Farouk berkata suspek berumur 27 tahun ditahan pada 9.45 malam tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya setelah hadir memberi keterangan.

    “Suspek memukul mangsa kerana tidak berpuas hati selepas arahannya supaya memberhentikan kenderaan tidak diendahkan mangsa setelah kenderaan mereka berlanggar,” katanya dan menambah permohonan reman akan dibuat hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan.

    Beliau berkata suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan hasil ujian saringan air kencing ke atasnya negatif. – BERNAMA

  • 34kg ganja dirampas polis, dua individu ditahan

    34kg ganja dirampas polis, dua individu ditahan

    POLIS merampas 34 kilogram (kg) ganja mampat bernilai RM85,000 ketika operasi snap check di Kilometer (KM) 8 Jalan Gua Musang-Kuala Lipis di Gua Musang, semalam.

    Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Sik Choon Foo berkata, dalam operasi 6 petang itu, seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun dan wanita warga Filipina berusia 46 tahun ditahan.

    “Hasil siasatan terhadap kenderaan Perodua Axia menemukan 34 ketulan ganja mampat di tempat duduk belakang.

    “Hasil pemeriksaan lanjut mendapati sebanyak 34 bungkusan ganja mampat dengan anggaran kasar satu kg setiap ketulan. Dipercayai ganja itu diperoleh dari negara jiran untuk dibawa ke Kuala Lumpur melalui negeri ini.

    “Ketulan ganja ini boleh digunakan seramai 34,000 penagih dan anggaran harga kira-kira RM85,000,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, Gua Musang, hari ini.

    Katanya, lelaki terbabit dipercayai sebagai transporter dan pihaknya percaya itu adalah penghantaran kali kedua bagi suspek.

    “Hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek lelaki mendapati positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai rekod lampau mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (2019 & 2016).

    “Suspek wanita tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan negatif dadah,” katanya, lapor Harian Metro.

    Menurutnya, kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga Ahad ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B ADB 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952.

  • Diskaun kompaun dan saman PDRM sehingga 60 peratus

    Diskaun kompaun dan saman PDRM sehingga 60 peratus

    SEMPENA Hari Polis Ke-216, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan pengurangan kadar kompaun dan saman sehingga 60 peratus bermula hari ini.

    PDRM berkata, tawaran itu diberikan kepada pesalah trafik tertakluk kepada saman terpilih sehingga 31 Mac ini.

    “Tawaran pengurangan kompaun saman trafik secara dalam talian sehingga 60 peratus tertakluk kepada saman terpilih melalui aplikasi MyBayar Saman dan secara fizikal di semua kaunter bayaran trafik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen dan Daerah di seluruh negara.

    “Pengurangan kompaun tidak ditawarkan bagi kesalahan termasuk kemalangan, bicara mahkamah, waran, kenderaan berat, memotong secara bahaya, menggunakan lorong kecemasan, melanggar lampu isyarat, pengubahsuaian ekzos dan saman Op Selamat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Orang ramai yang mahu membuat bayaran boleh mendaftar MyBayar Saman dan tidak perlu beratur panjang di kaunter bayaran trafik.

    Pendaftaran boleh dibuat menerusi portal https://mybayar.rmp.gov.my; Google playstore; Apple store dan Huawei Appstore.

  • Lebih 50,000 liter diesel seleweng dirampas KPDN Pulau Pinang

    Lebih 50,000 liter diesel seleweng dirampas KPDN Pulau Pinang

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang berjaya mematahkan lapan percubaan menyeludup diesel bersubsidi membabitkan rampasan berjumlah 50,340 liter dengan nilai RM369,231 menerusi Ops Tiris yang dilaksanakan sepanjang bulan ini setakat semalam.

    Pengarah KPDN Pulau Pinang, S. Jegan berkata, jumlah itu termasuk dua kes rampasan diesel bersubsidi di Bandar Perda, Bukit Mertajam kelmarin dan di Sungai Bakap, Nibong Tebal, semalam.

    Jelas beliau, dalam operasi di Bandar Perda, pihaknya mengesan sebuah lori seberat tujuh tan yang mencurigakan hasil pemantauan di sebuah stesen minyak kira-kira pukul 3 petang.

    Katanya, sepasukan anggota penguat kuasa kemudian bertindak mengekori lori tersebut yang membuat pembelian berulang dari sebuah stesen minyak ke sebuah stesen minyak lain.

    “Bagaimanapun, apabila menyedari diekori, pemandu lori itu kemudian menghentikan kenderaannya di kawasan bangunan lama sebuah pusat beli-belah di Bandar Perda sebelum melarikan diri.

    “Hasil pemeriksaan terhadap lori terbabit kemudian mendapati terdapat satu unit tangki besi tambahan berukuran 20x7x3 yang disyaki mengandungi diesel selain dua unit pam motor dan hos di bahagian lantai lori berkenaan yang digunakan untuk menyedut minyak diesel dari tangki asal,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Kompleks Penyimpanan Ekshibit KPDN di Bukit Minyak, Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.

    Menurut Jegan, modus operandi bagi kes ini ialah dengan membeli bahan api itu di beberapa tempat berasingan sebelum dikumpul di satu tempat untuk dijual kepada pihak ketiga.

    Ujar beliau, pihaknya turut mengesyaki sindiket tersebut menggunakan khidmat tonto bagi mengawasi aktiviti mereka selain memantau pergerakan pihak berkuasa dan kes itu disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

    “Dalam operasi malam semalam di Sungai Bakap pula, seorang lelaki berusia 25 tahun ditahan bersama 4,600 liter diesel susulan pemeriksaan terhadap tiga buah lori kira-kira pukul 10.30 malam,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, Jegan berkata, turut menahan seorang lelaki berusia 38 tahun ditahan bersama 80 tong gas petroleum cecair (LPG) seberat 14 kilogram (kg) setiap satu yang disimpan di sebuah stor simpanan khas dalam serbuan di Permatang Pasir, Balik Pulau, Jumaat lalu.

    Jelasnya, dalam serbuan itu, pihaknya turut menyita sebuah lori yang digunakan untuk membekalkan barang kawalan tersebut dengan anggaran keseluruhan rampasan sebanyak RM23,528.

  • KDN serah kepada SPRM siasat penyelewengan sukuk

    KDN serah kepada SPRM siasat penyelewengan sukuk

    KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) menyerahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat pegawai KDN yang disyaki terlibat dalam penyelewengan perjanjian sukuk bernilai RM596 juta.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, SPRM harus diberi ruang seluas-luasnya untuk menunaikan tugas dan tanggungjawab mereka mengikut lunas undang-undang.

    Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Peringatan Hari Polis ke-216 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, di Kuala Lumpur hari ini, beliau berkata, SPRM bebas menjalankan apa jua siasatan yang sesuai dengan tugas dan kewujudannya.

    Rabu lepas, SPRM menahan empat individu termasuk pengarah dan ketua pegawai kewangan sebuah syarikat bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dalam perjanjian sukuk yang melibatkan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

    Kesemua suspek yang berumur antara 40 dan 55 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, dan beberapa media turut melaporkan SPRM dijangka memanggil pegawai KDN bagi membantu siasatan.

    Sementara itu ketika diminta mengulas mengenai kebajikan warga Polis Diraja Malaysia, Saifuddin Nasution berkata, perkara itu adalah satu usaha yang berterusan, dan bukan bermusim atau dilakukan bersempena sambutan Hari Polis semata-mata.

  • Wanita warga emas ditipu konon badan berhantu

    Wanita warga emas ditipu konon badan berhantu

    GARA-GARA mempercayai hantu berada dalam badan, seorang wanita warga emas kerugian RM2,000 kononnya untuk membuang mahkluk halus tersebut.

    Dalam kejadian pukul 9.30 pagi semalam, mangsa berusia 69 tahun didatangi tiga individu wanita yang tidak dikenali ketika berada di Pasar Lama Bahau dan seorang suspek kemudian menegur mengenai hantu yang mengikut mangsa.

    Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata, ketiga-tiga suspek mendakwa boleh membersihkan dan membuang hantu di badan mangsa tanpa meminta sebarang bayaran pada awalnya.

    “Mangsa kemudian bersetuju sebelum seorang suspek meminta mangsa pulang ke rumah mengambil wang dan barang kemas bagi upacara membuang hantu.

    “Dia diminta menyerahkan wang dan barang kemas di tepi sebuah bank di Bahau bagi upacara membuang hantu dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Hoo berkata, selepas menyerahkan wang tunai RM1,000, dua utas rantai leher, satu utas rantai tangan dan dua bentuk cincin, mangsa diberi dua botol air mineral kecil dan satu bungkus garam.

    Katanya, mangsa kemudian diminta pulang dan tidak dibenarkan memandang ke arah belakang.

    “Sebaik tiba di rumah, anak mangsa bertanya mengenai air serta garam berkenaan dan mangsa menceritakan kejadian sebelum anak memberitahu mangsa sebenarnya sudah ditipu.

    “Mangsa kemudian mendakwa dipukau dan ditipu oleh suspek dan mengalami kerugian sebanyak RM2,000,” katanya, lapor Harian Metro.

    Hoo berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

  • Jom Ziarah Gereja: Hannah Yeoh akan dipanggil polis

    Jom Ziarah Gereja: Hannah Yeoh akan dipanggil polis

    MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh akan dipanggil polis untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan berkaitan penganjuran program ‘Jom Ziarah Gereja’ oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bernaung di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

    Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya akan memanggil Hannah dalam masa terdekat.

    “Kita akan merakam keterangan Chegubard (Badrul Hisham Shaharin) pada hari ini bagi membantu siasatan.
    Setakat ini, pihak polis telah menerima dua laporan polis berkaitan isu berkenaan.

    “Kita telah merakam keterangan tiga individu yang terdiri daripada pengadu dan dua wakil NGO bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang akhbar selepas sambutan Peringatan Hari Polis Ke-216 di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul hari ini, lapor Sinar Harian.

    Semalam media melaporkan, Polis membuka satu kertas siasaran berhubung penganjuran program ‘Jom Ziarah Gereja’.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim dilaporkan berkata, walaupun program itu telah dibatalkan semalam, namun satu laporan polis telah diterima berhubung kes itu.

    Pada 14 Mac lalu, Hannah ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat menjelaskan bahawa, program ‘Jom Ziarah Gereja’ tidak melibatkan individu beragama Islam.

  • RM18 juta kerugian akibat kes penipuan

    RM18 juta kerugian akibat kes penipuan

    TIMBALAN Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Fisol Salleh memberitahu, hampir RM18 juta nilai kerugian akibat kes penipuan dilaporkan di negeri itu Pulau Pinang hanya dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

    Menurutnya, ini membabitkan 668 kes dan daripada jumlah berkenaan kerugian paling besar melibatkan penipuan telekomunikasi iaitu hampir RM9.7 juta daripada 160 kes yang dilaporkan.

    “Kes penipuan lain melibatkan e-dagang dengan nilai kerugian RM3.5 juta daripada sebanyak 281 kes yang dilaporkan serta penipuan pelaburan membabitkan nilai kira-kira RM3.1 juta (63 kes).

    “Kes penipuan lain adalah e-kewangan iaitu RM724,469 melibatkan 70 kes; pinjaman tidak wujud sebanyak RM632,611 membabitkan 61 kes; Love dan Parcel Scam sebanyak RM294,077 dengan 13 kes dan sindiket ah long dengan nilai RM7,000 dengan 20 kes,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-216 peringkat negeri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT), Bukit Mertajam, hari ini.

    Fisol berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang pula sepanjang tahun ini setakat 28 Februari lalu juga berjaya menumpaskan sebanyak tujuh sindiket pengedaran dadah jenis heroin; ketamin; ganja dan syabu menerusi beberapa siri Op Mutiara.

    “Menerusi operasi ini, seramai 2,878 orang telah berjaya ditahan dan 40 kertas siasatan telah dibuka manakala nilai rampasan sebanyak RM5.32 juta serta hasil sitaan harta pula sebanyak RM2.98 juta,” katanya.

  • 10 ditahan kes pukul lelaki hingga mati di pusat hiburan

    10 ditahan kes pukul lelaki hingga mati di pusat hiburan

    POLIS menahan 10 lelaki termasuk dua warga asing ditahan bagi membantu siasatan kematian seorang lelaki dalam pergaduhan di sebuah pusat hiburan dekat Kompleks Metro Pudu, Kuala Lumpur, semalam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku antara pukul 5 hingga 7 pagi, semalam.

    Pihak polis katanya, menerima satu laporan mengenai kejadian seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun dipukul di Kompleks Metro Pudu pada pukul 12.30 tengah hari, semalam.

    “Mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan dan disahkan meninggal dunia pada pukul 4.40 petang, hari yang sama.

    “Susulan kejadian itu, satu operasi khas diadakan bermula pukul 10.30 malam tadi hingga pukul 12.15 tengah malam oleh Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wang Maju bagi mengesan suspek.

    “Hasil operasi, kita menahan lapan lelaki warga tempatan berusia di antara 20 tahun hingga 37 tahun serta dua lelaki warga negara asing berusia di antara 28 tahun hingga 43 tahun di sekitar ibu kota,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Ashari berkata, siasatan lanjut mendapati pergaduhan dipercayai berpunca daripada perselisihan faham yang berlaku di antara mangsa dan kumpulan suspek.

    Katanya, semua suspek akan dikemukakan kepada mahkamah untuk proses reman esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

    Polis ujar beliau, memberi amaran agar orang ramai supaya tidak membuat spekulasi dan menimbulkan provokasi berkait kejadian ini.

    “Kita memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini untuk tampil membantu siasatan,” katanya, lapor Berita Harian.

    Maklumat boleh disalurkan kepada IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.