Category: Jenayah

  • Pemandu dalam video gaduh tular ditahan

    Pemandu dalam video gaduh tular ditahan

    SEORANG lelaki tempatan ditahan polis susulan kejadian pergaduhan membabitkan dua pemandu kenderaan di Jalan Permatang Janggus, Perai, Pulau Pinang yang video itu tular di media sosial sejak semalam.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, suspek yang berusia lewat 30-an itu ditahan pada hari sama.

    Jelas beliau, siasatan awal mendapati kejadian berlaku di Jalan Permatang Janggus menghala ke Permatang Pauh pada tarikh dan masa yang tidak dapat dipastikan.

    “Menerusi video itu, kelihatan sebuah kereta dan lori berhimpit antara satu sama lain sebelum kedua-dua pemandu memberhentikan kenderaan masing-masing dan bergaduh.

    “Pemandu kereta dilihat telah mengeluarkan satu objek dari dalam bonet belakang keretanya dan bertindak memukul nombor plat di bahagian hadapan lori terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

    Semalam, video pergaduhan berdurasi dua minit 40 saat itu mula tular di media sosial selepas dimuat naik di laman Twitter ‘Nan Manjoi’ sebelum dikongsi pengguna sosial lain.

  • Pemimpin politik guna gelaran ‘Datuk’ palsu disiasat

    Pemimpin politik guna gelaran ‘Datuk’ palsu disiasat

    POLIS telah merakam keterangan seorang pemimpin bahagian sebuah parti politik yang didakwa menggunakan gelaran ‘Datuk’ palsu untuk tujuan perniagaan dan peribadi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, pihaknya telah selesai merakam keterangan individu berkenaan.

    “Semua sudah selesai, kita tunggu arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.

    Sebelum ini, sebuah portal tempatan mendedahkan seorang pemimpin politik didakwa menggunakan gelaran Darjah Kebesaran Istana Pahang palsu untuk tujuan peribadi dan perniagaannya.

    Wakil Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ampang, Mohammad Afiq Tahar membangkitkan isu tersebut dengan membuat satu laporan polis pada 7 Mac lalu kerana mendapati wujud unsur-unsur penipuan oleh individu terbabit.

    Mohammad Afiq berkata, pihaknya menerima surat semakan status Darjah Kebesaran Negeri Pahang daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, pada 23 Mac lalu.

    Surat semakan itu mengesahkan individu berkenaan tidak dikurniakan sebarang pingat Darjah Kebesaran oleh Istana Pahang.

  • Remaja disyaki dirogol bapa tiri, suspek suami isteri ditahan

    Remaja disyaki dirogol bapa tiri, suspek suami isteri ditahan

    SEPASANG suami isteri selepas dipercayai terlibat dalam kejadian rogol membabitkan anak perempuan mereka yang berusia 16 tahun sejak tiga tahun lalu.

    Suspek yang merupakan bapa tiri serta ibu kandung mangsa masing-masing berusia 36 dan 40 tahun itu ditahan pukul 9.30 malam tadi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 2) sejurus tiba dari Sabah.

    Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, perbuatan terkutuk suspek lelaki yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu turut diketahui isterinya yang merupakan ibu kandung mangsa.

    “Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin ada menerima satu laporan mengenai kejadian rogol ke atas satu remaja perempuan berusia 16 tahun di Jasin, Melaka.

    “Bertindak atas maklumat, tangkapan telah dilakukan ke atas bapa tiri dan ibu kandung mangsa di KLIA 2, Sepang, Selangor,” katanya ketika dihubungi.

    Katanya, remaja perempuan yang masih bersekolah itu dipercayai menjadi mangsa rogol bapa tirinya sejak tahun 2020.

    Jelasnya, penahanan reman terhadap kedua-dua suspek sedang berjalan hingga 15 April ini bagi membantu siasatan.

    Mahkamah Majistret Ayer Keroh pada pagi tadi telah membenarkan permohonan reman dua suspek ini selama tujuh hari bermula hari ini hingga Sabtu depan, katanya.

    “Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 375 B Kanun Keseksaan/109 kanun sama,” tambahnya, lapor Astro Awani.

    Difahamkan, perbuatan terkutuk suspek terbongkar selepas mangsa yang sebelum ini melarikan diri lebih dua minggu memaklumkan perkara berkenaan kepada pihak polis.

  • Empat maut insiden tembakan di selatan Thailand

    Empat maut insiden tembakan di selatan Thailand

    SEKURANG-KURANGNYA empat terbunuh dalam kejadian tembakan di selatan Thailand semalam.

    Polis memberitahu serangan bermula kira-kira jam 5 petang (waktu tempatan) di daerah Khiri Rat Nikhom di wilayah Surat Thani—kira-kira 600 kilometer (km) di selatan ibu negara Bangkok.

    “Empat orang maut,” kata ketua polis tempatan Kriangkrai Kraikaew kepada AFP tetapi enggan memberikan butiran lanjut.

    Lapor media tempatan, tembakan berlaku berhampiran rumah bekas ketua kampung.

    Dalang serangan masih diburu dan motif serangan dalam siasatan.

  • Op Tapis:Pengedar dadah rempuh polis maut ditembak

    Op Tapis:Pengedar dadah rempuh polis maut ditembak

    SEORANG pengedar dadah maut ditembak selepas bertindak agresif merempuh polis dan cuba melarikan diri daripada pemeriksaan Op Tapis dalam kejadian di tepi jalan Kawasan Industri Berkelompok Kelapa Sawit (POIC) Fasa 2 di Lahad Datu, seamlam.

    Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 11.45 pagi melibatkan suspek yang berusia 28 tahun memandu kereta jenis Perodua Viva.

    “Sepasukan pegawai polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik terpaksa melepaskan tembakan bagi mempertahankan diri selepas dilanggar suspek ketika menjalankan operasi berkenaan.

    “Bertindak atas maklumat aktiviti pengedaran dadah, semasa polis hendak menahan sebuah kereta yang dinaiki suspek, secara tiba-tiba suspek bertindak mengundurkan kenderaannya dengan agresif dan merempuh salah seorang anggota polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, suspek juga membuat ‘u-turn’ sebelum memecutkan kenderaannya dalam pergerakan melawan arus serta merempuh seorang lagi anggota serbuan yang cuba menghalang suspek.

    Namun dalam masa sama anggota terbabit sempat melepaskan tembakan ke arah suspek bagi mempertahankan diri sebelum dilanggar.

    Menurutnya, suspek kemudian cuba memecutkan kenderaannya untuk melarikan diri tetapi terbabas pada jarak sejauh 400 meter dari lokasi kejadian.

    Pemeriksaan lanjut katanya, mendapati suspek sudah tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

    “Siasatan dalam Perodua Viva tersebut turut membawa dadah jenis syabu sebanyak 7.45 gram bernilai RM1,490 serta parang samurai.

    “Hasil semakan lanjut mendapati suspek mempunyai lima rekod kesalahan lampau melibatkan pelbagai kesalahan narkotik dan merupakan orang dikehendaki bagi kes jenayah komersil,” katanya lapor Sinar Harian.

    Rohan Shah berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar syabu.

  • Polis buru individu main mercun sebabkan 2 cedera

    Polis buru individu main mercun sebabkan 2 cedera

    POLIS sedang mengesan individu disyaki bermain mercun sehingga menyebabkan dua mangsa cedera di Kampung Changkat, Gombak pada 31 Mac lalu.

    Pemangku Ketua Polis Gombak, Noor Ariffin Mohamad berkata pihaknya mengesan rakaman video kejadian itu yang tular sejak semalam memaparkan sekumpulan individu bermain mercun menghala ke sebuah rumah.

    “Hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku pada 12.05 tengah malam 31 Mac lepas, menyebabkan seorang lelaki dan wanita masing-masing berusia 19 dan 24 tahun cedera di paha dan telinga,” katanya dalam kenyataan.

    Beliau berkata, usaha mengesan suspek masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 435/324 Kanun Keseksaan.

    Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat jenayah, Nur Atikah Adnan di talian 018-3648044 atau IPD Gombak 03-61262222.

  • Kerana cemburu, wanita maut ditikam suami

    Kerana cemburu, wanita maut ditikam suami

    SEORANG wanita mati ditikam suaminya yang dipercayai berpunca daripada rasa cemburu, dalam kejadian di sebuah gerai sayur di Kota Kinabalu, semalam.

    Pembantu kedai berusia 38 tahun itu disahkan meninggal dunia, selepas dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I dalam keadaan parah kira-kira pukul 1.30 tengah hari.

    Difahamkan, kejadian itu disedari orang awam sebelum memaklumkan polis.

    Pemangku Ketua Polis Kota Kinabalu, Kalsom Idris berkata siasatan awal mendapati mangsa didatangi suspek ketika membantu kakaknya menjual sayur di kawasan itu.

    Katanya, suspek menikam bahagian belakang mangsa beberapa kali sebelum melarikan diri.

    “Wanita yang parah itu kemudian dibawa ke hospital dengan ambulans, namun mangsa disahkan meninggal dunia pada 2.21 petang,” katanya menurut Harian Metro.

    Kalsom berkata, suspek ditahan di Jalan Kepayan pada pukul 8.30 malam oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

    “Polis menyelesaikan kes ini tidak sampai 24 jam dan motif kejadian dipercayai akibat cemburu. Sebilah pisau turut dirampas di lokasi kejadian yang dipercayai digunakan suspek ketika kejadian.”

    Katanya, suspek yang juga warga asing itu direman untuk disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

  • Dera di taska: Mangsa digigit kanak-kanak seusia – Polis

    Dera di taska: Mangsa digigit kanak-kanak seusia – Polis

    KECEDERAAN seorang kanak-kanak yang dilaporkan digigit dalam kejadian di sebuah taska dekat Putrajaya, adalah selari dengan kesan gigitan kanak-kanak seusia.

    Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz, berkata perkara itu disahkan pegawai perubatan selepas mangsa dirujuk ke Hospital Putrajaya untuk rawatan.

    Beliau berkata, pihaknya menerima laporan yang dibuat seorang wanita berhubung beberapa kesan gigitan di tangan anaknya ketika dihantar ke taska berkenaan pada 10.26 malam, 5 Januari lalu.

    Katanya, susulan itu, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan semakan dengan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapati taska tersebut berdaftar dan mempunyai lesen sah.

    “Pada mulanya kedua-dua pihak bersetuju untuk tuntutan ganti rugi terhadap kejadian, namun begitu sehingga kini tiada penyelesaian dapat dibuat oleh kedua-dua pihak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Semalam, tular hantaran artikel bergambar yang dimuat naik menerusi akaun Facebook “EL Ameerah” berkaitan kecederaan yang dialami kanak-kanak perempuan berusia satu tahun semasa berada di sebuah taska.

    Media turut melaporkan ibu kanak-kanak itu akan mengambil tindakan undang-undang terhadap taska tersebut yang didakwa mengabaikan anaknya yang ditinggalkan bersama beberapa orang kanak-kanak lain di sebuah bilik tanpa pengawasan.

    A. Asmadi turut menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi dan tidak menularkan artikel tersebut kerana ia boleh mendatangkan ketidakharmonian serta mengganggu siasatan polis. – BERNAMA

  • Kes hina agama, kaum, raja: Pasukan petugas polis buka 7 kertas siasatan

    Kes hina agama, kaum, raja: Pasukan petugas polis buka 7 kertas siasatan

    PASUKAN petugas khas yang ditubuhkan oleh PDRM untuk menyiasat kes membabitkan penghinaan terhadap agama, kaum dan institusi diraja (3R) membuka tujuh kertas siasatan sejak penubuhannya pada 22 Mac lalu.

    Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, setakat ini dua suspek ditahan membabitkan kes penghinaan terhadap institusi diraja dan perkauman, manakala seorang suspek masih dikesan.

    “Daripada tujuh kertas siasatan, tiga telah dirujuk ke pejabat peguam negara selari dengan peruntukan artikel 145 (3) Perlembagaan Persekutuan, manakala empat kes lagi masih dalam siasatan pihak Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT),” katanya dalam kenyataan.

    Mengulas lanjut, Noorsiah berkata, polis menasihatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya memuat naik gambar, video sensitif dan seumpamanya yang melangkaui aspek 3R.

    Katanya, pengguna juga disaran menggunakan media sosial dengan bijak terutama yang menyentuh isu 3R bagi menjamin keharmonian dan perpaduan masyarakat berbilang kaum serta agama terpelihara.

    “Sebarang bentuk penularan berita palsu, berkecenderungan menghasut atau ugutan yang boleh menyebabkan kegentaran awam melalui platform media sosial akan diambil tindakan undang-undang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan 1948 dan kesalahan yang termaktub di bawah Kanun Keseksaan,” katanya.

    Menurut Noorsiah, pasukan petugas khas itu diketuai oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, di mana siasatan dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).

    Tambahnya, objektif task force adalah untuk memastikan siasatan dijalankan dengan kadar segera dan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara dalam tempoh tujuh tujuh hari.

    Bulan lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang usaha untuk menghasut sentimen perkauman atau agama di negara ini.

  • Ibu disyaki dera bayi 10 bulan ditahan

    Ibu disyaki dera bayi 10 bulan ditahan

    POLIS menahan seorang wanita selepas dia disyaki mendera bayi lelakinya berusia 10 bulan di sebuah kediaman di Petaling Utama, di Petaling Jaya, kelmarin.

    Difahamkan kejadian itu terbongkar selepas suaminya berusia 20-an yang melihat kesan kecederaan itu membawa bayi berkenaan untuk mendapatkan rawatan di Hospital Shah Alam.

    Sebelum kejadian, pasangan suami isteri berkenaan dikatakan berselisih faham dan tidak bertegur beberapa hari sebelum suaminya mendapati ada kesan lebam pada anak mereka lalu membawa bayi itu ke hospital.

    Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 12.28 tengah malam.

    Bertindak atas maklumat itu katanya, pada 6.30 petang kelmarin, sepasukan polis menahan wanita berusia 26 tahun tersebut di kediamannya.

    “Mangsa mengalami kecederaan lebam di tubuh badan kini menerima rawatan di hospital.

    “Suspek dibenarkan reman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya dalam kenyataan hari ini.