Category: Jenayah

  • Lelaki ditahan cuba cabul, tunjuk kemaluan

    Lelaki ditahan cuba cabul, tunjuk kemaluan

    POLIS menahan seorang lelaki kerana cuba mencabul beberapa wanita dan melakukan kelucahan melampau dengan menunjukkan kemaluannya kepada mangsa.

    Suspek berusia lingkungan 20-an itu ditahan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan, pukul 1.15 tengah hari tadi di sebuah kilang di Jalan Batu Kawa.

    Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, tangkapan ke atas suspek hasil daripada maklumat orang awam.

    “Setakat ini, polis menerima sebanyak enam laporan kejadian mangsa cuba dicabul kehormatan dan tindakan suspek melakukan kelucahan melampau.

    “Suspek mengekori mangsa dan apabila tiba di kawasan sunyi, suspek mengambil kesempatan menunjukkan kemaluannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Abang Zainal berkata, polis turut merampas sebuah motosikal, dua topi keledar dan pakaian suspek.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

    Menurutnya, suspek direman di Mahkamah Kuching esok untuk siasatan lanjut, lapor Harian Metro.

  • Bayi empat bulan maut di rumah pengasuh

    Bayi empat bulan maut di rumah pengasuh

    SEORANG bayi lelaki berusia empat bulan meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri di rumah pengasuhnya di Taman Selayang, Batu Caves, di Gombak semalam.

    Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, hasil siasatan mendapati bayi tersebut telah dijaga oleh pengasuh seorang wanita berusia 47 tahun.

    Menurutnya, pada pukul 11 pagi, bayi tersebut tidak sedarkan diri semasa dikejutkan daripada tidur.

    “Pengasuh tersebut telah menghubungi ibu bayi berkenaan untuk memaklumkan kejadian tersebut.

    “Bayi tersebut telah dibawa oleh ambulans ke Hospital Selayang dan telah disahkan meninggal dunia pada pukul 11.53 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Zainal Mohamed berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada seorang wanita berusia 27 tahun yang memaklumkan kejadian tersebut.

    Katanya, bedah siasat telah dijalankan pada 9 pagi tadi di Hospital Selayang dan punca kematian bayi tersebut adalah masalah jantung sejak lahir.

    Kes telah diklasifikasikan sebagai mati mengejut, tambahnya.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut boleh berhubung dengan pegawai penyiasat, Inspektor J. J. Winson di talian 016-2335454 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak ditalian 03-61262222.

  • Mayat wanita ditemukan dalam bagasi

    Mayat wanita ditemukan dalam bagasi

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki terkejut apabila menemukan satu rangka mayat seorang wanita dipercayai dibunuh dalam sebuah beg bagasi di Kios Perhentian Bas Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) di hadapan bangunan Tenaga Nasional Berhad TNB) di Kulai, kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menerima panggilan daripada orang awam berkenaan pada pukul 1.50 petang kelmarin memaklumkan penemuan tersebut.

    Susulan itu katana, pegawai penyiasat kes bersama sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Kulai serta Forensik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pergi ke tempat kejadian.

    “Pemeriksaan awal di tempat kejadian mendapati rangka dalam beg pakaian berkenaan sukar untuk dijustifikasi jantina, umur dan tempoh kematian kerana keadaan mayat yang telah mereput lebih 50 peratus selain sudah berulat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, rangka mayat tersebut kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru bagi proses bedah siasat.

    Katanya, pakar patologi HSA melakukan bedah siasat dari jam 11 pagi sehingga 2.30 petang Khamis mendapati mayat itu sudah berusia lebih dua minggu, jantinanya wanita dan berusia dalam anggaran 25 tahun ke atas.

    “Terdapat kecederaan di bawah kulit bahagian kepala. Sebab kematian ‘pending laboratory investigation’. Kes diklasifisasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum mati,” ujar beliau.

    Beng Yeow berkata, pihaknya memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian tersebut untuk tampil ke IPD Kulai bagi membantu siasatan atau menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superitendan Sivachandran 016-2850204. 

  • Menteri sahkan pegawai kanannya ditahan SPRM, janji kerjasama penuh

    Menteri sahkan pegawai kanannya ditahan SPRM, janji kerjasama penuh

    MENTERI Sumber Manusia, V. Sivakumar mengesahkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan seorang pegawai kanan ketika serbuan di kementerian itu di Putrajaya, pagi ini.

    “Saya maklum berkenaan penahanan pegawai daripada pejabat saya.

    “Memandangkan perkara ini masih dalam siasatan pihak SPRM, saya tidak dapat memberikan sebarang komen berhubung perkara ini.

    “Saya dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan memberi kerjasama penuh kepada agensi siasatan sekiranya diperlukan,” katanya menerusi kenyataan media, sebentar tadi.

    Terdahulu, Warta Rakyat melaporkan bahawa SPRM telah menahan seorang pegawai kanan yang bertugas di pejabat menteri, yang yang dikatakan merupakan bekas pemimpin pemuda DAP Perak.

    Sumber dalaman SPRM memberitahu, turut ditahan seorang ahli peniaga berasal dari Ipoh, Perak bagi membantu siasatan.

    Ketika dihubungi, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan bahawa tangkapan itu berkaitan dengan dakwaan rasuah yang melibatkan sebuah agensi pengambilan pekerja asing.

    “Kes rasuah berkaitan kuota (pengambilan) pekerja asing,” katanya dalam pesanan teks ringkas kepada Malaysiakini.

    Sementara itu, Sivakumar meminta pihak media memberi ruang kepada SPRM untuk membuat siasatan dan tidak membuat sebarang andaian.

    “Saya berharap pihak media tidak membuat sebarang andaian atau spekulasi yang boleh menjejaskan mana-mana pihak sehingga Agensi siasatan yang berkenaan selesai,” katanya.

  • Hasrat bergaya jam Rolex punah, suri rumah rugi lebih RM500,000

    Hasrat bergaya jam Rolex punah, suri rumah rugi lebih RM500,000

    HASRAT seorang suri rumah bergaya dengan jam tangan Rolex musnah, selain kerugian RM526,400 kerana diperdaya suspek menjual jam tangan mewah menerusi aplikasi WeChat.

    Ketua Polis Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, mangsa berusia 60-an itu mengenali suspek menerusi WeChat sejak awal Februari lalu.

    Katanya, mangsa kemudian berurusan dengan suspek kerana tertarik kepada Rolex yang ditawarkan pada harga murah.

    “Sepanjang tempoh berurusan, suspek menawarkan empat utas jam tangan dengan semuanya berjumlah RM526,400.

    “Mangsa yang tertarik dengan tawaran itu membuat pembayaran melalui sembilan transaksi pemindahan wang ke satu akaun bank tempatan antara 15 hingga 27 Feb lalu,” katanya menurut Harian Metro.

    Namun, sehingga laporan polis dibuat baru-baru ini, beliau berkata, mangsa belum menerima jam tangan dibelinya.

    “Suspek pula gagal dihubungi dan selepas menyedari ditipu, mangsa membuat laporan polis,” katanya sambil menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    Zulkipli menasihatkan orang ramai menyemak sebelum membuat pembelian dalam talian, khasnya apabila harga ditawarkan jauh lebih murah daripada harga asal.

    “Orang ramai boleh merujuk Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 atau melayari Facebook @CyberCrimeAlertRMP @JSJKPDRM bagi mendapatkan khidmat nasihat serta maklumat lanjut berhubung perkara mencurigakan.

    “Orang ramai juga boleh merujuk http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ untuk pengesahan akaun bank dan nombor telefon diragui.”

  • 9 lelaki ditahan, bergaduh hingga sebabkan kematian di Bangsar

    9 lelaki ditahan, bergaduh hingga sebabkan kematian di Bangsar

    SEMBILAN lelaki warga tempatan ditahan disyaki terlibat dalam pergaduhan berkumpulan hingga menyebabkan kematian dalam kejadian di Bangsar Village, Jalan Telawi 2 Bangsar, di Kuala Lumpur, awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor berkata kesemua suspek terbabit berumur antara 24 hingga 30 tahun dengan motif kejadian dipercayai berlaku kerana wujud dendam lama antara mangsa dan suspek.

    Beliau berkata mangsa seorang lelaki warga tempatan berumur 28 tahun bersama rakannya seorang lelaki tempatan berumur 30 tahun telah ke Jalan Telawi untuk minum.

    “Setelah selesai minum dan dalam perjalanan ke tempat letak kenderaan, mangsa dan rakannya telah terjumpa dengan kumpulan suspek dan berlaku pergaduhan.

    “Mangsa telah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan meninggal dunia semasa menerima rawatan manakala rakannya dilaporkan mengalami kecederaan parah di bahagian muka dan telah mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur,” kata Amihizam dalam kenyataan hari ini.

    Amihizam berkata polis merampas senjata digunakan oleh suspek iaitu sebilah pisau dan sebotol arak.

    “Arahan untuk menuduh telah dikeluarkan ke atas tiga orang suspek di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan manakala enam lagi suspek tangkapan tersebut dibebaskan dan dijadikan saksi pendakwaan,” katanya.

    Dalam kes berasingan, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields sedang mengesan seorang saksi kes pecah amanah yang merupakan pekerja di O.G. Height Condo, Kuala Lumpur bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan.

    Amihizam berkata saksi itu dikenali sebagai Loo Yuit Mei berumur 66 tahun bekerja sebagai pengurus bangunan, beralamat terakhir di C-6-3, Kiara Residence 2, No 3, Jalan Jalil Perwira 1, Bukit Jalil 58200 Kuala Lumpur.

    “Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan saksi tersebut diminta hadir ke balai polis yang berdekatan untuk memberi keterangan atau menghubungi Insp Isma Hassif Ismail di talian 011-16253955,” katanya.

  • Polis tahan lelaki tendang pintu surau

    Polis tahan lelaki tendang pintu surau

    POLIS menahan seorang lelaki yang membuat kecoh sehingga mengganggu solat Tarawih di sebuah surau di Kajang, Ahad lalu.

    Perbuatan lelaki bukan Islam itu kerana berang dengan bunyi pembesar suara yang kuat sehingga mengganggunya dan jiran di kawasan terbabit.

    Ketua Polis Kajang, Mohd Zaid Hassan, berkata pihaknya menerima laporan daripada penduduk berhubung satu kes khianat harta benda di surau bawah flat di kawasan Sungai Chua.

    “Suspek disyaki bertindak menendang pintu surau sehingga mengakibatkan kerosakan, kira-kira pukul 9.25 malam.

    “Siasatan mendapati suspek yang tinggal tidak jauh dari surau itu menyatakan rasa tidak puas hati dengan pembesar suara yang kuat sehingga mengganggunya sekeluarga termasuk jiran.

    “Susulan maklumat itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang menahan suspek berusia 46 tahun itu bagi membantu siasatan. Dia dibebaskan dengan jaminan polis pada 10 April,” katanya dalam kenyataan.

    Terdahulu, tular video dalam media sosial yang menunjukkan seorang lelaki mengamuk di surau itu ketika penghuni flat menunaikan solat Tarawih.

    Dalam pada itu, Zaid berkata kedua-dua pihak memberikan kerjasama berkaitan kejadian dan saksi lain turut dipanggil memberi keterangan termasuk tindakan menyebarkan video di media sosial.

    “Kes disiasat bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana membinasakan rumah ibadat dengan niat mengaibkan mana-mana agama. Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali.

    “Siasatan turut dijalankan bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998, kerana menyalahgunakan rangkaian dengan penyebaran video tersebut, dengan niat tidak baik yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman setahun penjara dan denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya, lapor FMT.

  • Penjawat awam jual air ketum ditahan di kuarters Putrajaya

    Penjawat awam jual air ketum ditahan di kuarters Putrajaya

    SEORANG penjawat awam ditahan kerana disyaki menjual dan mengedar air ketum di Putrajaya semalam.

    Ketua Polis Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, lelaki berusia 36 tahun itu ditahan 12 tengah malam oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah.

    “Suspek ditahan ketika berada di lobi sebuah kuarters penjawat awam di Presint 9 bersama dua botol cecair disyaki air ketum.

    “Susulan itu, lima lagi botol plastik disyaki berisi air ketum dirampas, menjadikan semuanya 10.5 liter.

    “Kami juga mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan narkotik dan harta benda,” katanya menurut Utusan Malaysia.

    Asmadi berkata, siasatan awal mendapati suspek mendapat bekalan seminggu sekali daripada pembekal di Kampung Labu Lanjut, Sepang dan menjual pada harga RM18 sebotol.

    Katanya, suspek disyaki menjalankan aktiviti perniagaan air ketum di Putrajaya, dengan pelanggan tetapnya dalam kalangan kenalan.

    Beliau berkata, suspek dibawa ke IPD Putrajaya untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

  • Lelaki bakar bekas teman wanita hidup-hidup ditahan

    Lelaki bakar bekas teman wanita hidup-hidup ditahan

    SEORANG lelaki yang didakwa membakar bekas teman wanitanya hidup-hidup ditahan di Colombia pada Rabu.

    Sergio Tarache Parra, 19, dituduh menyimbah Katherine Gomez, 18, dengan minyak tanah sebelum membakar mangsa di dataran di Lima, Peru pada 18 Mac lalu.

    Menurut konsulat Peru di Bogota, notis merah Interpol telah dikeluarkan untuk penahanan Tarache.

    Beberapa hari sebelumnya, remaja perempuan itu dipercayai memutuskan hubungan dengan lelaki tersebut.

    Mangsa yang melecur 60 peratus di badan dimasukkan ke hospital, namun meninggal dunia enam hari kemudian.

    Kementerian dalam negeri Peru memaklumkan, Tarache yang berasal dari Venezuela akan diekstradisi dari Colombia ke Peru untuk dibicarakan.
    Kamera keselamatan (CCTV) menunjukkan pemuda itu melarikan diri dari tempat kejadian selamat menyerang mangsa.

    Polis Peru menawarkan ganjaran AS$12,500 (RM55,024) untuk maklumat yang membawa kepada penangkapan suspek, lapor Agensi.