Category: Jenayah

  • Isu pekerja asing: SPRM ambil keterangan Sivakumar

    Isu pekerja asing: SPRM ambil keterangan Sivakumar

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilapor mengambil keterangan Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, berhubung siasatan kes rasuah mengenai pengambilan pekerja asing, hari ini.

    Memetik laporan Berita Harian yang memetik sumber, Ahli Parlimen Batu Gajah itu hadir memberi keterangan pada pukul 10 pagi tadi.

    Bagaimanapun, sumber sama enggan memaklumkan lokasi di mana Sivakumar hadir untuk diambil keterangan.

    “Beliau hadir untuk memberi keterangan,” katanya menurut laporan itu.

    Sementara itu, usaha mendapatkan pengesahan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, belum berhasil.

    Kelmarin, SPRM menahan Setiausaha Sulit kepada Sivakumar bagi membantu siasatan kes pengambilan pekerja asing.

    Penahanan itu dibuat selepas seorang pegawai tugas-tugas khas kepada menteri berkenaan direman Khamis lalu.

    Media sebelum ini melaporkan, Sivakumar dan kementeriannya akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM berhubung penahanan seorang pegawai di pejabat menteri itu bersabit isu membawa masuk pekerja asing.

  • Kes agensi pekerja asing:Sivakumar belum dipanggil SPRM

    Kes agensi pekerja asing:Sivakumar belum dipanggil SPRM

    MENTERI Sumber Manusia, V. Sivakumar belum dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah bernilai RM97 juta yang melibatkan sebuah agensi pengambilan pekerja asing.

    “Belum. Kalau dipanggil saya akan rela pergi beri keterangan,” katanya kepada pemberita selepas acara bersama NGO masyarakat India sempena sambutan perayaan Chithirai Puthandu 2023 di Menara Rakyat, Brickfields, Kuala Lumpur, hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas apakah SPRM sudah memanggilnya untuk memberi keterangan berhubung kes tersebut, lapor MalaysiaKini.

    SPRM sebelum ini telah menahan tiga individu termasuk setiausaha sulit dan pegawai kananannya bagi membantu siasatan.

    Suspek ketiga merupakan seorang ahli perniagaan dari Ipoh, Perak.

    Difahamkan siasatan SPRM turut bertumpu kepada individu lain dalam kementerian dan agensi berkaitannya.

    “Saya minta semua pihak supaya tidak buat sebarang spekulasi. Tangkapan ini adalah (sebahagian) proses siasatan.

    “Jika ada aduan terhadap seseorang, SPRM akan siasat individu tersebut. Sekiranya ada asas, mereka akan dituduh di mahkamah. Kalau tidak akan dibebaskan.

    “(Dalam kes ini) siasatan masih dalam peringkat awal. Maka, jangan buat sebarang kesimpulan. Biar siasatan dijalankan,” kata Sivakumar.

  • Remaja perempuan OKU dicabul pengawal keselamatan

    Remaja perempuan OKU dicabul pengawal keselamatan

    SEORANG remaja perempuan berusia 14 tahun mendakwa dicabul oleh seorang pengawal keselamatan di sebuah pangsapuri dekat Nilai pada jam 4 petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, kejadian tersebut berlaku ketika mangsa sedang berbual dengan rakannya di hadapan lif pangsapuri terbabit.

    “Mangsa yang ketika itu sedang berbual dengan rakannya telah didatangi seorang lelaki yang juga pengawal keselamatan di situ.

    “Lelaki tersebut telah menyuruh rakan mangsa pulang ke rumah dan kemudian mahu menghantar mangsa pulang ke rumah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Bagaimanapun katanya, ketika dalam perjalanan ke rumah mangsa, suspek telah memegang beberapa bahagian tubuh badan mangsa serta meminta mangsa untuk mencium pipinya.

    Ujarnya, mangsa yang ketakutan kemudiannya telah lari pulang ke rumah sebelum ke Balai Polis Nilai membuat laporan berhubung kejadian yang berlaku.

    Kes itu katanya, disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah IPD Nilai, Inspektor Ahmad Kamil Rusli bagi membantu siasatan,” katanya.

    Sementara itu, bapa mangsa yang enggan dikenali berkata, kejadian itu membuatkan anaknya yang merupakan orang kurang upaya(OKU) berdepan trauma.

    Sehubungan itu katanya, dia berharap suspek dapat ditahan segera dan dikenakan tindakan sewajarnya.

    “Saya tahu pun selepas anak sulung beritahu yang adiknya dicabul. Kedua-dua anak saya memang tinggal di situ dan anak saya masih terkejut dengan kejadian itu,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Suami isteri miliki 5 kg dadah berdepan tali gantung

    Suami isteri miliki 5 kg dadah berdepan tali gantung

    SEPASANG suami isteri ditahan bersama lima kilogram (kg) ganja dalam sebuah kereta yang dipercayai dibawa masuk dari negara jiran, semalam.

    Ketua Polis Daerah Pengkalan Hulu, Deputi Superintendan Zulkepli Ibrahim berkata, pasangan warga tempatan masing-masing berusia 35 dan 34 tahun itu ditahan pukul 1 tengah ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) Bukit Berapit, Ayer Panas, di Pengkalan Hulu.

    “Hasil pemeriksaan terhadap Perodua Viva dinaiki pasangan terbabit menjumpai lima ketulan mampat dibalut kertas biru dan balutan plastik lut sinar berisi ketulan mampat daun kering disyaki ganja dengan anggaran berat lima kg.

    “Turut dirampas satu peket plastik lut sinar berisi dedaun kering juga disyaki ganja dianggarkan seberat 7.29 gram (g) yang disorokkan di poket seluar suspek lelaki,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Katanya, nilai rampasan dadah itu berjumlah RM15,500 dan disyaki untuk diedarkan di pasaran tempatan, lapor Harian Metro.

    Beliau berkata, suspek lelaki bekerja sebagai buruh turut mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan Seksyen 379 Kanun Keseksaan selain didapati positif dadah.

    Menurutnya, suspek wanita pula yang bekerja di sebuah kilang, tiada rekod jenayah dan saringan air kencing mendapati dia bebas pengaruh dadah.

    Zulkepli berkata, permohonan reman ke atas dua suspek itu dibuat hari ini bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Katanya, susulan daripada kelulusan penggunaan ganja di Thailand, polis khususnya bagi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Hulu akan terus meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan sempadan negara bagi membanteras aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah di sempadan.

    Beliau berkata, justeru pihaknya memohon kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan penyeludupan dan penyalahgunaan dadah di Pengkalan Hulu ke IPD Pengkalan Hulu atau balai-balai polis berhampiran.

  • Polis buru 3 lelaki pecah masuk pejabat Imigresen Tenom

    Polis buru 3 lelaki pecah masuk pejabat Imigresen Tenom

    TIGA lelaki yang memecah masuk Pejabat Imigresen Tenom dan menyerang pengawal keselamatan hingga cedera, pada Khamis lalu kini diburu polis.

    Dalam kejadian pukul 1.11 pagi itu, mangsa lelaki warga tempatan berusia 29 tahun turut diikat oleh suspek yang bertopeng.

    Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Superintendan Hasan Majid berkata, siasatan awal mendapati ketika membuat rondaan di luar Pejabat Imigresen Tenom, mangsa terserempak dengan dua lelaki tidak dikenali.

    “Kedua-dua suspek memakai pelitup muka dan seorang daripada suspek menyerang mangsa dengan senjata tajam dipercayai gergaji besi,” katanya.

    Mangsa ujar beliau, cuba menahan menggunakan tangan lalu cedera sebelum kedua-dua suspek kemudian mengikat tangan mangsa.

    “Suspek memecah masuk melalui pintu belakang pejabat Imigresen dan menyelongkar barang-barang di pejabat sebelum melarikan diri bersama seorang lagi rakannya yang menunggu dalam kereta,” katanya dalam kenyataan akhbar, hari ini.

    Hasan berkata, selepas itu mangsa dikatakan menghubungi isterinya menggunakan telefon bimbitnya untuk meminta bantuan.

    Mangsa katanya, mengalami cedera di tapak tangan kiri dan kini dirawat di Hospital Keningau.

    “Barang-barang yang hilang iaitu dua telefon bimbit, kunci kereta dan dokumen pasport.

    “Identiti semua suspek belum dapat dikenal pasti. Usaha mengesan dan menangkap suspek sedang giat dijalankan,” katanya, lapor Harian Metro.

    Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan samun berkumpulan yang boleh membawa hukuman penjara selama tempoh 20 tahun, denda atau sebat.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini atau suspek boleh menyalurkan kepada pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom, Inspektor Mohd Nouraizam Salleh di talian 0138860569 dan mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

  • Lelaki disyaki bakar 13 motosikal dekat Suria KLCC ditahan

    Lelaki disyaki bakar 13 motosikal dekat Suria KLCC ditahan

    POLIS menahan seorang lelaki berusia 34 tahun bagi membantu siasatan susulan kebakaran 13 motosikal dan empat skuter elektrik di kawasan parkir terbuka berdekatan pusat beli-belah Suria KLCC semalam.

    Menurut Ketua Polis Dang Wangi, Noor Dellhan Yahaya, lelaki tempatan itu juga akan direman selama enam hari bermula hari ini hingga 19 April.

    “Polis juga merampas sebuah motosikal jenis Honda RS, serangkai kunci motosikal, satu topi keledar, sehelai baju, seluar, sepasang sarung lengan, satu beg, satu jam tangan dan pemetik api.

    “Motif dan punca kejadian masih dalam siasatan. Setakat ini, polis menerima 10 laporan daripada pihak terlibat dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan.

    Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

  • Setiausaha sulit menteri pula ditahan SPRM

    Setiausaha sulit menteri pula ditahan SPRM

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pegawai kanan kepada Menteri Sumber Manusia V Sivakumar.

    Memetik laporan Malaysiakini, kali ini tangkapan itu dibuat ke atas setiausaha sulit menteri terbabit dan ia disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

    “Ya, seorang pegawai ditahan dan direman tapi saya tak pasti (buat masa ini) berapa hari,” katanya.

    Azam bagaimanapun tidak memberitahu berapa lama suspek terbabit direman.

    Penahanan terbaru hari ini menjadikan sudah ada dua pegawai kanan ahli parlimen Batu Gajah itu disiasat agensi penguat kuasa berkenaan.

    Semalam SPRM menahan seorang pegawai kanan Sivakumar, selain seorang ahli perniagaaan dari Ipoh berkaitan dengan dakwaan rasuah yang melibatkan sebuah agensi pengambilan pekerja asing.

    Difahamkan siasatan SPRM tertumpu kepada individu lain dalam kementerian dan agensi berkaitannya.

    Sivakumar kemudian berkata beliau tidak dapat memberikan sebarang komen lanjut kerana kes berkenaan sedang disiasat.

    “Saya dan Kementerian Sumber Manusia akan memberi kerjasama penuh kepada agensi siasatan sekiranya diperlukan,” katanya

    Malaysiakini difahamkan, siasatan itu melibatkan kes rasuah bernilai RM97 juta.

  • Pukau, tipu warga emas: 3 termasuk dua warganegara China ditahan

    Pukau, tipu warga emas: 3 termasuk dua warganegara China ditahan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KEGIATAN tiga individu terdiri daripada seorang lelaki tempatan dan dua wanita warganegara China menyasarkan warga emas untuk dipukau dan ditipu secara bersemuka terbongkar apabila kesemua mereka diberkas di kawasan Simpang Kuala, Alor Setar, Kedah, semalam.

    Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, lelaki berusia 24 tahun dan dua wanita warganegara China berumur 55 serta 47 tahun itu ditahan kira-kira pukul 11.45 pagi hasil risikan Op Gagak.

    Katanya, kesemua mereka ditahan tidak sampai 24 jam selepas mereka dipercayai memperdaya seorang wanita warga emas berusia 70 tahun melibatkan kerugian berjumlah RM110,000.

    “Mereka dipercayai akan bergerak menggunakan kereta sewa dan berusaha mengenal pasti mangsa dalam golongan warga emas di pasar pagi.

    “Suspek akan berpura-pura meminta bantuan kewangan dengan alasan saudaranya sedang sakit dan perlu segera diubati. Suspek lalu akan mendorong mangsa untuk menyerahkan wang, barang kemas atau barangan berharga lain dengan menjanjikan pulangan lumayan sebagai balasan kesudian mangsa menghulurkan bantuan.

    “‘Pulangan’ yang dijanjikan itu bagaimanapun hanyalah air mineral serta garam yang diletakkan dalam sampul. Hanya ketika itulah mangsa sedar bahawa mereka telah ditipu,” katanya dalam satu kenyataan.

    Wan Hassan memaklumkan, lelaki tempatan itu mengaku menjadi pemandu kepada dua wanita berkenaan semasa menjalankan kegiatan penipuan itu.

    “Sindiket ini dipercayai mula bergiat aktif sejak dua bulan lalu. Pemeriksaan dijalankan terhadap ketiga-tiga suspek menemukan beberapa barangan berharga antaranya tujuh subang, enam rantai leher , empat gelang kaki, lima cincin, empat loket dan satu bar yang semuanya diperbuat dari emas.

    “Selain itu terdapat juga dua rantai leher dan sebentuk cincin emas putih, sepasang subang berwarna perak dan seutas jam jenama Rolex,” katanya.

    Katanya, pihaknya turut merampas wang tunai bernilai lebih RM2,000 dalam nilai Ringgit Malaysia, Yuan dan Dollar Hong Kong dari ketiga-tiga suspek.

    “Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu dengan curangnya mendorong supaya harta diserahkan. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara antara setahun hingga 10 tahun, sebat dan denda.

    “Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah percaya dengan individu tidak dikenali dan dapatkan nasihat ahli keluarga lain sebelum membuat sebarang keputusan untuk membantu orang lain,” katanya.

  • Polis berkas gadis curi kad ATM rakan, beli telefon mahal

    Polis berkas gadis curi kad ATM rakan, beli telefon mahal

    SEORANG gadis yang tergamak mencuri kad ATM dan menggunakan wang milik rakannya sendiri termasuk membeli telefon bimbit berjenama akhirnya dicekup polis, Jumaat lalu.

    Suspek berusia 21 tahun itu turut dikesan berbelanja pelbagai barangan kegunaan lain sebelum menghilangkan diri sejak 23 Mac lalu.

    Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, pihaknya sebelum ini menerima laporan daripada mangsa berhubung pengurangan wang dalam akaun bank miliknya sebanyak RM8,200.

    “Siasatan yang dijalankan oleh Bahagian Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi mendapati transaksi ini bermula pada 23 Mac secara berperingkat.

    “Siasatan kemudiannya dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997, sehinggalah pihak polis berjaya menjejaki identiti suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Noor Dellhan berkata, suspek kemudiannya diberkas di sebuah premis di Pandan Perdana, Ampang Jaya, minggu lalu.

    Katanya, suspek diberkas kira-kira pukul 12.25 tengah malam.

    “Dalam serbuan itu polis merampas sekeping kad ATM milik mangsa dan sebuah telefon bimbit berjenama yang dipercayai dibeli menggunakan transaksi akaun bank mangsa,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Semalam, tular di media sosial seorang gadis mendakwa menjadi mangsa rakannya sendiri setelah kad ATM miliknya dicuri selain wang miliknya digunakan untuk membeli telefon bimbit berjenama.

  • Tiga wanita direman seleweng dana syarikat pusat urut

    Tiga wanita direman seleweng dana syarikat pusat urut

    TIGA wanita direman lima hari kerana disyaki menyeleweng dana sebuah syarikat pusat urut terkemuka berjumlah jutaan ringgit.

    Ketiga-tiga wanita berumur dalam lingkungan 50-an itu terdiri daripada dua pengarah syarikat pembekal minyak urut manakala seorang lagi adalah isteri kepada bekas pengarah urusan syarikat pusat urut tersebut.

    Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ketiga-ketiga individu itu ditahan petang semalam di Ibu Pejabat SPRM ketika hadir memberi keterangan kerana disyaki telah mengemukakan dokumen yang mempunyai butiran palsu untuk memanipulasikan syarikat antara tempoh 2017 hingga 2019.

    Mereka dikatakan menyeleweng wang tersebut menerusi pembelian minyak urut pada harga tinggi berbanding harga pasaran menerusi syarikat pembekal yang merupakan proksi mereka, melibatkan jumlah pembelian bernilai RM9 juta.

    Sumber itu berkata syarikat berkenaan dikatakan mengalami kerugian anggaran RM1.8 juta akibat pembelian tersebut.

    Perintah reman bermula hari ini hingga 17 April dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret Putrajaya selepas SPRM membuat permohonan tersebut pagi tadi.

    Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

    Beliau berkata SPRM kini sedang mengesan dua suspek utama kes berkenaan iaitu bekas pengarah urusan dan bekas pegawai kewangan syarikat pusat urut tersebut.