Category: Jenayah

  • Wanita, adik ipar direman bantu siasatan salah guna kuasa

    Wanita, adik ipar direman bantu siasatan salah guna kuasa

    SEORANG kakitangan awam dan adik iparnya direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa bagi mendapatkan beberapa perolehan pembekalan di sebuah jabatan Persekutuan sejak 2019.

    Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Nik Tarmizie Nik Mohd Sukri terhadap ketua pembantu tadbir berusia 44 tahun dan pemilik syarikat berusia 39 tahun itu.

    Kedua-dua wanita itu masing-masing ditahan pada pukul 1.45 petang dan 2.10 petang semalam, di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu ketika hadir memberi keterangan.

    Menurut sumber SPRM, kes salah guna kuasa itu dipercayai telah berlaku sejak 2019 dan melibatkan lebih 10 perolehan pembekalan yang keseluruhannya mencecah kira-kira RM30,000.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009 yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

  • 5 termasuk penyerang maut dalam insiden tembakan di sebuah bank

    5 termasuk penyerang maut dalam insiden tembakan di sebuah bank

    SEORANG lelaki bersenjata dan empat yang lain terbunuh dalam satu kejadian tembakan di sebuah bank di bandar Louisville di negeri Kentucky Amerika Syarikat (AS) pada Isnin, menurut polis.

    Lapan orang turut cedera termasuk dua pegawai polis. Seorang daripada pegawai polis itu dilaporkan berada dalam keadaan kritikal, lapor Agensi Berita Jermam (dpa).

    Timbalan ketua polis Louisville Paul Humphrey berkata, polis tiba di lokasi kejadian beberapa minit selepas menerima panggilan kecemasan.

    Dua pegawai polis itu cedera ketika berbalas tembakan dengan penyerang.

    Humphrey berkata, setakat ini belum jelas sama ada penyerang ditembak oleh polis atau membunuh diri.

    Menurut siasatan awal, suspek merupakan kakitangan bank itu atau pernah bekerja di bank berkenaan.

  • Bot nelayan tempatan ditahan dikendali PATI

    Bot nelayan tempatan ditahan dikendali PATI

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan pukul 12.20 tengah hari semalam selepas didapati menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI) sebagai kru.


    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, kapal ronda Maritim Malaysia mengesan bot nelayan tempatan kelas C itu yang bergerak dalam keadaan mencurigakan ketika melaksanakan rondaan rutin Op Khas Pagar Laut 1/2023.

    Jelasnya, bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Hutan Melintang, Perak itu ditahan pada kedudukan 48 batu nautika barat daya Pulau Kendi.

    “Hasil pemeriksaan mendapati, bot dikendalikan empat  warga Myanmar termasuk tekong berumur antara 33 hingga 38 tahun yang kesemuanya tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah serta disyaki telah melanggar syarat sah lesen bot.

    “Mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada permit menggajikan warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambah beliau, bot serta kesemua kru ditahan bersama kira-kira 300 kilogram hasil laut dan dibawa ke Jeti Limbongan Batu Maung sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

    Tegasnya, Maritim Malaysia mendapati masih terdapat segelintir pengusaha atau pemilik bot yang masih berdegil menggunakan PATI untuk bekerja di atas bot mereka walaupun tangkapan dan amaran telah diberikan sebelum ini.

    “Maritim Malaysia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang sengaja melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia,” katanya.

    Ujar beliau, sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

  • PDRM sahkan pihak berkuasa Australia rampas 336kg dadah dari Malaysia

    PDRM sahkan pihak berkuasa Australia rampas 336kg dadah dari Malaysia

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan Pihak Berkuasa Australia telah berjaya merampas 336 kilogram (kg) dadah jenis heroin yang dibawa masuk dalam sebuah kontena dari Malaysia ke Brisbane, Australia pada 13 Mac lepas.

    Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata dadah berkenaan dianggarkan bernilai AUD268.8 juta (RM789.56 juta).

    “Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman sedang menjalankan siasatan dengan berpandukan maklumat yang diterima dari pihak Polis Persekutuan Australia (AFP) sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam ini.

    AFP dalam kenyataan minggu lepas memaklumkan Pasukan Sempadan Australia (ABF) berjaya mengesan dadah berkenaan disorok dalam dua blok konkrit simen yang masing-masing seberat 500kg.

    Menurut kenyataan itu, semakan mendapati penghantaran berkenaan diisytiharkan sebagai aksesori panel solar dalam kontena yang tiba 13 Mac lepas di Pelabuhan Brisbane dari Malaysia.

    Kenyataan itu memaklumkan pegawai ABF yang memeriksa kontena berjaya mengesan ratusan bungkusan tersembunyi di dalam blok konkrit simen berkenaan dan keputusan ujian ke atas bahan dalam bungkusan positif dadah jenis heroin. – BERNAMA

  • MAQIS rampas herba dari China, AS tanpa permit import sah

    MAQIS rampas herba dari China, AS tanpa permit import sah

    JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang berjaya mengagalkan cubaan membawa masuk hasil pertanian tanpa dokumen permit import sah di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas pada Jumaat lalu.

    Pengarah MAQIS Pulau Pinang, Muhammad Ikram Abd Talib Hashim berkata, rampasan itu dilakukan hasil kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang mana barangan tersebut berjaya dikesan dengan bantuan mesin pengimbas JKDM.

    Ujar beliau, siasatan mendapati keluaran pertanian tersebut tidak mempunyai permit import serta Sijil Fitosanitasi yang sah.

    Katanya, barangan dagangan pertanian yang dibawa dari China, Amerika Syarikat (AS) dan lain-lain negara itu merupakan jenis tanaman herba seperti ginseng, akar kayu dan pelbagai daun kering.

    “Keseluruhan berat dagangan adalah sebanyak 50 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM 9,500,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit yang sah merupakan kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) Akta yang sama.

    Jika sabit kesalahan, jelas beliau, syarikat boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

    Tambahnya, MAQIS akan sentiasa mempergiatkan kerjasama strategik di antara agensi penguatkuasaan di sempadan bagi menangani isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam industri pertanian negara.

    “Tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara,” katanya.

  • Duit, barang kemas RM10,000 lesap diperdaya ‘pegawai JKM’

    Duit, barang kemas RM10,000 lesap diperdaya ‘pegawai JKM’

    MENYAMAR sebagai pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum memperdayakan warga emas di sekitar daerah Jeli dengan menawarkan bantuan bulanan serta rumah baharu.

    Suspek yang merupakan seorang wanita menaiki sebuah Perodua Axia berwarna hijau bersama seorang lelaki menyasarkan golongan warga emas.

    Itu modus operandi seorang wanita berusia 40-an tersebut dalam mencari dan menipu mangsanya.

    Seorang ahli keluarga mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Zali, 51, berkata, pada Ahad, ibu dan ayah mentuanya yang tinggal di Kampung Lawar di Jeli telah didatangi ‘pegawai JKM’ yang kononnya ingin melakukan bancian.

    “Wanita tersebut memperkenalkan diri sebagai pegawai dari JKM Tanah Merah dan menawarkan bantuan bulanan berjumlah RM500 serta sebuah rumah baharu.

    “Dia juga meminta ibu dan ayah mentua membayar deposit RM2,500 bagi melancarkan proses bantuan tersebut,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Menurutnya, kerana terperdaya dengan kata-kata tersebut pasangan warga emas berusia 73 dan 82 tahun itu telah menyerahkan barang kemas sebagai gantian kepada wang tunai.

    Ujarnya, ibu mentua telah memberikan seutas gelang tangan, rantai leher dan sebentuk cincin yang dianggarkan bernilai RM6,3000.

    Zali memberitahu, wanita tersebut berjanji akan kembali semula pada Rabu ini untuk membawa kedua mentua melihat rumah baharu yang akan diberikan kepada mereka.

    “Tersedar seperti ditipu, kami sekeluarga telah membuat laporan di Balai Polis Batu Melintang untuk tindakan selanjutnya.

    “Selepas kejadian ini tersebar kami juga dimaklumkan terdapat beberapa warga emas di sekitar jajahan Jeli yang telah ditipu menggunakan modus operandi sama. Ada yang mengalami kerugian sehingga RM10,000,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jeli, Superintenden Saari Yaacob ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kes tersebut.

  • Jamal nafi dakwaan sogok perwakilan UMNO

    Jamal nafi dakwaan sogok perwakilan UMNO

    KETUA UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Yunos menafikan dakwaan menyogok 12 perwakilan untuk mengundinya pada pemilihan parti 18 Mac lalu.

    Beliau menyifatkan dakwaan itu fitnah dibuat pihak lawan yang kalah dalam pemilihan parti peringkat Bahagian Sungai Besar.

    Bagaimanapun, Jamal tidak menamakan pihak yang kalah itu.

    “Saya nafikan. (Ini) fitnah daripada pihak yang kalah dalam pemilihan lepas,” katanya mengesahkan dipanggil Lembaga Disiplin UMNO pada Rabu ini berkaitan dakwaan itu.

    “Memang betul saya akan dipanggil Lembaga Disiplin Rabu nanti pada 12 tengah hari.”

    Jamal mengekalkan jawatan ketua UMNO Bahagian Sungai Besar pada pemilihan parti Mac lalu, dengan menewaskan bekas menteri besar Selangor Datu Seri Dr. Mohamad Khir Toyo.

    Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Jamal dipercayai dipanggil bagi pendengaran Lembaga Disiplin UMNO apabila didakwa menyogok 12 orang perwakilan untuk mengundinya pada pemilihan parti.

    Menerusi sepucuk surat ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Mohd. Hafarizam Harun bertarikh 7 April 2023, beliau dikatakan melanggar peruntukan Perlembagaan UMNO dan Tataetika Ahli UMNO yang boleh dihukum bawah Fasal 20.9

    Dalam surat itu juga, perwakilan yang diberikan sogokan diarahkan bersumpah untuk mengundi Jamal dalam pemilihan parti.

    Selain wang tunai, perwakilan turut diberikan satu beg perwakilan mengandungi kad gantung perwakilan, cai dan sekeping kad jemputan dikatakan boleh ditunaikan berjumlah RM2,000 jika Jamal menang pemilihan.

    Sementara itu, Jamal berkata, akan memberikan penjelasan kepada Lembaga Disiplin UMNO dan membuat sidang media selepas itu di Pusat Dagangan Dunia (WTC).

    “Saya akan membuat penjelasan mengenai aduan oleh pihak tersebut,” katanya, lapor FMT.

  • APMM Terengganu rampas rokok putih bernilai RM1.2 juta

    APMM Terengganu rampas rokok putih bernilai RM1.2 juta

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu berjaya menggagalkan cubaan menyeludup dua juta batang rokok putih bernilai RM1.2 juta di muara Sungai Setiu di Setiu, semalam.

    Pengarah Maritim Terengganu Kepten Maritim Khairulanuar Abdul Majid berkata aktiviti penyeludupan itu dikesan kira-kira 5.30 pagi berdasarkan maklumat risikan selama beberapa hari.

    Beliau berkata sebuah bot APMM telah dikerah bagi melaksanakan Operasi Khas Seludup Rokok Putih (Op Serop) di lokasi yang dikenal pasti iaitu di perairan Besut dan maklumat itu kemudiannya disalurkan ke pasukan APMM di darat untuk penahanan.

    “Hasil rondaan telah mengesan sebuah bot pancung enjin sangkut bergerak dalam keadaan mencurigakan.

    “Menyedari kehadiran bot APMM, suspek yang berada di dalam bot berkenaan melarikan diri dengan memasuki kawasan cetek untuk meloloskan diri,” katanya pada sidang media di Jeti APMM Terengganu hari ini.  

    Mohd Khairulanuar berkata suspek berjaya melarikan diri dengan terjun ke dalam air dan gagal dikesan memandangkan keadaan persekitaran yang sangat gelap.

    Beliau berkata bagaimanapun pasukan APMM darat berjaya mengesan sebuah lori lima tan dalam keadaan mencurigakan di kawasan sekitar muara Sungai Setiu.

    “Pemeriksaan menemukan 200 kotak besar rokok putih seludup yang dibalut dengan plastik hitam dalam lori berkenaan. Kita masih menyiasat sumber rokok terbabit yang dipercayai untuk edaran dalam Terengganu,” katanya.

    Khairulanuar berkata APMM Terengganu akan meningkatkan kawalan di sekitar perairan negara untuk membendung aktiviti pencerobohan dan penyeludupan yang semakin berleluasa.

  • Bekas MB Perlis dituduh atas dakwaan rasuah esok

    Bekas MB Perlis dituduh atas dakwaan rasuah esok

    SEORANG bekas Menteri Besar Perlis yang bergelar Datuk Seri bakal dituduh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Sesyen Kangar esok pagi.

    Ahli politik tersebut dijangka dituduh pada pukul 8.30 pagi berdasarkan satu jemputan liputan media yang dikeluarkan oleh SPRM, namun tidak menamakan identiti sebenar bekas menteri besar berkenaan.

    “Dengan ini adalah dimaklumkan, SPRM telah mendapat izin mendakwa terhadap seorang bekas menteri besar,” kata kenyataan itu petang tadi.

    Difahamkan, ahli politik tersebut bakal dituduh mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana mengemukakan atau mengesahkan dokumen mengandungi butiran palsu.

    Individu tersebut difahamkan juga pernah menjadi pemimpin utama sebuah parti di negeri tersebut sebelum ini.

  • Dua beranak ditahan bantu siasatan kes tipu kutip derma

    Dua beranak ditahan bantu siasatan kes tipu kutip derma

    POLIS menahan dua beranak bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan kutipan derma di Sentul, Kuala Lumpur, semalam.

    Wanita berusia 60 tahun dan anak lelakinya berusia 28 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis dan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh, susulan tujuh laporan polis dibuat terhadap suspek sejak 21 Mac lalu.

    Ketika penahanan dilakukan, polis menemui wang tunai berjumlah RM110,011 manakala RM268,000 lagi dalam akaun bank wanita terbabit dipercayai daripada sumbangan orang ramai.

    Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi hari ini mengesahkan penahanan terbabit.

    “Suspek wanita akan didakwa di Mahkamah Shah Alam esok (Isnin) manakala anak lelakinya ditahan untuk membantu siasatan,” katanya lapor Sinar Harian.