Category: Jenayah

  • Remaja terkejut jumpa bayi dalam beg plastik depan masjid

    Remaja terkejut jumpa bayi dalam beg plastik depan masjid

    Oleh ABU UBADILLAH RAHMAN

    SEORANG remaja dan tiga rakannnya terkejut apabila menemukan seorang bayi perempuan dalam beg plastik diletakkan di hadapan Masjid An-Nur Taman Cendana di Pasir Gudang, pukul 4 petang, Sabtu lalu.

    Menurut Mohd. Iqram Haqeem Abdullah, 14, pada mulanya dia bersama-sama tiga rakannya terdengar bunyi pelik dari beg plasik berkenaan dan apabibila melihatnya tidak menyangka terdapat seorang bayi di dalamnya.

    “Kejadian berlaku ketika saya bersama tiga rakan sekolah yang juga jiran dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bersahur di sebuah restoran berhampiran.

    “Kami yang mahu singgah di masjid untuk ke tandas terkejut mendengar bunyi misteri di tepi pagar Masjid An-Nur Taman Cendana serta bertindak menahan sebuah van kilang bagi mendapatkan bantuan.

    “Pemandu van kemudian memeriksa beg dan mendapati seorang bayi perempuan berbalut tuala berwarna kuning.

    “Pemandu van bertindak menghubungi talian kecemasan sebelum menyerahkan bayi kepada seorang petugas di masjid.

    “Kami bersyukur kerana tidak meninggalkan bayi itu walaupun ada awalnya bimbang mendengar bunyi misteri itu,” katanya ketika ditemui.

    Dia berkata, selepas pulang ke rumah mereka berkongsi pengalaman berkenaan dengan ahli keluarga dan mereka bertindak memuji tindakan kami menyelamatkan bayi terutama pada Ramadan ini.

    Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Cendana, Shamsul Bahrin Ibrahim berkata, kejadian itu berlaku kali pertama dalam sejarah kewujudan kawasan perumahan itu kira-kira 20 tahun.

    Katanya, kemungkinan mereka yang meninggalkan bayi berkenaan beranggapan kawasan itu adalah tempat kunjungan kariah masjid yang mungkin dapat menyelamatkan bayi terbabit.

    “Bayi itu bernasib baik kerana diselamatkan sekumpulan pelajar sekolah, jika dia terus berada di situ mungkin berlaku kejadian tidak diingini berikutan lokasi itu kawasan anjing liar berkeliaran.

    “Bayi itu istimewa, kami anggap sebagai anak angkat sukarelawan dan komuniti kawasan perumahan ini, kami juga tidak sabar bagi mengetahui perkembangannya serta mendoakannya,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd. Sohaimi Ishak berkata, bayi itu dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

    Beliau berkata, keadaan bayi sihat dan normal serta kes disiasat mengikut Seksyen 317KK (buang bayi).

    Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru, Adnan Md Yassin berkata, bayi itu dipercayai berusia tiga hari ketika ditemui.

    “Perintah Jagaan Sementara di Mahkamah Bagi Kanak-Kanak Johor Bahru akan dipohon bagi membolehkan pelindung kanak-kanak menguruskan dokumen berkaitan pengenalan diri kanak-kanak,” katanya.

  • Laman sesawang Jabatan Imigresen digodam

    Laman sesawang Jabatan Imigresen digodam

    LAMAN sesawang rasmi Jabatan Imigresen www.imi.gov.my digodam individu dikenali sebagai ‘CaptainSmok3r’ hari ini.

    Jurucakap Kementerian Komunikasi dan Digital memberitahu wartawan dalam kumpulan WhatsApp, laman sesawang itu tergendala buat sementara dan Cybersecurity Malaysia (CSM) berusaha menyelesaikan perkara itu.

    “Bahagian teknologi maklumat dan rekod (Jabatan Imigresen) sedang bekerjasama dengan CSM untuk mengukuhkan keselamatan digital. Kami memohon maaf atas kesulitan yang timbul,” kata jurucakap itu, lapor FMT.

    Semakan dalam talian menunjukkan laman sesawang itu tidak dapat diakses menggunakan peranti mudah alih dan komputer.

    Tajuk halaman pada hasil carian Google menunjukkan ‘Hacked by CaptainSmok3r’, bukannya dibawa ke laman sesawang itu.

    Tetapi, laman Facebook Jabatan Imigresen tidak mendedahkannya diserang penggodam, sebaliknya menyatakan alasan laman sesawang itu ditutup akibat ‘kerja penyelenggaraan’.

    Ini bukan kali pertama agensi kerajaan digodam.

    Tahun lalu, kumpulan penggodam dikenali sebagai ‘Dark Pink’ menggunakan e-mel pancingan data dan perisian hasad lanjutan untuk menyerang rangkaian e-mel ketenteraan beberapa negara Asia, termasuk Malaysia.

  • Bongkar makmal haram, polis rampas dadah RM5.5 juta

    Bongkar makmal haram, polis rampas dadah RM5.5 juta

    POLIS merampas 79 kilogram dadah pelbagai jenis dianggarkan bernilai lebih RM5.5 juta selepas membongkar makmal memproses bahan terlarang itu menerusi dua serbuan di Manjung, Sabtu lalu.

    Pada masa sama, polis turut menyita tiga kenderaan mewah termasuk Toyota Alphard dan Ford Mustang serta barang kemas dianggarkan bernilai RM763,693.

    Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Pantai Remis kira-kira pukul 7 pagi, polis menahan seorang lelaki tempatan dan tiga wanita Vietnam, berumur antara 32 hingga 39 tahun serta merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM95,043.

    Beliau berkata, berikutan itu, kira-kira pukul 3.30 petang hari yang sama, anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak telah membuat serbuan di sebuah rumah di kawasan Panchor, yang dipercayai digunakan sebagai tempat memproses dan membungkus pil Ecstasy.

    “Hasil pemeriksaan di rumah tersebut telah menjumpai pil Ecstasy sebanyak (11,838) biji atau anggaran berat 5,592 gram; serbuk disyaki dadah jenis Ecstasy anggaran berat 38,326 gram; cecair disyaki Ecstasy anggaran berat 31,311 gram.

    “Turut ditemui, daun-daun kering disyaki ganja anggaran berat 2,056 gram; ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine (844 gram); dan dadah disyaki heroin (162 gram).

    “Nilai rampasan dadah itu dianggarkan berjumlah RM5,429,979.80,” katanya lapor Astro AWANI, hari ini.

    Mengulas lanjut, Mohd Yusri berkata, turut dirampas ialah bahan-bahan kimia dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses serta membungkus dadah.

    Katanya, nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta ialah lebih RM6,288,716, iaitu yang terbesar tahun ini.

    Katanya lagi, hasil saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas suspek, mendapati kesemuanya positif dadah jenis Amphethamine dan semakan rekod mendapati suspek lelaki mempunyai sembilan rekod kesalahan lampau.

    Menurutnya, sindiket itu dipercayai bergiat aktif sejak awal tahun 2022 dan dadah yang dirampas adalah untuk diedarkan di Perak yang boleh digunakan kira-kira 258,214 orang penagih dadah.

    Tambahnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek direman selama seminggu bagi membantu siasatan.

  • 25 tan produk ayam sejuk beku tanpa maklumat halal jelas dirampas

    25 tan produk ayam sejuk beku tanpa maklumat halal jelas dirampas

    JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang merampas sebanyak 25 tan produk ayam sejuk beku dari Thailand selepas didapati tidak mempunyai maklumat halal yang jelas.

    Pengarah MAQIS Pulau Pinang, Muhammad Ikram Abd. Talib, konsainan bernilai kira-kira RM240,000 itu dirampas ketika pemeriksaan rutin di pintu masuk Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT), Pulau Pinang.

    Menurut beliau, kegagalan mematuhi syarat permit import bagi pengimportan Fresh Chicken Breast Boneless tersebut adalah kesalahan di bawah Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

    “Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 15(2) Akta yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambah beliau, MAQIS sentiasa komited dalam melaksanakan tugasan di semua pintu masuk negara bersama agensi penguatkuasaan di sempadan bagi memastikan komoditi keselamatan keluaran pertanian yang dibawa masuk ke dalam negara mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan bagi menjamin kualiti dan keselamatan makanan.

  • Polis buka kertas siasatan video dakwa anggota lakukan peras ugut

    Polis buka kertas siasatan video dakwa anggota lakukan peras ugut

    POLIS membuka satu kertas siasatan berhubung penularan video di aplikasi sosial semalam yang mendakwa seorang anggota polis memeras ugut individu di Bulatan Dato Onn di ibu negara.

    Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yahaya Othman berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi telah mengenal pasti individu dan anggota polis terlibat dan mereka akan dipanggil untuk diambil keterangan

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan kertas siasatan yang lengkap akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Menurut Yahaya, siasatan awal pihak polis mendapati individu yang dirakam telah mendakwa diperas ugut oleh anggota polis berkenaan kerana tidak membawa dokumen pengenalan diri.

    Katanya, orang ramai dinasihatkan tidak mudah percaya dengan penyebaran maklumat di media sosial tanpa sumber sahih dan individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan boleh menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-2600 2222.

    Terdahulu, tular video berdurasi satu minit 48 saat di aplikasi TikTok semalam memaparkan seorang anggota polis lengkap beruniform melakukan pemeriksaan terhadap individu berlatar belakangkan Memorial Tunku Abdul Rahman di Bulatan Dato Onn.- BERNAMA

  • Tetak kepala pengawal keselamatan sebelum larikan 70 iPhone

    Tetak kepala pengawal keselamatan sebelum larikan 70 iPhone

    SEORANG pengawal keselamatan warga emas cedera ditetak di kepala dalam kejadian samun kedai telekomunikasi di Kompleks Menara Condong, di Teluk Intan, awal pagi tadi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, suspek turut mengikat kaki dan tangan pengawal keselamatan berusia lewat 60-an itu dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu.

    Katanya, mangsa yang dikunci di dalam tandas kompleks berkenaan bagaimanapun hanya mengalami cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.

    “Terdahulu, pengawal keselamatan itu yang sedang berehat di kaunter tandas telah didatangi seorang suspek, dipercayai lelaki.

    “Suspek membawa sebilah kapak dan mengacukan senjata itu ke arah mangsa, sebelum berlaku pergelutan antara mereka.

    “Suspek kemudiannya telah menetak bahagian atas kepala mangsa lalu membawanya masuk ke dalam tandas dan mengikat kaki serta tangannya. Dia kemudian mengunci mangsa dari luar tandas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Astro AWANI.

    Mengulas lanjut Ahmad Adnan berkata, suspek kemudian memecah masuk sebuah kedai telekomunikasi di dalam kompleks berkenaan dan mengambil kira-kira 70 telefon bimbit jenis iPhone diangarkan bernilai RM300,000.

    Katanya, pemeriksaan pihak polis di tempat kejadian berjaya menemui beberapa barang kes yang boleh membantu siasatan dan usaha diteruskan untuk mengesan suspek.

    Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menyalurkannya kepada IPD Hilir Perak di talian 05-62992222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

  • Lelaki ditahan rogol anak tiri 12 tahun

    Lelaki ditahan rogol anak tiri 12 tahun

    PERBUATAN keji seorang lelaki merogol anak tirinya berusia 12 tahun akhirnya terbongkar sebelum dia ditahan polis di Tawau kelmarin.

    Suspek yang merupakan warga asing berusia 32 tahun itu disyaki melakukan perbuatan terkutuk tersebut di sebuah rumah di kawasan kebun kelapa sawit di Merotai.

    Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejadian itu berlaku ketika mangsa tinggal bersama suspek bermula awal bulan ini.

    “Mangsa kemudian telah menghubungi ahli keluarganya bagi membongkar perbuatan keji suspek sebelum tindakan segera diambil.

    “Berdasarkan laporan, mangsa yang tinggal bersama suspek sejak 5 Mac lalu meceritakan kejadian rogol itu kepada kakaknya yang menetap di Lahad Datu, menerusi aplikasi WhatsApp.

    “Berdasarkan maklumat yang diterima, sepasukan polis daripada Balai Polis Bombalai bergegas ke lokasi untuk menjalankan operasi mengesan dan menahan suspek,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.

    Katanya lagi, suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut.

    Kes katanya, disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di negara ini tanpa sebarang dokumen diri yang sah.

    Suspek berjaya ditangkap sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.

  • Pergaduhan sekumpulan warga asing:1 maut, 1 parah, 7 ditahan

    Pergaduhan sekumpulan warga asing:1 maut, 1 parah, 7 ditahan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki warga asing maut manakala rakannya cedera parah selepas terlibat dalam pergaduhan dengan sekumpulan lelaki warga asing dalam bilik sewa bangunan kedai di Taman Desa Cemerlang, Ulu Tiram, Johor Bahru semalam.

    Anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam menerima aduan kejadian tersebut pada pukul 11.14 malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd. Sohaimi Ishak berkata, hasil siasatan mendapati kejadian melibatkan pergaduhan sesama warga asing berpunca daripada beberapa suspek mabuk dan mengakibatkan berlaku pergaduhan.

    “Bertindak atas maklumat, sepasukan polis daripada Bahagian D9 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor bersama-sama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam, telah membuat tangkapan seramai tujuh lelaki warga asing lingkungan umur 22 tahun hingga 51 tahun dan seorang wanita warga asing lingkungan umur 35 tahun.

    “Akibat pergaduhan ini, dua lelaki mengalami kecederaan, di mana seorang daripada mereka lingkungan umur 32 tahun telah meninggal dunia disyaki ditikam dengan objek tajam pada bahagian dada kiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, seorang lagi mangsa lingkungan umur 51 tahun mengalami kecederaan luka di bahagian lengan tangan kanan.

    Pihak polis katanya, sedang mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan iaitu lelaki warganegara Myanmar, Myint Hlaing, berusia 41 tahun.

    Menurut Mohd. Sohaimi, mangsa yang meninggal dunia telah dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini untuk bedah siasat.

    Suspek yang mengalami kecederaan turut dirujuk ke hospital yang sama untuk rawatan, katanya.

    “Polis turut merampas barang termasuk tiga swab kesan disyaki darah, sehelai cadar bercorak bunga, dua helai baju terdapat kesan disyaki darah, dua helai seluar terdapat kesan disyaki darah, pelitup muka dan tiga botol kosong minuman keras,” ujar beliau.

    Jelas Mohd. Sohaimi, semua suspek ditahan reman di bawah Seksyen 117 KPJ selama empat hari bermula Isnin hingga 6 April ini.

    Kejayaan itu katanya, berjaya menyelesaikan kes bunuh berkenaan dalam tempoh 24 jam.

    Tambahnya, sebarang maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat kanan ASP Nik Samsuriah Daud, 013-7272120 atau 07-3864222.

    Beliau memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati.

  • Geram kad bank ‘ditelan’, lelaki pecah skrin mesin ATM

    Geram kad bank ‘ditelan’, lelaki pecah skrin mesin ATM

    POLIS menahan seorang lelaki kerana melakukan perbuatan khianat dengan memecahkan skrin mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Taman Nusa Bestari, Iskandar Puteri awal pagi tadi.

    Ketua Polis Iskandar Puteri, Rahmat Ariffin, berkata lelaki tempatan berusia 35 tahun itu disyaki berada bawah pengaruh alkohol ketika melakukan perbuatan berkenaan, kira-kira 3.15 pagi.

    Beliau berkata, lelaki tersebut bertindak demikian selepas berang apabila kad banknya tidak dikembalikan oleh mesin itu ketika melakukan transaksi.

    “Anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Iskandar Puteri berjaya menangkap suspek yang disyaki melakukan khianat pada harta-benda.

    “Pemeriksaan mendapati suspek memecahkan skrin sebuah daripada mesin ATM di bank tersebut selain turut menendang tong sampah yang mengandungi resit dalam bank terbabit akibat geram,” katanya dalam kenyataan.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

  • Pegawai penguatkuasa direman terima rasuah RM2,500 daripada keluarga banduan

    Pegawai penguatkuasa direman terima rasuah RM2,500 daripada keluarga banduan

    SEORANG pegawai penguatkuasa direman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menerima rasuah berjumlah RM2,500 daripada keluarga banduan.

    Majistret Noor Mazrinie Mahmood mengeluarkan perintah reman terhadap suspek berusia 32 tahun itu yang bertugas di sebuah agensi penguatkuasaan terserbut.

    Penahanan suspek bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

    Suspek sebelum ini ditahan di pejabat SPRM Kemaman kira-kira jam 1.30 tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan.

    Dia dikatakan menerima rasuah berjumlah RM2,500 daripada keluarga seorang banduan sebagai cara untuk membenarkannya menerima layanan istimewa di penjara.

    Banduan itu juga sebelum ini dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu bagi mendapatkan perintah reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah, lapor Harian Metro.