Pembabitan pegawai awam gred 54 ke atas dalam gejala rasuah menjadi trend yang amat membimbangkan, berbanding 10 tahun lalu yang memperlihatkan satu penanda aras tidak sihat membabitkan kes berprofil tinggi.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pembabitan pegawai kerajaan gred 54 ke atas menunjukkan peningkatan sejak 2018 seolah-olah menjadi perkara biasa.
“Sekarang ini ia jadi seperti satu kebiasaan pula dan ini agak menakutkan apabila penerima rasuah itu membabitkan pegawai awam gred 54 ke atas.
“Selain itu, kes profil tinggi ini turut membabitkan ahli politik, pemimpin negara, peguam dan lain-lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu rancangan Tamu Kito di platform media sosial Facebook NEGERIfm Official hari ini.
Azam berkata, menyiasat kes berprofil tinggi agak sulit dan kompleks berbanding kes lain kerana untuk membuktikan unsur rasuah itu perlu teliti.
“Sebagai contoh pegawai kerajaan Jusa C yang mengambil rasuah RM200,000, SPRM perlu menyiasat kerana bukan dia seorang saja menerimanya, kerana ada banyak lapisan dan tugas kita hendak mengesahkan wang itu sampai kepadanya.
“Kita kena siasat satu-satu, tambahan jika menggunakan proksi kerana kadang-kadang proksi itu tidak wujud malah apabila dapat wang itu mereka lakukan penggubahan wang haram.
“Namun kita tetap akan cari balik wang yang dicuci itu sehingga mereka bankrap semula,” katanya lapor Berita Harian.
POLIS menerima laporan daripada seorang lelaki berkaitan penyamaran akaun Facebook yang menggunakan nama isteri Tunku Mahkota Johor, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam, semalam.
Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata lelaki berusia 40 tahun itu membuat laporan pada 3.19 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan selepas mendapati akaun berkenaan adalah palsu.
Beliau berkata dalam satu hantaran menerusi akaun berkenaan terdapat kapsyen yang menggambarkan Che’ Puan Besar Khaleeda mempromosikan penyaman udara dari Jepun.
Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan kerana menipu melalui penyamaran dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Kamarul Zaman menasihatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan media sosial untuk kepentingan peribadi dan tindakan akan diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
SEBUAH kedai emas di Tanjung Rambutan mengalami kerugian kira-kira RM1 juta selepas dipecah masuk penjenayah awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata pihaknya menerima maklumat daripada pemilik kedai emas itu berhubung kejadian berkenaan pada 10.30 pagi dan polis sedang memburu tiga lelaki yang disyaki melakukan jenayah itu.
“Siasatan awal polis mendapati kes berlaku kira-kira pukul 1 pagi hingga 3 pagi … suspek-suspek yang mengenakan pelitup muka memecah masuk ke dalam kedai emas tersebut melalui pintu belakang.
“Mereka telah melarikan barangan kemas anggaran seberat tiga kilogram dengan nilai pasaran kira-kira RM1 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Bernama.
Beliau berkata suspek dipercayai menggunakan alat pemotong besi untuk membuka peti besi yang menyimpan kesemua barangan kemas berkenaan.
Yahaya berkata kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu pecah kedai dan curi.
Orang awam yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes ASP Norshaharah Marzuki melalui talian 010-3790508.
*Operasi besar-besaran terhadap sindiket pelbagai jenayah*
PASUKAN Petugas Agensi-agensi Penguatkuasa Malaysia (MATF) merampas wang tunai RM38 juta dan emas seberat 200kg dianggarkan bernilai RM60 juta dalam operasi besar-besaran terhadap sindiket melakukan pelbagai jenayah, Isnin lalu.
Sindiket itu terlibat dalam rasuah, pecah amanah, penyeludupan barang-barang haram dan pengurangan cukai tidak sah.
Sumber berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengetuai operasi pasukan itu berkata, turut disita 17 kereta mewah berjenama Maserati, Ferrari dan Mercedes-Benz, lapor FMT.
Menurutnya, turut ditahan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk dan sekutunya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.
Siasatan dibuat mengikut Akta SPRM 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA)2001, Akta Percukaian 1967 dan Akta Kastam 1967.
Operasi itu dijalankan dengan kerjasama polis, imigresen, kastam, Bank Negara (BNM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Cyber Security Malaysia (CSM).
SEORANG nelayan kerugian RM284,850 apabila diperdaya ‘kekasih’nya menerusi pelaburan mata wang kripto tidak wujud.
Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata Bahagian Siasatan Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian menerima laporan daripada lelaki berusia 27 tahun itu semalam.
Beliau berkata kejadian berlaku pada November lepas apabila mangsa telah dihubungi suspek iaitu seorang wanita melalui aplikasi WeChat sebelum mereka berkenalan dan jatuh cinta.
Katanya suspek telah menawarkan pelaburan mata wang kripto kepada mangsa dengan menghantar pautan melalui aplikasi tersebut pada Januari dan menjanjikan pulangan RM200,000 jika melabur RM30,000.
“Akibat telah jatuh cinta dan terpedaya, mangsa mula membuat pelaburan melalui aplikasi mata wang kripto yang diberikan oleh wanita itu,” katanya menerusi kenyataan hari ini, lapor BERNAMA.
Mohd Yusri berkata mangsa membuat 99 kali transaksi pindahan wang secara dalam talian ke 21 akaun bank dari 6 Mac hingga 15 Julai lepas menggunakan wang simpanan, meminjam daripada ahli keluarga, rakan dan majikan melibatkan kerugian RM284,850.
Menurutnya setelah mangsa kehabisan wang, suspek tetap meminta dia untuk terus melabur membuatkan lelaki itu meminta agar wangnya dikembalikan, namun suspek memberi pelbagai alasan dan tidak lagi membalas mesej melalui aplikasi WeChat.
“Mangsa rasa tertipu dan datang ke balai polis untuk membuat laporan. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Yusri menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan ‘love scam’ dan pelbagai program pelaburan tidak wujud.
“Jangan layan atau mudah percaya individu tidak dikenali di media sosial, selain semak dengan agensi berkaitan sebelum membuat sebarang transaksi dan hanya melabur di platform yang berdaftar dengan Bank Negara Malaysia serta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia,” katanya.
POLIS Pulau Pinang menahan dua lelaki yang disyaki menjalankan aktiviti pinjaman wang tidak berlesen atau ‘ah long’ di Bandar Perda, Bukit Mertajam, semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, suspek berusia 22 dan 28 tahun itu dipercayai aktif menjalankan kegiatan berkenaan sejak tahun lepas.
Katanya, susulan tangkapan itu, polis turut merampas beberapa peralatan berkaitan termasuk pelbagai telefon bimbit, kad nama, buku latihan, kertas putih, kad urusniaga dan buku bil.
“Semakan lanjut mendapati, kedua-dua tangkapan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 yang sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM250,000 sehingga RM1 juta atau penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Tambah beliau, polis akan terus berusaha untuk memerangi kegiatan pinjaman wang tanpa lesen bagi memastikannya dibanteras habis-habisan.
SEORANG penjawat awam berusia 40-an di Kepala Batas, Pulau Pinang berputih mata selepas wangnya sebanyak RM677,565 lesap dipercayai akibat terpedaya dengan sindiket ‘phone scam’ kelmarin.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Asri Shafie berkata, mangsa mula terjerat dengan sindiket itu selepas menerima panggilan daripada seorang individu yang mengaku daripada pihak Pos Laju.
Jelasnya, suspek berkenaan mendakwa kononnya terdapat bungkusan atas nama mangsa yang berisi kad pengenalan dan lima keping kad bank sebelum panggilan mangsa disambungkan kepada seorang ‘pegawai polis’ dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.
“Mangsa kemudiannya dimaklumkan oleh suspek kononnya terlibat dengan kes dadah dan pengubahan wang haram.
“Mangsa diminta untuk memberikan maklumat perbankan dan memindahkan wang bagi mengelakkan daripada ditangkap,” katanya kepada pemberita di Butterworth, Pulau Pinang hari ini.
Tambah Mohd. Asri, takut dengan dakwaan itu, mangsa kemudiannya melakukan beberapa transaksi pindahan wang ke enam akaun bank yang diberikan suspek bermula 7 Jun sehingga 4 Julai lalu.
Bagaimanapun, ujar beliau, mangsa hanya disedari ditipu selepas membuat semakan melalui aplikasi Semak Mule dan mendapati keenam-enam akaun bank yang digunakan suspek mempunyai rekod bersabit kes penipuan.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Asri menasihati orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan panggilan telefon yang diterima daripada mana-mana individu mahupun agensi kerajaan serta swasta berhubung apa juga kesalahan yang disabitkan.
“Lakukan semakan dan pengesahan dengan agensi terlibat dan ingin saya tegaskan, sebarang siasatan yang dijalankan pihak polis tidak hanya dilakukan menerusi panggilan telefon.
“Polis juga tidak akan mengarahkan mana-mana individu untuk melakukan sebarang transaksi pembayaran ketika siasatan sedang berjalan,” katanya.
SEORANG pegawai dan anggota polis cedera selepas terkena pisau pemotong kertas digunakan suspek kes curi yang juga seorang lelaki warga emas, dalam kejadian di hadapan sebuah rumah di Taman Selasih, Kulim.
Ketua Polis Kulim Mohd Redzuan Salleh, berkata dalam kejadian 10.45 pagi tadi, pegawai tersebut mengalami kecederaan di bahagian dada dan menerima 36 jahitan, manakala seorang anggota cedera di kaki dan menerima lima jahitan.
“Bilik Gerakan IPD Kulim menerima panggilan mengenai kes curi di sebuah pasar raya. Sepasukan polis diketuai pegawai risikan/operasi, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kulim telah ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, didapati suspek telah melarikan diri dengan menaiki motosikal. Pasukan polis kemudiannya melihat suspek berhenti di hadapan sebuah rumah dan pegawai berkenaan telah memperkenalkan diri sebagai polis kepada suspek,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.
Beliau berkata, selepas itu suspek berusia 82 tahun itu telah mengambil sesuatu dalam raga motosikalnya dan terus menghayun senjata berkenaan ke arah pegawai itu hingga menyebabkan kecederaan pada bahagian dada.
“Seorang anggota dari Cawangan D9 Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kulim yang berada di situ cuba menahan suspek dan telah berlaku pergelutan sehingga menyebabkan anggota berkenaan turut mengalami kecederaan di bahagian kaki kiri. Suspek telah berjaya ditahan di lokasi kejadian oleh pasukan bantuan.
“Turut dirampas sebilah pisau pemotong kertas dan pelbagai barangan yang dicuri. Hasil semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau bagaimanapun ujian awal air kencing mendapati suspek bebas dari pengaruh dadah,” katanya.
Katanya, kedua-dua anggota polis berkenaan kini menerima rawatan di Hospital Kulim.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan (KK) kerana cubaan membunuh dan Seksyen 380 KK kerana mencuri,” katanya.
POLIS semalam menahan seorang lelaki selepas mengadakan hubungan seks dengan seorang remaja dalam kebun sawit di belakang rumah remaja terbabit di Bakri, Muar sejak Mac lalu.
Difahamkan, kejadian berlaku sejak Mac lalu apabila suspek, 22, dikatakan membuat temujanji dengan mangsa berusia 14 tahun sebelum bertemu untuk melakukan perbuatan itu dalam kebun sawit.
Suspek yang bekerja di sebuah restoran makanan segera sanggup berulang-alik sejauh hampir 300 kilometer (km) semata-mata mahu melakukan perbuatan terkutuk itu.
Suspek dilaporkan menunggang motosikal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan ke Bakri untuk melakukan perbuatan tersebut.
Namun kejadian itu terbongkar apabila abang mangsa hairan adiknya kerap ‘hilang’ setiap pukul 1.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, abang mangsa kemudian menyiasat sebelum mengetahui adiknya melakukan hubungan seks dengan suspek.
“Susulan itu satu laporan polis dibuat di Balai Polis Bukit Kepong, Muar kelmarin. Siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku sejak Mac lalu dan kali terakhir bulan lalu.
“Daripada maklumat diterima, suspek akan menghubungi mangsa terlebih dahulu sebelum mereka berjumpa di kebun sawit terletak belakang rumahnya,” katanya ketika dihubungi.
Raiz Mukhliz berkata, bertindak atas laporan dibuat, suspek ditahan untuk membantu siasatan.
Suspek kemudian di bawa ke Mahkamah Majistret Muar hari ini dan perintah reman dikeluarkan selama seminggu terhadapnya bermula hari ini.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Fatin Dalilah Khalid bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.
POLIS Diraja Malaysia (PDRM) berjaya merampas dadah bernilai RM7.94 juta dalam tujuh siri serbuan di sekitar Seri Kembangan, Kota Damansara, Putra Height, Jinjang dan Rawang pada 17 hingga 21 Julai lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, serbuan tersebut melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Subang Jaya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan
GAMBAR: Warta Rakyat
Menurut Hussein, pihaknya berjaya menahan 16 suspek berusia 18 hingga 61 tahun yang dipercayai terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah tersebut.
Jelas beliau, antara dadah yang dirampas adalah pil eramin 5 (42.86 kilogram), ketamin (42.28 kg), mehtamphetamine (37.57 kg) dan kafein (26.85 kg).
Sebahagian daripada pelbagai jenis dadah yang dirampas selepas polis berjaya menahan 16 suspek yang terlibat dalam sindiket pengedaran dadah bagi pasaran tempatan ketika Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat
“Selain itu, turut dirampas adalah heroin base (26.77 kg), heroin (1.32 kg) dan ganja (109 gram). “Polis turut merampas sepucuk pistol jenis revolver dan peralatan serta bahan-bahan kimia yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Sebahagian daripada pelbagai jenis dadah yang dirampas selepas polis berjaya menahan 16 suspek yang terlibat dalam sindiket pengedaran dadah bagi pasaran tempatan ketika Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat
Mengulas lanjut, Hussein berkata, saringan awal polis terhadap suspek mendapat dua daripada mereka positif dadah jenis THC.
Katanya, semakan rekod jenayah pula mendapati tujuh daripada suspek mempunyai rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah seperti Seksyen 411 Kanun Keseksaan (KK) serta Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
“Tindakan juga diambil mengikut ADB (Pelucutan Harta) 1988 yang mana JSJN setakat ini telah menyita aset sindiket yang dianggarkan bernilai RM1.247 juta.
Sepucuk pistol yang dirampas selepas polis berjaya menahan 16 suspek yang terlibat dalam sindiket pengedaran dadah bagi pasaran tempatan ketika Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat
“Antara yang disita adalah 12 kenderaan seperti dua kereta jenis BMW, sebuah Toyota Alphard, sebuah Toyota Corolloa, sebuah Volkswagen dan sebuah Honda Civic.
“Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta berjumlah RM9.19 juta,” katanya, lapor Utusan TV.
Sebahagian daripada pelbagai jenis dadah yang dirampas selepas polis berjaya menahan 16 suspek yang terlibat dalam sindiket pengedaran dadah bagi pasaran tempatan ketika Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat
Hussein menambah, operasi tersebut berjaya menumpaskan satu sindiket pemprosesan dan tiga sindiket pengedaran dadah bagi pasaran tempatan terutama di Lembah Klang.
Katanya, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas itu boleh digunakan seramai 2.82 juta penagih dadah.