Category: Jenayah

  • Wanita gagal bayar hutang along, keluarga jadi sasaran

    Wanita gagal bayar hutang along, keluarga jadi sasaran

    SEORANG lelaki kini hidup dalam ketakutan dan tertekan kerana diganggu konco along selepas isterinya gagal membayar pinjaman berjumlah RM116,700 daripada 52 ceti haram sejak awal tahun lalu.

    Mangsa yang hanya mahu sebagai Lim, 32, mendakwa isteri berusia 30 tahun yang dipercayai mengalami masalah kemurungan membuat pinjaman itu tanpa pengetahuannya untuk membeli pelbagai barang.

    “Saya menjumpai sepucuk surat ditulis isteri saya yang memohon maaf dan memintanya menjaga tiga anak mereka sebelum dia segera ke bilik isteri saya, namun berkunci daripada dalam.

    “Selepas panggilan tiada sahutan saya kemudiannya memecahkan pintu dan terkejut melihat beberapa ubat berselerakan di lantai serta isteri terbaring lemah di sofa sebelum membawanya ke hospital.

    “Isteri ketika ini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan keadaan sudah agak stabil dan boleh bercakap sedikit,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Wisma MCA, Kuala Lumpur hari ini.

    Sidang akhbar tersebut dikendalikan Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong.

    Dia yang bekerja sebagai mekanik, kecewa dengan situasi itu dan kini keluarganya sering diganggu konco along yang mahu mengutip hutang dengan mengedarkan risalah tertera kad pengenalan isteri selain dia turut mendakwa diganggu hingga di tempat kerjanya.

    “Saya tertekan kerana mereka juga selalu hubungi nombor telefon isteri, malah ibu bapa dan tiga anak serta dua adik yang tinggal serumah juga takut.

    “Isteri memang banyak beli barang termasuk dalam talian. Saya bimbang dengan keselamatan keluarga dan berharap masalah ini dapat dibantu,” katanya turut mendakwa sebelum ini isterinya juga pernah cuba menggantung diri.

    Sementara itu, Michael berkata, isteri mangsa membuat pinjaman berjumlah RM67,200 untuk urusan peribadi sejak Januari lalu daripada 39 peminjam wang.

    Menurutnya, sebanyak RM49,500 lagi dipinjam menerusi 13 along yang mana pinjaman itu didakwa menyalahgunakan butiran suaminya.

    Katannya, berdasarkan suaminya, ini adalah kali ketiga wanita itu membuat pinjaman wang dan keluarga pernah membantunya menyelesaikan hutang sebanyak RM110,000 sejak 2 tahun lalu.

    “Pinjaman baharu itu hanya disedari suami mangsa pada 15 April lalu apabila mendapat tahu beberapa peminjam wang pergi ke rumahnya,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Mereka meletakkan kertas risalah yang menyuruh wanita yang berkerja sebagai pemandu mengambil budak sekolah itu membayar hutangnya.

  • Polis tahan tujuh warga asing leka berjudi

    Polis tahan tujuh warga asing leka berjudi

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TUJUH tujuh lelaki warga asing ditahan ketika leka berjudi dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Lukut Cina di Kota Tinggi semalam.

    Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, semua lelaki itu berusia dalam lingkungan 24 hingga 34 tahun.

    “Menerusi serbuan itu polis turut merampas peralatan perjudian dan wang tunai yang dianggarkan berjumlah RM268.

    “Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

    Menurut Hussin, kesemua lelaki berkenaan akan direman di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini bagi membantu siasatan.

  • Penemuan rangka mayat wanita:2 dipanggil untuk rakam keterangan

    Penemuan rangka mayat wanita:2 dipanggil untuk rakam keterangan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS sudah memanggil dua individu untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan kes penemuan rangka mayat wanita yang ditemui mereput dalam sebuah bagasi di kios perhentian bas terbiar berhadapan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kulai, Rabu lalu.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dua individu tersebut merupakan lelaki yang memberikan maklumat dan seorang lagi individu yang membuat laporan polis berkenaan penemuan rangka mayat berkenaan.

    Beliau memberitahu, itu merupakan perkembangan terkini siasatan kes tersebut setakat ini.

    “Pada masa sama kita juga sedang menunggu laporan akhir bedah siasat daripada pihak hospital. Ini perlukan masa dan sekarang ini kita masih tidak dapat petunjuk yang lebih untuk memudahkan perjalanan siasatan ini.

    “Ini kerana cap jari mangsa tiada kerana kita tidak dapat. Seperti yang saya katakan sebelum ini tiada kesan suntikan bacillus calmette-guerin (BCG) ditemukan pada mayat itu yang dipercayai bukan warga tempatan,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor Tahun 2023 di Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil di Johor Bahru malam tadi.

    Pada Rabu lalu, satu orang awam menemukan rangka mayat seorang wanita dalam sebuah beg bagasi di perhentian bas berkenaan dalam keadaan telah mereput lebih 50 peratus selain sudah berulat.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow, mayat wanita berkenaan dianggarkan berusia 25 tahun ke atas dan telah
    meninggal dunia sejak dua minggu lepas, selain terdapat kecederaan di kepala.

    Sementara itu, Kamarul Zaman berkata, 90 peratus atau kira-kira 8,000 sehingga 9,000 pegawai dan anggota polis akan bertugas sepanjang sambutan Hari Raya Aidilfitri di negeri ini.

    Katanya, penugasan anggota terbabit akan dibahagikan kepada tiga syif sehari bagi memastikan trafik berjalan lancar di semua tempat.

    Jelasnya, ini juga bagi memastikan kelancaran kemasukan lebih dua juta kenderaan ke Johor termasuk menerusi laluan darat antara Malaysia dan Singapura di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).

    Beliau memberitahu, seramai 326 anggota dan pegawai akan ditempatkan di BSI di sini manakala 30 lagi di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri dan mereka juga akan mendapat pertolongan polis bantuan.

    “Kita menempatkan anggota yang lebih ramai di BSI kerana menjangkakan kesesakan luar biasa manakala di KSAB dijangka tidak terlalu banyak kenderaan masuk atau keluar ke Johor,” katanya.

    Selain itu kata Kamarul Zaman, satu pasukan khas daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) akan ditempatkan di semua 13 daerah di negeri ini sebagai persediaan jika berlaku kemalangan atau kegiatan jenayah.

    “Kita juga akan adakan sekatan jalan raya (SJR) di 24 lokasi pada sebelah malam. Jika SJR itu mengganggu kelancaran trafik, polis akan
    pindahkan SJR tersebut ke tempat lain supaya tiada kesesakan,” katanya.

  • Nelayan ditahan positif dadah atas bot

    Nelayan ditahan positif dadah atas bot

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG nelayan ditahan selepas didapati positif dadah dalam satu operasi di sekitar perairan Mersing pagi semalam.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan Saadin berkata, suspek, 37, ditahan Agensi pada pukul 8.30 pagi dalam operasi bersama-sama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) daerah itu.

    “Lelaki itu yang positif dadah jenis syabu ditahan selepas pemeriksaan terhadap enam buah bot nelayan tempatan termasuk sebuah bot memancing ikan berserta kru.

    “Hasil pemeriksaan pasukan operasi dari kedua-dua agensi berjaya menahan lelaki warga tempatan itu selepas melalui ujian saringan air kencing sebelum diserahkan kepada AADK untuk tindakan lanjut.

    “Operasi ini bertujuan mencegah dan membasmi sebarang kegiatan jenayah terutamanya aktiviti penyalahgunaan dadah dalam kalangan komuniti maritim setempat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, operasi itu membabitkan sebuah bot ronda Maritim Malaysia Perkasa 31 dengan kekuatan seramai 12 anggota dan pegawai Zon Maritim Mersing serta pegawai dari AADK Mersing.

    Maritim katanya, akan terus melaksanakan operasi seperti ini bersama jabatan dan agensi penguatkuasaan yang lain dari semasa ke semasa dalam mencegah jenayah khususnya di perairan Mersing.

    Beliau meminta orang ramai yang mempunyai aduan jenayah segera hubungi talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor menerusi talian 07219 9404.

  • Wanita ditemui trauma tepi jalan, polis tahan suspek rogol

    Wanita ditemui trauma tepi jalan, polis tahan suspek rogol

    SEORANG lelaki ditahan polis selepas dipercayai merogol seorang wanita yang ditemui dalam keadaan trauma di Jalan Kamaruddin Isa, Fair Park, Ipoh kelmarin.

    Ketua Polis Ipoh, Datuk Yahaya Hassan, berkata wanita tempatan berusia 38 tahun itu ditemukan orang awam sedang menangis, selain mengalami luka di kaki.

    Menurutnya, penemuan wanita itu kemudian dilaporkan ke Balai Polis Sungai Senam sebelum sepasukan polis daripada balai terbabit ke lokasi kejadian untuk membantu mangsa.

    Katanya, hasil siasatan awal mendapati mangsa dirogol di rumahnya oleh seorang lelaki tidak dikenali yang juga warga tempatan sebelum mangsa berjaya melarikan diri.

    “Kecederaan di bahagian kaki mangsa akibat terjatuh dari tempat tinggi.

    “Tindakan pantas pasukan polis daripada balai terbabit berjaya memberkas suspek berumur 43 tahun di rumah mangsa,” katanya menurut Berita Harian.

    Katanya, polis merampas beberapa barangan bersama suspek termasuk senjata seperti gunting, pisau, dan kuku kambing, manakala semakan mendapati suspek memiliki beberapa rekod jenayah narkotik lampau.

    “Ujian saringan air kencing suspek mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.

    “Polis mendapat perintah tahanan reman terhadap suspek selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

    Yahaya berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu rogol dan mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut.

  • Pembantu ADUN Bersatu disiasat kerana pecah amanah

    Pembantu ADUN Bersatu disiasat kerana pecah amanah

    POLIS menahan seorang pembantu kepada ADUN Bersatu Selangor bagi membantu siasatan kes pecah amanah jenayah berjumlah RM533,440.

    Free Malaysia Today dalam laporannya memetik sumber berkata, lelaki berusia 30-an itu ditahan bersama dua yang lain termasuk isterinya pada 10 April lalu.

    Difahamkan ketiga-tiga mereka dibebaskan dengan jaminan polis.

    “Polis sedang menyelesaikan siasatan dan akan menyerahkannya kepada timbalan pendakwa raya tidak lama lagi,” kata sumber itu kepada FMT, sambil menambah ADUN itu bukan suspek dalam kes berkenaan.

    Sumber itu berkata, pada Julai 2022, pembantu ADUN itu menjemput mangsa, seorang pengarah syarikat, untuk membida kontrak RM1.7 juta bagi menganjurkan program Kementerian Belia dan Sukan di Perak.

    Mangsa diminta membayar komisen 3% dan membida projek itu melalui NGO yang dikaitkan dengan pembantu berkenaan.

    Bagaimanapun, selepas menerima bayaran, mangsa menyedari dia mengalami kekurangan wang sebanyak RM533,440, kata sumber itu.

    Mangsa dikatakan mendapati jumlah itu dipindahkan oleh NGO itu kepada sebuah syarikat milik isteri suspek.

    Mangsa kemudian membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah jenayah.

    FMT telah menghubungi ADUN berkenaan bagi mendapatkan komen.

  • Anggota polis putus jari digigit lelaki positif dadah

    Anggota polis putus jari digigit lelaki positif dadah

    SEORANG anggota polis putus jari manis digigit seorang lelaki yang menyerang dan menceroboh Pos Pengawal Balai Polis Sungai Besi, di Kuala Lumpur, kelmarin.

    Menurut Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin, ketika kejadian beberapa anggota polis sedang bertugas sebelum didatangi seorang lelaki tempatan di hadapan pos berkenaan pukul 10.15 malam.

    “Suspek berusia 34 tahun itu kemudian menjerit mahu menyimbah asid sebelum menyimbah air mineral di muka dan badan anggota terbabit lalu meluru masuk ke dalam perkarangan balai polis.

    “Malah, suspek juga membaling satu tin minuman tenaga ke arah dinding kaca sebelah kiri dan mengakibatkannya pecah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mengulas lanjut Zam Halim berkata, berlaku pergelutan antara suspek bersama anggota polis berkenaan ketika mereka cuba membuat tangkapan ke atas lelaki berkenaan.

    “Suspek bertindak agresif dengan menggigit jari manis tangan kanan salah seorang anggota polis berkenaan sehingga putus pada bahagian hujung jari.

    “Suspek yang turut mengalami kecederaan ringan kemudian berjaya ditahan. Semakan dilakukan mendapati suspek mempunyai rekod dikehendaki polis berhubung kes penipuan,” katanya.

    Beliau berkata, hasil saringan awal air kencing dilakukan terhadap suspek didapati positif dadah jenis amphetamin dan methaphetamin.

    “Difahamkan suspek pernah mendapat rawatan psikiatrik pada 2020 tetapi tidak memiliki sebarang kad rawatan mental.

    “Suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga 21 April nanti untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 325/427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 90 Akta Polis 1967,” katanya.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-92845050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

  • 76 mat rempit ditahan dalam 206 operasi banteras lumba haram

    76 mat rempit ditahan dalam 206 operasi banteras lumba haram

    SERAMAI 76 mat rempit berusia 16 hingga 36 tahun ditahan polis Pulau Pinang dalam 206 operasi yang dijalankan bagi membanteras kegiatan lumba haram di seluruh negeri itu sejak September tahun lalu hingga 31 Mac lalu.

    Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 5,009 saman turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan melibatkan aktiviti lumba haram.

    Menurut beliau, pihaknya turut mengenal pasti beberapa lokasi panas yang kerap dijadikan tempat mat rempit berlumba dan operasi berterusan dijalankan di kawasan terbabit dalam usaha membanteras lumba haram.

    Bagaimanapun tambah beliau, pihaknta mendapati terdapat trend penurunan dalam aktiviti mat rempit sejak kebalakangan ini hasil penguatkuasaan dan pencegahan berterusan polis bersama agensi penguatkuasaan lain sejak Julai tahun lalu.

    ”Namun, masih ada individu yang didapati merempit untuk tujuan berseronok dan tindakan telah diambil kepada individu-individu tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, George Town, Pulau Pinang hari ini.

    Terdahulu, Mohd. Shuhaily mempengerusikan mesyuarat perancangan strategi memerangi lumba haram dan mat rempit peringkat Kontijen Pulau Pinang bersama beberapa jabatan dan agensi di IPD Timur Laut.

    Antara agensi yang terlibat dalam mesyuarat itu antaranya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ); Jabatan Alam Sekitar (JAS); Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN); Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ; Universiti Sains Malaysia (USM); Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam.

    Dalam pada itu, menurut Mohd. Shuhaily, mesyuarat memerangi aktiviti lumba haram hari ini merumuskan peranan jawatankuasa pencegahan dan penguatkuasaan perlu diteruskan serta dipertingkatkan dengan menambah baik beberapa perkara.

    Antaranya, kata beliau, berkaitan prosedur dan hukuman di bawah Seksyen 81(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 supaya tindakan lebih ketat dikenakan kepada mat rempit dan penggubalan undang-undang khusus ke atas ibu bapa, penjaga (pesalah samseng jalanan) dan penonton.

    Jelas beliau, mesyuarat itu mencadangkan supaya kadar hukuman saman ke atas pengubahsuaian motosikal dinaikkan dan undang-undang supaya tindakan boleh diambil ke atas bengkel pengubahsuaian komponen, struktur dan asas kepada kenderaan digubal.

  • Batal saman tak pamer cukai jalan, anggota peronda disiasat

    Batal saman tak pamer cukai jalan, anggota peronda disiasat

    POLIS akan menjalankan siasatan dalaman ke atas seorang anggota perondanya yang mengeluarkan saman kepada pemandu gagal mempamerkan cukai jalan dalam kejadian di Jalan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, di Petaling Jaya, Ahad lalu.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya mengesan satu hantaran di Facebook berhubung gambar memaparkan saman polis yang dikeluarkan terhadapnya.

    “Semakan dilakukan mendapati saman itu dikeluarkan anggota polis peronda pada 16 April lalu atas kesalahan gagal mempamer cukai jalan di lokasi berkenaan,” katanya menurut Harian Metro.

    Beliau berkata, arahan sudah diberikan kepada petugas lapangan supaya tidak mengeluarkan saman berhubung kesalahan tidak mempamer cukai jalan, susulan arahan Kementerian Pengangkutan pada 10 Feb lalu.

    “Siasatan dalaman akan dibuat ke atas anggota terbabit atas kecuaian dan kami sudah membatalkan saman itu.”

  • Pemimpin jaga kewangan sebuah parti politik akan dipanggil SPRM – Laporan

    Pemimpin jaga kewangan sebuah parti politik akan dipanggil SPRM – Laporan

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil pemimpin sebuah parti politik yang menjaga kewangan parti dalam usaha menjejaki sejumlah wang tunai yang dikaitkan dengan seorang menteri.

    Sumber dipetik Utusan Malaysia berkata, beberapa saksi baharu yang terdiri daripada pegawai di kementerian, syarikat kontraktor dan agensi di bawah kementerian terbabit turut akan dipanggil bagi mengukuhkan siasatan.

    Katanya, siasatan SPRM memfokuskan pelbagai sudut untuk mengesan dakwaan pemberian wang tunai menerusi orang tengah sebagai jaminan untuk syarikat berkenaan terus mendapat kontrak.

    “Mungkin juga akan ada pemimpin sebuah parti politik yang menjaga kewangan parti yang dikaitkan dengan menteri itu juga akan dipanggil, namun ia bergantung kepada siasatan selepas ini.

    “Setakat ini, difahamkan, keterangan menteri itu juga telah diambil SPRM sekali lagi, selepas beliau hadir ke pejabat SPRM pada Ahad lalu,” katanya.

    Semalam, SPRM dilaporkan terus menjejaki wang tunai jutaan ringgit yang didakwa diserahkan orang tengah kepada menteri berkenaan.

    Ini susulan penggeledahan di pejabat dan kediaman menteri terbabit yang tidak menemui wang itu atau bukti wang tersebut diterima menteri berkenaan.

    Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar memberi keterangan kepada SPRM pada Ahad lalu, susulan penahanan dua pegawai kanannya yang dipercayai berkaitan isu pengambilan pekerja asing.

    Jumaat lalu, SPRM menahan setiausaha sulit Sivakumar berhubung siasatan ke atas kelulusan kuota pekerja asing.

    Sehari sebelumnya, agensi antirasuah itu menahan seorang pegawai kanan Sivakumar bersama seorang ejen pengambilan pekerja asing.