Category: Jenayah

  • Wanita maut disyaki dibunuh suami dengan tukul besi

    Wanita maut disyaki dibunuh suami dengan tukul besi

    SEORANG wanita maut dipercayai dipukul dengan tukul besi oleh suaminya dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Besol, Bukit Besi, di Dungun, pukul 8 pagi.

    Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, mangsa, Rubiah Sabtu, 41, meninggal dunia di lokasi kejadian ekoran kecederaan parah di bahagian muka.

    “Pasangan tersebut baru mendirikan rumah tangga setahun lalu dan difahamkan, berlaku perselisihan faham antara mereka yang menyebabkan suspek berusia lingkungan 30-an tiba-tiba bertindak di luar kawalan.

    “Difahamkan, suspek kemudian memberitahu ahli keluarganya yang tinggal berhampiran kediamannya tentang perbuatannya itu sebelum ahli keluarganya membuat laporan polis,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Katanya, susulan itu pihak polis menahan suami mangsa yang disyaki melakukan perbuatan tersebut.

    Baharudin berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

  • Sindiket ‘Hawala’ tumpas, 29 termasuk 3 dalang warga asing dicekup

    Sindiket ‘Hawala’ tumpas, 29 termasuk 3 dalang warga asing dicekup

    KEGIATAN sindiket pengurup wang didalangi warga asing yang beroperasi secara haram dengan berselindung di sebalik perniagaan restoran dan kedai runcit di sekitar Lembah Klang berjaya ditumpaskan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

    Kejayaan itu hasil serbuan 10 buah premis di beberapa lokasi di ibu negara dan sekitar Selangor melalui operasi khas dilancarkan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Jabatan Imigresen dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) pada Ahad dan Isnin lalu.

    Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh, sindiket menggunakan modus operandi beroperasi di restoran, kedai runcit, kedai kosmetik dan kios menjual peralatan elektronik bagi menutup jejak aktiviti mengurup wang tanpa lesen.

    “Pasukan operasi menyerbu 10 premis disyaki ada aktiviti pengurup wang tanpa lesen dan dikendalikan oleh warga asing terdiri warga Bangladesh, India dan Indonesia.

    “Seramai 29 warga asing ditahan, berusia 29 hingga 40 tahun. Mereka membabitkan 11 lelaki Bangladesh, lima lelaki India, selain masing-masing lapan lelaki dan dua wanita Indonesia, dipercayai berperanan sebagai orang tengah dan menguruskan kiriman wang ke luar negara.

    “Sementara itu, masing-masing seorang lelaki warga India, Indonesia dan Bangladesh, semua berusia 30 hingga 45 tahun dipercayai dalang utama sindiket juga berjaya ditahan di tiga lokasi berlainan dan memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Berita Harian.

    Mengulas lanjut, Ruslin berkata, proses penghantaran wang ke luar negara secara haram dikenali sebagai ‘Hawala’, iaitu tanpa melalui lingkungan sistem perbankan atau syarikat kewangan rasmi.

    “Siasatan mendapati mereka juga mengenakan bayaran yang murah bagi menguruskan kiriman wang keluar negara,” katanya.

    Katanya, pasukan operasi turut merampas wang tunai berjumlah RM300,527 disyaki hasil aktiviti pengurup wang, telefon bimbit, buku dan dokumen rekod kiriman wang ke luar negara seperti Bangladesh dan Indonesia.

    “Berdasarkan jumlah wang tunai yang dirampas, sindiket ini dianggarkan mampu menguruskan kiriman wang ke luar negara mencecah RM108 juta setahun,” katanya.

    Ruslin berkata, semua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

    “Semua warga asing yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

  • Ditipu scammer, pesara guru rugi lebih RM500,000

    Ditipu scammer, pesara guru rugi lebih RM500,000

    SEORANG pesara guru wanita berputih mata apabila kerugian lebih RM500,000 gara-gara terpedaya dengan panggilan ‘scam’ yang kononnya dari syarikat insurans.

    Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, wanita berusia 59 tahun itu pada mulanya dikatakan mempunyai tuntutan insurans di sebuah hospital swasta sebelum panggilannya disambung kepada ‘pegawai polis’ untuk siasatan sumber kewangan yang ada dalam akaun wanita itu.

    “Wanita itu diminta untuk membuat pindahan keseluruhan wang ke dalam satu akaun miliknya bagi tujuan siasatan sumber kewangan milik mangsa. Akibat cemas dan ketakutan, mangsa memberikan semua maklumat kad ATM bank milik mangsa kepada individu terbabit bagi tujuan siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di Ipoh, hari ini.

    Mohd Yusri berkata, mangsa kemudian menyedari wangnya sebanyak RM585,904.22 lesap semasa ingin mengeluarkan wang dari akaun banknya, mangsa menyedari ditipu syarikat insurans berkenaan dan membuat laporan polis.

    Justeru, orang ramai diingatkan mengambil langkah berhati-hati bagi mengelak menjadi mangsa ‘scam’ termasuk tidak melayan panggilan telefon atau mesej individu atau nombor telefon yang tidak dikenali .

    “Guna aplikasi whoscall, truecaller dan sebagainya untuk mengetahui identiti pemanggil, jangan mudah panik dan cemas apabila menerima panggilan daripada scammer.

    “Agensi penguatkuasaan di Malaysia tidak akan menelefon untuk mengugut seraya memberi pilihan untuk ‘selesai di luar’, sentiasa membuat semakan dan pengesahan dengan jabatan atau agensi yang berkaitan,” katanya.

    Orang ramai juga diminta memberitahu pasangan, rakan atau ahli keluarga tentang panggilan diterima bagi mendapatkan pandangan atau menghubungi hotline National Scam Response Centre 997 untuk laporan atau mendapatkan khidmat nasihat.

    Jangan kongsi atau serah maklumat perbankan dalam apa jua keadaan jika diminta oleh orang yang tidak dikenali, katanya.

  • Pesara, suri rumah kerugian RM200,000 ditipu ‘polis’, ‘pegawai insurans’

    Pesara, suri rumah kerugian RM200,000 ditipu ‘polis’, ‘pegawai insurans’

    DUA individu kerugian lebih RM200,000 selepas ditipu scammer menerusi panggilan telefon yang menyamar sebagai pegawai polis dan ejen insurans.

    Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, dua kes itu membabitkan mangsa lelaki, pesara swasta berusia 60-an kerugian RM109,750, manakala seorang lagi membabitkan suri rumah berusia 50-an kerugian RM120,400.

    “Bagi kes pesara swasta, ketika mangsa berada di rumah di Bukit Bunga, Jeli, lelaki itu dihubungi oleh seorang wanita mendakwa dari Balai Polis Ampang, Selangor.

    “Mangsa dimaklumkan terbabit jenayah penggubahan wang haram dan bagi siasatan, mangsa mendedahkan semua butiran akaun banknya kepada suspek,” katanya dalam satu kenyataan di Kota Bharu hari ini.

    Katanya, mangsa kemudian diarahkan supaya memasukkan wang ke dalam akaun banknya sebagai ikat jamin sendiri dan diminta supaya tidak membuat semakan ke atas akaun sepanjang siasatan.

    Pada 30 Mac lalu ujarnya, mangsa pergi ke bank dan mendapati wang dalam akaun hanya tinggal RM100 dan mengesyaki ditipu dengan nilai kerugian RM109,750.

    Susulan itu katanya, mangsa membuat laporan di Balai Polis Bukit Bunga pada 2 April lalu.

    Muhamad Zaki berkata, bagi kes suri rumah, ketika berada di rumahnya di Pasir Mas pada 22 Februari lalu, mangsa menerima panggilan daripada seorang wanita menyamar sebagai ejen insurans dan mendakwa dia membuat tuntutan palsu RM68,800 di Hospital Ampang Puteri.

    Beliau berkata, mangsa menafikan perkara itu sebelum talian disambung ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang dan bercakap dengan seorang Sarjan serta Inspektor.

    “Mangsa juga disambungkan talian kepada seorang peguam wanita yang menyuruh mangsa membuka akaun bank baharu dan mendaftarkan nombor telefon milik suspek atas akaun itu.

    “Mangsa membuat pindahan ke dalam akaun baharu iaitu wang yang dipinjam sebanyak RM60,000 dan simpanan RM70,000,” katanya, lapor Harian Metro.

    Pada 31 Mac, mangsa menceritakan kepada anaknya sebelum membuat semakan di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan mendapati hanya tinggal RM490,” katanya.

    Muhamad Zaki berkata, kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

  • Bomoh pengganda wang bunuh 10 pelanggan ditahan polis

    Bomoh pengganda wang bunuh 10 pelanggan ditahan polis

    SEORANG bomoh pengganda wang dikenali sebagai ‘Mbah Slamet’ yang disyaki membunuh 10 orang pelanggan sejak 2020 ditahan polis di Jawa Tengah pada Sabtu lepas.

    Slamet Tohari, 45, ditahan di rumahnya di Desa Balun, Wanayasa, Banjarnegara bersama seorang pembantunya yang mempromosikan perkhidmatan penggandaan wang di media sosial.

    Kegiatannya terbongkar apabila Polis Banjarnegara menjalankan siasatan berhubung kehilangan mangsa terakhir yang gagal dihubungi keluarga sejak 24 Mac lepas.

    Ketua Polis Banjarnegara, Hendri Yulianto berkata, mangsa memaklumkan sedang berada di rumah Mbah Slamet kepada anaknya melalui pesanan WhatsApp.

    “Mangsa dari Sukabumi, Jawa Barat berpesan agar menghubungi polis jika beliau masih belum pulang selepas 26 Mac,” katanya.

    Bertindak atas laporan, polis menemukan mayat mangsa dipercayai akibat diracun, di ladang Desa Balun serta penemuan tiga kubur mangsa lain yang majoriti dari luar Banjarnegara termasuk dari Palembang.

    Sebanyak 10 mayat dipindahkan pihak berkuasa setakat ini.

    Kesemua mangsa diperdaya Mbah Slamet yang kononnya mampu menggandakan wang daripada 40 juta rupiah (RM11,822) kepada lima bilion rupiah (RM1.5 juta).

    Kes disiasat di bawah Perkara 340 Kanun Jenayah yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup atau maksimum 20 tahun penjara.

  • Jururawat rugi lebih RM200,000 terpedaya panggilan ‘inspektor’

    Jururawat rugi lebih RM200,000 terpedaya panggilan ‘inspektor’

    SEORANG jururawat kerugian lebih RM200,000 selepas terpedaya dengan panggilan yang menyamar sebagai pegawai polis antara November tahun lalu sehingga 1 April lalu.

    Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pada November tahun lalu, mangsa berusia berusia 40-an berada di Tanah Merah dan menerima panggilan daripada suspek yang mendakwa dia ada membuat tuntutan insurans.

    “Mangsa pada mulanya menafikan perkara itu dan diminta membuat laporan laporan di Balai Polis Ampang.

    “Mangsa sekali lagi mendapat panggilan kononnya daripada pegawai polis berpangkat Inspektor yang menyatakan wanita itu mempunyai waran tangkap dan waran pembekuan harta kerana terbabit dengan kes jenayah.

    “Mangsa diarahkan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang bagi siasatan, namun diberi pilihan bahawa pihak polis akan menjalankan siasatan melalui panggilan telefon,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Agihan Bubur Lambuk kepada kakitangannya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Koa Bharu, hari ini.

    Katanya, pada hujung November tahun lalu, mangsa pergi ke sebuah bank untuk membuat akaun baharu seperti yang diarahkan suspek kononnya bagi tujuan siasatan ke atas wang yang dimiliki mangsa.

    Menurutnya, mangsa diarah untuk mendaftar nombor telefon yang dimiliki suspek ketika membuka akaun bank itu.

    Sehingga Februari lalu katanya, mangsa membuat pindahan wang dari akaun bank lain ke akaun bank baharu bagi tujuan jaminan diri termasuk dua pinjaman bank yang dibuat dalam tempoh sebulan berjumlah RM148,000.

    Muhamad Zaki berkata, mangsa diarahkan supaya tidak membuat semakan ke atas akaun bank sepanjang tempoh siasatan.

    “Pada pukul 6 petang, 1 April lalu, mangsa membuat pemeriksaan akaun dan mendapati wang berjumlah RM207,000 tiada dalam simpanan sebelum membuat laporan polis.

    “Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Tiada maklumat bocor, kata KP imigresen selepas laman web digodam

    Tiada maklumat bocor, kata KP imigresen selepas laman web digodam

    LAMAN web rasmi Jabatan Imigresen (JIM) digodam oleh penyerang yang menggelarkan dirinya sebagai ‘CaptainSmok3r’ pada pukul 2 pagi tadi.

    Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh, berkata serangan siber berbentuk defacement (perbuatan merosakkan permukaan) itu mengakibatkan muka hadapan laman web JIM ditukar kepada paparan imej yang lain.

    “Walau bagaimanapun, capaian yang berkaitan dengan perkhidmatan JIM seperti myIMMs, SSPI dan lain-lain tidak terkesan dengan serangan berkenaan.

    “JIM sudah mengambil langkah pembetulan serta-merta dengan menutup capaian laman web dari akses orang ramai dan melakukan kerja baik pulih serta konfigurasi keselamatan laman web,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, Bahagian Teknologi Maklumat JIM juga sudah mengadakan perbincangan dan kerjasama bersama pihak NACSA dan CyberSecurity bagi membantu JIM untuk tindakan pengukuhan laman web.

    “Laman web JIM dijangka pulih dan boleh diakses semula oleh orang ramai petang ini,” katanya.

    Ruslin turut menegaskan bahawa tiada sebarang kebocoran maklumat berlaku dan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat andaian atau spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan dan mengganggu ketenteraman awam.

    Terdahulu JIM menerusi hebahan di media sosial seawal pagi tadi memaklumkan laman webnya iaitu www.imi.gov.my sedang diselenggara buat sementara waktu lapor Berita Harian.

  • Lelaki bujang intai isteri orang dalam rumah ditahan

    Lelaki bujang intai isteri orang dalam rumah ditahan

    TINDAKAN seorang lelaki bujang berusia 30-an yang didakwa mengintai jiran wanita yang juga isteri orang ketika berada di dalam rumah di Kampung Seronok, Bayan Lepas, Pulau Pinang semalam membawa padah selepas dia ditahan polis.

    Suspek yang bekerja sebagai operator kilang itu ditahan sepasukan polis Daerah Barat Daya di kawasan kampung berkenaan yang menerima laporan kejadian terbabit daripada suami mangsa.

    Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya dalam kenyataan memaklumkan, hasil soal siasat mendapati perbuatan tersebut dikesan telah dilakukan beberapa kali oleh suspek.

    “Suspek kini direman sehingga 6 April dan kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan,” demikian menurut kenyataan itu yang dimuat naik di laman sosial Facebook hari ini.

    Difahamkan, ujian saringan air kencing ke atas suspek yang bekerja sebagai operator kilang itu negatif sebarang pengambilan dadah.

  • Pesara tentera mengaku tidak bersalah terima rasuah RM15,000

    Pesara tentera mengaku tidak bersalah terima rasuah RM15,000

    PESARA tentera didakwa atas satu pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM15,000 sebagai ganjaran untuk mengeluarkan surat tawaran kerja pembersihan Kem 5 Briged, di Kota Kinabalu, pada 2014.

    Tertuduh, Azman Ariffin, 62, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Jason Juga ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu, di Kota Kinabalu, hari ini.

    Berdasarkan pertuduhan, Azman yang ketika itu bertugas sebagai Pegawai Staff 2 Gaji / Belanjawan di Markas Briged Ke-5 Infantri, Kem Lok Kawi, Sabah, didakwa secara rasuah menerima bagi dirinya suatu suapan iaitu wang tunai sebanyak RM15,000.

    Tertuduh didakwa menerima wang berkenaan daripada seorang individu, Kasriza B. Sudin di Pintu Utama Suria Sabah Shopping Mall, Jalan Tun Fuad Stephens, Kota Kinabalu pada Ogos 2014.

    Wang berkenaan dikatakan sebagai upah untuk mengeluarkan Surat Tawaran Kerja-kerja Membersih Kawasan Kem 5 Briged bagi tempoh kontrak dari 1 Jun 2014 sehingga 31 Mei 2015, dengan nombor rujukan 5BGD/BEL/G4-(12) bertarikh 12 Mei 2014 atas nama SB Lui Enterprise.

    Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda daripada jumlah atau nilai butir matan yang palsu atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

    Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin RM20,000 terhadap tertuduh dengan RM2,000 sebagai deposit dan seorang penjamin tempatan.

    Tertuduh turut diperintah melapor diri di pejabat SPRM setiap dua bulan sekali, manakala pasportnya diserahkan kepada mahkamah.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Sabah, Nurul Izzati Sapifee, manakala tertuduh diwakili peguam dari pejabat guaman Nohin & Partners.

    Sebutan semula kes ditetapkan pada 23 Mei depan, lapor Berita Harian.

  • Guru wanita rugi RM91,400 wang simpanan bank lesap

    Guru wanita rugi RM91,400 wang simpanan bank lesap

    SEORANG guru wanita berputih mata apabila wang simpanan, pinjaman dan hasil gadaian barang kemas berjumlah RM91,400 yang disatukan dalam sebuah akaun bank dipercayai dilesapkan suspek sindiket penipuan dalam talian.

    Nasib malang menimpa wanita berusia 51 tahun itu berlaku apabila dia terpedaya dengan panggilan telefon diterima pada 24 Februari lalu daripada individu menyamar sebagai pegawai insurans, polis dan timbalan pendakwa raya berkait kes tuntutan insurans.

    Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa didakwa dikehendaki pihak berkuasa kerana disyaki terlibat dalam kes tuntutan insurans perubatan palsu berjumlah RM68,000 di sebuah hospital swasta di ibu negara.

    “Mangsa yang menafikan dakwaan tersebut diarah menukar kad bank dan mengemas kini nombor pengesahan transaksi (TAC) bagi tujuan siasatan.

    “Mangsa turut diarahkan memindahkan semua wang dimiliki termasuk wang simpanan Tabung Haji, wang pinjaman dan hasil gadaian barang kemas ke dalam akaun bank yang dikemas kini terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, mangsa akur dengan menuruti semua arahan suspek sehingga sedar ditipu selepas menyedari semua wang dalam akaun bank dilesapkan dalam tempoh sebulan.

    Ramli berkata, orang ramai diingatkan supaya membuat semakan setiap panggilan meragukan yang diterima sebelum berurusan bagi mengelak ditipu.

    “Semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima boleh dibuat melalui pautan https://semakmule.rmp. gov.my sebelum membuat sebarang transaksi,” katanya, lapor Sinar Harian.