Category: Jenayah

  • ‘Malaysia perlu siasat penglibatan Kuwait dalam skandal 1MDB’

    ‘Malaysia perlu siasat penglibatan Kuwait dalam skandal 1MDB’

    SEORANG ahli perniagaan asing yang disabitkan di mahkamah Kuwait kerana pengubahan wang haram, menggesa Malaysia menyiasat dakwaan penglibatan pegawai negara Teluk itu dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Ahli perniagaan Syria-Perancis, Bachar Kiwan memberitahu Malaysiakini demikian selepas sabitan ke atas Sheikh Sabah Jaber Al-Mubarak Al-Sabah, anak kepada bekas perdana menteri Kuwait, atas tuduhan yang dikaitkan dengan 1MDB.

    Mahkamah Kuwait turut mendapati tiga lagi bersalah termasuk ahli perniagaan yang kini dalam buruan Low Taek Jho, lebih dikenali sebagai Jho Low, yang disabitkan kesalahan tanpa kehadiran.

    “Bagi saya, ia (hanya) satu lagi kes,” kata Bachar, yang kini berada di Perancis, ketika diminta mengulas mengenai sabitan itu.

    “Tetapi bahagian yang paling penting ialah ia adalah kali pertama selepas tujuh tahun anak lelaki daripada keluarga Al-Sabah itu disabitkan kesalahan.

    “Itu sangat unik di Kuwait,” tambahnya.

    Pada Selasa, akhbar Kuwait Al-Qabas melaporkan bahawa seorang syeikh, pasangannya, dan dua warga asing dijatuhi hukuman penjara 10 tahun, manakala seorang peguam dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun.

    Mereka juga diarah memulangkan AS$1 bilion (RM4.4 bilion) selain membayar denda berjumlah KD145 juta (RM2 bilion).

    Menurut Al-Qabas, lima mereka didakwa melakukan pengubahan wang haram mata wang China bersamaan dengan KD343,700,000 (RM4.95 bilion) dengan pengetahuan ia adalah hasil haram yang digelapkan daripada 1MDB.

    Akhbar itu hanya mengenal pasti dua warga asing itu sebagai Jho Low dan Bachar tetapi tidak menamakan syeikh Kuwait, pasangannya, atau peguam yang dimaksudkan.

    Laman pemberi maklumat Sarawak Report, bagaimanapun, mengenal pasti sheikh itu sebagai Sheikh Sabah Jaber. Pasangannya dikenal pasti sebagai sekutu Jho Low, Hamad Al Wazan dan peguamnya sebagai Saud Abdelmohsan.

    Bachar, yang sejak tahun lalu membuat dakwaan pengubahan wang haram terhadap Jho Low dan seorang elit Kuwait, terus menuduh kerajaan Kuwait cuba mengelak sebarang akauntabiliti dalam kes itu.

    “Di sinilah Malaysia perlu berhati-hati. Urusan ini tidak boleh berlaku tanpa penyertaan aktif pegawai Kuwait kerana kita bercakap tentang berbilion-bilion, kita bercakap tentang bank Pusat.

    “Pada 2018, negara anda (Malaysia) menghantar siasatan ke Kuwait. Siasatan ini adalah mengenai beberapa pemindahan yang mencurigakan. Jawapan daripada kerajaan Kuwait ialah ‘kami tidak mempunyai sebarang masalah’… Ia (pemindahan) adalah 100 peratus sah,” dakwa Bachar.

    “Sejak itu rakyat Kuwait sangat malu kerana hari ini implikasi pegawai bermakna kes ini sepatutnya dibangkitkan antara negara.

    “Ini yang Kuwait cuba elakkan dan ini yang Malaysia belum faham lagi,” tambahnya.

    Bachar menyatakan bahawa walaupun penghakiman terbaharu tidak melibatkan dakwaan pegawai kerajaan, jejak wang yang didakwa dari China ke Kuwait – yang didedahkan oleh Wall Street Journal pada 2020 – tidak mungkin berlaku hanya antara entiti swasta.

    Oleh itu, dia berkata, Malaysia perlu melihat kemungkinan penglibatan pegawai Kuwait dalam transaksi itu, memetik maklumat daripada tiga pemberi maklumat termasuk dirinya dan dua kolonel Kuwait dari Agensi Keselamatan Negara yang terlibat dalam menyiasat siasatan Malaysia pada 2018.

    “Ahli politik anda harus memulakan kerjasama dengan pemberi maklumat ini untuk memahami keseluruhan skim dan tanggungjawab Kuwait.

    “Untuk membangkitkan urusan ini antara negera dan tidak menyimpannya sebagai isu peribadi. Ia bukan jenayah peribadi, ia adalah jenayah yang dilakukan terhadap penduduk Malaysia, jenayah yang dilakukan pegawai Kuwait,” tambah Bachar.

    Kedua-dua kolonel itu – Sheikh Faisal Al Salman dan Nasser Al Tayyar – dilaporkan telah ditangkap, didakwa, dan dibebaskan pada November 2021 atas tuduhan membocorkan ‘rahsia negara’ yang dikaitkan dengan 1MDB.

  • CCTV rakam remaja lelaki dera, bakar anjing

    CCTV rakam remaja lelaki dera, bakar anjing

    SEORANG remaja lelaki berusia 19 tahun dirakam mendera anjing liar dalam tiga kejadian berasingan, termasuk membakar seekor haiwan itu dalam serangan terbaharu dua hari lalu.

    Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan pemuda itu membaling pasu ke arah anjing yang mendiami ruang tangga, bersebelahan sebuah klinik veterinar di Johor Bahru pada 8 Mac lalu.

    Pada 14 Mac lalu, dia kembali ke tempat sama dan membaling batu serta bata ke arah dua ekor anjing liar itu.

    Pada 27 Mac lalu, dia dilihat memukul seekor anjing liar itu dengan batang besi sebelum meninggalkan tempat itu dengan kereta, tetapi kembali semula untuk membakar seekor daripadanya.

    Menurut myforeverdoggo, platform menawarkan bantuan mencari tempat perlindungan bagi anjing liar, haiwan itu kini dirawat di sebuah klinik veterinar di Johor.

    Anjing itu dikatakan patah tulang di kedua-dua kaki depan dan belakang, selain melecur tahap pertama hingga dua di badan.

    “Ia perlu sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan untuk pulih,” menurut catatan myforeverdoggo di Instagram, lapor FMT.

    Satu laporan polis kemudiannya difailkan.

    Menurut myforeverdoggo, datuk dan nenek pemuda itu memohon maaf susulan kemarahan orang ramai terhadap kejadian berkenaan.

    Ibu lelaki terbabit pula dikatakan meminta laporan polis itu ditarik balik.

    “Dia (ibu) mendakwa mencederakan anjing adalah perkara remeh dan anjing itu akan menggigit orang jika dibiarkan di luar,” menurut catatan itu.

    Doktor haiwan tidak dikenali itu bagaimanapun berkata, anjing terbabit mesra dengan pelanggannya dan tidak pernah menunjukkan sebarang tanda agresif atau mengejar manusia.

  • Padah ugut peminjam, 9 orang suruhan along ditahan polis

    Padah ugut peminjam, 9 orang suruhan along ditahan polis

    TINDAKAN sembilan orang warga tempatan termasuk dua wanita yang menjadi orang suruhan along bagi menakut-nakutkan peminjam mengundang padah apabila mereka ditahan polis.

    Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, sindiket yang menerima upah daripada along ini bergiat aktif sejak Februari lalu di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim GAMBAR: Warta Rakyat

    “Bagi setiap ugutan yang dibuat, sindiket itu akan menerima upah antara RM300 sehingga RM450 mengikut jarak rumah peminjam dan tindakan yang diambil,” katanya.

    Mengulas lanjut, Mohd Iqbaly berkata, kesemua suspek ditangkap dalam serbuan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur pada Isnin dan Selasa lalu.

    “Berdasarkan siasatan, salah seorang tangkapan ingin membuat pinjaman daripada along.

    “Namun, sebaliknya along telah menawarkan upah kepada suspek itu bagi mengugut peminjam lain,” katanya pada satu sidang media di Ibu Pejabat Daerah Shah Alam, hari ini.

    Mohd Iqbal mengatakan, mereka yang terlibat ditugaskan menampal notis, mengunci rumah dan menyimbah cat merah ke rumah peminjam jika gagal membuat bayaran.

    “Sindiket ini berhubung dengan along hanya menerusi aplikasi WhatsApp bagi menerima arahan sebelum menjalankan tugas mereka.

    “Bagi setiap arahan, mereka (suspek) akan merakam dan menghantar video sebagai bukti pekerjaan tersebut telah dilakukan.

    “Kemudian ah long akan membuat bayaran masuk wang ke dalam akaun salah seorang ahli sindiket sebagai upah,” ujarnya.

    Setakat ini menurut beliau, sindiket berkenaan terlibat dalam enam kes di sekitar Shah Alam selain turut dipercayai terlibat di daerah lain di Selangor dan Kuala Lumpur.

    Kesemua suspek berusia lingkungan 21 tahun sehingga 41 tahun direman selama empat hari bermula semalam sehingga Jumaat ini.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

    along, gagal bayar hutang, Hutang, kunci rumah, notis, pdrm, simbah cat, ugut peminjam,

  • Tiga lelaki ditahan miliki senapang patah, peluru, busur

    Tiga lelaki ditahan miliki senapang patah, peluru, busur

    Oleh RIZQI ZABIDI

    TIGA lelaki ditahan polis kerana disyaki memiliki senjata berbahaya dalam serbuan di dua rumah dekat Kampung Padang Terap, Kuala Nerang pada 21 Mac lalu.

    Datuk Mohd. Roze Shaari

    Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd. Roze Shaari berkata, ketiga-tiga mereka yang berusia antara 20 hingga 32 tahun ditahan hasil maklumat awam.

    Menurutnya, pihak polis merampas dua laras senapang patah, peluru hidup dan busur buatan sendiri yang dipercayai digunakan bagi memburu hidupan liar sebagai sumber pendapatan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 14 tahun dan sebatan jika disabitkan dengan kesalahan.

    “Dua daripada tiga suspek telah berjaya dituduh di Mahkamah Sesyen Alor Setar pada 27 Mac 2023,” katanya.

    Tambahnya, orang ramai dinasihatkan agar mengelak daripada membeli mahu pun memiliki sebarang senjata api tanpa lesen sah.

    “Orang ramai juga digalakkan untuk membantu pihak polis dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan pemilikan atau penjualan senjata api serta jenayah melalui talian MERS 999,” katanya.

  • Dua remaja cedera, motosikal langgar MPV polis

    Dua remaja cedera, motosikal langgar MPV polis

    DUA remaja cedera apabila motosikal yang dinaiki berlanggar dengan sebuah unit kenderaan peronda (MPV) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Persimpangan Lembah Hijau, Bandar Tasik Puteri, Rawang di Gombak pukul 10.10 malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, dalam kejadian itu kereta peronda tersebut dari arah Bandar Tasik Puteri menghala ke Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar).

    “Setibanya di persimpangan lampu isyarat Persiaran 3, Lembah Hijau, motosikal yang dinaiki kedua-dua remaja masing-masing berumur 14 tahun itu telah melanggar bahagian kiri kereta peronda polis tersebut.

    “Pelanggaran mengakibatkan motosikal dinaiki kedua-dua mangsa terbabas sebelum kedua-duanya terjatuh,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Menurutnya, kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan kemudian dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

    Katanya, dua anggota polis yang berada dalam kereta peronda tersebut bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

    Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Ujar Zainal Mohamed, orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta segera tampil bagi membantu siasatan.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Norazlan Noorudin di talian 0197974466 atau IPD Gombak di talian 03-61262222,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Duda rugi RM183,000 angkara Love Scam

    Duda rugi RM183,000 angkara Love Scam

    SEORANG jurukimpal di Kuantan kerugian RM183,600 akibat terpedaya sindiket Love Scam selepas berkenalan dengan seorang wanita tempatan melalui Facebook.

    Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata disebabkan sayang dan merancang untuk berkahwin, lelaki berusia 55 tahun itu sanggup membuat pinjaman peribadi.

    “Selain itu, mangsa turut mengeluarkan wang simpanan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

    “Berdasarkan laporan, mangsa berstatus duda yang kematian isteri berkenalan dengan seorang wanita melalui Facebook pada Januari lalu.

    “Mangsa berkenalan dengan lebih rapat dan berbincang untuk berkahwin. Pada awal Februari lalu, mangsa membuat pindahan wang secara dalam talian ke akaun suspek berjumlah RM25,600,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kata beliau, tujuan wang itu digunakan untuk pembayaran kos kiriman wang AS$600,000 (RM2,642,187) untuk perbelanjaan perkahwinan mereka.

    Ramli berkata, selepas itu, mangsa membuat 10 kali transaksi pembayaran kepada dua akaun bank yang berbeza sebagai penambahan perbelanjaan perkahwinan.

    Katanya, mangsa kemudiannya terus didesak untuk memasukkan RM30,000 untuk tujuan bayaran kepada Bank Negara bagi menyelesaikan masalah kiriman wang terbabit.

    “Tetapi mangsa enggan berbuat demikian dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Harian Metro.

  • SPRM nafi dua pegawai kanan dalang rasuah korporat

    SPRM nafi dua pegawai kanan dalang rasuah korporat

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dua pegawai kanannya dalang dalam isu rasuah dan salah guna kuasa melibatkan syarikat korporat.

    SPRM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, perkara tersebut merupakan tohmahan liar serta tidak bertanggungjawab yang sengaja dilemparkan kepada pegawai suruhanjaya itu bagi menimbulkan persepsi negatif.

    “Kedua-dua pegawai tersebut telah dipanggil untuk memberikan penjelasan dan mereka seterusnya membuat laporan polis untuk menyangkal tohmahan tersebut.

    “Namun begitu, sekiranya wujud bukti, pihak berkaitan harus tampil membuat aduan atau laporan kepada penguat kuasa dan bukan membuat tohmahan menerusi media sosial yang berselindung di sebalik identiti palsu,” kata SPRM.

    Tegas suruhanjaya itu, pihaknya tidak membuka kertas siasatan sewenang-wenangnya tanpa bukti dan fakta.

    “Setiap siasatan yang dijalankan adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) berlandaskan undang-undang yang diperuntukkan serta dipantau oleh lima badan pemantau bebas,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Berdasarkan prinsip pengasingan kuasa, Pejabat Peguam Negara (AGC) berfungsi sebagai mekanisme semak dan imbang bagi memastikan hanya kes yang mempunyai bukti dan fakta kukuh diberikan izin untuk mendakwa mengikut budi bicaranya.

    Dalam pada itu juga, SPRM juga tidak akan tunduk kepada tekanan oleh mana-mana pihak untuk mengalihkan perhatian daripada kes rasuah dan penyelewengan yang sedang giat disiasat ketika ini.

  • 1 maut, 2 parah dalam kejadian kejar kereta selepas curi telefon bimbit

    1 maut, 2 parah dalam kejadian kejar kereta selepas curi telefon bimbit

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TINDAKAN berani seorang lelaki memandu kenderaannya mengejar sebuah kereta selepas telefon bimbitnya dicuri menyebabkan seorang maut manakala dua parah dalam kejadian di Batu Pahat, pukul 3.30 petang semalam.

    Insiden tersebut berlaku di Jalan Parit Jalil melibatkan tiga buah kenderaan iaitu SUV Mazda CX5, Proton Wira dan Perodua Axia.

    Ketua Polis Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila penumpang dan pemandu kereta Proton Wira cuba melarikan diri selepas mencuri telefon bimbit milik pemandu kereta jenis SUV Mazda CX5.

    “Penumpang berkenaan berusia 43 tahun manakala pemandu Proton Wira pula berusia 29 tahun. Pemandu SUV Mazda CX5 yang berusia 31 tahun mengejar mereka dan sebaik sampai di lokasi kejadian, SUV Mazda CX5 secara tiba-tiba hilang kawalan.

    Kemalangan itu menyebabkan Proton Wira melanggar sebuah kereta lain dan mengakibatkan suspek maut akibat cedera parah

    “SUV Mazda CX5 berkenaan kemudian melanggar bahagian belakang kereta Proton Wira yang dikejarnya itu.

    “Akibat perlanggaran itu, pemandu kereta Proton Wira dipercayai hilang kawalan dan bertembung dengan sebuah kereta Perodua Axia dinaiki sepasang suami isteri yang datang dari arah bertentangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Ismail berkata, penumpang Proton Wira mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandunya hanya cedera ringan.

    Ujarnya, pasangan suami isteri yang menaiki kereta Produa Axia cedera parah dan kini dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat manakala pemandu kereta SUV Mazda CX5 tidak mengalami sebarang kecederaan.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengankutan Jalan 1987 kerana melibatkan kematian dan sekiranya ada mana-mana saksi awam yang melihat kejadian boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Muhammad Asma’i Md Yusuff di talian 013-6550128,” Katanya.

  • Pesara rugi lebih RM190,000 diperdaya sindiket penipuan

    Pesara rugi lebih RM190,000 diperdaya sindiket penipuan

    SEORANG pesara di Alor Gajah kerugian sebanyak RM194,210 akibat diperdaya sindiket penipuan yang mendakwanya terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.

    Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Arshad Abu berkata mangsa iaitu seorang wanita berusia lewat 50-an menerima panggilan telefon daripada wanita bernama Faridah yang mendakwa sebagai peguam ketika mangsa berada di rumahnya, kira-kira 8.30 malam pada 21 Dis lepas.

    “Suspek mendakwa mangsa yang juga bekas kerani agensi kerajaan terlibat dalam pengubahan wang haram sebelum perbualan mereka disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Ampang Jaya, Selangor bagi membuat laporan polis.

    “Seorang lagi suspek yang menyamar sebagai polis kemudian mengesahkan nama mangsa terlibat dalam jenayah itu dan terdapat waran tangkap atas nama mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata mangsa menafikan penglibatannya dalam jenayah itu tetapi beliau telah disoal siasat dan diminta memberikan segala butiran akaun bank termasuk jumlah baki yang dimilikinya.

    Katanya mangsa juga diarah membuat akaun bank baharu dan memindahkan semua wang miliknya itu ke dalam akaun baharu berkenaan bagi tujuan siasatan.

    Arshad berkata akibat diperdaya sindiket itu, mangsa telah memindahkan kesemua wang miliknya berjumlah RM194,210 secara berperingkat bermula 28 Dis 2022 hingga 2 Jan 2023 dan mangsa menyedari semua wang tersebut kemudian telah dipindahkan ke akaun pihak ketiga tanpa pengetahuannya pada 6 Jan lepas.

    Beliau berkata mangsa membuat laporan di Balai Polis Masjid Tanah pada 24 Mac lepas dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

  • Lelaki turun landasan LRT ambil fon telinga ditahan, didakwa di mahkamah

    Lelaki turun landasan LRT ambil fon telinga ditahan, didakwa di mahkamah

    PERBUATAN seorang lelaki turun ke landasan Transit Aliran Ringan (LRT) di stesen Taman Paramount, Petaling Jaya untuk mengambil fon telinganya yang terjatuh hanya mengundang padah apabila dia ditahan pihak berkuasa, semalam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada pukul 9.28 pagi.

    Katanya, laporan itu berkaitan tangkapan lelaki terbabit oleh Polis Bantuan Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).

    “Kejadian berlaku pada pukul 8.09 pagi selepas penggera landasan berbunyi dan didapati terdapat seorang lelaki tempatan berada di landasan platform 1 (northbound).

    “Lelaki itu dikesan mengambil earphone di landasan terbabit hingga menyebabkan tren tergendala selama tiga minit,” katanya, hari ini lapor Sinar Harian.

    Mohamad Fakhrudin berkata, lelaki tempatan berusia 23 tahun itu kemudian ditahan kerana menceroboh landasan kereta api.

    Katanya, lelaki terbabit telah dituduh di Mahkamah Petaling Jaya pada Selasa di bawah Seksyen 62 Akta Keretapi 1991.

    Tegasnya, orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melakukan perbuatan jenayah.