Category: Jenayah

  • Scammer menyamar sebagai YB Tangga Batu, minta duit dari kenalan

    Scammer menyamar sebagai YB Tangga Batu, minta duit dari kenalan

    AHLI Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin mendedahkan nombor telefonnya digodam individu tidak bertanggungjawab dengan meminta wang daripada kenalannya.

    Menurutnya, kejadian disedari apabila dihubungi rakan kira-kira pukul 1 tengah hari pada 11 April lalu ketika berada di rumahnya di Tangga Batu, Melaka.

    Katanya, setakat ini lima kenalannya ‘terjerat’ dengan taktik scammer terbabit yang menggunakan lima nombor telefon WhatsApp hingga kerugian ribuan ringgit.

    “Asalnya dia (scammer) mengguna profil gambar saya untuk meminjam wang daripada kenalan.

    “Kemudian dia gunakan profil rakan saya itu untuk menipu saya pula dengan mengatakan nombor telefon saya digodam dan meminta tangkap layar komunikasi terakhir di Telegram.

    “Disebabkan terperdaya saya menghantar tangkap layar komunikasi seperti dimintanya hingga scammer itu dapat mengakses semua nombor dalam telefon saya,” katanya ditemui media di pejabatnya di Tangga Batu.

    Bakri membuat laporan di Balai Polis Tangga Batu pada 12 April selain Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

    “Setakat ini, lima kenalan saya sudah memasukkan wang dianggarkan lebih RM2,000 hingga RM3,000 ke dalam akaun scammer terbabit dengan dua daripada mereka adalah pegawai bank.

    “Saya hairan bagaimana mereka terpedaya tapi rakan beritahu mereka serahkan duit sebab percaya saya,” katanya yang meminta orang ramai berhati-hati jika menerima mesej daripada nombor telefon suspek.

    Bakri turut kesal apabila mendakwa scammer terbabit masih bebas menghantar mesej selepas laporan dibuat.

    “Sepatutnya SKMM terus halang nombor telefon scammer terbabit apabila terima aduan.

    “Jadi, pandangan saya sistem aduan SKMM perlu ditambah baik dan Insya-Allah perkara ini saya akan bawa ke Parlimen selain membuat hebahan menerusi TikTok,” katanya, lapor BH Online.

  • Pemandu lori didakwa miliki diesel bersubsidi

    Pemandu lori didakwa miliki diesel bersubsidi

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PEMANDU Lori didenda RM30,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas tuduhan menyeleweng 1,450 liter diesel bersubsidi tahun lalu.

    Moo Yit Lim, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

    Berdasarkan kewqrtas pertuduhan, Lim didakwa memiliki barang kawalan yang juga adalah barang berjadual itu dalam dua tong plastik putih dalam lori Daihatsu ketika diserbu polis di Jalan Setia 11/3, Taman Setia Indah di Johor Barhu pukul 8 malam pada 27 Julai 2022.

    Sehubungan itu tertuduh melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan barang kawalan berjadual secara borong atau runcit tanpa lesen.

    Perbuatan itu adalah kesalahan di bawah seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 22 (1) akta sama.

    Mengikut fakta kes, pemeriksaan badan ke atas tertuduh menemukan kunci dan resit pembelian diesel dari pelbagai stesen minyak sebanyak 22 keping berjumlah RM4,300.

    Tertuduh gagal mengemukakan sebarang lesen atau permit untuk menyimpan dan berurusan dengan bahan bersubsidi itu apabila diminta oleh anggota serbuan.

    Pemeriksaan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati pengubahsuaian dilakukan terhadap lori terbabit dengan terdapat sambungan paip dari tangki utama kenderaan ke tangki bahan api tambahan.

    Sebuah pam dipasang dan disambungkan pada tangki utama kenderaan bertujuan untuk memindahkan diesel dari tangki utama kenderaan ke tangki bahan api tambahan yang telah diubahsuai pada kenderaan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), Muhamad Sabiq Muhamad Subri dan Raja Nor Iklas Raja Ariff manakala orang kena saman (OKS) tersebut tidak diwakili peguam.

  • RM1.2 juta rokok seludup dirampas dalam serbuan di rumah sewa

    RM1.2 juta rokok seludup dirampas dalam serbuan di rumah sewa

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MENJADIKAN sebuah rumah sewa sebagai tempat penyimpanan rokok seludup sebelum diedar ke kedai-kedai runcit sekitar daerah Muar.

    Itu modus operandi seorang lelaki yang aktif menjalankan mengedar rokok seludup untuk pasaran setempat.

    Bagaimanapun kegiatan tersebut terbongkar selepas Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam melakukan serbuan di sebuah rumah di Naib Kadir, Bukit Pasir, di Muar, Jumaat lalu.

    Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, menerusi serbuan itu pihaknya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 54 tahun.

    “Hasil serbuan, polis merampas 395 karton atau 57,000 batang rokok kretek dan 5,553 karton atau 1.07 juta batang rokok putih.

    “Nilai rampasan keseluruhan termasuk cukai bernilai lebih RM1.2 juta ringgit,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di Muar hari ini.

    Beliau berkata, serbuan dibuat hasil risikan polis dan PGA Simpang Renggam sejak sebulan lalu.

    Katanya, bekalan rokok berkenaan diperoleh dari Batu Pahat dan Kuala Lumpur yang didalangi seorang lelaki bernama Ah Meng.

    Menurutnya, suspek yang sudah berkahwin dan mempunyai empat anak dipercayai bergiat aktif mengedar rokok seludup sejak setahun lalu.

    “Suspek bekerja sebagai penghantar rokok kepada pembeli-pembeli yang merupakan pengusaha kedai runcit di daerah Muar,” ujar beliau.

    Jelasnya, suspek menyewa rumah itu untuk dijadikan stor penyimpanan rokok sebelum diedar untuk pasaran tempatan.

    Suspek direman seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967, katanya.

  • Syarikat barangan kemas Lubnan saman semula Rosmah RM67.5 juta

    Syarikat barangan kemas Lubnan saman semula Rosmah RM67.5 juta

    SYARIKAT barangan kemas Lubnan Global Royalty Trading SAL memfailkan saman bernilai RM67.461 juta terhadap Datin Seri Rosmah Mansor, isteri bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

    Menurut laporan MalaysiaKini, firma itu meminta pemulangan barang kemas yang didakwa dihantar kepada isteri bekas perdana menteri itu untuk tujuan pameran.

    Sebagai ganti, firma itu meminta kos barang kemas itu pada RM67,461, 027 (bersamaan dengan AS$14,567, 270).

    Kenyataan tuntutan itu difailkan bagi pihak Global Royalty oleh firma guaman David Gurupatham and Koay.

    Pada 2019, firma itu memfailkan saman untuk 44 barang kemas bernilai AS$14.79 juta atau hampir RM60 juta tetapi kemudian menarik balik saman tersebut.

    Dalam saman asalnya, Global Royalty mendakwa pada 10 Feb 2018, firma itu menghantar 44 barang kemas, termasuk rantai berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara, masing-masing bernilai antara AS$124,000 (RM519,183) dan AS$925,000 (RM3. 8 juta) kepada defendan, yang diserahkan sendiri melalui dua ejennya.

    Syarikat itu berkata Rosmah telah mengakui penerimaan barangan kemas tersebut.

    Syarikat itu mendakwa Rosmah, menerusi surat bertarikh 22 Mei 2018, turut mengesahkan dan mengakui penerimaan barang kemas itu tetapi menyatakan kesemua barang kemas itu tidak lagi berada dalam simpanannya kerana disita dan diletakkan di bawah jagaan pihak berkuasa.

  • SPRM geledah pejabat, kediaman Sivakumar

    SPRM geledah pejabat, kediaman Sivakumar

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggeledah pejabat dan kediaman Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar semalam bagi melengkapkan siasatan berhubung dakwaan menerima wang bernilai jutaan ringgit menerusi orang tengah sebagai jaminan meneruskan kontrak kerajaan terhadap individu tertentu.

    Penggeledahan terbabit bagi menjejaki wang yang didakwa diperolehi Sivakumar.

    Menurut sumber, penggeledahan itu dilakukan SPRM sebaik sahaja keterangan menteri itu diambil pada hari sama bagi mendapatkan bukti-bukti.

    “Sivakumar telah dipanggil SPRM semalam untuk bantu siasatan susulan siasatan terhadap seorang pegawai tugas-tugas khas dan penahanan setiausaha sulitnya minggu lalu.

    “Kehadiran Sivakumar di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya bagi menjelaskan dakwaan bahawa beliau telah menerima wang secara tunai oleh seorang ahli perniagaan yang juga ditahan SPRM bersama dua pegawai kanannya.

    “Ahli perniagaan berkenaan dipercayai membuat ‘public relation’ mewakili Sivakumar untuk meminta wang kepada individu tertentu yang menjalankan projek kerajaan di kementerian itu sebagai jaminan agar mereka dapat meneruskan projek dilaksanakan selain menjanjikan akan diberikan projek lain selepas itu,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Katanya lagi, perbuatan yang dilakukan ahli perniagaan itu disyaki berada di bawah pengetahuan kedua-dua pegawai Sivakumar yang dikatakan pernah menyaksikan pemberian wang itu.

    “Wang berkenaan disyaki dibayar secara tunai sebelum kesemua wang itu didakwa akan diserahkan kepada Sivakumar,” ujarnya.

    Jelasnya, Sivakumar bagaimanapun dibebaskan setelah keterangannya direkod lewat petang semalam.

    Pada 14 April, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan, Setiausaha Sulit kepada Sivakumar ditahan.

    Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu bahawa penahanan beberapa pegawai Sivakumar adalah keputusan SPRM untuk bertindak terhadap sesiapa sahaja jika ada asasnya.

  • Jet ski terbabas, warga Myanmar maut

    Jet ski terbabas, warga Myanmar maut

    SEORANG warga Myanmar maut selepas jet ski ditunggangnya terbabas sebelum terlanggar sebuah bot di tepi laut dalam nahas di kawasan pantai belakang sebuah hotel di Batu Ferringhi, dekat Georgetown, semalam.

    Pemangku Ketua Polis Timur Laut, V Saravanan, berkata dalam kejadian 4.45 petang itu, Tun Lin Aung, 22, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di dagu dan leher.

    “Hasil siasatan awal mendapati lelaki itu bekerja kilang di Kuala Lumpur dan datang ke Batu Ferringhi di Georgetown untuk menghadiri pesta Songkran bersama rakan senegaranya, sebelum mangsa menyewa sebuah jet ski di kawasan pantai dengan harga RM150.

    “Lelaki itu menunggang bersendirian dan kemudiannya dipercayai terbabas sebelum terlanggar sebuah bot yang diletakkan di tepi laut di kawasan pantai tersebut.

    “Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan di dagu dan leher, dia ditarik keluar dari laut oleh beberapa saksi yang nampak kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

    Saravanan berkata, pemeriksaan pasukan perubatan mendapati mangsa meninggal dunia akibat kemalangan itu dan mayatnya dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat hari ini.

    Katanya, hasil siasatan lanjut mendapati mangsa dipercayai dalam keadaan mabuk ketika menyewa jet ski itu dan perkara tersebut turut diakui rakan senegaranya.

    Menurutnya, pemeriksaan juga mendapati lelaki itu bekerja di negara ini selama tiga tahun dan mempunyai dokumen perjalanan diri serta permit kerja sah.

    “Siasatan lanjut masih dijalankan, termasuk merekodkan keterangan beberapa saksi dan rakan mangsa bagi melengkapkan siasatan,” katanya.

  • Kontraktor setuju bayar 600 pekerja gaji tertunggak RM3.8 juta

    Kontraktor setuju bayar 600 pekerja gaji tertunggak RM3.8 juta

    KONTRAKTOR pembinaan sebuah kilang di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), Sabah bersetuju membayar tunggakan gaji kira-kira 600 pekerjanya berjumlah RM3.8 juta hari ini dan esok.

    Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud berkata, persetujuan itu dicapai selepas perbincangan dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah semalam.

    Katanya, arahan itu dikeluarkan selepas pergaduhan antara pekerja dan majikan dari Korea itu kelmarin akibat kelewatan membayar gaji bulan lalu.

    “Sepatutnya, mengikut perjanjian, gaji perlu dibayar pada minggu pertama setiap bulan. Maknanya berlaku kelewatan gaji bulan Mac.

    “Jadi, berlaku pergaduhan akibat ketidakpuasan hati pekerja hingga memukul majikan berbangsa Korea.

    “Berikutan itu, pengarah JTK Sabah bersama ketua Balai Polis Manggatal mengadakan perbincangan dengan wakil pekerja dan majikan. Hasilnya, majikan bersetuju membayar gaji tertunggak itu pada 17 dan 18 April,” katanya menurut Harian Metro.

    Mustapha mengulas rakaman video tular kelmarin berhubung pergaduhan pekerja dan majikan di sebuah tapak binaan kilang di KKIP.

    Semalam, polis menahan dua pekerja disyaki memukul majikan warga Korea di tapak binaan yang dibangunkan syarikat Korea Selatan selepas mangsa membuat laporan polis.

    Bagi memastikan majikan membayar gaji pekerja seperti dijanjikan, Mustapha berkata, pegawai JTK akan berada di tapak binaan hari ini dan esok untuk memantau dan mendengar jika ada lagi aduan pekerja lain.

  • Tak puas hati ditegur, lelaki ditahan pukul, cederakan abang

    Tak puas hati ditegur, lelaki ditahan pukul, cederakan abang

    SEORANG lelaki ditahan kerana memukul dan mencederakan abangnya akibat tidak puas hati selepas ditegur bertengkar dengan ibu mereka.

    Ketua Polis Brickfields, Amihizam Abdul Shukor, berkata dalam kejadian di Taman Bukit Angkasa, Kuala Lumpur pada 4 pagi Sabtu lalu, mangsa cedera dan lebam di belakang badan, bahu kanan serta tangan kiri.

    Beliau berkata, siasatan mendapati kejadian itu berlaku selepas mangsa melihat suspek bertengkar dengan ibu mereka kerana lambat keluar dari bilik air.

    Katanya, mangsa berusia 24 tahun menegur adiknya yang mengamuk dan memaki hamun ibu mereka, sebelum dipukul suspek menggunakan getah paip dan batang besi, selain dicederakan dengan pisau.

    “Suspek berusia 23 tahun ditahan polis dan didapati mempunyai tiga rekod lampau di bawah kes jenayah serta Akta Dadah Berbahaya,” katanya menurut Bernama.

    Beliau berkata, polis merampas pisau yang digunakan untuk mencederakan mangsa dan suspek direman empat hari hingga esok untuk disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

  • Tiada lesen jual bunga api, 120 ditahan babit rampasan lebih RM3 juta

    Tiada lesen jual bunga api, 120 ditahan babit rampasan lebih RM3 juta

    POLIS menahan sebanyak 120 individu di seluruh negara kerana melanggar syarat, tidak mempunyai lesen dan menjual bunga api yang tidak dibenarkan melibatkan nilai rampasan berjumlah RM3,389,180.

    Rampasan itu bagi tempoh 28 Mac hingga 9 April lalu.

    Setiausaha Polis Malaysia Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata kesemua kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

    “Polis Diraja Malaysia sentiasa melakukan pemantauan dan pemeriksaan secara menyeluruh serta berterusan di seluruh negara termasuk terhadap penjualan bunga api dan mercun secara dalam talian melalui platform media sosial serta e-dagang.

    “Orang ramai diingatkan supaya tidak terlibat dengan penjualan bunga api dan mercun secara haram kerana tindakan tegas akan diambil berdasarkan undang-undang sedia ada,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mengulas lanjut Noorsiah berkata polis telah menerima sebanyak 6,526 permohonan bagi mendapatkan lesen menjual bunga api dan mercun di seluruh negara sempena perayaan Aidilfitri tahun ini.

    Daripada jumlah itu katanya, sebanyak 5,188 permohonan diluluskan, manakala 1,338 telah ditolak kerana tidak memenuhi syarat yang ditetapkan.

  • Berang cinta ditolak, penganggur bakar kedai telefon bimbit

    Berang cinta ditolak, penganggur bakar kedai telefon bimbit

    SEORANG penganggur bertindak membakar sebuah kedai telefon bimbit tempat wanita diminatinya bekerja di Teluk Intan selepas dipercayai berang cintanya ditolak.

    Menurut Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, pengadu wanita berusia 46 tahun berkenaan membuat aduan di Balai Polis Langkap pukul 3.19 petang, hari ini.

    Beliau berkata, pengadu memaklumkan bahawa dirinya diganggu suspek ketika berada di kedai telefon bimbit di Jalan Besar Langkap pada pukul 2.30 petang tadi.

    “Suspek seorang lelaki warga tempatan berusia 54 tahun, tiada pekerjaan datang ke kedai dan mengamuk sehingga mencederakan pengadu dan melemparkan kata-kata berunsur lucah.

    “Suspek turut mengancam keselamatan pengadu dengan mengugut akan membakar pengadu dan tempat kerja pengadu.

    “Disebabkan terlalu takut, pengadu bergegas ke Balai Polis Langkap untuk membuat laporan,” katanya, hari ini.

    Mengulas lanjut, Ahmad Adnan berkata, semasa laporan dibuat, kedai tempat pengadu bekerja yang juga milik adiknya dilaporkan terbakar.

    “Bomba datang ke tempat kejadian dan berjaya memadamkan kebakaran. Anggaran kerugian dialami lebih kurang RM100,000.

    “Berdasarkan maklumat daripada saksi di tempat kejadian, polis berjaya menahan suspek yang dilihat menyimbah petrol lalu membakar kedai terbabit.

    “Motif kejadian dipercayai berpunca cinta suspek ditolak oleh pengadu. Suspek beberapa bulan kebelakangan ini sering datang ke kedai dalam keadaan mabuk dan cuba memikat pengadu tetapi pengadu menolak dengan cara baik kerana sudah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak,” katanya.

    Sementara itu Ahmad Adnan memberitahu, suspek turut mengalami kecederaan melecur di bahagian muka, tangan dan kaki .

    “Suspek ditangkap dalam keadaan mabuk dipercayai di bawah pengaruh alkohol, kini dimasukkan ke Wad Hospital Teluk Intan untuk rawatan susulan.

    “Suspek direman lima hari untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 435/323 Kanun Keseksaan,” katanya, menurut laporan Harian Metro.