Category: Jenayah

  • Kes 1MDB Jasmine Loo masih di peringkat siasatan polis – Ayob Khan

    Kes 1MDB Jasmine Loo masih di peringkat siasatan polis – Ayob Khan

    KES bekas peguam 1Malaysia Development Bhd (1MDB) Jasmine Loo Ai Swan masih dalam siasatan polis, sebelum diserah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

    Pada 12 Julai lepas, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan polis telah menahan Loo Ai Swan pada 7 Julai, bagi membantu siasatan isu penyelewengan dana syarikat berkenaan.

    Loo merupakan bekas Pengarah Eksekutif Strategi Kumpulan 1MDB, dipercayai merupakan individu mempunyai maklumat berkenaan 1MDB dan didakwa termasuk dalam lingkaran dekat Jho Low.

    Bloomberg sebelum ini melaporkan, penyiasat Switzerland yang menjalankan siasatan jenayah berhubung skandal 1MDB, memburu Pengarah Eksekutif 1MDB Casey Tang dan Jasmine Loo, berkaitan pemindahan AS$700 juta yang didakwa dilakukan secara haram.

    Sementara itu, ditanya mengenai dakwaan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa terdapat rancangan untuk menangkap dan menjatuhkan kredibilitinya sejak enam bulan lepas, Ayob Khan berkata tangkapan dibuat berdasarkan kronologi kenyataan yang dikeluarkan Menteri Besar Kedah itu, baru-baru ini.

    “Apabila kita lihat kronologi kes Sanusi ini, dia buat kenyataan berat sebelah pada 12 Julai dan ada laporan polis dibuat, manakala pada 14 Julai pula Ahli Dewan Diraja Selangor membuat laporan polis dan tangkapan dibuat ke atasnya pada 18 Julai,” katanya.

    Sehubungan itu, Ayob Khan meminta rakyat Malaysia terutamanya ahli politik, menghayati Rukun Negara khususnya dalam konteks institusi diraja, kerana tindakan tegas akan diambil tanpa mengira latar belakang.

    “…maka apabila kami mengambil tindakan janganlah buat cerita lain,” katanya.

    Mengenai siasatan berkaitan isu 3R (agama, bangsa, raja) membabitkan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi DAP Lim Guan Eng, Timbalan Ketua Polis Negara itu berkata kertas siasatan telah dihantar kepada Peguam Negara 17 Julai lepas.

    “Kami sedang menunggu arahan lanjut sekarang, polis hanya jalankan siasatan dan masih tunggu keputusan mereka,” katanya.

    Bukit Aman sebelum ini mengesahkan sedang menjalankan siasatan terhadap Lim, yang didakwa menyentuh isu 3R dengan mendakwa ‘gelombang hijau’ bakal memusnahkan tokong dan menafikan hak agama di Pulau Pinang, dan Abdul Hadi susulan satu hantaran di akaun Facebook yang mengulas mengenai parti DAP.

  • Suami isteri diberkas bersama lebih 10kg dadah

    Suami isteri diberkas bersama lebih 10kg dadah

    POLIS menahan pasangan suami isteri yang dipercayai menjadi dalang satu sindiket pengedaran dadah di Perak dalam satu pemeriksaan di sebuah rumah di Jelapang, kelmarin.

    Kedua-dua mereka berusia 30 dan 27 tahun itu diberkas sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak sekitar pukul 3 petang.

    Turut ditahan adik perempuan suspek berusia 19 tahun yang tinggal bersama di rumah itu.

    Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, pemeriksaan ke atas sebuah kereta di rumah berkenaan menemui dadah dipercayai heroin seberat 10.71 kilogram bernilai lebih RM88,900.

    “Polis turut merampas peralatan yang digunakan untuk membungkus dadah.

    “Berdasarkan siasatan, sindiket ini mula aktif menjalankan aktiviti pengedaran dadah sejak September tahun lalu dengan menyasarkan pasaran tempatan di seluruh negeri,” katanya dalam satu kenyataan di Ipoh hari ini.

    Beliau berkata, saringan air kencing mendapati pasangan tersebut positif dadah jenis morfin.

    Mohd. Yusri berkata, lelaki berkenaan yang bekerja sebagai pemandu lori juga mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan kes jenayah.

    “Pasangan tersebut telah direman selama enam hari manakala seorang lagi suspek selama tiga hari masing-masing bermula 24 Julai lepas bagi siasatan kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

    Tindakan juga katanya, diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 di mana pihak polis sudah menyita 22 unit barang kemas, sebuah lori, kereta dan motosikal dianggarkan bernilai RM192,168.

    “Kejayaan ini adalah hasil kerjasama berterusan antara masyarakat dengan agensi penguat kuasa khususnya polis,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Isteri ugut sodok mulut suami guna pisau ditahan polis

    Isteri ugut sodok mulut suami guna pisau ditahan polis

    SEORANG wanita warga asing ditahan polis selepas mengugut suaminya menggunakan sebilah pisau di Taman Tasik Tambahan, Ampang pada 6 Julai lalu.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, dalam kejadian pukul 6 pagi itu, mangsa iaitu seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun telah berselisih faham dengan suspek.

    Beliau berkata, suspek telah meminta wang sebanyak RM5,000 daripada mangsa untuk pulang ke kampung.

    “Mangsa yang bekerja sebagai peniaga mengatakan tidak mempunyai wang yang diminta sebelum suspek mengacukan pisau ke arah muka mangsa.

    “Suspek juga mengatakan akan sodok mulut mangsa dengan pisau tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Jelasnya, suspek berusia 34 tahun dan bekerja sebagai pembantu kedai itu ditahan pada pukul 9 malam kelmarin di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya.

    Turut dirampas sebilah pisau yang digunakan semasa kejadian.

    “Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau dan bebas dari kesalahan dadah,” ujarnya, lapor Utusan TV.

    Suspek kini direman selama empat hari sehingga Khamis dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

  • SPRM siasat bekas menteri berhubung tahanan ahli perniagaan

    SPRM siasat bekas menteri berhubung tahanan ahli perniagaan

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyoal-siasat seorang bekas menteri kabinet bagi membantu siasatan berhubung penahanan dua ahli perniagaan yang terkenal dalam mengedar filem India dan membawa masuk artis dari negara itu untuk membuat persembahan di Malaysia.

    Sumber memberitahu Malaysiakini bahawa seorang ahli perniagaan yang juga adalah seorang ahli politik dari Negeri Sembilan itu turut ditahan dalam operasi tersebut.

    Suspek yang adalah ahli sayap bukan anggota sekutu Perikatan Nasional itu sebelum ini mengumumkan hasrat untuk bertanding pada pilihan raya negeri akan datang.

    Malaysiakini telah menghubungi menteri kabinet berkenaan untuk mendapatkan ulasan.

    Bagi dua suspek pertama, FMT menamakan seorang daripada mereka sebagai Abdul Malik Dasthigeer, pengasas dan pengerusi Malik Group of Companies, yang terdiri daripada Malik Streams Corporation Sdn Bhd, Malik Maju Sdn Bhd, Malik Streams Properties Sdn Bhd, Malik Streams Antenna Movies Sdn Bhd, dan Malik Streams Production & Distribution.

    Sumber memberitahu Malaysiakini bahawa suspek kedua pula adalah juga pengedar filem yang pada awal tahun ini mengadakan konsert yang menampilkan komposer muzik Tamil terkemuka dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tetamu utama.

    Syarikat suspek kedua juga mengedarkan filem biografi Perdana Menteri ‘Anwar: The Untold Story.’

    Menurut sumber, suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).

    Sumber itu mendedahkan bahawa agensi antirasuah itu telah membekukan aset bernilai lebih RM300 juta sementara menunggu siasatan.

    Lebih 30 individu termasuk ahli keluarga dan rakan suspek telah dipanggil untuk disoal siasat.

  • 2 lelaki, seorang wanita ditahan positif dadah di pusat hiburan

    2 lelaki, seorang wanita ditahan positif dadah di pusat hiburan

    POLIS Pulau Pinang menahan dua lelaki dan seorang wanita di sebuah pusat hiburan, di Georgetown kelmarin kerana disyaki positif dadah jenis THC dan Benzo.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, mereka yang berusia antara 22 hingga 27 tahun itu ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut yang menjalankan operasi di pusat hiburan itu kira-kira pukul 2.15 pagi.

    Jelas beliau, dalam pemeriksaan di dalam pusat hiburan tersebut, polis telah menahan seramai 50 lelaki dan 35 wanita tempatan untuk dijalankan pemeriksaan air kencing.

    “Hasil ujian air kencing itu mendapati dua lelaki serta seorang wanita terbabit positif pelbagai jenis dadah iaitu THC dan Benzo,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Menurut Soffian, kesemua tangkapan ditahan reman mengikut Seksyen 117 kanun prosedur jenayah selama satu hari pada hari sama untuk siasatan dan telah dijamin polis.

    Ujar beliau, kes disiasat di bawah seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun dan pengawasan bagi tempoh tidak kurang dua tahun dan tidak lebih dari tiga tahun.

    “Orang ramai dinasihatkan tidak terlibat dengan aktiviti penggunaan dadah semasa mengunjungi pusat hiburan,” katanya.

  • Polis kesan lelaki ketuk kereta guna topi keledar

    Polis kesan lelaki ketuk kereta guna topi keledar

    POLIS mengesan seorang lelaki yang mengetuk pintu sebuah kereta menggunakan topi keledar dalam satu insiden di Jalan Pokok Assam Tambahan, yang tular di media sosial.

    Ketua Polis Daerah Taiping Razlam Ab Hamid berkata pihaknya telah menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berhubung kejadian itu semalam.

    “Kejadian dipercayai berpunca daripada kesalahan lalu lintas yang mana penunggang motosikal tersebut secara tiba-tiba mengetuk kereta mangsa dengan menggunakan topi keledar sambil memarahi mangsa hingga menyebabkan kerosakan pada bahagian pintu kereta,” katanya dalam kenyataan.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

    Terdahulu, video insiden itu berdurasi 42 saat tular di media sosial.

  • ‘Dato Malik’ ditahan SPRM

    ‘Dato Malik’ ditahan SPRM

    ABDUL Malik Dasthigeer, atau lebih dikenali sebagai Dato Malik telah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan.

    Sumber yang rapat dengan individu itu berkata, dia ditahan awal pagi ini di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).

    “Dia masih disoal siasat SPRM dan masih belum dibebaskan,” kata sumber itu, lapor FMT.

    Sumber dari SPRM turut mengesahkan perkara itu, sambil berkata, Malik sedang disoal siasat oleh pegawai agensi antirasuah itu

    Malik ialah pengasas dan pengerusi Malik Group of Companies, yang terdiri daripada Malik Streams Corporation Sdn Bhd, Malik Maju Sdn Bhd, Malik Streams Properties Sdn Bhd, Malik Streams Antenna Movies Sdn Bhd, dan Malik Streams Production & Distribution.

    Beliau dikenali kerana membawa masuk artis dari India untuk membuat persembahan konsert Tamil di Malaysia.

  • Bantu syarikat keluarga dapat projek, penjawat awam, isteri direman 3 hari

    Bantu syarikat keluarga dapat projek, penjawat awam, isteri direman 3 hari

    SEPASANG suami isteri direman selama tiga hari sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa dalam proses mendapatkan perolehan kerja melibatkan nilai ratusan ribu ringgit.

    Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Noor Mazrinie Mahmood selepas menerima permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009,lapor Bernama.

    Suspek yang juga penjawat awam berusia 30-an disyaki mengesyorkan syarikat milik ibu bapanya yang diuruskan oleh isterinya berusia 40-an, bagi mendapatkan perolehan kerja di sebuah jabatan kerajaan di Terengganu sejak 2019.

    Pasangan itu masing-masing ditahan pada 6 petang dan 3.30 petang semalam, ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM negeri.

    Dalam operasi semalam SPRM juga berjaya merampas beberapa kenderaan mewah milik pasangan tersebut yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes yang disiasat dan semuanya dianggarkan bernilai lebih RM100,000.

  • REE : Sanusi sahkan pegawai kanan ditahan SPRM bantu siasatan

    REE : Sanusi sahkan pegawai kanan ditahan SPRM bantu siasatan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengesahkan salah seorang pegawai kanannya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.

    Bagaimanapun menurut Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu, beliau tidak mengetahui mengenai butiran penahanan tersebut termasuk kes yang sedang disiasat.

    “Saya pun hanya dimaklumkan pagi ini yang dia ditahan bagi membantu siasatan, bukan ditahan kerana bersalah. Saya tak tahu dia salah apa tetapi tak apalah, bagi siasatan selesai dulu.

    “Dia pun tak maklum apa-apa, mungkin dia tak boleh nak maklumkanlah kot. Usaha-usaha itu makin hari, makin rancak nampaknya,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan geran dan lesen pendudukan sementara (LPS) bagi daerah Yan di Guar Chempedak, Kedah, hari ini.

    Media hari ini melaporkan mengenai penahanan pegawai kanan tersebut bagi membantu siasatan berhubung rasuah dan salah guna kuasa dalam perlombongan unsur nadir bumi (REE) di Kedah.

    Difahamkan lelaki berusia 50-an itu ditahan kira-kira pukul 8 malam tadi di Pejabat SPRM Alor Setar kerana didakwa meminta rasuah berjumlah RM1 juta daripada seorang pemilik syarikat. Individu ditahan itu kemudiannya direman selama tiga hari bermula hari ini hingga Rabu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 17 dan 23, Akta SPRM 2009.

    SEMENTARA itu Muhammad Sanusi tidak menolak kemungkinan tangkapan tersebut ada kaitan dengan penahanan terhadap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar (MBI) sebelum ini.

    “Saya rasa macam itu sebab itu satu-satunya hasil daripada ‘brain storm’ Pakatan Harapan (PH) untuk merebahkan PN iaitu menggunakan isu REE. Tak apalah, buatlah dan kita tak ada masalah apa-apa.

    “Saya relaks saja dan suruh semua yang dipanggil beri keterangan, untuk beri kerjasama. Apa yang ‘depa’ mahu, kita cerita dan kita tak ada apa nak dibimbangkan. Selama kita benar, tak ada apa yang perlu dikhuatirkan. Jangan takut, jangan gentar kerana kita bukan bangsa penunduk,” katanya.

    Dengan penahanan pegawai kanan tersebut, SPRM setakat ini sudah menahan empat individu termasuk CEO MBI, pengarah syarikat dan pembantu pemilik syarikat bagi membantu siasatan kes tersebut.

  • Bom di kereta Siti Kasim umpama cubaan bunuh – Ketua Polis Negara

    Bom di kereta Siti Kasim umpama cubaan bunuh – Ketua Polis Negara

    KETUA  Polis Negara Razarudin Husain berkata penemuan bom buatan sendiri di bahagian bawah kereta milik peguam yang juga aktivis hak asasi manusia Siti Kasim “umpama cubaan bunuh”.

    Katanya, polis kini giat mengesan suspek melalui cap jari dan bukti lain berkaitan.

    “Penemuan objek bom itu adalah satu jenayah serius dan ancaman terbabit umpama cubaan membunuh. Siasatan lanjut dijalankan polis kontinjen Kuala Lumpur,” katanya lapor Harian Metro

    Beliau berkata, polis mengambil tindakan agresif dalam siasatan dan tidak akan membiarkan individu tidak bertanggungjawab melakukan jenayah sedemikian.

    “Orang ramai diminta tidak membuat spekulasi berkaitan kes berkenaan yang boleh mengganggu siasatan,” katanya.

    Terdahulu, Ketua Polis Brickfields, Amihizam Abdul Shukor, mengesahkan dua objek ditemui di bahagian bawah kereta Siti Kasim di pusat servis kenderaan di Jalan Maarof, Bangsar, adalah alat letupan termampat (IED).

    Amihizam dilaporkan berkata, ia berdasarkan siasatan dilakukan Unit Pemusnah Bom (UPB).

    Jumaat lalu, Siti Kasim atau nama sebenarnya Siti Zabedah Kassim dalam siaran langsung di Facebook mendakwa keretanya diletakkan objek menyerupai bom.

    Peguam itu berkata, dia menyedari objek diletakkan di bahagian tayar ketika menghantar kenderaannya ke pusat servis pada 12 tengah hari.