Category: Jenayah

  • Pembantu menteri sumber manusia ditahan SPRM

    Pembantu menteri sumber manusia ditahan SPRM

    SEORANG pembantu Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Menurut sumber, pembantu itu yang merupakan pegawai kanan Sivakumar, ditahan bersama seorang ejen pengambilan pekerja asing.

    Difahamkan, penahanan mereka ada kaitan siasatan membabitkan pengambilan pekerja asing.

    FMT sudah menghubungi pejabat Sivakumar dan SPRM untuk mendapatkan pengesahan.

    BERITA LANJUT MENYUSUL

  • Lelaki di Temerloh ditahan buat hantaran hina institusi beraja

    Lelaki di Temerloh ditahan buat hantaran hina institusi beraja

    POLIS menahan seorang lelaki selepas disyaki membuat hantaran berbaur penghinaan terhadap institusi beraja di negara ini menerusi satu operasi di Temerloh, Pahang, hari ini.

    Menurut Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, suspek berusia 42 tahun itu ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh.

    Beliau berkata, lelaki itu dipercayai membuat hantaran itu menerusi akaun Facebook ‘Raja Hairun’.

    “Permohonan reman terhadap suspek mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah akan dibuat di lokap berpusat Kuala Lumpur, esok.

    “Siasatan kes itu dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mengulas lanjut, Noorsiah menasihatkan orang ramai agar menghormati institusi beraja negara.

    Katanya, ini kerana ia sudah dijamin oleh Perlembagaan demi menjaga kestabilan negara, bangsa dan negara.

    “Mana-mana individu atau pihak yang didapati dengan sengaja mengeluarkan sebarang kenyataan menghina dan memperlekehkan institusi beraja akan dikenakan tindakan tegas,” tambahnya.

  • Tiada kematian akibat buli dalam kalangan petugas kesihatan

    Tiada kematian akibat buli dalam kalangan petugas kesihatan

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) menerima 120 aduan menerusi sistem MyHELP@KKM dalam dua bulan pertama tahun ini tetapi hanya satu berkait buli.

    Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata, tiada kes kematian dilaporkan dalam kalangan petugas kesihatan yang disebabkan oleh insiden buli.

    “Sebanyak 112 aduan diterima tidak mempunyai kaitan dengan buli tetapi berkait isu seperti perkhidmatan, pengurusan, penempatan, hutang dan isu peribadi.

    “Satu aduan mempunyai unsur buli masih dalam siasatan dan tujuh aduan disiasat dan didapati tidak berasas dan bukan buli,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara, lapor FMT.

    Beliau menjawab soalan Jefridin Atan mengenai statistik aduan diterima berkait insiden buli dalam kalangan petugas kesihatan termasuk doktor pelatih sehingga menyebabkan kematian akibat tekanan melampau.

    MyHELP@KKM dilancarkan pada Oktober tahun lalu untuk petugas kesihatan melaporkan kejadian buli atau aduan lain berkait tempat kerja.

  • Polis siasat video tular pelajar sekolah ‘dibelasah’ di Kota Belud

    Polis siasat video tular pelajar sekolah ‘dibelasah’ di Kota Belud

    POLIS akan mengambil tindakan terhadap pelajar disyaki terbabit pergaduhan dalam video tular di WhatsApp, sejak semalam.

    Klip video tular sejak 7 malam itu dipercayai berlaku membabitkan pelajar di sebuah sekolah menengah di Kota Belud, Sabah.

    Ketua Polis Kota Belud, Shahrudin Mat Husain, yang mengesahkan kejadian itu berkata, setakat pagi tadi, pihaknya belum menerima sebarang laporan daripada individu terbabit atau pihak sekolah.

    “Kami juga akan menyiasat sama ada ia pergaduhan atau kes buli dalam kalangan pelajar,” katanya menurut Harian Metro.

    Shahrudin berkata, pihaknya akan mengambil tindakan bersama pengurusan sekolah yang berkenaan.

    Beliau turut meminta saksi kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan.

    “Orang ramai juga dipohon supaya tidak menyebarkan spekulasi atau maklumat palsu berkaitan kejadian,” katanya.

    Rakaman itu antara lain menunjukkan, seorang remaja memakai baju T merah yang dipercayai pelajar, ditumbuk beberapa kali oleh seorang pelajar.

  • Suri rumah rugi hampir RM500,000 angkara ‘phone scam’

    Suri rumah rugi hampir RM500,000 angkara ‘phone scam’

    POLIS Perak menerima satu lagi laporan individu yang mengalami kerugian wang akibat terpedaya dengan ‘phone scam’ dalam kejadian Sabtu lalu.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri, berkata kali ini ia melibatkan seorang suri rumah berusia 50-an yang mengakibatkan kerugian hampir RM500,000.

    “Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Kerian menerima laporan daripada wanita berusia 50-an itu pada Sabtu lepas.

    “Kejadian berlaku pada Februari lalu apabila pengadu menerima panggilan telefon kononnya dari pihak insurans dan polis yang mendakwa pengadu terbabit dalam satu tuntutan palsu dan terlibat dengan kes jenayah pemerasan dan judi haram,” katanya dalam satu kenyataan.

    Katanya, terpedaya konon bagi tujuan siasatan, pengadu diminta mendedahkan maklumat akaun kepada pihak berkenaan dan kemudian diarahkan membuat pindahan wang ke dalam akaun diberikan.

    Yusri berkata, pengadu menyedari diperdaya apabila memaklumkan perkara itu kepada ahli keluarganya dan hasil semakan mendapati wang simpanan dalam akaunnya berkurangan sebanyak RM459,754.

    Dalam pada itu, Yusri menasihatkan orang ramai lebih berhati-hati dengan segala taktik penipuan jenayah scammer yang menyebabkan ramai mangsa terpedaya.

    “Orang ramai juga boleh merujuk kepada Bilik Gerakan IPD Kerian di talian 05 721 2222 atau hubungi CCID Scam Response Centre di talian 03 2610 1559 atau 03 2610 1599 atau hubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997,” katanya.

    Minggu lalu, Yusri mendedahkan seorang pesara guru wanita mengalami kerugian lebih RM585,000 selepas terpedaya dengan sindiket yang menggunakan modus operandi sama.

  • Sekurang-kurangnya 100 terbunuh serangan udara di Myanmar

    Sekurang-kurangnya 100 terbunuh serangan udara di Myanmar

    SEKURANG-KURANGNYA 100 orang awam termasuk beberapa kanak-kanak terbunuh dalam serangan udara tentera di Myanmar, menurut laporan media dan saksi.

    Tentera melancarkan roket ke perbandaran Pazigyi di wilayah Sagaing pada Selasa, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

    Roket itu dilancarkan ketika upacara pembukaan pejabat baharu Angkatan Pertahanan Rakyat antijunta di situ. Ramai penduduk kampung dilaporkan datang ke bandar untuk menghadiri majlis berkenaan.

    Pertempuran sengit juga dilaporkan tercetus di kawasan itu baru-baru ini antara tentera dan kumpulan bersenjata yang menentang junta.

    Myanmar diperintah junta tentera selepas rampasan kuasa pada Februari 2021.

    Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) António Guterres mengecam sekeras-kerasnya serangan pada Selasa itu dan meminta mereka yang melakukannya supaya bertanggungjawab.

    Laporan media menunjukkan Pazigyi kini dalam keadaan huru-hara. Menurut saksi, jumlah kematian mungkin akan meningkat.

    Penduduk berkata tentera menunggu upacara bermula bagi melancarkan serangan udara dan gambar yang disiarkan di media sosial menunjukkan mayat bergelimpangan.

    Kerajaan bayangan antijunta di Myanmar, Kerajaan Perpaduan Nasional dalam satu kenyataan menyifatkan serangan itu sebagai ‘perbuatan keji’ dan bukti keganasan junta terhadap orang awam yang tidak bersalah.

  • Dua tahanan Indonesia lolos berjaya ditahan semula

    Dua tahanan Indonesia lolos berjaya ditahan semula

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DUA tahanan yang melarikan diri ketika dalam perjalanan menuju ke Penjara Satelit Ledang, pagi semalam sudah berjaya diberkas semula.

    Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kedua-dua suspek berkenaan itu dikenali sebagai Haji Samirudin, 36 dan Riki Rinaldi, 40.

    “Riki Rinaldi telah dijumpai pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai pukul 9 malam tadi hasil maklumat daripada orang awam.

    “Suspek ditemui pada jarak lebih kurang 10 km dari tempat kejadian dalam keadaan tidak bermaya berikutan kecederaan yang dialami ketika terjun daripada kenderaan.

    “Sementara Haji Samirudin ditemui pada pukul 10.40 pagi tadi di ladang berhampiran tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau memberitahu, kedua-dua suspek kini ditahan di IPD Kulai.

    Katanya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia akan melakukan siasatan dalaman dan mengambil tindakan sekiranya berlaku perlanggaran prosedur keselamatan semasa membawa tahanan.

    Semalam dua tahanan tersebut melarikan diri ketika dalam perjalanan dari Mahkamah Kota Tinggi ke Penjara Ledang.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow, kedua-dua tahanan itu membuka gari berantai dan pintu belakang van sebelum lari ke dalam kebun kelapa sawit terbiar Jalan Felda Inas menghala ke Sengkang berhampiran jambatan kereta api.

    “Sebelum itu suspek bersama dua lagi tahanan warga Indonesia sebelum itu, dibawa ke Mahkamah Kota Tinggi pada pukul pukul 8 pagi semalam, bagi pertuduhan tidak mempunyai pas dan dokumen yang sah masuk ke negara ini,” ujar Beng Yeow.

  • Polis buru 2 tahanan lari ketika dalam perjalanan ke penjara

    Polis buru 2 tahanan lari ketika dalam perjalanan ke penjara

    DUA tahanan warga Indonesia yang melarikan diri ketika dalam perjalanan dari Mahkamah Kota Tinggi ke Penjara Ledang, hari ini sedang giat diburu polis.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow , tahanan itu dikenali sebagai Riki Rinaldi, 40 dan Samirudin, 36.

    Kedua-dua tahanan itu katanya membuka gari berantai dan pintu belakang van sebelum lari ke dalam kebun kelapa sawit terbiar Jalan Felda Inas menghala ke Sengkang berhampiran jambatan kereta api.

    “Suspek bersama dua lagi tahanan warga Indonesia sebelum itu, dibawa ke Mahkamah Kota Tinggi pada pukuljam 8 pagi, bagi pertuduhan tidak mempunyai pas dan dokumen yang sah masuk ke negara ini.

    “Kesemua tertuduh telah dijatuhkan hukuman penjara enam bulan oleh mahkamah mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63.

    “Bagaimanapun, semasa dalam perjalanan ke Penjara Ledang, dua tertuduh telah membuka gari dan pintu belakang van sebelum melarikan diri ke dalam kebun kelapa sawit terbiar,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Menurut Beng Yeow, tiga anggota Maritim telah ditugaskan membawa kesemua tertuduh ke Penjara Ledang setelah selesai pertuduhan pada jam 11.20 pagi.

    “Operasi memburu suspek sedang giat dilakukan dengan bantuan unit pengesan anjing K9, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

    “Selain itu, Op Tutup turut dijalankan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai. Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai suspek boleh menghubungi bilik gerakan di talian 07-6637222,” katanya.

  • Tular lelaki enggan alih kereta, hambur kata lucah pada wanita

    Tular lelaki enggan alih kereta, hambur kata lucah pada wanita

    TINDAKAN seorang lelaki sengaja menghalang laluan keluar kenderaan lain serta menghamburkan kata-kata berunsur lucah kepada wanita tular di media sosial.

    Perbuatan biadab lelaki itu dipercayai berlaku di kawasan parkir di hadapan sebuah kedai serbaneka di Bandar Springhill, Port Dickson.

    Memetik laporan Harian Metro, seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Din berkata, kejadian yang tular di media sosial itu bermula apabila seorang wanita yang membeli murtabak di premis berhampiran mahu mengeluarkan keretanya dari petak parkir.

    Katanya, wanita itu kemudian menegur tindakan seorang lelaki yang duduk di dalam kenderaan dan enggan mengalihkan kereta Perodua Kelisa dipandu.

    “Keadaan bertambah kecoh apabila lelaki itu tidak mahu beralah dan mengeluarkan kata-kata lucah.

    “Saya difahamkan lelaki itu mabuk berdasarkan wujud tin minuman keras di dalam keretanya.

    “Malah lelaki itu mendakwa dia tidak takut sekiranya mangsa mahu memanggil polis. Keadaan itu berlanjutan hampir 25 minit sebelum lelaki itu beredar,” katanya.

    Dia kemudian menasihati wanita itu membuat laporan polis kerana turut menerima gangguan seksual.

    “Apa yang berlaku petang semalam amat mengejutkan kerana ketika itu orang ramai sedang sibuk membeli juadah berbuka puasa,” katanya.

    Difahamkan mangsa sudah membuat laporan polis di Balai Polis Lukut, petang tadi.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, polis akan menjalankan siasatan susulan video tular berkenaan.

  • Guna kontena seludup 336kg heroin, pelabuhan akan siasat

    Guna kontena seludup 336kg heroin, pelabuhan akan siasat

    KEMENTERIAN Pengangkutan memberi jaminan akan menyiasat pelabuhan digunakan kartel untuk menyeludup bahan terlarang.

    Menterinya, Loke Siew Fook berkata, pihaknya belum mendapat maklumat berhubung kes penyeludupan heroin melalui kontena dari Malaysia ke Brisbane, Australia pada 13 Mac lalu.

    “Apa-apa kargo dari Malaysia yang menggunakan pelabuhan kita untuk angkut bahan larangan adalah kesalahan serius.

    “Kementerian Pengangkutan akan mendapatkan maklumat mengenai pelabuhan mana dan kita akan siasat pelabuhan itu,” katanya menurut Harian Metro.

    Semalam, polis mengesahkan laporan pihak berkuasa Australia berhubung rampasan 336kg heroin yang dibawa masuk dalam sebuah kontena dari Malaysia ke Brisbane bulan lalu.

    Setiausaha polis, Noorsiah Mohd. Saaduddin dilaporkan berkata, dadah itu dianggarkan bernilai AUD268.8 juta (RM789.56 juta) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman sedang menjalankan siasatan berpandukan maklumat diterima dari Australia sebelum mengambil tindakan lanjut.

    Minggu lalu, polis Australia memaklumkan Pasukan Sempadan Australia (ABF) mengesan dadah itu disorok dalam dua blok konkrit simen seberat 500kg dan semakan mendapati penghantaran itu diisytiharkan aksesori panel solar dalam kontena yang tiba di Pelabuhan Brisbane pada 13 Mac lalu.