Category: Jenayah

  • Tersilap sasaran, warga emas maut ditetak dengan parang

    Tersilap sasaran, warga emas maut ditetak dengan parang

    SEORANG warga emas menjadi mangsa keadaan apabila maut ditetak kerana disalah anggap sebagai individu lain dalam kejadian di Siburan, Sarawak.

    Menurut Utusan Borneo, suspek yang bersenjatakan parang pada mulanya mahu menyerang adiknya yang melarikan diri susulan pertengkaran di kediaman mereka selepas berbuka puasa.

    Namun, malang menimpa warga emas itu yang secara kebetulan dalam perjalanan ke kedai apabila ditetak suspek.

    Ketua Polis Simunjan Wong Tee Kui berkata, suspek merupakan warga tempatan berusia 43 tahun.

    “Kejadian dipercayai berlaku sekitar 7.40 malam kelmarin, di mana mangsa seorang lelaki tempatan berusia 62 tahun telah disahkan meninggal dunia.

    “Susulan itu, suspek telah ditangkap untuk siasatan lanjut,” katanya sambil menambah, kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Wong turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.

  • Pegawai ditahan: Imigresen serah kepada SPRM siasat

    Pegawai ditahan: Imigresen serah kepada SPRM siasat

    PENAHANAN dua pegawai Jabatan Imigresen Malaysia yang bertugas di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka, Bangladesh dilakukan hasil perkongsian maklumat strategik antara jabatan terbabit bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pihaknya telah mengesan terdapat dakwaan pegawainya yang bertugas di Dhaka, Bangladesh menerima rasuah melibatkan pengeluaran visa luar negara kepada rakyat negara tersebut untuk memasuki Malaysia.

    “Pihak imigresen kemudian telah mengarahkan kedua-dua mereka kembali ke Malaysia untuk membantu siasatan.

    “Hasil maklumat tersebut telah disalurkan kepada SPRM untuk tindakan dan siasatan sehingga berlaku penahanan dua pegawai tersebut pada 17 April lalu.

    “Imigresen telah menyerahkan sepenuhnya kepada SPRM untuk melakukan siasatan dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya dengan telus dan adil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Pihaknya kata beliau, tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawainya yang melakukan pelanggaran integriti sehingga mencemarkan imej jabatan, menggugat keselamatan serta kedaulatan negara.

    Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pegawai yang terbukti melakukan kesalahan ini.

    “Kerjasama strategik bersama SPRM juga akan diteruskan bagi memastikan jabatan ini sentiasa telus dalam menangani sebarang unsur rasuah serta amalan tidak berintegriti,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

    Semalam, Kementerian Luar mengesahkan penahanan dua pegawai terbabit iaitu lelaki dan wanita.

    Pegawai terbabit kemudian direman tiga hari bermula 18 April untuk siasatan lanjut.

  • Pendakwa raya AS tutup kes ke atas pelobi Jho Low

    Pendakwa raya AS tutup kes ke atas pelobi Jho Low

    JURI Amerika Syarikat (AS) akan mula membincangkan pada Isnin depan jika Pras Michel iaitu seorang penyanyi rap yang memenangi Grammy bertukar menjadi pempengaruh politik bersalah kerana melobi bagi pihak banduan Malaysia Jho Low dan China.

    Rumusan pendakwa raya Sean Mulryne kepada juri bahawa, Michel, 50, adalah penting dalam plot yang gagal dalam usaha cuba melobi pentadbiran Donald Trump untuk menamatkan siasatan AS ke atas Jho Low, yang didakwa membayar AS$100 juta kepada Michel.

    Michel juga dituduh bertindak mewakili China dalam mendapatkan ekstradisi ke atas Guo Wengui.

    Pendakwa raya mendakwa Michel mengaut AS$70 juta daripada cubaan Low untuk melobi kerajaan Trump dan satu lagi bayaran AS$18 juta yang dibayar Low untuk bergambar dengan bekas presiden AS, Barack Obama.

    Perbicaraan itu setakat ini mendedahkan bahawa Jho Low pada 2012 melalui bantuan Michel mendapatkan undangan ke pesta Krismas Obama merangkap pengumpulan dana di Washington DC.

    Jho Low kemudian mengambil gambar yang dirinya diapit oleh bekas pasangan pertama itu.

    Pada awal tahun itu, bapa Jho Low, Larry, berjaya mencari jalan melalui seorang pengumpul dana berlainan di Miami, Florida juga dengan bantuan Michel untuk duduk bersebelahan dengan Obama.

    Saksi pendakwaan, Leonardo DiCaprio memberi keterangan sebelum perbicaraan bahawa Jho Low telah merancang untuk menderma sehingga AS$30 juta untuk membantu kempen pemilihan semula Obama pada 2012.

    Ketika itu, Jho Low sudah menjadi tumpuan kerana penglibatannya dengan 1MDB – dana pelaburan negara yang merupakan hasil idea bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan pestanya dengan selebriti terkenal.

    1MDB mengumpul berbilion-bilion pinjaman untuk pelaburan strategik. Bagaimanapun, pelbagai pihak berkuasa di seluruh dunia termasuk di Malaysia membuat kesimpulan bahawa sebahagian besar dana 1MDB teresebut telah diselewengkan.

    Jho Low telah didakwa bersama Michel. Bagaimanapun, perbicaraan ke atas Jho Low belum dimulakan kerana dia dipercayai bersembunyi di China.

    Michel, dalam pembelaannya, berhujah bahawa dia tidak tahu bahawa adalah menjadi tanggung jawabnya untuk mendedahkan aktivitinya di bawah Akta Pendaftaran Ejen Asing AS dan bahawa sebarang sumbangan kepada kempen Obama oleh sekutunya tidak dibiayai oleh Jho Low.

    Peguam bela David Kenner memberitahu juri bahawa Michel tidak cuba mempengaruhi kerajaan AS.

    “Pada 2012, Jho Low mahukan gambar. Itulah keseluruhan kes ini,” katanya.

    Kenner berkata, bukan tanggungjawab Michel untuk memeriksa atau menyaring Jho Low.

    “Adakah itu satu beban yang perlu dipikul oleh seorang warga negara Amerika sebelum mereka bercampur dengan seseorang?” soal Kenner, lapor Malaysiakini.

  • Dua lori disita ingkar larangan waktu operasi

    Dua lori disita ingkar larangan waktu operasi

    JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) menahan dua buah lori jenis tipper dumper disita di Koridor Banting-Klang di Banting semalam kerana gagal mematuhi waktu larangan kenderaan berat beroperasi.

    Pengarah Penguat Kuasa Kanan JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, Operasi Khas Road Banned Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2023 bermula pukul 12.30 tengah malam itu diketuai Ketua Bahagian Penguat Kuasa JPJ Selangor, Mazlini Yusof.

    “Hasil pemeriksaan ke atas dua lori tersebut mendapati kedua-dua kenderaan berat itu telah melakukan kesalahan tidak mematuhi waktu larangan kenderaan berat.

    “Pemeriksaan terhadap kedua-dua pemandu berusia lingkungan 50-an itu mendapati mereka tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan Lesen Kenderaan Barangan (GDL),” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.

    Beliau berkata, semakan juga mendapati Lesen Kenderaan Motor (LKM) serta perlindungan insuran telah tamat tempoh.

    Beliau menjelaskan, pihaknya mengesan pelbagai kesalahan teknikal terhadap salah sebuah lori terbabit termasuk tayar ‘botak’.

    “Tindakan tegas ke atas kenderaan tersebut dengan sitaan di bawah Seksyen 64 dan notis di bawah Seksyen 80 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 iaitu lucut hak kenderaan.

    “Kita tidak berkompromi kepada kenderaan ‘overloading’ di mana tindakan sitaan dan lucut hak akan dikenakan jika gagal mematuhi peraturan jalan raya.

    “JPJ juga akan mengambil tindakan keras kepada tonto dan pegawai yang melindungi kegiatan ini,” ujarnya.

    Tambahnya, untuk sebarang aduan trafik bolehlah disalurkan kepada [email protected] atau platform aplikasi e-Aduan@JPJ berserta butiran pengadu dan butiran aduan.

  • Laporan dakwa M’sia sedang usahakan perjanjian bawa balik Jho Low

    Laporan dakwa M’sia sedang usahakan perjanjian bawa balik Jho Low

    PEGAWAI kerajaan Malaysia sedang mengusahakan perjanjian dengan China yang akan menyaksikan ahli perniagaan yang menjadi buruan, Low Taek Jho dihantar pulang ke Malaysia, menurut bekas wartawan Wall Street Journal, Bradley Hope.

    Dia mendakwa beberapa sumber berkata, usaha itu sedang ‘didebatkan secara hangat’ oleh kerajaan Malaysia susulan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China bulan lepas.

    “Perjanjian sedemikian melibatkan penghapusan jelas mengenai penglibatan China dalam perjanjian yang distrukturkan oleh Jho Low untuk menutup penipuan 1MDB, percubaan China untuk menguatkan kerjaya politik Datuk Seri Najib Razak (termasuk dalam sokongan tunai), menyusun semula projek Belt and Road Initiative di Malaysia untuk menjadi lebih ekonomi dan bermanfaat kepada keperluan infrastruktur Malaysia dan menyerahkan Jho Low (dan semua rampasan rompakannya).

    “Ini akan menjadi sesuatu yang besar, menarik dan menandakan berakhirnya cerita utama skandal 1MDB sejak penubuhannya pada 2009 hingga kejatuhannya akibat skandal pada 2015 dan segala pesta dan perbelanjaan yang tidak masuk akal sehingga 2023.

    “Ini juga mungkin bermakna pemulihan tunai yang besar bagi Malaysia, kerana (Low) – menurut anggaran kami dan sumber yang telah mengikuti kes itu dengan rapat masih mengawal simpanan tunai bernilai berbilion dolar,” tulisnya, lapor MalaysiaKini.

    Dakwaan itu diterbitkan dalam edisi buletin Whale Hunting hari ini, yang dikendalikannya bersama rakan wartawan Tom Wright.

    Kedua-duanya adalah pengarang bersama buku Billion Dollar Whale yang mengupas mengenai peranan Low dalam skandal 1MDB.

    China sebelum ini menafikan berkali-kali bahawa mereka memberikan perlindungan kepada Jho Low, tetapi laporan bahawa dia bersembunyi di negara itu masih berterusan.

    Merumitkan keadaan, Malaysia tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan China.

  • Batal festival Aidilfitri saat akhir, penganjur ditahan

    Batal festival Aidilfitri saat akhir, penganjur ditahan

    POLIS menahan tiga individu termasuk seorang pengarah syarikat untuk siasatan berkaitan festival beli belah sempena Aidilfitri di Pusat Dagangan Dunia (WTC) yang dibatalkan pada saat akhir.

    Ketua Polis Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahya berkata, tiga individu itu ditahan susulan beberapa laporan polis yang dibuat peniaga yang menyertai festival tersebut.

    Beliau berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi membuka satu kertas siasatan berkaitan laporan tersebut bagi siasatan selanjutnya dijalankan.

    “Susulan siasatan dijalankan, tiga individu terdiri daripada pengarah syarikat serta penganjur festival antaranya seorang lelaki berumur 23 tahun dan dua wanita tempatan berumur 50 dan 51 tahun

    “Semua individu itu ditahan direman dua hari bagi membantu siasatan.

    “Semakan mendapati semua individu yang ditahan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, setakat kini sebanyak enam laporan polis telah diterima berkaitan kes yang disiasat itu.

    Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, lapor FMT.

    Sebelum ini, satu festival membeli-belah sempena sambutan Aidilfitri yang dijadual semalam sehingga esok di WTC terpaksa dibatalkan pada saat akhir.

    Keadaan itu menyebabkan peniaga yang menyertai festival berkenaan mendakwa mengalami kerugian besar.

  • Tiga lelaki ditahan, bantu siasatan dadah bernilai lebih RM180,000

    Tiga lelaki ditahan, bantu siasatan dadah bernilai lebih RM180,000

    Oleh RIZQI ZABIDI

    POLIS menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan terhadap kes dadah jenis syabu seberat lebih lima kilogram yang dirampas di sebuah rumah di Kampung Balor Rambai, Mukim Bukit Tinggi dekat Jitra, Kedah, kelmarin.

    Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah pada awalnya telah melakukan pemeriksaan di rumah tersebut kira-kira pukul 3.20 petang kelmarin.

    Hasil pemeriksaan dijalankan itu katanya, pihak polis menahan seorang lelaki dan menemukan satu beg kertas mengandungi lima bungkusan plastik berisi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat kira-kira 5 kilogram di lantai sebuah bilik.

    “Soal siasat dijalankan kemudiannya membawa kepada penahanan dua lagi lelaki yang berada dalam sebuah kenderaan jenis Toyota Alphard di tempat depan Hotel Raia, Alor Setar kira-kira pukul 4 petang.

    “Pemeriksaan fizikal dijalankan tidak menemukan barangan terlarang namun dua lelaki itu ditahan bersama lima batang anak kunci dalam kenderaan tersebut bagi membantu siasatan. Kenderaan jenis Toyota Alphard itu turut disita bagi tujuan sama,” katanya.

    Tambahnya, nilai rampasan dadah adalah sebanak RM180,900 manakala nilai sitaan harta mencecah RM343,500.

    Kesemua suspek yang berusia antara 30 hingga 47 tahun direman selama tujuh hari hingga 24 April dengan siasatan lanjut kini masih dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Kejayaan ini adalah hasil usaha Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan aktiviti pengedaran dadah berbahaya dapat ditumpaskan.

    “Pihak polis juga sentiasa memerlukan kerjasama dan penglibatan masyarakat dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti dadah yang berlaku di sekeliling mereka,” katanya.

  • Edar dadah guna Telegram, 4 ditahan polis

    Edar dadah guna Telegram, 4 ditahan polis

    POLIS membongkar aktiviti pengedaran dadah menerusi aplikasi Telegram susulan penahanan empat individu termasuk seorang wanita dalam serbuan di sebuah kondominium di Sungai Besi, Isnin lalu.

    Ketua Polis Cheras Zam Halim Jamaluddin, berkata suspek berusia 26 hingga 43 tahun itu ditahan dalam operasi khas bermula 2 petang hingga 9 malam.

    Katanya, dalam serbuan pertama di lobi kondominium berkenaan, mereka menahan seorang lelaki berusia 26 tahun bersama rampasan dadah jenis ganja seberat satu kilogram.

    “Susulan tangkapan itu, kami menahan tiga lagi individu termasuk seorang wanita berusia antara 30 hingga 43 tahun di kondominium sama.

    “Kami turut merampas 41,240 gram ganja, wang tunai RM200, seutas gelang emas, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dan motosikal Honda RS,” katanya menurut Harian Metro.

    Zam Halim berkata, keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan 42,000 penagih dengan nilai RM130,944.

    Katanya, sindiket yang aktif sejak enam bulan lalu itu menggunakan modus operandi berurusan dengan pelanggan di Telegram, selain menjadikan rumah sewa mereka sebagai tempat menyimpan dadah.

    “Hasil perbincangan di Telegram, mereka akan menetapkan lokasi perjumpaan untuk menghantar dadah berkenaan yang diperoleh daripada pengedar tempatan di Kuala Lumpur bagi pasaran sekitar Lembah Klang,” katanya.

    Beliau berkata, semakan dilakukan mendapati dua daripada tiga suspek lelaki memiliki rekod jenayah dan kes dadah.

    “Hasil ujian saringan air kencing dilakukan mendapati dua suspek lelaki juga positif dadah jenis Tetra Hydrocannibol (THC).

    “Semua suspek yang tidak memiliki pekerjaan tetap itu direman selama tujuh hari bermula 18 hingga 24 April ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • Isu visa: Dua pegawai agensi penguat kuasa Kedutaan Malaysia di Bangladesh ditahan

    Isu visa: Dua pegawai agensi penguat kuasa Kedutaan Malaysia di Bangladesh ditahan

    DUA pegawai agensi penguat kuasa yang bertugas di Kedutaan Malaysia di Bangladesh ditahan reman tiga hari kerana disyaki menerima rasuah bagi pengeluaran visa luar negara dan kemasukan pelancong serta pekerja Bangladesh ke negara ini.

    Perintah reman sehingga Khamis itu dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret Putrajaya, Selasa lalu.

    Menurut sumber, penahanan itu dilakukan selepas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan beberapa transaksi kemasukan wang yang mencurigakan ke dalam akaun bank kedua-dua suspek.

    Justeru sumber berkata, mereka diarahkan pulang ke Malaysia untuk membantu siasatan kes tersebut serta merta.

    “Lebih 20 akaun bank yang melibatkan individu dan syarikat berkaitan telah diambil tindakan pembekuan.

    “Sehingga hari ini, jumlah pembekuan akaun dan penyitaan harta alih dan tak alih yang melibatkan penyitaan lapan bidang tanah, dianggarkan kira-kira RM3.1 juta,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

    “Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan
    Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).

    “Saya tidak menolak kemungkinan akan terdapat lagi beberapa tangkapan lain yang akan dibuat selepas ini,” katanya, lapor Astro Awani.

    Tambah beliau, SPRM juga sedang mengesan seorang individu bernama Siti Liyana Binti Sakijan untuk membantu dalam siasatan ini.

    Sehubungan itu, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai wanita tersebut diminta menghubungi pegawai penyiasat Jayaraj Rajan di talian 016-6371082.

  • Lapan lelaki ditahan terlibat kes bunuh warga India -Polis  

    Lapan lelaki ditahan terlibat kes bunuh warga India -Polis  

    SEORANG suspek utama kes bunuh antara lapan lelaki warga asing ditahan kerana disyaki membunuh seorang lelaki warga India di sebuah asrama pekerja di Kawasan Perindustrian Jalan Sungai Besi, Cheras, Kuala Lumpur, Selasa lepas.

    Kesemua mereka yang ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan berumur lingkungan 22 hingga 57 tahun merupakan rakan sekerja mangsa di sebuah premis besi buruk di kawasan perindustrian berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Cheras ACP Zam Halim Jamaluddin berkata polis menerima maklumat pada 6 pagi daripada pegawai perubatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) yang menerima mangsa berusia 43 tahun itu dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kesan cedera di muka dan kepala.

    Beliau berkata seorang saksi memberitahu bahawa seorang suspek lelaki warga asing berumur 37 tahun yang bekerja di premis sama ditemukan berlumuran darah di depan bilik mangsa.

    “Saksi yang memasuki bilik itu mendapati mangsa yang dibunuh suspek ditemukan terbaring dengan kesan kecederaan di muka dan memaklumkan perkara itu kepada majikannya,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, hari ini.

    Berikutan itu, majikannya membawa mangsa ke HCTM untuk menerima rawatan, namun dia disahkan meningga dunia oleh pihak hospital.

    Zam Halim berkata semasa rakan sekerja mangsa cuba mengikat suspek atas arahan majikan mereka, lelaki berkenaan cuba membunuh diri dengan menoreh lehernya menggunakan pisau.

    Menurutnya, mangsa kemudian dibawa ke HCTM untuk menerima rawatan oleh majikannya.

    Susulan itu, polis menahan suspek utama di wad pemantauan Unit Kecemasan HCTM untuk tindakan lanjut dan turut merampas sebatang besi yang dipercayai digunakan sebagai senjata dalam kejadian itu.

    Beliau berkata ketika kejadian berkenaan, suspek dikatakan dalam keadaan mabuk dan motif pembunuhan masih dalam siasatan.

    “Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 25 April bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

    Zam Halim meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu menghubungi Hotline Polis Cheras menerusi talian 03-92845050/5051, Hotline Polis Kuala Lumpur 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.