Category: Jenayah

  • Didakwa aniaya budak, taska diarah tutup sementara

    Didakwa aniaya budak, taska diarah tutup sementara

    KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengarahkan sebuah taska tutup sementara selepas tular dakwaan seorang ibu mengatakan anaknya berusia setahun dianiaya.

    Menerusi satu kenyataan KPWKM berkata, hasil siasatan pada 29 Mac lalu mendapati pusat yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu tidak mematuhi peraturan di bawah Akta Taska 1984.

    “Pengusaha diberi notis peringatan untuk membuat penambahbaikan dengan segera dan dalam proses penutupan sementara untuk tujuan menyediakan persekitaran selamat serta meningkatkan kualiti pengasuhan.

    “Dalam isu keselamatan kanak-kanak, kita melalui JKM merujuk Akta Kanak-kanak 2001 tidak akan berkompromi mengenai keselamatan mereka dan menjadi tanggungjawab pengusaha taska memantau tugas pengasuh bagi memastikan kanak-kanak dalam keadaan selamat di bawah jagaan taska,” katanya lapor Free Malaysia Today.

    Beberapa hari lalu, seorang wanita menggunakan akaun Facebook El Ameerah berkata, dia dimaklumkan guru bahawa anaknya digigit seorang kanak-kanak sehingga cedera di bahagian telinga, pipi dan tangan.

    Lebih mengejutkan, katanya, dia diberitahu anaknya bersama kanak-kanak lain berusia satu hingga dua tahun ditempatkan dalam bilik “isolasi” ketika bayi lebih kecil sedang tidur.

    Namun, pemeriksaan ke atas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati anaknya diletakkan dalam bilik kosong tanpa alas itu sejak pagi bersama empat kanak-kanak lain.

    Tanpa mendedahkan nama taska itu, wanita terbabit berikrar akan berjuang membela anaknya dengan mengambil tindakan undang-undang.

    KPWKM berkata, pihaknya melalui JKM bekerjasama dengan polis bagi memastikan kanak-kanak yang menjadi mangsa mendapat keadilan sewajarnya dalam kes terbabit.

  • Guna dokumen meragukan, 19 PATI warga Myanmar dan Bangladesh ditahan

    Guna dokumen meragukan, 19 PATI warga Myanmar dan Bangladesh ditahan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    13 lelaki dan enam wanita disyaki Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Myanmar dan Bangladesh, ditahan dalam sebuah feri penumpang di kedudukan 3.1 batu nautika barat daya muara Kuala Kedah pada pukul 10.16 pagi semalam.

    Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, bot ronda milik Maritim Malaysia sedang melaksanakan rondaan rutin Op Aman di sekitar perairan Kuala Kedah sebelum menerima maklumat risikan dan menahan feri berkenaan yang dalam perjalanan dari Langkawi ke Kuala Kedah.

    Ketika pemeriksaan dilakukan ke atas feri berkenaan, anggota penguat kuasa mendapati 16 warga Myanmar hanya memiliki salinan surat permohonan United Nations High Commission for Refugees (UNHCR) yang meragukan memandangkan permohonan pemilikan kad terbabit telah dihentikan kini.

    Selain itu katanya, tiga lagi warga Bangladesh tidak memilki dokumen pengenalan diri yang sah.

    “Berikutan itu , kesemua PATI terbabit disyaki telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih dari RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-dua sekali dan sebat tidak lebih dari enam kali sebatan, jika disabit kesalahan.

    “Kesemua mereka ditahan dan dibawa ke Pejabat Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Tambahnya, Pihak Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan orang ramai untuk melaporkan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut melalui saluran talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

  • Helah jual ganja di sebalik lemang

    Helah jual ganja di sebalik lemang

    Oleh BADLISHAH MAT

    TAKTIK seorang lelaki berselindung di sebalik perniagaan lemang yang sebenarnya melakukan aktiviti pengedaran ganja terbongkar apabila dia ditahan bersama tiga individu dalam serbuan di Bedong, Sungai Petani kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, serbuan kira-kira pukul 6 petang itu hasil intipan dan risikan sepasukan pegawai Jenayah Narkotik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

    Katanya, suspek pertama yang berusia 62 tahun itu ditahan ketika sedang berurusan dengan seorang lelaki berusia 33 tahun di belakang gerai lemangnya.

    “Turut ditahan dua pekerja lelaki yang berusia 18 dan 20 tahun. Aktiviti penjualan lemang suspek adalah sah namun pada masa sama dia turut menjalankan kegiatan menjual ganja di belakang gerai terbabit.

    “Pemeriksaan polis menemukan 17 ketulan ganja mampat di dalam beg berwarna biru dalam gerai terbabit yang dianggarkan seberat lebih 18 kilogram (kg) dan bernilai RM45,125,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, hari ini.

    Zaidy berkata, suspek berusia 33 tahun terbabit dipercayai pelanggan yang datang ke gerai itu untuk mengambil bekalan ganja sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

    “Berdasarkan siasatan kita mendapati suspek pertama dan kedua adalah dalang aktiviti pengedaran dadah ini manakala dua pekerja tersebut masih dalam siasatan,” ujarnya.

    Tambahnya, semakan rekod mendapati tiga daripada mereka masing-masing mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

    “Suspek pertama dan kedua direman sejak semalam hingga Rabu ini, manakala dua lagi suspek direman hingga Isnin depan,” katanya.

    Kata Zaidy, polis turut menyita kereta milik suspek pertama bernilai RM39,800 serta wang tunai RM550 dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1)(a) akta sama.

  • Dua lelaki guna gelaran ‘Datuk Seri’ ditahan

    Dua lelaki guna gelaran ‘Datuk Seri’ ditahan

    POLIS menahan dua lelaki di Bentong, Pahang kerana menggunakan lambang dan darjah kebesaran palsu membawa gelaran ‘Datuk Seri’.

    Ketua Polis Bentong, Zaiham Mohd. Kahar berkata, kedua-dua lelaki warga tempatan masing-masing berusia 44 dan 45 tahun itu ditahan satu pasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di sebuah rumah pada Selasa lalu.

    “Hasil pemeriksaan yang dijalankan di rumah dan pejabat suspek, polis merampas watikah pelantikan Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang disyaki palsu, pakaian istiadat lengkap, set bintang kebesaran dan lambang darjah kebesaran ‘Datuk Seri’ yang diletakkan pada kenderaan.

    “Seorang lagi suspek yang berusia 45 tahun juga didapati terlibat dalam aktiviti pemberi pinjam wang tanpa lesen dan disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951,” katanya dalam satu kenyataan.

    Zaiham berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Lambang dan Nama (mencegah penggunaan tidak wajar) 1963.

    Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menggunakan darjah kebesaran yang tidak diiktiraf demi kepentingan peribadi bagi tujuan tertentu.

    “Orang ramai boleh menyalurkan maklumat sekiranya mengesyaki tentang aktiviti-aktiviti penyamaran seperti ini kepada pihak polis,” ujar beliau, lapor FMT.

  • Lelaki dicekup bawa 3.6kg heroin bernilai RM128,000

    Lelaki dicekup bawa 3.6kg heroin bernilai RM128,000

    POLIS Perak memberkas seorang lelaki bersama kira-kira 3.6 kilogram dadah jenis heroin dianggarkan bernilai RM128,000 di sebuah pasar raya di Ipoh, Rabu lepas.

    Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata siasatan awal mendapati suspek berumur 25 tahun itu dipercayai mula aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sejak Februari lepas dan dadah yang dirampas disyaki untuk diedarkan di pasaran tempatan di sekitar Ipoh.

    “Hasil pemeriksaan ke atas suspek, pihak polis telah menjumpai sebuah beg galas yang mengandungi lapan peket plastik berisi serbuk dan ketulan disyaki dadah jenis heroin dengan anggaran berat 3,660 gram,” katanya dalam satu kenyataan di Ipoh hari ini.

    Yahaya berkata kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek direman selama enam hari untuk siasatan lanjut.

    Sementara itu, Yahaya berkata tindakan pelucuthakan harta juga diambil terhadap suspek di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan sitaan wang tunai milik suspek sebanyak RM1,100.

  • Anggota polis direman SPRM bagi kes rasuah tahun lalu

    Anggota polis direman SPRM bagi kes rasuah tahun lalu

    SEORANG anggota polis berpangkat Sarjan direman enam hari bagi membantu siasatan kes meminta serta menerima rasuah daripada penagih dan pengedar dadah, tahun lalu.

    Majistret S. Punitha mengeluarkan perintah reman itu terhadap lelaki berusia lingkungan 40-an itu selepas membenarkan permohonan yang dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di Mahkamah Majistret Ipoh di Ipoh hari ini.

    Tempoh reman sehingga Rabu depan itu bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

    Difahamkan, lelaki terbabit yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah itu ditahan semalam kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah antara RM1,500 hingga RM10,000 daripada pengedar dan penagih dadah sekitar daerah Perak Tengah.

    Tindakan itu dipercayai mendorong anggota terbabit tidak mengganggu dan mengambil tindakan undang-undang terhadap pesalah aktiviti penyalahgunaan dadah berkenaan.

    Semalam, dua anggota termasuk seorang wanita masing-masing berpangkat Sarjan ditahan SPRM Perak dan telah direman selama lima hari sehingga Isnin depan untuk membantu siasatan bagi pertuduhan rasuah.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd. Fauzi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

  • Rumah terbakar dibaling bom petrol

    Rumah terbakar dibaling bom petrol

    BAHAGIAN depan sebuah rumah di Taman Taming Jaya, Cheras terbakar dipercayai akibat dibaling bom petrol.

    Pengarah Bomba Selangor Morni Mamat berkata, tujuh anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn dikejarkan ke tempat kejadian selepas panggilan diterima pada 3.45 pagi tadi.

    “Sebaik tiba, kami dimaklumkan terdapat kebakaran membabitkan bahagian hadapan rumah berkenaan,” katanya, menurut Harian Metro.

    Beliau berkata, kebakaran itu dipercayai akibat bom petrol yang dibaling seseorang disyaki mempunyai unsur khianat.

    Katanya, struktur rumah itu tidak terjejas kerana hanya rak kasut yang terbakar.

  • Pelaburan Planetrade: Sembilan ditahan, kerugian mangsa cecah RM17.55 juta – PDRM

    Pelaburan Planetrade: Sembilan ditahan, kerugian mangsa cecah RM17.55 juta – PDRM

    SEMBILAN individu termasuk enam wanita warga tempatan ditahan kerana terlibat dalam skim penipuan pelaburan ‘Planetrade’ pada tahun 2022.

    Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin, sebanyak 92 laporan polis berkaitan skim penipuan tersebut diterima dengan nilai kerugian RM17.55 juta sepanjang tempoh Januari 2021 sehingga kini.

    Menurutnya, suspek yang merupakan dalang skim penipuan itu telah didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

    “Seorang lagi suspek yang merupakan pengarah syarikat mengendalikan skim tersebut juga telah didakwa di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    “Sementara tujuh lagi suspek telah dibebaskan dan dijadikan sebagai saksi pendakwaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Noorsiah berkata, polis turut membekukan 27 akaun bank dengan nilai keseluruhan RM700,533.47, enam kenderaan dengan nilai RM1.17 juta dan 11 juta unit saham di empat buah syarikat berkaitan di bawah seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Aktiviti Keganasan (AMLATFPUAA) 2001.

    Jelasnya, dalam usaha membanteras kegiatan penipuan pelaburan ‘Planetrade’, PDRM ingin menegaskan bahawa siasatan telah dijalankan secara terperinci dan menyeluruh.

    Kesemua suspek yang ditahan katanya, mempunyai penglibatan dan berperanan sama ada menguruskan, mengendalikan dan mempromosikan skim penipuan itu.

    “Antara suspek ditahan juga merupakan pelabur atau mangsa skim yang berperanan sebagai ‘Authorised Introducer’ iaitu menerima komisen bagi setiap pelabur yang dibawa masuk ke dalam skim tersebut,” katanya, lapor Astro Awani.

    Justeru, Noorisah menggesa mana-mana individu yang telah menjadi mangsa untuk tampil segera membuat laporan polis.

    Pada 1 April lalu, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa (MHO) menggesa individu yang menjadi mangsa penipuan skim pelaburan Planetrade diminta membuat laporan polis dengan segera.

  • Seludup mercun guna kenderaan PDRM, anggota polis ditahan

    Seludup mercun guna kenderaan PDRM, anggota polis ditahan

    DUA lelaki termasuk seorang anggota polis ditahan bagi membantu siasatan kes penyeludupan mercun melibatkan penggunaan kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kejadian berlaku pada jam 7.45 petang kelmarin ketika sepasukan anggota risikan Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa mengekori sebuah kenderaan Toyota Hilux milik PDRM.

    Menurutnya, sebaik sahaja tiba di lampu isyarat Wakaf Bata, Machang, anggota polis itu didapati bersama seorang lelaki yang juga mekanik berusia 35 tahun.

    “Anggota PGA mengekori mereka berikutan kenderaan yang dinaiki dua suspek itu berada dalam keadaan mencurigakan dari Tanah Merah,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Muhamad Zaki berkata, pemeriksaan lanjut menemui sejumlah mercun dan bunga api di bahagian belakang kenderaan yang keseluruhannya bernilai RM25,000.

    Tambah beliau, polis juga sedang mengenal pasti sama ada anggota tersebut berada di luar kawasan kerana tugas atau sebaliknya.

    “Semakan turut mendapati anggota polis itu bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu manakala mekanik pula mempunyai lima rekod lampau berkaitan narkotik.

    “Kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula Rabu dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.

  • Pindah minyak tanpa kebenaran, kapal tangki, tug bot ditahan

    Pindah minyak tanpa kebenaran, kapal tangki, tug bot ditahan

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang menahan sebuah kapal tangki serta tug bot selepas didapati melakukan aktiviti pemindahan minyak dari kapal ke kapal (STS) tanpa kebenaran pukul 2.10 petang semalam.

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, pihaknya mengesan sebuah kapal tangki MT Mekar Jaya dan sebuah tug bot YKP Karishma merapat antara satu sama lain dalam keadaan mencurigakan ketika melaksanakan rondaan rutin Op Pertiwi di 0.16 batu nautika timur perairan Persiaran Karpal Singh.

    Jelas beliau, hasil pemeriksaan, kapal tangki MT Mekar Jaya berbendera Malaysia dikendalikan lapan kru termasuk nakhoda iaitu tujuh warga Indonesia dan seorang warga tempatan berumur antara 26 hingga 46 tahun.

    Sementara itu, ujarnya, tug bot YKP Karishma berbendera Thailand dikendalikan enam kru termasuk nakhoda iaitu empat warga Indonesia dan dua warga Thailand berumur antara 35 hingga 51 tahun.

    “Kesemua kru kapal tangki dan tug boat memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

    “Mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu gagal memaklumkan Pengarah Jabatan Laut untuk melakukan aktiviti pemindahan minyak Ship to Ship (STS),” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sehubungan itu, tambah beliau, nakhoda dan ketua jurutera kapal serta tug bot termasuk dokumen berkaitan telah dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut.

    Tegas beliau, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan sebarang aktiviti haram dan akan mengambil tindakan tegas kepada mereka yang sengaja melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia.

     
    “Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya.